Khamis, 2 Januari 2014

Addin

Addin


Ini Penjelasan Dr. Asri Berkenaan Statement Panas Harussani

Posted: 02 Jan 2014 03:00 PM PST


Semalam ada pihak yang bertanya saya tentang mereka yang memakai kasut semasa solat. Soalan itu merujuk kepada kumpulan anak-anak muda yang membantah kenaikan harga barang yang bersolat dalam keadaan memakai kasut di tempat mereka berkumpul.

Ada pula yang cuba menyatakan solat itu tidak sah, bahkan ada yang menyatakan itu seperti menghina solat.

Rentetan dari itu juga, ada yang menyatakan anak-anak muda yang memakai topeng ala vendetta dalam perhimpunan itu telah rosak akidah mereka kerana menyerupai ajaran Kristian.

Samada kita bersetuju ataupun tidak dengan perhimpunan anak-anak muda, suatu hal yang lain, tapi yang jelas kenyataan-kenyataan ini walaupun berbunyi agama tetapi hakikat bukan bertujuan agama.

Sebaliknya, bertujuan kepentingan politik pihak tertentu malangnya, unsur agama dimainkan untuk menjatuhkan pihak yang bertentangan. Hal ini berlaku dalam banyak pihak dan puak sepanjang sejarah politik manusia.


Memakai kasut semasa solat bukanlah satu kesalahan jika kasut itu bersih dari najis. Dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim, ada riwayat yang disahihkan oleh al-Zahabi, daripada Anas bin Malik, berkata:

"Nabi s.a.w tidak pernah menanggalkan kasut dalam solat melainkan sekali, lalu, ketika itu, orang ramai pun turut menanggalkannya.

Nabi s.a.w bertanya: 'Mengapa kamu menanggalkan kasut kamu?' Mereka menjawab: 'Kami melihat engkau menanggalkannya, maka kami pun tanggalkan'.

Nabi s.a.w bersabda, 'Jibril telah memberitahu aku bahawa pada kedua kasutku ada kotoran'."

Dalam riwayat Ibn Khuzaimah, ditambah: "Seseorang kamu hendaklah melihat kasutnya, jika ada kotoran hendaklah dia sapu di tanah (gesel hingga bersih di tanah), kemudian dia boleh bersolat memakainya."

Ertinya, bukan satu masalah yang besar, bahkan diizinkan solat memakai kasut jika bersih. Namun ia dijadikan isu kerana ada kepentingan politik.

Betapa ramai yang pergi konsert yang pelbagai dalam negara ini yang entah bila mereka bersolat pun tiada siapa yang tahu.

Tidak pernah pula menjadi isu pun bagai 'agamawan politik' ini, tiba-tiba yang bersolat berkasut pula menjadi isu.


Topeng vendetta memanglah bukan dari ajaran Islam, tapi sejak bila pula ia dari ajaran Kristian?! "V for Vendetta" adalah hasil dari novel David Llyold dan Tony Weare pada tahun 1982.

Ia menjadi terkenal kerana difilemkan pada tahun 2005 dengan tajuk "V for Vendetta".

Dalam sejarah, topeng itu menggambarkan keberanian Guy Fawkes dan kumpulannya yang menentang penguasa yang menindas rakyat pada tahun 1605.

Cuma dalam kisah topeng ini kumpulan pemuda yang menentang penguasa itu agak ekstrim dengan merancang untuk membunuh King James dan meletupkan negara.

Dikatakan mereka juga ingin menghapuskan parlimen dan mengembalikan monarki Katolik. Dari sudut itu, ia bukan satu perlambangan yang baik.

Cuma, sebenarnya bukan isu Kristianisasi yang ditakuti, sebaliknya isu politik yang hendak dikaitkan.

Betapa ramai orang politik negara ini yang hadir dalam majlis sambutan Krismas, Depavali, sambutan itu dan ini yang dari segi latar sejarahnya memang mempunyai unsur agama.

Tidaklah pula mereka itu dikaitkan dengan Kristianisasi, Hinduisasi ataupun seumpamanya.

Demikian juga apabila ada pihak yang mengharamkan seorang Muslim menyertai parti musuhnya yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar kerana dianggap menolak Islam.

Namun kemudiannya membolehkan Muslim menyertai parti lain yang tidak berteraskan Islam sebagai dasar disebabkan parti itu berbaik dengan mereka.

Semua hukuman yang tidak selaras dan terpilih ini akibat dari menjadikan agama sebagai senjata dalam berpolitik.

Percampuran antara politik dan agama boleh membawa kesan yang positif yang diredhai dan dikehendaki Allah dan RasulNya, tapi boleh juga membawa kesan yang negatif yang merosakkan agama Allah dan RasulNya.

Ia semua amat bergantung kepada siapa yang mengendalikan percampuran tersebut. Atas apa hasrat dia ingin mencampurkan agama dan politik menentukan hasil percampuran itu. Jika dia mencampurkan keduanya untuk mendapat panduan Tuhan dalam memimpin manusia secara adil dan amanah, maka itu membawa kepada kebaikan.

Namun, jika percampuran politik dan agama atas hasrat menguatkan kedudukan politik cuma, maka itu akan merosakkan nama Allah dan agamaNya. Agama hanya akan menjadi mainan kepentingan penguasa dan segala tafsiran mempunyai kepentingan mereka yang terbabit dalam politik.

Dalam sejarah Kristian, ketika golongan agama di Vatican menguasai politik, betapa ramai tokoh-tokoh yang dihukum mati atas tuduhan heresy (murtad) hanya kerana tidak bersetuju dengan penyelewengan pihak gereja dan kuasa politik.

Umpamanya dalam isu penjualan 'indulgences' atau borang pahala yang dijadikan saluran untuk golongan agama mengaut harta dengan cara menipu fakta agama, ramai dibunuh kejam hanya kerana mengkritik.

Demikian juga isu 'purgatory', 'relics', 'saints' dan pelbagai lagi yang menjadikan cara golongan agama menipu orang awam. Mereka yang jujur bangun mengkritik dijatuhkan hukuman mati dan dibakar hidup-hidup.

Inilah nasib yang menimpa Jan Huss (1370-1415) yang merupakan reformis agama Bohemian, yang dibakar hidup-hidup di khalayak ramai.

Demikian tekanan yang dikenakan kepada reformis agung Kristian, Martin Luther (1483-1546) dan para pengikutnya yang sebahagian mereka dibakar hidup-hidup.

Golongan politik mengambil kekuatan dari cengkaman kuasa agama ke atas rakyat. Penyelewengan pengurusan dan harta negara bagaikan diampun Tuhan kerana golongan agama bersama mereka.

Inilah hasilnya apabila kuasa politik dicampur dengan agama yang dikendalikan oleh mereka yang berkepentingan.

Di negara kita kini, lihat bagaimana ada pihak yang 'so-called' agamawan yang sibuk membaca dalil kepada rakyat supaya bersyukur dan jangan membazir kerana itu amalan syaitan. Dalam masa yang sama tidak pula aktif membaca nas-nas ini kepada golongan atasan.

Persoalannya, apakah ayat-ayat Tuhan ini hanya ditujukan kepada rakyat bawahan? Sementara golongan atasan, samada sultan ataupun menteri, ayat-ayat Tuhan tidak terkena mereka?


Ada agamawan yang menghalalkan darah orang bawahan yang berkumpul secara aman tanpa senjata. Kononnya mereka itu bughah yang dihalalkan bunuh.

Padahal bughah adalah istilah mempunyai takrifan dan konteks yang tersendiri. Tidak dinamakan bughah yang boleh diperangi oleh pemerintah rakyat yang berkumpul tanpa senjata.

Dalam konteks hari ini, apakah bughah dilakukan rakyat yang masih membayar cukai dan mengikut pelbagai peraturan yang tetapkan oleh negara?

Kita mungkin boleh tidak bersetuju dengan perhimpunan itu tapi apakah patut untuk dihalalkan darah awam sedemikian rupa? Lihatlah bagaimana agama boleh menjadi senjata kuasa politik sehingga perintah dibenarkan menumpah darah rakyat yang lemah.

Saya tidak menyeru kepada pengasingan agama dari politik kerana itu bukan tabiat Islam. Pun begitu, jika agama sekadar senjata untuk kepentingan politik, lebih baik ia diasingkan.

Politik Islam itu bukan semestinya membaca dalil agama itu dan ini sedangkan intipatinya tidak memenuhi maksud rahmat dan keadilan yang menjadi tujuan ajaran Islam.

Sekali lagi saya nukilkan kata-kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) tentang politik dan keadilan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar'iyyah:

"Berkata al-Shafi'i: 'Tiada siyasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak'.

Kata Ibn 'Aqil: 'Siyasah itu yang merupakan tindakan yang mana dengannya manusia lebih dekat kepada kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasul dan diturunkan wahyu mengenainya. Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu "Tiada siyasah melainkan apa yang menepati syarak" iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul.

Jika engkau maksudkan tiada siyasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga menyalahkan para sahabah... apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun, maka di situlah syariat Allah dan agamaNya... bahkan Allah s.w.t. telah menjelaskan bahawa apa yang Dia syariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama) tujuannya untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hambaNya dan membolehkan manusia menegakkan keadilan. Apa-apa saja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu dari agama ini, dan ia tidak menyanggahinya'." ~Dr. Asri Zainal Abidin


Iklan C (ii)



Fatwa Ulamak Terompah Di Kecam Hebat

Posted: 02 Jan 2014 07:00 AM PST

Kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang melabel peserta perhimpunan anti-kenaikan harga baru-baru ini sebagai pemberontak yang halal darah mereka terus dikecam, termasuk oleh Dewan Ulama PAS.

"Sangat jahil seorang mufti yang mengkategorikan mereka ini sebagai pemberontak. Lebih malang dan merbahaya apabila darah demonstrator ini pula diisytiharkan sebagai halal darah.

"Ia merupakan kenyataan yang sangat berbahaya yang boleh membawa kepada huru-hara kepada negara dan tergugatnya keharmonian antara rakyat," kata ketua penerangan Dewan Ulama PAS, Khairudin Aman Razali.

Khairudin berkata kenyataan Harussani itu amat mendukacitakan kerana ia menggambarkan kegagalan seorang mufti memahami hukum "bughah" dalam Islam.

Harussani sebelum ini dilaporkan berkata peserta perhimpunan di Dataran Merdeka pada 31 Disember lalu perlu ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan, sambil berkata darah mereka "dihalalkan" kerana tergolong dalam kategori "bughah", atau pemberontak.

"Sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari hukum syarak, dihalalkan darah golongan bughah," katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Bagi Khairudin, kenyataan itu menyeleweng dari hukum Islam dan sangat menyesatkan.

Ahli parlimen Kuala Nerus itu menjelaskan bahawa dalam Islam, 'bughah' atau pemberontak merujuk kepada penentangan bersenjata oleh rakyat terhadap kerajaan Islam, dan termasuk salah satu kesalahan jenayah hudud.

"Adakah peserta perhimpunan 31 Disember 2013 turun berhimpun dengan senjata menentang pemerintah?" tanya beliau dalam kenyataannya.

Lagipun, katanya, takrifan pemberontak dalam perlembagaan Malaysia merujuk kepada melancarkan peperangan terhadap Yang diPertuan Agong.

Katanya, para peserta perhimpunan malam Selasa lepas hanya turun dengan membawa sepanduk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap urus tadbir negara yang membawa kepada peningkatan kos hidup.

"Saya menyeru seluruh pihak yang prihatin terhadap keamanan bernegara dan keharmonian bermasyarakat membantah kenyataan-kenyataan songsang seumpama ini," kata Khairudin, sambil berkata "fatwa" yang dikeluarkan Harussani itu dibimbangi membawa kepada pertumpahan darah sesama rakyat. ~tmi


Iklan C (ii)



Lim Guan Eng Tidak Pandai Pilih Masa Beli Mercedes Baru - Rafizi Ramli

Posted: 02 Jan 2014 06:21 AM PST


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dilihat tidak memilih masa tepat untuk membeli kereta mewah Mercedes Benz S300L ekoran ianya memberi imej buruk kepada Pakatan Rakyat (PR).

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, Guan Eng harus lebih peka kepada sensitiviti rakyat yang kini menanggung beban kenaikan harga barang dan penarikan semula subsidi.

"Saya rasa semua pengamal politik harus mempunyai sensitiviti yang sama sama ada dari pihak barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan kerana rakyat kini sedang menempuhi kesukaran dan 2014 akan menjadi lebih sukar," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Rafizi berkata demikian bagi mengulas tindakan Guan Eng menggantikan kereta rasminya dari Toyota Camry 2.5V kepada Mercedes-Benz S300L yang bernilai setengah juta ringgit.

"Sungguhpun nilainya sangat bagus, saya pasti tiada siapa yang akan mempersoalkan tindakan (Guan Eng) membelinya. Tetapi saya rasa ianya akan memberi ruang kepada BN untuk memanipulasikan isu tersebut," jelas Rafizi.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, rakan Pakatannya harus lebih berhati-hati untuk tidak terjerumus kepada 'perangkap' BN mengenai isu ini.

"Dalam kes kereta rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang ini, saya rasa ianya perbelanjaannya berbaloi kerana kereta tersebut sangat bagus. Maka ianya baik untuk pelaburan," ujarnya lagi. ~rakyatnews


Iklan C (ii)




Anak Mahathir Kecam Kerajaan Umno BN

Posted: 02 Jan 2014 12:12 AM PST

Anak perempuan kepada perdana menteri paling lama Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengecam Putrajaya yang terus diam dengan isu-isu panas yang dimainkan kerana ia boleh menimbulkan perbalahan dan memberi kesan kepada negara.

Dalam ruangannya di akhbar The Star, Musings, Datin Paduka Marina Mahathir mengeluh tentang kepimpinan negara yang boleh melaungkan perpaduan tetapi diam terhadap kenyataan sensitif yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu.

"Apakah jenis kepimpinan yang kita ada yang mulutnya bercakap tentang kesederhanaan dan perpaduan, namun sama sekali tidak berbuat apa-apa terhadap penyataan melampau yang dibuat bukan sahaja oleh apa yang dipanggil badan bukan kerajaan, tetapi juga oleh beberapa pemimpin kerajaan?

"Adakah mereka sedar atau takut? Dan jika mereka takut, mengapa?" tanya beliau dalam tulisannya.Tulisannya ini telah menyentuh sanubari rakyat Malaysia apabila mereka menyebarkannya melalui laman sosial Facebook dan juga Twitter. ~tmi


Iklan C (ii)




Tembelang Tahun Baru Najib Dan Rosmah Terbongkar?

Posted: 01 Jan 2014 09:05 PM PST

Gosip atau cakap-cakap politik, barangkali ada kebenarannya, apatah lagi jika ia ditulis atau dibicarakan oleh individu yang memiliki hubungan rapat dengan ahli-ahli politik.

Tokoh wartawan, A Kadir Jasin, dalam tulisan di blognya pada 30 Disember lalu menimbulkan soalan ke mana perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ketika sambutan tahun baru.

Dalam tulisannya, Kadir menulis- ketika orang ramai berhimpun di Dataran Merdeka bagi memprotes kenaikan harga barang dan kos sara hidup, Najib tiada di Malaysia untuk mendengar tuntutan mereka.

"Ketika penunjuk perasaan, menentang kerajaan, menuntut itu dan ini, mereka perlu tahu bahawa perdana menteri, Mohd Najib Abdul Razak, tiada di sini untuk mendengar tuntutan mereka secara langsung," tulis Kadir diblognya, kadirjasin.blogspot.com.

Menurut Kadir, maklumat diperolehi menyatakan Najib berada di luar negara ketika sambutan tahun baru walaupun pada awalnya dinafikan kumpulan 'Penasihat Komunikasi Najib' (CAG).

Katanya, dalam satu kiriman di blognya bertajuk "Wanita Chief and the Grandmaster"pada 11 Disember lalu, seorang bernama Zainol memberi komen Najib dan isterinya, bercuti ke Los Angeles (LA) dan terbang ke Sydney, Australia sempena tahun baru."…Dia kata Najib akan pergi cuti di LA dengan Isteri... Mereka terbang dari LA ke Sydney nak tengok matahari naik di Sydney."Jam itu kita masih tidor di Malaysia. 

Lepas itu mereka akan terbang dari Sydney pergi ke Las Vegas untuk tengok kali kedua matahari naik. Sebab Amerika satu hari lambat dari Australia," komen itu dipetik Kadir.

Menurut Kadir, beliau mengirimkan pesanan ringkas (SMS) kepada 'anggota CAG' untuk bertanyakan kebenaran perkara itu, namun ia dinafikan.Bagi mengesahkan ia bukan sekadar gossip atau fitnah, Kadir  pada 30 Disember lalu mengirim SMS kepada Setiausaha Najib, Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad yang mengesahkan Najib ke luar negara dan tugasnya diambil alih oleh timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kadir menambah, beliau juga bertanya kepada editor dua buah akhbar, salah seorangnya juga anggota 'CAG' melalui SMS, bagi mengetahui sekiranya ada kenyataan rasmi dibuat.

Editor berkenaan kemudian mengesahkan bahawa tiada kenyataan rasmi dikeluarkan, namun enggan namanya dipetik.Kadir yang sebelum ini dianggap bekas orang kuat  Tun Mahathir Mohamad mencuri perhatian apabila menyindir Najib dan isterinya, Rosmah Mansor di blognya.

Secara sinis beliau mencadangkan Rosmah dilantik ke jawatan menteri, malah ke jawatan perdana menteri kerana peranannya mengambil tugas menteri-menteri kabinet.

Ia ekoran pujian Najib terhadap isterinya itu pada Perhimpunan Agung Umno awal Disember lalu, selepas mendapat kritikan menggunakan jet kerajaan untuk lawatan peribadi ke luar negara.

Tulisan Kadir itu, dilihat oleh ramai pemerhati politik sebagai serangan awal terhadap kepimpinan Najib dan mewakili pandangan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. ~kd


Iklan C (ii)




Tiada ulasan: