Kelantan serius laksana hudud 
KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan sehingga kini tetap serius dan yakin untuk melaksanakan hudud meskipun terdapat pelbagai halangan, bahkan hasrat merealisasikannya juga dianggap sebagai mainan politik pihak tertentu.

Bukti Kelantan tidak lemah semangat biarpun ada kekangan, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri tetap meneruskan usaha bersungguh-sungguh agar Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 yang diluluskan Dun Kelantan dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Menurutnya, apabila disebut pelaksanaan hukum hudud di Malaysia, ramai yang akan mengingati hasrat Kelantan untuk melaksanakan undang-undang itu yang sudah lama diusahakan tetapi dengan pelbagai halangan masih lagi belum berjaya.

"Kita amat hormat Brunei yang sudah mampu menegakkan hukum ini di negara mereka, ini menjadi semangat kepada kita bahawa ALLAH SWT akan pelihara hukum-Nya dan sampai masa insya-ALLAH negeri kita akan dapat laksanakan.

"Ada pihak menyatakan hasrat kerajaan ini sekadar mainan politik sahaja, padahal tuduhan itulah mainan politik dan saya sifatkan golongan yang menolak dan mengejek, mengetepikan syariah Islam khususnya hudud adalah golongan jahil, malah tidak mengetahui keindahan syariat Islam itu sendiri," katanya.