judi 
KUALA LUMPUR - Paparan sisipan X-klusif mengenai kebanjiran warga asing mendominasi kawasan-kawasan tertentu di Lembah Klang yang disiarkan Rabu lalu, mendapat pelbagai reaksi pembaca.

Pejabat operasi Sinar Harian di Shah Alam, dihujani panggilan telefon daripada pembaca yang rata-ratanya memuji usaha meninjau kawasan terbabit.

Semalam, sekali lagi wartawan dan jurufoto Sinar Harian melakukan tinjauan di Jalan Silang, sebaik menerima maklumat terdapat aktiviti perjudian di kalangan warga asing di salah sebuah kedai makan di situ.

Bagi mendapatkan kesahihan itu, kami menyelinap masuk ke dalam kedai makan dimaksudkan oleh orang yang memberi maklumat.

Selepas hampir satu jam menunggu, sekumpulan lelaki warga Bangladesh berusia antara awal 30-an dan 40-an muncul dan duduk di meja berhampiran.

Kumpulan itu dilihat bersembang selama beberapa minit sebelum salah seorang daripada mereka menyusun buah dam.

Gerak-geri mereka diperhatikan oleh wartawan Sinar Harian. Ternyata sangkaan mereka mahu bermain dam meleset apabila salah seorang daripada warga Bangladesh yang agak tua mula mengeluarkan wang secara sembunyi-sembunyi dari bawah meja.

Jurufoto Sinar Harian cuba merakamkan gerak-geri kumpulan warga Bangladesh itu, namun tidak berjaya kerana mereka bijak menyembunyikan wang terbabit, namun selepas beberapa ketika, kehadiran kami mula disedari mereka.

Ketika itu wartawan, Ahmad Ismadi Ismail dan jurufoto, Zulfadhli Ahmad Zaki berhadapan detik cemas apabila kumpulan terdiri daripada lima lelaki warga Bangladesh itu bangun dari kerusi dan berkata sesuatu dalam bahasa mereka, sebelum bertindak mengejar kedua-dua mereka.