Hishamuddin Rais
Ahli Jawatankuasa Gabungan Janji, Hishamuddin Rais
SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Himpunan Kebangkitan Rakyat (#KL112) akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini bagi membincangkan saranan pihak polis supaya perhimpunan yang dijadual untuk diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur Sabtu ini ditukar ke Stadium Nasional Bukit Jalil.
Jurucakap #KL112, Hishamuddin Rais berkata, mesyuarat akan diadakan di ibu pejabat Pas di sini, jam 12 malam ini.
"Sekarang ini ada perkembangan baru, buat masa ini saya tak ada apa-apa komen, kita akan ada mesyuarat tergempar malam ini, itu sahaja yang saya boleh beritahu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, sebentar tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh hari ini menyarankan supaya penganjur #KL112 mengadakan himpunan di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana ia lebih sesuai dan mampu menampung kapasiti lebih besar.
Tambahan pula katanya, stadium tersebut juga mempunyai kemudahan pengangkutan awam yang lengkap termasuk Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) selain memenuhi keperluan dari aspek keselamatan.
Mohmad turut meminta penganjur #KL112 menyemak semula hasrat menggunakan Stadium Merdeka sebagai tempat berhimpun kerana perbadanan stadium itu meletakkan syarat utama agar ia tidak disertai lebih daripada 30,000 orang berdasarkan kapasiti stadium.
Menurut Hishamuddin, pihak penganjur sudah pun membuat bayaran kepada Stadium Merdeka petang tadi bagi membolehkan kemuncak Himpunan Kebangkitan Rakyat diadakan di situ