Rabu, 4 Disember 2013

SIASAH

SIASAH


Pemilihan pemimpin, ahli pilih kelangsungan dan kestabilan

Posted: 03 Dec 2013 07:29 PM PST

Oleh HARIS ZALKAPLI

Satu gambaran utama yang diberikan oleh perwakilan dalam pemilihan yang baru lepas ialah pemilihan dua perkara penting; kelangsungan dan kestabilan, yang berpotensi untuk meneruskan kerja-kerja yang telah dimulakan oleh kepimpinan lama dan sedia ada.

Hal ini paling utama dapat diperhatikan pada pemilihan jawatan timbalan dan naib presiden, ketua Dewan Muslimat dan sejumlah besar ahli jawatankuasa peringkat pusat.

Dalam jawatankuasa pusat juga, beberapa muka baharu yang dipilih telah mempunyai kehadiran peringkat nasional sejak sekurang-kurangnya sepenggal lepas, seperti Idris Ahmad, Nasrudin Hassan dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Faktor penting yang mendorong pembuatan keputusan oleh perwakilan nampaknya ialah populariti dan wajah-wajah yang dikenali, walaupun faktor pemilihan berdasarkan senarai kumpulan juga tidak boleh dinafikan.

Penyandang sentiasa memiliki kelebihan, terutama timbalan presiden Mohamad Sabu yang telah berada di barisan kepimpinan tertinggi dan bersama memimpin parti melalui siri protes utama disertai PAS sejak 2007 dan melalui Pilihan Raya Umum ke-13, pilihan raya umum pertama bagi Pakatan Rakyat.

Mohamad mendapat majoriti lebih besar pada pemilihan kali ini, sebanyak 98 undi. Undi diperolehi Mohamad ialah sebanyak 588 undi, berbanding 490 diperolehi Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Walau bagaimanapun, Mohamad dalam pemilihan pada 2011 mendapat 420 undi, dengan dua lawannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Nasharuddin Mat Isa masing-masing memperolehi 399 dan 224 undi. Mohamad hanya mendapat kelebihan undi sebanyak 21 undi berbanding saingan terdekatnya Tuan Ibrahim.

Kemenangan Mohamad pada masa itu disebut sebagai disebabkan oleh perpecahan undian melibatkan Tuan Ibrahim dan Nasharuddin, yang dilihat sebagai mewakili kelompok yang sama.

Di peringkat naib presiden, kehadiran nasional Tuan Ibrahim - yang lama disebut-sebut hendak bertanding timbalan presiden - dan tiga penyandang yang lain memberi kelebihan besar kepada mereka, walaupun seorang terkeluar disebabkan kemasukan Tuan Ibrahim.

Salahuddin Ayub kekal sebagai naib presiden mendapat undi tertinggi dengan 917 undi. Pada pemilihan 2011, Salahuddin mendapat undi tertinggi sebanyak 753 undi, diikuti Datuk Husam Musa yang mendapat 660. Mahfuz yang tidak terpilih kali ini mendapat undi terendah dalam pemilihan lalu, dengan 616 undi.

Bekas ketua penerangan ini mengalami hal yang hampir sama dengan Idris yang disebut-sebut akan bertanding jawatan naib presiden dan dilihat ramai ahli sebagai layak menduduki salah satu kerusi itu. Beliau memenangi undi terbanyak dalam kalangan ahli jawatankuasa, sebanyak 927, diikuti oleh Mazlan Aliman dengan 840 undi.

Keputusan undian ahli jawatankuasa menunjukkan kewujudan pemilihan berdasarkan kumpulan, apabila calon-calon yang mewakili kelompok digelar Erdogan atau "reformis," yang juga merupakan penyandang, mengekalkan kedudukan masing-masing dengan jumlah undi selesa, walaupun faktor populariti dan kelebihan penyandang juga tidak dapat dinafikan menjadi faktor dipilih.

Calon-calon kumpulan agamawan dan konservatif, seperti Nasrudin, Nik Abduh, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, dan Dr Riduan Mohamad Nor juga dipilih ke jawatankuasa pusat dengan undi yang selesa.

Di Dewan Pemuda, kemenangan Suhaizan Kaiat memperlihatkan kehendak perubahan dalam kalangan ahli dan pada masa sama pemilihan wajah yang dikenali, yang telah aktif di peringkat nasional dan dinilai sebagai calon berpotensi untuk jawatan ketua Pemuda, yang bermula sejak pemilihan yang lalu apabila beliau menjadi satu pilihan popular untuk bertanding jawatan ketua dewan itu.

Pemilihan pemimpin-pemimpin yang popular, dan dinilai mampu menjalankan tugas masing-masing, memperlihatkan kelangsungan masih menjadi pilihan ahli walaupun beberapa tokoh kunci kem masing-masing telah dipastikan dipilih.

Kemenangan Mohamad dan Suhaizan terutamanya, telah menafikan spekulasi panjang menjelang pemilihan yang mendakwa kumpulan ulama akan menguasai sepenuhnya, dan membuktikan ahli PAS mengambil kira banyak faktor.

Dari satu sudut, kemenangan timbalan presiden mengekalkan kedudukan dan kemenangan ketua Pemuda baharu menyumbang kepada bukan sahaja kelangsungan tetapi juga kestabilan parti dengan mewujudkan keseimbangan.

Undi yang agak seimbang antara Mohamad dan Mohd Amar menunjukkan kewujudan imbangan kuasa melibatkan dua aliran besar dalam PAS, hal yang perlu diambil kira oleh semua pemimpin dalam pembuatan keputusan.

Kemenangan kedua-dua pemimpin itu juga memaksa kerjasama dan kompromi antara yang memiliki perspektif berbeza, dan tidak hanya mengangkat agenda satu pihak sahaja yang mungkin berlaku - atau dilihat sebagai berlaku - sekiranya lawan mereka menang.

Hal ini penting kepada PAS sebagai sebuah parti yang semakin bersifat arus perdana, tetapi mempunyai akar umbi setia dan penggerak parti yang besar terdiri daripada agamawan dan konservatif.

PAS perlu meraikan dan menerima kecenderungan pragmatik dan inklusif yang telah meningkatkan sokongan daripada kelompok luar daripada pengikut tradisionalnya, tetapi tidak dapat dinafikan kepentingan elemen konservatif yang telah membina kekuatan parti selama ini, yang kekal setia sepanjang zaman sukar PAS pra-1998.

Kini terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin-pemimpin dan seluruh ahli untuk membina kekuatan atas kelebihan-kelebihan kepelbagaian aliran ini, untuk terus mengemudi parti melalui medan politik yang semakin berbeza berbanding apa yang dilalui PAS selama ini. - November 29, 2013

Tiada ulasan: