MIMPI SENJA |
- Tentera Merah @ Unit Amal PAS ...
- Tengku Puan Pahang menyingsing lengan menyediakan hidangan untuk mangsa banjir
- Arak faktor penyumbang rusuhan di Singapura
- Bergilir berendam dalam laut
- Cilaka ... Angola tutup masjid bakar Al'Quran
Tentera Merah @ Unit Amal PAS ... Posted: 09 Dec 2013 09:11 PM PST Dada langit masih suram dengan hujan merembes perlahan memukul atap rumah warga kemaman, Dungun serta daerah lain yang masih diserbu tengkujuh. Banjir yang melanda kali ini telah memunggah puluhan ribu rakyat ke pusat pemindahan banjir. Bak garuda melanggar jajahan, rumah kediaman seperti diterjah tsunami dengan kemusnahan tak terperi, suara tangisan anak-anak yang ketakutan dan kelaparan bertingkah-tingkah merebut ruang di tempat pemindahan banjir. Langit seperti menumpahkan murkanya pada manusia yang tak henti menuai dosa dan meracik kebejatan noda. Banjir besar ini seperti ingin mengingatkan kita tentang keberadaan Tuhan yang sering sirna daripada ingatan manusia. Korupsi, mengabaikan solat, melecehkan syariat, penzinaan, penyelewengan seolah-olah sudah tidak mampu dielakkan insan. Banjir menampar manusia yang leka dan menunjal sisi terang akal kita juga bahawa Tuhan hanya menjentik ingatan kita supaya segera bermuhasabah. Saya menyemak kisah duka banjir kali ini di medan operasi dan juga fenomena media baru yang turut menambah perisa kepada tragedi banjir kemaman, Kuantan serta daerah lain. Nama Unit Amal atau pernah menggalang jolokan Tentera Merah kelihatan begitu hampir dengan relung hati mangsa banjir. Tentera Merah juga pernah mencuit hati mangsa banjir di Johor pada tahun 2007. Membuka ruang fikir masyarakat Johor bahawa gerakan Islam bukanlah jamaah takfir yang membina tembok kaca dengan masyarakat seperti yang cuba digambarkan oleh media perdana. Rakyat Johor kelihatan kecewa dengan agensi kerajaan yang kelihatan agak lemah menjangkakan banjir besar yang akan menimpa Johor, bumi ditanam uri Umno pada tahun 1946. Sebab itu tidak mudah merombak keyakinan masyarakat Johor kepada parti pragmatis sekular itu sejak puluhan tahun. Tentera Merah yang datang dari seluruh negara mengucur keringat, membersihkan kediaman, memasak makanan, menyelamatkan mangsa banjir serta menenangkan mangsa. Pasca banjir di Wilayah Johor pada tahun 2007 itu akhirnya membuka ruang untuk masyarakat Johor membuang stigma mereka kepada PAS. Rasa skeptikal terhadap bendera bulan berjaya dirobohkan malah dibuktikan negeri sarat adab Melayu itu menyaksikan lonjakan undi PAS sebanyak 200 peratus di antara 2004 sehingga PRU ke-12 pada tahun 2008. Saya konsisten selama ini bahawa gerakan kebajikan adalah pakej lengkap kepada gerakan Islam sebagai mana lantunan pada cerminan dakwah di zaman Ar Rasul S.A.W dan juga generasi Al-Quran. Tentera Merah atau Unit Amal wajar diberikan pujian kerana para amilin yang bergabung di dalamnya dicetak khusus untuk berhadapan dengan situasi cemas serta mempunyai tahap disiplin lima bintang. Tiada sebuah pun gerakan relawan yang mampu menyaingi reputasi Unit Amal kecuali di luar negara seperti Al-Khidmat di bawah naungan Jamiat Islami di sub kontinen. Anggota Amal dengan pelbagai jalur latar belakang, ada antara mereka graduan kejuruteraan, perubatan, sains sosial, pengajian Islam sehinggalah mereka yang mempunyai tahap asas seperti lulusan SRP. Kepelbagaian inilah yang telah melahirkan kekuatan dan jati diri mereka yang tersendiri. Masyarakat yang awal benci kepada gerakan Islam akibat kurang maklumat, akhirnya terpanar melihat anak-anak muda berbaju merah mendirikan solat berjemaah walaupun guratan wajah mereka penat akibat kurang rehat. Wira tak didendang ini bersilih ganti datang ke tempat lokasi bencana tanpa sebarang upah atau tanda jasa. Keikhlasan mereka inilah akhirnya membuahkan amal yang paling manis sehingga PAS tersimbah dengan pujian masyarakat kerana mempunyai anak-anak muda yang pandai menyantuni massa. Tentera merah dengan berbaju lencun keringat itu juga tak pernah lelah membantu manusia tanpa mengira status sosial. Teringat saya, ungkapan Ustaz Idris Ahmad semasa beliau menggalang jawatan Timbalan Ketua DPPPM, "jika bahtera jamaah ini berbondong masuk ke syurga, maka anggota amal adalah kelompok pertama ke syurga. Mereka tak disibukkan dengan mencari nama, tak bercadang untuk menjadi calon pilihan raya, tak bercadang untuk menjadi AJK penting, disuruh bangun mereka bangun, disuruh duduk mereka duduk, tiada orang mampu seikhlas anggota amal". Kuantan dan Kemaman akan menjadi saksi kehebatan khidmat Tentera Merah ini mengucur keringat. Saya di birai jendela rumah dengan hujan bak dentingan halpa yang mengasyikkan, tiba-tiba terbayang sosok Tuan Guru Abdul Hadi dan Datuk Tuan Ibrahim sedang melambai tangan pada rakyat yang menangis sesenggukan gembira. Tokoh ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu dan juga Pahang selepas PR menang besar di negeri Pantai Timur itu dalam PRU ke-14. Insya Allah, fajar kemenangan akan menyinsing dan saatnya begitu hampir. Jutaan penghargaan buat tentera Merah Amal yang telah memecahkan tembok kaca gerakan Islam dan juga masyarakat negara ini. Beramal kerana Allah adalah pelaksanaan kata-kata yang tak sekadar tercetak di aksara kertas. Maju terus ke medan operasi wahai para amilin kerana kemenangan itu sangat hampir di tanah air kita ini. Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR |
Tengku Puan Pahang menyingsing lengan menyediakan hidangan untuk mangsa banjir Posted: 09 Dec 2013 07:52 PM PST
KUANTAN - Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sanggup menahan kesejukan merintangi air bersama mangsa banjir lain ke pusat pemindahan selain menyingsing lengan menyediakan hidangan untuk mangsa terlibat. Baginda menghabiskan masa lebih tiga jam bergotong-royong memasak kepada ribuan mangsa banjir di Stadium Sukpa, Wisma Belia Indera Mahkota, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, SMK Sungai Isap Murni dan Sekolah Kebangsaan Kampong Belukar. Bagaimanapun, baginda sedih kerana ada yang tidak bersyukur dengan penerimaan rezeki yang diberikan selain kurangnya disiplin walaupun dari golongan dewasa. "Saya dapati ada yang tidak mengucapkan terima kasih dengan apa yang mereka nikmati manakala orang dewasa pula tidak menunjukkan disiplin yang baik. "Mereka sepatutnya beratur dan bukannya tergesa-gesa, menolak antara satu sama lain untuk mendapatkan makanan yang dihidangkan seolah-olah tidak boleh berpeluang untuk menikmati hidangan," katanya. Justeru, baginda mahu polis atau tentera mengawal tingkah laku mereka dengan mendahulukan warga emas dan kanak-kanak kerana percaya golongan belia tidak kelaparan seperti negara lain yang turut ditimpa bencana. "Mangsa juga harus pandai mengucapkan 'terima kasih' kepada mereka yang membantu dan kerajaan yang menyediakan pusat pemindahan dan semua keperluan sepanjang mereka berada di pusat pemindahan berkenaan," katanya. Sebagai keluarga diraja yang mementingkan kesihatan rakyat, Tunku Azizah turut menekankan aspek menjaga kebersihan di lokasi mereka ditempatkan. - SinarHarian |
Arak faktor penyumbang rusuhan di Singapura Posted: 09 Dec 2013 06:06 PM PST DEC 10, 2013SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengarahkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri supaya menubuhkan Jawatankuasa Siasatan (COI) berhubung insiden rusuhan di kawasan Little India di sini pada Ahad malam. Beliau berkata COI akan melihat kepada faktor-faktor yang mencetuskan rusuhan itu serta menyemak semula langkah-langkah semasa untuk mengurus kawasan-kawasan yang menjadi kunjungan pekerja asing untuk berkumpul. "Rusuhan ini adalah insiden terpencil yang timbul daripada tindakan menyalahi undang-undang oleh kumpulan yang bertindak balas atas kejadian kemalangan maut. "Sebahagian besar pekerja asing di Singapura patuh kepada undang-undang dan menyumbang kepada ekonomi kita. Mereka bekerja keras untuk menyara hidup dan membantu keluarga mereka di negara mereka. "Kita tidak boleh membenarkan kejadian buruk ini merosakkan pandangan kami terhadap komuniti pekerja asing di sini," kata Lee dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri di sini semalam. Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga warga India, Sakthivel Kumaravelu, yang terbunuh dalam kemalangan yang mencetuskan rusuhan itu. Perdana Menteri itu juga meminta rakyat Singapura supaya tenang dan meneruskan urusan harian masing-masing. Sementara itu, Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negeri, S. Iswaran memberitahu pemberita di Little India hari ini bahawa larangan penjualan dan pengambilan minuman keras akan dikuatkuasakan hujung minggu ini di Jalan Race Course, iaitu tempat tercetus rusuhan itu. Beliau berkata butiran mengenai larangan itu akan dikeluarkan oleh pihak polis. Ditanya sama ada alkohol menjadi faktor yang mencetuskan rusuhan itu, Iswaran berkata: "Ia adalah terlalu awal untuk menyatakan secara muktamad punca rusuhan selepas kemalangan maut tetapi ia adalah 'munasabah' bahawa pengambilan alkohol merupakan faktor penyumbang." Dalam kejadian itu, mangsa berusia 33 tahun meninggal dunia selepas dilanggar oleh sebuah bas di persimpangan Jalan Race Course dan Hampshire. Sejurus selepas itu, rusuhan berlaku melibatkan sekitar 400 orang awam yang merosakkan sejumlah kenderaan dan mengakibatkan 10 pegawai polis cedera. - Bernama |
Posted: 09 Dec 2013 09:24 AM PST SemasaMELAKA: Seorang daripada 13 komando menceritakan bahawa mereka bergilir berendam dalam laut dan berpaut pada bot sebelum enjin dapat dihidupkan. "Hanya lima orang berada dalam bot pada satu-satu masa manakala yang lain berpaut pada badan bot bagi mengelak terbalik semula. "Kami bertukar kedudukan untuk menyimpan tenaga. Pelbagai usaha dilakukan dan menggunakan segala ilmu dan kemahiran dipelajari ketika kursus selain ditambah dengan pengalaman dan kepakaran jurulatih. "Akhirnya, enjin bot berjaya dihidupkan dan kami kemudian terus bergerak ke pantai," katanya ketika ketika ditemui di Hospital Kem Terendak, hari ini. BOT jenis Assault dinaiki 11 pelatih komando dan dua jurulatih yang dipukul ribut dan ombak ketika menyertai latihan mendayung dari pantai Kem Sungai Udang ke Pulau Nangka, malam Sabtu lalu. FOTO Mohd Khairul Helmi Mereka yang mendapat rawatan di hospital itu menerima kunjungan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob. Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. Rakannya pula berkata: "Selepas bot dapat dibetulkan, kami cuba untuk membaiki enjin pada sebelah malam dan siang. Tapi, gagal. Kami kemudian guna pelbagai peralatan termasuk bekas makanan dan dayung buatan sendiri. "Kami juga membuat layar dengan harapan dapat ke pesisir pantai tetapi angin dan ombak membawa bot hanyut ke tengah laut hingga hampir memasuki perairan antarabangsa. "Jurulatih pula sentiasa memberikan semangat supaya tidak berputus asa. Jurulatih mengarahkan kami supaya tidak berpecah. "Selepas beberapa jam mendayung, jurulatih kemudian berusaha sekali lagi membaiki enjin iaitu cubaan ketiga dengan memasukkan minyak senjata dalam enjin. "Allah hendak tunjuk dengan kuasaNya dan enjin berjaya dihidupkan kira-kira 6 petang dan kami pun bergerak ke arah pantai berpandukan pergerakan kapal dagang di perairan antarabangsa," katanya. Seorang lagi mangsa berusia 20-an berkata, mereka bertolak dari pantai Kem Sungai Udang pada petang Sabtu lalu, dijadualkan tiba di Pulau Nangka, kira-kira jam 5 pagi. "Namun kira-kira jam 10 malam yang bot dinaiki terbalik dan disebabkan laut bergelora dan ombak kuat," katanya. Mereka adalah antara 13 anggota tentera berusia 19 hingga 23 tahun terdiri 11 pelatih komando serta dua jurulatih mereka yang dilaporkan hilang selepas bot jenis Assault yang mereka naiki dipukul ribut dan ombak ketika menyertai latihan mendayung dari pantai Kem Sungai Udang ke Pulau Nangka, malam Sabtu lalu. Kehilangan kumpulan itu disedari 32 anggota dan seorang pegawai yang turut sama menyertai latihan berkenaan menggunakan empat bot berlainan selepas mereka berjaya mendarat di Pulau Upeh, kira-kira jam 12.30 tengah malam hari kejadian. Bagaimanapun, selepas 28 jam hanyut di perairan Selat Melaka, semua mangsa berjaya tiba di pesisir pantai berhampiran Jeti Tanjung Beruas, Pantai Puteri di sini, kira-kira jam 12.50 tengah malam tadi. -Harian Metro |
Cilaka ... Angola tutup masjid bakar Al'Quran Posted: 09 Dec 2013 02:07 AM PST LUANDA - ANGOLA. Sebuah yayasan berpusat di Johannesburg berjaya membongkar perbuatan biadab kerajaan Angola yang menjadi negara pertama di dunia mengharamkan Islam. Menurut Pengarah Open Society Initiative of Southern Africa, (Osisa), Elias Isaac berkata, mereka menerima laporan kebanyakan masjid di negara itu kini diarah tutup atau dimusnahkan pihak tidak bertanggungjawab. "Terdapat 78 masjid di Angola dan hanya beberapa dibuka di ibu negara selepas kerajaan khuatir dengan respons masyarakat antarabangsa terhadap dasar Islamofobia yang dilaksanakan di negara tersebut," jelasnya lagi. Menurut beforeitsnews, , kerajaan Angola turut mengeluarkan notis dan memberi tempoh 73 jam kepada masyarakat Islam di negara itu untuk memusnahkan masjid dan mereka yang gagal berbuat demikian akan dikenakan tindakan. Sementara itu, Presiden Persatuan Orang Islam Angola (ICA), David Ja memberitahu, tindakan menutup masjid di negara tersebut dilakukan sejak 2010. "Selain menyasarkan masjid, kerajaan turut bertindak sewenang-wenangnya membakar 120 al-Quran dalam beberapa serbuan ke atas masjid yang dilakukan sejak akhir-akhir ini," menurutnya.-SINARHARIAN |
You are subscribed to email updates from Mimpi Senja To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan