Rabu, 11 Disember 2013

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Isu Rabecca - Erma Fatima : Kini Erma bayar guna duit RM1 pula

Posted: 10 Dec 2013 08:01 PM PST

  • Erma FatimaErma Fatima
 1 / 1 
KALI ini menggunakan wang berbentuk RM1 pula.  Drama bayar saman ke atas pelakon Rabecca Nur Islam (Becca) oleh pengarah drama Dejavu Di Kinabalu nampaknya tak ada kesudahan.

Sebelum ini Erma membayar wang tuntutan Becca yang berjumlah RM11, 200 menggunakan wang syiling 5 sen dan senaskhah al-Quran.

Becca yang tidak berpuas hati dengan bayaran mengunakan syiling 5 sen telah memulangkan duit itu.

Namun Erma nampaknya tidak mahu mengalah dalam isu ini membayar kembali kepada Becca dengan menggunakan wang RM1 pula.

Becca menerusi Instagram miliknya bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Erma.

"... tidak mengapa jika cara itu dapat boleh memuaskan si hati insan bernama Fatimah Rahmad.

"Terima kasih yang tak terhingga kepada Puan Fatimah Rahmad, ALLAH SWT sahaja yang dapat membalas kebaikan mahupun keburukan," tulis Becca di laman sosial miliknya.

Untuk rekod, saman itu adalah kerana kegagalan pihak produksi melunaskan baki bayaran untuk drama Dejavu Di Kinabalu yang dibintangi Becca.

Kes itu yang dibawa ke mahkamah kemudiannya memihak kepada Becca dan Erma diarah untuk membayar baku berjumlah RM11, 200.isu - Sinar Harian

BANJIR KINI : Mangsa banjir T’ganu meningkat, Pahang reda, Johor kekal

Posted: 10 Dec 2013 06:50 PM PST

           
Di KUALA TERENGGANU, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan meningkat kepada 14,643 orang berbanding 12,460 pada sebelah petang semalam.
           
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), ini susulan angka mangsa banjir meningkat di semua daerah semalam.
          
Di Dungun, jumlah mangsa meningkat kepada 2,789 orang (701 keluarga) malam tadi berbanding 317 orang (77 keluarga) petang semalam manakala di Kemaman meningkat kepada 10,894 (2,487 keluarga) daripada 10,849 orang (2,476 keluarga) sebelah petang.
           
Di Hulu Terengganu, jumlah mangsa banjir turut meningkat iaitu 790 orang (245 keluarga) berbanding 317 orang (77 keluarga), pada petang semalam manakala di Marang 21 orang (4 keluarga) berbanding 10 orang (3 keluarga) pada sebelah petang.

Dalam masa sama, Setiu pula dilanda gelombang banjir kedua apabila seramai 149 orang (43 keluarga) mangsa dari tiga buah kampung dipindahkan ke pusat pemindahan malam tadi.
   
Serentak itu, tiga buah pusat pemindahan telah dibuka di daerah Setiu iaitu di surau Kampung Bukit Nyior menempatkan 67 orang (16 keluarga), Masjid Kampung Merbau Menyusut 67 orang (23 keluarga) dan Surau Kampung Tok Nandong 15 orang (4 keluarga).
   
Sehingga pukul 9 malam tadi, bilangan keluarga yang berpindah adalah 14,643 dan 73 pusat pemindahan telah dibuka di Terengganu iaitu 17 di Dungun, Hulu Terengganu (20), Kemaman (31), Marang (dua) dan Setiu (tiga).
           
Pusat-pusat pemindahan tersebut terdiri daripada bangunan sekolah, masjid, surau, rumah saudara mara, balai raya, dewan orang ramai, pusat pertanian dan sebagainya.
           
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 6,048 berbanding 7,582 orang yang direkodkan petang semalam.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga 8 malam tadi, masih terdapat 1,473 keluarga yang ditempatkan di 88 pusat pemindahan dari 79 penempatan di lapan daerah yang terjejas banjir.
           
"Pekan, masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 3,273 orang di 37 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama di sini, semalam.
           
Di Kuantan, masih terdapat 1,082 orang yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan, Maran (727 orang di 14 pusat pemindahan), Temerloh (555 di 14 pusat), Bera (305 di tujuh pusat), Jerantut (57 di lima pusat), Rompin (33 di dua pusat) dan Lipis (16 di satu pusat).
           
Sementara itu, jalan utama di Km 14 Jalan Temerloh-Triang masih ditutup kepada semua kenderaan.
           
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di Segamat kekal seramai 266 orang daripada 63 keluarga dan ditempatkan di enam pusat pemindahan pada malam tadi.   
   
Menurut portal bencana MKN pada 9 malam, seramai 28 orang masih berada di Sekolah Kebangsaan Spang Loi, Balai Raya Gemereh IV (66 orang), Balai Raya Pogoh 2 (45 orang), Sekolah Agama Kampung Kuala Paya (26 orang), Balai Raya Kampung Tandong (85) dan Balai Raya Kampung Sanglang (16).
   
Mangsa terbabit masih tidak dapat pulang ke rumah masing-masing berikutan 'banjir termenung', keadaan di mana air banjir bertakung dan tidak dapat surut dengan cepat. - Bernama

Guan Eng Mohon Maaf Gelar Jahara 'Nenek'

Posted: 10 Dec 2013 06:27 PM PST


GEORGE TOWN: Ketua Menteri Lim Guan Eng pada Selasa memohon maaf kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid kerana memanggilnya "nenek".
Lim bagaimanapun menegaskan tidak menarik balik kenyataannya yang melabel Jahara sebagai rasis.
"Seandainya Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang terasa hati secara peribadi kerana saya memanggilnya seorang nenek yang rasis kerana ia terkait dengan gendernya, maka saya akan memanggilnya seorang rasis sahaja. Saya memohon maaf kerana menggunakan perkataan 'nenek'.
"Namun beliau tetap seorang yang rasis kerana memainkan api kebencian terhadap kaum dan agama melalui pembohongannya," katanya dalam kenyataan di sini.
Terdahulu dalam sidang media di sini, Jahara menyifatkan kenyataan Lim yang melabelnya 'racist grandmother' atau nenek rasis sebagai biadab dan mahu Ketua Menteri itu memohon maaf dengan serta-merta dalam persidangan DUN.
Lim dilapor melabel Jahara sebagai "nenek rasis" susulan dakwaan Ketua Pembangkang itu wujud pilih kasih dalam tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan terhadap peniaga Melayu dan Cina di Pantai Bersih, Butterworth. -BERNAMA

Amal kerana Allah' kunci kekuatan Unit Amal PAS

Posted: 10 Dec 2013 07:36 AM PST


KUALA LUMPUR: Moto 'Beramal Kerana Allah menjadi asas kekuatan anggota Jabatan Amal Malaysia di bawah Pemuda PAS Malaysia (PPM) untuk memberikan perkhidmatan apabila diperlukan.

Terkenal dengan gelaran 'tentera merah', anggota Unit Amal ini sering muncul menghulurkan bantuan kepada komuniti yang memerlukan disaat ditimpa musibah.


Kemunculan mereka membantu mangsa banjir di Johor, Pahang dan Terengganu ketika ini sekali lagi menjadi sebutan masyarakat khususnya mereka yang terlibat dengan banjir sendiri.

Ketua PPM, Suhaizan Kaiat berkata, anggota Unit Amal tidak pernah mengharapkan pujian masyarakat dalam setiap khidmat bantuan yang diberikan sebaliknya menghulurkan bantuan secara sukarela.

"Bukan pujian manusia yang kita cari. Bukan publisiti yang kita mahu. Bagi Unit Amal, niat kita membantu orang yang memerlukan dan semoga ia dikira sebagai amal ibadah.

"Usaha ini sangat murni dan bagi Pemuda PAS, memang kita tidak mampu balas dengan wang ringgit," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, sudah terbiasa dalam keadaan yang sentiasa bersedia, ada anggota Unit Amal yang rata-ratanya berkerja makan gaji, sanggup memohon cuti untuk turun membantu mangsa banjir tanpa diarahkan.

"Unit Amal bekerja secara sukarela, dari pagi sampai ke lewat malam dan kadang-kadang tanpa henti.

"Mereka mengagih sumbangan, tolong angkut barang dan jadi tukang masak, mengikut keperluan dan situasi.

"Tidur pula kadang-kadang dalam khemah, surau atau masjid," katanya.

Tambah beliau juga, kerja lebih berat menanti Unit Amal iaitu operasi pembersihan rumah mangsa banjir selepas banjir surut.

"Kerja paling berat adalah selepas banjir, iaitu kerja-kerja pembersihan. Kadang-kadang lumpur paras betis dalam rumah kena dicuci dan sudah tentu menggunakan tenaga yang banyak," katanya lagi.

Namun tegasnya, dalam kesibukan dan kepenatan membantu orang yang memerlukan, anggota Unit Amal tidak sesekali meninggalkan ibadah wajib di samping mengamalkan perkara-perkara sunat.

"Dalam sibuk tolong orang, solat zikir kita tak tinggal. Semua ibadah yang wajib kita laksanakan dan kita jaga betul-betul kerana itu kewajipan kita," katanya.

Justeru Suhaizan sangat berharap agar lebih ramai anak muda yang akan menyertai Unit Amal dan sanggup menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan balasan material.

"Pemuda PAS sangat mengalu-alukan orang ramai khususnya anak-anak muda yang masih kuat bertenaga untuk menyertai unit amal bagi memberi khidmat ketika diperlukan," katanya. - Detik Daily


Baca juga Unit Amal

Bila harimau ingatkan kambing bahaya serigala - Tn Guru Nik Aziz

Posted: 10 Dec 2013 01:40 AM PST

  • Nik Abdul Aziz NikNik Abdul Aziz Nik
 1 / 1 
SAYA terbaca kenyataan seorang pemimpin sebuah parti politik yang menyebut tentang Syiah. Katanya, ciri utama Syiah ialah menipu. 
Saya sekadar ingin memberikan respon ringkas sahaja. Jika ciri utama Syiah disebut oleh beliau sebagai menipu, maka nasionalis sekular pun tidak kurang menipu berbanding Syiah.
Tidakkah menipu namanya apabila menguar-uarkan kononnya berjuang untuk kepentingan agama namun di dalam masa yang sama bekerja untuk membelakangi syariat agama tersebut? 

Tidakkah menipu namanya apabila bermegah-megah dengan binaan masjid yang banyak dan indah tetapi tidak berusaha mendaulatkan hukum ALLAH SWT? 
Sedangkan ALLAH SWT yang disembah di dalam masjid itu ialah ALLAH yang sama yang berkuasa di luar masjid? Atau mereka menyembah tuhan yang berlainan di dalam dan di luar masjid?
Hakikatnya, nasionalis sekular lebih hebat menipu berbanding Syiah. 
Syiah ialah musuh yang sudah muncul sejak berbelas abad. Ciri-ciri akidah mereka telah ditulis dan diterangkan oleh para ulama Sunnah di dalam banyak penulisan. 
Tinggal lagi, menjadi peranan para ulama untuk memastikan umat Islam tidak terjebak dengan penyelewengan Syiah. Saya tidak menyatakan Syiah tidak bahaya, tetapi saya agak pelik apabila sang harimau tiba-tiba berlagak baik mengingatkan sekumpulan kambing tentang bahaya serigala. 
Baguslah kalau harimau tiba-tiba ingin menjadi baik, tetapi sekurang-kurangnya bersihkanlah taring dan kuku terlebih dahulu daripada daging mangsa.
Alasan untuk mengingatkan masyarakat tentang bahaya Syiah ialah agar umat Islam tidak berpecah belah. Saya sokong bahawa Syiah tidak wajar wujud di negara ini. 
Namun dengan meletakkan alasan agar umat Islam tidak berpecah belah menampakkan pemimpin berkenaan masih kabur dalam terang. Benarlah tanpa lampu suluhan akidah yang benar, meraba-rabalah dalam kegelapan sekalipun mata tidak buta.
Manusia hanya boleh bersatu dengan Islam. Bukan seruan kebangsaan yang boleh menyatukan manusia. 
Usahlah disebarkan khurafat moden bahawa merekalah satu-satunya tempat untuk Melayu bergantung. 
Sedarkah bahawa dahan yang didakwa kuat itu sedang mereput dimakan anai-anai? Di zaman Rasulullah SAW, bangsa Habsyah dan bangsa Parsi boleh tunduk di bawah naungan Islam dan bukannya seruan kebangsaan. Rasulullah SAW seorang yang berbangsa Arab tidak pernah sesekali menyeru kepada semangat kebangsaan. 
Bahkan sekalipun bangsa Arab seringkali mendakwa diri mereka sebagai bangsa yang mulia, ia tidak sekali-kali diungkapkan oleh baginda Rasulullah SAW. Inilah yang memikat bangsa lain untuk tunduk kepada Islam.
Jika nasionalis sekular itu benar-benar mahu masyarakat bersatu, campakkanlah ke laut ideologi kebangsaan yang tidak membawa apa-apa manfaat itu. 
Palsunya seruan yang dilaungkan sehingga bangsa pun tidak pernah dijaga. Kelantan menjadi bukti nyata. Negeri Melayu dipinggirkan dari pembangunan semata-mata kerana kerasukan politik sang harimau yang berpura-pura baik.
Justeru, janganlah mendabik dada diri sangat sebagai pembela Islam dengan menghentam Syiah. 
Masyarakat sudah bijak untuk menilai bahawa bukannya Syiah yang ingin diserang, tetapi parti lawan yang semakin mendapat sambutan. 
Jika benar ingin membasmi Syiah, lakukan sahaja tangkapan dan tidak perlu berdolak-dalik. Soalnya, bagaimana ingin membuat tangkapan sedangkan di dalam parti sendiri pun berselindung penganut ajaran sesat.
Saya tidak menamakan sesiapa di dalam tulisan ini. Alhamdulillah jika ia boleh difahami dengan baik.

Sekian, wassalam.

Yang benar,

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

Tiada ulasan: