Khamis, 5 Disember 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Tatkala Rakyat Pahang Bejuang Dengan Banjir, Najib Masih Sibuk Dengan Bangla Hentam Anwar

Posted: 05 Dec 2013 12:31 AM PST


Umno Lebih Pentingkan Persidangan Daripada Banjir

Bekas calon Ketua Pemuda Umno, Syed Rosli Syed Harman Jamalulail mendakwa Umno lebih mementingkan persidangan daripada menyelamatkan mangsa banjir di Pahang.

Katanya, Umno sepatutnya menangguhkan persidangan kerana keadaan banjir di Kuantan amat kritikal.

"Sepatutnya para pemimpin Umno semua berada di kawasan banjir membantu mangsa terutamanya di Pahang, Terengganu dan Kelantan," kata beliau kepada FMT.

Beliau bertanya di mana pemuda dan Kelab Putra Umno di saat saat mereka memerlukan bantuan di musim banjir ini.

"Saya hairan Datuk Aziz Rahim bersusah payah menghantar sukarelawan menyelamatkan mangsa taufan Haiyan di Filipina tetapi saya tak nampak pula mereka hantar sukarelawan Putra ke Pahang," katanya lagi.

Beliau juga menyentuh kritikan Khairy Jamaluddin terhadap TNB ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda Umno di persidangan pemuda Umno semalam.

"Saya hairan kabinet sudah bersetuju dengan cadangan menaikkan tarif elektrik kenapa pula Khairy bising di luar? Sepatutnya beliau membantah dalam mesyuarat kabinet," katanya.

Beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkaji semula kedudukan Khairy dalam kabinet kerana beliau tidak bersetuju dengan keputusan yang sudah dibuat oleh kabinet.

"Sebelum TNB buat keputusan, sudah tentu TNB mohon persetujuan kabinet terlebih dahulu. TNB bukannya buat pengumuman tanpa merujuk kepada kabinet," katanya.

Katanya lagi, adakah Khairy bermain sandiwara tidak bersetuju di luar sedangkan ia adalah keputusan kabinet.

"Kalau tak puas hati, pemuda Umno sepatutnya menghantar memorandum kepada TNB," katanya.

Syed Rosli menambah dalam ucapan dasarnya juga Khairy menyentuh pemilihan PAS yang dikatakan kelam kabut.

"Bagi saya, pemilihan pemuda Umno pun kelam kabut. Keputusan pemilihan majlis tertinggi Umno, urusetia mengumumkan undi popular yang dipungut oleh calon-calon majlis tertinggi tetapi dalam pemilihan pemuda, semua calon ketua, naib ketua dan exco tidak tahu jumlah undi popular yang dipungut mereka," dakwanya lagi.

Beliau sendiri tidak tahu berapa undi yang diperolehinya ketika menentang Khairy pada 12 Oktober lalu dalam pertandingan lima penjuru yang turut disertai Akramsyah Ubaidah Sanusi, Irwan Ambak dan Karim Ali. -FMT


Selepas 48 jam, baru Najib terbang ke Kuantan


Selepas 48 jam bencana banjir terburuk melanda Kuantan dan beberapa daerah di negeri kelahirannya Pahang, baharulah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu melakukan tinjauan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dilapor meninggalkan persidangan Perhimpunan Agung Umno 2013 untuk meninjau keadaan di sana.

Di dalam tweet terbaharunya beliau memberitahu akan ke Pekan, Rompin dan Kuantan untuk 'menjenguk' keadaan banjir di sana.

Najib dilapor berlepas dari Subang pada pukul 12 tengah hari dan akan menziarahi keluarga Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Pekan Jamali Jani yang dipercayai hilang dalam banjir di Kuantan malam tadi.

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Pahang sehingga pagi tadi mencecah 38,323 orang daripada 9,153 keluarga.

Banjir semakin buruk di Pahang dan negeri-negeri pantai timur dengan jumlah yang dipindahkan ke pusat pemindahan semakin meningkat.

Semalam di Dewan Rakyat usul tergempar berkaitan bencana banjir di Kuantan yang dibawa Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Kekecohan berlaku apabila Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin mempersoalkan kewajaran usul itu dan menggesa Fuziah pulang ke Kuantan untuk membantu mangsa banjir.

Fuziah mengemukakan usul tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) tetapi ditolak Speaker atas alasan teknikal.

"Saya mendapat panggilan bertalu-talu daripada rakyat di Kuantan meminta bantuan segera jam tiga pagi tadi. Saya telefon Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk hantar bantuan makanan dan keperluan tetapi ia tidak berhasil," katanya di dalam dewan.

Atas permintaan Speaker, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim bangun menjelaskan bahawa kerajaan sudah menghantar bantuan makanan dan keperluan kepada mangsa banjir yang terkepung di Kuantan.

Dalam sidang media selepas itu, Fuziah memaklumkan mangsa banjir di kawasannya sejak jam 3 pagi tadi tidak mendapat sebarang bantuan malahan ada yang terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung rumah.

"Mereka terputus hubungan, elektrik diputuskan. Keadaan semakin parah ada yang terpaksa harungi air paras leher mencari tempat perlindungan.

"Bot tidak ada pasukan penyelamat tidak sampai, ada yang tidak menjamah makanan sejak jam 4 petang semalam. Mereka yang menjadi mangsa ibu bersalin, orang tua uzur, kanak-kanak yang berkhatan, dan macam-macam lagi," katanya.

Fuziah juga kesal kerana kerajaan tidak bersedia sebarang kemungkinan yang berlaku memandangkan berdasarkan rekod sebelum ini Kuantan selalu ditenggelami air apabila tiba musim tengkujuh.

"Tiap-tiap tahun di Kuantan ada rekod sepatutnya kerajaan bersedia dengan tilam, biskut, susu anak, air minuman dan pampers serta sanitary. Seharusnya benda-benda ini sudah ada," katanya.

Beliau juga kecewa apabila Majlis Keselamatan Negara tidak pernah menjemput beliau untuk mengadakan perbincangan berhubung masalah banjir di kawasannya.

"Pegawai kerajaan yang terlibat tidak mahu berjumpa dengan kita. Dan saya percaya ini sebagai politik dendam bagi memberi gambaran rakyat bahawa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak buat kerja," katanya.

Najib tunjuk video Anwar isu pengundi Bangladesh


Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak semasa ucapannya di Perhimpunan Agung Umno hari ini menayangkan sedutan video yang didakwa menunjukkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berbohong dalam isu pengundi hantu semasa pilihan raya umum Mei lalu.

Najib menampilkan video berkenaan untuk mengukuhkan dakwaannya bahawa Anwar berbohong apabila menyatakan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung 40,000 warga Bangladesh yang didakwa mengundi dalam pilihan raya umum itu.

Kemunculan semula bekas Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam bentuk video di perhimpunan agung parti tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur disambut dengan sorakan oleh para perwakilan.

Sedutan video yang ditayangkan ke skrin besar di Dewan Merdeka, itu turut diselitkan dalam siaran langsung ucapan Najib melalui televisyen.

"Saya timbulkan perkara ini kerana semasa kempen pilihan raya yang lalu, tak henti-henti pihak pembangkang mencanang di sana sini kononnya kerajaan telah membawa masuk lebih 40,000 orang warga Bangladesh sebagai pengundi Umno dan BN.

"Perkara ini tampaknya kita tak dapat bendung-bendung lagi untuk dirungkaikan misterinya," katanya sejurus sebelum video tersebut dikeudara.

Klip video sepanjang kira-kira satu minit itu menampilkan beberapa ceramah, sidang media dan wawancara bersama Anwar berhubung isu pengundi asing.

Najib mendakwa, video berkenaan menunjukkan bahawa Anwar dan pengikutnya hanya pandai berbohong.

"Lantaran, semasa lawatan rasmi saya ke Dhaka, Bangladesh, baru-baru ini, saya terpanggil untuk mengucapkan orang Bangladesh panggil, 'Dhonnobad' yakni terima kasih dalam bahasa Bengali kepada Perdana Menterinya Sheikh Hasina, kerana telah membantu menyedia sekian banyak rakyatnya sebagai pengundi seperti dimomokkan oleh pembangkang," katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung penayangan video klip tersebut, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin membidas Anwar yang mendakwa tidak pernah menyebut perkara itu sebelum ini.

"Beliau sebut banyak kali. Sebut dengan jelas. Dalam perkara itu Anwar berbohong. Dia sebut 'Bangla'.

"Dia sebut dalam ceramahnya," katanya selepas mendengar ucapan dasar presiden di Dewan Merdeka PWTC pagi ini.
-mk


-HD


Air Paras Bumbung, Pusat Pemindahan Banjir Pun Dinaiki Air

Posted: 04 Dec 2013 11:31 PM PST

Kampung Bukit Rangin yang tenggelam di paras bumbung

Kuantan: Mangsa banjir di Pahang setakat jam 8 pagi tadi mencatatkan jumlah keseluruhan seramai 30,307 orang.

Daerah Kuantan masih mencatatkan jumlah pemindahan mangsa banjir tertinggi iaitu 22, 291 orang yang ditempatkan di 48 pusat pemindahan.

Di Rompin, sejumlah 4,289 mangsa banjir ditempatkan di 15 pusat pemindahan, membabitkan seribu 1,135 buah keluarga.

Manakala di Pekan seramai 3,037 mangsa banjir, masih ditempatkan di 11 pusat pemindahan membabitkan 1,660 buah keluarga.

Sementara itu di Maran mangsa yang terjejas banjir ialah 637 orang yang ditempatkan di enam buah pusat pemindahan membabitkan 1,145 buah keluarga.

Di Jerantut pula, seramai 25 orang mangsa, daripada dua buah keluarga, ditempatkan di dua buah pusat pemindahan.

Sementara itu di Lipis mangsa yang terjejas banjir ialah 21 orang yang ditempatkan di dua buah pusat pemindahan membabitkan 1,004 buah keluarga.

Sementara itu di Temerloh mangsa yang terjejas banjir ialah tujuh orang yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan membabitkan 1,001 buah keluarga.

Jalan-jalan yang ditutup kepada semua jenis kenderaan ialah:

1. KM 28 Kuantan-Sg Lembing
2. KM 36 Jalan Gambang berhampiran Gambang Resort
3. Bt 3 Jalan Gambang (depan Giant)
4. Lampu trafik Bukit Rangin Kuantan
5. Lampu trafik Shah Putra Kuantan

Banjir di Kuantan: Ibu bapa ikat perut demi anak-anak

KUALA LUMPUR: "Ibu bapa terpaksa ikat perut bagi memberi makanan lebih kepada anak-anak".

Itulah gambaran yang diberi oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Kuantan, Datuk Abdul Manan Ismail susulan kejadian banjir teruk yang melanda Kuantan beberapa hari lalu.

Menurut beliau, simpanan makanan untuk diberikan kepada mangsa banjir memang sudah sedia ada.

Walaubagaimanapun, dengan keadaan banjir yang tidak diduga ini, stok-stok ini tidak mencukupi untuk menampung semua permintaan.

"Keadaan semakin teruk pagi ini dan setiap pusat pemindahan dipenuhi mangsa banjir sehingga beribu orang. Sebagai contoh di Bukit Rangin serta kawasan Pandan terdapat seramai 1,500 mangsa banjir masing-masing.

"Keadaan ini tidak kami jangka. Ini menyebabkan bekalan makanan, selimut dan tilam yang ada tidak mencukupi. Makanan memang tidak mencukupi dan kami kini sedang berusaha untuk mendapatkan lebih banyak bekalan makanan untuk semua mangsa banjir," kata Abdul Manan.

Beliau menambah, air pasang dijangka berlaku pada malam ini dan jika ini terjadi, keadaan mungkin akan kembali teruk seperti awal pagi tadi.

"Air yang naik sekarang ini hanya surut sedikit sahaja berbanding pagi tadi. Jika terjadi air pasang besar malam ini, ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari untuk surut," tambah beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, operasi menyelamat masih diteruskan disamping memastikan makanan serta keperluan lain dapat dibekalkan secepat mungkin kepada mangsa-mangsa banjir.

"Terlalu ramai yang terpaksa di pindahkan. Beberapa pusat pemindahan ada yang mencecah kepada 3,000-4,000 orang. Keadaan agak kucar-kacir dan jika ada air pasang malam ini, pemindahan kali kedua terpaksa dilakukan.

"Saya harap orang ramai beri kerjasama. Ada yang degil tidak mahu berpindah walaupun rumah sudah dimasuki air. Keutamaan kami adalah untuk memastikan semua mangsa selamat dan mendapat segala jenis bantuan yang cukup," tambah Fuziah.

Beliau turut menyeru kepada orang ramai agar membuat aduan terus kepada beliau jika terdapat kekurangan makanan atau bantuan agar aduan tersebut dapat terus dimaklumkan kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
-astroawani


Kuantan banjir.. yang mana terjejas pindah ke pusat perpindahan.. Air makin naik. Pusat pemundahan pun dah naik air

Tolak Usul Darurat, UMNO BN Tidak Perihatin Masalah Rakyat Hadapi Banjir

Posted: 04 Dec 2013 07:50 PM PST


Ahli Parlimen Kuantan kesal isu banjir dipandang remeh

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh kesal usul tergemparnya berhubung pengisytiharan darurat di beberapa kawasan yang terbabit dalam banjir di Pahang ditolak sidang Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau yang ditemui pada sidang media di lobi Parlimen berkata usul itu ditolak Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana memerlukan notis selama dua hari secara bertulis.

Fuziah berkata, perkara yang disifatkan sebagai kecemasan harus dipertimbangkan Speaker terutama apabila membabitkan nyawa rakyat.

"Saya tidak dapat menyiapkan teks atau notis kerana mendapat banyak aduan sejak awal pagi daripada penduduk terutama di Kuantan, Indera Mahkota dan Paya Besar yang kini berhadapan banjir teruk, yang mana kebanyakan kawasan ini terputus bekalan elektrik dan air.

"Mereka juga tidak dibekalkan makanan dam pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tidak dapat dihubungi untuk memohon bantuan," katanya.

Fuziah turut melahirkan kekesalannya terhadap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang mempersendakannya dan tidak prihatin terhadap kesengsaraan rakyat yang berdepan bencana banjir.

Katanya, kerajaan pusat juga lambat menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dan hanya mula mengarahkan pihak berkuasa untuk memulakan kerja menyelamat apabila usul itu dibentangkan.

"Saya kesal dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang kata saya tidak prihatin dengan rakyat kerana meninggalkan kawasan dalam keadaan sekarang. Saya ingin tekankan bahawa kedatangan saya ke sini adalah untuk menggesa kerajaan pusat supaya segera menghulurkan bantuan.

"Malam tadi berlaku banjir, tapi hari ini baru ingin mengarahkan pihak berwajib turun memberi bantuan," katanya.

Keadaan banjir di Pahang kini semakin buruk dan ramai mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan di negeri itu. -selangorkini

Bandar Kuantan lumpuh, Dewan Rakyat tolak usul darurat

Sidang Dewan Rakyat hari ini menolak usul Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (gambar) untuk mengisytiharkan darurat bagi kawasan yang terlibat dalam banjir walaupun beberapa bandar di Pahang dan Terengganu termasuk Kuantan, Indera Mahkota dan Paya Besar di Pahang serta Kemaman di Terengganu hampir lumpur.

Speaker, Tan Sri Pandikar Aman Mulia, berkata usul tersebut ditolak kerana memerlukan notis selama dua hari secara bertulis.

Fuziah yang mempertahankan tindakannya itu berkata, apa yang diusulkan adalah perkara kecemasan dan Speaker boleh mempertimbang untuk mengenepikan peraturan kerana ia melibatkan nyawa rakyat.

"Saya tahu memang dalam peraturan memerlukan notis selama dua hari tapi Tuan Speaker ini soal kecemasan yang berlaku semalam, tidak mungkin perlukan notis dua hari, kalau macam itu orang mati dah," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim akhirnya bangun memberi penjelasan bahawan bantuan kini digerakkan dengan menghantar pasukan penyelamat termasuk tentera.

Sementara itu, Bernama melaporkan keadaan banjir di Pahang kini semakin buruk dan semakin banyak mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan di negeri ini.

Bandar Kuantan kini hampir lumpuh apabila kebanyakan kawasan terputus bekalan elektrik dan air, selain jalan raya di sekitar bandar dinaiki air sehingga melebihi 1 meter akibat hujan tidak berhenti hingga hari ini.

Beberapa kawasan perkampungan dan perumahan di sekitar Kuantan turut terputus bekalan elektrik dan air, selain dinaiki air sehingga melebihi dua meter.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, sehingga jam 11 pagi tadi, sebanyak 11,721 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan banjir di daerah Kuantan, Rompin, Pekan, Maran dan Jerantut.

"Di Kuantan, sebanyak 4,148 mangsa banjir ditempatkan di 33 pusat pemindahan, Rompin (3,615 mangsa di 10 pusat pemindahan), Pekan (2,716 mangsa di 9 pusat pemindahan), Maran (1,179 mangsa di sembilan pusat pemindahan) dan Jerantut (63 mangsa di sebuah pusat pemindahan).

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan premis perniagaan, swasta dan institusi kewangan di bandar Kuantan tidak beroperasi berikutan bekalan elektrik terputus.

Pengamal media di Pahang turut menghadapi kesulitan untuk beroperasi bagi melaporkan situasi banjir terkini di Pahang.

Penduduk di kawasan rendah dan kawasan perumahan di sekitar Kuantan diarah bersiap sedia berpindah berikutan hujan masih berterusan dan dijangka berlaku air pasang dari laut dan bertembung dengan air Sungai Kuantan serta Sungai Lembing pada malam ini.

Beberapa pusat pemindahan juga mengalami masalah bekalan makanan dan keperluan asas berikutan kawasan penempatan mangsa banjir tidak dapat dihubungi menerusi jalan darat.

Sementara itu, pelbagai pihak khasnya kerajaan, parti politik dan pertubuhan sukarela menubuhkan bilik gerakan bagi membantu mangsa banjir.

Pemuda PAS turut menubuhkan bilik gerakan di samping Unit Amalnya diarahkan bergerak bagi membantu mangsa.

Ketua Pemudanya, Suhaizan Kaiat dalam kenyataannya berkata, mereka melantik Ketua Bilik Gerakan Banjir DPPM, Yusapiza Ya'acob dan boleh dihubungi di 017 2692944
-TMI



Kajian: 68% Rakyat Mesir Ingin Mursi Kembali Jadi Presiden

Posted: 04 Dec 2013 03:45 PM PST


Satu kajiselidik yang dilakukan Pusat Studi Media dan Pendapat Umum "Takamul Misr" menunjukkan penemuan bahawa 68% rakyat Mesir menginginkan Presiden Mursi kembali menjadi presiden. Sedangkan yang mendukung penggulingannya hanya 18%, demikian portal dakwatuna.com dipetik.

Kajiselidik ini dilakukan pada tanggal 23 November yang lalu, melalui kajian lapangan, dengan darjah ketepatan 95%.

Survey ini menunjukkan bahwa jumlah pendukung Presiden Mursi boleh dikatakan stabil, iaitu 68%. Sedangkan jumlah pendukung kudeta mengalami penurunan yang tajam hingga 28% sehingga menjadi 18% saja. Ada juga kelompok yang menentang kudeta dan juga menentang Presiden Mursi dengan peratusan 12% saja.

Takamul juga melakukan kajian lapangan di Bundaran Tahrir dan sekitarnya. Hasilnya, tidak benar dakwaan bahawa jumlah demonstran yang mendukung turunnya Presiden Mursi pada tanggal 30 Jun yang lalu mencapai 33 juta orang. Demonstrasi yang hanya berlangsung selama 6 jam itu hanya diikuti oleh 5.5 juta orang saja. Sedangkan jumlah para pendukung Presiden Mursi, di Kaherah dan provinsi-provinsi lainnya selama berbulan-bulan mencapai jumlah jumlah 26 juta orang.

Tiada ulasan: