Ahad, 15 Disember 2013

edyesdotcom

edyesdotcom


Ops Bersih Banjir SAMM-Masgenuine Dilancarkan

Posted: 15 Dec 2013 01:36 AM PST

Laporan Media
13 Disember 2013

Ops Bersih Banjir SAMM-Masgenuine Dilancarkan

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) meneruskan lagi aksi kemanusiaan terhadap mangsa bencana banjir di Pantai Timur dengan satu operasi besar-besaran. Operasi yang dinamakan Ops Bersih Banjir SAMM-Masgenuine adalah hasil kerjasama antara SAMM dan sebuah syarikat hartanah bumiputra Masgenuine I Berhad. 

Misi kemanusiaan yang dilancarkan oleh Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail adalah siri ke-enam gerak kerja SAMM dan merupakan operasi terbesar setakat ini untuk meringankan beban mangsa banjir khususnya di Pahang, sejak awal bulan ini. 

Penyelaras operasi, Md Sani Md Shah menyatakan bahawa misi bantuan kali ini yang membabitkan satu konvoi kira-kira 50 anggota SAMM daripada seluruh pelusuk negara untuk melaksanakan kerja pembersihan di kawasan rumah selain penyerahan bantuan berbentuk barangan keperluan. Keperluan asas seperti makanan, minuman, lampin pakai buang, baju terpakai dan alatan persekolahan akan diagihkan secara terus kepada mangsa dalam aksi dari rumah ke rumah bagi memastikan bantuan diterima secara adil dan lebih cepat. 

Kebanyakan barangan yang dibawa ke pantai timur adalah sumbangan orang ramai dan misi kemanusiaan ini akan diteruskan pada masa akan datang bergantung kepada keperluan penduduk di sana. Ia ekoran usaha dari lima siri bantuan kemanusiaan yang dikelola SAMM sebelum ini mendapat perhatian daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai yang menghubungi SAMM untuk menyalurkan bantuan.

Konvoi SAMM berlepas ke Pantai Timur dari lokasi yang sama di Selayang sekitar jam 9 malam ini dan akan berkampung di Kuantan selama tiga hari membuat bakti sehingga hari Ahad. 

Selain YB Rodziah Ismail, turut hadir dalam majlis yang sama adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Gan Pei Nei, juga wakil ADUN Kuang Hjh Salasiah yang juga penyelaras DUN Kuang, che'GuBard selaku Pengasas SAMM dan seorang wakil dari syarikat Masgenuine I Berhad.

Misi bantuan yang mendapat sokongan padu daripada kerajaan Selangor ini juga turut disertai syarikat pemaju perumahan hartanah, Masgenuine Alliance Holdings Sdn Bhd yang membenarkan 
3 pejabat operasinya menjadi pusat pengumpulan malah syarikat Masgenuine turut menggunakan jaringan perniagaannya bagi menjayakan usaha mengumpul 3 tan barang makanan, peralatan pembersihan dan lain-lainSAMM turut mengucapkan tahniah di atas penglibatan badan swasta dan berharap lebih banyak syarikat tampil membuat sumbangan.

SAMM turut merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Selangor khususnya Yb rodziah yang turut menghulurkan wang tunai bagi membeli barangan keperluan tambahan. Sesungguhnya usaha berjimat cermat dan pengurusan berhemah Kerajaan Selangor bukan sekadar dirasai oleh rakyat Selangor tetapi juga mereka yang memerlukan di luar negeri selangor seperti mangsa banjir di pantai timur. 

Walaupun telah banyak usaha dari pelbagai pihak untuk membantu warga pantai timur yang ditimpa bencana banjir, namun SAMM percaya ia jauh dari mencukupi kerana bencana kali ini melibatkan hampir ratusan ribu mangsa secara keseluruhannya. Bantuan yang pantas sampai ke lapangan adalah sangat dialu-alukan berbanding barangan bantuan yang 'dicop' dengan jenama kepartian sebelum dihantar kepada mangsa. Sesungguhnya menyampaikan bantuan ini bukanlah satu kempen merebut populariti.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tiada ulasan: