Khamis, 26 Disember 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


MB Kelantan SOKONG TURUN 31 Disember

Posted: 26 Dec 2013 05:04 AM PST



[SH] SHAH ALAM - Susulan kecoh isu wujudnya himpunan guling kerajaan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob menyatakan himpunan tersebut tidak wujud sebaliknya hanya gerakan NGO untuk mendesak pemerintah mendengar rintihan rakyat.

Menurut beliau yang dipetik dalam akaun Facebooknya, Ahmad berkata, beliau akan sentiasa bersama Pas serta rakyat menjayakan program Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), yang akan diadakan hujung bulan ini.

"Turun ialah gerakan rakyat. Ia hasil daripada denyut nadi rakyat yang mengeluh sekian lama akibat kenaikan pelbagai harga barangan dan perkhidmatan kerana salah urus BN.

"Saya sepenuhnya bersama kepimpinan Pas tentunya sentiasa bersama-sama gerakan rakyat untuk terus mendesak kerajaan Malaysia mendengar suara rintihan hari rakyat.

"Jika ada yang berkata bahawa ia bertujuan untuk menggulingkan kerajaan, saya kira ia hanyalah omongan palsu semata-mata kerana takut akan bayang-bayang sendiri," tulisnya, semalam.

Sebelum ini, mengikut laporan media beberapa pihak telah membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasat penyebaran hasutan mengajak orang ramai menyertai satu perhimpunan haram di Dataran Merdeka pada malam 31 Disember ini.

Antaranya ialah NGO Persatuan Muka Buku Pulau Pinang yang turut menganggap perkara itu satu isu serius dan perlu ditangani dengan tegas.

Hasutan itu dikesan menerusi laman sosial Facebook yang menggunakan nama 'Rejimen Anarki', mengajak orang ramai menyertai 'Himpunan Guling Kerajaan', kata Presidennya Salleh Ismail kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Lebuh Pantai di Georgetown.

Katanya hasutan yang berbau ugutan "SAPA HALANG, KAMI LANGGAR...INI PROTES RAKYAT SAPA HALANG KAMI LAWAN" itu dimuat naik oleh pengendali akaun Facebook tersebut pada 18 Disember lalu. 

Sehubungan itu, Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan itu turut menyatakan desakan berterusan yang dilakukan rakyat itu akan mencapai matlamat.

"Insha-ALLAH dengan desakan berterusan daripada rakyat, saya optimis gerakan ini akan berjaya mencapai matlamatnya," katanya lagi. -26/12/13



Dua Adun BN Bakal Hilang Kerusi, Langgar Artikel 30 Perlembagaan Perak?

Posted: 26 Dec 2013 02:52 AM PST



[KD] IPOH 26 DIS: Dua Adun BN Perak bakal kehilangan kerusi kerana melanggar artikel 30 perlembagaan negeri Perak berikutan saman dikemukakan calon Pas, Jamil Dzulkarnain dan Misbahul Munir Masduki.

Saman difailkan Jamil Dzulkarnain terhadap Adun Manong, Mohamed Kamil Shafie, sementara satu lagi difailkan Misbahul Munir Masduki terhadap Adun Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Kedua Adun BN itu tidak menjadi penduduk negeri Perak semasa hari pengundian, seperti ditetapkan didalam artikel tersebut.

"Mereka menetap di Lembah Klang dan pemilihan mereka sebagai Adun bertentangan dengan Perlembagaan," kata Robin Lim salah seorang peguam mewakili plaintif dalam kes tersebut.

Dalam tuntutan saman tersebut Jamil dan Misbahul Munir menyatakan, perkara itu dapat disahkan melalui alamat yang tertera di MyKad mereka yang mengesahkan bahawa mereka berdua bukan penduduk tetap negeri tersebut.

Melalui saman tersebut, Jamil dan Munir mahu mahkamah mengisytiharkan kedua-dua Adun tersebut digugurkan daripada jawatannya sebagai wakil rakyat serta menghalang Adun berkenaan menghadiri mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari ketika dihubungi menyatakan, jika permohonan kedua-dua pemohon tersebut dipersetujui oleh mahkamah, maka kemenangan kedua-dua Adun tersebut akan terbatal dan pilihan raya semula perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. -26/12/13



[PANAS] Kadar Simpanan Asas KWSP Dirombak, RM196,800 Menjelang 55 Tahun

Posted: 26 Dec 2013 02:49 AM PST


Kadar Simpanan Asas KWSP Dirombak Januari Ini

[Bernama] KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengingatkan ahlinya berhubung kuantum baharu Simpanan Asas, yang menetapkan RM196,800 sebagai amaun minimum ahli yang perlu ada dalam akaun KWSP mereka menjelang umur 55 tahun, berkuat kuasa bulan depan. 

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata kadar baharu itu ditanda aras dengan pencen minimum pekerja sektor awam, yang bersamaan RM820 sebulan untuk tempoh 20 tahun dari umur 55 hingga 75 tahun.

Beliau berkata ia akan disemak setiap tiga tahun berdasarkan kepada keperluan persaraan, kadar inflasi dan kos hidup.

"Dengan mengambil kira faktor kos hidup yang semakin meningkat, jangka hayat rakyat Malaysia yang panjang serta kadar inflasi, KWSP telah membuat keputusan meningkatkan Simpanan Asas untuk memastikan 13 juta ahlinya mempunyai tahap simpanan yang mencukupi bagi menikmati persaraan yang mampan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Affendi berkata Simpanan Asas semasa ialah RM120,000 pada umur 55 (RM500 sebulan bagi tempoh 20 tahun) mungkin tidak mencukupi bagi menampung persaraan ahli kerana berada di bawah garis kemiskinan.

Selain itu, katanya, statistik KWSP menunjukkan 71 peratus ahli bersara pada umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dalam akaun KWSP mereka.

Nik Affendi berkata kadar yang disemak semula ini memerlukan ahli mempunyai simpanan yang lebih tinggi dalam akaun KWSP bagi membolehkan mereka layak menyertai Skim Pelaburan Ahli KWSP di mana simpanan mereka boleh dilaburkan dalam unit amanah.

"Ini untuk memastikan ahli mempunyai simpanan yang mencukupi dalam akaun KWSP apabila mereka bersara bagi membiayai keperluan asas persaraan sebelum boleh memilih untuk melabur dalam pelaburan lain," katanya.

Beliau berkata antara inisiatif yang diperkenal KWSP untuk mempertingkat simpanan persaraan ahli ialah kadar caruman majikan sebanyak 13 peratus untuk pekerja yang bergaji RM5,000 dan ke bawah.

"Selain itu, kadar caruman penuh KWSP untuk pekerja sehingga umur 60 tahun dan Pengeluaran Fleksibel Umur 55 tahun yang membenarkan ahli untuk memanjangkan simpanan KWSP mereka bagi tempoh yang lama," katanya.

Bagi membantu ahli merancang persaraan mereka, Nik Affendi berkata KWSP akan memperkenal perkhidmatan penasihat kewangan kepada ahli mulai tahun depan dengan projek perintis di Lembah Klang sebelum diperluas ke seluruh negara dalam tempoh tiga tahun. - 26/12/13



Tiada ulasan: