DIALOG RAKYAT |
- PAU 2013: Antara Cinta dan Jasa
- Alahai Zahid Hamidi...
- Kalau betul kagumi Mandela, tinggalkan amalan perkauman
- ADUN DAP Mentakab turun padang beri bantuan, santuni mangsa banjir
- Bina homestay, hotel haram
- Kecewa Razman dilantik Pesuruhjaya Pas Perak?
- Banjir: TNB bekalkan 60 set janakuasa
- 'Isu Mat Sabu, Pas tak terlibat'
- Pelumba negara terlibat kemalangan
- Tanah depan rumah dibawa arus deras
- Zairil: Jangan pertikai lantikan saya
- Mustahil “Tsunami Melayu” berlaku, kata Tengku Adnan
- Beberapa menteri harus dibuang dan diganti dengan Rosmah, kata wartawan veteran
- Utusan Malaysia beri amaran kepada Umno tentang “Tsunami Melayu”
- PAU semakin hambar
- Nak bina candi, kena minta kelulusan kerajaan negeri, kata Mukhriz
- Jambatan Malaysia-Brunei pemangkin sosio ekonomi penduduk
- Pemimpin Umno gagal bangkit isu semasa, gelapkan masa depan Melayu
- Mangsa banjir Terengganu terus meningkat
- Semua kawasan perlu wujud Rukun Tetangga bagi atasi isu jenayah
- Banjir: 25 lori, kontena Amal S'gor berlepas pagi ini
- Tuduh Syiah Tanpa Bukti, Mat Sabu Patut Saman Zahid Hamidi
- Naib presiden Umno keturunan Jawa yang angkuh
- Kerajaan bertegas teruskan PPPM
- PBS perlu dimansuhkan serta-merta sebelum terlewat
PAU 2013: Antara Cinta dan Jasa Posted: 08 Dec 2013 04:14 AM PST A Kadir JasinDALAM banyak-banyak tajuk berita media arus perdana dan media baru mengenai Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang berakhir semalam, satu yang menjadi bahan perbualan adalah puji-pujian yang Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak curahkan kepada isterinya, Rosmah Mansor. Berucap menggulung perbahasan pada 7 Disember, Mohd Najib memuji Rosmah kerana jasanya kepada negara (baca di sini). Dia menyebut dua peristiwa di mana Rosmah membantu negara. Pertama, menolong membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Mesir kerana disyaki pengintip. Kedua menggunakan hubungan baiknya dengan keluarga di raja Arab Saudi bagi membenarkan pelajar Malaysia yang lari daripada pemberontakan Mesir untuk masuk ke negara tanpa visa. Berpandukan maklumat Mohd Najib itu, eloklah beliau menimbang semula kedudukan Menteri Luar Negeri, Anifah Aman, kerana ternyata beliau tidak seberkesan Rosmah dalam menyelesaikan krisis antarabangsa. Begitu juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian, Mustapa Mohamed, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia Rohani Abdul Karim dan Menteri Pelajaran, Muhyiddin Mohd Yassin, kerana Rosmah juga terlibat di sana sini dalam tugas-tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh menteri-menteri berkenaan. Dengan cara ini kita boleh menggugurkan menteri-menteri yang tidak "perform" dan sekali gus menjimatkan perbelanjaan negara dengan mengurangkan bilangan kementerian. Saya dah berbuih mulut macam lembu kena penyakit kuku dan mulut mencadangkan agar Rosmah masuk politik, dilantik jadi menteri. Malah Perdana Menteri jika mendapat kepercayaan rakyat jelata.
Apabila ini dilakukan, tidak ada siapa boleh membantah campur tangan beliau atau menuduh suami beliau dan Kabinet menyalahgunakan kuasa dengan membenarkan beliau menggunakan kemudahan kerajaan. Jawatan yang sesuai bagi belia ialah Menteri Tugas-Tugas Khas. Tetapi saya sangat kecil hati dengan salah seorang penyokong PM yang menuduh semua lelaki, kecuali Mohd Najib, tidak sayangkan bini. Saya bantah sekeras-kerasnya tuduhan beliau itu. Media massa melaporkan wakil Wilayah Persekutuan, Affandi Zahari sebagai berkata bahawa isteri Perdana Menteri elok dibenarkan menggunakan jet eksekutif kerajaan demi memberi ketenangan kepada suaminya. "Bolehkah anda bayangkan tekanan emosi yang Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak akan tanggung sekiranya sesuatu yang buruk berlaku kepada isterinya ketika terbang dengan pesawat komersial?" kata beliau. Menurut laporan, Affandi berhujah sedemikian bagi mempertahankan Rosmah yang dikritik kerana menggunakan jet eksekutif kerajaan untuk perjalanannya. Kata Affandi, kalau Rosmah berada dalam jet eksekutif, Mohd Najib tidak perlu bimbang keselamatannya dan menambah yang orang bodoh pun tahu terbang dengan jet eksekutif lebih mahal daripada terbang dengan jet komersial, tetapi kita kena lihat daripada aspek keselamatan. "Bayangkan tekanan emosi ke atas PM jika sesuatu (yang buruk) kepada isterinya. "Dia sayangkan isterinya, tidak seperti lelaki-lelaki lain." (Baca di sini). Tidak mengapalah kalau Affandi hendak pertahankan Mohd Najib dan Rosmah. Itulah pun tugas pembahas PAU. Tetapi kalau benar dia mengatakan lelaki-lelaki lain tidak sayang (love) isteri, saya rasa itu satu cemuhan dan penghinaan yang sangat dahsyat. Takkan lah Osman Koping (tu bulan tu bintang, atas pokok kayu ara, tu dia sudah datang orang korporat kampung kita – seloka Johan Jaaffar) tak "love" bini? Cuma sebagai penggali kubur (yang mengaku ahli korporat) tentulah Osman Koping tidak mampu membayar isterinya terbang dengan jet eksekutif tidak kira sehebat mana "love" beliau kepada isterinya. Nenek moyang kita yang bijaksana dan budiman mengingatkan kita tentang sokong yang membawa rebah. Wallahuaklam. | ||
Posted: 08 Dec 2013 03:51 AM PST shahbudindotcomZahid Hamidi telah berbuat sesuatu yang luar biasa dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Beliau telah menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Dalam Negeri untuk mengarahkan rakan sejawatannya dalam kabinet, Jamil Khir Baharom untuk menahan orang nombor dua dalam Pas, Mohamad Sabu kerana dipercayai mengamalkan fahaman Syiah. Walaupun tidak menyebut secara langsung tetapi apabila beliau menyebut pemimpin nombor dua Pas, ia sangat jelas ditujukan kepada Mat Sabu yang menjadi Timbalan Presiden parti itu. Tindakan Zahid memberi arahan untuk menangkap seseorang di pentas umum dan secara terbuka dalam Perhimpunan Agung UMNO terlihat luar biasa, bukan saja kerana tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin sebelum ini tetapi juga menyalahi etika sebagai seorang yang ada kuasa. Jika benar, beliau mempunyai bukti bahawa Mat Sabu mengamalkan fahaman Syiah, beliau tidak perlu menjerit secara terbuka untuk menangkapnya tetapi terus saja menahannya berdasarkan peraturan undang-undang sedia ada. Lagi pula, tidak perlu memberi arahan secara terbuka kepada Jamil Khir kerana sebagai sesama anggota kabinet, mereka berjumpa dan bermesyuarat setiap minggu dalam mesyuarat mingguan kabinet. Cara Zahid memberi arahan kepada Jamil Khir juga seolah-olah beliau sedang mengajar menteri yang bertangggungjawab kepada hal-ehwal agama itu untuk bertindak dan bekerja. Dengan memberi arahan juga seperti beliau merasakan dirinya sudah berjawatan lebih tinggi daripada menteri dan tidak sabar-sabar untuk meningkatkan lagi taraf dirinya sebagai pemimpin. Tetapi jika tidak mempunyai bukti dan asas yang kukuh, beliau tidak seharusnya membuat tuduhan secara terbuka kerana tindakan itu memperlihatkan dirinya tidak jauh bezanya dengan pencacai UMNO yang bersepah-sepah di setiap majls keramaian UMNO. Zahid seharusnya tahu membezanya dirinya adalah Naib Presiden UMNO yang sudah dua kali mendapat undi tertinggi dan kini berjawatan Menteri Dalam Negeri. Apatah lagi, jika selepas memberi arahan dan kebenaran kepada Jamil Khir untuk menahan Mat Sabu, tetapi tangkapan tidak juga dilakukan. Ia bukan saja memalukan dirinya, bahkan meletakkan dirinya sebagai pemimpin yang retorik dan cakap tak serupa bikin. Sudah tentu rakyat akan melihat tindakannya bercakap tentang penahanan Mat Sabu itu sekadar untuk meraih populariti di kalangan perwakilan UMNO dan mahu menunjuk-tunjuk ketegasannya di depan khalayak. Sebagai Menteri Dalam Negeri, ketegasan yang dituntut oleh rakyat ialah dalam tindakan, bukannya percakapan. Sehingga ini, tiada siapa tahu apa bukti yang Zahid ada mengenai dakwaannya terhadap Mat Sabu. Sementara Jamil Khir sendiri dalam respon awalnya menyatakan pembuktian kukuh adalah diperlukan untuk menahan seseorang yang disyaki berfahaman Syiah kerana ia adalah berdasarkan iktikad seseorang dan bukannya berdasarkan fahaman parti semata-mata, Mat Sabu pula menafikan beliau berfahaman Syiah. Saya adalah orang Islam yang berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, jelas Timbalan Presiden Pas itu. Dalam masa yang sama, selain tindakan Zahid membuat dakwaan melulu dan terbuka kepada Mat Sabu yang bakal mendedahkannya kepada tindakan undang-undang, serangannya kepada Pas dengan menjadikan orang nombor duanya sebagai sasaran juga, adalah percubaan paling jelas menghalang muzakarah UMNO dengan Pas yang sedang diperkatakan sekarang. Di sebalik semua pemimpin UMNO bersikap terbuka kepada muzakarah itu dan melihat kepentingan ummah sebagai keutamaan dan Pas sendiri melalui Presidennya, Haji Hadi Awang turut bersedia ke arah itu, Zahid yang dilihat sebagai antara pemimpin yang berimej Islam dalam UMNO, dengan jelas bersikap sebaliknya dan menolak muzakarah itu. Tindakannya membuat dakwaan tanpa bukti terhadap Mat Sabu sehingga Jamil Khir sendiri masih keberatan untuk menuruti arahan menahan pemimpin Pas itu, seperti telah menghancurkan impian muzakarah yang diimpikan selama ini. Walaupun berjaya mendapat undi tertinggi dalam dua pemilihan UMNO dan sedang mengintai kedudukan lebih tinggi untuk dirinya, Zahid ternyata telah membuat kesilapan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Beliau bukan saja merosakkan reputasi dirinya sebagai pemimpin dan menteri yang tahu mengendalikan kuasa tetapi juga menjadi penghalang kepada agenda perpaduan dalam UMNO. Apakah ini pemimpin yang diharapkan untuk masa depan UMNO dan negara? Alahai Zahid Hamidi. | ||
Kalau betul kagumi Mandela, tinggalkan amalan perkauman Posted: 08 Dec 2013 03:48 AM PST Oleh Lim Guan EngUcapan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Konvensyen Negeri Perak 2013, di Bukit Merah pada 8 Disember 2013. Jika Perdana Menteri benar-benar ikhlas mengkagumi Nelson Mandela, beliau patut meninggalkan amalan dominasi dan diskriminasi perkauman dan memperjuangkan masyarakat yang demokratik dan bebas yang menjanjikan peluang saksama buat semua. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemimpin dan ahli DAP Perak di bawah pimpinan Sdr Ngeh Koo Ham atas usaha gigih dan kesepaduan anda dalam membantu DAP untuk mencapai kejayaan yang amat besar dalam pilihanraya umum 2013 dengan merekodkan kemenangan 100% dan tambahan kerusi Parlimen Kampar dan membantu Pakatan Rakyat untuk meningkatkan jumlah undi popular ke takat 55%. Bagi pihak parti DAP, kita ucap terima kasih yang tidak terhingga kepada pengundi di Perak untuk sokongan mereka. Seandainya pilihanraya umum dijalankan secara bersih dan adil, serta menghormati prinsip demokratik 'satu orang, satu undi, satu nilai'. dengan 55% undi itu Pakatan Rakyat sudah tentunya menjadi kerajaan negeri dan Datuk Seri Nizar Jamaludin akan kembali menjadi Menteri Besar Perak yang sepatutnya. Namun BN telah main tipu dalam PRU ke 13 dengan melakukan 'gerrymandering' terhadap kawasan-kawasan supaya memberi kelebihan kepada BN. Datuk Seri Najib cuba untuk menjustifikasikan kemenangan BN dengan logik merepek tentang permainan badminton tentang kena BN menang walaupun kalah undi popular. Tidak seperti permainan badminton di mana kesemua set ada 21 mata, pilihanraya umum di Malaysia ada jumlah mata yang berlainan. Kerusi BN ada jumlah mata yang kurang (kurang pengundi) untuk menang, manakala kerusi-kerusi Pakatan Rakyat memerlukan jumlah mata yang lebih banyan (lebih ramai pengundi) untuk dimenangi. Contohnya di Kapar dengan 160,000 pengundi dimenangi oleh PR adalah ibarat bermain sebuah set dengan 160 mata untuk menang, padahal di Putrajaya yang hanya ada 17,000 pengundi, BN boleh menang dengan hanya 17 mata sahaja. Kalau Lee Chong Wei dan Lin Dan bermain badminton melawan BN pun mereka tidak akan boleh menang. Itulah sebabnya kenapa Pakatan Rakyat tidak boleh menang walaupun dengan majoriti 55% undi. Adilkah begini? Pengundi di Perak rasa seolah hak dan impian 'Ubah' mereka telah dirompak kerana parti majoriti tidak menang. Kita mesti memastikan impian untuk 'Ubah' terus hidup kerana ia adalah impian Malaysian untuk generasi akan datang. Sdr Lim Kit Siang telah menyeru kesemua penyokong kita untuk terus yakini dengan impian Malaysia bagi PRU yang akan datang. Impian Malaysia ke arah Malaysia untuk kesemua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kelas atau kawasan; di mana demokrasi, urus tadbir yang baik, kepimpinan yang bersih, kemakmuran ekonomi dan keadilan sosio-ekonomi dapat berkembang demi membenarkan setiap rakyat Malaysia untuk hidup secara bermaruah, serta peluang saksama untuk mencapai potensi terbaik, dalam sebuah persekitaran yang bersih, hijau, selamat dan sihat. A Malaysian dream of a Malaysia for all Malaysians regardless of race, religion, class or region where democracy, good governance, clean leadership, economic prosperity and socio-economic justice could flourish to allow every Malaysian to live with dignity and an equal opportunity to achieve his or her fullest potential, in an environment that is clean, green, safe and healthy.Pakatan Rakyat telah membuktikan sepanjang lima tahun di Pulau Pinang, bahawa walaupun tanpa pengalaman, kita dapat mentadbir dengan lebih baik daripada BN yang sudah 50 tahun memerintah. Kita telah menunjukkan bahawa kerajaan yang bersih akan dapat menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding kerajaan yang rasuah. Kita telah menunjukkan bahawa sebuah kerajaan Pakatan Rakyat boleh melahirkan keyakinan pelabur dan komuniti bisnes dengan kadar pelaburan tertinggi dalam sejarah Pulau Pinang. Kita telah membuktikan bahawa kita telah dapat menghapuskan kemiskinan dalam masa 5 tahun, yang tidak dapat dilakukan BN dalam masa 50 tahun. Kita telah membuktikan bahawa kita boleh berbelanja lebih RM100 juta setahun untuk bantuan kebajikan tanpa jatuh bankrap. Dan yang paling penting ialah kita telah menunjukkan bahawa kita boleh membantu dan berlaku adil kepada semua Melayu, Cina dan India serta menunjukkan bahawa siapa anda adalah tidak penting, tetapi yang lebih penting ialah anda adalah seorang apa. Pakatan Rakyat menawarkan masa depan penuh harapan bahawa hari-hari mendatang adalah milik rakyat. Masa depan BN adalah hanya untuk kroni sahaja, seperti yang boleh dilihat daripada 8 contoh berikut: 1. Bercakap tentang 1Malaysia namun menyebarkan kebencian kaum dan agama dengan memilih pemimpin Perkasa sebagai calon BN. 2. Bercakap tentang keyakinan terhadap perkhidmatan awam, tetapi mengambil konsultan luar dengan bayaran lebih tinggi daripada Perdana Menteri. 3. Bercakap tentang mengambil pensyarat yang bagus untuk mempertingkat kualiti pendidikan universiti di Malaysia yang kian buruk, namun masih melantik Profesor yang melakukan plagiat, 4. Bercakap tentang membanteras rasuah, tetapi Malaysia adalah juara dunia dalam rasuah, dan tidak ada sesiapa pun yang dihukum dalam skandal RM52 bilion saham Bumiputera mahupun skandal RM13 bilion Port Klang Free Trade Zone, 5. Membelanjakan 21% daripada KDNK untuk pendidikan, namun purata pelajar berusia 15 tahun kini ketinggalan sekurang-kurangnya empat tahun dalam pendidikan sekolah di belakang Singapura, China, dan Hong Kong; berdasarkan hasil Penilaian Pelajar Antarabangsa (International Student Assessment (PISA) dapat dilihat Malaysia berada pada kedudukan 52 daripada 74 negara, di belakang Thailand yang berada pada kedudukan 50. 6. Membelanjakan berbilion ringgit wang rakyat untuk membina kereta nasional hanya untuk menyedari bahawa ia dijual pada harga lebih murah di luar negara. 7. Membelanjakan berbilion ringgit untuk memelihara MAS hanya untuk menyedari bahawa MAS secara praktikalnya bankrap dan menjual tiket penerbangan dengan harga lebih tinggi berbanding Air Asia yang mencatat keuntungan dan membiaya diri sendiri. 8. Membelanjakan ratusan juta ringgit wang rakyat untuk menternak lembu yang akhirnya pergi membeli kondominium. Datuk Seri Najib mengkagumi mendiang Nelson Mandela dan malah menyamakannya dengan perjuangan UMNO. Ini amat mengejutkan apabila UMNO hanya meneruskan dominasi dan diskriminasi perkauman bagi menjustifikasi rasuah, nepotisme dan ketidakcekapan. Mari kita mengingatkan Perdana Menteri tentang apa yang disebut oleh Nelson Mandela dalam perbicaraan kes pengkhianatan beliau pada tahun 1964 yang menyebabkan beliau dipenjara selama 27 tahun. "Saya telah melawan dominasi kulit putih, dan saya telah melawan dominasi kulit hitam. Saya menghargai masyarakat ideal yang demokratik dan bebas, di mana semua orang dapat hidup bersama dalam aman sejahtera dan peluang saksama. Saya ingin hidup untuk ideal itu dan berharap dapat mencapainya. Tetapi, jika perlu, saya bersedia untuk mati demi ideal itu." "I HAVE fought against white domination, and I have fought against black domination. I have cherished the ideal of a democratic and free society in which all persons live together in harmony and with equal opportunities. It is an ideal which I hope to live for and to achieve. But, if need be, it is an ideal for which I am prepared to die."Jika Perdana Menteri benar-benar ikhlas mengkagumi Nelson Mandela, beliau patut meninggalkan amalan dominasi dan diskriminasi perkauman dan memperjuangkan masyarakat yang demokratik dan bebas yang menjanjikan peluang saksama buat semua. Seperti yang disebut Nelson Mandela, "Saya sangat membenci diskriminasi kaum dalam kesemua bentuknya. Saya telah melawannya sepanjang hidup saya; Saya melawannya sekarang, dan akan terus melawannya sampai ke penghujung hayat saya"Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya berkongsi pandangan seorang wanita Melayu kelas pertengahan; yang sangat runsing dengan rasuah, kualiti pendidikan yang kian menurun, dan kurangnya peluang saksama untuk semua rakyat Malaysia tanpa pertalian politik demi anak-anak beliau. Beliau memohon supaya kita tidak melupakan warga kelas pertengahan – terlalu kaya untuk dibantu namun terlalu miskin untuk mandiri dan hidup makmur dalam masyarakat yang tidak sekata dan korup ini. Perdana Menteri nampaknya telah mengabaikan golongan kelas pertengahan apabila beliau mengakui bahawa kenaikan tariff elektrik 15% oleh Tenaga Nasional Bhd akan memberi kesan kepada golongan kelas pertengahan tetapi beliau tidak boleh buat apa-apa untuk membantu. Saya ingin beri jaminan kepada beliau bahawa apabila Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, kita tidak melupakan golongan kelas pertengahan seperti beliau malah kita akan mencipta peluang saksama untuk anak-anaknya berjaya dan hidup makmur. Sekali lagi saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan kata-kata akhir Nelson Mandela, "Kita telah berikrar untuk membina sebuah masyarakat di mana kesemua warga Afrika Selatan, berkulit hitam atau putin, akan dapat berjalan dengan bangga, tanpa rasa takut di hati mereka, dijamin hak mereka untuk maruah kemanudiaan – sebuah negara berwarna warni yang aman sejahtera dengan dirinya dan seluruh dunia"Pakatan Rakyat akan memberikan peluang bagi kesemua rakyat Malaysia untuk hidup bermaruah, di mana rakyat tidak perlu takut kepada kerajaan, tetapi kerajaan lah yang takut kepada rakyat. | ||
ADUN DAP Mentakab turun padang beri bantuan, santuni mangsa banjir Posted: 08 Dec 2013 03:45 AM PST Menurut beliau, jalan raya yang menghubungkan kampung yang terletak di seberang Sungai Temerloh itu telah dinaiki airsehingga menyebabkan penduduk yang mahu keluar terpaksa melalui jalan tikus yang mengambil masa kira-kira satu jam berjalan kaki. "Pejabat ADUN Mentakab sangat prihatin terhadap kesulitan yang berlaku dan cuba seberapa daya mungkin untuk meringankan beban penduduk kampung ini," kata beliau ketika dihubungi Roketkini. Tengku Zulpuri berkata, sehingga kini tidak ada laporan kehilangan nyawa yang berlaku dan sebahagian kampung berdekatan yang dinaiki air pula seperti Kampung Gantok dan Kampung Tok Embun telah pun di pindahkan ke pusat pemindahan banjir. "Penduduk kampung mangsa banjir ini memerlukan bantuan. "Kita amat mengalu-alukan sebarang sumbangan barangan keperluan mahupun kewangan bagi meringankan beban mereka," ujarnya. Bagi yang mahu memberi sebarang sumbangan boleh menghubungi Pejabat ADUN Mentakab di talian 019-3296564. – Roketkini.com | ||
Posted: 08 Dec 2013 03:41 AM PST RAWANG - Sebuah banglo milik seorang warga Singapura diperiksa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selepas pelan perancangan asal kediaman itu diubah suai dari dua kepada empat tingkat tanpa kebenaran. Malahan unit tersebut yang terletak di Bandar Country Homes turut dijadikan homestay sejak lima tahun lepas tanpa mendapat kebenaran perniagaan. Bagaimanapun, tiada tindakan dibuat sehingga semakan status Jabatan Perlesenan dibuat. Dalam operasi pada Khamis lalu, sebanyak lima hotel bajet diperiksa, dua dikenakan sitaan, satu ditutup, satu telah mempunyai lesen dan satu lagi dalam proses semakan. Sebuah lagi hotel bajet di Rawang Sentral pula masih beroperasi walaupun dikenakan tindakan bulan lepas. Menurut Penolong Penguatkuasa MPS, Megat Ainul Fadzlil Ainul Fadzil, bulan lalu pihaknya telah menyita sebahagian barangan perniagaan hotel tersebut sebagai peringatan namun tindakan itu tidak menjejaskan langsung perjalanan hotel berkenaan. "Pemiliknya warga tempatan mempunyai dua hotel bajet di Rawang dan salah satunya ada lesen manakala satu lagi tidak disebabkan bangunan tidak mempunyai syarat layak menduduki dan tiada kebenaran merancang membuatkan permohonannya ditolak. "Walaupun amaran secara lisan telah diberikan namun pemiliknya masih berdegil," katanya kepada Sinar Harian, kelmarin. Sementara itu, sebuah lagi hotel bajet berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Rawang yang beroperasi lebih lapan tahun juga turut dikenakan tindakan selepas tidak mempunyai lesen. "Sebarang aktiviti perniagaan perlulah membuat permohonan lesen dahulu. "Tindakan sita adalah di bawah Undang-undang Kecil Hotel (MPS) 2007 atas kesalahan beroperasi tanpa lesen 2013," katanya. | ||
Kecewa Razman dilantik Pesuruhjaya Pas Perak? Posted: 08 Dec 2013 03:36 AM PST IPOH - Pelantikan Yang Dipertua Pas Kawasan Lenggong, Razman Zakaria sebagai Pesuruhjaya Pas Perak baharu menggantikan Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain dilihat tidak digemari beberapa pihak di dalam Pas Negeri. Berdasarkan entri beberapa blog pro-Pas Perak, mereka kecewa dengan pelantikan Razman kerana menjangkakan Pengerusi PR Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas Perak. Ada dalam kalangan blog berkenaan mendakwa, terdapat usaha tertentu melobi Razman sebagai Pesuruhjaya Pas Perak berbanding Mohammad Nizar yang dirasakan lebih layak. Berdasarkan Blog Alhusseyn, Mohammad Nizar Jamaluddin lebih layak selepas bancian dibuat secara dalam talian mendapati 215 responden mahukan Adun Changkat Jering itu dipilih bagi memegang jawatan tersebut. Blog Cenagau turut mempersoalkan pelantikan Razman. "Sebagai orang Perak, bab tak sambung Ustaz Bakar (Abu Bakar Hussain) sebagai PJ (pesuruhjaya) walaupun dia menang di Dun Titi Serong tempat aku, aku sangat-sangat setuju. Pasai apa jangan tanya, kalau tanya pun aku malas nak jawab. "Yang aku musykil sikit pasai apa Hj Razman (Razman Zakaria) yang dilantik jadi PJ, hebat sangat ka Hj Razman ni. "Yang buat aku musykil tu pasai apa Hj Nizar (Mohammad Nizar Jamaluddin) yang hampir semua orang Perak kenai yang pernah jadi MB dan Timbalan Pesuruhjaya 1, Bendahari dan Setiausaha PAS Perak, tak dilantik sebagai PJ, teruk sangat ka Hj Nizar tu?," jelas blog berkenaan dalam entri yang disiarkan, 2 Disember lalu. Sementara itu, Razman ketika dihubungi menafikan berlakunya lobi melobi bagi jawatan Pesuruhjaya Pas seperti didakwa. Katanya, pelantikan Pesuruhjaya Pas negeri merupakan proses biasa dan keputusan tidak dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berseorangan kerana turut melibatkan ahli jawatankuasa Pas Pusat lain. "Saya tahu ada pihak yang tidak dapat menerima pelantikan saya. Ada yang kata Mohammad Nizar patut jadi pesuruhjaya negeri. "Bagaimanapun ia tidak akan mengganggu tugas saya sebagai pesuruhjaya Pas negeri," katanya. | ||
Banjir: TNB bekalkan 60 set janakuasa Posted: 08 Dec 2013 03:34 AM PST KUALA LUMPUR - Lebih 60 set janakuasa bernilai RM715,00 dibekalkan kepada pusat pemindahan sementara di Johor, Pahang dan Terengganu sejak negeri-negeri itu dilanda banjir baru-baru ini. Selain itu, TNB turut menyumbangkan pelbagai barangan keperluan asas termasuk pakaian terpakai, bahan masakan dan alas tidur, bagi menampung keperluan harian mangsa banjir, menurut kenyataan akhbar TNB hari ini. Barangan itu telahpun diserahkan di Kampung Paya Merah, Labis dan Sekolah Kebangsaan Bandar Mersing di Johor, pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Kuantan serta Pejabat Daerah Kemaman dan Pejabat Daerah Hulu Terengganu di Terengganu. - Bernama | ||
'Isu Mat Sabu, Pas tak terlibat' Posted: 08 Dec 2013 03:03 AM PST SHAH ALAM - Pas hari ini menegaskan dakwaan terhadap Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu adalah serangan peribadi dan tidak ada kena mengena dengan parti. Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, dakwaan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah serangan terbuka dan bersifat peribadi. Menurutnya, Mohamad atau Mat Sabu wajar mengambil tindakan terhadap kementerian tersebut. "Itu adalah serangan peribadi, Mat Sabu perlu buat sesuatu. "Kita tak akan masuk campur. Wajar Mat Sabu bertindak dan ambil tindakan terhadap menteri itu," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini. Semalam, media melaporkan Ahmad Zahid dalam ucapan pergulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2013 telah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan ke atas orang nombor dua Pas kerana didakwa mengamalkan ajaran Syiah. Ahmad Zahid juga memberikan 'lampu hijau' kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memegang portfolio agama menjalankan tugasnya. "Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam Pas. "Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya. Dalam pada itu, Mustafa juga berkata, Pas di peringkat pusat tidak pernah menerima sebarang laporan mengenai ajaran Syiah yang diamalkan oleh pemimpin parti termasuk Mat Sabu. "Kita diperingkat Pusat memang tak pernah terima apa-apa laporan," katanya. Dalam perkembangan sama, apabila ditanya adakah selepas mendengar dakwaan terbuka Ahmad Zahid, Pas akan membuat siasatan terhadap pemimpin nombor dua parti itu, Mustafa berkata : "Kita tak akan buat demikian, sebab tak ada laporan, itu kita serahkan kepada Mat Sabu," katanya lagi. | ||
Pelumba negara terlibat kemalangan Posted: 08 Dec 2013 03:01 AM PST SHAH ALAM - Pelumba Basikal Negara, Josiah Ng yang terlibat kemalangan di Mexico pada Kejohanan Piala Dunia hari ini, dilaporkan stabil. Isterinya, Kim Ong berkata, Josiah mengalami kecederaan di tulang rusuk dan selangka serta turut menjejaskan paru-parunya. "Saya telah bercakap dengan beliau secara ringkas, suara beliau seperti separuh sedar. "Saya akan mendapat laporan terkini daripada doktor dalam masa beberapa jam," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar hari ini. | ||
Tanah depan rumah dibawa arus deras Posted: 08 Dec 2013 03:00 AM PST Zulkarnain (kanan) sedang memantau belia kampung yang datang membantu untuk membina jambatan sementara di depan rumah mertuanya ROMPIN – Sebuah keluarga di Kampung Bangkong, di sini, mengalami detik cemas apabila tanah di hadapan rumah mereka hakis dibawa arus air hingga menjadikan ia bagaikan sebuah anak sungai. Kejadian itu mengejutkan ahli keluarga terbabit yang berada hampir dengan kawasan hakisan tersebut. "Ada dua salur air yang dibina di bawah jalan di depan rumah kami tetapi saiznya tidak dapat menampung air yang deras dan banyak mengalir ketika itu hingga ia naik ke atas tanah di hadapan rumah. "Kami melihat-lihat arus dan ada yang bermain air. Saya nampak ada rekahan pada tanah yang dilalui air itu dan selepas itu terus saya tidak membenarkan sesiapa pun bermain air lagi," katanya. Kejadian yang berlaku pada hari Selasa lalu itu menyukarkan keluarga berkenaan untuk keluar ke jalan utama. "Beberapa orang anak muda kampung dan saudara mara membantu membuat jambatan sementara bagi memindahkan motor dan sebagai persediaan jika air terus naik," katanya. Beliau yang bekerja sebagai tentera di kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan pulang bercuti dan terperangkap di kampung kerana banjir. "Saya tidak tahu bila baru boleh balik ke Kuantan kerana di sana juga dilanda banjir yang lagi besar berbanding di sini," katanya. | ||
Zairil: Jangan pertikai lantikan saya Posted: 08 Dec 2013 02:58 AM PST ALOR SETAR - "Lantikan saya sah dan tidak boleh dipertikai," kata Pengerusi Interim DAP Kedah, Zairil Khir Johari. Beliau berkata, pelantikan itu dilakukan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berdasarkan saluran yang betul. Menurutnya, bekas Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik membuat aduan berhubung pelantikan jawatankuasa interim DAP kepada ROS pada Julai lalu iaitu ketika CEC sedang mengalami konflik bersama ROS. "Mungkin ROS membuat keputusan mengiktiraf Guan Aik sebagai pengerusi adalah berdasarkan situasi pada bulan Julai. "Tetapi kita sudah buat pemilihan semua CEC pada 29 September lalu dan tidak ada sebarang masalah berhubung keputusan berkenaan. Malah ROS tidak membantah keputusan lantikan itu," katanya kepada Sinar Harian, hari ini. Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat pengiktirafan Guan Aik sebagai Pengerusi DAP Kedah oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 4 Disember lalu. Zairil menambah, jika pemilihan CEC diakui sah, bermakna sebarang keputusan yang dibuat oleh CEC termasuk melantik jawatankuasa interim DAP Kedah juga adalah terpakai. "Saya percaya, mungkin berlaku salah faham antara ROS dan DAP Kedah. Pada saya, surat jawapan ROS itu perlu dirujuk dan dikaji semula berdasarkan keadaan semasa selepas pemilihan semula CEC diadakan," katanya. Menurutnya, jawatan sebagai pengerusi interim DAP Kedah adalah sah manakala jawatan Guan Aik tidak boleh diguna pakai lagi. "ROS tidak pernah mempertikai pemilihan semua CEC pada September lalu. Maka mereka juga tidak boleh pertikai lantikan jawatan saya yang dibuat oleh CEC pada 10 Mei lalu," katanya. Sementara itu, mengulas mengenai 15 Cawangan DAP Kedah yang tidak mahu menghadiri sesi dialog bersamanya pada hari ini, beliau berkata, ia tidak benar. "Saya melihat yang menyatakan pendirian itu adalah seorang individu yang kononnya mewakili semua cawangan. "Saya yakin dan percaya ahli tetap akan datang pada sesi dialog ini kerana seorang sahaja yang bercakap," katanya. Zairil berkata, dialog tetap diadakan hari ini di Ibu Pejabat DAP Kedah, di Jalan Putra pada jam 8 malam manakala keesokannya di Sungai Petani. Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, ROS mengesahkan Guan Aik masih Pengerusi DAP Kedah yang sah, selain tidak mengiktiraf jawatankuasa interim yang dipengerusikan Zairil. Menurut laporan itu, Guan Aik mendedahkan surat daripada ROS bertarikh 4 Disember yang mengesahkannya sebagai pengerusi yang diiktiraf apabila dilantik menerusi mesyuarat agung tahunan 2010. Surat yang ditandatangani Pendaftar, Mohammad Razin Abdullah itu menyatakan Guan Aik dilantik secara sah sebagi pengerusi berdasarkan peruntukan perlembagaan dan peraturan parti, setelah mengambil kira kedudukan CEC DAP yang kini masih belum diiktiraf menyebabkan mereka tidak mempunyai kuasa melantik Zairil sebagai pengerusi baru. | ||
Mustahil “Tsunami Melayu” berlaku, kata Tengku Adnan Posted: 08 Dec 2013 02:55 AM PST Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar) hari ini menolak amaran akhbar milik parti itu Utusan Malaysia hari ini berkenaan kemungkinan berlakunya "Tsunami Melayu" dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Katanya kehilangan "Tsunami Cina" dalam Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013 tidak akan berlaku kepada kaum Melayu dan Umno akan menambah lebih banyak kerusi dalam PRU14. "Tsunami Cina berlaku kerana Parti Kelentong Rakyat. Mereka mengelirukan mereka (komuniti Cina) sehingga berfikir (PKR) boleh menjadi kerajaan. "Lihat apa yang terjadi kepada Umno. Kami menambah kerusi daripada 79 kepada 88 dan saya percaya kita akan menambah kerusi kerana rakyat tahu siapa yang boleh mereka harapkan," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Kuala Lumpur selepas merasmikan pejabat baharu Umno Batu. "Ia tak akan berlaku," katanya. Kolumnis Utusan Malaysia, Awang Selamat berkata PAS dan PKR akan mengubah strategi untuk lebih memperjuangkan Melayu selepas ini bagi menyaingi Umno dalam mendapatkan sokongan kaum majoriti itu. Katanya, selepas kejutan "Tsunami Cina" pada PRU13 sebagaimana disebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal menjatuhkan kerajaan, strategi kini tertumpu untuk mewujudkan "Tsunami Melayu" pada PRU14. "Awang percaya PAS dan PKR akan mengubah strategi untuk lebih perjuangkan Melayu bagi menyaingi Umno mendapatkan sokongan majoriti. "Selepas kejutan 'Tsunami Cina' pada PRU13 gagal menjatuhkan kerajaan, strategi kini tertumpu untuk mewujudkan 'Tsunami Melayu' pada PRU14," katanya seperti dilapor akhbar milik Umno itu edisi Ahad, Mingguan Malaysia hari ini. Awang turut mengingatkan barisan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno agar jangan lupa diri dan dasar perjuangan parti. Katanya, ahli MT akan dipertanggungjawabkan jika Umno gagal mempertahankan kuasa politiknya semasa PRU14 kelak. "Barisan MT jangan terlupa diri dan perjuangan. Merekalah yang akan dipertanggungjawabkan jika Umno gagal mempertahan kuasa politik Melayu selepas ini. "Waspadalah. Walaupun Umno kuat ia tidaklah kebal. Berjihadlah untuk menjadi parti yang disayangi terutama orang Islam, Melayu dan Bumiputera. Tiada pilihan," katanya. Najib sebaik sahaja mendapat majoriti mudah semasa PRU13 lalu tidak menyangka "Tsunami Cina" menyaksikan kehilangan undi komuniti tersebut dengan drastik. Beliau turut menyalahkan pembangkang di atas tsunami berikut, mengatakan sentimen kaum dimainkan untuk memenangi undi etnik kedua terbesar itu. | ||
Beberapa menteri harus dibuang dan diganti dengan Rosmah, kata wartawan veteran Posted: 08 Dec 2013 02:50 AM PST Bekas Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times Press (NSTP), Datuk A. Kadir Jasin hari ini menggesa Datuk Seri Najib Razak mengkaji semula peranan menteri-menteri Kabinet selain melantik Datin Seri Rosmah Mansor sebagai menteri. Katanya, melalui pelantikan itu, tiada pihak yang boleh membantah campur tangan Rosmah atau menuduh Najib dan anggota Kabinet menyalahgunakan kuasa dengan membenarkan penggunaan kemudahan kerajaan. "Saya dah berbuih mulut mencadangkan agar Rosmah masuk politik dan dilantik menjadi menteri. Malah ke jawatan Perdana Menteri jika mendapat kepercayaan rakyat jelata. "Walaupun pilihan raya umum telah berlalu, Najib dan penyokong Rosmah masih boleh melakukannya dengan melantik beliau sebagai senator dan seterusnya menteri. Jawatan yang sesuai bagi beliau ialah Menteri Tugas-Tugas Khas," katanya dalam tulisan di blognya bertajuk "PAU 2013: Antara Cinta dan Jasa". Najib semasa ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2013 semalam menyebut dua peristiwa jasa Rosmah kepada negara. Katanya bantuan pertama adalah menolong membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Mesir kerana disyaki pengintip dan kedua menggunakan hubungan baik dengan keluarga diraja Arab Saudi membenarkan pelajar Malaysia yang lari daripada pemberontakan Mesir untuk masuk ke negara tanpa visa. Kadir berkata, berdasarkan sumbangan Rosmah tersebut adalah lebih baik Najib menimbang semula kedudukan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin. "Begitu juga kedudukan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim kerana Rosmah juga terlibat di sana sini dalam tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh menteri berkenaan. "Dengan cara ini kita boleh menggugurkan menteri yang berprestasi rendah sekaligus menjimatkan perbelanjaan negara dengan mengurangkan bilangan kementerian," katanya. Kadir turut menolak hujah perwakilan Wilayah Persekutuan semasa perhimpunan Umno tempoh hari yang mendakwa semua lelaki tidak sayangkan isteri kecuali Najib. Katanya, media melaporkan Affandi berkata isteri Perdana Menteri seharusnya dibenarkan menggunakan jet eksekutif kerajaan demi memberi ketenangan kepada suaminya. "Saya sangat berkecil hati dengan tuduhan ini. Saya bantah sekeras-kerasnya tuduhan itu. Tidak mengapalah kalau Affandi hendak pertahankan Najib dan Rosmah. Itulah pun tugas pembahas PAU 2013. "Tetapi kalau benar dia mengatakan lelaki lain tidak sayang isteri, saya rasa itu satu penghinaan yang sangat dahsyat. Bayangkan tekanan emosi Najib jika sesuatu yang buruk berlaku kepada isterinya. Beliau sayangkan isterinya," katanya. Affandi dalam ucapannya dalam Perhimpunan Agung Umno berkata, jika Rosmah berada dalam jet eksekutif, Najib tidak perlu bimbang keselamatannya dan menambah orang bodoh pun tahu penerbangan dengan jet eksekutif lebih mahal daripada terbang dengan jet komersial tetapi ia perlu dilihat daripada aspek keselamatan. "Bolehkah anda bayangkan tekanan emosi yang akan Perdana Menteri tanggung sekiranya sesuatu buruk berlaku kepada isterinya ketika terbang dengan pesawat komersial?" kata Affandi. Rosmah dikritik hebat oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bulan lalu kerana menggunakan jet eksekutif milik kerajaan untuk lawatan peribadinya ke Timur Tengah. | ||
Utusan Malaysia beri amaran kepada Umno tentang “Tsunami Melayu” Posted: 08 Dec 2013 02:46 AM PST Kolumnis Utusan Malaysia, Awang Selamat berkata PAS dan PKR akan mengubah strategi untuk lebih memperjuangkan Melayu selepas ini bagi menyaingi Umno dalam mendapatkan sokongan majoriti kaum itu. Katanya, selepas kejutan"Tsunami Cina" pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagaimana disebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal menjatuhkan kerajaan, strategi kini tertumpu untuk mewujudkan tsunami Melayu pada PRU14. "Awang percaya PAS dan PKR akan mengubah strategi untuk lebih perjuangkan Melayu bagi menyaingi Umno mendapatkan sokongan majoriti. "Selepas kejutan 'Tsunami Cina' pada PRU13 gagal menjatuhkan kerajaan, strategi kini tertumpu untuk mewujudkan 'Tsunami Melayu' pada PRU14," katanya seperti dilapor akhbar milik Umno itu edisi Ahad, Mingguan Malaysia hari ini. Awang turut mengingatkan barisan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno agar jangan lupa diri dan dasar perjuangan parti. Katanya, ahli MT akan dipertanggungjawabkan jika Umno gagal mempertahankan kuasa politiknya semasa PRU14 kelak. "Barisan MT jangan terlupa diri dan perjuangan. Merekalah yang akan dipertanggungjawabkan jika Umno gagal mempertahan kuasa politik Melayu selepas ini. "Waspadalah. Walaupun Umno kuat ia tidaklah kebal. Berjihadlah untuk menjadi parti yang disayangi terutama orang Islam, Melayu dan Bumiputera. Tiada pilihan," katanya. Najib sebaik sahaja mendapat majoriti mudah semasa PRU13 lalu tidak menyangka "Tsunami Cina" menyaksikan kehilangan undi komuniti tersebut dengan drastik. Beliau turut menyalahkan pembangkang di atas tsunami berikut, mengatakan sentimen kaum dimainkan untuk memenangi undi etnik kedua terbesar itu. | ||
Posted: 08 Dec 2013 12:14 AM PST Lebih-lebih lagi PAU tahun ini di mana "thrill"nya sudah hilang. Dahulu mereka datang mahu tengok siapa yang menang dan siapa yang kalah. PETALING JAYA: Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang berakhir semalam semakin hambar. Kalau dahulu d zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, setiap kali PAU, orang ramai bersesak di PWTC mahu mendengar ucapan Dr Mahathir. Mungkin kerana aura Dr Mahathir, maka ahli Umno seluruh negara sanggup berkampung di PWTC. Sejak Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambilalih pucuk pimpinan Umno, orang ramai kurang mengikuti PAU. PWTC tidak sesesak dahulu lagi. Para penulis buku politik semasa tidak dibenarkan menjual buku lagi di situ. Tidak seperti di zaman Dr Mahathir, mereka bebas menjual buku politik yang anti Umno di PWTC. Di zaman Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden Umno, suasana PWTC seperti di zaman Pak Lah lagi. Lebih-lebih lagi PAU tahun ini di mana "thrill"nya sudah hilang. Kalau dahulu mereka datang mahu tengok siapa yang menang dan siapa yang kalah tetapi pemilihan serentak di seluruh negara pada 19 Oktober lalu mereka sudah tahu keputusan siapa yang terpilih sebagai ahli majlis tertinggi yang baru. Kalau dahulu ahli Umno berebut mahu jadi G7 ke PAU tetapi mulai tahun ini peranan G7 sudah tidak seperti dahulu lagi apabila kuasa mengundi sudah turun ke akar umbi. Maka mereka tidak perlu datang beramai-ramai seperti tahun 1990, 1993, 1996, 2000, 2004 dan 2009 Apatah lagi ia diadakan di musim banjir, maka tidak ramai pemerhati dari Pahang, Terengganu yang datang ke PWTC. Malah ada juga perwakilan yang tidak dapat hadir kerana mahu membantu mangsa banjir. Tetapi Najib pandai mencari publisiti di musim banjir. Nak menunjukkan beliau perihatin kepada rakyat, selepas menyampaikan ucapan dasarnya di PAU Khamis lalu, beliau terus ke Pahang melawat mangsa banjir sedangkan banjir sudah masuk hari keempat. Sepatutnya pada hari pertama lagi beliau sudah bergegas ke Pahang melawat mangsa banjir. Peniaga yang berniaga di PWTC bersungut kalau di zaman Dr Mahathir, mereka untung besar tetapi di zaman Najib sekarang untung mereka tidak sebesar mana. Ini bermakna makin kurang orang yang datang ke PWTC mengikuti PAU. Sepatutnya PAU tahun ini amat aneh kerana ia bersidang dengan barisan ahli majlis tertinggi Umno yang menang pada 19 Oktober lalu. Sepatutnya ia bersidang dengan barisan ahli majlis tertinggi 2009-2013. Menurut bekas Setiuasaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yasin, takdirnya Datuk Seri Hishamuddin Hussein kalah bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada 19 Oktober lalu, beliau tidak ada peluang untuk menyampaikan ucapan penangguhan kerana beliau sudah tidak berada di atas pentas lagi. Zaharin sudah memberitahu Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengenai peraturan ini tetapi pihak pengurusan Umno berkeras mahu yang menang pada 19 Oktober lalu duduk di atas pentas. Nampaknya Umno membelakangkan peraturan. Kalau DAP yang buat ini hebaoh satu negara tetapi Najib pejam mata sahaja. Umno sudah lama tidak ikut peraturan. Menurut perlembagaan Umno, pemilihan kena diadakan setiap tiga tahun sekali. Sejak zaman Dr Mahathir lagi pemilihan ditangguhkan kerana pilihanraya umum (PRU). Kalau pemilihan diadakan sebelum PRU, ia dikatakan akan memecahbelahkan parti maka pemilihan diadakan selepas PRU. Sebab itu sepatutnya Umno mengadakan pemilihan pada tahun 1999, 2002, 2005, 2008 dan 2013 (lima kali) sebaliknya ia diadakan pada 2000, 2004, 2009 dan 2013 (empat kali). Dua hari lepas (6 Disember) Nelson Mandela yang membebaskan Afrika Selatan meninggal dunia sempena hari ulangtahun ke 23 kematian Presiden Umno kedua, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Tetapi menurut Zaharin, perwakilan Umno melupakan Tunku sedangkan PWTC dinamakan sempena nama Tunku. Tiada perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan meminta semua perwakilan menyedekahkan al Fatihah kepada Tunku sempena ulangtahun kematiannya yang ke 23. Menurut Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perwakilan bebeas berbahas apa sahaja. Benarkah mereka bebas bercakap? Bukankah teks ucapan mereka diedit terlebih dahulu? Sebab itu kita lihat ucapan penuh dengan mengampu pemimpin. Tiada yang berani menegur pemimpin. Usul pula asyik usul yang sama, usul agama, usul pendidikan, usul ekonomi. Seperti kata Zaharin, Umno kena juga bincangkan usul keselamatan, usul pertahanan negara. Sebab itu ahli Umno kurang berminat dengan PAU sekarang kerana mereka bercakap benda yang sama setiap tahun sedangkan perkara yang dibincangkan dalam usul itu tidak dilaksanakan. PAU semakin lama semakin hambar. Maka Najib perlu mencari jalan untuk menarik orang ramai menghadiri PAU pada tahun hadapan. | ||
Nak bina candi, kena minta kelulusan kerajaan negeri, kata Mukhriz Posted: 08 Dec 2013 12:09 AM PST FREE MALAYSIA TODAYArahan akan dikeluarkan bagi mengelak berlakunya insiden kemusnahan di Candi 11, Sungai Batu, Lembah Bujang pada Isnin lepas, berulang kembali. KUALA LUMPUR:Semua pemilik tanah di Kedah perlu mendapatkan kelulusan kerajaan negeri dan Jabatan Warisan sekiranya ada binaan yang boleh dianggap sebagai binaan arkeologi di dalam kawasan milik mereka sebelum menjalankan sebarang kerja pembinaan. Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata arahan akan dikeluarkan bagi mengelak berlakunya insiden kemusnahan di Candi 11, Sungai Batu, Lembah Bujang pada Isnin lepas, berulang kembali. "Saya dah beritahu Setiausaha Kerajaan Negeri, dan ini akan mengambil sedikit masa kerana kita perlu mengenal pasti pemilik-pemilik tanah untuk menghantar 'circular' (surat pekeliling) ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir ke Kuantan oleh Badan Perhubungan Umno Kedah di sini, hari ini. Umno Kedah menghantar bantuan bernilai RM60,000 berbentuk barangan keperluan seperti ubat dan berus gigi, sabun, lampin serta tuala wanita ke pejabat Umno di Kuantan untuk diagihkan kepada kira-kira 5,000 mangsa banjir. Mukhriz berkata pembinaan semula candi bersejarah yang wujud pada kurun ke-8 itu tidak menjadi masalah kerana candi yang dimusnahkan itu juga bukan yang asal tetapi dibina semula pada tahun 1974. "Malah orang yang membinanya semula juga masih hidup dikenali sebagai Haji Jalil yang berada di Melaka. Kita mempunyai pelan dan tahu apakah bahan-bahan binaan yang diperlukan seperti batu sungai, laterite (tanah merah) dan bata," katanya. Sementara itu, Mukriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah berkata pihaknya juga bersedia menghulurkan bantuan kepada negeri yang terjejas oleh banjir seperti Terengganu dan Johor mengikut keperluan. "Lepas surut banjir nanti, banyak kerja perlu dilakukan dan kita akan bantu secara berfasa khususnya membersihkan rumah, memulihkan kerosakan harta benda dan sebagainya," katanya. Ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan bapa beliau yang juga bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat kepada Petronas, Mukriz berkata keputusan itu dibuat kerana bapanya tidak suka 'makan gaji buta'. "Sebagai penasihat, jika beliau tidak dapat menyumbang idea dan pendapat kepada Petronas, maka ia seperti makan gaji butalah. Terpulanglah kepada semua untuk menginterpretasikan," katanya. Pada 2 Dis lepas, Dr Mahathir mengesahkan telah melepaskan jawatannya sebagai penasihat kepada Petronas, berkuat kuasa 1 Dis. Dr Mahathir berkata sudah masa untuk beliau meninggalkan syarikat petroliam negara itu kerana faktor usia serta ingin menumpukan perhatian kepada kesihatannya.- Bernama | ||
Jambatan Malaysia-Brunei pemangkin sosio ekonomi penduduk Posted: 08 Dec 2013 12:07 AM PST KEADILAN DAILYSehubungan itu, usaha menarik pelancong dari negara Brunei dan dalam negeri untuk singgah di Limbang akan dipertingkatkan, LIMBANG: Jambatan Persahabatan di sempadan Malaysia-Brunei yang mula dibuka hari ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi penduduk di kawasan sekitar. Anggota Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata antara sektor yang boleh diberi tumpuan menerusi pembinaan Jambatan Persahabatan itu adalah berkaitan pelancongan. Sehubungan itu, usaha menarik pelancong dari negara Brunei dan dalam negeri untuk singgah di Limbang akan dipertingkatkan, katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Jambatan Persahabatan di sempadan Malaysia-Brunei yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah. Beliau berkata Limbang turut mempunyai tarikan pelancongan dari segi alam semula jadinya antara menjadi laluan ke Gua Mulu menggunakan Head Hunter Trail. "Tumpuan akan diberikan untuk menarik pelancong singgah di Limbang yang memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri serta persekutuan untuk membangunkan pelancongan di Limbang," katanya. Berhubung pembinaan jambatan itu, Hasbi berkata kemudahan itu sudah lama dinantikan penduduk kedua-dua negara khususnya yang menggunakan laluan di antara Limbang, Sarawak dan Temburong, Brunei. Katanya ia mengatasi masalah yang dihadapi pengguna yang selama ini terpaksa beratur lebih lima jam untuk menaiki feri menyeberangi sungai Pandaruan, yang mengambil masa kurang lima minit untuk tiba ke destinasi. Beliau berkata pembinaan jambatan itu juga akan memudahkan pergerakan dari Sabah ke Kuching iaitu sebahagian pembinaan Lebuhraya Pan Borneo. Hasbi berkata lebih penting, pembinaan jambatan itu juga hasil komitmen pemimpin kedua-dua negara iaitu menzahirkan komitmen, kerjasama dan persahabatan yang dijalin selama ini. - Bernama | ||
Pemimpin Umno gagal bangkit isu semasa, gelapkan masa depan Melayu Posted: 07 Dec 2013 11:50 PM PST Oleh : Nurul Izzah Anwar Perhimpunan Agung UMNO sudah berlangsung tetapi malangnya masih belum kelihatan kesungguhan daripada para pemimpin UMNO untuk membangkitkan isu-isu semasa yang ketara yang akan menggelapkan masa depan Melayu. Pertama; Orang lain berhutang boros, rakyat kena bayar. Isu peningkatan kos sara hidup yang semakin menekan rakyat kebanyakan tidak langsung diambil endah, malahan, Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Razak masih mengekalkan retorik lamanya dengan pendekatan, "rakyat perlu terus bersabar dan berkorban untuk keutuhan kewangan negara." Baru-baru ini, agensi penarafan antarabangsa Moody's telah menaikkan taraf kredit Malaysia kepada A3, dilaporkan atas dasar penyatuan dan pembaharuan fiskal yang berkemungkinan semakin baik, disebabkan langkah-langkah penstrukturan semula subsidi yang telah diambil oleh kerajaan. Persoalan yang gagal diketengahkan di Perhimpunan Agung UMNO adalah, bagaimana pengadaran kredit Malaysia diturunkan terlebih dahulu? Mengapalah tidak seorang pun pemimpin atau delegasi yang membangkitkan kesan dari ketirisan, korupsi dan pemborosan salah urus ekonomi ini? Akibat keborosan dan ketirisan pemerintah, rakyat terpaksa menanggung melalui 'cukai pemiutang'' seperti GST, kenaikan harga petrol, gula, tarif letrik dan cukai pintu DBKL yang berganda pada tahun depan – untuk menaikkan taraf kredit negara untuk membolehkan lebih banyak hutang negara diserahkan kepada mereka yang terpilih dalam Agenda Pemerkasaan Ekonomi Melayu (elit UMNO). Rakyat sudah pun jelas dan tahu seperti yang diumumkan mantan Presiden UMNO Tun Dr.Mahathir bahawa Najib dan konco-konconya adalah perasuah besar kerana rasuah sekarang dibawah Najib dikatakan berganda lagi dasyat berbanding zaman beliau memerintah. Apakah membasmikan barah rasuah tidak penting bagi UMNO? Kedua; Orang menjerit gagah, negara tergadai membisu. Jeritan-jeritan 1Melayu jelas menunjukkan sikap paranoia yang sengaja melepas pandang isu keselamatan serta pembelaan kedaulatan negara yang seharusnya diutamakan. Perakuan bersumpah Datuk Mat Zain Ibrahim mengenai kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Putih, pencerobohan wilayah Malaysia oleh para pengganas Sulu, isu pemberian kad pengenalan biru dan pembunuhan warga Taiwan di Sabah langsung tidak mendapat perhatian. Saya masih lagi tidak melihat mana-mana pemimpin atau perwakilan yang menuntut agar isu TPPA yang bakal merobah arena ekonomi tempatan melalui 'penjajahan ekonomi', termasuk ekonomi Melayu Bumiputra sendiri didebatkan secara khusus. Apakah keselamatan dan kedaulatan negara tergadai tidak penting bagi UMNO? Ketiga; Orang belajar tinggi, rakyat dididik rendah Isu kemerosotan kualiti pendidikan seperti yang dilaporkan dalam kajian PISA tidak mendapat perhatian sepenuhnya. Apakah perasaan ibubapa apabila mendapat tahu bahawa anak-anak dari Singapura, Korea Selatan dan Vietnam dari darjah 5 dan 6 berpendidikan sataraf dengan para pelajar Tingkatan 3 dari negara kita. Kegagalan dalam meningkatkan mutu dan pencapaian pendidikan agar kekal bersaing secara global akan terus menggelapkan masa depan anak-anak kita yang akan mewarisi kadar gaji yang malar dan budaya berhutang semata-mata untuk menyara kos hidup yang semakin meninggi. Masa depan anak-anak Melayu nampaknya perlu terus dibantu ibubapa dengan menumpang rumah, meminjam belanja dan berkongsi kereta. Apakah pendidikan berkualiti untuk berpendapatan tinggi tidak penting bagi UMNO? Kesimpulannya, UMNO hanya selesa berada dalam kepompong atau tempurung dan tidak mahu berfikir tentang cara-cara untuk memajukan negara secara keseluruhan melainkan memusatkan kuasa dan kekayaan melalui berbagai usul-usul dan penjenamaan semula dasar ekonomi hanya untuk kepentingan ahli UMNO terpilih sahaja. Jelas, masa depan Melayu dan Malaysia akan terus menggelap dibawah UMNO jika tidak melaksanakan rekonsiliasi nasional agar usaha melibatkan secara inklusif semua pihak dapat membina masa depan yang cerah. *Nurul Izzah adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat | ||
Mangsa banjir Terengganu terus meningkat Posted: 07 Dec 2013 11:48 PM PST SELANGOR KINI KUALA TERENGGANU : Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Terengganu terus meningkat kepada 22,391 orang pagi ini, berbanding 22,040 orang malam tadi. BERNAMA melaporkan, portal Majlis Keselamatan Negara memperlihatkan peningkatanberlaku di daerah Dungun apabila 360 lagi mangsa dipindahkan, menjadikan jumlah mangsa 3,764 orang daripada 936 keluarga berbanding 3,402 orang daripada 837 keluarga, sebelum ini. Bagaimanapun, tidak berlaku peningkatan jumlah mangsa yang dipindahkan di Kemaman iaitu 18,576 orang daripada 4,177 keluarga, Kuala Terengganu (6), Hulu Terengganu (19) dan Marang (26). Sementara itu, bilik gerakan banjir Jabatan Kerja Raya negeri melaporkan semua jalan utama antara Kuala Terengganu ke Kota Baharu dan Kuala Terengganu ke Kuantan boleh dilalui semua kenderaan. Jabatan Pengairan dan Saliran pula melaporkan pada umumnya paras air semua sungai utama di Terengganu berada di bawah paras bahaya, pagi ini.-NFN- | ||
Semua kawasan perlu wujud Rukun Tetangga bagi atasi isu jenayah Posted: 07 Dec 2013 11:46 PM PST Oleh : Norhayati Umor KLANG : Kawasan Rukun Tetangga (KRT) atau persatuan penduduk perlu diwujudkan di setiap kawasan untuk menyaksikan keberadaan mereka dalam masyarakat dihormati, sekali gus menjadi rujukan dalam usaha mengekang isu jenayah dan setempat. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata semua pihak harus bekerjasama bagi membuang tanggapan negatif berhubung tugas dan fungsi KRT itu. Katanya, KRT diwujudkan supaya menjadi agensi saluran kepada penduduk untuk membawa sebarang masalah atau isu berbangkit. "Ramai orang anggap, tugas utama KRT membuat rondaan waktu malam. Tetapi penduduk perlu tahu fungsi sebenar KRT yang sebenarnya lebih besar berbanding menjalankan rondaan. "KRT juga perlu agresif menyalurkan maklumat kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan polis dalam usaha membantu mengekang isu jenayah," katanya pada Majlis Mengenali Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga dan Jiran di Taman Summit, di sini, semalam. Hadir sama, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Klang (MPK), Noraini Yusof dan beberapa pegawai polis dari balai polis Klang. Khalid berkata, beliau berharap lebih ramai penduduk dan generasi muda menyertai KRT di taman perumahan masing-masing supaya lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan. "Peruntukan untuk KRT ada daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan kerajaan pusat. Jadi ia boleh digunakan dengan cara yang betul. "Kekuatan perlu diketengahkan pemimpin KRT dan ia sangat penting kerana setiap aktiviti yang diadakan bertujuan meningkatkan semangat muhibah antara mereka," katanya.-NFN- | ||
Banjir: 25 lori, kontena Amal S'gor berlepas pagi ini Posted: 07 Dec 2013 04:21 PM PST HARAKAHDAILY KUALA LUMPUR: Kumpulan pertama dari Jabatan Amal Selangor yang membawa misi bantuan barangan kepada mangsa banjir berlepas ke Pahang tengah hari tadi. Pelepasan kumpulan hampir 200 orang yang terdiri daripada Jabatan Amal Selangor, Briged Muslimat dan sukarelawan itu disempurnakan Pesuruhjaya PAS Selngor Iskandar Abdul Samad dalam satu majlis di Gombak pagi tadi. Misi yang diketuai Pengarah Jabatan Amal Selangor Khairil Anuar Ismail ini membawa barangan keperluan dengan 15 buah lori 5 tan, 10 buah lori 3 tan, sebuah lori kontena, 25 buah kenderaan pacuan empat roda dan 20 buah kereta. Antara barangan yang dibawa termasuk makanan, selimut, telekung, pakaian baru dan terpakai, pampers dan pelbagai barangan keperluan lain. Ini merupakan trip pertama dari Amal Selangor, dan trip berikutnya dijadual sepanjang minggu depan. Dalam pada itu, Jabatan Amal Selangor masih memerlukan sukarelawan dan juga sumbangan berterusan bagi membantu misi ini. Sumbangan kewangan boleh disalurkan melalui akaun Bank islam Amal Selangor 12010010035434. | ||
Tuduh Syiah Tanpa Bukti, Mat Sabu Patut Saman Zahid Hamidi Posted: 07 Dec 2013 04:14 PM PST KELAB GREENBOC Berikutan pendedahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu merupakan penganut ajaran Syiah, menteri berkaitan, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pembuktian kukuh perlu dibuat untuk menuduh seseorang itu penganut Syiah. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, ajaran Syiah bukan melibatkan parti semata-mata, kerana ia adalah berdasarkan iktikad seseorang penganut fahaman berkenaan. "Kita amat memandang ke hadapan pembuktian Datuk Seri Zahid," katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. "Dalam ajaran Syiah dia bukan libatkan parti semata-mata. Syiah tak tertulis di wajah. Ia iktikad dalaman. Nak mendakwa seseorang itu Syiah, perlu ada pembuktian," katanya. Ahmad Zahid ketika ucapan penggulungan Naib Presiden Umno memberikan kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menahan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu kerana didakwa mengamalkan fahaman Syiah. Beliau berkata, pihaknya mengetahui bahawa pemimpin nombor dua PAS itu mengamalkan ajaran Syiah. "Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam PAS. Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya. Ahmad Zahid berkata, beliau sudah mengenal pasti perkara itu dan menyeru PAS untuk mengetepikan perbezaan politik, dan bersatu menentang ancaman Syiah kerana ini merupakan soal akidah dan keselamatan negara. Jamil Khir bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada Jakim sudah mempunyai bukti untuk menahan Mohamad, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada polis. "Elok tanya Zahid. Elok tanya polis. "Kita sebenarnya daripada awal kita adakan kerjasama dengan KDN," katanya. -TMI
ULASAN GB Mudah sangat menuduh orang sebagai Syiah tanpa bukti. Mat Sabu sepatutnya ambil tindakan undang-undang ke atas Zahid Hamidi dengan menyamannya sekurang-kurangnya RM200 juta kerana ia bukan saja menjejaskan nama baiknya tetapi juga parti yang beliau menjadi Timbalan presidennya. Sebenarnya Zahid Hamidi sudah tidak ada modal lain untuk mencari publisiti di depan ahli UMNO. | ||
Naib presiden Umno keturunan Jawa yang angkuh Posted: 07 Dec 2013 04:12 PM PST
Di kejauhan ini saya tetap mengingati kepada negara tercinta. Kepada beberapa negeri yang sedang dilanda banjir dan penduduknya sedang diuji oleh Allah diharap banyak bersabar dan bermujahadah. Teringat juga kepada politik di Malaysia. Walaupun saya seharusnya kena tidur awal untuk meneruskan perjalanan esok tetapi berita yang saya baca menjadikan mata saya keras, hati juga panas meleking. Rasa menyesal pula bila akses internet meyebabkan saya terbaca berita yang saya kira sangat buruk, jahat dan terkeluar dari seorang mulut manusia yang penuh pembohongan dan fitnah. Seorang manusia yang merasakan dirinya sudah besar dan hebat, dan mula diratib oleh kawan-kawanya bakal menjadi perdana menteri. Cis, kalau beginilah bakal pemimpin masa depan Malaysia. Berita itu ialah tentang saranan naib presiden Umno keturunan Jawa, bernama Zahid Hamidi yang meminta menteri agama Jamil Khir Bahrum tangkap timbalan presiden Pas Mohamad Sabu kerana dikatakan berfahaman Syiah. Manusia Zahid ini membuat cadangan itu ketika menggulung perbahasan di hari akhir persidangan Umno. Katanya seperti mana dipetik dari laporan, dia serahkan kepada Jamil Khir untuk bertindak ke atas Mohamad Sabu. Apakah si Zahid ini sudah mempunyai bukti-bukti jelas sehinggakan membuat arahan terbuka begitu atau sekadar nak tunjuk berani? Begitukah? Kalau pun beliau ada bukti cara yang dilakukan sangatlah dangkal. Cara Zahid mengarah Jamil Khir itu tak ubah sama dengan Rosmah Mansor mengarah Najib Razak melakukan hal-hal tertentu. Apakah Zahid sekarang ini sudah mereng atau sinting sehingga sanggup membuat arahan itu? Kalau pun beliau mahu ditepok dalam perhimpunan agung Umno untuk mempamirkan dialah terhebat, tetapi kenapa dia menggunakan isu Syiah dan melibatkan orang nombor dua Pas? Apakah dia tidak tahu apa yang dia sebutkan itu menyentuh peribadi Pas? Mohamad Sabu adalah timbalan presiden Pas bukan naib presiden sepertinya? Cara Zahid itu bukan saja angkuh dan sombong tetapi ia melukai hati orang-orang Pas khasnya para pendokong Mohamad Sabu. Tidak sepatutnya seorang yang menampakkan dirinya sebagai berkeperibadian Islam, berlatar belakangan pendidikan sekolah Arab, Zahid membuat tuduhan jahat sebegitu. Cara Zaid itulah menyebabkan orang kafir meragui kepada keperibadian orang Islam seperti Zahid kerana ia sanggup melempar fitnah kering, menghukum sebelum bicara. Ia memberi kesan orang kafir akan menganggap semua orang Islam persis anak Jawa Bagan Datuh ini. Seperti mana difahamkan Mohamad Sabu sedang berunding dengan peguamnya untuk mengambil tindakan ke atas manusia Zahid itu. Teruskan, orang yang berlagak dan sombong seperti Zahid ini perlu diajar secukupnya. Kalau Mohamad Sabu amabil tindakan bukan untuk dirinya saja, tetapi demi menjaga dan membela maruah Pas juga. Tindakan perlu bagi mengingatkan si Jawa itu. Jangan dia ingat Umno adalah berkuasa penuh. Sesekali dia kena perlu diberi tahu bahawa kuasa dalam Umno tidak akan ke mana. Hari ini dia merasa seronok dan sombong kerana dianggap sebagai naib presiden tertinggi. Tetapi beliau jangan angkuh dan mudah lupa daratan, kekuasaan dan pengkat dalam politik boleh hilang sekelip mata sahaja. Sudah banyak orang yang lagi hebat daripadanya yang sudah berada dipinggir kekuasaan tetapi tercabut rahmat. Jangan kerana dia merasakan menang dengan seorang budak lelaki (yang mengorat anaknya yang menjanda) dikatakan ditumbuk mukanya budak itu sehingga renyok penyeyut maka beliau harus merasakan dia lepas. Anak Jawa itu kena ingat bahawa hari-hari mendatang belum tahu lagi milik siapa. Perwakilan Umno akan memberi sokongan dan undi bila mereka diberikan dedak dan umpan, tetapi selepas dedak dan umpan tiada, tidak akan siapa yang angguk bertepuk dan bersorak. Akan tinggalkan kamu seperti alu yang lesungnya yang induknya berlubang. Kita tunggulah apa yang akan berlaku seterusnya. Percaya dan yakinlah si pengkhinat dan munafik tidak akan dapat bertahan lama. Zahid boleh melindungi kejahatan dan munafiknya kepada budak-budak Umno baru tetapi orang Umno yang sudah berumur tahu akan sifat munafik Zahid ini dan juga macam mana sepak terajang politiknya. Saya juga ada menyimpan kisah dan cerita tersendiri mengenai orang ini mungkin sudah sampai masa untuk saya mengisahkan di sini. | ||
Kerajaan bertegas teruskan PPPM Posted: 07 Dec 2013 04:07 PM PST KUALA LUMPUR - Kerajaan tetap bertegas untuk meneruskan segala perakuan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menurutnya, pentingnya kerajaan melakukan sedemikian untuk melaksanakan PPPM itu demi pendidikan negara. "Saya selaku Menteri Pendidikan yang diberi amanah kerajaan tidak akan berdolak dalih. Kerajaan akan terus bersikap tegas untuk laksanakan segala perakuan yang telah dibuat dalam plan ini. "Tidak kira suara yang datang dari pihak manapun kerana tujuan matlamat digariskan dalam plan ini untuk mengangkat martabat masyarakat Malaysia agar kedudukan sistem pendidikan negara kita berada lebih tinggi," katanya dalam ucapan penggulungan sempena Persidangan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. Beliau turut menyarankan Biro Pendidikan Umno yang sudah lama tertubuh di semua bahagian mengambil peranan utama kehadapan dalam plan tersebut. "Bukan setakat mengetahui wujudnya PPPM ini tetapi terlibat secara langsung untuk diterjemahkan di semua peringkat akar umbi. "Kerana tiada anggota kita terkecuali mendapat faedah dengan pelan ini," katanya. Dalam ucapannya, beliau juga menyarankan agar Pendidikan Islam Sepanjang Hayat dijadikan dasar utama untuk menyebarluaskan ilmu dan kefahaman tentang Islam. "Saya telah berbincang dengan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak agar Kolej Komuniti diperluaskan peranannya sebagai Kolej Komuniti Islam mengenai Pendidikan Islam. "Di mana program latihan khusus dilaksanakan sebagai sebahagian pendidikan sepanjang hayat dapat diintegrasikan dengan program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat," katanya. Beliau berkata, setakat kini telah wujud 85 Kolej Komuniti dan program-pogram yang berkaitan Pendidikan Islam justeru beliau sarankan akan pendekatan itu dimasukkan dalam program kolej-kolej yang berkenaan. Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, modul pendidikan islam Ulul Albab juga akan diperluaskan perlaksanaannya bermula tahun hadapan. "Setakat ini ada empat sekolah bantuan kerajaan di Terengganu telah laksanakan modul ini. Untuk luaskannya, kerajaan akan libatkan sebuah sekolah agama setiap negeri pula bermula tahun 2014," katanya. "Menerusi modul ini, pelajar bukan sahaja belajar pelajaran biasa tetapi mereka sasarkan khatam hafazan sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya pelajar bukan sahaja memiliki ilmu dunia tetapi juga penghayatan Islam," katanya. | ||
PBS perlu dimansuhkan serta-merta sebelum terlewat Posted: 07 Dec 2013 04:01 PM PST BERIKUTAN kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Persidangan Agung Umno 2013, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bakal diperbaiki April 2014, Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM) berharap agar PBS dimansuhkan serta-merta sebelum terlewat kerana tempoh itu sangat lama untuk bakal calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2014. SGMM telah nyatakan bahawa PBS mempunyai terlalu banyak kelemahan sehingga TPM terpaksa menyatakan PBS akan diperbaiki sedangkan PBS telah dilaksana selama tiga tahun. Tiga tahun adalah tempoh yang kritikal jika mahu ada lagi penambahbaikkan. Mansuh dan gantikan sistem peperiksaan menggunakan modul 70 peratus teori dan 30 peratus praktikal. Mohd Nor Izzat Mohd Johari Ketua Gerak Kerja SGMM |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan