Rabu, 4 Disember 2013

BRIGED MP SEGAMBUT

BRIGED MP SEGAMBUT


BENARKAH UMNO BIMBANG MENGHADAPI PRU 14?

Posted: 03 Dec 2013 08:00 PM PST

Umno mungkin memperolehi lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum 2013, namun perwakilan parti berkenaan yang berhimpun di Kuala Lumpur minggu ini risau memikirkan peluang mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas hilang majoriti dua pertiga kerusi sejak dua pilihan raya sebelum ini.
Penganalisis melihat parti itu tidak berubah dengan pantas untuk memenuhi tuntutan rakyat yang semakin meninggi berbanding pertama kali parti itu dibentuk pada 1946.
"Umno banyak berjasa kepada orang Melayu dan negara tetapi generasi baru Melayu berfikiran berlainan daripada parti dan menyatakan apa mereka mahu.
"Parti perlu berubah dengan menerima suara kumpulan ini namun malangnya ia tidak berubah dengan cepat," kata penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Jayum Jawan kepada The Malaysian Insider.
Pillihan Raya pada 5 Mei lalu menunjukkan perubahan pemikiran Umno dan sekutu mereka dalam Barisan Nasional (BN) selepas tewas undi popular meskipun menang 133 daripada 222 kerusi Parlimen, kurang tujuh kepada Pakatan Rakyat (PR) berbanding Pilihan Raya 2008.
Umno bagaimanapun berjaya memenangi 88 kerusi berbanding 79 dalam pilihan raya sebelum itu berikutan sokongan masyarakat luar bandar dan Bumiputera.
Penganalisis melihat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mempunyai tugasan sukar memahamkan rakyat bahawa parti itu sedang mengalami transformasi.
Ia diburukkan lagi dengan persepsi bahawa parti itu mengabaikan aspek skandal, ketirisan dan pembaziran termasuk moral pemimpinnya.
Persepsi pemimpin Umno hanya mementingkan orang yang mengundi mereka masih menebal, kata penganalisis.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk A Kadir Jasin membunyikan amaran dua bulan lalu apabila berkata Umno gagal membawa pembaharuan dan ibarat burung Dodo yang akan pupus.
Dalam blognya, beliau berkata, sama ada 2,000 atau 14,000 perwakilan mengundi pada Oktober lalu, jelas menunjukkan parti itu tidak mampu untuk terus ke hadapan dan memilih barisan kepimpinan yang baru.
Berikutan perubahan dalam kepimpinan Umno pada 2009, Umno menggunakan sistem baru dengan model pilihan raya dari Amerika Syarikat.
Sejumlah 146,000 perwakilan daripada 191 Bahagian mengambil bahagian dalam pengundian tersebut yang menyaksikan penyandang masih menduduki kerusi mereka.
Sebelum itu, bekas presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar parti itu semakin nazak.
Namun Prof Madya Shaharudin Badarudin, penganalisis politik dari UiTM, berkata ramai tokoh baru dipilih Umno untuk menyertai barisan Ahli Majlis Tertinggi, dengan mengemukakan contoh seperti Datuk Johari Abdul Ghani, 49, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, 37 dan Datuk Irmohizan Ibrahim, 37.
"Persoalannya adakah pemimpin muda ini mampu menawan minda dan hati tiga kumpulan utama, belia, penduduk bandar, dan pengundi Cina," katanya merujuk kepada kumpulan yang menolak BN dalam pilihan raya.
"Ini cabaran untuk Umno menghadapi PRU14," katanya.
Sejumlah 5,726 perwakilan mendaftar untuk menghadiri perhimpunan tahunan tersebut dengan dimulakan perasmian sayap Pemuda, Wanita, dan Puteri malam tadi.
Perhimpunan tiga sayap itu akan dijalankan selama dua hari sebelum perasmian Perhimpunan Agung Umno pada 5 Disember.
Antara acara yang dinanti adalah ucapan dasar Najib dan dijangka beliau akan merangka masa depan Umno untuk PRU14 dengan pasukan barunya.
Perwakilan turut menjangkakan untuk menbincangkan sistem pemilihan baru yang menerima kritikan di peringkat akar umbi, agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan memartabatkan Islam dengan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim. - 4 Disember, 2013

Tiada ulasan: