Selasa, 17 Disember 2013

BRIGED MP SEGAMBUT

BRIGED MP SEGAMBUT


PAS LANTIK MAT SABU PESURUH JAYA PULAU PINANG

Posted: 17 Dec 2013 02:20 AM PST

.PAS hari ini mengumumkan pelantikan Mohamad Sabu sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dalam satu langkah yang dilihat untuk merapatkan hubungan parti Islam itu dengan kerajaan negeri kerana hubungan rapat Timbalan Presiden PAS itu dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Selain itu, parti Islam itu turut mengumumkan Asmuni Awi dilantik sebagai Bendahari PAS yang baru bagi menggantikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob yang melepaskan jawatannya bagi memfokuskan tugas sebagai Menteri Besar Kelantan.
"Mohamad dipilih kerana beliau adalah anak jati Pulau Pinang dan terkenal di negeri itu. Pemilihannya juga dapat meneruskan usaha hubungan baik dengan Pakatan Rakyat (PR).
"Jawatannya sebagai timbalan presiden dapat menyelaraskan kerja di negeri itu," kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur, hari ini.
Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu mula rapat dengan Lim semenjak kedua-dua pemimpin itu ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang pada tahun 1987.
Hadir sama dalam sidang media itu adalah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Ketua Penerangan Datuk Mahfuz Omar.
Salahuddin berkata, jawatankuasa PAS yang baru tidak lagi memisahkan parti itu kepada ulama dan profesional tetapi kedua-duanya bergerak seiringan mendepani cabaran politik.
Mohamad sebelum ini pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang namun ia hanya sepenggal sahaja.
Sejak dua penggal lalu, Datuk Salleh Man dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Pulau Pinang namun hubungan parti itu dengan DAP yang mentadbir Pulau Pinang tidak berapa baik.
Menjelang Muktamar PAS ke 59 lalu, dengan diketuai timbalan pesuruhjayanya, PAS Pulau Pinang mengadakan satu sidang media dengan memberikan beberapa amaran kepada kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan ketua menteri, Lim Guan Eng.
Mereka memberikan kata dua agar kerajaan negeri memenuhi tuntutan mereka.
Tindakan ini tidak disenangi oleh PAS termasuk juga presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan juga AJK PAS Pusat yang berasal dari Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof.
"Saya tidak nafikan ada masalah yang timbul dalam konteks hubungan antara parti PR dalam kerajaan negeri dan ia perlu diselesaikan.

"Tetapi membuat kenyataan secara publik dengan nada ugutan untuk keluar adalah sesuatu yang tidak bijak," kata AJK PAS Pusat yang juga Yang Dipertua PAS Bukit Gelugor, Pulau Pinang itu.
Dalam mesyuarat pertamanya selepas muktamar ke 59, AJK PAS Pusat menangguhkan perlantikan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang untuk membolehkan kajian yang mendalam dibuat.
Hari ini, keputusan dicapai untuk memilih Mohamad untuk mengetuai PAS Pulau Pinang.
Turut dilantik dalam mesyuarat hari ini ialah tiga penolong setiausaha agung iaitu Datuk Takiyudin Hassan, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob.
Selain itu, PAS Pusat mewujudkan lajnah baru yang bertanggungjawab terhadap bencana alam atau kejadian yang berlaku secara tiba-tiba dan Naib Presiden, Salahuddin Ayub dilantik mengetuai lajnah itu.
"Pusat pengurusan kecemasan dan bencana diketuai Salahuddin Ayub dan dalam bentuk ad hoc apabila berlaku sesuatu bencana dan sudah jadi lajnah tetap PAS," kata Mohamad Sabu.
Sementara itu, kekosongan satu jawatankuasa ekoran pelantikan Asmuni sebagai bendahari diisi dengan Anuar Tahir sebagai pengerusi lajnah pekerja dan pengguna.– 17 Disember, 2013.

Tiada ulasan: