Roslan SMS Corner |
Mengapa Ustaz Nik Amar - Timbalan Presiden (12/11/13) Posted: 12 Nov 2013 12:59 AM PST Dalam posting saya yang terakhir "Ustaz Nik Amar – Timbalan Presiden" saya menggariskan beberapa kualiti yang ada pada beliau yang menjadikan beliau calon terbaik untuk diangkat sebagai pemimpin nombor dua tertinggi di dalam PAS dalam Muktamar PAS minggu hadapan. Ramai bloggers dan penulis-penulis baru dan veteran samada melalui blog dan facebook atau artikel dalam portal berita tertentu turut memain peranan mempromosi calon masing-masing. Ada yang saya perhatikan terang-terang melanggar etika parti apabila bersahaja menyinggung dan merendah-rendahkan lawan, mempromosi Sdr Mat Sabu tetapi dalam waktu yang sama mengkritik dan menyerang Ustaz Nik Amar. Dalam hal itu biarlah badan yang bertanggungjawab dalam PAS menyiasat. Apa pun yang hak tetap hak. Sebenarnya diperingkat ini apa yang penting adalah untuk masing-masing menonjolkan kualiti calon masing-masing (saya percaya calon-calon sendiri, lantaran mereka calon dalam pemilihan parti, tidak pun sibuk mempromosi dan menaja diri sendiri). Ada pula yang menangguk di air keroh, kononnya apabila Zulkifli Bakar dari Utusan Malaysia mempromosi Ustaz Nik Amar maka mendakwa Umno menyokong Ustaz Nik Amar. Saya kira itu satu tuduhan nakal, dan tidak seharusnya diguna sebagai bahan kempen kecuali kerana ada maksud jahat. Teringat saya semasa Tuan Guru Presiden menjadi Ketua Pembangkang di DUN Terengganu dalam penggal pertama beliau sebagai ADUN di awal tahun 80an. Pihak penyokong kerajaan BN membawa isu surau (kelab) PAS yang disambar petir di Terengganu di dalam Dewan. Mereka menggunakan insiden itu sebagai hujah kononnya Allah tidak merestui perjuangan PAS kerana itu diturunkan petir untuk menyambar bangunan PAS. Apa balas Tuan Guru? Kata Tuan Guru, kalau begitulah hujah wakil BN maka sekaligus menandakan bahawa rumah-rumah ibadat bukan Islam, direstui oleh Allas wt kerana tiada pun gereja yang disambar petir, adakah ini bermakna Allah restu pada gereja?! Apa pun Utusan Malaysia kita akui akhbar Umno. Kalau kita tahu agenda mereka kita pun semacam mereka. Kalau kita termakan lantaran mereka mempromosi Ustaz Nik Amar, lalu kita dakwa Umno bersetuju dengan Ustaz Nik Amar, maka kita pun sama menjerat diri terkena jerat Umno. Malaysiakini, Malaysia Insider banyak mempromosi artikel anti Hudud, pro LBGT, pro murtad, lalu apabila ada calon-calon yang bertanding dalam pemilihan PAS dipromosi oleh portal-portal berita ini adakah bermakna calon-calon PAS itu juga anti Hudud, pro LBGT, pro murtad? Marilah kita berbaik sangka, yang penting kedua-dua calon adalah aktivis PAS. Tugas para perwakilan nanti adalah memilih satu antara dua yang sememangnya baik sebagai pilihan yang terbaik. Ini bukan pilihanraya umum tetapi pemilihan parti. Setelah saya menyenaraikan kualiti yang ada pada Ustaz Nik Amar dalam posting terakhir saya, seorang pengunjung blog ini yang juga seorang wakil rakyat PAS telah meminta saya mengulas pula isu yang digunakan terhadap Ustaz Nik Amar. Kononnya beliau tidak popular dikalangan ahli (tidak terkenal). Kononnya beliau jarang turun padang seluruh Malaysia. Bagi saya kerana itu kita perlu beri peluang pada beliau. Kualitinya kita telah tahu, latarbelakang pendidikan dan akademiknya kita tahu, penglibatannya dalam parti kita telah tahu, lantas berilah peluang untuk beliau berkhidmat diperingkat yang lebih tinggi. Dr Burhanuddin al Helmi pada tahun 50an dahulu boleh diangkat sebagai Presiden parti sedang beliau baru sahaja menyertai PAS, belum pun naik pentas PAS, belum pun berjumpa ahli-ahli PAS, tetapi diberi amanah oleh para perwakilan ketika itu kerana kualitinya. Terbukti di Kelantan Ustaz Nik Amar telah melaksanakan tugasnya dengan baik. Dari ahli Parlimen ke EXCO dan kini Timbalan Menteri Besar. Kelantan adalah aset terbesar uat PAS, sebuah "Universiti Terbuka" kata Mursyidul Am kita satu ketika dahulu. Ustaz Nik Amar terbukti telah lulus cemerlang dalam Universiti Terbuka ini, kini dengan kelulusan cemerlang itu berilah peluang beliau berkhidmat di peringkat yang lebih kanan dalam parti. Saya yakin dengan kemampuan beliau diganding dengan kemampuan yang sedia ada dan terbukti pada Tuan Guru Presiden kita, PAS bersama sokongan dan dokongan serta doa ahli-ahli dan pengikutnya akan terus cemerlang memartabatkan Islam di bumi tercinta ini. Selain daripada itu ada juga yang mendakwa kononnya Ustaz Nik Amar tidak membantu dalam hubungan dengan PR, benarkah begitu? Saya sendiri tidak tahu menahu, tetapi yang berkata begitu perlu mendatangkan bukti bukankah kita diajar begitu dalam Jemaah? Tidak adil untuk menembak curi kerana ia suatu perlakuan yang tidak bertanggungjawab. Kita promosilah calon kita tetapi jangan tembak atau pukul curi calon lain, kerana perbuatan sebegitulah yang bakal menyamakan kita dengan lawan politik kita. Bagi saya kedua-dua calon baik, kedua-dua calon punya harapan dan cita-cita yang baik untuk memajukan parti dan Islam . Masalahnya kita cuma ada satu kerusi untuk jawatan ini. Dan kita perlu memilih satu antara dua mereka. Lalu ukurlah dengan adil, ukurlah dengan jiwa yang kasih dan sayang pada nasib dan masa depan parti dan Islam. Semoga para perwakilan yang mewakili hati dan jiwa PAS itu akan diberi kekuatan dan hidayah oleh Allah swt untuk memilih yang terbaik antara dua mereka. All the best buat Abang Mat dan Ustaz Nik Amar, saya sekadar memberi pandangan. |
You are subscribed to email updates from Roslan SMS Corner To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan