Isnin, 4 November 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


PRK DUN Sg Limau: PAS Menang, Majoriti Merosot

Posted: 04 Nov 2013 02:52 PM PST



[MK] PAS berjaya mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti kira-kira 1,084 undi - merosot 1,690 undi daripada majoriti pada PRU13 lalu.

Calon PAS, Mohd Azam Abd Samat memperolehi 12,069 undi manakala calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim mendapat 10,985 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Abdul Rashid Othman di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan.

Seramai 85.5 peratus (23,249) daripada 27,222 pemilih dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

PAS mempertahankan kerusi tersebut bagi kali keenam berturut-turut. Pilihan raya kecil kali ini diadakan ekoran kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Razak akibat komplikasi penyakit kencing manis.


Dalam PRU13, PAS mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 2,774 undi. Ketika itu Azizan memperolehi 13,294 undi untuk menewaskan tiga lagi calon termasuk dari BN yang mendapat 10,520 undi.

Ini bermakna undi PAS merosot 1,225 undi manakala undi BN bertambah sebanyak 465 undi.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata kemerosotan majoriti yang diperolehi calon parti itu adalah kerana pilihan raya kecil tersebut diadakan pada hari bekerja.

Ini menurutnya, menyebabkan hanya 2,300 daripada 3,600 pengundi luar yang balik mengundi hari ini.

Manakala Ketua Wanita Umno Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula berkata wanita di Sungai Limau menunjukkan minat dengan BN, "tetapi memandangkan ada yang berbai'ah dengan suami, mereka takut (untuk undi BN). -4/11/13


Adun Kadamaian, Sabah Umum Keluar PKR Sokong BN

Posted: 04 Nov 2013 12:50 AM PST


[Bernama] KOTA BELUD: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Jeremmy Malajad pada Isnin mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Jeremmy yang juga Ketua Penerangan PKR Sabah berkata perkara itu berkuat kuasa pada Isnin.

Beliau yang disertai oleh kira-kira 50 bekas pemimpin PKR Kadamaian berkata demikian dalam sidang media, di sini.

Menurutnya keputusan beliau keluar daripada PKR adalah bagi memenuhi harapan rakyat di kawasannya yang mahukan pembangunan.

"Sebagai wakil rakyat yang baru dipilih oleh rakyat, saya sedar tentang harapan tinggi rakyat di kawasan yang saya wakili untuk melihat perubahan dalam bidang pembangunan khususnya kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, klinik desa dan banyak lagi pembangunan luar bandar yang menjadi isu semasa yang sentiasa dilaung-laungkan masyarakat Kadamaian," katanya.

Jeremmy berkata, kejayaan BN menangani pelbagai isu yang dibangkitkan di negeri itu semasa pilihan raya umum ke-13 membuatkan beliau meneliti semula kedudukannya sebagai wakil rakyat PKR.

"Saya sudah berjanji untuk menjadi wakil rakyat terbaik dalam memberi sumbangan dan khidmat yang diperlukan oleh rakyat, dan saya percaya rakyat di Sabah semakin yakin dengan pendekatan dan kesungguhan kerajaan BN dalam menyelesaikan isu berbangkit," katanya.

Sambil menyatakan komitmennya tidak berubah dalam membantu rakyat di kawasannya, Jeremmy berkata beliau mahu terlibat secara langsung bagi merealisasikan pelbagai program transformasi yang dilaksana oleh kerajaan BN.

Dalam pilihan raya umum lepas, Jeremmy memperoleh 5,877 undi berbanding penyandang Timbon@Herbert Langadan daripada BN yang menerima 4,988 undi dalam pertandingan empat penjuru. -4/11/13


 P/s: Katak pertama selepas PRU13. Pengkhianat rakyat pertama selepas PRU13.


Laporan Berkaitan:

Keluar PKR: Jeremy Khianati Rakyat Sabah


[HD] KUALA LUMPUR: Tindakan Adun Kadamaian, Jeremy Malazad mengisytiharkan melepas semua jawatan serta keluar daripada PKR hari ini tidak lain dan tidak bukan merupakan satu pengkhianatan besar kepada rakyat Sabah dan Malaysia. 

Sehubungan itu, PKR mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak beretika itu, tegas Naib Presiden parti itu, Tian Chua bagi pihak Setiausaha Agung dalam satu kenyataan malam ini.

Pada masa yang sama, jelasnya PKR akan menghantar surat tunjuk sebab kepada Adun Matunggong, Jelani Hamdan yang dipercayai turut merancang untuk mengkhianati amanah yang diberi rakyat Sabah.

"Kenyataan bahawa mereka berdua telah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti hanyalah satu helah dan alasan biasa bagi mengiakan langkah-langkah pengkhianatan mereka ini," ujarnya.

Tambahnya, tindakan Adun lompat parti sebegini adalah modus operandi biasa Barisan Nasional di Sabah untuk cuba melemahkan semangat perjuangan rakyat yang menginginkan perubahan.

Oleh itu, tegasnya PKR menggesa rakyat Sabah untuk bersatu dan tidak membiarkan taktik Barisan Nasional itu memecah-belahkan semangat perjuangan dan reformasi, demi Sabah yang lebih baik. -4/11/13


Gambar Wanita UMNO Dakwa Ditumbuk Pemuda PAS Tersebar

Posted: 03 Nov 2013 11:46 PM PST


Gambar di atas tersebar secara meluas dalam blog dan FB penyokong UMNO. Wanita itu dikatakan mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital. 

Manakala Bernama melaporkan Ketua Polis Kedah mengesahkan pihaknya menerima laporan anggota jawatankuasa (AJK) Wanita Umno Batu ditumbuk Pemuda PAS di Ulu Sedaka.

Lihat gambar wanita tersebut yang tidak disiarkan oleh penyokong UMNO di bawah ini.


Lapor Bernama dengan memetik kata-kata wanita itu berbunyi:

PRK DUN Sungai Limau: Kes penyokong Pas tumbuk wanita disiasat
[Bernama] ....Mereka kemudiannya didatangi sekumpulan lelaki dari Pas yang menyuruh mereka beredar dengan alasan tempat berkenaan milik mereka, katanya.

"Disebabkan keengganan kami (untuk beredar setelah didesak oleh kumpulan lelaki itu), maka mereka bertindak kasar hingga polis terpaksa mententeramkan keadaan.

"Tiba-tiba seorang lelaki berusia 30an menumbuk bahagian mata saya dengan tangannya yang dibaluti bendera Pas. Akibat tumbukan kuat itu, saya terus rebah dan hampir pitam," katanya.

Beliau kemudiannya dibawa untuk menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ulu Sedaka berhadapan sekolah berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Yan untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Doktor menyuntik ubat tahan sakit dan menasihatkan saya supaya kembali ke hospital jika mata saya masih berdenyut dan sakit dalam masa 24 jam ini
," katanya yang telah sembilan hari berada di sini untuk berkempen bagi meraih undi di DUN Sungai Limau. Berita penuh di sini.



Anda nilai sendiri.


Laporan Berkaitan:

Mukhriz Kesal Insiden Wanita Umno Ditumbuk

[Mstar] YAN: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir kesal dengan insiden keganasan apabila seorang petugas Wanita Umno ditumbuk oleh seorang penyokong PAS di Ulu Sedaka di sini, awal pagi Isnin.

Menurut Mukhriz, insiden tersebut mencemari budaya 'politik damai' yang diamalkan sejak hari pertama berkempen pada 23 Oktober lalu.

"Saya terima laporan bahawa salah seorang jentera Wanita kita telah ditumbuk oleh seorang pemuda PAS.

"Ini sangat-sangat mengecewakan kita kerana apa yang digembar-gemburkan sebagai politik damai dicemari dengan insiden seperti ini," katanya ketika ditemui sewaktu melakukan tinjauan di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Bukit Besar di sini. -4/11/13




Dua ADUN PKR Sabah di Ambang Tinggalkan Parti

Posted: 03 Nov 2013 10:42 PM PST


[MStar] KOTA KINABALU: Ketiadaan dua pemimpin PKR Sabah pada pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hujung minggu lalu sekali lagi bagai mengiyakan bahawa kedua-dua pemimpin itu tidak berpuas hati dengan parti itu.

Kedua-dua Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) ini - Jailani Hamdan (Matunggong) dan rakan sejawatannya, Jeremy Malajad @ Malazad (Kadamaian), dikatakan berada di ambang untuk meninggalkan PKR.

Ketika dihubungi, Jailani memberitahu 'The Star', "Saya belum mencapai tahap itu lagi. Walau bagaimanapun saya tidak menolak kemungkinan meninggalkan parti."

Jailani berkata, beliau dan Jeremy tidak menghadiri mesyuarat perhubungan PKR Sabah dengan Anwar pada Sabtu (1 Oktober) kerana mereka melihat tidak ada gunanya untuk mereka menghadirinya.

"Kami tidak boleh bekerja dengan ketua PKR Sabah Datuk Seri Lajim Ukin lagi," katanya, Isnin.

Beliau berkata, Anwar dan Lajim telah mengabaikan panggilan berulang mereka untuk mendapatkan wakil yang lebih baik untuk masyarakat Kadazandusun - Rungus dalam barisan kepimpinan negeri.

Khususnya, Jailani berkata, mereka telah meminta jawatan timbalan pengerusi PKR diisi wakil Kadazandusun - Rungus seperti mana yang dijanjikan Lajim tetapi kemudiannya melantik Adun Api-Api, Christina Liew.

"Saya tidak menentang sesiapa tetapi terdapat tiga Adun dan ahli Parlimen daripada masyarakat Kadazandusun - Rungus dalam PKR. Apa yang kita minta adalah keadilan," katanya.

Beliau berkata sebagai ketua PKR Sabah, Lajim sengaja mengenepikan pemimpin Kadazandusun dan Rungus.

Beliau berkata, Anwar juga telah menamakan Lajim sebagai ketua pembangkang di Sabah tanpa berunding dengan Adun PKR dan DAP dengan sebaiknya.

Jailani berkata, ramai di kalangan Adun PKR dan DAP tidak memihak kepada Lajim yang menjadi ketua pembangkang.

"Malah di peringkat awal perbincangan nama Lajim tidak disuarakan tetapi tiba-tiba beliau dinamakan sebagai ketua pembangkang," katanya. -4/11/13


Pengawal Keselamatan Buat Laporan Polis Dakwa Ditampar 'Datuk Seri'

Posted: 03 Nov 2013 09:20 PM PST

Sekadar hiasan.

[Mstar] KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat terhadap seorang individu menggelarkan dirinya 'Datuk Seri', didakwa menampar seorang pengawal keselamatan yang memintanya untuk mengalihkan kereta yang diletakkan di tempat yang tidak mengikut peraturan di sebuah pusat membeli-belah di Bandar Baru Klang.

Bekas anggota polis Nepal, Prakash Adhikari, 35, berkata, 'Datuk Seri' dan sekumpulan lelaki itu menaiki kereta Mercedes Benz hitam yang diletakkan di tempat letak kereta VIP di hadapan Centro Mall di sini pada kira-kira pukul 5 petang Rabu.

Beliau berkata, nombor pendaftaran kenderaan itu tidak didaftarkan untuk kemudahan mana-mana tempat letak kereta berkenaan tetapi lelaki tersebut tidak mengendahkan papan tanda tidak boleh meletakkan kenderaan dan kon trafik, malah kemudiannya meletakkan kenderaannya di kawasan berkenaan.

"Saya beritahu dia yang dia tidak boleh letak kereta di situ kerana saya tidak kenal nombor pendaftaran keretanya dan saya minta dia untuk pergi ke kawasan tempat letak kereta seperti yang digunakan oleh mereka yang lain.

"Dia kemudiannya berkata kepada saya, 'Adakah awak tahu siapa saya? Saya ni Datuk Seri... awak Pati (Pendatang Asing Tanpa Izin) tak guna," kata Prakash.

Pengawal keselamatan itu terus berkeras meminta lelaki terbabit untuk mengalihkan kereta dan cuba untuk menghubungi pengurusan pusat membeli-belah apabila lelaki tersebut menampar mukanya sebanyak dua kali.

Lelaki itu dan teman-temannya kemudian beredar untuk pergi menjamu selera di pusat membeli-belah berkenaan dan membiarkan keretanya diletakkan di kawasan tersebut.

"Terdapat kesan lebam di mula saya dan bibir saya berdarah. Saya memberitahu pihak pengurusan pusat membeli-belah mengenai perkara itu tetapi mereka tidak mengambil sebarang tindakan terhadap lelaki terbabit.

"Saya tidak buat apa-apa yang salah, saya hanya cuba untuk melakukan kerja saya," katanya.

Penyelia Prakash, Awaluddin Kassim berkata, lelaki yang dikatakan sebagai 'Datuk Seri' itu menggelarkan dirinya sebagai Manimaran dari Pahang.

Awaluddin menambah bahawa beliau membuat laporan polis mewakili Prakash di Balai Polis Bandar Baru Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong mengesahkan laporan itu dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. - 4/11/13


Tiada ulasan: