Selasa, 19 November 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Program Pembangunan Vendor Petronas: Dahulu 77, Kini Tinggal 11 Syarikat Bumiputera

Posted: 19 Nov 2013 05:30 AM PST


[HD] KUALA LUMPUR: Daripada 77 syarikat bumiputera bertaraf Program Pembangunan Vendor (VDP) yang dilantik, kini cuma tinggal 11 sahaja apabila pengurusan Petronas menutup sebelah mata penghapusan secara sistematik program itu yang kononnya terpaksa dilakukan akibat kegagalan beberapa syarikat serta aktiviti monopoli dan rasuah. 

"Tetapi agak menghairankan apabila monopoli masih dibiarkan berlaku di luar program VDP," dakwa Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dalam satu kenyataan. 

Menurut kenyataan itu, lebih memburukkan keadaan apabila syarikat asing diberi 'lampu hijau' 70% untuk menguasai sesebuah kontrak dengan mengguna-pakai perjanjian usahasama yang tidak saksama dan tidak menguntungkan syarikat tempatan.

Yang berikut ialah penuh kenyataan MTEM.

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengucapkan syabas kepada Petronas yang telah begitu bermurah hati menganugerahkan kontrak sebesar RM10 billion kepada enam syarikat 'tempatan' selama 5 tahun bagi projek 'Pan Malaysia Integrated Offshore HUC/TMM' baru-baru ini. Sesungguhnya ia merupakan satu rekod diluar kebiasaan berdasarkan tempoh serta nilai kontrak yang diwar-warkan. 

MTEM tidak berminat untuk mempersoalkan kelayakan mahupun status keMelayuan yang ada pada syarikat-syarikat yang telah dilantik oleh Petronas. Walaubagaimanapun, sekiranya dibandingkan jumlah tersebut dengan bajet perbelanjaan sebanyak RM200 billion Petronas, peruntukan RM10 billion cuma sekitar 5% sahaja. 

Jika dibandingkan pula dengan amanat YAB Perdana Menteri yang mahu Petronas memperuntukkan sebanyak RM100 billion untuk Program Pembangunan Vendor (VDP) bagi 22 skop kerja melalui agenda pemerkasaan Bumiputera, sudah tentulah jumlah RM10 billion menjadi kecil sekali. 

Jika agenda Pemerkasaan Bumiputera dijadikan ukuran, maka tugas Presiden dan CEO Petronas pasti sukar sekali. Program VDP bukan sahaja wajib diperkuatkan, bahkan mesti dijadikan penunjuk prestasi utama (KPI) kepada keberkesanan pentadbiran seorang Ketua Pegawai Eksekutif. 

Semenjak mengambil alih teraju Petronas, beliau nampaknya kurang berkesan dalam memperkasakan usahawan Melayu di Petronas. 

Dakwaan ini ada asasnya. Sebagai contoh, dalam rantaian kerja 'Exploration & Production (E&P)' skop untuk kerja-kerja upstream seperti Drilling & Completion, Seismic Monitoring dan sebagainya masih dimonopoli syarikat asing; manakala kerja-kerja Pembangunan seperti Engineering, Design & Construction (termasuklah skop kerja Hook Up Commissioning & Topside Major Maintenance yang baru dianugerahkan Petronas) yang dahulunya banyak diberi kepada syarikat Bumiputera kini dikuasai syarikat tertentu sahaja. Lebih memburukkan keadaan apabila Petronas mewajibkan usahasama dengan syarikat asing. 

Akibatnya, syarikat-syarikat Melayu yang dahulunya begitu berjaya, tiba-tiba terkeluar daripada senarai pendek Petronas. 

Petronas juga dilihat sukar untuk mengiktiraf kepakaran tempatan. Sebagai contoh, khidmat 'chemical fluid for deepwater drilling' bernilai RM700 juta boleh diberi kepada dua buah syarikat asing; tetapi khidmat 'chemical fluid for shallow water drilling' yang bernilai RM1.6 bilion hanya diberi kepada sebuah syarikat tempatan, sedangkan masih ada beberapa syarikat Bumiputera lain yang mampu melaksanakannya. 

Bahkan dilaporkan ada syarikat Bumiputera yang telah membina kilang kimia mereka di Gebeng, Kuantan dengan mendapat pinjaman bank tetapi hampir 'gulung tikar' apabila peluang mereka dinafikan Petronas. 

Hakikatnya, daripada 77 syarikat bertaraf VDP yang dilantik kini cuma tinggal 11 sahaja apabila pengurusan Petronas menutup sebelah mata penghapusan secara sistematik program VDP yang kononnya terpaksa dilakukan akibat kegagalan beberapa syarikat serta aktiviti monopoli dan rasuah. Tetapi agak menghairankan apabila monopoli masih dibiarkan berlaku di luar program VDP. 

Lebih memburukkan keadaan apabila syarikat asing diberi 'lampu hijau' 70% untuk menguasai sesebuah kontrak dengan mengguna-pakai perjanjian usahasama yang tidak saksama dan tidak menguntungkan syarikat tempatan.

MTEM percaya bahawa masih terlalu banyak ruang untuk kontraktor dan pembekal Bumiputera memainkan peranannya di Petronas. 

Program VDP sebagai contoh perlu diperkuatkan dan bukan disempitkan, manakala tempoh perlaksanaannya dilanjutkan daripada 5 tahun kepada sekurang-kurangnya 10 tahun. 

Ini bagi memberi peluang kepada sesebuah syarikat melaksanakan modul perniagaan yang berkesan dan menyeluruh, merangkumi aspek pelaburan, pembangunan dan latihan. 

Petronas juga tidak perlu takut untuk melaksanakan 'carve-out' suatu kaedah pembahagian kontrak yang terbukti berjaya dilaksanakan untuk projek KV MRT contohnya. 

MTEM berharap agar Petronas lebih ikhlas dan lebih yakin kepada kemampuan usahawan dan kontraktor Minyak & Gas tempatan; terutama dalam melaksanakan kerja-kerja yang jauh lebih teknikal dan rumit. 

Hal ini telah dibuktikan melalui kejayaan beberapa syarikat Bumiputera mendapat pengiktirafan antarabangsa setelah menyiapkan projek-projek upstream bersama syarikat minyak asing di Malaysia dan di luar negara. 

Mereka dihormati kerana kualiti kerja yang bermutu dan efisien serta tawaran harga yang kompetitif. Malang sekali apabila mereka sering dianaktirikan apabila berurusniaga di Malaysia. 

MTEM berpendapat bahawa polisi baru yang sedang direncanakan oleh Petronas harus dirombak semula agar kembali mengutamakan tenaga serta kepakaran anak watan. 

Usahasama dengan syarikat asing, sekiranya perlu mestilah mengutamakan kebajikan syarikat tempatan disamping memastikan berlakunya proses pertukaran teknologi dan ilmu. 

Akhir sekali, penglibatan vendor Melayu dan Bumiputera dalam melaksanakan kerja-kerja di Petronas harus digandakan agar mampu mencapai agenda pemerkasaan Bumiputera serta Wawasan 2020 sebagaimana yang diimpikan oleh pemimpin negara dulu dan sekarang. - 19/11/13


P/s Hidup Melayu, hidup UMNO!!!!



[Video] Ibrahim Ali Jalani Hukuman Penjara Sehari Sambil Minum Teh Tarik

Posted: 19 Nov 2013 04:08 AM PST


Ibrahim Ali Habiskan Masa dengan Teh Tarik


[MK] Presiden kumpulan pendesak Melayu Datuk Ibrahim Ali menarik perhatian media hari ini, hanya selepas tiga jam dijatuhkan hukuman selepas didapati bersalah menghina mahkamah.

Walaupun didenda RM20,000 dan penjara sehari serta dibawa ke lokap di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, beliau dilihat berada di kafeteria kita-kira jam 4 petang tadi.

Ibrahim, bersama peguam dan rakan-rakan dilihat sedang minum teh tarik.

Ditanya kenapa beliau keluar daripada lokap lebih awal daripada jam 5 petang, Ibrahim berkata, pegawai terbabit membenarkannya keluar selepas membayar denda.

Beliau bagaimanapun dimaklumkan supaya tidak meninggalkan kompleks mahkamah sehingga jam 5 petang.

Mengulas keputusan hari ini, Ibrahim walaupun menerima keputusan itu menafikan membuat kenyataan yang menghina mahkamah.

Katanya, beliau tidak pernah membuat sebarang kesalahan tetapi masalahnya apabila media memutar kenyataannya.

"Saya mangsa keadaan, mangsa media sosial," katanya. - 19/11/13

Berkaitan:

Hina Mahkamah: Penjara, Denda untuk Ibrahim Ali

[MK] Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali dan penulis blog Zainuddin Salleh bersalah atas kesalahan menghina mahkamah.


Kesalahan itu merujuk kepada penerbitan satu tulisan Zainuddin di laman web PERKASA pada 7 Januari lalu yang dianggap mencalar imej Hakim Mahkamah Tinggi Datuk VT Singham.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari ke atas Ibrahim, berkuatkuasa hari ini dan juga denda RM20,000.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara empat minggu ke atas Zainuddin, berkuatkuasa hari ini.

Zainuddin dalam tulisannya mendakwa Singham, yang mendengar kes saman difailkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Utusan Malaysia pada masa itu, sebagai pro-pembangkang.

Zainuddin juga mempersoalkan orientasi seksual hakim berkenaan dan menyatakan bahawa hakim tersebut masih bujang.

Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Datuk John Louis O'Hara.Susulan itu, Ibrahim diperintahkan ditahan di lokap kompleks mahkamah Kuala Lumpur sehingga jam 5 petang ini.

Dalam penghakimannya, Hakim O'Hara berkata tindakan oleh kedua-dua defendan merupakan serangan ke atas Hakim Singham dan turut mempersoalkan integriti dan kesaksamaan hakim tersebut.

Tambahnya, tulisan di laman web tersebut juga sub judice kerana Hakim Singham pada waktu itu mendengar kes saman oleh Anwar ke atas Utusan Melayu (M) Bhd dan ketua pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak.

"Penghakiman yang sesuai perlu dibuat. Saya berharap ini menjadi penghalang kepada sesiapa yang menghina mahkamah," kata O'Hara.

Sementara itu, peguam Ibrahim, Adnan Seman @Abdullah berkata hakim enggan membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman, yang menyebabkan Ibrahim terpaksa dipenjara selama sehari hari ini.

"Saya akan failkan rayuan ke atas hukuman itu esok... dengan asas bahawa laman web tersebut tidak dimiliki oleh PERKASA," kata Adnan kepada pemberita. - 19/11/13




[Gambar] Wajah Remaja yang Dikatakan Hilang di Villa Nabila

Posted: 19 Nov 2013 01:00 AM PST

Norhayati Mohamad, 38, memeluk anaknya Mohamad Izzat Izzuddin Hussin, 16, yang ditemui selamat di sebuah rumah seorang rakannya di Taman Desa Mutiara ketika ditemui pemberita di Kampung Hajah Hasnah di Johor Baharu, Selasa. Mohamad Izzat menggempar orang ramai setelah tersebarnya maklumat di laman sosial yang mendakwa dia bersama 30 remaja dilaporkan hilang selepas memasuki rumah agam yang lebih dikenali Villa Nabila yang dikaitkan dengan cerita paranormal. -fotoBERNAMA

Ditemui Bersama Teman Wanita

[HM] JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Shariff mengesahkan remaja berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang kononnya disorokkan di Villa Nabila ditemui bersama teman wanitanya di Desa Mutiara pada jam 12 tengah malam tadi.

Sehubungan itu beliau berkata orang ramai dinasihatkan menghentikan khabar angin mengenai villa berkenaan kerana menganggu tugasan polis.

"Rumah berkenaan adalah milik persendirian jadi kita tak boleh sita. Bagaimanapun kita terpaksa bertindak buat kerja kerana ia mengakibatkan kesesakan teruk di hadapan kediaman itu.

"Hentikan juga penyebaran di laman sosial. Malah kita akan serahkan kepada SKMM untuk mengambil tindakan kepada pemilik akaun laman sosial yang menyebarkan maklumat palsu," katanya.

Berita awal di sini.



Pemilihan PAS: Geng Bersama PR atau Geng Kaji Balik Hubungan, Siapa Pilihan Perwakilan?

Posted: 18 Nov 2013 11:46 PM PST

Pemilihan PAS: Antara Bersama Pakatan atau Kaji Balik Hubungan, kata penganalisis

[TMI] Para penganalisis dan pemerhati sepakat, pertandingan dalam PAS kali ini adalah antara memperkuatkan kedudukan parti dalam Pakatan Rakyat (PR) atau mengkaji semula hubungan itu.

Inilah yang boleh dilihat daripada trend kempen yang sedang hangat berlangsung dalam PAS sekarang menjelang muktamar yang bermula 22 hingga 24 November ini di Shah Alam.

"Berdasarkan trend yang ada, saya rasa golongan yang mahu PAS lebih rapat dengan PR akan lebih diterima berbanding dengan golongan yang mahu ia dikaji semula," kata Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Abu Bakar kepada The Malaysian Insider.

Kumpulan ulama dalam PAS sejak awal lagi mengambil posisi untuk mengkaji hubungan PAS dalam PR dengan dakwaan ia telah melemahkan sokongan Melayu kepada PAS apabila mereka meluluskan resolusi mengenainya semasa Multaqa Ulama SeMalaysia anjuran Dewan Ulama PAS di Alor Setar beberapa bulan lalu.

Namun, kebanyakan pemimpin dan perwakilan PAS dijangka akan menolak idea ini berdasarkan fakta bahawa hubungan dengan PR banyak memberikan manafaat kepada mereka.

Namun begitu, menurut Hisomuddin, ia berbeza dengan trend kempen yang berlaku dalam Pemuda PAS.

Beliau menjangkakan, pemilihan dalam Dewan Pemuda PAS akan lebih dipengaruhi oleh kumpulan iaitu antara kumpulan pro ulama yang dikira konservatif dan kumpulan bukan ulama yang dikira lebih progresif dan dipengaruhi oleh profesional dalam PAS.

"Saya rasa, pemimpin pemuda yang cenderung kepada kumpulan ulama akan menang dalam pemilihan kali ini," kata Hisomuddin yang memimpin banyak kajian khasnya politik di negara ini.

Untuk Dewan Muslimat pula, perwakilan dijangka mengekalkan pemimpin yang lama kerana ia hanya berupa pertandingan ulangan sahaja antara penyandang dan pencabar manakala Dewan Ulama telah memutuskan untuk mengekalkan pemegang jawatan masing-masing.

Berdasarkan pandangan ini, Hisomuddin menjangkakan penyandang jawatan timbalan presiden PAS Mohamad Sabu yang mewakili kumpulan pro memperkukuhkan PR akan menang mengalahkan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

Namun, kumpulan pro ulama akan lebih mendominasi pemilihan dalam Pemuda PAS. Ini bermakna, Kamaruzaman Mohamad yang dikira mewarisi kepimpinan Nasarudin Hassan akan mengalahkan Suhaizan Kayat dan seorang lagi calon Zulhazmi Sharif.

"Di atas kertas, Suhaizan bukan sahaja terpaksa berdepan dengan geng ulama tetapi kehadiran Zulhazmi juga memecahkan undinya," kata Hisomuddin.

Siti Zailah Yusof dan timbalannya Dr Siti Mariah Mahmud dijangka akan mengekalkan jawatan ketua dan timbalan ketua Dewan Muslimat PAS. Selain pencapaian, kedua-dua mereka juga wakil rakyat yang terus menang dalam pilihan raya umum lalu.

Tiga negeri utama yang mempunyai perwakilan yang ramai iaitu Johor (26 kawasan), Perak (24) dan Selangor (24) sudah tentu akan pro kepada memperkukuhkan kerjasama dengan PR walaupun mereka juga rapat dengan ulama.

Ini kerana, sokongan orang bukan Melayu iaitu Cina dan India sangat penting untuk PAS menang dan ini dirasai mereka dalam pilihan raya umum lalu.

Setiap kawasan (yang dibentuk berdasarkan kawasan parlimen) boleh menghantar antara lima hingga 10 perwakilan ke muktamar berdasarkan jumlah keahlian di kawasan berkenaan.

Walaupun berasal dari Kelantan, Nik Amar dijangka tidak akan mendapat sokongan penuh daripada negeri yang ditadbir oleh PAS. Ini kerana, mereka berpecah dalam memberikan sokongan walaupun Nik Amar adalah Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Bagi veteran PAS, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Nik Amar sukar untuk menang kerana ahli PAS mahu beliau memberikan tumpuan kepada Kelantan bagi membantu Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub mentadbir negeri itu setelah ketiadaan Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam pentadbiran negeri.

Kelantan mempunyai perwakilan yang ramai dalam muktamar kali ini kerana mempunyai 14 kawasan dan mempunyai bilangan ahli yang ramai pula.

Di Kedah, hanya dua daripada 15 kawasan (Baling dan Merbok) dijangka memberikan sokongan penuh kepada Nik Amar manakala selebihnya akan menyokong Mohamad Sabu.

"Pada peringkat awalnya, sokongan untuk Mat Sabu agak teruk akibat isu Syiah tetapi oleh kerana lawannya sangat tidak dikenali, kebanyakan perwakilan di negeri ini dijangka menyokong Mat Sabu," kata Taib Ahmad, seorang bekas aktivis PAS yang kini menjadi pemerhati politik Kedah yang fanatik.

Kedah dijangka menghantar perwakilan yang ramai walaupun mempunyai 15 kawasan sahaja. Ini kerana, sebagai kubu kuat PAS, setiap kawasan mempunyai ahli yang ramai.

Perak yang mempunyai 24 kawasan juga dijangka memberikan sokongan lebih besar kepada Mat Sabu.

Isunya adalah Perak sangat memerlukan sokongan bukan Islam dan ia boleh diperoleh melalui kerjasama dengan PR.

"Sekurang-kurangnya tiga kawasan sekitar saya, Pasir Salak, Teluk Intan dan Lumut akan memberi undi kepada Mat Sabu. Hanya Bagan Datuk bagi kepada Nik Amar," kata Abdul Razak Ahmad, yang bakal menjadi perwakilan dari Pasir Salak, Perak.

Tinjauan The Malaysian Insider di Terengganu mendapati, 80 hingga 90% perwakilan mereka akan mengundi Mohd Amar dalam pemilihan kali ini.

Sikap ini juga diambil oleh pimpinan utama PAS di Terengganu yang dipimpin oleh Pesuruhjaya Mohamad Abdul Wahid Endut.

"Untuk timbalan kita bagi kepada Nik Amar. Untuk naib kita akan bagi kepada Datuk Tuan Ibrahim (Tuan Man), Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz (Omar)," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider, satu kenyataan yang mengejutkan kerana Datuk Abu Bakar Chik, pemimpin PAS yang berasal dari Terengganu yang turut bertanding, tidak termasuk dalam senarai mereka.

Walaupun PAS Terengganu dianggap penyokong kuat kumpulan ulama, namun undi mereka tidak mempunyai pengaruh besar kerana hanya ada lapan kawasan sahaja di Terengganu.

Turut dijangka menyokong Nik Amar adalah Perlis. Namun dengan hanya tiga kawasan, sokongan negeri ini kurang berkesan. - Zulkifli Sulong 19/11/13

Pelajar Cemerlang "Projek" dengan Teman lelaki di Rumah Nenek

Posted: 18 Nov 2013 09:41 PM PST

Sekadar hiasan.
Dirogol dalam Rumah Nenek

[SH] SETIU – Seorang pelajar tingkatan satu dirogol teman lelaki yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook di dalam bilik tidur rumah neneknya di Kampung Bintang, di sini, awal pagi semalam. Pelajar cemerlang sebuah sekolah menengah di Besut itu dikatakan dirogol sebanyak dua kali oleh kekasihnya itu yang dikenalinya baru sebulan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, suspek berusia 15 tahun yang merupakan pelatih sebuah pusat latihan kemahiran telah datang ke rumah mangsa pada jam 12 tengah malam Khamis lalu dan mereka didakwa tidur bersama.

"Mangsa dan suspek dikatakan telah melakukan seks sebanyak dua kali iaitu pada jam 1 pagi dan 6.30 pagi Jumaat di dalam bilik tidur mangsa tanpa disedari ahli keluarganya," katanya.

Ab Rahman berkata, perbuatan suspek bagaimanapun terbongkar apabila adik perempuan mangsa yang berumur 7 tahun masuk ke dalam bilik kira-kira jam 2 petang hari sama dan ternampak ada lelaki di dalam bilik.

Katanya, adik mangsa bertindak memberitahu bapa saudara mangsa yang kemudian memeriksa bilik berkenaan.

"Terkejut dengan kehadiran bapa saudara kekasihnya, suspek yang berasal dari Besut itu cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh bapa saudara mangsa sebelum diserahkan kepada polis," katanya.

Mangsa tinggal bersama neneknya di rumah berkenaan manakala ibu bapanya bekerja di daerah lain.

Suspek ditahan reman untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. - 19/11/13


P/s: Cerdik akademik tidak semestinya cerdik sahsiah.


Budak Lelaki Hilang di Villa Nabila Ditemui

Posted: 18 Nov 2013 07:11 PM PST



[mSTAR] JOHOR BAHRU: Budak lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang selepas memasuki Villa Nabila, sebuah banglo yang terbiar di sini dan disenaraikan sebagai salah sebuah dari lima tempat paling menyeramkan di negara ini, telah dijumpai.

Mohamad Izzat Izzudin Hussin, dikatakan telah berada di rumah seorang kawannya di Bandar Dato Onn, di sini.

Ibunya Norhayati Mohamad, 39, berkata, polis memaklumkan kepada beliau bahawa anaknya telah ditemui sekitar pukul 2 pagi Selasa.

"Saya lega kerana saya benar-benar percaya bahawa makhluk halus telah mengambil anak saya," katanya ketika dihubungi.

Norhayati berkata, beliau berjaya bercakap dengan anaknya secara ringkas dan anaknya memberitahu bahawa dia telah terlupa untuk memberitahu ibunya di mana dia berada.

"Dia tidak pernah hilang seperti ini sebelum ini, sekarang saya hanya berasa lega, " katanya, sambil menambah anak lelakinya itu masih disoal siasat oleh pihak polis pada masa ini.

Sebelum ini dilaporkan bahawa seorang remaja lelaki telah hilang selepas dia dilihat memasuki bangunan terbiar di Danga Bay di sini pada sabtu.

Turut dilaporkan bahawa sekumpulan 23 kanak-kanak juga telah hilang.

Polis, bagaimanapun, menafikan laporan yang kedua.

Portal pelancongan yang berpangkalan di AS, Expedia baru-baru ini menyenaraikan Danga Bay sebagai antara lima tempat yang paling berhantu di Malaysia kerana lokasi Villa Nabila.

Banglo ini terletak di atas bukit yang menghadap ke Selat Johor. - 19/11/13


Berkaitan:

Villa Nabila: Hanya Seorang Gagal Pulang


Seorang anggota polis memasang pita bagi menghalang orang ramai dari memasuki kawasan villa di Jalan Skudai, semalam . Gambar kecil, remaja hilang seperti disiarkan dalam Facebook Polis Johor.


[SH] JOHOR BAHRU - Bagaikan pesta keramaian, sebuah banglo tinggal di Jalan Skudai, di sini, dikerumuni orang ramai setelah tersebar berita yang mendakwa sekumpulan 30 remaja dilaporkan hilang selepas memasuki rumah agam itu, awal pagi kelmarin.

Tujuh daripada mereka didakwa ditemui, manakala baki 23 lagi masih hilang.

Peristiwa pelik ini dikaitkan dengan fenomena paranormal di kediaman dikenali Villa Nabila.

Ia sudah menjadi viral di laman sosial dalam pelbagai versi, sekali gus mengundang rasa ingin tahu dalam kalangan penduduk sekitar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh, bagaimanapun, menafikan dakwaan kehilangan sekumpulan remaja berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 39 tahun dari Majidee, di sini, yang mengatakan anaknya gagal pulang ke rumah, sejak Sabtu lalu.

Menurutnya, pengadu itu menyatakan pada Sabtu lalu, jam 3.30 petang, anak lelakinya, Mohamad Izzat Izzudin Hussin, 16, keluar bersama rakan ke bandar raya ini.

Selepas mendapati anaknya itu belum pulang, wanita tersebut bertindak menghubungi rakan anaknya.

"Pada Ahad, kira-kira jam 7.30 malam, ibu remaja itu dihubungi seorang kenalan anaknya yang memberitahu remaja itu bersama rakan-rakannya telah masuk ke Villa Nabila," katanya.

Abdul Samad berkata, gerakan mencari dilancarkan, melibatkan anggota polis, bomba dan penyelamat serta Unit Pengesan Anjing (K9), tetapi mereka gagal menemui sesiapa pun di kawasan itu.

Mengulas pelbagai spekulasi dan versi cerita berkaitan di laman sosial, Abdul Samad menegaskan, individu terlibat diminta tidak menyebarkan berita yang tidak dapat dipastikan kesahihan sumber dan orang ramai dinasihatkan tidak mempercayai ia secara melulu.

"Ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mendatangkan kegusaran dalam kalangan orang ramai," katanya.

Usaha mendapatkan ibu Mohamad Izzat gagal kerana dia difahamkan enggan ditemu bual sebaik keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, kira-kira jam 2.30 petang, semalam.

Pelbagai versi kehilangan

Sementara itu, Sinar Harian berkesempatan mendapatkan dua daripada tujuh remaja yang dikatakan berjaya keluar dari villa yang ditinggalkan hampir 70 tahun lalu.

Megat Irfan Abdullah Shariman, 16, berkata, dia menyertai rakan lain memasuki villa itu pada jam 12.30 tengah malam (hari Sabtu malam Ahad) untuk melepak.

Menurutnya, ketika di villa itu, beberapa rakan diserang histeria dan mereka bergegas turun kira-kira 20 minit kemudian.

"Kami seramai 30 orang sempat berkumpul dan bersama-sama ke Masjid Kolam Air, untuk mendapatkan bantuan, kemudian bersurai," katanya.

Dia berkata, dia tidak kenal mangsa yang dilaporkan hilang.

Junaizi Rafifi Jamaluddin, 13, berkata, ada dua kumpulan ke villa itu pada malam tersebut.

Jelasnya, dia bersama lapan orang lagi berkumpul di luar dan ketika itu satu kumpulan lain sudah pun masuk.

"Kami masuk sekitar jam 12.30 tengah malam, untuk merakam video (tentang) apa yang ada di kawasan itu sebelum salah seorang rakan perempuan jatuh dan dirasuk.

"Selepas itu, kami semua keluar dan dimaklumkan ada rakan lelaki yang keciciran, tapi saya tak pasti (siapa)," katanya.

Villa Nabila lokasi misteri

Kawasan Villa Nabila yang terletak di atas bukit berkeluasan lebih kurang empat padang bola, mempunyai tiga rumah tinggal, dikelilingi hutan dan belukar serta muka bumi cerun.

Ia disenaraikan sebagai lokasi misteri berdasarkan satu kes pembunuhan yang berlaku 70 tahun lalu di sebuah daripada villa itu.

Kisah pembunuhan itu dikatakan menghantui setengah penduduk.

Barangkali disebabkan itu kawasan tersebut ditinggalkan meskipun kedudukannya strategik, iaitu menghadap Selat Tebrau.

Pesara tentera, Subhi Saad, 52, berkata, dia pernah pergi ke kawasan itu bersama rakannya, tiga tahun lalu dan percaya tempat itu ada kaitan dengan fenomena paranormal.

"Saya naik hingga ke tingkat tiga untuk meninjau, tapi tak jumpa sebarang perkara pelik.

"Cuma, ketika turun anak tangga, saya dan rakan terbau sesuatu yang sangat harum. Teringat pesan orang tua, kita tidak perlu menegur.
Saya dan rakan pun keluar tanpa mencari punca bau itu," katanya.

Orang ramai teruja tinjau lokasi

Misteri kehilangan remaja itu yang menjadi topik hangat di laman sosial, mencetuskan perasaan ingin tahu masyarakat sekitar.

Berita itu yang mula tersebar sejak awal pagi semalam, semakin hangat diperkatakan sehingga mencetuskan kesesakan.

Jalan Skudai, yang menjadi laluan utama ke pusat bandar raya Johor Bahru dan ke Villa Nabila sesak dengan orang ramai yang mahu tahu apa yang berlaku di lokasi itu.

Tindakan setengah pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan dan meletakkan kenderaan di sisi jalan memburukkan lagi keadaan kesesakan.

Tinjauan jam 3 petang semalam, masih ramai berdiri dan masuk ke kawasan villa itu, meskipun polis memasang pita melarang orang awam masuk. - 19/11/13


Ceramah Kempen Cerca Dr Mujahid dan Dr Dzulkefly

Posted: 18 Nov 2013 05:56 PM PST


Pensyarah Disiasat Kerana Cerca Pemimpin PAS dalam Kempen 

[TMI] Jawatankuasa Pemilihan PAS sedang membuat kajian mendalam terhadap tuduhan seorang pensyarah terhadap dua pemimpin PAS dalam satu majlis anjuran parti itu di Perak baru-baru ini. 

Pengerusinya Asmuni Awi berkata, pihaknya sedang menyiasat laporan itu dan setelah cukup maklumat, ia akan diserahkan lepada Lembaga Disiplin PAS untuk diambil tindakan. 

Dalam majlis Liqa' Fikri (bercambahan pemikiran) anjuran Lajnah Tarbiyah PAS Perak itu, seorang penceramah program yang disertai ahli dan pemimpin PAS itu didakwa membuat pelbagai tuduhan terhadap dua pemimpin PAS iaitu Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr Dzulkefly Ahmad dan ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Dr Mujahid Rawa. 

Penceramah yang merupakan ahli jawatankuasa Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Dewan Ulama PAS Pusat itu didakwa menghamburkan kata-kata kesat yang tidak dibenarkan dalam garis panduan menjelang muktamar PAS. 

"Kita sedang kaji sama ada tindakan itu perlu diambil ke atas pihak penganjur atau penceramahnya. Apa-apapun, kita hanya akan siapkan laporan dan serahkan kepada Lembaga Disiplin PAS yang dipengerusikan oleh Datuk Wan Mutalib Embong untuk bertindak," kata Asmuni kepada The Malaysian Insider. 

Selain kes di Perak itu, Jawatankuasa Pemilihan PAS juga sedang menyiasat satu poster yang dibuat terhadap calon ketua Pemuda PAS, Zulhazmi Sharif. 

Dalam poster yang disebar luas dalam Facebook itu, muka Zulhazmi diletakkan gambar anjing bersama muka dua lagi calon ketua pemuda iaitu Suhaizan Kayat dan Kamaruzaman Mohamad. 

"Kita sedang menyiasat siapa yang bertanggungjawab ke atasnya. Jika mempunyai bukti kita akan serahkan kepada Lembaga Disiplin PAS untuk bertindak ke atas orang berkenaan," kata Asmuni. 

Selain kedua-dua kes itu, jawatankuasa yang dipimpin Asmuni itu juga menerima lima lagi aduan daripada pelbagai pihak dalam PAS yang membuat aduan tentang perjalanan kempen menjelang Muktamar PAS ke-59, 22 hingga 24 November ini. 

Sebelum ini, Asmuni dalam sidang medianya menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya terdapat laporan yang mendakwa calon menyalahi peraturan yang telah ditetapkan. 

Ini termasuklah pelanggaran peraturan yang melibatkan persaingan tidak sihat seperti terdapatnya unsur sabotaj bagi menjatuhkan calon lain. -19/11/13


P/s: Geng kopiah putih mengaku ulama, pergi usrah buat kerja macam ini?


Kata Shahidan, MAS Tidak Sesuai untuk Lawatan Najib ke Luar Negara

Posted: 18 Nov 2013 05:38 PM PST


Pesawat MAS Kurang Sesuai Untuk Lawatan PM Ke Luar Negara

[Bernama] KUALA LUMPUR: Penggunaan perkhidmatan syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines (MAS) untuk lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara adalah kurang bersesuaian kerana beberapa faktor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata antaranya laluan penerbangan MAS tidak meliputi semua kawasan dan adalah kurang bersesuaian jika pemimpin negara terpaksa menaiki pesawat komersil bersama penumpang lain.

"Ia melibatkan imej negara. Takkan Perdana Menteri terpaksa menunggu sehingga semua penumpang (baru boleh terbang). "Ia akan melibatkan kos yang lebih tinggi jika kerajaan terpaksa 'charter' sebuah pesawat MAS untuk tujuan tersebut," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai penjelasan kepada beberapa anggota parlimen yang ingin tahu mengapa Perdana Menteri tidak menggunakan MAS untuk lawatan rasmi ke luar negara.

Shahidan berkata penggunaan pesawat-pesawat eksekutif milik kerajaan bukan terhad kepada Perdana Menteri sahaja.

Katanya, pesawat tersebut juga boleh diguna oleh Yang di-Pertuan Agong, Timbalan Yang di-Pertuan Agong serta Timbalan Perdana Menteri untuk tujuan lawatan rasmi ke luar negara.

Katanya, malah isteri Perdana Menteri juga boleh menggunakan pesawat tersebut untuk urusan rasmi di luar negara dengan syarat mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan sesuatu acara yang dihadiri itu mempunyai kepentingan untuk negara.

Katanya, perbelanjaan tinggi diperuntuk bagi penyenggaraan pesawat-pesawat ini bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

"Kalau kereta rosak, kita boleh berhenti di tepi jalan. Tapi kalau pesawat rosak, di mana kita nak berhenti?," katanya.

Awal bulan ini, Shahidan memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah membelanjakan RM182 juta untuk petrol dan penyenggaraan tujuh buah pesawat eksekutif milik kerajaan. - 19/11/13


P/s: Pernah termimpi Malaysia dipimpin oleh pemimpin seperti Jose' Mujica?


Berkaitan:





Tiada ulasan: