muktamar pas


SHAH ALAM - Muktamar Pas ke-59 yang bakal menjengah dalam tempoh tidak kurang 24 jam lagi, menyaksikan Suhaizan Kaiat dan Siti Zailah Mohd Yusof menjadi calon paling popular untuk memegang jawatan Ketua Pemuda Pusat dan Ketua Muslimat Pas Pusat,hasil undian pembaca Sinar Harian Online yang ditutup banciannya hari ini.

Bancian yang dimulakan pada Jumaat lalu, menunjukkan Suhaizan mendahului senarai calon pilihan untuk Ketua Pemuda dengan meninggalkan Kamarulzaman Muhammad dan Zulhazmi Sharif.

Sehingga jam 10.45 malam hari ini, Suhaizan memperolehi 615 undi (52%), manakala Kamarulzaman menduduki tangga kedua dengan memperolehi undi sebanyak 390 undi (33%), dan Zulhazmi memperoleh undi sebanyak 185 undi (15%) daripada jumlah undi keseluruhan sebanyak 1,190.

Sementara untuk jawatan Ketua Muslimat pula menyaksikan penyandangnya, Siti Zailah berjaya mengekalkan populariti beliau dengan meninggalkan pencabarnya, Nuraidah Salleh.

Pertandingan satu lawan satu ini, menyaksikan Siti Zailah berjaya memperolehi undi sebanyak 698 (62%) manakala Nuraidah hanya memperolehi undi sebanyak 421 (38%) daripada jumlah undi keseluruhan sebanyak 1,119.

Sementara hasil bancian Sinar pada Ahad lalu untuk jawatan Timbalan Presiden menyaksikan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjadi pilihan berbanding Mohamad Sabu manakala Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Husam Musa (penyandang),dan Salahuddin Ayub (penyandang), menjadi pilihan pembaca untuk jawatan naib presiden.

Muktamar Pas akan bermula esok dan akan berakhir pada hari Ahad ini 24 November 2013, yang berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam.

Namun adakah hasil pilihan pembaca Sinar Harian Online ini menunjukkan trend pemilihan perwakilan Pas pada Muktamar ini nanti, sama-samalah kita nantikan.