Isnin, 11 November 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Mazlan Aliman Menang Lagi, MP Sekijang Buat Permohonan Maaf Kerana Memfinah

Posted: 11 Nov 2013 06:30 AM PST


MP Sekijang mohon maaf kepada Mazlan

KELAB GREENBOC


Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Anuar Abdul Manap (kanan) hari ini membuat permohonan maaf di mahkamah terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman (kiri).

Anuar yang juga Ahli Parlimen Sekijang dan seorang lagi defendan iaitu Ketua Penerangan MBFM Kelantan Wan Zawawi Wan Zain membuat permohonan maaf di hadapan Hakim Rusila Yup setelah mendapat persetujuan kedua-dua pihak.

Mereka menarik balik kenyataan yang menuduh Mazlan Mazlan menyelewengkan wang RM30,000 yang dimenangi peneroka Felda Kemahang 3.

Mereka menuduh juga Mazlan sebagai penakut, pembohong, tidak bermaruah kerana dari jenis tidak tahu malu dan tidak jujur kerana menyelewengkan wang RM30,000.

Selain menarik balik kenyataan tersebut, mereka juga bersetuju untuk membayar ganti jumlah dalam jumlah yang akan ditentukan kemudian.

Kenyataan itu dikeluarkan Anuar ketika berucap di hadapan Wisma Felda, Jalan Semarak, dekat sini, pada 28 Disember tahun lalu.

Ekoran kenyataan itu, Mazlan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Februari lalu dan perbicaraannya bermula hari ini.

"Saya sangat berasa malu dengan tuduhan tersebut sebab itu saya kemukakan saman.

"Tapi hari ini nama baik dan reputasi saya dibersihkan di mahkamah dan saya sangat bersyukur dengan keputusan ini," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Kes Felda Kemahang 3, Tanah Merah ialah 354 peneroka menyaman Felda Palm Industries Sdn. Bhd. kerana menipu bawah (KPG) dalam urus niaga penjualan hasil kelapa sawit.

Tuntutan saman itu difailkan oleh kesemua peneroka itu pada 22 September 2002 melalui peguam Wan Rohimi Wan Daud.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada peguamnya Harris Abdullah, Mazlan berkata beliau langsung tidak berniat hendak bermusuh dengan MBFM sebaliknya mengalu-alukan sebarang kerjasama yang boleh menambah baik kehidupan peneroka Felda.

"Saya harap dengan keputusan mahkamah ini saya dan Majlis Felda boleh duduk semeja membincangkan isu-isu Felda.

"Bagi saya musuh yang sebenar ialah mereka yang mengambil kesempatan ke atas peneroka.

"Kenapa ada di kalangan anak-anak peneroka menjadi mangsa kepada sikap piahk yang mementingkan poket mereka ini?

"Saya mahu duduk semeja berbincang mengenai isu-isu Felda dengan MBFM mengenai isu rumah generasi kedua, pemilikan tanah dan sebagainya," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Mazlan juga menyifatkan kemenangan hari ini sebagai kejayaan berganda selepas menang saman malu bernilai RM380,000 ke atas kerajaan pada 25 Oktober lalu.

Mahkamah Tinggi Pahang memutuskan kerajaan perlu membayar ganti rugi am RM300,000, ganti rugi tauladan RM50,000, ganti rugi kos RM20,000 dan faedah penghakiman ke atas RM350,000 sebanyak lapan peratus bermula dari tarikh saman dimulakan pada 18 Ogos 2010.

"Saya anggap kejayaan hari ini sebagai kejayaan yang sangat besar bagi saya dan Anak dan saya merakamkan penghargaan kepada peguam Harris dan Wan Rohimi serta rakan-rakan seperjuangan," katanya. -HD

Kenaikan Tarif Elektrik Naik Tahun 2014 (Penyelarasan Subsidi Negara). Sudah Bersedia?

Posted: 11 Nov 2013 06:06 AM PST

 


Tarif Elektrik Naik


Pusingan pertama kenaikan harga minyak telah naik (DI SINI), gula pun sudah mengambil tempat merasai kenikmatan menaikkan harga gula (DI SINI), tambang bas sekolah menunggu masa dan ketika untuk dinaikkan (KLIK SINI).

Astro turut berhasrat menambah keuntungan mereka, dan situasi menjadi lebih mudah apabila mereka memonopoli siaran TV berbayar dengan menaikkan caj mereka baru-baru ini (DI SINI), makanan dan minuman seperti biasa cukup patuh untuk mengikut trend kesan rantaian dengan kerana pengumuman harga minyak naik.

Dan……..senarai ini tidak akan berhenti setakat ini sahaja. Banyak lagi pengumuman yang bakal menanti rakyat Malaysia. Antaranya ialah ….

Tarif Elektrik di Malaysia. Menunggu masa dan ketikanya untuk naik tidak lama sahaja lagi.

 

Faktor Kenaikan tarif Elektrik Naik di Malaysia?

Ketua Seksyen Ekonometrik Jabatan Ekonomi dan Antarabangsa Kementerian Kewangan (Dr Khalid Abdul Hamid)
  1. Bagi memenuhi fiskal dan kewangan semasa negara
  2. Bagi memastikan orang awam memahami bahawa tenaga elektrik mesti digunakan secara berhemah, betul dan tidak dibazirkan
  3. Disebabkan penyusunan semula subsidi kerajaan yang seterusnya,
  4. Kenaikan harga gas dan arang batu global.
  5. Petaling Jaya: Semakan semula tarif elektrik akan dibuat selepas Kementerian Kewangan menyelesaikan kajian berhubung tahap kecekapan penggunaan tenaga di negara ini.
  6. Caj tarif elektrik yang baru mahu disasarkan kepada kelompok sasaran sahaja

 

Keuntungan TNB Tahun 2013 (RM4.61 Bilion). SEMAK!

Akan berlaku satu lagi gelombang kenaikan kos sara hidup rakyat Malaysia. Sudah bersedia? Apa respon balas anda pula?

Pelawak Ahmad Busu meninggal dunia

Posted: 11 Nov 2013 06:00 AM PST


MALAYSIA KINI
 
 
 
Pelakon veteran dan pelawak terkenal Ahmad Busu, 60, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat Kuala Lumpur semalam akibat diserang penyakit angin ahmar.

Exco Seniman Malaysia Meary Chu Abdullah berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di hospital berkenaan pada 7.05 malam.

"Mula-Mula arwah demam biasa, tapi tiba-tiba tak sedarkan diri. Allahyarham meninggal dunia sejurus selepas tiba di hospital berkenaan.

"Kita juga akan memberi sumbangan berbentuk wang ringgit kepada balu dan anak Allahyarham untuk pengurusan jenazahnya," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Beliau berkata jenazah akan dibawa pulang di kediaman Allahyarham di Taman Seri Andalas dan dikebumi pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sirih, Klang.

Ahmad, yang berasal dari Taiping, Perak meninggalkan seorang balu dan empat anak.

Allahyarham, yang dikenali dengan watak Mat Deris dalam siri komedi 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu', memulakan kerjaya seni menerusi pementasan teater pada 1978.

Meary berkata Allahyarham semasa hayatnya, seorang yang baik hati, suka membuat lawak dan peramah.- Bernama

Jangan politikkan, aedes tak kenal ahli politik

Posted: 11 Nov 2013 05:58 AM PST

Selangor Kini,


SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan masalah demam denggi yang melanda Selangor.

Bercakap pada pelancaran program Strategi Mobilisasi Sosial dan Komunikasi (COMBI) anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), beliau berkata, isu kesihatan tidak wajar dipolitikkan.

"Nyamuk Aedes tidak mengenal sama ada anda ahli PKR, MCA atau mana-mana politik. Ia boleh terkena pada sesiapa jua jika masyarakat tidak mengutamakan pencegahannya," katanya.

Beliau berkata, pencegahan demam denggi penting kerana tiada satu sistem imunisasi bagi mengatasi wabak itu, berbeza dengan beberapa penyakit lain yang ada suntikan untuk meningkatkan imunisasi manusia.

Statistik Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menunjukkan sebanyak 11,498 kes dilapor setakat 5 Oktober lalu, meningkat 61.74 peratus berbanding 7,109 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Sebanyak 14 kematian akibat denggi dicatat tahun ini berbanding 11 kes bagi tempoh sama pada 2012.

Sebanyak 230 lokaliti wabak dilapor dengan 75 lokaliti (32.6 peratus) daripadanya di Petaling, 71 lokaliti (30.9 peratus) di Hulu Langat dan 44 lokaliti (19.1 peratus) di Gombak.

Jabatan itu menyatakan terdapat 16 lokaliti wabak tidak terkawal dan 22 lokaliti hotspot atau wabak berlarutan di Selangor.

MCA: Ahmad Maslan, bukan tugas GLC sokong Utusan

Posted: 11 Nov 2013 05:56 AM PST

MALAYSIA KINI
 
 
 
MCA mempersoalkan arahan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan supaya syarikat berkaitan kerajaan lebih banyak beriklan di akhbar milik Umno Utusan Malaysia.

Menggelarkan langkah itu sebagai salah guna kuasa, Naib Presiden MCA Gan Peng Sieu berkata, bukan tugas kerajaan untuk memberikan subsidi atau menyebelahi mana-mana organisasi media swasta seperti Utusan.

Katanya, jika harian berbahasa Melayu, Cina dan Inggeris lain boleh bersaing menarik lebih pembaca dan sekali gus iklan, beliau tidak nampak kerana Utusan harus menikmati keistimewaan daripada dana kerajaan.

"Ini juga penghinaan kepada kecekapan dan profesionalisme mereka," kata Gan dalam kenyataan.

Ahmad kelmarin dilapor berkata, beliau sudah menulis surat kepada pemimpin tertinggi GLC berkenaan supaya membelanjakan bajet iklan mereka kepada akhbar berbahasa Melayu khususnya yang dimiliki Umno iaitu di Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Menurut Ahmad, perbelanjaan 3.7 peratus daripada 35 GLC utama untuk bajet pengiklanan di Malaysia terlalu amat sedikit jika dibandingkan dengan "perjuangan Utusan, Berita Harian ini untuk negara".

MP: Ahmad Maslan keliru antara k'jaan & Umno

Posted: 11 Nov 2013 05:51 AM PST

 

 
VIDEO l 1:54 minit


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan keliru antara peranan sebagai timbalan menteri dan ketua penerangan Umno apabila menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membeli lebih banyak iklan dalam Utusan Malaysia, kata Anggota Parlimen Bayan Baru.

Sim Tze Tzin berkata, Ahmad perlu mengutamakan kepentingan seluruh rakyat Malaysia dalam menjalankan tugasnya dan bukan menjaga kepentingan Umno yang menggunakan akhbar itu untuk menyebarkan propagandanya.

NONE "Beliau perlu sentiasa ingat bahawa sebagai timbalan menteri yang diberi tanggungjawab dan kepercayaan oleh orang ramai untuk berkhidmat kepada mereka, beliau perlu sentiasa mendahulukan keutamaan rakyat Malaysia," kata Sim (kanan) pada sidang media di Parlimen pagi tadi.

Tambahnya lagi, GLC perlu membuat pertimbangan bebas dan sebarang keputusan untuk beriklan di mana-mana akhbar perlu dibuat secara profesional.

"Mereka tidak wajar tunduk kepada tekanan politik untuk berbuat sesuatu yang bertentangan dengan prinsip perniagaan mereka.

"Mandat GLC adalah menjaga kepentingan negara, bukan kepentingan Umno," katanya lagi.

Turut dibidas sekutu dalam BN
Ahmad sebelum ini dilaporkan sudah menulis surat kepada pemimpin tertinggi GLC supaya membelanjakan bajet iklan mereka kepada akhbar berbahasa Melayu khususnya yang dimiliki Umno iaitu di Utusan dan Berita Harian.

NONEMenurut Ahmad (kiri), perbelanjaan 3.7 peratus daripada 35 GLC utama untuk bajet pengiklanan di Malaysia terlalu amat sedikit jika dibandingkan dengan "perjuangan Utusan, Berita Harian ini untuk negara".

Langkah itu mendapat reaksi segera daripada sekutu Umno dalam BN iaitu MCA yang membidas arahan itu.

Menggelarkan langkah itu sebagai salah guna kuasa, Naib Presiden MCA Gan Peng Sieu berkata, bukan tugas kerajaan untuk memberikan subsidi atau menyebelahi mana-mana organisasi media swasta seperti Utusan.

Katanya, jika harian berbahasa Melayu, Cina dan Inggeris lain boleh bersaing menarik lebih pembaca dan sekali gus iklan, beliau tidak nampak sebab Utusan harus menikmati keistimewaan daripada dana kerajaan.

Rakyat tanya Zahid, mana projek UiTM Bagan Datoh?

Posted: 11 Nov 2013 05:48 AM PST

Harakahdaily,
 

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Isu dan Strategik PAS Perak sekali lagi mendedahkan rungutan rakyat di kawasan Parlimen Bagan Datoh mengenai pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Koordinatornya, Salman Saleh (gambar) berkata, ini kerana pengumuman bagi pembinaan UiTM dibuat oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada bulan Mei 2010 lalu.

Katanya, UiTM yang dikatakan akan membuka sebuah lagi kampus cawangan yang ketiga di Perak iaitu di Bagan Datoh selepas kampus di Seri Iskandar dan Tapah telah menghampiri penghujung tahun 2013 dan masih belum ada tanda-tanda pembangunannya di sana.

"Kami difahamkan projek yang menelan belanja RM250 juta yang terletak di kawasan seluas 40 hektar itu dan ianya dijangka siap pada tahun 2013 serta  bakal menempatkan kira-kira 5,000 pelajar kelak," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, pengumuman Zahid tersebut memberikan tanda tanya rakyat adakah ia akan bakal dibina.

Menurutnya, jika sebelum ini projek Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) turut menjadi persoalan dan rungutan rakyat Parlimen Bagan Datoh, kini isu projek UiTM pula telah acap kali diperkatakan oleh mereka.

"Adakah ianya masih di peringkat kajian lagi pembinaannya? Telah adakah tapak yang sesuai seperti mana tapak projek MRSM yang masih belum kelihatan?" tanya beliau.

Salman berkata, pihaknya melihat projek UiTM itu bukan sahaja sebagai wadah anak Bumiputera mendapatkan pendidikan tinggi terutamanya di Bagan Datoh, tetapi sebagai mercu tanda baru yang selama ini mundur dan tidak membangun walaupun ahli parlimennya Menteri Dalam Negeri dan sebelum ini sebagai Menteri Pertahanan.

Malah, ujarnya dengan kedudukan Zahid sebagai Naib Presiden Umno juga dilihat gagal membangunkan Bagan Datoh yang masih belum menemui 'sentuhan' yang diharapkan oleh penduduk yang selama ini mengharapkan 'sinar' yang cerah.

Mahfuz mahu bantu PAS terajui perubahan

Posted: 11 Nov 2013 05:46 AM PST

Muhammad Faizal,   
 

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar hari ini menyatakan hasrat untuk menawarkan diri mempertahankan jawatan bagi membantu PAS menerajui perubahan yang telah dilakukan parti sebelum ini.

Jelasnya, PAS sebelum ini berjuang untuk membawa perubahan baru dalam lanskap politik negara dan sekarang sudah pun berada dalam arus perubahan sehingga menjadi sebuah parti utama dalam libatan politik Malaysia.

"Jika kita lihat PAS sebelum ini berusaha untuk membawa perubahan sehinggalah kita berjaya melakukannya dan sekarang sudah sampai mana untuk kita menerajui perubahan tersebut agar terus meningkat," jelasnya pada sidang media di lobi Parlimen.

Katanya lagi, PAS perlu mengekalkan perubahan yang sedia ada bagi memastikan ia seiring dengan apa yang berlaku agar tidak ketinggalan dan diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

"Kita perlu memahami suasana perubahan yang berlaku, perubahan yang sedia ada ini perlu ditingkatkan selain itu kita juga perlu melihat apa perubahan yang berlaku di sekeliling kita.

"Saya pasti budaya ini akan saya bawa di dalam PAS, dan tujuan penawaran bertanding dalam jawatan tersebut adalah bagi memastikan PAS tidak ketinggalan.

"Masyarakat Malaysia sentiasa mengikuti perubahan dengan begitu cepat, PAS harus memahami perubahan ini bagi memastikan kita diterima oleh seluruh lapisan masyarakat terutamanya generasi Y," sambung beliau.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena akan memastikan perubahan yang berlaku dalam PAS akan dapat diteruskan sebagai langkah untuk meletakkan parti yang disegani.

"PAS menerajui perubahan melalui ilmu dan taqwa, selain itu PAS perlu pastikan pendidikan politik dapat diteruskan agar memastikan rakyat mendapat pendidikan serta penerangan yang jelas dalam apa yang dibawa oleh PAS," katanya.

Pertandingan lima penjuru

Beliau melihat pertandingan lima penjuru bagi jawatan Naib Presiden PAS adalah satu pertandingan yang cukup baik dan sihat.

Malah katanya, sebelum ini beliau tidak pernah memenangi mana-mana jawatan dengan mudah tetapi melalu satu pertandingan yang sengit.

"Pertandingan lima penjuru itu sebagai tanda positif berlaku dalam PAS.

"Saya sudah biasa bertanding dalam keadaan sedemikian, saya lihat dari sudut positi dan bukannya masalah kepada saya.

"Apa yang pasti setiap yang bertanding ingin membawa perubahan di dalam parti dan cabaran kepada saya adalah melihat apa yang kita lakukan ini sebagai satu tanggungjawab baru untuk mengekalkan kecemerlangan PAS," kata beliau.

Bagi Naib Presiden PAS, tiga calon mempertahankan jawatan iaitu Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, turut ditandingi Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik.

Jangan sampai tiada lagi kebahagiaan dalam beragama

Posted: 11 Nov 2013 05:45 AM PST

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil,


Pada tahun 2007, saya menulis artikel bertajuk Manhaj Salaf Dan Krisis Keperluan Hati (lihat artikel).

Ketika itu, saya merasakan fenomena "minta dalil" yang muncul secara agresif di dalam masyarakat, adalah satu bentuk 'rasionalisme dalam beragama' yang jika tidak diurus dengan baik, akan meresahkan ramai anggota masyarakat. Terutamanya mereka yang tidak berkeupayaan menyertai gelombang tersebut, mereka akan tertekan apabila majlis-majlis ilmu bukan lagi menjadi tempat mereka mendapat ketenangan beragama, sebaliknya medan pertempuran debat antara pendalilan yang berbalas-balas.

Saya menjangkakan, fenomena tersebut akan mencetuskan kemurungan jiwa di kalangan pencinta agama, yang mungkin akan membawa mereka kepada trend seterusnya iaitu daripada RASIONALISM kepada ROMANTICISM.

Romaticism dalam beragama kita, akan muncul dalam bentuk kecenderungan kuat masyarakat untuk mengisi makna keberagamaannya dengan zikir, nasyid, syair, malah wacana-wacana agama juga mesti berbentuk indah, ringan, enak diduduki, dan kurang mendesak peranan minda dalam memproses input agama yang diterima.

Saya bukan ahli nujum.

Saya hanya menjangkakannya dengan melihat kitaran sejarah.

Jika di seberang tembok Vienna, Eropah melihat era pencerahan (Enlightenment) yang tepu dengan RATIONALISM beralih kepada ROMANTICISM pada kurun ke-18. Manakala di tanah air sendiri, ketegangan pertembungan antara gerakan 'Salafi' Kadızadeli dengan kumpulan tradisionalis Sufi, memperlihatkan aktiviti ROMANTICISM bertambah, malah tekke dan zaviye Sufi sendiri bertambah pesat.

Inilah mungkin yang sedang masyarakat kita alami. Genre zikir, syair, bacaan burdah mengisi penuh media seperti di TV Al-Hijrah, TV9 dan Radio IKIM, manakala sambutan Maal Hijrah di peringkat Kebangsaan hingga ke surau-surau, ketara terisi dengan kisah-kisah 'menyentuh hati' berkaitan sirah Junjungan Mulia Nabi Muhammad sallallahu alayhi wa sallam, berbanding perbincangan yang berbentuk 'ilmiah'.

Sama ada era RATIONALISM atau ROMANTICISM, kedua-duanya mempunyai pro dan kontra masing-masing, terutamanya apabila masyarakat berlebih-lebihan dalam memaksa genre itu mendominasi masyarakat. Jika keadaan ini berterusan, ia akan beralih kepada trend REALISM yang bersifat agresif.

Secara peribadi, saya melihat bibit-bibit ke arah itu semakin ketara. Anak-anak muda, sama ada mereka begitu komited dengan halaqah-halaqah yang menghidupkan genre ROMANTICISM itu tadi, atau pun sebahagian yang lain pula memerdekakan diri mereka daripada 'utopia Islamis dan tradisionalis', menjadi lebih lantang berbicara dalam bahasa isme, hingga ke sosialisme malah komunisme.

Belahan minda ini meruncing hingga pelbagai label terpaksa difikirkan untuk menjelaskan 'who is who'. Sudah tentu label sedia ada paling pantas dicapai untuk menyerang dan mempertahankan diri:

Sufi vs Wahabi
Khalaf vs Salaf
Kaum Tua vs Kaum Muda
Tradisionalis vs Modernis
Konservatif vs Progresif
Ulama vs Profesional

Dan senarai ini berterusan…

REALISM Eropah menyaksikan ahli falsafah Jerman Friedrich Nietzsche, menekankan bahawa "Tuhan telah mati (Gott ist tot)".

Apakah bentuk trend keberagamaan anak muda dan masyarakat kita dalam beberapa tahun yang mendatang ini?

Saya kira, kerana itulah para pendakwah disaran oleh misalnya Muhammad Abu al-Fath al-Bayanuni di dalam kitabnya, Al-Madkhal ila 'Ilm al-Da'wah, bahawa dakwah mesti mengimbangkan dengan baik tiga pendekatan iaitu:

1.Manhaj Emosi
2.Manhaj Rasional
3.Manhaj Pancaindera yakni praktikal

Kegagalan mengimbangi kesemua ini menyebabkan keperluan naluri kemanusiaan menjadi kucar-kacir. Semakin mereka didakwah, semakin mereka gelisah, dan berbalah.

Paling membimbangkan ialah, ia berakhir dengan tiada lagi kebahagiaan dalam beragama!-http://saifulislam.com/

Jamil Khir tersepit soalan isu kalimah Allah

Posted: 11 Nov 2013 05:43 AM PST

Harakahdaily,
 

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilihat tersepit ketika mahu menjawab soalan berhubung perbezaan kebenaran penggunaan kalimah Allah antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Persoalan itu muncul ketika beliau menjawab perbahasan Bajet 2014 di peringkat kementerian di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu mencelah adalah Tian Chua (PKR-Batu) yang mendakwa beliau selaku bukan Islam keliru dengan versi berbeza-beza penjelasan kerajaan terhadap isu penggunaan kalimah Allah.

Versi pertama katanya oleh Menteri Dalam Negeri yang mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penggunaan kalimah itu, hanya terpakai kepada penerbitan dalam The Herald.

Versi kedua pula katanya, kenyataan dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Sendiri yang berkata larangan tersebut hanya untuk Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak kepada Sabah dan Sarawak.

Jamil ketika menjawab soalan itu hanya berkata larangan untuk Sabah dan Sarawak itu telah diputuskan oleh kabinet di bawah perkara "10 point solution".

Bangun selepas itu Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang mahukan penegasan menteri tentang perkara itu.

Mahfuz bertanyakan; "Betulkah kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang seorang Islam, telah membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam di Sabah dan Sarawak melalui "10 point solution?"

"Termasuk kepada orang Kristian di Semenanjung kalau dia pergi ke Sabah dan Sarawak boleh digunakan?" soalnya.

Jamil ketika menjawab persoalan itu bagaimanapun tidak mengiyakan mahupun menafikannya.

Beliau sebaliknya hanya mengulangi bahawa perkara itu telah diputuskan oleh kabinet di bawah perkara "10 point solution".

Datuk Dr Mujahid Yusof (PAS-Parit Buntar) kemudian bangun dan mendakwa bahawa isu kalimah Allah ini sebenarnya boleh diselesaikan tetapi sengaja dipolitikkan.

Katanya, 10 point solution dibuat kabinet ketika dalam keadaan Sarawak ketika.itu berdepan Pilihan Raya dan semasa kitab injil versi bahasa Melayu telah tiba di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang.

Shahrizat tarik balik saman, takut semakin banyak pendedahan skandal NFC

Posted: 11 Nov 2013 05:40 AM PST

NFC feat img


KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini menarik balik saman berjumlah RM100 juta berhubung pendedahan skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) terhadap Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita UMNO membuat langkah itu tanpa perintah kos dan kebebasan untuk memfailkan semula, manakala Rafizi juga menarik tuntutan balas di atas terma sama.

Penarikan ini dibuat dihadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera di Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

Pada 19 Januari tahun lalu, Shahrizat memfailkan saman tersebut dengan mendakwa pendedahan yang dibuat Rafizi dan Zuraida adalah fitnah.

Namun, kedua-dua pimpinan itu kemudiannya membuat saman balas pada 9 Mac tahun yang sama.
Seperti yang didedahkan sebelum ini, pengurusan NFC telah menubuhkan beberapa syarikat di Singapura bagi menjalankan perniagaan peribadi milik keluarga Shahrizat tetapi dibiayai melalui pemindahan wang yang berasal dari dana rakyat berjumlah RM250 juta yang diberikan kepada NFC.

Sebelum ini, PKR telah mengemukakan bukti bahawa sejumlah S$530,000 (bersamaan RM1.3 juta) telah dipindahkan dari dana NFC kepada Meatworks (Singapore) Pte Ltd bagi tempoh 3 bulan antara Oktober hingga Disember 2010.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen PKR Pandan menyifatkan penarikan saman itu sebagai bukti di mana pendedahannya selama ini adalah berasaskan fakta dan jika diteruskan kemungkinan banyak lagi penyelewengan Shahrizat akan terdedah.

"Penarikan adalah kemenangan moral kepada kami dan menunjukkan apa yang telah didedahkan sebelum ini benar berasaskan kepentingan awam dan fakta.

"Walaupun saman ini ditarik balik, namun saya akan terus menyiasat dan mencari kebertanggungjawaban isu NFC ini walaupun selepas kes saman digugurkan," katanya melalui laman sosial Twitter.

Terdahulu, Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua turut menyatakan beliau sudah bersedia untuk membentangkan laporan terhadap penyalahgunaan dana awam projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Parlimen selepas Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersetuju dengan perkara itu.

Tony turut mendedahkan kandungan perjanjian pinjaman antara NFC dan kerajaan yang berat sebelah serta melanggar perjanjian pembelian hartanah mewah.

Dokumen 35 muka surat itu dengan jelas menyatakan bahawa tujuan pinjaman mudah dari kerajaan itu pada kadar faedah tahunan dua peratus adalah semata-mata untuk projek NFC. -Roketkini.com

PAS: Minta maaf kerana politikkan kalimah Allah

Posted: 11 Nov 2013 05:24 AM PST


MALAYSIA KINI


 
VIDEO l 3:24 minit 


Kerajaan perlu meminta maaf kepada umat Islam dan menarik balik kenyataan memburukkan PAS apabila mereka sendiri membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible di Sabah dan Sarawak, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

NONE"Apa isunya sebelum ini apabila kerajaan menuduh PAS sedangkan kerajaan sendiri membenarkannya?

"Kerajaan BN perlu tarik balik semua kenyataan yang memburukkan PAS kerana kerajaan sendiri membenarkan kalimah Allah (digunakan dalam Bible)," katanya pada sidang media di lobi Parlimen petang tadi.

Menurutnya, keizinan menggunakan kalimah itu dalam Bible untuk penganut Kristian di Sabah dan Sarawak selepas pilihan raya umum selesai tetapi mengheret kes penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald sehingga ke mahkamah rayuan di semenanjung adalah bukti jelas kedua-dua keputusan itu dibuat berasaskan sentimen politik.

"Orang Melayu kena faham dalam pilihan raya tempoh hari mereka telah ditipu oleh Umno dan macai-macai Umno," kata Mahfuz.

Bercakap lanjut, Mahfuz berkata keizinan tersebut juga bertentangan dengan dakwaan kerajaan yang mereka akan mempertahankan kalimah Allah yang merupakan milik eksklusif umat Islam di Malaysia.

"Di mana pula hak eksklusif orang Islam di Sabah dan Sarawak?" tanya Mahfuz secara sinis.

Sidang media itu adalah susulan kepada tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom yang mengelak untuk mengaku kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan di Sabah dan Sarawak sewaktu menggulung perbahasan Belanjawan 2014 di Dewan Rakyat petang tadi.

Beliau diasak berulang kali oleh Mahfuz, MP Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof dan MP Batu, Tian Chua yang menggesa Jamil mengaku secara terus terang yang kabinet membenarkan perkara itu.

Jamil sebaliknya berulang kali sekadar menyebut ketetapan itu mempunyai kaitan dengan Penyelesaian 10 Perkara yang telah dipersetujui kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

"Untuk Sabah dan Sarawak kita tengok ada kaitan dengan 10 Points Solution.

"Yang telah diputuskan mahkamah adalah berdasarkan majalah The Herald yang dipohon pihak gereja Katolik yang beralamat di Petaling Jaya," katanya.

BN dalam pilihan raya umum lalu menggunakan isu kalimah Allah sebagai salah satu bahan kempen mereka.

Mereka mendakwa PAS terpaksa berkompromi dengan DAP apabila bersetuju agar nama Allah dikongsi bersama penganut-penganut agama lain.

Terbaru, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam tulisan di blognya sempena sambutan Awal Muharram berikrar akan terus mempertahankan kalimah Allah walaupun kabinet yang diketuainya membenarkan ia digunakan dalam Bible berbahasa Melayu di Sabah dan Sarawak.

Saya akan terus siasat, cari penanggungjawaban – Rafizi

Posted: 11 Nov 2013 05:17 AM PST

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli tekad akan terus menyiasat untuk mencari penanggungjawaban terhadap skandal penyelewengan RM250 juta dana projek National Feedlot Corporation (NFC).
Rafizi
"Saya akan terus menyiasat dan mencari kebertanggungjawaban isu NFC ini walaupun selepas kes saman ini digugurkan," kata Rafizi.

Beliau mengulas pembatalan saman RM100 juta oleh Datuk Seri Shahrizat Jalil terhadapnya dan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin setelah Ketua Wanita Umno itu menarik balik saman tersebut.

Penarikan saman itu dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Vazeer Alam Mydin Meera pagi ini.

Dalam saman yang difailkan pada 19 Januari tahun lalu, Shahrizat mendakwa Rafizi dan Zuraida membuat kenyataan fitnah berhubung pendedahan mereka mengenai projek NFC.

Namun pada 9 Mac pula, Rafizi dan Zuraida memfailkan saman balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu  berhubung satu ucapan didakwa berbaur fitnah yang diujarkan bekas menteri tersebut.

nfc shahrizat family

Jelas Rafizi sebelum ini, langkah itu diambil untuk memastikan kes melibatkan syarikat NFC yang diusahakan keluarga menteri itu terus dibawa ke mahkamah.

Saman balas itu diambil kerana khuatir pihak plantif mungkin mengambil keputusan melengah-lengahkan perbicaraan ini atau menarik balik saman dalam masa terdekat untuk mengelakkan dokumen penting dan pemimpin tertinggi BN diseret ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Kes NFC: Shahrizat tarik balik saman RM100 juta terhadap Rafizi, Zuraida

Posted: 11 Nov 2013 05:15 AM PST

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Kes saman RM100 juta Datuk Seri Shahrizat Jalil terhadap Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin dibatalkan setelah Ketua Wanita Umno itu menarik balik saman tersebut.

Rafizi

Menurut Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, penarikan itu dibuat Shahrizat tanpa sebarang syarat.

Dalam saman yang difailkan pada 19 Januari tahun lalu, Shahrizat mendakwa Rafizi dan Zuraida membuat kenyataan fitnah berhubung dakwaan mengenai projek National Feedlot Corporation (NFC).

Penarikan saman itu dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Vazeer Alam Mydin Meera pagi ini.

Perkenalan singkat bukan halangan sunting Mawar

Posted: 10 Nov 2013 04:19 PM PST


Fizo Omar
 

SIAPA sangka, gurauan pelakon kacak, Fizo Omar untuk membawa pulang gadis yang menjadi model pada beg kertas Fareeda buat ibunya menjadi kenyataan semalam.

Jelas Fizo, dia ketika itu ditemu bual wakil Fareeda setahun lalu, dia hanya bergurau, namun perasaan itu berubah enam bulan lalu apabila dia benar-benar ingin mendekati anak pemilik Fareeda yang juga model berkenaan, Mawar Abdul Karim.

Justeru, bermula dengan perbincangan atas dasar kerja, hubungan tersebut mula menjadi akrab selepas Fizo menunjukkan kesungguhan untuk memiliki Mawar. Apatah lagi selepas dia melihat kesungguhan dan kebijaksanaan wanita itu menguruskan perniagaan ibunya.

"Ketika mula-mula saya minta nombor Mawar, memang susah dia nak beri. Tapi lama kelamaan barulah dia berlembut hati untuk memberi," imbas Fizo.

Walaupun belum cukup setahun usia perkenalan mereka, namun ia bukanlah satu halangan besar buat pasangan ini meneruskan niat untuk mendirikan rumah tangga.

Pasangan sama cantik sama padan ini selamat bergelar suami dan isteri dengan sekali lafaz di kediaman keluarga pengantin perempuan di Country Heights, Kajang, kira-kira jam 9.30 pagi, semalam.

Acara tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi program bual bicara, Nasi Lemak Kopi O di TV9.

Pemilik nama sebenar, Wan Hafizol Wan Omar, 28, telah dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Ulu Langat, Ustaz Mohd Arif Abdul Samad berwalikan Hakim Pejabat Agama Islam Ulu Langat.

Mawar, 24, adalah anak sulung kepada pengasas tudung Fareeda, menerima mas kahwin sebanyak RM506.

Ketika upacara membatalkan air sembahyang, Fizo menyerahkan mas kahwin dan menyarungkan sebentuk cincin berlian ke jari manis isterinya itu dan Mawar turut menyarungkan sebentuk cincin ke jari Fizo.

Pemilik perniagaan Hot Burger itu turut menyerahkan tujuh dulang hantaran berupa mas kahwin, jam tangan, tas tangan, sebentuk cincin berlian putih, jongkong emas berukir perkataan 'Fizo Love Mawar' seberat 1.011 kg dan sebuah vespa.

Kesemua hantaran ini dibawa khas oleh rakan artis yang juga rakan baik Fizo iaitu Fahrin Ahmad, Iqram Dinzly, Shaheizy Sam, Johan As'ari, Kamal Adli, Karl Shafek dan Nazim Othman serta diketuai oleh Datuk Rosyam Nor.

Manakala, Mawar pula berbalas sembilan dulang hantaran kepada pengantin lelaki berupa tas tangan lelaki, cermin mata hitam, kasut, dua naskhah al-Quran, plat motosikal MF120, sehelai jaket motosikal, komputer riba dan sebuah motosikal berkuasa tinggi (1200 cc) jenama Ducati.

Majlis penuh meriah itu menyaksikan Fizo kelihatan cukup segak berbaju Melayu berwarna putih hasil rekaan Man Kajang manakala pengantin perempuannya pula sungguh ayu mengenakan busana hasil rekaan Radzuan Radziwill.

Selain itu, majlis yang penuh istiadat Melayu itu dihadiri kira-kira 1, 000 tetamu yang terdiri daripada ibu bapa dan ahli keluarga terdekat kedua-dua mempelai, teman-teman rapat dan wakil-wakil media.

Lebih menarik lagi, kunjungan rombongan pihak lelaki telah diiringi oleh 30 motosikal berkuasa tinggi jenama Ducati dari Ducati Club Malaysia.

Satu tanggungjawab berat - Fizo

Mengulas lanjut mengenai mengenai majlis pernikahannya itu, Fizo ketika ditemui berkata, dia sangat bersyukur kerana telah selamat bergelar suami kepada Mawar dan mengharapkan perjalanan hidupnya lebih teratur dan diberkati selepas ini.

"Saya sangat bersyukur kerana kini sah bergelar suami. Ini adalah satu permulaan baharu dalam kehidupan saya di masa hadapan.

"Saya rasa sangat beruntung kerana menjadi buah hati pertama Mawar. Ia adalah satu pengalaman baru buat saya.

"Mawar membawa saya mengimbau kembali perjalanan kisah cinta saya. Saya suka dia. Sikapnya yang kadang kala agak lurus bendul membuatkan saya gemar menyakatnya," seloroh Fizo sambil menjeling manja ke arah isterinya.

Mengakui agak sebak sewaktu dinikahkan, Fizo memberitahu perasaan itu menyelubungi dirinya memandangkan apabila arwah bapanya yang tidak berkesempatan untuk melihat dia mendirikan rumah tangga.

Malah, naib juara Hero Remaja itu juga begitu rapat dengan arwah bapa.

"Walaupun agak sedih, namun saya gembira kerana diberikan kesempatan untuk menggembirakan insan-insan lain di sekeliling seperti ibu dan adik beradik saya yang lain," katanya.

Kejutan untuk Mawar


Selain menampilkan barisan selebriti untuk membawa dulang hantarannya, Fizo juga membuat kejutan apabila memberi jongkong emas bertulis 'Fizo Love Mawar' seberat 1.011 kg kepada Mawar.

Kata Fizo, niat untuk memberi jongkong emas itu memang sudah lama dan perkara ini hanyalah diketahui oleh ibunya.

"Memang saya sudah berniat untuk memberikan jongkong emas itu kepada mana-mana wanita yang akan menjadi isteri saya kelak.

"Jongkong emas itu ialah simbolik kepada usaha kerja keras saya sama ada dalam bidang seni atau perniagaan.

"Sudah lama saya kumpul duit sedikit demi sedikit bagi merealisasikan hasrat itu," katanya.

Dalam pada itu, Fizo berkata, dia kini sudah pun membeli rumah berhampiran dengan kediaman keluarga Mawar di Country Heights, Kajang.

"Rumah saya di Bukit Antarabangsa terlalu jauh dengan rumah mertua, sementelah lagi, Mawar pula rapat dengan ibunya.

"Kebetulan, ada kekosongan di rumah sebelah jadi saya cuba nasib untuk membelinya. Tak sangka saya berjaya dapatkan rumah itu.

"Selain kami berdua, saya juga akan membawa ibu dan adik untuk menetap bersama. Saya tak akan wujudkan sebarang jurang kasih sayang antara ibu dan isteri. Saya akan sayang kedua-duanya sama rata," katanya sambil memberitahu bahawa dia tetap akan bertanggungjawab menjaga ibunya walaupun sudah berkahwin.

Tertarik dengan sikap Fizo - Mawar

Sementara itu, bagi Mawar pula, dia beruntung kerana bersuamikan Fizo.

"Fizo adalah lelaki yang sangat bertanggungjawab, penyayang dan mengutamakan keluarga," katanya.

Memandangkan suaminya itu adalah seorang selebriti terkenal di negara ini, Mawar juga nampaknya sudah bersedia untuk menghadapi situasi berkenaan.

"Saya sudah bersedia untuk menempuh apa jua situasi pun dalam bidang seni. Saya kenal dia sebagai Wan Hafizol iaitu suami saya yang biasa dan bukannya Fizo iaitu seorang artis.

"Tanggungjawabnya pada peminat dan keluarga adalah satu perkara yang berlainan," jelasnya.

Tambahnya, ramai yang berkata bahawa untuk menjadi satu pasangan yang serasi mengambil masa yang sangat lama.

"Saya mengakui akan hal berkenaan," jelasnya lagi.

Idam cahaya mata?

Lumrah bagi pasangan yang berkahwin, pastinya mengidamkan cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga.

Baik Fizo mahupun Mawar, mereka menyerahkan soal itu kepada ALLAH SWT.

"Saya teramat sukakan budak-budak. Kalau boleh saya nak secepat mungkin. Tapi semuanya saya serahkan pada ALLAH SWT. Jika ada rezeki, adalah.

"Mungkin buat masa sekarang, kami fokuskan terlebih dahulu pada kehidupan kami berdua," seloroh Fizo sambil diiringi senyuman Mawar.

Dalam pada itu, pasangan ini merancang untuk berbulan madu mengelilingi Eropah selama tiga minggu, awal Disember nanti.

"London dan Perancis, adalah dua tempat yang kami akan lawati nanti," katanya sambil memberitahu ahli keluarga mereka juga akan turut serta dalam percutian itu.

Fizo juga memberitahu, majlis resepsi mereka akan dilakukan di Kuala Lumpur, Kelantan dan Pulau Pinang menjelang akhir tahun ini atau Januari depan selepas pulang dari berbulan madu.

Bertunang ikut adat

Terdahulu, sehari sebelum bernikah, Fizo dan Mawar telah mengikat tali pertunangan dan majlis itu telah dilakukan di kediaman yang sama.

Majlis pertunangan merpati dua sejoli itu menampilkan kelainan kerana ia turut disiarkan secara langsung di program bual bicara, Nasi Lemak Kopi O, TV9 dan dihoskan oleh Fizo sendiri.

Selain itu, gimik turut dilakukan apabila Ruminah Sidek atau lebih mesra disapa sebagai Mak Mah bertindak  memakaikan inai di jari Fizo sebagai tanda dia sudah menjadi tunangan orang.

Begitu pun, dia sekadar mengikut adat dan syarat untuk mengikat tali pertunangan biarpun hanya sekejap.

Semuanya Mulai Tak Betul Di Mata Mahathir

Posted: 10 Nov 2013 04:16 PM PST


Oleh Shahbudin Husin


Sebagaimana yang diramalkan oleh banyak pihak, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad bersuara lagi mengenai UMNO. Dalam tulisan terbaru di blognya, beliau mengkritik cara kempen UMNO dan BN dalam pilihanraya kecil Sungai Limau yang menyaksikan calon BN kalah kepada calon Pas dengan kekurangan 1084 undi.

Mahathir menyifatkan pemberian wang dan hadiah ketika kempen di Sungai Limau tidak berjaya memikat hati pengundi, malah menganggapnya suatu pembaziran dan kekalahan calon BN adalah bukti bahawa pengundi menolak budaya itu yang telah pun ditunjukkan sejak PRU 13 lagi.

"Ini jelas sejak PRU 13, yang tidak sokong, tetap tidak sokong juga. Wang yang diberi adalah suatu pembaziran, tidak kira sama ada wang kerajaan atau bukan kerajaan.

"Sokongan kepada parti politik diasaskan kepada perjuangan serta tingkah laku pemimpin dan calon. Kalau datang dengan Mercedes atau motosikal 1000cc, saguhati dan apa yang diberi tidak akan menawan hati," demikian antara intipati tulisannya.

Sanggahan Mahathir mengenai cara kempen BN ini memang ada benarnya, malangnya itulah yang sebenarnya telah diamalkan sejak sekian lama. Di era Mahathir pun, ketika kempen pilihanraya, itulah juga cara kempennya. Pemberian wang, hadiah, kain batik, kain pelikat dan projek-projek pembangunan adalah cara kempen yang sudah sebati dengan UMNO dan BN sejak dulu lagi.

Ketika kempen pilihanraya, tidak banyak yang bercerita tentang apakah perjuangan UMNO dan sasaran masa hadapan yang mahu dilakukannya kepada rakyat. Yang banyak dicurahkan oleh janji-janji pembangunan dan seumpamanya saja. Dan melalui janji pembangunan, pemberian wang dan saguhati itulah UMNO dan BN menang pilihanraya selama ini.

Kenapa Mahathir tidak mengkritiknya sebelum ini dan hanya berbuat demikian setelah BN kalah di Sungai Limau?

Adakah jika BN menang dalam pilihanraya Sungai Limau tempohari, kritikan Mahathir tetap sama?

Kritikan Mahathir terhadap amalan pemberian wang dan saguhati ini adalah serangan terbarunya terhadap UMNO dan kerajaan yang dipimpin oleh Najib Razak. Ini juga memperlihatkan bekas Perdana Menteri itu semakin kerap bersuara mengenai UMNO, kerajaan dan Najib sejak pemilihan UMNO pada 19 Oktober lalu yang menyaksikan anaknya, Mukhriz hanya mampu mendapat tempat keempat dalan perebutan kerusi Naib Presiden UMNO walaupun dilihat calon yang popular.

Sebaik usai pemilihan itu, Mahathir seperti meluahkan rasa kecewanya dengan kekalahan Mukhriz. Katanya, beliau memang sudah menjangka anaknya yang juga MB Kedah akan tewas dalam pertandingan itu kerana beliau bukanlah calon pilihan Perdana Menteri.

Jelas daripada ungkapan itu, terpancar rasa kecewanya kerana Najib lebih meletakkan Hishammuddin, sepupunya dan dianggap lemah serta tidak disukai oleh rakyat, sebagai antara calon pilihan Perdana Menteri untuk memenangi jawatan nombor tiga itu, sebaliknya Mukhriz yang tidak dijadikan calon pilihan Perdana Menteri bertanding keseorangan.

Mahathir juga kemudian mengatakan politik wang masih berlaku dalam UMNO sehingga calon yang tidak layak akhirnya telah memenangi jawatan tertentu dalam pemilihan kali ini. Sekali lagi, tafsiran umum mengenai calon yang dianggap tidak layak tetapi telah memang itu sebenarnya ditujukan kepada Hishammuddin.

Memang diakui dalam pemilihan lalu, Hishammuddin merupakan calon paling tidak popular dan ramai yang mahukan beliau kalah. Berbanding dengan Mukhriz yang baru membawa kemenangan kepada BN menawan semula Kedah, anak bekas Perdana Menteri, Hussein Onn itu nyata jauh tertinggal di belakang.

Bagaimanapun ketika pemilihan, Hishammudin berjaya mendapat tempat ketiga dengan kelebihan 9 undi berbanding Mukhriz manakala Zahid Hamidi di tempat pertama dan Shafie Apdal di tempat kedua. Kedudukan sebagai calon bukan pilihan Najib dianggap sebab utama tewasnya Mukhriz dalam pemilihan itu.

Selepas mengkritik mengenai politik wang yang masih berlaku dalam UMNO, Mahathir juga kemudian mengatakan kepimpinan Najib sebenarnya semakin lemah kerana kerap tunduk kepada tuntutan kumpulan ekstrem daripada pembangkang.

Jika dikira pendedahan mengenai tekanan yang sedang diberikan oleh Mahathir kepada Peguam Negara, Ghani Patail dengan menjadikan kehilangan Pulau Batu Puteh dan salah lakunya ketika mengendalikan kes mata lebam yang melibatkan Anwar Ibrahim sebagai asas menekan pegawai tinggi kerajaan yang dianggap rapat dengan Perdana Menteri itu, serangan dan kritikan Mahathir kepada UMNO, kerajaan dan Najib sudah menjadi episod yang bersiri sebenarnya.

Ia kini sudah memasuki siri kelima -bermula dengan luahan kecawa kerana anaknya bukan calon pilihan Najib, politik wang telah menyebabkan calon tidak layak terpilih, kerajaan Najib makin lemah kerana tunduk kepada tuntutan ekstrem pembangkang, tekanan kepada Ghani Patail tetapi sasaran sebenarnya ialah Najib dan terbaru kritikannya mengenai pemberian wang dan hadiah yang dianggap pembaziran dalam kempen.

Pastinya selepas ini banyak lagi kritikan dan serangan akan dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu. Dalam tempoh tidak sampai sebulan, sudah terlihat tanda-tanda bahawa semua yang ada dalam UMNO dan kerajaan sekarang tidak lagi betul di mata Mahathir.

Bukan saja pemberian wang dan hadiah yang dulunya menjadi alat memenangkan BN setiap kali pilihanraya sudah dianggapnya tidak betul dan membazir, malah Ghani Patail yang mula digunakannya ketika era pemerintahannya untuk mendakwa dan menyingkirkan musuh politiknya Anwar Ibrahim ketika ini, turut dilihatnya tidak lagi betul sekarang ini.

Oleh itu, janganlah terkejut, jika selepas ini bukan saja kritikan Mahathir makin kerap, malah apa yang dulunya dianggap betul, turut dilihatnya salah selepas ini. Oleh kerana Mukhriz menang undi popular berbanding Hishammuddin yang mengatasinya dengan kelebihan 9 undi berdasarkan kaedah "electoral college" atau satu bahagian satu undi, tidak mustahil juga Mahathir selepas ini mahukan kaedah undi popular digunapakai dalam pemilihan UMNO pula.

Sikap berubah-ubah bukanlah asing bagi Mahathir dan dalam sejarah politiknya, sudah banyak kali kawannya bertukar menjadi musuh dan musuh kembali menjadi kawan.

Oleh itu, bermula dengan semuanya tidak lagi dianggap betul oleh Mahathir sekarang ini, tidaklah mustahil Najib yang dulunya wangi dan disanjung, bakal dikitai tak lama lagi.http://shahbudindotcom.blogspot.com

Kematian Ketua Penguat Kuasa Jaip bermotif bunuh

Posted: 10 Nov 2013 04:11 PM PST

SINAR HARIAN

Kematian Ketua Penguat Kuasa Jaip bermotif bunuh 
 Jenazah Raflie Abdul Malik dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat selepas ditembak dari jarak dekat di hadapan rumahnya di Taman Indera Mahkota Dua dekat sini, hari ini. - Foto Bernama


KUANTAN - Polis mengesahkan kematian Ketua Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Mohd Raffli Ab Malik, yang ditembak di rumahnya tengah hari tadi, bermotifkan bunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang,  Senior Asisten Komisioner Zakaria Ahmad berkata, semasa kejadian pada 1.55 tengah hari itu, mangsa yang berumur 49 tahun sedang berehat bersama isteri dan seorang anaknya di ruang tamu.

Beliau berkata sebelum itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50an yang berjubah hitam dan berkopiah putih, yang tiba di rumah Mohd Raffli dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih, telah memanggil mangsa keluar dari rumahnya.

"Semasa keluar dari rumahnya, seorang lagi suspek berumur dalam lingkungan 30an meluru dari tempat duduk belakang kereta dan melepaskan tiga das tembakan ke arahnya," kata beliau kepada pemberita di rumah mangsa di Indera Mahkota di sini, hari ini.

Zakaria berkata dua daripada tiga das tembakan itu mengenai dada Mohd Raffli manakala satu lagi tembakan tersasar menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.

"Polis percaya suspek yang menaiki kereta itu telah berlegar-legar di kawasan rumah mangsa berdasarkan faktor suspek hanya mengambil masa seminit untuk membunuh mangsa," katanya.

Zakaria berkata, polis menyiasat kes itu dari pelbagai sudut termasuk motif lain. - Bernama

Dirasuk 'tuan puteri'

Posted: 10 Nov 2013 04:05 PM PST

 Dirasuk 'tuan puteri' 
 Mangsa yang pengsan sedang dipapah rakannya sejurus indisen itu.


PORT DICKSON - Pertandingan Kesenian Himpunan Pertahanan Awam Malaysia ke-19 yang diadakan di kawasan lapang tepi pantai Batu 1,di sini, malam kelmarin gempar apabila 15 peserta program berkenaan dirasuk.

Kejadian berlaku kira-kira 10 malam, selepas hampir dua jam pertandingan kesenian itu berlangsung dalam perhimpunan yang disertai hampir 1,500 peserta membabitkan 14 kontinjen di kalangan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) seluruh negara.

Perhimpunan bermula pada Khamis lalu dan berakhir semalam, meliputi pelbagai aktiviti seperti ujian kemahiran, kecekapan, kepimpinan dan disiplin.

Difahamkan, mangsa seolah-olah diserang histeria semasa persembahan salah satu kontinjen yang membawa persembahan Ulek Mayang, manakala sebelum ini satu lagi kontinjen mempersembahkan tarian Kuda Kepang.

Sebahagian mangsa yang dirasuk berlari menuju ke kawasan pantai yang jaraknya kira-kira 20 meter dari lokasi pentas pertandingan kesenian dan ada yang berlari ke kawasan khemah logistik himpunan tersebut.

Beberapa pengamal ilmu perubatan Islam dipanggil bagi memulihkan mangsa, selain peserta lain bersama-sama mengalunkan zikir. Sebahagian peserta yang diserang histeria turut dibawa ke Masjid Jamek Port Dickson kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian untuk dipulihkan.

Difahamkan, kesemua peserta himpunan menginap di beberapa hotel berhampiran kawasan himpunan dan mereka tidak melakukan aktiviti perkhemahan.

Salah seorang peserta persembahan Ulek Mayang, Nazar Mohd Amin, 22, berkata, beberapa minit selepas dia bersama rakannya membuat persembahan atas pentas, dia yang memakai pakaian tradisional Ulek Mayang menyedari di sekelilingnya ada beberapa penari latar, selain rakannya yang turut mengiringi persembahan itu.

"Saya perasan seperti ada penari latar kanak-kanak yang memakai baju berwarna warni serta ada seorang gadis seakan-akan tuan puteri turut berada di dalam kumpulan kami membuat persembahan.

"Saya mula menyedari ada sesuatu yang ganjil berlaku dan segera beristighfar dan berzikir kemudiannya pengsan. Sebaik tersedar saya rasa badan sangat lemah," katanya.

Sementara salah seorang peserta yang menonton pertandingan kebudayaan itu, Nurul Ain Kasar, 25, berkata, dia duduk di hadapan pentas bersama rakan-rakannya.

"Semasa persembahan kuda kepang ada beberapa di kalangan kami turut menari seperti rentak kuda kepang seiring dengan peserta yang membuat persembahan di atas pentas.

"Tidak lama kemudian, penonton yang menari itu jatuh dan keadaan menjadi kelam-kabut. Saya pun bangun untuk pergi kekelompok rakan yang lebih tenang, namun rasa seperti ada sesuatu yang menarik saya dari belakang sehingga saya terjatuh.

"Kemudian saya bangun semula dan rakan-rakan yang saya hampiri semuanya melarikan diri dalam keadaan ketakutan tidak mahu menghampiri saya. Selepas itu saya tidak ingat apa yang berlaku," katanya.

"Sebaik sedar, badan saya sangat lemah dan rakan-rakan memaklumkan semasa kejadian, muka saya berubah seperti seorang perempuan yang sangat tua dan menakutkan," katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pertahanan Awam, Datuk Sulaiman Keling berkata, insiden berkenaan berlaku tanpa diduga namun ia berjaya dikawal dan diatasi dengan baik oleh petugas himpunan berkenaan.

"Kita yakin faktor keletihan menjadi punca utama kejadian ini berlaku. Pada siang hari sebelum insiden ini berlaku, semua perserta menjalani aktiviti pertandingan kemahiran selain dengan cuaca di tepi pantai yang panas.

"Saya juga yakin insiden yang berlaku ini tidak akan mematahkan semangat anggota JPAM yang terlibat kerana apa yang berlaku ini adalah salah satu antara cabaran yang mereka hadapi ketika melaksanakan tugas di lapangan, malah dalam sesetengah kes ia lebih mencabar daripada apa yang berlaku semalam (kelmarin)," katanya selepas menyempurnakan Himpunan Pertahanan Awam Malaysia ke-19 di Batu 1 Jalan Pantai,di sini semalam.

Beliau berkata, semua anggota JPAM dilengkapi dengan kemahiran yang tinggi dan dalam insiden itu, sama ada peserta yang terlibat ataupun di kalangan rakan-rakan yang menyaksikan, boleh mengatasinya dengan baik.

Penangan media sosial

Posted: 10 Nov 2013 03:58 PM PST


Oleh Amin Iskandar


Walaupun sesetengah pemimpin tertinggi negara sebelum ini tidak menggemari media sosial kerana ia membenarkan mereka dikritik secara terbuka dalam suasana media arus perdana berat sebelah, ia terbukti membawa kebaikan malahan membantu kes jenayah diselesaikan.

 Sebaik sahaja bayi lelaki warga Britain Freddie Joseph yang berusia setahun lapan bulan dilarikan dua individu di hadapan rumahnya di Jalan Terasik 7, Bangsar pada Jumaat, sebelum mana-mana media mengeluarkan laporan, laman sosial Facebook dan Twitter sudah dibanjiri berita mengenainya.

Pada masa kejadian, ibunya Sarah Joseph, 38, masuk sebentar ke dalam rumah selepas memberi anaknya makan di halaman rumah, sebelum beliau terdengar bunyi bising di luar rumahnya.

Ketika itu, beliau ternampak seorang lelaki cuba melarikan Freddie lalu menerpa ke arahnya untuk menyelamatkan anaknya sambil menjerit meminta pertolongan sehingga berlaku pergelutan.

Akibat pergelutan itu, Sarah cedera di pergelangan tangan kanannya.

Freddie akhirnya ditemui semalam di Taman Tasik Titiwangsa oleh beberapa orang awam lebih kurang jam 12.20 tengah hari dalam keadaan keletihan.

Bayi itu akhirnya kembali semula ke pangkuan Sarah dan warga media sosial meraikannya dengan penuh kesyukuran.

Di Indonesia kerana keterbukaannya, media sosial memainkan peranan lebih besar.

Pemimpin negara atau menteri di negara itu tidak boleh melakukan kesalahan jalan raya dengan sesuka hati.

Pada 4 Mei 2010, kenderaan rasmi Menteri Sosial Assegaf Al-Jufri dengan nombor pendaftaran RI 32 memasuki lorong busway (lorong dikhaskan untuk bas) di Jakarta.

Kejadian dirakamkan kamera pengguna Twitter bernama Rubinni yang kemudian menyebarkannya di laman sosial itu.

Berita itu tersebar luas di Twitter sehingga media massa turut melaporkannya.

Di televisyen dan akhbar-akhbar heboh kenderaan menteri melanggar kesalahan lalulintas.

Tekanan daripada umum memaksa polis yang menguruskan hal lalulintas di Jakarta dan mengeluarkan saman terhadap kenderaan menteri tersebut.

Di Malaysia dalam hal ini lain pula ceritanya. Kenderaan rakyat marhaen yang diletakkan di tepi jalan seketika untuk mengeluarkan wang di bank ditunda manakala kenderaan menteri atau pemimpin tertinggi negeri boleh diletakkan di mana sahaja tanpa ada sebarang tindakan.

Di zaman media sosial menguasai perdebatan masyarakat pada hari ini, tiada siapa boleh terlepas daripada apa yang dikata atau lakukan apatah lagi kalau mereka itu ahli politik atau selebriti.

Seperti yang dikatakan oleh seorang bekas timbalan menteri yang ditemuramah sebuah portal berita baru-baru ini, seseorang pemimpin itu tidak boleh menjadi progesif di hadapan satu kelompok dan bertukar menjadi "kanan" di hadapan kelompok lain.

Dalam erti kata lain, seseorang itu sudah tidak boleh lagi menjadi "sesumpah" yang seringkali menukar warnanya mengikut kesesuaian keadaan.

Media sosial pasti menghukumnya.

Pemergian Ustaz Raffli Satu Kehilangan Besar Kepada JAIP - Pengarah

Posted: 10 Nov 2013 03:54 PM PST

Mohd Raffli mati ditembak dari jarak dekat di hadapan rumahnya.
 
MSTAR ONLINE


KUANTAN: Rata-rata individu yang mengenali Ketua Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Mohd Raffli Ab Malik yang maut akibat ditembak di rumahnya tengah hari ini menyifatkan pemergian arwah sebagai satu kehilangan besar.

Pengarah Jaip Datuk Mohamad Roslan Harun berkata sepanjang dua tahun mengenali arwah, beliau mendapati Mohd Raffli adalah seorang pekerja yang dedikasi dan tegas dalam melaksanakan tugas sebagai penguatkuasa JAIP.

"Walaupun tegas beliau (Ustaz Raffli) juga sangat mengambil berat terhadap anak-anak buahnya dalam melaksanakan tugasannya," katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarah jenazah mangsa di kediamannya di sini, Ahad.

Ditanya kemungkinan akan mewujudkan jawatankuasa siasatan dalaman berhubung kes itu, Mohamad Roslan berkata jika ada keperluan Jaip mungkin menubuhkan satu jawatankuasa siasatan berpandukan maklumat dan siasatan polis.

Perkara itu katanya, bagi memastikan kes seperti itu tidak berlaku terhadap pegawai Jaip yang lain pada masa hadapan.

Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman yang turut hadir meluahkan rasa dukacita dengan pemergian arwah yang disifatkan seorang pegawai Jaip yang amat bertangunggjawab dan amanah dalam melaksanakan tugas yang dipikul.

"Kami mengharapkan semua pihak dapat membantu dan memberi maklumat yang jelas bagi membantu (pihak berkuasa) menangkap pihak yang zalim ini.

"Beliau kerja dengan ikhlas tapi telah dianiaya dan ditembak, satu perkara yang amat mendukacitakan, kami doakan supaya roh beliau bersama dengan para solihin dan termasuk (golongan) syahid akhirat," katanya dengan nada sebak.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Pahang Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad pula berkata kerajaan negeri membantu menguruskan urusan jenazah dengan sebaik mungkin selain akan membantu dalam hal berkaitan kebajikan keluarga arwah.

Dalam kejadian 1.55 tengah hari Ahad, Mohd Raffli, 49, mati selepas terkena dua das tembakan di dadanya yang dilepaskan oleh seorang daripada tiga suspek yang dipercayai menaiki kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih. - BERNAMA

Seorang Cedera Dalam Kejadian Tanah Runtuh Di Cameron Highlands

Posted: 10 Nov 2013 03:48 PM PST

MSTAR ONLINE
 
 
IPOH: Dua lelaki, seorang daripadanya cedera setelah terperangkap dalam sebuah bengkel kenderaan akibat tanah runtuh di Jalan Sultan Abu Bakar Brinchang dekat Cameron Highlands di sini Ahad.

Idris Munir, 43, cedera di kaki dan kini dirawat di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata, manakala rakannya Mohd Norsofwa Abdul Wahab, 42, tidak cedera.

Seorang daripada mereka adalah pemilik bengkel itu.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Wan Zahari Wan Busu berkata ketika kejadian pada pukul 6.35 petang, kedua-dua lelaki berkenaan sedang berbual bersama tiga lagi rakan mereka di hadapan bengkel itu.

"Hujan lebat menyebabkan bukit berhampiran bengkel itu runtuh dan menghempap kedai. Tiga lelaki yang berada di hadapan bengkel sempat melarikan diri namun dua daripada mereka terperangkap dalam bengkel," katanya.

Beliau berkata kejadian itu juga menyebabkan beberapa kereta di dalam bengkel itu rosak.

Wan Zahari berkata anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands dengan bantuan anggota polis mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan mangsa.

"Kerja-kerja membersihkan kawasan bengkel itu sedang dijalankan bagi membolehkan kenderaan melalui kawasan itu," katanya. - BERNAMA

Suspek Bunuh Pegawai AmBank Jadikan Rumah Kosong Lokasi Persembunyian

Posted: 10 Nov 2013 03:45 PM PST

Suspek kes rompakan dan bunuh pegawai AmBank Subang Jaya dikawal ketat oleh anggota polis ketika keluar dari Mahkamah Petaling Jaya selepas ditahan di Kota Tinggi, Johor, awal pagi Ahad. - FotoBERNAMA

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Suspek kes bunuh dan rompak pegawai AmBank di Subang Jaya menjadikan bangunan serta rumah kosong sebagai lokasi persembunyian selama 19 hari ketika dalam buruan polis.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata suspek bersembunyi di beberapa buah rumah serta bangunan kosong sekitar Lembah Klang dan Johor.

"Bagaimanapun, suspek dipercayai melarikan diri menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan teksi untuk keluar dari Lembah Klang menuju ke Johor sejurus selepas kejadian pada 23 Oktober lepas.

"Ketika berada di sana (Johor), suspek juga cuba mendapatkan bantuan sindiket pemalsuan dokumen pasport bagi melarikan diri ke negara jiran," katanya.

Suspek ditahan di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor pada kira-kira 7 pagi Ahad.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam twitter beliau pada Ahad, memaklumkan bahawa suspek ditahan di Johor serta mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang membantu polis.

Dalam kejadian 23 Oktober lepas, pegawai AmBank Subang Jaya Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak suspek ketika membuka peti besi dalam bilik kebal bank berkenaan.

Mangsa, yang berkhidmat selama 16 tahun dengan bank itu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek.

Suspek turut melarikan diri dengan hasil rompakan wang tunai RM450,000. - BERNAMA

Gani Patail patut berundur, kalau tidak Najib dan kabinet berundur

Posted: 10 Nov 2013 03:37 PM PST


Oleh Aspan Alias


Kegersangan politik politik tanahair, yang telah membawa berbagai-bagai padah yang buruk entah bilakan selesai. Kerajaan hari ini sibuk dengan berusaha untuk memperbaiki keyakinan rakyat terhadapnya, tetapi mereka tidak pun memahami apa kesalahan yang mereka lakukan dan seterusnya mereka tidak tahu bagaimana untuk memperbaikinya. 

Bagaimana hendak membetulkan keadaan jika mereka (pemimpin kerajaan) tidak tahu masalah sebenar yang hendak mereka selesaikan itu. Selalu mereka tidak tahu pun apa yang mereka lakukan itu adalah tindakan yang salah. Pendeknya mereka melakukan tindakan salah terhadap isu yang salah dan tidak terjumpa penyelesaian hingga ke akhir.

Sekarang sudah sampai ke tahap yang amat meruncing sehinggakan pimpinan termasuk pucuk pimpinan melakukan tindakan yang salah dan tidak menepati maksud untuk membetulkan kesalahan yang mereka sendiri tidak memahami masalahnya. Negara telah terbiar begitu lama dengan masalah yang terlalu banyak di lakukan kerajaan. Setiap minggu ada sahaja isu yang keluar dan terpampang di mata rakyat.

Hari ini isu besar yang kita dengar ialah isu kewibawaan Peguam Negara, Gani Patail. Isu salah laku Gani Patail berhubung dengan isu kehadiran dua orang agen CIA di pejabat Peguam Negara menjadi hangat apabila salah seorang dari dua bekas Perdana Menteri kita telah bertindak merundingkan apa yang perlu di lakukan terhadap Peguam Negara di atas beberapa isu yang telah di timbulkan oleh beberapa pihak terhadap Gani.

Diantara isunya, selain dari isu terbaru iaitu tentang kehadiran dua orang penasihat kepada Peguam Negara dari AS itu, ialah isu yang sering di timbulkan oleh bekas pegawai kanan polis Datuk Mat Zain Ibrahim sejak beberapa tahun yang lalu. Bekas Ketua CID, PDRM itu telah menulis beberapa surat terbuka dan begitu lantang menzahirkan apa yang beliau anggap sebagai salah laku seorang Peguam Negara yang sepatutnya mempunyai kewibawaannya untuk melihat salah laku yang dilakukan kepada pengadilan terlaksana.

Datuk Mat Zain telah menunjukkan bukti kukuh yang Peguam Negara telah menyalahgunakan kuasa dengan menutup isu dan kesalahan besar pimpinan dan mendiamkan isu yang sepatutnya di ketengahkan. Jika kita ingat berbagai-bagai isu telah tidak di ambil tindakan semata-mata mereka adalah dari kumpulan berkuasa dan berpengaruh. Tidak salah tuduhan setengah pihak jika kesalahan dilakukan oleh mereka yang mempunyai otot politik maka Gani akan mengambil tindakan membenamkan sahaja isu mereka yang bersalah itu.

Semuanya ini tidak ada tindakan yang di ambil oleh pimpinan khususnya oleh Perdana Menteri dan sebahagiannya berlaku semasa pimpinan Dr Mahathir sendiri. Tindakan Dr Mahathir untuk mengetengahkan isu ini amatlah baik tetapi Dr Mahathir juga perlu bertanggungjawab kerana banyak juga isu terhadap Gani ini telah di ketahui umum semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

Malahan banyak tindakan Gani semasa Dr Mahathir menjadi PM dahulu menunjukkan yang Gani itu hanyalah 'conduit' kepada kemahuan dan kehendak Dr Mahathir sendiri.

Sekarang isu terhadap Gani semakin hari semakin menggunung tetapi Perdana Menteri Najib tidak mengambil apa-apa tindakan susulan terutama dalam isu kehadiran dua pegawai tinggi AS dalam pejabat Peguan Negara itu sekarang. Walaupun Malaysia merupakan salah sebuah negara yang menjadi sasaran intipan AS tetapi Gani tetap bersama dua pegawai kanan AS di dalam Pejabatnya itu.

Bukan sahaja Najib, Ahmad Zahid Hamidi, Menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan Negara sendiri hanya mendiamkan diri dan tidak nampak tindakan yang di lakukan beliau sehingga hari ini. Isu ini bukannya isu yang kecil untuk di diamkan begitu sahaja. Apa masalah yang mereka hadapi sehingga mereka tidak berkata-kata langsung di dalam rakyat sedang memerhati tindak laku pimpinan yang rakyat begitu tidak meyakini sekarang ini.

Bagi orang ramai Gani sepatutnya tidak lagi perlu berada di sana dan sebaik-baiknya ialah dengan berehat dan seterusnya mengundurkan diri sementara penyiasatan di lakukan ke atas beliau dalam semua tuduhan terhadap beliau itu. Jawatan itu adalah jawatan penting untuk sebuah demokrasi kita. Jika tidak di lakukan apa yang sepatutnya, maka tidak lagilah berhak untuk kita mengaku yang negara kita sebagai negara demokrasi.

Najib dan Zahid sepatutnya keluar dengan tindakan yang jelas untuk menyelesaikan isu ini. Berdiam diri adalah pengakuan terhadap berlakunya isu-isu itu. Bagi pihak ramai sekarang ini jika perkara seperti ini tidak dapat di selesaikan oleh pucuk pimpinan kita, desakan untuk mereka meletakkan jawatan sememangnya sudah lama kita dengari. Mereka sepatutnya mengangkat tangan kepada rakyat tanda menyerah diri di atas kelemahan mereka menghadapi isu yang begitu besar bagi negara ini.

Percayalah nasib dan keselamatan negara bergantung kepada ketokohan pimpinan menangani isu yang sangat besar kepada rakyat dan mana-mana negara sekali pun. Jika pimpinan tidak mempunyai tulang belakang, mereka sepatutnya bersara. Jangan menyusahkan rakyat kerana ketidak-mampuan mereka memimpin kita. Walaupun dalam barisan kepimpinan Tertinggi UMNO sudah tidak punya kepimpinan, ramai lagi pemimpin UMNO dan dari luar UMNO boleh mengambil alih untuk menyelesaikan semua masalah  yang kita hadapi sekarang.

Blog ini tidak pernah lupa menyeru agar UMNO menukar kepimpinannya serta merta dan tidak boleh berlengah lagi. Jika UMNO sudah tidak lagi mampu untuk melakukan perubahan itu maka parti-parti dalam BN wajar melakukan tindakan perubahan ini jika mahukan BN itu masih relevan sehingga satu jangka yang lebih panjang lagi.

Masalah dengan BN hanya satu, iaitu masalah kelemahan kepimpinan UMNO. UMNO itu parti yang menunjangi BN, jika UMNO menjadi lemah maka BN itu sendiri akan rebah dan akan berakhir usianya. UMNO tidak mampu melakukan pembetulan untuk mereka sendiri kerana semua yang berada di dalam barisan kepimpinan iaitu Majlis Tertingginya itu tidak ada yang berkelayakan untuk melakukan perubahan dan pembetulan diri sendiri itu.

Selagi barisan kepimpinan UMNO yang ada dalam Majlis Tertinggi ini masih tidak mahu akur tentang hakikat kelemahan mereka selagi itulah politik tanahair kita tidak akan selesai. Isu-isu besar yang sedang kita hadapi hasil dari kelemahan dan ketidak ada hala tujuan yang jelas sebagai pemimpin sebuah negara ini, amat menakutkan rakyat yang sedar tentang bahayanya. Isu besar bertimbun-timbun, lepas satu isu timbul isu-isu lain. Belum selesai isu lama isu-isu yang baru datang sebagai arus air yang amat deras yang akhirnya akan menganjak dan mengalih asas kepimpinan negara kita dan perjuangan rakyat dalam mengisi kemerdekaan yang telah kita capai sekian lama itu.

Jika dihalusi sebab yang menyebabkan datangnya isu-isu yang menakutkan ini, ialah kerana UMNO tidak pernah membina kepimpinannya sejak Dr Mahathir mengambil alih kepimpinan negara dahulu. Bahananya kita rasai selepas beliau meninggalkan teraju kepimpinannya.  Tidak ada usaha untuk pembinaan kepimpinan di zaman beliau menjadi PM dahulu menyebabkan kita terpaksa mewarisi pimpinan yang kosong jiwanya.

Pemimpin yang baik semuanya di bunuh secara beransur-ansur semata untuk memimpin bersama 'yes men' dan 'yes sir' di sekeliling beliau. Mahathir tidask pernah mahu 'co-exist' dengan pemimpin-pemimpin berwibawa yang beliau rasakan akan menjatuhkan  beliau.

Sesungguhnya Dr Mahathir itu walaupun kita mendengar kata-katanya sebagai seorang yang keras tetapi di dalam beliau itu adalah jiwa yang amat kecil dan jika hendak menjadi pemimpin yang berwibawa pada pandangan ramai, pemimpin-pemimpin yang beliau takutkan itu terpaksa di ketepikan dengan bebagai cara yang termampu oleh beliau lakukan.

Akhirnya UMNO sebagai tunjang BN tiada kepimpinan lagi. Pemimpin di dalam UMNO itu ramai tetapi tidak ada yang berkepimpinan. Itu sebabnya saya menyeru agar pimpinan parti-parti dalam BN itu wajar melakukan perubahan itu dan lakukanlah dengan secepat dan se segera yang mungkin demi menjaga keutuhan Malaysia yang kita cintai ini.

Dalam kes Gani Patail ini, Najib sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menyenangkan hati rakyat. Jika Gani telah melanggar undang-undang negara, tetapi Najib tidak juga mahu mengambil tindakan, maka Najib sendiri sepatutnya mengundurkan dirinya secepat yang mungkin kerana Peguam Negara itu adalah 'accountability' kerajaan.http://aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan: