Jumaat, 29 November 2013

BRIGED MP SEGAMBUT

BRIGED MP SEGAMBUT


GAJI TINGGI DAN RASUAH...MANA AWAK PILIH?...

Posted: 28 Nov 2013 10:25 PM PST

Apabila penggubal undang-undang membuat keputusan untuk memberikan ganjaran kepada diri mereka sendiri dengan bayaran lebih tinggi, mesej apakah yang hendak disampaikan kepada pengundi, terutama selepas kerajaan negeri berjimat menggunakan wang sepanjang lima tahun lalu?
Negeri terkaya Malaysia, Selangor mempunyai banyak simpanan kerana Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) begitu berhati-hati dalam menggunakan wang sejak mengambil alih kuasa pada Pilihan Raya Umum 2008. Cara beliau menguruskan ekonomi menyebabkan beliau berkuasa untuk penggal kedua dengan majoriti lebih besar.
Tetapi, tindakan Abdul Khalid menaikkan gaji dirinya, Exco, Speaker, Timbalan Speaker mengejutkan pengundi di Selangor dan partinya sendiri, PKR.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan kenaikan gaji bagi semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bermula tahun hadapan dengan Timbalan Speaker mendapat peratusan tertinggi iaitu 373.3%.
Gaji menteri besar akan meningkat dari RM14175.15 kepadaRM29,250, exco dari RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker, dari RM6,109.29 kepada RM22,500, timbalan speaker, dari RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun dari RM6,000 kepada RM11,250. Terdapat 44 Adun Pakatan Rakyat (PR) di Selangor sementara Barisan Nasional (BN) pula mempunyai 12 Adun.
Tindakan Abdul Khalid memberikan ganjaran kepada Adun bukan yang pertama dilakukan pada tahun ini. Sarawak membuat keputusan untuk menaikkan gaji Adun mereka sebanyak tiga kali ganda, menjadikan gaji Adun lebih tinggi daripada ahli Parlimen.
Di Singapura, beberapa tahun lalu Lee Kuan Yew membuat keputusan menaikkan gaji menteri sehingga berjuta dolar. Justifikasinya adalah gaji tinggi akan menarik bakat terbaik untuk menyertai politik dan mengekang rasuah.
Sedekad selepas itu, pemerintah PAP masih berlegar dalam isu gaji apabila anak kepada Lee, Lee Hsien Loong memotong gaji selepas pilihan raya lalu.
Faktanya adalah tiada siapa akan mempersoalkan kenaikan gaji penggubal undang-undang jika kadarnya berpatutan, bukan dengan kadar yang tidak masuk akal terutama apabila orang ramai masih mengharapkan wakil rakyat mereka memberikan khidmat tanpa memikirkan ganjaran wang.
Terutamanya lagi apabila mereka daripada parti pembangkang yang selama ini berkempen untuk tanggungjawab fiskal dan kewangan.
Abdul Khalid seharusnya ingat, ramai orang di negerinya bergelut untuk membayar hutang isi rumah dan sangat beruntung jika mendapat kenaikan gaji 10% setahun, kadar yang jauh lebih rendah daripada Adun Selangor.
Apatah lagi penyelarasan gaji penggubal undang-undang Selangor baru sahaja dilakukan pada 2011. Walaupun pengundi di Selangor mengembalikan mereka kepada kekuasaan, PR seharusnya ingat penyelarasan gaji itu mungkin akan mencederakan imej mereka, lebih daripada apa yang BN mampu lakukan.
BN cuba merampas kembali negeri perindustrian terbesar di Malaysia itu sejak kalah pada 2008 tetapi tidak berjaya.
Keputusan Abdul Khalid untuk memberikan ganjaran kepada penggubal undang-undang di Selangor mungkin menjadi permulaan untuk menunjukkan kepada pengundi bahawa PR tidak berbeza dengan BN dalam memberikan ganjaran kepada diri mereka sendiri selepas berjaya menunjukkan bagaimana beliau berjimat untuk negeri itu.
Seharusnya terdapat imbangan di antara orang ramai gembira dan penggubal undang-undang turut gembira. Memberikan ganjaran hanya kepada satu pihak tanpa memberikannya kepada satu pihak lain tidak menunjukkan keseimbangan.
Abdul Khalid seharusnya belajar daripada Singapura dan Sarawak tentang begaimana untuk menguruskan negeri tanpa hanya memberikan ganjaran hanya kepada rakan setugasnya. Atau beliau sendiri akan berdepan dengan pengundi yang mengharapkan sesuatu daripada wakil rakyat mereka.
Lagipun, beliau bukanlah menteri besar daripada Umno atau BN yang percaya hanya kepada cara mereka. Abdul Khalid boleh mendengar rintihan rakyat dan memberikan ganjaran kepada mereka, bukan hanya kenaikan gaji wakil rakyat. – 29 November, 2013.

Tiada ulasan: