Sabtu, 9 November 2013

.

.


Tian Chua sifatkan Jelani sebagai 'katak'

Posted: 09 Nov 2013 02:54 AM PST

KENYATAAN                                                                                    

Naib Presiden Keadilan (PKR) Chua Tian Cheng atau Tian Chua yang kini dikatakan memangku tugas dan tanggujawab sebagai Setiausaha Agung parti itu menyifatkan wakil PKR Sabah, Jelani Hamzah (Adun Matunggong) yang bertindak mengeluarkan parti itu sebagai oportunis yang sengaja mahu menggunakan isu dalaman parti sebagai kepentingan diri.

Katanya, Jelani tidak puas hati berhubung perlantikan wakil pelbagai ethnik dalam majlis pimpinan parti.

Tian Chua juga menyifatkan tindakan Jelani itu sebagai katak politik yang akan hilang ditelan zaman. "Jelani hanya satu lagi kata politik yang akan hilang ditelan zaman," katanya.


Berikut adalah kenyataan penuh Tian Chua;

Tindakan Jelani Hamdan, ADUN Matunggong, yang telah mengisytiharkan beliau keluar parti dan meletak kesemua jawatan dalam KEADILAN hari ini sekali lagi menunjukkan tindakan pengkhianat amanah rakyat Sabah. Malah beliau adalah ahli politik "oportunis" yang sengaja mengguna isu dalaman parti bagi kepentingan diri sendiri.

Jelani Hamdan telah bertanding atas tiket KEADILAN-Pakatan Rakyat dalam PRU13 yang lalu, dan rakyat Matunggong telah jelas menyatakan kehendak mereka diwakili wakil rakyat Pakatan Rakyat di DUN Sabah.

Jelani berkata rasa tidak puas hati yang beliau alami adalah akibat lantikan kumpulan etnik pelbagai kaum dalam Majlis Pimpinan Negeri. Kenyataan yang beliau pernah membangkitkan pandangan beliau tentang isu ini merupakan bukti proses rundingan dan konsultasi yang terus diadakan. Pandangan beliau dan pelbagai pihak yang lain telah diterima dan dipertimbang.

Dalam pertemuan saya dengannya dan juga pelbagai pihak yang lain, saya menegaskan KEADILAN adalah sebuah parti politik pelbagai kaum, dan usaha mewujudkan konsensus mengambil masa dan usaha ikhlas dari semua pihak. Saya telah menjelaskan bahawa beliau saf pimpinan negeri terdiri dari kesemua pemimpin negeri, termasuk diri beliau. Mempertimbang keperluan semua pihak merupakan tanggungjawab yang wajib dipikul keseluruhan saf pimpinan negeri Sabah, yang mempunyai autonomi untuk merubah dan membentuk dasar dan struktur organisasi.

Amat tidak masuk akal Jelani menerima watikah lantikan sebagai calon pilihanraya KEADILAN namun kini berkata beliau tidak pernah menjadi anggota parti. Resit yang dipampang kepada media itulah bukti yang paling terang beliau telah menjadi anggota KEADILAN. Dalam setiap perbincangan dengan saya malah dengan lain pemimpin-pemimpin parti sebelum ini, isu keanggotaan beliau tidak pernah sekalipun ditimbulkan. Kini, isu ini dijadikan alasan untuk menjauhkan diri dari KEADILAN. Menggunakan contoh Datuk Seri Panglima Wilfred adalah tidak tepat, di mana beliau bertanding sebagai APS di bawah tiket KEADILAN atas persetujuan bahawa APS merupakan rakan bersekutu Pakatan Rakyat.

Akhir sekali, rakyat akan menilai dan menghukum ahli politik yang tiada integriti seperti ini. Seseorang wakil rakyat mungkin mengguna pelbagai alasan untuk bertukar arah, namun pendirian seseorang ahli politik berkenaan isu-isu dasar merupakan perkara yang paling penting. Rakyat yang telah memilih reformasi dan perubahan telah dikhianati apabila ahli politik yang pentingkan diri sendiri menjadi oportunis yang berpaling tadah dan menyokong rejim yang korup dan zalim. Tiada apa-apa masalah sama ada berbentuk peribadi mahupun parti yang boleh mengiakan pengkhianatan mandat rakyat sebegini.

Jelas, Jelani hanyalah satu lagi "katak politik" yang akan hilang ditelan zaman.

Chua Tian Chang
Naib Presiden KEADILAN

[wm.kl.6:45 pm 09/11/13]

Perebutan jawatan dalam Pas di muktamar ke-59

Posted: 09 Nov 2013 02:31 AM PST

JELANG MUKTAMAR                                                                      

Muktamar Pas ke-59 menyaksikan semua jawatan tertinggi parti dipertandingkan kecuali jawatan Presiden yang merupakan satu-satu jawatan tunggal yang tidak dipertandingkan. Jawatan dalam Dewan Ulamak terkecuali dari laporan ini.

Pengecualian untuk memberi laluan kepada Ustaz Abdul Hadi Awang menang tidak bertanding itu menunjukkan tidak ada sesiapa yang barani menanggung risiko akan dikecam oleh orang-orang Pas yang merasakan kedudukan presiden sebagai orang suci dalam parti itu. Dalam keadaan Pas cuba dibahagikan atau pun dilebel dengan berbagai golongan, sesiapa melawan presiden akan dianggap derhaka dan tidak tahu wala'.

Bukan bermakna apabila Ustaz Abdul Hadi tidak dicabar beliau berada dalam keadaan terbaik selaku presiden Pas.


Bukan tidak pernah berlaku kedudukan presiden ditentangi di dalam Pas. Ustaz Yusuf Rawa (Allahyarham) pernah ditentang oleh Ustaz Abu Bakar Hamzah sekitar awal tahun 80-an untuk jawatan berkenaan yang berkesudahan Ustaz Yusuf Rawa menang dan berjaya mengekalkan kerusinya.

Ustaz Mohd Asri Muda (Allahyarham) tidak pernah ditentang di sepanjang beliau memegang jawatan presiden selama lebih 12 tahun, tetapi berundur sendiri (secara paksa) selepas kepimpinannya dikritik hebat oleh golongan 'reformasi' dalam Pas ingin kepada perubahan terhadap Pas dari sebuah parti Islam - Melayu (sedarhana) kepada Islam tradisi dan agresif.

Selain jawatan presiden dan dewan ulamak tadi semua jawatan tertinggi lain dipertandingkan. Jawatan timbalan presiden akhirnya akan menyaksikan pertandingan di antara penyadang Ustaz Mohamad Sabu dengan Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah selaku pencabar. Ustaz Husam Musa yang dijangka ikut sama berentap menarik diri di saat-saat akhir.

Untuk jawatan naib presiden pula seramai lima orang merebut jawatan berkenaan. Mereka Ustaz Salahuddin Ayub, Ustaz Husam Musa, Ustaz Mahfuz Omar, mereka merupakan penyandang, manakala yang lain Ustaz Abu Bakar Chik dan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man adalah penentang.

Dewan Pemuda juga turut berlaku perebutan untuk jawatan ketua, timbalan dan naib. Jawatan ketua menjadi rebutan Ustaz Suhaizan Kaiat, Ustaz Kamaruzaman Mohamad dan Ustaz Zulhazmi Sharif. Mereka merebut kerusi yang ditinggalkan Ustaz Nasaruddin Hassan.

Sementara jawatan timbalan ketua pula menjadi rebutan dua calon, Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi dan Ustaz Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob. Mereka ini merebut kerusi yang dikosongkan oleh Ustaz Nik Abduh Nik Abdl Aziz.

Dua calon yang merebut jawatan naib ketua pemuda pula ialah Ustaz Ahmad Zamri Asa'ad Khuzamimi dan Ustaz Mohd Khairul Nizam Khairuddin.

Dewan Muslimat juga menyaksikan perebutan untuk jawatan ketua dan timbalan ketua. Dua calon yang merebut jawatan ketua ialah Ustazah Nuridah Salleh dan Ustazah Siti Zailah Yusuf yang merupakan penyandang jawatan berkenaan. Ustazah Siti Nuridah adalah bekas ketua dewan berkenaan. Perlawnaan ini boleh dianggap perlawanan untuk 'mengembalikan hak'.

Untuk jawatan timbalan ketua pula perebutan berlaku di antara Ustazah Siti Mariah Mahmud penyandang, dan Ustazah Dr Najihatussalehah Ahmad. Sementara kerusi naib ketua muslimat pula juga menyaksikan perebutan dua penjuru di antara Ustazah Mumtaz Mohd Nawi dengan Ustazah Dr Rosni Adam.

Seramai lebih 1,200 perwakilan akan membuat pemilihan pada muktamar yang akan berlangsung pada 20 hingga 22 November bertempat di Shah Alam Selangor, Malaysia.  [wm.kl.6:23 pm 09/11/13] 
* Saya bagi panggilan Ustaz kepada semua calon untuk menggambarkan orang dalam Pas sama sahaja.

Tiada ulasan: