Ahad, 10 November 2013

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Mat Sabu digelar 'Bapa Anjing', Zulhazmi pula 'Anjing'? Betulkah Admin Facebook ini penyokong PAS?

Posted: 10 Nov 2013 07:34 AM PST


Sebelum ini laman Facebook yang menggunakan nama 'Ulama Pemimpin Kami' telah melabelkan Calon bagi Timbalan Presiden PAS sebagai 'Bapa Anjing'..

Ini pula sebuah lagi laman FaceBook pula telah mengubah wajah salah seorang calon Ketua Dewan Pemuda Pas yang bertanding iaitu Zulhazmi Shariff dengan gambar anjing...

Terus terang aku cakap, aku langsung tak percaya bahawa kedua-dua Admin atau pemilik laman Facebook itu adalah ahli atau penyokong PAS, kerana cara mereka mereka menyerang lain-lain ahli PAS langsung tidak mencerminkan wadah perjuangan PAS..

Langsung tak selari dengan Islam yang diperjuangkan oleh PAS tetapi lebih selari malah lebih teruk dari cara Yahudi menjalankan kempen mereka.

Lebih teruk dari Yahudi kerana setahu aku Yahudi pun tidak pernah menggunakan kaedah ini untuk menyerang musuh-msuh politik mereka.

Malah dalam masa yang sama kedua-dua laman Facebook ini cuba menyerlahkan betapa terdesaknya golongan Ulama dalam PAS untuk merebut tampuk kuasa.

Modus operandinya sama saja dengan sebuah laman Blog yang menggunakan nama 'Pakatan Rakyat' untuk mengkucar-kacirkan pemikiran penyokong Pakatan Rakyat..

Tapi.. jika ianya adalah sebaliknya.. malang buat PAS kerana punya penyokong yang lebih teruk perangainya dari Yahudi ini...


Lapor Sinar Harian..

Kempen pemilihan Pas bermula dengan kotor
SHAH ALAM – Kurang 24 jam selepas senarai muktamad calon pemilihan Pas bagi sesi 2013-2015 diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihannya, Asmuni Awi, sudah pun muncul kempen memburuk-burukkan calon parti itu yang dimuat naik ke dalam laman media sosial Facebook hari ini.
Menurut sumber Sinar Harian Online, kempen berbaur hasutan dan cuba menjejaskan undi calon Ketua Dewan Pemuda Pas itu menggunakan akaun 'Fikrah Islamiah Pilihan Kami' dengan mengubah wajah salah seorang calon yang bertanding iaitu Zulhazmi Shariff dengan gambar anjing.
Manakala dua lagi pencabar Zulhazmi seperti Suhaizan Kaian dan Kamaruzaman Mohamad pula menggunakan wajah sebenar.
Pemilik akaun tersebut turut memuat naik beberapa mesej yang merujuk kepada perjuangan kerajaan perpaduan yang sebelum ini lantang disuarakan oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali.
"Jika aning-anjing liberal ini berjaya menguasai parti, maka lihatlah sendiri akan lebih ramai lagi para pejuang Islam akan menerima nasib yang sama seperti Ustaz Nasarudin dan Dr Hassan Ali.
"Mereka akan terus menerus menjadi kuda kepada PKR dan DAP...maka ketika itu percayalah penyatuan umat Islam Melayu hanya akan tinggal impian," katanya.
Selain menghasut, pemilik akaun tersebut turut mendakwa Suhaizan hanyalah 'kambing hitam' kepada golongan liberal dengan bertujuan untuk memecahbelahkan perwakilan Pas khususnya undi Kamaruzaman yang dikatakan mempunyai pemikiran Islam yang jelas.
"Golongan ini amat bimbang dengan Kamarulzaman yang mempunyai fikrah islam yang jelas maka Kamarulzaman wajib dinyah keluar dari Dewan Pemuda bagi melakasanakan kerja-kerja jahat mereka.
"Perlu diingatkan bukan saja hala tuju parti kita terletak di tangan para perwakilan sekalian namun kekuatan ummah atau umat Melayu Islam juga terletak kepada keputusan yang kita buat dalam muktamar ini," katanya sambil menyifatkan satu undi kepada Suhaizan bermakna akan menghilangkan satu undi kepada Islam.
Kempen itu jelas menyalahi peraturan pemilihan Pas kali ini yang membenarkan calon mempromosikan diri namun tertakluk beberapa garis panduan parti itu.
Antaranya ahli Pas dilarang menerbit, mengeluar, menyiar atau mengedarkan dalam sebarang bentuk kenyataan sama ada secara lisan atau bertulisan atau grafik atau karikatur dalam apa-apa medium sekalipun yang mengandungi fitnah, kejian, celaan, sindiran, atau apa jua kenyataan palsu sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan tujuan mempengaruhi atau mendorong mana-mana ahli Pas supaya mencalonkan atau tidak mencalonkan atau mengundi atau tidak mengundi mana-mana ahli Pas.

Ketua Penguat Kuasa JAIP dibunuh lelaki berjubah hitam

Posted: 10 Nov 2013 05:28 AM PST


Polis mengesahkan kematian Ketua Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Mohd Raffli Ab Malik, yang ditembak di rumahnya tengah hari tadi, bermotifkan bunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Zakaria Ahmad berkata, semasa kejadian pada 1.55 tengah hari itu, mangsa yang berumur 49 tahun sedang berehat bersama isteri dan seorang anaknya di ruang tamu.

Beliau berkata sebelum itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50an yang berjubah hitam dan berkopiah putih, yang tiba di rumah Mohd Raffli dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih, telah memanggil mangsa keluar dari rumahnya.

"Semasa keluar dari rumahnya, seorang lagi suspek berumur dalam lingkungan 30an meluru dari tempat duduk belakang kereta dan melepaskan tiga das tembakan ke arahnya," kata beliau kepada pemberita di rumah mangsa di Indera Mahkota di sini, hari ini.

Zakaria berkata dua daripada tiga das tembakan itu mengenai dada Mohd Raffli manakala satu lagi tembakan tersasar menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.

"Polis percaya suspek yang menaiki kereta itu telah berlegar-legar di kawasan rumah mangsa berdasarkan faktor suspek hanya mengambil masa seminit untuk membunuh mangsa," katanya.

Zakaria berkata, polis menyiasat kes itu dari pelbagai sudut termasuk motif lain. - Bernama

Sebelum itu Bernama juga melaporkan, menurut sumber polis, Raflie Ab Malik dipercayai mati di tempat kejadian kira-kira 2 petang.

"Tiga suspek lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian itu," kata sumber polis kepada Bernama di Kuantan.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek itu dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback berwarna putih selepas menembak mangsa.

"Suspek juga dipercayai memakai pakaian berwarna hitam dan berkopiah," katanya. Beliau berkata polis masih menyiasat kes itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Mohd Zakaria Ahmad mengesahkan kejadian itu.

Mohd Amar sesuai sebagai Timbalan Presiden PAS sebab Utusan sokong dia..

Posted: 10 Nov 2013 12:00 AM PST


Menjelang pemilihan PAS 22 November akan datang, akhbar milik Umno Utusan Malaysia menyatakan sokongan secara terbuka kepada Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam perebutan jawatan timbalan presiden parti Islam itu.

Dalam rencana yang ditulis oleh salah seorang pengarangnya, Zulkiflee Bakar, beliau mengatakan kemenangan Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan penting demi memastikan pengaruh ulama dikembalikan semula dalam PAS.

"Mereka (PAS) mempunyai misi penting untuk dilunaskan iaitu pertama, mengembalikan kekuatan ulama dalam hierarki kepimpinan utama PAS dan kedua, mendesak supaya PAS tidak menjadi 'lebai malang' melalui kerjasama dalam pakatan pembangkang.

"Bagi misi pertama, sudah pastilah tumpuan akan diberikan kepada perebutan jawatan timbalan presiden yang kini disandang oleh Mohamad Sabu atau Mat Sabu," kata beliau dalam tulisannya dalam edisi Ahad Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia hari ini.

Zulkiflee turut menjangkakan penyandang Mohamad atau "Mat Sabu" walaupun dianggap sebagai ayam sabung PAS bakal berdepan cabaran sengit terutama selepas popularitinya semakin menurun akibat kekalahan dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu.

"Kali ini, Mat Sabu dilihat memasuki gelanggang dalam keadaan 'badan penuh kecederaan' dan paling ketara beliau sudah tewas dua kali dalam pilihan raya umum.

"Ini belum lagi mengambil kira bagaimana populariti beliau dikatakan semakin menurun," katanya.

Selain itu, Zulkiflee juga menegaskan golongan ulama dalam PAS sudah bersatu berbanding dalam pemilihan lalu.

"Kali ini seolah-olah sudah ada kesepakatan oleh golongan ulama untuk meletakkan seorang calon sahaja.

"Keadaan itu berbeza dengan pemilihan 2011, apabila dua calon ulama bertanding iaitu penyandang Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kesudahannya ia menyebabkan undi ulama berpecah dan Mat Sabu 'ditabal' menjadi Timbalan Presiden dengan majoriti 21 undi," katanya.

Di samping itu, Mohd Amar pada pandangan Zulkiflee adalah individu paling layak untuk mengisi kekosongan jawatan penting itu kerana pengalaman politiknya dalam membantu PAS mempertahankan Kelantan serta mempunyai latar belakang agama sesuai dengan imej Islam parti tersebut.

"Biarpun tewas dalam pemilihan lalu bagi jawatan naib presiden namun kejayaannya membantu PAS mempertahankan pemerintahan di Kelantan banyak meningkatkan popularitinya.

"Apatah lagi, beliau dilihat pengganti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan sentiasa tegas apabila berhadapan dengan sesuatu isu biarpun ia dicetuskan oleh sekutu PAS sendiri iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP," katanya lagi.

Selepas tarikh penamaan calon ditutup 8 November baru-baru ini, jawatan timbalan presiden PAS bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandangnya Mohamad dengan Mohd Amar.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Presiden PAS apabila beliau tidak dicabar yang menjadikan perebutan jawatan timbalan presiden hangat selain naib presiden parti Islam itu.

~ The Malaysian Insider

Suspek rompak, bunuh pegawai AmBank di Ambank ditangkap.. (Video Inside)

Posted: 09 Nov 2013 08:42 PM PST


Pengawal keselamatan yang juga suspek menembak mati seorang pegawai operasi AmBank Norazita Abu Bakar dalam kejadian rompakan di bank itu bulan lalu direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Beliau direman bermula hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Perintah reman itu dikeluarkan pada pukul 3.40 petang ini oleh Majistret Nazri Omran di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Pengawal keselamatan yang juga suspek yang menembak mati seorang pegawai operasi AmBank di Subang Jaya bulan lalu dikawal ketat anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi mendapatkan tahanan reman, hari ini.

Polis menahan pengawal keselamatan yang melarikan wang sebanyak RM450,000 di cawangan Ambank di USJ Sentral, Subang Jaya di Johor pagi ini.

Suspek dikenal pasti berasal dari Sabah, berumur 37 tahun dan dituduh menggunakan kad pengenalan palsu untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai di atas keprihatinan dan kerjasama mereka dalam kes ini.

"Pada jam 7 pagi hari ini, bertindak atas maklumat, Pasukan Cantas Khas PDRM telah berjaya menangkap seorang lelaki di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor yang dipercayai suspek utama dalam kejadian samun di Subang Jaya pada 23 Oktober 2013 yang melibatkan kematian seorang kakitangan AmBank.

"Pihak polis percaya dengan penangkapan suspek utama ini, kes berkenaan telah berjaya diselesaikan," kata Hadi dalam satu kenyataan yang dikirimkan kepada media sebentar tadi.

Dalam kejadian menyayat hati pada 23 Oktober itu, Norazita, 37, maut ditembak oleh suspek ketika beliau membuka peti besi di dalam bilik kebal bank berkenaan pada 6.20 petang, bersama-sama seorang lagi pegawai wanita ~ The Malaysian Insider

Tiada ulasan: