Jumaat, 8 November 2013

Addin

Addin


Rafizi Ramli Masih Selamat.. Ini Gambar Terbarunya

Posted: 08 Nov 2013 09:23 AM PST


Heboh rakyat dok tanya kemana menghilangnya YB Rafizi Ramli Ahli Parlimen Pandan merangkap Pengarah Strategi Parti KeADILan Rakyat .. suara dan hujahnya amat di rasai kehilangannya semasa perbahasan parlimen kali ini lebih-lebih lagi setelah laporan Ketua Audit Negara 2012 di dedahkan kepada umum.

Rupa-rupa beliau kini sedang mengerjakan ibadah haji dan dijangka kembali ke tanah air minggu depan.

Doa seluruh rakyat bersama YB Rafizi selamat sampai ke tanah air.





Iklan C (ii)


Mansuhkan PAS.. Ini Kenyataan Sebenar Karpal Singh

Posted: 08 Nov 2013 01:06 AM PST

Pengerusi DAP, Karpal Singh (gambar) hari ini menafikan pernah mengeluarkan kenyataan meminta supaya pendaftaran PAS dibatalkan.

Sebaliknya, pemimpin veteran itu dalam kenyataannya hari ini, berkata beliau menyatakan bahawa PAS mempunyai kesedaran mengenai keperluan masyarakat majmuk di negara ini dengan mengadakan Kongres Penyokong bukan Islam.

"Saya juga ada menyatakan pada sidang media Selasa lalu bahawa ia tidak seperti Umno, MCA dan MIC, parti yang berasaskan perkauman dan perlu dibatalkan pendaftarannya," katanya.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan itu ditujukan kepada Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang mengugut Majlis Peguam berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam akhar mingguan Katolik, Herald.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak akan membuat permohonan maaf terhadap PAS.

Karpal berkata, pemimpin tertentu daripada parti Islam itu turut menyertai beberapa yang lain mengkritiknya mengenai tuduhan kenyataan itu.

"Benar saya ada menyatakan bahawa parti politik dan badan profesional yang berasakan kaum patut membuka pintunya kepada kaum lain, dan malangnya ia termasuk PAS.

"Tetapi, saya menambah bahawa PAS mengiktiraf keperluan masyarakat pelbagai bangsa dengan mempunyai sayap penyokong bukan Islam," katanya.

Karpal berkata, PAS menubuhkan Kongres Penyokong bukan Islam PAS sebelum pilihan raya umum pada 2004 dan turut bersetuju meletakkan calon bukan Islam atas tiket PAS pada pilihan raya umum 2013.

Malah, katanya, pada pilihan raya umum 2008, PAS meletakkan calonnya berbangsa India untuk bertanding merebut kerusi Tiram di Johor.

Beliau yang terkejut menerima serangan daripada ahli akademik, politk dan pengulas, berkata beliau meminta PPMM dimansuhkan kerana mengutuk Majlis Peguam.

"Saya tetap dengan pendirian saya meminta supaya pendaftaran PPMM dibatalkan. Persatuan itu ditubuhkan pada 1988 ketika pemecatan Tun Salleh Abas, dan mendapat sokongan Dr Mahathir Mohamad, pada ketika itu perdana menteri yang membawa kepada ahli persatuan berkenaan berhimpun dan berdemonstrasi secara ganas di depan pejabat Majlis peguam berdekatan stesen Masjid Jamek," katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Sabtu lalu, PPMM memberi amaran kepada Majlis Peguam supaya tidak meneruskan hasrat untuk menyokong rayuan semula kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Katolik, Herald atau mereka yang berbuat demikian bakal berdepan dengan tindakan.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata Majlis Peguam dilihat selalu mengambil langkah yang bertentangan dengan kepercayaan umat Islam di negara ini dan PPMM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya mereka masih berdegil.

Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong, ketika membalas kenyataan PPMM, berkata Majlis itu tidak terhalang dengan ugutan berkenaan dan peranannya adalah mendapatkan keadilan dan kebenaran tanpa rasa takut atau berkepentingan. ~tmi



Iklan C (ii)


Mahathir Mengakui Rasuah Wang GAGAL Raih Undi BN Di Sg. Limau

Posted: 07 Nov 2013 10:18 PM PST


Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa pemberian wang dan hadiah oleh Barisan Nasional (BN) semasa kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau tidak berjaya memikat hati pengundi di sana.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pemberian wang seumpama itu adalah satu pembaziran malah bukti penolakan pengundi terhadap budaya itu ditunjukkan sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Mungkin saya salah dan saya mengaku saya kerap salah tetapi saya fikir pemberian wang dan hadiah tidak akan memberi kemenangan.

"Ini jelas dari PRU13. Yang tidak sokong, tidak sokong juga. Wang yang diberi adalah pembaziran, sama ada wang kerajaan atau bukan kerajaan.

"Sokongan kepada parti politik diasaskan kepada perjuangannya serta tingkah laku pemimpin dan calon. Kalau datang dengan Mercedes atau motosikal 1000cc, saguhati dan apa juga yang diberi tidak akan menawan hati," katanya melalui kiriman blognya hari ini.

Dr Mahathir berkata, jabatan kerajaan yang dibawa bersama untuk turun berkempen dan memberi bantuan di Sungai Limau tidak membawa kejayaan kerana kebanyakan pengundi tidak mudah terpengaruh dengan bantuan sedemikian.

Katanya, BN banyak menghamburkan wang tetapi sokongan yang diterima rakyat masih belum berada pada tahap memuaskan.

"Kempen sekarang ini berbeza daripada dahulu kerana banyak wang diguna seperti penganjuran karnival di mana ada acara hiburan, jamuan dan hadiah percuma seperti kemeja-T BN.

"Ada jabatan kerajaan yang mengadakan pameran untuk mempromosi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, saya fikir. Mereka yang datang melihat pameran diberi 10 anak ayam, dedak dan beras. Makanan disediakan untuk pelawat.

"Saya tidak tahu sama ada pameran ini adalah sebahagian daripada kempen BN. Jika ia, amat jelas pelawat tidak terpengaruh dengan hadiah anak ayam. Sebenarnya pengundi tidak mengundi mengikut hadiah – sama ada berbentuk duit atau anak ayam," katanya.

Perdana Menteri yang paling lama memerintah negara itu turut mempersoalkan keengganan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk bersara daripada arena politik meskipun telah berkecimpung dalam arena politik sejak 1964.

Dr Mahathir membuat perbandingan karier politiknya dengan Lim kerana beliau bersara pada 2003 tetapi Lim pada masa ini masih menjadi Ahli Parlimen Gelang Patah.

"Bila Kit Siang akan bersara? Sampai matikah? Jika sudah bersara hendak jadi pemimpin kanan DAP kah?

"Pada 1964 saya jadi wakil rakyat. Kit Siang menjadi Setiausaha Politik kepada Devan Nair. Kemudian setelah PAP tidak aktif lagi di Malaysia, Kit Siang menubuhkan DAP dan menjadi ketuanya. Saya bersara 2003. Kit Siang belum bersara, masih ketua DAP dan menjadi wakil rakyat Gelang Patah," katanya.

Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau menyaksikan calon PAS Mohd Azam Abd Samat memperoleh sebanyak 12,069 undi manakala calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim pula memperoleh undi sebanyak 10,985 sekaligus menyaksikan PAS menang dengan majoriti sebanyak 1,084.

Seramai 23,249 pengundi atau 85.5% daripada keseluruhan pengundi keluar menjalankan tanggungjawab membuang undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut berikutan penyandangnya allahyarham, Tan Sri Azizan Razak yang kembali ke rahmatullah pada 26 September lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pula menyifatkan kejayaan BN mengurangkan majoriti undi PAS lebih daripada separuh dalam pilihan raya itu adalah satu kemenangan.

Beliau berkata, BN menerima keputusan pilihan raya itu, namun berjanji tidak akan menghentikan usaha mendekati sekolah pondok seperti yang terkandung dalam Aku Janji BN pada PRU13 demi meningkatkan syiar Islam.

Walaupun PAS berjaya memenangi kerusi DUN Sungai Limau, majoriti undi yang diperoleh Mohd Azam merosot sebanyak 61 peratus berbanding majoriti diperoleh Azizan.

Mohd Azam memperoleh majoriti undi 1,084 berbanding 2,774 undi yang dimenangi Azizan.

Sementara itu, BN walaupun kalah dalam pilihan raya itu memperoleh anjakan undi sebanyak 4.4% berbanding dalam PRU13 Mei lalu. ~tmi





Iklan C (ii)


Patutlah Ustaz Tuan Ibrahim Tarik Diri Dari Bertanding Tim. Presiden.. Ini Sebabnya

Posted: 07 Nov 2013 09:48 PM PST

Tidak dinafikan PAS kawasan yang mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS kecewa dengan keputusan yang dibuat malam tadi.

Namun, daripada satu sudut yang lain, penolakan jawatan itu lebih menunjukkan bahawa Tuan Ibrahim selayaknya untuk menjadi Timbalan Presiden PAS walaupun beliau mendapati orang lain lebih layak.

Kami terpaksa akur dengan keputusan beliau. Terpancar keikhlasan dan kerendahan hati, kebesaran jiwa serta kehalusan budi Tuan Ibrahim di dalam keputusannya ini.

Inilah antara insan yang layak dilantik sebagai pemimpin. Keputusan yang diambil sangat dihormati walaupun kami tidak setuju, kerana beliau sememangnya lebih layak untuk menjadi Timbalan Presiden.

Sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim boleh dikatakan antara pemimpin PAS yang paling menonjol memegang jawatan ini.

Kenyataan politiknya dibuat tanpa emosi diselit dengan elemen dakwah dan penerangan beriramakan bahasa yang mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat. Kuliah agamanya tidak perlu disebut, sesiapa yang pernah mengikutinya akan terasa haus sehingga meminta-minta lagi.

Beliau sememangnya melaksanakan tugasnya "menerang memberi penjelasan dan bukan menyerang" pendirian PAS.

Yang paling menonjol pada Tuan Ibrahim ialah Facebook peribadinya. Tulisan motivasi berlandaskan agama beliau cukup menyentuh, membuka minda dan makan dalam. Saya difahamkan beliau dibantu oleh anak angkatnya untuk memastikan ada tulisan setiap hari di Facebook untuk tatapan pengikutnya. Terima kasih kepada kamu berdua.

Kerana tulisannya, ramai yang kini memanggil Tuan Ibrahim sebagai 'ayah'. Trademark beliau ialah ada perkataan 'Senyum' di penghujung setiap tulisannya yang membuatkan pembaca tersenyum seperti memerhatikan lesung pipit beliau. Tulisan di Facebooknya turut dibukukan – dan Tuan Ibrahim sejak menjawat Ketua Penerangan sudah ada dua buku sendiri iaitu Senyumlah dan Senyumlah 2.

Buat Tuan yang disayangi, selamat bertanding di kerusi Naib Presiden. Kami menghormati keputusan ustaz. Ustaz lebih tahu ukuran baju di badan sendiri berbanding kami.

Teruskan mendidik kami dengan motivasimu. Akan sampai masanya nanti untuk ustaz menerajui PAS.

Bagi calon lain yang bertanding Timbalan Presiden, selamat bertanding. Kami yang menyokong Ustaz Tuan akan memilih secara bijaksana berdasarkan nasihat yang diberi Ustaz Tuan. ~faridah osman


Addin:

Addin antara individu yang rasa terkilan dengan penarikan diri oleh Ust. Tuan Ibrahim kerana pernah mengenali secara peribadi. Benarlah.. Ust. Tuan Ibrahim sebenarnya individu paling layak menjadi Timbalan Presiden dengan penarikan diri ini. Diharapkan akan datang, Ust. Tuan Ibrahim menerima tawaran pada masa akan datang..




Lagi Tembelang Taib Mahmud Terdedah..

Posted: 07 Nov 2013 05:00 PM PST

Kumpulan Bertindak Menentang Pembinaan Empangan bersama Gerakan Hak Asasi Orang Asal Malaysia mendakwa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mencabul hak asasi Orang Asli Bumiputera di negeri itu.

Kumpulan gabungan 80 badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Malaysia itu turut menyatakan pendirian tegas membantah projek empangan di Baram dan Murum.

"Kerajaan bukan saja bertindak merampas tanah Bumiputera Sarawak bagi projek pembalakan malah tiga projek mega pembinaan empangan menjejaskan kehidupan Orang Asli," dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Gabungan NGO tersebut antara lain mendesak kerajaan dan juga pemaju menghentikan pembakaran rumah panjang milik komuniti Penan di Murum.

"Kerajaan, pemaju atau mereka yang terlibat perlu mengadakan rundingan secara adil dan terbuka dengan komuniti Penan tanpa ada unsur ugutan, paksaan, korupsi atau salah guna kuasa.

"Kerajaaan juga perlu menghentikan percubaan membahagi dan memisahkan komuniti tersebut kepada kelompok kecil dan menghentikan segala kerja berkenaan kaji selidik dan pembinaan Empangan Baram," kata NGO itu.

Pada masa sama, kumpulan NGO berkenaan menuntut Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tidak mengadakan sekatan jalan raya.

Ia merujuk kepada protes oleh Orang Asli dan Baram dan Murum sebagai bantahan terhadap kegagalan kerajaan Sarawak memberikan pampasan ganti rugi.

Protes itu juga menuntut pemaju menghentikan apa saja kerja pembinaan di empangan secara serta-merta.

Gerakan Hak Asasi Orang Asal Malaysia menyifatkan penempatan semula secara paksa itu sama seperti penempatan "Kampung Baru" ketika zaman darurat kerana ia tidak ubah seperti kem pelarian.

"Penempatan tersebut juga terletak jauh daripada kawasan hutan yang pernah mereka diami manakala permohonan komuniti Orang Asli untuk mendapatkan lebih banyak kemudahan sekolah dan klinik kerajaan masih belum ditunaikan.

"Kemudahan yang disediakan dibina secara tidak teliti dan sambil lewa serta kebanyakannya berada dalam keadaan kotor dan tidak selamat," katanya. ~tmi



Cerita Menarik Di Sebalik Pencalonan Ustaz Azam Di Sg. Limau

Posted: 07 Nov 2013 03:52 PM PST


Pertama sekali, tahniah dan takziah kepada Ustaz Azam kerana memenangi PRK N20 Sungai Limau dan menggalas amanah mewakili rakyat Sungai Limau dalam Dewan Undangan Negeri.

Kemenangan Ustaz Azam bukan lah kemenangan yang mudah sekalipun Sungai Limau dikatakan kubu kuat PAS kerana hanya 4 pusat mengundi sahaja yang dimenangi oleh PAS sejak dahulu lagi, sedangkan 13 pusat mengundi lain kebanyakannya PAS selalu kalah.

Tambahan pula asakan kebendaan menerjah Sg Limau seolah-olah serangan Amerika ke atas Afghanistan dengan Tomahawk, Apache dan Armada-armada laut.

Ustaz Azam adalah calon yang terbaik hasil syura dan ketaatan kepada arahan pimpinan mencorakkan kemenangan kepaa PAS mengekalkan penguasaan di DUN tersebut.

Al-Kisah, sebelum pencalonan, Ustaz Azam adalah antara nama bakal-bakal calon daripada PAS, termasuk Ustaz Muaz, Ustaz Nasir (Che Pi), Ustaz Musoddak, Mozaini dan beberapa lagi.

Ustaz Nasir (Che Pi) awal-awal lagi menolak dirinya dicalonkan. Dia adalah seorang pemimpin PAS yang berpengaruh di Bukit Besar, anak kepada Tok Guru Pak Man di situ.

Beliau turut menyekat adik beliau, Ustaz Muaz daripada dicalonkan. "Muaz aku tak bagi. Sapa nak jadi Penolong Kanan (SMA Nahdzah)?" Beliau lebih memilih Ustaz Muaz mengurus hal ehwal sekolah tersebut.

Akhirnya beliau nampak Ustaz Azam Abd Samat. "Azam bulih" Katanya. Ustaz Azam tenang. Dia tahu, menjadi calon PAS bukan semudah menjadi calon BN. Beliau akan terpaksa meletak jawatan sebagai guru di sekolah yang sama.

Bonda Ustaz Azam dan beberapa orang bapa saudara beliau sendiri tidak bersetuju Ustaz Azam dicalonkan, kerana mereka sangat bimbang masa depan Ustaz Azam. Kebimbangan yang biasa sebagai manusia. Mereka bimbang dengan kekuatan hamburan kebendaan oleh BN, jika Ustaz Azam kalah, beliau akan hilang pekerjaan.

Beliau mempunyai tanggungan seorang isteri dan 5 orang anak yang masih kecil. Dan juga beliau masih mempunyai 3 orang adik yang masih belajar, yang turut ditanggungnya selepas kematian bapanya Ustaz Samat beberapa hampir 10 tahun lalu.

Che Pi memberitahu bonda Ustaz Azam, "hang suruh dia solat istikharah. PAS dah pilih dia untuk jadi calon".

Dipendekkan cherita, akhirnya mereka semua merestui ustaz Azam. Ustaz Azam akur dan taat kepada pimpinan yang memilihnya untuk dicalonkan. Ustaz Azam meletakkan jawatan sebagai guru di sekolah SMA Nahdzah tersebut. Akibatnya, beliau terpaksa membayar balik duit lebih kurang 3 bulan gaji kepada jabatan Pendidikan, lebih kurang RM5000.00.

Guru-guru sekolah tersebut bersimpati dengan ujian yang menimpa Ustaz Azam. Mereka berpakat mengutip duit sesama mereka untuk membantu meringankan beban Ustaz Azam. Ustaz Azam menolak untuk menerimanya. "Ambil lah ini arahan parti (untuk menerima sumbangan ini)".

"Aku bukannya ada duit sangat, tapi aku kesian kat ustaz Azam" kata salah seorang guru yang menghulurkan sumbangan untuk membantu. Sehinggakan guru yang diketahui penykong BN juga turut memberi sumbangan, kerana simpati.

"Tak mengapa, jika kalah, kita akan ambil ustaz Azam jadi guru di sini semula" ujar salah seorang pihak pengurusan sekolah. Namun perkara ini dihidu oleh jabatan Pendidikan, yang kemudian menyatakan bahawa Ustaz Azam tak boleh diambil semula jika kalah, atau menang.

Ahli keluarga bimbang. Rakan-rakan beliau juga bimbang. Mereka bimbang bagaimana nasib ustaz Azam ika kalah. Bukan tidak yakin dengan kuasa Allah sebagai Maha Pemberi Rezeki, tetapi sebagai manusia biasa, kebimbangan tetap ada. Ustaz Azam tenang dengan keputusan tersebut. Cabaran di depannya amat besar. Jentera BN seluruh negara akan turun membedil kubu kuat PAS ini.

Tidak semena-mena seorang sahabat seperjuangan beliau memberitahu, jika beliau kalah, dia akan cuba recommend Ustaz Azam bekerja dengan sebuah syarikat swasta sebagai ahli panel syariah syarikat tersebut. Sesuatu yang agak melegakan ahli keluarga Ustaz Azam.

Akhirnya berkat taat beliau kepada syura dan pimpinan, kesabaran, usaha dan tawakkal beliau kepada Allah, permuafakatan jentera PAS Sg Limau dan kesudian jentera PAS dari seluruh negara yang berkampung di Sg Limau, beliau berjaya memenangi pilihanraya kecil ini.

Cabaran getir beliau ini tidak mungkin dilalui oleh calon BN, walaupun calon BN juga terpaksa meletakkan jawatan sebagai pensyarah di UPSI.

BN boleh berbangga dengan penambahan undi sebanyak 465 undi dengan pelaburan sebanyak kurang lebih RM15juta. Tetapi ahli PAS, jentera PAS dan semua yang terlibat dengan kemenangan PAS sedang gembira dan berpuas hati dan bersyukur dengan kemenangan ini walaupun mejoriti merosot banyak.

Siapa sangka asakan BN di kawasan mengundi Bukit Besar dengan karnival lebih seminggu, pengumuman bantuan jutaan ringgit, gula-tepung-beras murah, beratus-ratus anak ayam, kambing dan sebagainya... akhirnya BN kalah juga di Bukit Besar dengan majoriti paling besar yang boleh menampung kekalahan PAS di peti-pti undi pusat mengundi lain.

Semoga Allah membalas jasa dan pengorbanan semua pihak yang memenangkan PAS dan mengangat Ustaz Azam sebagai wakil rakyat Dun Sg Limau.


~fb Ust. Mohd Azam




Iklan C (ii)


Tiada ulasan: