Selasa, 5 November 2013

Addin

Addin


Menteri Dedah Punca BN Kalah

Posted: 05 Nov 2013 08:00 AM PST

Kegagalan untuk menjelaskan isu-isu setempat dan kurangnya tokoh agama dikenal pasti antara tiga punca utama kekalahan Barisan Nasional (BN) di Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lepas.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata turut menyumbang kepada perkara itu ialah kelemahan jentera penerangan yang disifatkan kurang berkesan memainkan peranan mereka.

"Dalam post mortem kita baru-baru ini, ini tiga perkara utama yang menjadi punca BN tewas di Kelantan dan ini semua akan diperbaiki dalam persediaan menghadapi PRU14.

"Umno Kelantan akan mengadakan persiapan lebih awal bagi menghadapi PRU14 dan ini memerlukan semangat yang tinggi di kalangan pemimpin dan anggota Umno semua," katanya selepas berucap pada Perhimpunan Barisan Kepimpinan Baharu Umno Bahagian dan forum bertajuk 'Amanah Diberi, Tanggungjawab Digalas Menghadapi PRU14'.

Pada PRU13, BN berjaya memenangi 12 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan. Sebelum PRU13, BN hanya menyandang tujuh kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga yakin sekiranya isu-isu setempat berjaya disampaikan dengan sempurna, rakyat akan dapat memahami kedudukan perkara itu dengan lebih jelas, seterusnya membuat pilihan lebih tepat apabila tiba masanya.

"Antaranya isu air bersih dan isu pembalakan, jika dapat diterangkan dengan baik sudah tentu rakyat akan memahaminya...sebab itu kita memerlukan jentera penerangan yang benar-benar mantap," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mustapa berharap Umno Kelantan mampu mengubah keadaan pada PRU14 dan kembali memerintah Kelantan.

"Banyak faktor lain juga kenapa kita gagal untuk menewaskan PAS, antaranya perbalahan sesama sendiri yang tiada noktah," katanya sambil mengharapkan kepimpinan baharu Umno mampu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap BN. ~bernama




Titah Yang Di Pertuan Agong Ini Di Tujukan Kepada Umno, Perkasa Ke?

Posted: 05 Nov 2013 05:29 AM PST


Jangan bawa budaya assabiyyah

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengingatkan rakyat supaya tidak membawa budaya assabiyyah dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Seri Paduka bertitah, rakyat sebaliknya perlu memahami konsep "penerimaan dan kebersamaan" yang menunjangi kesejahteraan hidup.

"Marilah kita bersikap sederhana dalam kehidupan berdasarkan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Negara," titah Seri Paduka semasa merasmikan sambutan Maal Hijrah 1435H/2013M peringkat kebangsaan dengan tema "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Tuanku Abdul Halim juga melahirkan kegusaran apabila semangat "kebersamaan dalam kepelbagaian" dalam kalangan rakyat cuba dihakis dan diganggu gugat pihak tertentu.

"Pelbagai isu sensitif dan slogan cuba dicanangkan, sedangkan semua pihak tahu dan perlu memahami bahawa kita semua bertanggungjawab menjaga kepentingan perpaduan dan keamanan negara.

"Kesemua tindak-tanduk kita juga haruslah mencerminkan bahawa kita adalah masyarakat yang memegang amanah untuk menjaga keharmonian negara dan bukan sebaliknya," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim mengingatkan rakyat supaya tidak melihat isu mutakhir di negara ini sebagai isu remeh dan dipandang sebelah mata.

Seri Paduka bertitah, isu-isu membabitkan perubahan nilai hidup sehingga tidak dapat membezakan antara yang benar dengan yang salah, penghinaan terhadap institusi agama dan Raja serta pembelaan hak asasi tanpa sempadan, jika tidak diatasi akan menjurus kepada kehancuran masyarakat dan negara.

"Beta merasakan cukuplah sampai di sini sahaja masyarakat kita dikelirukan dengan pelbagai kecelaruan nilai yang tiada berkesudahan kecuali ia hanya akan membinasakan ummah.

"Kita perlu bangun dan menoleh sejenak ke belakang untuk menilai semula kesilapan untuk diperbetulkan," titah Seri Paduka.

"Janganlah kita benarkan kecelaruan nilai berkembang dalam masyarakat kita sebaliknya usaha membimbing masyarakat kepada penerapan nilai-nilai kebersamaan perlu diteruskan tanpa mengenal musim dan sentiasa dijadikan agenda negara," titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong juga mengajak umat Islam di negara ini mencontohi pendekatan wasatiyyah yang dipelopori Rasulullah S.A.W dengan berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat Madinah.

"Kita wajar mencontohi negara Islam Madinah sebagai model yang mengiktiraf kepelbagaian bangsa dan kebersamaan untuk mempertahan dan membangunkan negara," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim bertitah rakyat Malaysia perlu mengamalkan amalan wasatiyyah atau kesederhanaan supaya usaha memperkukuhnya dapat dilaksanakan oleh kerajaan terutamanya kepada generasi muda yang menjadi asas kepada kesinambungan masyarakat dan kemajuan negara.

"Usaha memperkukuh kefahaman ini perlu melibatkan seluruh agensi kerajaan tanpa pengecualian termasuk media massa sebagai suatu platform yang amat strategik," titah Seri Paduka. ~bernama



Addin :

Setelah baca.. apa kesimpulan anda? Adakah Yang Di Pertuan Agong sampaikan titah ini kepada parti perkauman Umno dan ultras Melayu, Perkasa?



Iklan C (ii)


Berita Gempar Dari SPR..

Posted: 05 Nov 2013 02:58 AM PST

Suruhanjaya Piliihan Raya (SPR) menyifatkan jualan murah gula dan beras oleh Barisan Nasional (BN) semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau tidak mengandungi unsur rasuah kerana pengundi masih diberi kebebasan memilih calon pilihan mereka.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar), berkata tiada undang-undang pilihan raya yang berkaitan jualan murah dan kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) mesti diperoleh bagi mengadakan jualan tersebut.

"Tiada dalam undang-undang pilihan raya pasal jualan ini. Saya ingat perkara ini di bawah KPDNKK bagi memohon kebenaran mengadakan jualan murah atau jualan amal.

"Apa yang saya tahu ia tidak melanggar peraturan. Saya tidak dimaklumkan mengenai perkara ini. Kalau dibuat jualan kepada orang ramai, tidak menjadi masalah tetapi jika dipanggil pengundi membeli dengan harga murah kemudian menggesa pengundi untuk mengundi calon tertentu, itu tidak dibenarkan," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

BN pada Ahad lalu mengadakan karnival jualan murah di Bukit Besar iaitu sebuah kawasan yang terletak kira-kira 19 kilometer dari Bandaraya Alor Setar dengan satu kilogram gula boleh dibeli pada harga RM1 berbanding harga pasaran RM2.84 dan sekampit beras 5 kilogram dijual RM5 berbanding harga pasaran sebanyak RM13.

Abdul Aziz berkata, sesebuah pilihan raya akan dikira sebagai rasuah apabila pengundi diminta untuk mengundi calon tertentu dan pengundi tersebut pula menunjukkan bukti mereka mengundi calon tersebut.

Katanya, mereka yang datang untuk membeli di karnival jualan murah itu tidak dapat dipastikan siapa yang mereka undi dan kemenangan PAS membuktikan jualan tersebut tidak berjaya mempengaruhi pengundi.

"Kita pun tak tahu siapa yang hadir ke jualan murah tersebut dan siapa yang mereka undi. Jika ada unsur rasuah maka saya sendiri akan berhubung dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Perkara ini serupa dengan memberi tambang balik kepada pengundi. Pengundi berhak memilih sendiri calon pilihan mereka. Saya tidak dengar ada yang berbicara tentang jualan murah. Bukit Besar majoriti pengundinya menyokong PAS. Majoriti besar dalam tiga kawasan di situ.

"Maknanya mereka tidak 'termakan' dengan perkara itu. Mereka beli sahaja namun undi tetap rahsia. Bukan ada orang yang tahu. Kita beri apa-apa pun, mereka ambil tapi tidak semestinya mereka ikut. Itu bukan rasuah," katanya.

Abdul Aziz berkata, pilihan raya yang berlangsung semalam berjalan lancar meskipun terdapat beberapa perkara yang merencatkan suasana pembuangan undi.

Katanya, sikap agresif dan tutur kata yang kurang sopan dilontarkan sesetengah penyokong menyebabkan suasana pilihan raya berlangsung dalam keadaan yang kurang menyenangkan.

"Secara keseluruhan, perjalanan pilihan raya semalam berlangsung dengan baik dan insiden kecil perkara biasa dalam pilihan raya. Kempen di sini memang dahsyat terutama perangai mereka. Penyokong parti tidak patut berkelakuan sedemikian terutama perkataan dan bahasa badan yang kurang enak dilontarkan.

"Saya tidak mahu sebut parti mana. Perbuatan yang tidak enak ini sehingga menyebabkan saya mengambil keputusan membatalkan lawatan ke tempat tertentu kerana saya lihat penyokong seperti sudah hilang fikiran. Anda boleh bayangkan suasananya. Namun perbuatan sedemikian tidak mencemarkan keputusan pilihan raya," katanya.

Orang ramai berebut-rebut membeli gula, beras dan milo yang dijual murah di karnival anjuran BN di Bukit Besar, Sungai Limau.

Orang ramai berebut-rebut membeli gula, beras dan milo yang dijual murah di karnival anjuran BN di Bukit Besar, Sungai Limau.

Karnival jualan murah yang dianjurkan BN pada saat-saat akhir tempoh berkempen itu sedikit sebanyak mengundang kegusaran PAS untuk mempertahankan kerusi itu.

Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau semalam menyaksikan calon PAS Mohd Azam Abd Samat memperoleh sebanyak 12,069 undi manakala calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim pula memperoleh undi sebanyak 10,985 sekaligus menyaksikan PAS menang dengan majoriti sebanyak 1,084.

Sejumlah 23,249 pengundi atau 85.5% daripada keseluruhan pengundi keluar menjalankan tanggungjawab membuang undi semalam.

Semua 17 pusat pembuangan undi kerusi DUN Sungai Limau secara rasmi ditutup pada jam 5 petang semalam.

Pilihan raya kecil itu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut berikutan penyandangnya allahyarham, Tan Sri Azizan Razak yang kembali ke rahmatullah pada 26 September lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pula menyifatkan kejayaan BN mengurangkan majoriti undi PAS lebih daripada separuh dalam pilihan raya itu adalah satu kemenangan.

Beliau berkata, BN menerima keputusan pilihan raya itu, namun berjanji tidak akan menghentikan usaha mendekati sekolah pondok seperti yang terkandung dalam Aku Janji BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) demi meningkatkan syiar Islam.

Katanya, kerajaan negeri BN akan meneruskan dua projek yang diumumkan, iaitu jalan raya Guar Chempedak ke Pulau Bunting dan cadangan membina pelabuhan di pulau itu.

Walaupun PAS berjaya memenangi kerusi DUN Sungai Limau, majoriti undi yang diperoleh Mohd Azam merosot sebanyak 61 peratus berbanding majoriti diperoleh Azizan.

Mohd Azam memperoleh majoriti undi 1,084 berbanding 2,774 undi yang dimenangi Azizan.

Sementara itu, BN walaupun kalah dalam pilihan raya itu memperoleh anjakan undi sebanyak 4.4% berbanding dalam PRU13 Mei lalu. ~tmi




Keputusan PRK Sg. Limau Mengikut Daerah Mengundi

Posted: 04 Nov 2013 11:09 PM PST


Tengoklah.. nanti bolehlah buat post mortem balik. Dimana berkurang dan di mana yang bertambah. Apa pun syabas buat petugas dan pengundi PAS di DUN Sg. Limau kerana mengekalkan PAS. 

Legasi Allayarham Ustaz Azizan akan di teruskan.. Tahniah kepada Ustaz Mohd Azam, tunaikan tanggungjawab dengan penuh berkesan dan kekalkan PAS di Sg. Limau dengan menambat hati pengundi-pengundi di sana.




(Video) Ucapan Sulung YB Ustaz Mohd Azam Sejurus Menang Di Sg. Limau

Posted: 04 Nov 2013 07:20 PM PST


Kemenangan PAS di PRK Sungai Limau perlu dijadikan asas untuk merampas semula Kedah yang terlepas ke tangan BN semasa pilihanraya umum yang lalu, demikian dinyatakan oleh Ustaz Mohd Azam Abd Samat di dalam ucapan sulungnya sebaik saja keputusan kemenangannya diumumkan.

Beliau telah berucap di hadapan beribu-ribu penyokong Pakatan Rakyat yang telah berkumpul semenjak dari awal keputusan PRK Sungai Limau hendak diumumkan malam tadi.

Mohd Azam berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan berkesan.

Menurut Mohd Azam, kemenangannya juga merupakan kejayaan kepada rakyat yang mahu PAS kekal mewakili mereka di DUN Sungai Limau, mstar dipetik.

"Ini merupakan satu kemenangan kepada Pakatan Rakyat untuk memartabatkan hak rakyat.

"InsyaAllah saya akan melaksanakan amanah ini dengan berkesan dan beri kebajikan kepada rakyat di Sungai Limau," katanya kepada pemberita selepas diisytiharkan menang pada Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau pada Isnin malam.

Sementara itu Sinar Harian melaporkan lebih 5,000 penyokong termasuk pemimpin parti Pas pelbagai peringkat berkumpul di pusat penjumlahan undi yang berlangsung di SMA Yan, di sini, malam tadi.

Kehadiran mereka yang ternyata gembira sekali gus meraikan kemenangan calon Pas, Mohd Azam yang menewaskan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim pada PRK Dun Sungai Limau.

Sejurus keputusan diumumkan kira-kira jam 9 malam oleh Pengurus Pilihan Raya Negeri, penyokong yang hadir melaungkan kalimah takbir "Allahuakhbar".

Menerusi saingan satu lawan satu itu menyaksikan Mohd Azam menang ke atas calon Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Sohaimi Lazim dengan majoriti 1,084 undi.

Mohd Azam mendapat 12,069 undi manakala Ahmad Sohaimi memperoleh 10,985 undi.

Mengulas lanjut mengenai kemenangannya, Mohd Azam mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan jentera parti itu yang bekerja keras membantu kemenangannya itu.

"Terima kasih kepada pengundi yang beri kepercayaan kepada saya untuk memimpin mereka.

"Terima kasih juga kepada seluruh jentera yang bekerja kuat sejak dua minggu lalu," katanya.









Tiada ulasan: