Ahad, 24 November 2013

Addin

Addin


Patutlah Utusan Tiba-Tiba Meroyan Seperti Tidak Siuman.. Ini Sebabnya

Posted: 24 Nov 2013 08:00 AM PST

Kejayaan Mohamad Sabu (gambar) mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PAS digambarkan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia sebagai kemenangan kepada PKR dan DAP, dalam usaha akhbar berbahasa Melayu itu untuk melemahkan sokongan orang-orang Melayu terhadap parti Islam itu. 

Kolumnis Awang Selamat dalam tulisannya di edisi Ahad akhbar itu Mingguan Malaysia, secara sinisnya mengucapkan tahniah kepada Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu. 

"Pihak yang paling bersorak dengan kejayaan Mat Sabu sudah tentu DAP dan PKR. "Ketika keputusan belum diumumkan, seorang pemimpin kanan DAP dengan teruja menerusi laman sosial, mengucapkan syabas kepada beliau," tulis Awang Selamat yang merupakan nama samaran kepada pasukan pengarang Utusan Malaysia hari ini dalam artikel bertajuk, "Tanda aras PAS" tanpa menamakan pemimpin DAP itu.

Menurut Awang Selamat lagi, ramai pemimpin PAS yang pro DAP seperti Mohamad berjaya menang atau mempertahankan jawatan mereka dalam Muktamar ke-59 itu. "Selagi Mat Sabu membayangi kepimpinan PAS, selagi itu harapan DAP mekar," tulisnya lagi. 

"Semoga ahli-ahli PAS juga tanpa ragu boleh berbangga dengan keputusan itu." Menurut Awang Selamat, walaupun sebahagian perwakilan terkilan kerana imej Mohamad yang dilihat tidak sesuai sebagai pemimpin nombor dua dan pernah terbabit dalam isu moral, harapan mereka untuk melakukan pembetulan tidak menjadi kenyataan. 

"Suatu hari kelak beliau bakal menerajui parti itu sebagai presiden pula. Sekali lagi, usah ragu kerana itulah tanda aras dalam PAS," tulis Awang Selamat membuat spekulasi Mohamad mungkin akan menggantikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang satu hari nanti. 

"Dengan Presiden PAS, Hadi Awang yang dilihat suka mengambil jalan selamat menjaga kedudukannya dan Mat Sabu yang dibajai oleh DAP dan PKR, Awang tidak nampak kepimpinan PAS dapat dibersihkan daripada pengaruh sekutu pakatan." 

Menjelang Muktamar PAS ke-59, Umno, badan bukan kerajaan (NGO) pro kerajaan dan akhbar-akhbar arus perdana berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian terus "berkempen" bagi memastikan golongan ulama memenangi jawatan yang mereka tandingi pada pemilihan kali ini. 

Akan tetapi ini mengecewakan mereka apabila Mohamad dan 18 orang lagi golongan profesional berjaya mengekalkan jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat yang mereka sandang. 

Dalam keputusan pemilihan PAS yang diumumkan oleh Asmuni Awi semalam, Mohamad mendapat 588 undi manakala Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hanya mendapat 490 undi.Ini menjadikan Mohamad menang dengan majoriti 98 undi. ~tmi




Iklan C (ii)

Punca Mahfuz Kalah Naib Presiden Tersebar?

Posted: 24 Nov 2013 03:36 AM PST

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menerima keputusan  Naib Presiden PAS yang gagal dipertahankannya dalam sesi pemilihan kali ini."Bertanding mesti ada kalah dan menang, tiada apa masalah samalah macam Menteri Besar Kedah (Mukhriz Mahathir) bertanding (Umno) tak menang juga.

"Jadi tiada masalah, saya masih lagi ahli parlimen kawasan Pokok Sena yang akan terus menggalas tanggungjawab untuk membawa misi parti dalam Dewan Rakyat," katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Melawati di sini hari ini.

Mahfuz gagal mempertahankan jawatan yang disandangnya  dua penggal berturut-turut sebelum ini apabila kalah tipis dengan penyandang, Datuk Husam Musa dengan beza hanya 16 undi.

Pesuruhjaya PAS Kedah itu hanya memperoleh 504 undi, manakala Husam 520 undi, Salahuddin Ayub (917), Tuan Ibrahim Tuan Man (849), dan Abu Bakar Chik (364).

Beliau bagaimanapun menolak dakwaan proses kiraan semula undi semalam menyebabkan kekalahannya dan mahu semua pihak menghormati keputusan 1,086 perwakilan yang memilih.

Beliau turut menepis dakwaan kekalahannya itu ada kaitan dengan prestasi PAS di Kedah semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu dan menegaskan tidak adil jika beliau dihukum berdasarkan atas faktor tersebut.

"Saya tidak pasti perwakilan keliru atau tidak tapi apa pun bagi saya itu bukan persoalan kerana perwakilan telah buat keputusan dan ini harus dihormati semua pihak yang bertanding termasuk diri saya yang menerima keputusan itu dengan lapang dada," katanya.

Tidak berkecil hatiMahfuz juga dalam responnya tidak berkecil hati dengan keputusan Ketua Penerangan PAS Pusat sebelum ini, Tuan Ibrahim untuk bertanding Naib Presiden menyebabkan peluangnya menjadi sukar.

Sebaliknya, beliau berkata dirinya tidak berasa kecewa malah sudah bersedia dengan jangkaan tewas dalam pemilihan kali ini."Setiap kali saya bertanding dalam pemilihan parti atau PRU saya menyiapkan ritual diri untuk kalah.

"Sebab itu saya tidak rasa apa-apa sebab saya telah bersedia untuk tewas."Saya terima dan redha kerana semua itu adalah ketentuan Allah," katanya yang pernah tiga kali tewas bertanding Naib Presiden sebelum ini.

Ditanya sama ada mahu meneruskan khidmat sebagai Pesuruhjaya PAS negeri, Mahfuz berkata itu terpulang kepada Pusat untuk memutuskannya."Saya dari dulu tolak Pesuruhjaya tu, sekiranya ditawarkan itu agak berat untuk memikul jawatan Pesuruhjaya jadi bagi saya itu akan diputuskan oleh parti.

"Jika diberi (amanah) akan dipertimbangkan, sini pun banyak calon dari Kedah keraka kelayakan untuk jadi Pesuruhjaya bukan saya seorang sahaja," katanya. ~fmt



Iklan C (ii)


Australia Jelas Skandal Intip

Posted: 23 Nov 2013 07:22 PM PST

Australia membalas surat tunjuk sebab susulan kes pengintipan dilakukan negara itu terhadap Indonesia.Perdana Menteri Australia ,Tony Abbott berkata, beliau akan menjawab surat Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dalam masa terdekat.

"Segalanya masih dalam proses. Kami berharap, surat penjelasan itu dapat memadamkan kemarahan Indonesia demi hubungan diplomatik," katanya.

Bagaimanapun, kandungan surat berkenaan tidak didedahkan kepada media.Isnin lalu, Abbott enggan meminta maaf kerana tidak mahu terlibat atau mencampuri urusan perisikan negaranya.

Menurut Reuters, tindakan itu menyebabkan jutaan rakyat Indonesia termasuk pemimpin kanan berang hingga tercetus beberapa tunjuk perasaan di Jakarta.

Sementara itu, kira-kira 100  penunjuk perasaan dari kumpulan nasionalis Red and White Fighter Command melemparkan telur dan tomato di Kedutaan Australia di sini, semalam.

Mereka yang berpakaian putih dan merah itu turut melaungkan slogan 'hapuskan mereka' di luar perkarangan kedutaan tersebut. ~sh



Iklan C (ii)

Perwakilan Dedah Punca Kedah Jatuh Ke Tangan BN

Posted: 23 Nov 2013 05:55 PM PST

Masalah dalaman yang semakin membarah dalam pentadbiran PAS Kedah menyebabkan parti Islam itu kehilangan negeri berkenaan kepada Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu, kata perwakilan Muktamar PAS hari ini.

Perwakilan PAS Kedah, Nasir Zakaria ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui, tanpa kawalan, pertelingkahan dalaman berkenaan turut bakal menjadi punca tewasnya PAS Kedah dalam Pilihan Raya Umum-14 akan datang.

"Kita mengakui salah satu faktor daripada kekalahan adalah faktor dalaman yang menyebabkan tumbangnya negeri Islam Kedah ini," katanya ketika berucap."Kedah menyedari dan mengakui kekalahan PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU13 baru-baru ini, supaya jangan diulangi lagi kekalahan yang menyakitkan ini," katanya ketika Muktamar Tahunan ke-59 PAS di Shah Alam.

Katanya, perkara itu tidak seharusnya berulang, dan PAS Kedah perlu memuhasabah diri melalui Jawatankuasa Post Mortem."Sudah tentulah masalah yang dialami anak-anak tidak boleh diselesaikan oleh anak-anak. 

Sudah tentulah masalah ini juga perlu dileraikan oleh mak dan Ayah."Sudah tentulah Ayah perlu mengambil tindakan yang pants, tepat, dan adil untuk kita redakan masalah yang berlaku," tambahnya.

Beliau turut berkata, PAS dilihat sebagai sebuah parti yang tidak mempunyai kemampuan membela nasib orang Melayu dan kekurangan tokoh dalam menerajui parti.

"PAS memiliki dua unsur berbanding lima ciri dimiliki Umno, ciri PAS adalah membela Islam, tetapi (dilihat) tidak membela Raja, tidak dilihat prihatin kepada rakyat, tidak dilihat mempunyai tokoh untuk masyarakat setempat dan juga PAS dilihat tidak begitu," katanya.

Justeru, beliau mengharapkan agar golongan professional dalam PAS memainkan peranan mereka menyalurkan permasalahan berkenaan ke tempat sepatutnya.

"Dan dalam masa sama, golongan professional kita perlu bertindak untuk menyampaikan masalah ini untuk disampaikan kepada saluran-saluran yang tepat dan sampai kepada pengundi-pengundi teras iaitu Melayu dan Bumiputera," katanya.


Iklan C (ii)



Tiada ulasan: