Khamis, 21 November 2013

Addin

Addin


Dr. Ridhuan Tee Abdullah, Ustaz Pro Umno Naik Pangkat Kerana Meniru?

Posted: 21 Nov 2013 05:55 AM PST

Bekas rakan sekerja Dr Ridhuan Tee Abdullah (gambar) menggambarkan kenaikan pangkat ahli akademik pro kerajaan itu di sebalik pelbagai tuduhan plagiat yang dilemparkan kepadanya sebagai "tamparan" bagi ahli fakulti yang lain.

Senator Dr Ariffin S M Omar berkata, Dr Ridhuan yang dinaikkan pangkat kepada profesor madya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) awal tahun lalu diselubungi dengan tuduhan plagiat.

"Siasatan dilancarkan tetapi naib canselor dan timbalan naib canselor akademik pada masa itu tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Dr Ridhuan dan sebaliknya beliau dinaikkan pangkat pula," katanya yang pernah mengajar di UPNM.

Dalam sidang akhbarnya di lobi Parlimen hari ini, Dr Ariffin berkata, kenaikan Dr Ridhuan tidak setaraf dengan pensyarah lain di universiti berkenaan yang bekerja keras untuk dinaikkan pangkat.

"Kita membuang pelajar yang didapati memplagiat kertas kerja mereka. Bagaimana pula jika pensyarah didapati melakukan perkara yang sama? Adakah kita menyatakan tidak apa jika tenaga pengajar yang melakukannya?

"Jika kerajaan serius terhadap impian menjadikan institusi pendidikan kita bertaraf dunia, maka mereka sepatutnya mengambil tindakan terhadap Dr Ridhuan sebagai pengajaran kepada yang lain," katanya.

Dr Ariffin yang juga naib pengerusi DAP mengajar subjek Pengajian Strategik di universiti itu dari pertengahan 2010 hingga Januari tahun ini.

Beliau mendakwa menerima banyak aduan mengenai Dr Ridhuan daripada kakitangan dan pelajar."Ini bukan kali pertama beliau memplagiat kertas kerja kajian. 

Beliau sudah banyak kali melakukannya tetapi tiada tindakan dikenakan kepadanya hingga kini," katanya.

Pada sidang akhbar yang sama, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok turut mengedarkan salinan kertas kerja Dr Ridhuan bagi satu projek bahasa Inggeris dan salinan artikel asal oleh Dr Airil Yasreen Mohd Yassin yang diambil daripada laman web Airil Sametok.

"Apabila anda bandingkan kedua-dua artikel itu, anda akan mendapati Dr Ridhuan meniru hampir keseluruhan artikel daripada Dr Airil, termasuk kesilapan tatabahasa dalam artikel asal, tanpa memberikan apa-apa pembahagian hak kepada penulisnya," kata Kok.

"Kami difahamkan bahawa penulisan akademik ini mendorong kepada kenaikan pangkatnya daripada profesor kanan kepada profesor madya di UPNM," katanya.

Terdahulu, Dr Airil, pensyarah kanan di fakulti kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Malaysia, berkata beliau sedang menunggu nasihat pasukan undang-undang universiti berhubung perkara itu.

Kok mendakwa, Kementerian Pendidikan gagal mengambil perkara itu secara serius walaupun isu itu dibangkitkan beberapa kali di Parlimen.

"Pemimpin MIC, Vel Paari juga ada membuat laporan terhadap Dr Ridhuan mengenai perkara ini," katanya.

Menggelar Dr Ridhuan sebagai rasis yang menganjurkan pembersihan etnik, Kok berkata, beliau hairan bagaimana Dr Ridhuan boleh mengajar subjek hubungan etnik di universiti itu.

"Kita akan hantar surat kepada Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan naib canselor UPNM supaya tuduhan terhadap Dr Ridhuan diambil secara serius," katanya. ~tmi




Iklan C (ii)


Ibrahim Ali Bahan Lawak Di Sabah

Posted: 21 Nov 2013 02:11 AM PST

Pelbagai reaksi diberikan orang ramai apabila sebut nama Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali di hadapan mereka. Ada yang ketawa, ada yang marah, ada yang benci dan ada yang meluat.

Ibrahim Ali adalah seperti resipi ikan goreng empat perisa yang tidak menjadi kerana terlebih pedas atau garam. Yang pasti, ramai di Sabah yang tidak gembira atau senang hati tiap kali berbicara mengenainya.

Sejak kredibilitinya menjadi bahan jenaka pelayar laman siber selepas gagal menunaikan janji membawa ribuan ahli Perkasa membantah perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur, dia terus menjadi hidangan sampingan untuk diketawa dan dikutuk warga netizen dalam Facebook.

Penangan Presiden Perkasa ini sememangnya menjadi satu 'fenomena' di Sabah, mungkin lebih kepada fenomena negatif kerana ia mencabar keamanan dan perpaduan penduduk berbilang kaum di negeri ini dengan membawa elemen perkauman yang ekstrem.

Setiap hari buka saja Facebook, mukanya pasti ada 'menghiasi wall' dan paling menarik wajah dan setiap kata-katanya dikarikaturkan dalam pelbagai rupa. 

Paling banyak wajahnya disamakan dengan katak siap dengan kapsyen "adakah mulut kita berbeza", merujuk kepada gambar seekor katak dengan mulutnya ternganga luas.Suara katak sumbang, sumbang jugalah mesej yang dibawa oleh Ibrahim.

Terbaru, dengan berita Presiden Perkasa ini mahu datang ke Sabah, pereka grafik melukis beliau disepak dan dan digigit oleh peta negeri Sabah yang dilukis wajah seperti anjing dengan kapsyen 'kau tidak dialu-alukan di sini".Lukisan itu memang melucukan, satirikal dan sinis. 

Ada gambarnya yang diedit menjadi wajah dinosar dengan kapsyen "…me eat Bibles". Ia merujuk kepada kenyataannya dulu yang mahu membakar alKitab penganut Kristian sebagai tindak balasnya terhadap kedegilan orang bukan Islam yang mahu menggunakaan perkataan Allah dalam penerbitan, termasuk dalam Bible.

Ibrahim Ali sepatutnya berkunjung ke Kota Kinabalu pada 23 November ini untuk acara Perkasa cawangan Sabah. Namun ramai pihak sudah menyuarakan bantahan beliau menjejakkan kaki di negeri ini. 

Beliau juga dilaporkan mahu datang ke Sarawak tetapi sudah dibantah awal-awal oleh Ketua Menteri Sarawak sendiri.Pentadbiran Tan Sri Taib Mahmud tidak mahu Perkasa berada di Sarawak. 

Seorang menteri negeri yang juga ahli Pesaka Bumiputera Bersatu itu (PBB) berkata, mereka tidak senang dengan niat Perkasa yang mahu datang di bumi kenyalang untuk mendapatkan sokongan terhadap agendanya.

Perkasa sebelum ini mendedahkan ia ada 45,000 ahli di Sabah dan mendakwa organisasi itu "bukan rasis" tetapi mahu menjaga hak-hak Bumiputera.

Pembantu Menteri Pembangunan Belia Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah tidak yakin dan berkata, kumpulan itu bersifat radikal dan tidak mempunyai tempat dalam masyarakat Sarawak.

"Perkasa tidak dialu-alukan di Sarawak. Ini juga terpakai kepada pertubuhan-pertubuhan lain yang menggalakkan pandangan Perkasa. Kita tidak mahu menjadi satu lagi Yugoslavia," katanya merujuk kepada perpecahan di negara barat iu akibat isu bangsa dan agama.

Abdul Karim berkata, Perkasa perlu tahu bahawa pandangan ekstrim mereka tidak didokong oleh pelbagai kaum Malaysia yang masih percaya kepada sikap bertoleransi.

Netizen Facebook tidak mahu ketinggalan dalam membantah lawatan Ibrahim di Sabah dan Sarawak. 

Kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Gabungan Bomoh Se-Borneo menghantar gambar hitam putih gambar alat-alat untuk membomoh dengan kapsyen "kiram sudah kena…mungkin lepas ni …yang baik terhadap kita, kita balas dengan jutaan kebaikan, yang jahat kita hadiahkan 'sepiring' mantera…".

Penduduk Sabah dan Sarawak bersatu dalam hal berkaitan dengan Ibrahim Ali. Mereka bimbang perpaduan dan tolak ansur yang tinggi di kalangan pelbagai kaum di Borneo ini akan terjejas jika membenarkan Ibrahim menyembur racun perkauman dan menghina pegangan agama bukan Islam dengan sesuka hati.

Bantahan terus diterima. Ibrahim dianggap sebagai 'Bapa segala perkauman" yang amat dibenci oleh rakyat Sabah dan Sarawak kerana pandangannya lebih memperjuangkan kaum Melayu dan memandang rendah kaum lain.

Pengerusi Angkatan Perubahan Sabah (APS) Keningau, Paul Kadau menggesa Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menggunakan kuasa eksekutifnya menghalang kedatangan Presiden Perkasa itu di negeri ini.

Sikap kurang sensitif Ibrahim ketika membangkitkan isu kalimah 'Allah' dan tidak setuju penggunaan kalimah itu digunakan dalam alkitab menjadi sebab kenapa beliau harus diharamkan datang ke Sabah, katanya.

"Kami tidak mahu beliau datang ke Sabah dan mengajar anak-anak kami dengan budaya benci membenci, Ibrahim lantang bersuara tanpa menghormati sensiviti agama dan budaya rakyat lain.

"Musa Aman sila senarai hitamkan Ibrahim Ali daripada masuk ke Sabah kerana beliau pencetus kerosakan perpaduan rakyat,Jangan biarkan orang ini membangkitkan isu perkauman di Borneo," demikian rungutan ramai orang.

Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman pernah menggunakan kuasanya menghalang Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar daripada menghadiri sambutan Pesta Kaamatan di Penampang pada Mei lalu, maka ramai mengharapkan beliau melakukan perkara yang sama demi kebaikan penduduk negeri ini.

Sementara itu di Sidang Dewan Undangan Negeri di sini semalam, Adun Sri Tanjung, Chan Foong Hin, menggesa Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bertindak menghalang kemasukan Presiden pelampau Perkasa, Ibrahim Ali ke Sabah.

Beliau berkata, sebagai Huguan Siou (pemimpin agung) kaum daripada Kadazan, Dusun dan Murut di Sabah, beliau sepatutnya lebih banyak bersuara menghalang Ibrahim daripada memasuki Sabah.

"Kita semua tahu yang ini adalah Ibrahim Ali. Beliau adalah seorang pelampau yang akan menyebabkan keharmonian dan gangguan awam (dengan kenyataan dan tindakan beliau). 

Oleh itu, Pairin sebagai pemimpin tertinggi orang KDM, perlu memastikan bahawa Ibrahim tidak menjejakkan kaki di Sabah," katanya.Kegagalan berbuat demikian akan menggambarkan pemimpin di negeri ini bersekongkol dan setuju dengan ideologi negatif yang dibawa Ibrahim, katanya. ~fmt



Iklan C (ii)


Berita Yang Amat Di Nanti-Nantikan Oleh Penyokong Setia Umno BN

Posted: 20 Nov 2013 11:36 PM PST

Penderitaan rakyat Malaysia berikutan kenaikan kos kehidupan akan bertambah parah terutama bagi yang tinggal di bandar besar.Selepas pengurangan subsidi bahan api dan penghapusan subsidi gula baru-baru ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita kenaikan tarif elektrik pada tahun hadapan.

MyPower Corporation, sebuah agensi dengan pelbagai tujuan khas ditubuhkan untuk memacu industri bekalan tenaga elektrik di Malaysia berkata, mereka sudah menyempurnakan kajian ke atas beberapa aspek pembaharuan dalam industri, termasuk pelarasan tarif.

Ketua Pegawai Eksekutif MyPower, Datuk Abdul Razak Abdul Majid, berkata jika subsidi minyak dikurangkan secara beransur-ansur, maka kadar tarif adalah pada kira-kira 42 sen bagi setiap kilowatt jam (kwh), berbanding dengan kadar semasa subsidi 33.5 sen/kwh.

Abdul Razak berkata, kos penjanaan seunit pada masa ini adalah kira-kira 30.9 sen (kwh).Berdasarkan unjuran MyPower , pengguna dijangka menerima peningkatan kira-kira 8.5 sen bagi setiap kilowatt, iaitu melibatkan kenaikan sebanyak 26%.

Abdul Razak berkata, beliau sudah mengemukakan dapatan ini kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Suruhanjaya Tenaga dan agensi lain yang berkaitan.

"Bagaimanapun, kadar tariff yang akan dikenakan terpulang kepada kerajaan," katanya dalam sesi penerangan kepada media semalam.

Sebagai tambahan subsidi, kerajaan tidak akan mengenakan bayaran bagi mereka yang mempunyai bil RM20 dan kurang daripada itu.Tahun lalu, kerajaan membelanjakan kira-kira RM146 juta ke atas subsidi ini yang memberi manfaat kepada 1.1 juta isi rumah.

Kali terakhir tarif elektrik dinaikan pada Jun 2011 apabila harga gas bersubsidi dinaikkan kepada RM13.70 bagi setiap juta metrik unit termal British (mmbtu) berbanding RM10.70 setiap mmbtu sebelumnya.

Putrajaya terpaksa menangung kos subsidi untuk sektor tenaga negara sekitar RM8 bilion hingga RM12 bilion setahun, bergantung kepada harga bahan api semasa.

Di Malaysia, gas merupakan sumber utama bagi kegunaaan penjanaan elektrik iaitu sebanyak 50% manakala arang batu sebanyak 40% dan tenaga diperbaharui sebanyak 2% di Malaysia dan baki 8% adalah daripada kuasa hidro.

Gas kini dibekalkan oleh Petronas pada harga subsidi manakala arang batu diperolehi pada kadar harga pasaran semasa.Kenaikan harga gas yang tinggi menyebabkan subsidi sukar diteruskan.

Keadaan ini diburukkan lagi apabila syarikat elektrik negara Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terpaksa mengimport gas asli cecair (LNG), terutama dari Australia.

Abdul Razak berkata, di bawah mekanisme prinsip cadangan bahan api, kos bahan api akan disemak setiap enam bulan dan sebarang perubahan (turun atau naik) bergantung kepada turun naik harga bahan api (gas, arang batu dan minyak) yang akan ditanggung oleh pengguna.

Kos bahan api melalui mekanisme ini adalah satu komponen yang signifikan di bawah cadangan kerangka tarif Insentif Berasaskan Peraturan.Abdul Razak berkata, dengan kerangka Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), rangkaian prestasi tahunan TNB yang melibatkan penghantaran dan pengedaran akan dinilai berdasarkan kejayaan pencapaian.

Tarif dan pulangan TNB akan diselaras berdasarkan kepada pencapaian sasaran prestasi.Beliau berkata, bil elektrik TNB kepada pengguna juga akan disusun semula dengan lebih telus menunjukkan pecahan daripada segi kos, penjanaan, penghantaran dan pengagihan. ~tmi




Iklan C (ii)



Tiada ulasan: