Addin |
- Wajah Sebenar Ultras Melayu Di Bongkar.. Saksikanlah
- Bekas Hakim Dedah Senario Tidak Sihat Sistem Kehakiman Di Malaysia
- Berita Yang Tidak Di Siarkan Oleh Media Pro BN
Wajah Sebenar Ultras Melayu Di Bongkar.. Saksikanlah Posted: 17 Nov 2013 08:00 AM PST Berdasarkan kepada kajian yang dijalankannya selama lima tahun di Malaysia, Pemegang PhD dari Perancis, Sophie Lemiere berkata NGO Pekida atau Tiga Line merujuk kepada kesetiaannya kepada orang Melayu, raja dan Islam. Katanya, ini dapat dilihat dalam simbolnya yang berwarna merah (untuk darah), kuning (raja ) dan hijau (Islam). Lemiere berkata berdasarkan temubualnya yang luas dengan anggota-anggotanya dan carian di internet, kumpulan seperti Pekida adalah satu rangkaian kompleks NGO yang diwujudkan oleh kumpulan yang berkaitan dengan militan politik. Pekida, menurut kajian Sophie, adalah nama generik yang digunakan untuk menggambarkan satu rangkaian kompleks kumpulan dan NGO. Pada hakikatnya, tegas beliau, nama Pekida adalah nama salah satu daripada banyak NGO yang diwujudkan oleh rangkaian tersebut untuk memberikan sokongan politik, menghalalkan sebahagian daripada aktiviti mereka, dan memudahkan penerimaan dana dari parti pemerintah. Lemiere berkata mungkin ada kumpulan lain yang menggelar diri mereka Pekida tetapi di bawah nama lain juga atau mungkin tiada kaitan dengan Pekida. Menurutnya, dua tanggapan utama yang akan diketengahkan adalah cabaran biasa bagi mana-mana kumpulan untuk terus hidup dan cara terbaik untuk menjamin survival adalah melalui kuasa dan wang. 'Kuasa dan wang jadi pendorong 'Katanya, objektif utama kumpulan itu adalah kuasa, keuntungan dan wang, yang membayangkan bahawa ahli-ahli terlibat dalam kegiatan haram, dan boleh menggunakan tahap keganasan yang berbeza. Cita-cita asasnya, tegas Lemiere, ialah sering membentuk semula di segi ideologi bagi memudahkan pengambilan anggota, gabungan kumpulan dan mewajarkan penggunaan keganasan. Kelestarian kumpulan itu dipastikan dengan menyesuaikan diri kepada perubahan politik dan sosial. Identiti kumpulan boleh berubah mengikut peluang yang wujud.Lemiere (kiri) berkata, situasi politik yang berada dalam peralihan adalah baik kepada pembangunan kumpulan-kumpulan tersebut dan membuka peluang untuk menjalin hubungan dengan parti-parti politik. Dalam konteks ini, katanya, kumpulan-kumpulan itu boleh menjadi usahawan politik, atau militan secara diam-diam, kepada sesiapa di mana tindakan politik disubkontrak untuk mengekalkan kuasa politik. Menurut Lemiere, ia umpama seekor sumpah-sumpah yang marah, yang boleh bertukar warna dan bentuk pada bila-bila masa, tetapi sentiasa kekal dengan potensi ganas. Lemiere, yang baru sahaja menerima PhD beliau dari Sciences-Po (L'Institut d'études politiques) Paris tentang pergerakan etno- nasionalis dan Islam di Malaysia, kini berada di Pulau Pinang untuk membentangkan kertas kerjanya di Universiti Sains Malaysia , semalam.Kertas kerjanya yang bertajuk 'Gangsters and Masters: Connivance Militancy in Contemporary Malaysia', adalah berdasarkan kajian dari tahun 2008 hingga April tahun ini.Lemiere berpejabat di Singapura dan ahli gabungan Institut Penyelidikan Asia di Universiti Nasional Singapura. ~mk | ||
Bekas Hakim Dedah Senario Tidak Sihat Sistem Kehakiman Di Malaysia Posted: 17 Nov 2013 04:08 AM PST Sistem kehakiman hanya akan bebas selepas hakim berhenti daripada menerima habuan kewangan dan pangkat dalam menjalankan tugas mereka, kata bekas hakim Mahkamah Tinggi ketika berucap kepada peguam dan ahli akademik di Kuantan, hari ini. Datuk V T Singham (gambar), ketika muncul kali pertama selepas bersara empat bulan lalu berkata, perkara itu bukan kebebasan kehakiman yang perlu diketengahkan. "Kebebasan sistem kehakiman bergantung kepada integriti dan kesedaran setiap hakim. "Hakim yang diamanahkan dengan kuasa dan akujanji untuk melaksanakan tugas perlu melakukannya tanpa mengharapkan balasan kewangan atau pangkat. "Mereka tidak seharusnya menjadi galeri awam," katanya merujuk kepada hakim yang membuat sebarang keputusan bagi mendapatkan perhatian pihak berkuasa. Singham berkata demikian ketika berucap dalam majlis anjuran Majlis Peguam Pahang di Kampus Cawangan Universiti Islam Antarabangsa di Indera Mahkota. Katanya, perkataan keramat "kebebasan sistem kehakiman" akan sia-sia jika hakim dan pegawai mahkamah tidak bebas dalam membuat keputusan. "Perkataan itu hanya akan menjadi slogan. Undang-undang dan peguam tidak seharusnya menjadi mangsa jika penghakiman dipengaruhi pelbagai faktor," katanya. Singham, 65, turut menyeru pentadbir perundangan untuk adil kepada hakim dan pegawai mahkamah apabila melibatkan soal kenaikan pangkat, kerana ia seharusnya bebas tanpa diskriminasi dan campur tangan pihak berkuasa. Singham sebelum ini dalam keputusan terakhirnya sebagai hakim menjatuhkan kehakiman terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung kes kematian dalam tahanan, A Kugan. Pihak pendakwa memenangi kes berkenaan dengan ibu Kugan menerima bayaran RM800,000 setelah memenangi kes berkenaan menentang polis dan kerajaan. Beliau yang dikenali sebagai seorang yang tegas beberapa kali dinafikan kenaikan pangkat. Kebanyakan rakannya yang dijadikan Suruhanjaya Kehakiman sepertinya sejak 13 tahun lalu sudah berpindah ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Keadaan itu menjadikan Singham hakim Mahkamah Tinggi paling tua di Malaysia. ~tmi | ||
Berita Yang Tidak Di Siarkan Oleh Media Pro BN Posted: 16 Nov 2013 08:52 PM PST
Keluarga lelaki yang maut selepas kenderaan peronda Lebuh Raya Pantai Timur yang didakwa dibawanya lari terbabas merempuh perhentian bas di simpang Kampung Bukit Lada, dekat sini, kelmarin, mungkin akan mengambil tindakan mahkamah. Ia berdasarkan laporan bedah siasat Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS)menunjukkan lelaki berusia 22 tahun itu meninggal dunia kerana kecederaan di kepala akibat ditembak. Bapanya, Abdul Nasir Abdullah, 50, seorang guru, menolak dakwaan anaknya itu meninggal dunia akibat hentakan kepala di stering kereta. Menurutnya, kali terakhir dia menemui mangsa adalah pada 6.30 petang hari kejadian di surau tol Chenor ketika dalam perjalanan pulang ke Kampung Jengka Batu 13. "Dia yang sedang menongkat motosikal hanya senyum lihat saya. "Pada tengah malam itu, seorang saudara telefon beritahu polis jumpa anak saya di tol Chenor. "Tidak sampai setengah jam kemudian, saya dihubungi lagi memaklumkan, Angah (nama timangan anaknya) rampas pistol dan bawa lari kereta polis," katanya. Abdul Nasir berkata, setibanya di Balai Polis Pekan Awah, beberapa anggota polis sedang berkumpul untuk bertindak menahan mangsa. Menurutnya, dia sendiri dimaklumkan anggota polis terbabit bahawa tiada sebarang tindakan melepaskan tembakan diambil seperti mana arahan pihak atasan mereka. "Saya berada di balai tersebut sehingga jam 5.20 pagi dan ada beberapa kali anggota polis yang mengekori kereta dipandu anak saya kembali ke balai hantar laporan. "Saya tanya mereka sama ada Angah lepaskan tembakan dan diberitahu Allahyarham tidak berbuat demikian. Sebaliknya anggota polis lepas tembakan ke arah tayar kereta tetapi tidak kena," katanya. Abdul Nasir berkata, pada 5.15 pagi, polis memberitahu kenderaan dipandu mangsa terbabas merempuh perhentian bas dan dibawa ke HoSHAS. Menurutnya, setiba di hospital, mangsa diberi rawatan dalam keadaan tidak berapa sedar. "Saya pegang tangan Allahyarham dan cakap 'Angah ini ayah' sebelum mengucap dua kalimah syahadah di telinganya. Tidak lama, Allahyarham meninggal dunia," katanya. Menurutnya, laporan bedah siasat menunjukkan kecederaan di kepala akibat ditembak dari jarak dekat sehingga tembus. "Saya tidak puas hati kerana laporan ini bercanggah dengan kenyataan polis," katanya. Abdul Nasir berkata, anaknya itu tidak mempunyai sebarang rekod rawatan sakit mental, tetapi sering mengalami gangguan emosi sejak terlibat dalam kemalangan pada September tahun lepas. "Allahyarham baru habis belajar di Gebeng dan akan ke masjid berdekatan untuk solat berjemaah. Dia memang ada ambil ubat penenang dari HoSHAS kerana gangguan emosi, tetapi tidak pernah melakukan kekerasan. "Allahyarham juga suka berzikir dengan kuat hingga takutkan orang berdekatan," katanya. Namun katanya, mangsa tidak lagi berzikir dengan kuat selepas berubat perubatan Islam. Jenazah arwah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Jengka Batu 13, malam kelmarin. ~sh |
You are subscribed to email updates from Addin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan