SIASAH |
China sebagai pengimport terbesar beras dunia: Implikasi serantau Posted: 09 Oct 2013 10:40 AM PDT Oleh J JACKSON EWING dan ZHANG HONGZHOU Menjelang penghujung 2013, China bakal mengatasi Nigeria sebagai pengimport beras terbesar dunia. China sebelum ini ialah salah satu pengimport utama beras, dan kini mengambil posisi yang dibimbangi dan telah dijangka ramai pihak: pengimport besar dengan selera yang tidak terbatas. Perubahan ini bakal memberi kesan kepada keselamatan makanan serantau dan kepada perkiraan keselamatan bagi dekad-dekad mendatang. Peningkatan import beras China tidak dapat dijelaskan dengan mudah. Penggunaan beras per kapita menurun, manakala produksi berasnya telah berkembang selama sembilan tahun dan tahun 2013 dijangka menyaksikan produksi terbesar. Beberapa faktor menjadi sebab peningkatan import beras China. Pertama, produksi beras domestik China mungkin dilaporkan lebih tinggi daripada jumlah sebenar. Ada pihak di dalam dan luar negara yang mencabar angka produksi beras rasmi China. Contohnya, mungkin pegawai tertentu memperbesarkan produksi kerana penilaian prestasi mereka berkait dengan jumlah itu. Kedua, sektor pertanian China sedang menyaksikan kemerosotan daya saing. Seperti beberapa negara Asia lain, China telah melaksanakan strategi didanai kerajaan yang menggalakkan produksi dengan menjanjikan pembelian hasil pada harga minimum. Setelah hampir sedekad kerajaan melakukan beberapa kenaikan harga belian tersebut, nilainya kini telah melebihi tahap harga antarabangsa. Ketiga, logistik mengangkut beras yang lemah menjejaskan kecekapan sektor makanan China. Proses pembandaran dan industrialisasi menyebabkan pusat pengeluaran beras China bergerak daripada selatan ke utara. Kawasan jelapang padi China di timur laut terletak jauh dari kawasan pengguna beras utama, dan sistem pengangkutan beras China tidak dapat memenuhi keperluan sepenuhnya. Kos pengangkutan beras dari timur laut ke ke pasaran utama kini ialah 30 peratus daripada harga beras, dan pada musim puncak, kapasiti pengangkutan sukar memenuhi permintaan. Ini mendorong syarikat-syarikat di di selatan membeli dari pengeksport seperti Thailand, Kemboja dan Vietnam. Keempat, peningkatan kebimbangan terhadap tahap keselamatan beras domestik menjadikan beras import semakin menarik. Satu kajian pada 2011 mendakwa sehingga 10 peratus beras dijual di China tercemar dan tidak sesuai untuk dimakan. Laporan lain menunjukkan akibat kebimbangan terhadap pencemaran cadmium, semakin banyak warga tanah besar China membeli beras import di Hong Kong. Faktor-faktor ini bergabung meningkatkan import beras di China, dan sebagai pengguna beras terbesar dunia, import ini kemudian memberi kesan-kesan lain. Kemunculan China sebagai pengimport beras utama berlaku seiring dengan harga beras antarabangsa yang terus meningkat. Selepas lebih tiga dekad penurunan, harga telah meningkat lebih dua kali ganda sejak tahun 2000. Peningkatan ini sebahagiannya disebabkan dasar beberapa negara penting Asia. Skim sokongan Thailand, yakni pembelian beras oleh kerajaan pada harga lebih tinggi daripada pasaran, melemahkan daya saing eksport negara itu dan menyebabkan lambakan di dalam negara. Thailand tidak bersendirian dalam hal ini. Sejak peningkatan mendadak pada 2007-2008, beberapa negara Asia juga telah meningkatkan sokongan kerajaan untuk sektor beras dan menyimpan jumlah beras yang besar, sekaligus mengurangkan bekalan ke pasaran. Dasar-dasar ini menunjukkan hasrat melindungi pasaran beras domestik daripada kejutan, tetapi juga telah menyebabkan peningkatan harga. Walau bagaimanapun, stok simpanan yang besar tidak menjejaskan produksi di rantau ini. Produksi mencatatkan rekod di seluruh Asia, sebahagian besarnya akibat kawasan penanaman yang semakin luas. Filipina, selama ini antara pengimport beras utama, mendakwa menghampiri keupayaan memenuhi keperluan sendiri selepas setahun lagi peningkatan pengeluaran dicapai. Malaysia juga sedang mengurangkan pergantungan eksport dengan meningkatkan penanaman padi dalam negara dan Indonesia, walaupun bergerak perlahan, juga mempunyai matlamat yang sama. Pengeksport tahap pertengahan rantau ini - Myanmar dan Kemboja - juga meluaskan produksi untuk menyamai Thailand dan Vietnam sebagai negara sumber utama. Di luar Asia, produksi meningkat di Afrika dan Amerika Selatan dan produksi beras global secara keseluruhan bagi tempoh 2013-2014 dijangka mencapai tahap tertinggi. Dengan stok simpanan yang banyak dan pengeluaran mencatatkan rekod, adakah peningkatan import China sesuatu yang perlu dirisaukan? Ada beberapa sebab untuk berfikir demikian. Skim sokongan sektor beras di Asia selama ini dalam bentuk jaminan harga oleh kerajaan, kawalan harga, subsidi, dan urusniaga kerajaan dengan kerajaan yang tidak telus. Skim seperti ini semakin dilihat sukar diuruskan. Bantuan kerajaan terbabit menyebabkan beban kewangan yang meningkat dan bertentangan dengan peraturan perdagangan bebas. Tetapi, peningkatan import China bakal menyebabkan kerajaan lain meneruskan campur tangan, kerana mahu melindungi sektor domestik mereka disebabkan kebimbangan akses mereka kepada beras yang berpatutan akan terjejas. Tambahan pula, peningkatan harga beras domestik dan antarabangsa juga didorong peningkatannya oleh faktor kos bahan api, baja, tanah dan buruh. Isu alam sekitar, melibatkan penggunaan tanah yang luas untuk penanaman padi, juga menyumbang kepada menjadi faktor menghadkan pengeluaran. Peningkatan industrialisasi dan standard buruh pula menyumbang kepada peningkatan kos buruh. Walaupun demikian, peningkatan import beras China mungkin menggalakkan lebih produksi beras di tempat-tempat yang tidak sesuai dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar. Negara-negara yang sedar tentang kedudukan China yang meningkat dalam pasaran mungkin akan mengurangkan atau meninggalkan terus import dan meningkatkan penggunaan tanah untuk penanaman padi, termasuk tanah yang tidak sesuai untuk penanaman padi. Walaupun langkah-langkah tersebut boleh dipertahankan sebagai usaha memenuhi keperluan sendiri, harga yang perlu dibayar agak tinggi. Harga padi tersebut mungkin lebih tinggi, lebih rendah kualiti dan mengambil tanah yang boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih produktif. Perkembangan ini tidak bermakna semuanya negatif. Peningkatan import China dalam sesetengah kes boleh membawa kepada peningkatan kemasukan modal, pendapatan petani meningkat dan akses yang lebih terbuka kepada teknologi untuk negara-negara pengeksport. Ini kemudian boleh menyumbang kepada strategi produksi yang lebih efisyen dan keberhasilan tinggi,yang akhirnya boleh membantu menangani beberapa cabaran serantau. Walaupun hasil yang lebih banyak bukan jawapan kepada semua masalah, peningkatan hasil boleh membantu mengurangkan kesan buruk kepada alam sekitar dengan mengurangkan keperluan kepada tanah untuk penanaman, dan membantu mengurangkan pergerakan buruh, mengurangkan kos produksi dan mengurangkan harga kepada pengguna melalui peningkatan kecekapan. Ini juga mampu membawa kepada hubungan dagang yang lebih stabil, apabila didapati beras serantau dengan harga berpatutan boleh didapati dengan mudah di pasaran. China boleh menyumbang kepada senario seperti itu melalui penggalakan transaksi pasaran beras yang telus dan bukan bergantung pada urus niasa antara kerajaan yang tertutup. Walaupun ketidakpastian masih wujud, jelas bahawa China tidak lagi mampu memenuhi semua keperluan berasnya. Ini akan memberi impak yang besar kepada masa depan makanan Asia. J Jackson Ewing ialah felo penyelidik di Pusat Kajian Keselamatan Bukan Tradisional (NTS), dan Zhang Hongzhou ialah felo penyelidik bersekutu di Program China di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. Tulisan asal, bertajuk China as the World's Largest Rice Importer: Regional Implications terbit di RSIS Commentaries. | ||
Umno dan kebangkitan liberal Malaysia Posted: 08 Oct 2013 11:53 PM PDT Umno ialah sebuah parti yang bersifat konservatif dari segi sosial dan sebahagian besar hal ekonomi. Sejarah parti ini menyebabkannya sentiasa mempunyai bahagian konservatif yang kuat, terutama daripada kalangan ahli akar umbi yang membentuk kekuatan parti. Sebagai sebuah parti etnonasionalis, hal melibatkan bangsa Melayu dan agama Islam mendorong Umno menjadi sebuah parti yang konservatif melibatkan isu kaum dan agama. Walau bagaimanapun, Umno juga tidak asing dengan pendekatan pragmatik, yang mengetepikan beberapa pegangan utama parti dalam mengemudi politik dan pentadbiran negara bersama parti-parti komponen Barisan Nasional. Dalam sejarah persaingannya dengan PAS, Umno lebih cenderung kepada sikap yang relatif lebih liberal, sekular dan pragmatik, berbanding PAS yang lebih berpegang pada prinsip didasari agama Islam. Tetapi perkembangan politik terkini yang menyaksikan gelombang liberal melanda telah menunjukkan potensi untuk Umno bergerak menjadi lebih liberal, sehingga mungkin menyaingi beberapa sisi parti-parti liberal dalam politik negara. Di bawah Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Umno terpaksa memperjuangkan gagasan 1 Malaysia, yang walaupun agak kabur dan cair, tetap mempunyai ciri liberal yang agak jelas. Jenama politik Najib ini diberikan tafsiran yang lebih liberal oleh seteru-seteru - malah rakan-rakan - politik Umno, dan ditafsirkan sebagai satu janji atau garis panduan dasar-dasar dan pendekatan pentadbiran Najib. Hal ini demikian sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam Umno sendiri, terutama ketika liberal meningkatkan serangan dan sisi lebih konservatif Umno kelihatan terpaksa dipendam demi memasarkan jenama baharu dibawa Perdana Menteri Najib. Sekitar masa yang sama Umno berusaha menunjukkan wajah yang lebih liberal, muncul kumpulan sayap kanan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Perkasa, yang secara praktisnya menjadi sayap kanan Umno untuk menangani isu-isu yang dilihat tidak sehaluan dengan jenama liberal 1 Malaysia. Perkembangan ini menandakan perpisahan Umno dengan pendekatan konservatif yang dibawa selama ini, menandakan politik baharu yang terpaksa ditempuhi oleh Umno dalam landskap terkini politik negara. Umno yang menguasai BN sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-12 mula bergerak ke tengah dalam spektrum ideologi, dengan Najib memberanikan diri menangani sendiri hal-hal yang menjadi pengenalan sifat konservatif Umno. Selain pemansuhan beberapa undang-undang berkaitan keselamatan, Najib semakin kuat berusaha menunjukkan wajah baharu Umno kepada masyarakat. Walau bagaimanapun, dalam Umno sendiri, haluan baharu Najib ini tidak diterima sepenuhnya malah dilihat sesetengah pihak sebagai satu kelemahan besar Najib yang tunduk kepada tuntutan liberal dalam usaha menarik sokongan. Terkini, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) semakin menerima kecaman hebat elemen lebih konservatif dalam Umno, yang dapat diperhatikan melalui serangan-serangan daripada blog-blog Umno. Pengendali blog Umno merupakan elemen paling berhaluan kanan dalam Umno, dan memainkan peranan sebagai penyampai suara dan pendesak kumpulan lebih konservatif dalam parti itu. Sejak mula berperanan aktif bermula 2008, kumpulan lebih konservatif ini telah beberapa kali menunjukkan kekecewaan terhadap beberapa tindakan Najib yang cenderung menyebelahi liberal. Dalam hal ini juga, Najib semakin dilihat dengan kritikal oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tokoh yang menaikkan Najib dan memberi sokongan (dan nasihat) kepadanya hingga ke hari ini, yang masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam Umno. Mahathir berada di kem konservatif dalam Umno, yang hari demi hari semakin mempunyai banyak perbezaan pandangan dengan Najib yang semakin liberal. Pada masa sama, pemimpin muda Khairy Jamaluddin Abu Bakar semakin meningkat naik dalam Umno dan pentadbiran Najib, dan semakin dinilai sebagai salah seorang pemimpin utama masa depan Umno. Khairy menampakkan dengan jelas kecenderungan liberal, yang agak jauh berbeza dengan pendirian yang diterima sebahagian besar pemimpin dan ahli Umno. Sebelum ini, elemen sayap kanan dalam Umno pernah menunjukkan penentangan kuat terhadap rancangan pelantikannya ke dalam kabinet, yang didakwa dipertimbangkan dengan serius oleh Najib. Selepas pilihan raya yang lepas, Khairy tidak dapat dikekang lagi dan diberikan satu kedudukan dalam kabinet, dan memulakan kembali pendakiannya ke kedudukan yang lebih tinggi. Perkembangan ini berpotensi menampakkan lagi perbezaan antara kelompok lebih liberal dan yang lebih berkecenderungan konservatif dalam Umno. Berdasarkan perkembangan terkini, elemen liberal kelihatan mempunyai masa depan yang semakin cerah dalam Umno. - September 10, 2013. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan