Isnin, 21 Oktober 2013

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Ada yang bocorkan rahsia PAS (21/10.13)

Posted: 21 Oct 2013 01:10 AM PDT


Saya terbaca dalam Malaysiakini darihal calon-calon yang bakal bertanding dalam PRK DUN Sg Limau yang Hari Penamaan Calonnya ditetapkan pada Rabu 23 Oktober ini.
Memang tugas pemberita adalah mendapatkan maklumat, siapa yang paling cepat memperolehi maklumat terkini tak kiralah tepat atau sipi-sipi dan dapat dinaik atau dimuatkan dalam media masing-masing maka dialah dikira dalam gelanggang media paling hebat sekaligus melariskan lagi medianya.

Laporan terkini Malaysiakini menamakan calon-calon BN dan PAS. Calon BN dikatakan adalah Pensyarah UPSI Dr Ahmad Suhaimi Lazim (yang bakal diumumkan Timbalan Presiden Umno jam 5 petang ini). Manakala calon PAS pula dikatakan Ketua Dewan Pemuda PAS Jerai Sdr Azam Samad.
Bagi BN saya tidak hairan apabila sumber dalam kem BN dapat bocor dengan begitu mudah, tetapi PAS?!

Tepat atau tidak maklumat Malaysiakini itu tak tahulah tetapi masalahnya bagaimana keputusan mesyuarat dalam PAS yang sepatutnya rahsia dan sulit boleh begitu mudah bocor. Ini kerana calon PAS sepatutnya hanya akan diumumkan oleh Presiden PAS selepas Isyak jam 9 malam ini.
Kalau keputusan badan tertinggi PAS boleh mudah bocor, saya harap satu kajian dan siasatan perlu dibuat kerana seakan disiplin dan adab dalam jamaah sudah menjadi semakin longgar dan tiada lagi penghormatan.

Saya yakin PAS tidak perlukan pemimpin yang ringan mulut dan tidak tahu menyimpan rahsia.

Konflik yang tidak nampak jalan penyelesaian (21/10/13)

Posted: 20 Oct 2013 10:22 PM PDT


Isu agama dan kaum menjadi semakin tegang dan mudah mencetus kontroversi kebelakangan ini. Jika dahulu isu-isu seumpama ini cuba dan berjaya dielak-elak dan dikompromikan tetapi sejak akhir-akhir ini ia muncul dan terus membara.
Perkembangan ini sudah pastinya sesuatu yang tidak sihat buat Negara kerana inilah api yang sama yang akhirnya membakar dan meletuskan peristiwa hitam 13 Mei lebih 40 tahun dahulu.

Kita punya tiga kaum yang terbesar dalam Negara selain pelbagai agama dengan Islam yang dominan diikuti agama Kristian, Hindu, Budha dan lain-lain agama dan kepercayaan. Lantaran kepelbagaian ini sudah pasti ia tidak sunyi dari berlanggar sesama sendiri apabila satu-satu isu berputar diluar kawalan.
Apa pun toleransi dan kebijaksanaan lah yang kiranya menyerlah akan menjadi kunci dan penawar penyelesaian.

Sukar memahami bagaimana datuk nenek kita dahulu boleh duduk berbincang dan bertolak ansur sehingga mewarna Negara ini dari Negeri-negeri Melayu,  Semenanjung Tanah Melayu, Persekutuan Tanah Melayu terus Merdeka menjadi Malaya dan kemudiannya Malaysia. Dari bumi satu kewarganegaraan dan satu agama ia ditransformasi menjadi Negara kepelbagaian bangsa dan agama duduk sebagai satu warganegara.
Datuk nenek kita berkompromi melahirkan satu Malaya dan kemudiannya Malaysia yang mengiktiraf kewujudan kaum-kaum lain yang mendatang dan kemudiannya lahir di sini sebagai rakyat yang sama. Asasnya semua menerima kepelbagaian ini bertunjangkan pengiktirafan beberapa hak antaranya Islam sebagai agama rasmi (dengan agama-agama lain bebas dianuti), jaminan hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera, kedudukan institusi Raja-raja Melayu dan lain-lain.

Dalam suasana aman, semua ini dapat diterima dan Negara serta masyarakat berfungsi normal dengan peranan masing-masing. Malangnya apabila tercetus pertembungan, semua akan bingkas bangun, sehingga membelakangkan asas-asas pembinaan Negara di atas, semua menjadi tegang, dan masing-masing bermayian menegak benang yang basah.
Kalimah "Allah" yang berdekad-dekad sebelum ini tidak pernah langsung mencetuskan kontroversi dan konflik sesame agama, hari ini naik turun mahkamah, dan keputusan mahkamah pun sudah tiada lagi dihormati.

Ibadah korban yang dilakukan di premis sekolah, atas alasan apa sekalipun, dahulunya berjalan tanpa banyak prasangka, hari ini menjadi suatu ritual yang dipandang hina dan menghina!
Konflik seumpama ini akan terus bernanah, satu demi satu, satu demi satu. Selagi pimpinan Negara dari pelbagai fahaman tidak boleh duduk semeja, berunding dan bertolak ansur sebagaimana kita di awal-awal dahulu maka selagi itulah nanah ini akan terus parah.

Jika masing-masing terus berkeras, menuntut hak asasi, menuntut kebebasan, masing-masing mahu untung dan melihat kompromi sebagai sesuatu yang rugi dan merugikan maka kita akan terus terjerumus ke era kegelapan.
Secara peribadi berbezalah bagaimana pun fahaman dan pegangan politik kita, namun dalam isu seumpama ini, ketepikanlah kepentingan itu dan utamakanlah masa depan Negara. Bilakah itu akan berlaku, wallahualam.

 

 

 

 

 

Tiada ulasan: