Isnin, 21 Oktober 2013

.

.


Menjawab sepucuk surat mengenai sekolah YIK

Posted: 21 Oct 2013 03:12 AM PDT

SURAT                                                                                                  

Ada seorang penjengok blog Merah Tinta atau Facebook saya yang menamakan dirinya sebagai Bananajunior Jr telah menulis surat rengkas kepada saya mempertikaikan sikap saya yang baginya seolah-olah menghalang Yayasan Islam Kelantan (Yik) daripada menyerahkan sekolah agama Yik kepada kementerian pendidikan Malaysia. 

Sepatutnya saya tidak melayan surat ini kerana penulisnya berselindung di sebalik nama pena. Tetapi bila saya fikir ada baiknya kemusykilan ini dijelaskan, kerana ia akan juga memberi penjelasan kepada orang lain yang mungkin juga mempunyai tanggapan sepertinya maka saya melayan surat orang yang menamakan dirinya sebagai Bananajunior Jr ini.

Cara dia menulis dan melepaskan perasaanya seperti dia seorang guru yang akan mendapat kebaikan dan keuntungan sekiranya Yik bersetuju menyerahkan sekolah-sekolahnya kepada pihak kementerian.

Saya turunkan surat Bananajunior Jr itu sepenuhnya di sini kemudian saya jawab dan jelaskan apa yang dibangkitkan. Harapnya pihak Yik dan kerajaan juga membaca dan menyelami hati isi surat ini.

Assalamualaikum wbt...
Saudara MSO.


Saya tidak faham kenapa saudara seolah-olah menentang usaha penyerahan lebih banyak sekolah YIK kepada KPM.Saya yakin jikalau saudara membuat sedikit homework, maka saudara akan menyokong usaha ini. Cuba renungkan senario-senario ini, moga-moga hati MSO lebih terbuka...

1) Tahukah saudara berapa ramai guru YIK lepasan Ijazah yang berstatus guru kontrak dan berelaun? Setelah berbelas-belas tahun malah yang sudah berpuluh tahun tidak diserap menjadi guru tetap dan berpencen. Gaji guru YIK hampir lebih kurang sama dengan gaji yang bakal diterima oleh guru KAFA negeri selangor. Sedangkan bebanan kerja dan tanggungjawab guru YIK dan KAFA ibarat langit dan bumi. Berapa ramai Pengetua YIK yang hampir pencen pun hanya bergred DG44, sedangkan rakan sejawat mereka di sekolah kementerian bergred DG52! Alasan YIK, tiada duit!

2) Ramai guru YIK berangan-angan agar sekolah mereka diserap menjadi SABK dengan harapan mereka diserap menjadi guru KPM dan sekolah mereka mendapat kemudahan prasarana seperti sekolah kerajaan pusat! namun mereka tidak berani bersuara secara terus-terang kerana bimbangkan jawatan mereka dilucutkan! Kalau saudara tidak percaya, ajaklah seorang dua guru ijazah YIK yang mengajar di SAR, dengar dan selamilah  keluhan dan rintihan mereka.

3) Kerajaan negeri peruntukan RM72 juta setahun untuk menguruskan 91 pendidikan YIK. Kerajaan Kelantan mengakui kekurangan pendapatan, kenapa tidak diserahkan sekolah-sekolah SAR yang daif kepada KPM supaya perbelanjaan untuk YIK dapat dikurangkan? Ataupun setidak-tidaknya YIK dapat membela nasib gurunya dan meningkatkan lebih prasarana di sekolahnya sekiranya bilangan sekolah kelolaanya berkurangan!

Bagi saya Kerajaan negeri ego dan lebih mengutamakan politik dalam isu ini.Bimbang dijadikan modal oleh UMNO untuk merendahkan2 kerajaan negeri.Tidak zalimkah ini namanya! Ini belum lagi isu peruntukan RM12 juta untuk pembinaan Maahad Tahfiz baru seperti yang diumumkan dalam bajet 2014. Kenapa tidak perkasakan sekolah yang sedia ada! Sekolah yang sedia ada pun daif, mahu lagi dibina sekolah baru, ibarat tiada beban batu digalas!

Sekian untuk renungan tengahari saudara MSO.
Wassalam.

Ini jawaban dan penjelasan saya:

Bananajunior Jr ini jelas tidak memahami maksud di sebalik isu sekolah Yik yang pernah saya bangkitkan di sini atau dalam Facebook beberapa minggu lepas sehingga menimbulkan rasa panik pihak kerajaan Kelantan. Kalau diperhati dan dibaca balik apa yang saya timbulkan - menjadi subjek matter ialah mengenai surat yang dihantar oleh pihak Pejabat Pendidikan Kota Bharu kepada sekolah-sekolah Yik. Surat varfikasi itu saya persoal kerana ia dibuat secara senyap, tanpa pengetahuan pihak penguasa sekolah-sekolah Yik.

Ini jelas bila mana pihak kerajaan sendiri memberi penjelasan kemasukan surat varfikasi itu tidak dalam pengetahuan mereka. Dalam perbasahan mengenai kemasukan surat itu saya tidak menyatakan tidak setuju kalau sekolah Yik diserahkan kepada kementerian sebagai SBPK kerana ia bakal memberi kebaikan, menyelesaikan masalah kebajikan guru-guru, gaji dan juga prasarana sekolah.

Tetapi apa yang saya pertikaikan cara 'perundingan' kemasukan surat itu dilakukan dipertikaikan. Saya ketika itu (sebelum dijelaskan) nampak ada semacam rintisan jalan untuk menyerahkan sekolah agama Yik kepada kementerian pendidikan. Dalam hal ini saya mahukan ketelusan, rakyat kena diberi tahu jangan ia berlaku secara senyap. Itu sahaja. (Tetapi tampaknya ia tidak menjadi kenyataan bila mana kerajaan sudah menjawab dalam sidang dewan lalu, bahawa sekolah agama Yik akan diurus sendiri oleh kerajaan).

Seikhlasnya saya sangat setuju kalau sekolah Yik diserahkan kepada kerajaan kerana sebab-sebab dan benefit yang diperolehi tadi. Kita juga rugi selagi dengan kedudukan sekarang kerana gran yang sepatut diterima tidak dapat dirasai. Tetapi dalam pada itu kerajaan kena pastikan yang kerajaan negeri tidak kehilangan hak, kuasa dan sebagainya ke atas sekolah berkenaan. Dalam kata lain kerajaan negeri tetap masih berkuasa ke atas sekolah-sekolah Yik seperti mana sebelum ini.

Kenapa begitu kerana sekolah-sekolah itulah modal dan aset ilmu dan sejarah buat Yik dan kerajaan Pas. Mengapa saya kata begitu kerana sekolah Yik wujud sejak lebih 35 tahun dan kerajaan masing mampu untuk mengurusnya sendiri. Tiba-tiba kalau ia hilang dan ditelan ghaib begitu oleh kerajaan UBN sesuatu yang menyesal dan memalukan. Kerajaan Kelantan juga akan hilang satu mercutanda kehebatannya.

Tegasnya sekiranya keperluan itu - menyerahkan sekolah Yik kepada pihak kementerian masih dapat menyelamatkan maruah kerajaan Kelantan, lakukanlah. Memang guru-guru, sekolah, murid perlu dipertingkatkan kualiti dan persekitaran mengajar dan pembelajarannya. Tanpa bantuan kewangan yang banyak ia melemahkan sekolah-sekolah Yik. Bukankan dunia hari ini pengobar semangatnya ialah wang, pitis, pitis. 

Saya cadangkan kepada Bananajunior Jr dan sekalian guru-guru Yik buatlah memorndum kepada kerajaan mengenai maslaah mereka. Apa hendak ditakutkan, diambil tindakan atau dipecat. Katalah sesuatu yang benar itu walaupun pahit. Saya yakin kerajaan sedia menimbangkannya kerana kerajaan Kelantan hari ini bukan sebuah kerajaan 'kera'. Lakukan. Tidak ada guna menghalakan mucung 'anu' kepada saya tetapi halakan kepada kerajaan istimewannya Yik. Saya apa-apa pun hanya membuka jalan dan perintis harapan saja. [wm.kl.5:58 pm 21/10/13]

Tiada ulasan: