Khamis, 31 Oktober 2013

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Mengapa Mat Sabu perlu kekal Timbalan Presiden??

Posted: 31 Oct 2013 10:21 PM PDT

  • Mohamad SabuMohamad Sabu
 1 / 1 
Lawan Pas ialah Umno. Pas perlu menumbangkan Umno untuk kemajuan politiknya.

Perlu diakui melawan Umno ini bukan satu tugas yang mudah. Ia juga bukan satu tugas yang singkat

Ini memerlukan kekentalan jiwa, ketaatan pada perjuangan dan kekuatan semangat untuk mengharungi segala serangan yang bakal dilemparkan oleh Umno.

Ini termasuk ditahan tanpa bicara, dihina sehingga telanjang, diremeh setiap hari dan difitnah sepanjang masa.

Seseorang ini juga harus kental meneruskan istiqamah dalam perjuangan walaupun terpaksa mengharungi kekecewaan berkali-kali.

Seseorang yang tidak pernah diuji dengan ujian berat sedemikian susah untuk memikul perjuangan onak duri ini.

Antara lima calon Timbalan Presiden Pas yang bakal bertanding kali ini, hanya Abang Mat kita pernah diuji dengan segala macam ujian.

Menjadi orang kedua Pas, yang paling dipentingkan ialah kepimpinan politik dan aura untuk menarik orang bukan Pas untuk bersama dengan Pas melawan batil dan kejahilan yang dibawa Umno.

Perlukah orang kedua Pas mahir dalam selok-belok agama sebagaimana seorang ulama? Bagi saya, tidak perlu kerana Presiden Pas sendiri adalah satu ensiklopedia agama yang boleh dirujuk oleh sesiapa sekiranya ada masalah yang berbangkit mengenai agama.

Selain itu, Abang Mat juga rapat dengan NGO-NGO yang menjadi pemangkin kepada kebangkitan rakyat yang disaksikan di himpunan-himpunan Bersih.

Sebagai seorang aktivis, kegigihan Abang Mat sememangnya disanjung tinggi oleh pelbagai pihak.

Dan aspek yang dibawa Abang Mat ini adalah apa yang diperlukan Pas sehinggalah ia menumbangkan Umno.

Saban hari, semakin ramai menyuruh calon-calon yang kononnya mendapat pencalonan terbanyak untuk masuk pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden Pas.

Jawatan Timbalan Presiden Pas bukanlah satu jawatan main-main berdasarkan populariti seseorang sahaja. Jawatan ini adalah jawatan untuk berkhidmat untuk parti, berkorban untuk parti dan mengembangkan parti ke saluran-saluran pengundi yang tidak berjaya ditembusi parti sebelum ini.

Yang penting dalam pemilihan Timbalan Presiden Pas ialah memilih berdasarkan kebolehan, kemampuan, kebijaksanaan dan juga mereka yang dibenci musuh.

Mereka yang dipopularkan musuh, terutamanya Umno mesti ditolak. Mereka yang hanya popular tanpa pernah diuji juga tidak harus menjadi pilihan.

Fitnah-fitnah khalwat dan isu Syiah yang dilemparkan pada Abang Mat semuanya hanya fitnah kerana tiada bukti yang sahih untuk menyokong dakwaan tersebut.

Ada yang bertanya jika Abang Mat layak, apakah Husam tidak layak diberikan peluang. Manusia berpegang pada janji, Husam pernah berkata tiada sebab untuk melawan Abang Mat. Kalau Husam mungkir janji, beliau pun tidak layak diberi undi.

Bagi Tuan Ibrahim, ramai yang kata beliau mendapat pencalonan tertinggi. Siapa yang boleh sahkan? Ini cumalah psywar media. Tuan Ibrahim seorang yang baik, masih muda dan juga dihormati, tapi masa untuk beliau menjawat jawatan Timbalan Presiden masih awal kerana beliau belum pernah diuji. Lebih-lebih lagi, ada dakwaan mengatakan bahawa beliau terlalu rapat dengan orang bukan Islam dan bukan ahli parti yang menasihatinya tidak seperti  perangai seorang ulama yang biasa.

Walaupun ramai yang mendesaknya bertanding, namun Tuan Ibrahim nampaknya tidak berminat bertanding mungkin kerana beliau sedar kemampuan dan kebijaksanaan politiknya tidak setanding Abang Mat jika beliau bergerak bersendirian. Diharap beliau tidak membuat U-turn walaupun beliau belum membuat keputusan secara rasminya.

Bagi Nik Amar, yang dikatakan ingin bertanding berlawan Abang Mat – dinasihatkan beliau harus faham risiko pada Kelantan dan kedudukan dan imejnya jika beliau ditakdirkan tewas.

Abang Mat pernah tewas dan tidak meninggalkan perjuangan. Bukan semua dapat bertindak sedemikian.

Yang layak bertanding, nak tanding, tandinglah. Artikel ini ditujukan pada perwakilan PAS yang bakal mengundi bukan untuk mereka yang nak bertanding mahupun menarik diri.

Saya menulis kerana saya menyokong Abang Mat dan percaya parti memerlukan Abang Mat daripada 4 calon yang lain buat masa ini. Itu sahaja yang saya boleh buat untuk Abang Mat, walaupun banyak SMS saya padanya tidak berbalas kerana beliau tidak sudi mengenali saya.

PRK N20 Sg Limau : BN tolak Islam - Aishah

Posted: 31 Oct 2013 08:20 PM PDT

Penyanyi Aishah Dakwa BN Tolak Islam
Aishah turut berkempen bagi membantu calon PAS di PRK Sungai Limau.
YAN: Penyanyi Aishah mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) menolak Islam apabila pemimpin parti berkenaan tidak menjadikan ajaran Islam sebagai panduan dalam urusan pentadbiran negara.
Dakwa bekas calon PAS bagi kerusi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan itu lagi, penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran sedia ada membuktikan kepimpinan parti pemerintah mengabaikan tanggungjawab sebagai umat Islam.
"Atas dasar-dasar kemanusiaan pun kau sudah buat salah. Bila kau (kerajaan) menyeleweng duit rakyat, tidak menjalankan amanah, apa-apa agama pun tidak boleh terima.
"Apa sudah jadi kepada Malaysia? Kata (mengaku) orang Islam tapi perlakuan mereka (pemimpin kerajaan) tidak membayangkan keislaman itu," katanya pada forum di Markas Pemuda PAS di Dulang Kecil di sini pada Khamis malam.
Forum penerangan politik sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau itu turut membariskan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Khairuddin Aman Razali sebagai ahli panel.
Aishah hadir di DUN Sungai Limau buat kali kedua sepanjang tempoh berkempen bagi membantu calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat yang berhadapan saingan satu lawan satu menentang wakil BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim pada PRK DUN Sungai Limau yang akan diadakan pada 4 November depan.
Aishah ketika berucap pada forum di Markas Pemuda PAS di Dulang Kecil, Khamis malam.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin yang popular dengan lagu Janji Manis Mu dan Melukut Di Tepi Gantang dinamakan sebagai calon PAS bagi kerusi Parlimen Jempol.
Selain itu menerusi forum itu lagi Aishah sempat menyindir penyokong BN berhubung kenyataannya mengenai Islam.
"Nanti kalau saya cerita (lebih) orang kata saya dah jadi ustazah mee segera. (dalam masa) Dua minit sudah boleh cerita pasal agama," katanya sambil disambut gelak tawa penyokong pembangkang.
Sementara itu mengulas mengenai slogan 'jom kalih' yang digunakan penceramah BN agar masyarakat DUN Sungai Limau berubah daripada kempimpinan PAS, Aishah bagaimanapun menyeru supaya pengundi kekal memilih PAS berdasarkan rekod parti itu yang menegakkan Islam.
Katanya pengundi diingatkan supaya tidak termakan dengan janji kosong kerajaan BN yang menurutnya dibuat semata-mata mahu meraih undi.
"Kita nak kalih (tukar) buat apa? Kita mesti merapatkan saf dan berikan majoriti yang lebih tinggi kepada PAS kerana parti ini sudah tunjukkan teladan.
"Sebaliknya kerajaan hanya tunjukkan 'janji manismu'...saya nyanyi lagu ni sudah lebih 20 tahun, inilah sikap mereka," katanya.

PRK Sg Limau : BN punya 2 calon?

Posted: 31 Oct 2013 05:50 AM PDT



PAS dakwa BN langgar peraturan pilihan raya, guna poster Mukhriz untuk berkempen
 

PAS hari ini mendakwa Barisan Nasional (BN) melanggar peraturan pilihan raya dalam kempen mereka di Sungai Limau apabila menggunakan bahan poster selain calon yang bertanding. 
Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar (gambar) membidas jentera BN yang terdesak sehingga terpaksa memasang poster Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir sebagai gambaran seorang calon pada pilihan raya kecil kali ini.

"Adakah BN menghantar dua orang calon sebab saya tengok ada dua poster calon N20, Dr Sohaimi dan Datuk Mukhriz.

"Kain rentang dan poster yang diletak menunjukkan bahawa seolah-olah adalah Mukhriz," kata Naib Presiden PAS itu yang mempersoalkan corak berkempen sedemikian oleh pemimpin BN.

Ahli Parlimen Pokok Sena tersebut menuduh BN cuba mengelirukan pengundi Sungai Limau apabila meletakkan poster sedemikian.

"Saya tak tahu jika ia bertujuan untuk mengelirukan pengundi.

"Jadi, mereka gunakan populariti Mukhriz," katanya.

Mahfuz kemudiaan mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut, sama ada ia melanggar Akta Peraturan Pilihan Raya ataupun tidak.

"Saya minta SPR berikan penjelasan.

"SPR harus tampil beri kenyataan, salah ataupun tidak," tegas beliau lagi.

PRK Dun Sungai Limau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Razak pada Khamis lepas setelah lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan serius.

Azizan menyandang kerusi DUN itu selama lima penggal dan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, beliau mengalahkan sepupunya, Fazillah Mohd Ali daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti sebanyak 2,774 undi. -TMI

Tembak Pegawai AmBank: Operasi Syarikat Keselamatan Kawalan Prima Sdn Bhd Diharamkan

Posted: 31 Oct 2013 01:38 AM PDT

Oleh LOSHANA K.SHAGAR
KUALA LUMPUR: Semua operasi syarikat penyedia pengawal keselamatan yang menembak mati seorang pegawai bank dalam satu rompakan minggu lalu, diharamkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata syarikat kawalan keselamatan iaitu Kawalan Prima Sdn Bhd, boleh didakwa di mahkamah sekiranya mereka masih menjalankan perkhidmatan kawalan keselamatan berkenaan.
"Pagi tadi (Khamis), setiausaha jabatan keselamatan dan ketenteraman awam telah pergi ke ibu pejabat firma berkenaan dan cawangannya bagi memastikan tiada lagi operasi dijalankan oleh pihak mereka.
"Pihak kementerian mengklasifikasikan sebarang operasi yang dijalankan syarikat itu sebagai haram dan akan mendakwa mereka di mahkamah sekiranya mereka tidak mengendahkan arahan berkenaan," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Khamis.
Ahnad Zahid turut mengesahkan senjata yang digunakan oleh pengawal keselamatan tersebut telah dirampas oleh pihak kementerian dan kenyataan bertulis serta pemberitahuan rasmi akan dimaklumkan kepada pelanggan firma berkenaan.
"Mereka akan dimaklumkan mengenai perkara ini, dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya mereka meneruskan perkhidmatan syarikat kawalan keselamatan tersebut," katanya.
Beliau menambah, syarikat kawalan keselamatan berkenaan telah tiga kali melanggar undang-undang kerana mengambil pekerja warga asing sebagai pengawal keselamatan dengan beberapa orang daripadanya memiliki rekod jenayah.
Dalam kejadian 22 Oktober lalu, seorang pengawal keselamatan menembak mati pegawai Ambank iaitu Norazita Abu Talib, 37, ketika merompak cawangan bank berkenaan dalam kejadian di Jalan USJ 2, Subang Jaya, Selangor.
Pengawal keselamatan itu yang sebenarnya bertugas di bank lain, hadir bertugas di Ambank cawangan tersebut bagi menggantikan orang lain yang tidak datang bekerja.

Zain Saidin & Che Ta bernikah 11/12/13?

Posted: 30 Oct 2013 11:38 PM PDT

Zain dan Rozita akan mengadakan sidang media khas bagi mengumumkan tarikh pernikahan mereka pada bulan hadapan.
PETALING JAYA: Pelakon Zain Saidin menolak desas-desus kononnya dia dan aktres Rozita Che Wan bakal bernikah pada 11 Disember depan mengambil angka 11.12.13.
Zain, 29, berkata, dia dan Rozita akan mengadakan sebuah sidang media khas bagi mengumumkan tarikh pernikahan mereka pada pertengahan bulan hadapan selepas dia kembali dari Amerika Syarikat kerana menjalani penggambaran.
"Saya tidak pernah memberitahu kepada sesiapa untuk bernikah pada tarikh tersebut dan itu hanyalah andaian daripada pihak lain dan bukannya datang dari mulut saya atau pun Rozita.
"Bagaimanapun persoalan itu akan terjawab pada satu sidang media khas untuk mengumumkan perkara itu sekembalinya saya daripada Amerika Syarikat pada pertengahan bulan hadapan," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.
Akhbar melaporkan pasangan itu dipercayai memilih tarikh tersebut kerana ia mempunyai turutan angka yang menarik dan sumber turut mengesahkan mengenai perkara berkenaan.
Dalam pada itu, Zain tidak menafikan tarikh berkenaan istimewa dan menjadi pilihan banyak pasangan pengantin untuk melangsungkan perkahwinan.
Gambar majlis merisik Zain dan Rozita yang diadakan di Carcosa Seri Negara pada 29 September lalu. Foto Ihsan AnnasEaskey Photography.
"Ia adalah tarikh popular dan saya agak bimbang sekiranya kami memilih tarikh itu ia akan bertembung dengan banyak majlis lain yang mungkin akan menimbulkan masalah.
"Apa-apa pun masih belum ada keputusan muktamad mengenai tarikh kahwin kami dan ia akan dijelaskan pada sidang media itu nanti," ujarnya.
Pada 29 September lalu, keluarga Zain merisik Rozita dalam satu majlis tertutup di Carcosa Seri Negara di Kuala Lumpur.
Sementara itu, mengulas mengenai kekasihnya mengadakan sesi bergambar pra-perkahwinan di London baru-baru ini, Zain berkata, dia tidak dapat menyertai Rozita kerana sedang menjalani penggambaran Fear Factor di Cape Town, Afrika Selatan.
"Rozita ke sana bersama ahli keluarga yang lain dan dia ke sana bukan semata-mata untuk mengambil gambar pra-perkahwinan tetapi menguruskan beberapa perkara lain," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zain berkata, dia bakal berangkat ke Amerika pada Jumaat (esok) untuk menjalani penggambaran telefilem Oh! My English.

Tiada ulasan: