Jumaat, 4 Oktober 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Pembaziran Sewa Jet: Najib Digesa Ubah Gaya Hidup

Posted: 04 Oct 2013 12:31 AM PDT


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa menaiki penerbangan kelas pertama Malaysia Airlines System (MAS) bagi tujuan lawatan rasminya ke luar negara.

Ahli Parlimen Taiping (DAP), Nga Kor Ming berkata, Perdana Menteri seharusnya mencontohi rakan sejawatnya, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang menaiki penerbangan Singapore Airlines bagi menjimatkan jutaan ringgit wang rakyat untuk membuat lawatan kerja ke luar negara.

"Kerajaan membelanjakan RM28.8 juta sebagai kos sewa tahunan pesawat Perdana Menteri dan RM5.5 juta untuk menyelenggara pesawat jet VVIP tersebut.

"Selain kos pesawat Perdana Menteri, kerajaan juga menanggung kos RM44.02 juta untuk membiayai kos lawatan luar negara Perdana Menteri sejak 2008," dakwanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, demikian ketika mengulas lanjut jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim terhadap soalan bertulis beliau meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah kos perbelanjaan yang terlibat untuk pembelian atau penyewaan, penyelenggaraan dan pembaikan kapal terbang jet rasmi Perdana Menteri dalam tempoh 2000 hingga tahun ini.

Menurut Shahidan, dalam tempoh tiga tahun dari 2010, kerajaan telah membelanjakan RM86.4 juta untuk kos sewa pesawat, RM16.515 juta untuk penyelenggaraan dan kos pembaikan jet pula sebanyak RM3.32 juta.

"Dengan kata lain, kerajaan menanggung RM100.47 juta untuk pesawat peribadi PM dalam tempoh tiga tahun sahaja," katanya. -SH


[VIDEO] Pakatan Kecam Ketirisan Berulang Tapi Tiada Tindakan

Posted: 03 Oct 2013 08:31 PM PDT


Pakatan Rakyat mencadangkan satu Jawatankuasa Majlis Tindakan diwujudkan bagi memastikan segala ketirisan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara diambil tindakan tegas.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, jawatankuasa itu perlu dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan Ketua Audit Negara.

Ini berikutan setiap kali laporan dibentangkan, masih terdapat ketirisan yang berlaku dan insiden ini tidak pernah diambil tindakan tegas.

"Ia bagi membincangkan bentuk tindakan yang perlu diambil bagi mereka yang didapati menyeleweng.

"Kita lihat laporan audit merekodkan terlalu banyak ketirisan berlaku terutamanya dalam isu-isu pembelian aset sepertimana tahun-tahun lepas. Tapi tidak ada satu pun tindakan tegas diambil walaupun perkara itu dilaporkan," kata Ahli Parlimen Bagan itu pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali melihat isu ketirisan menjadi kelaziman di dalam agensi kerajaan yang dipandang remeh tanpa penguatkuasaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak turut kesal apabila laporan diserahkan pada saat akhir perbahasan agar Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak dapat membahasnya pada sidang kali ini.

"Kita akan perincikan perkara ini dan bahaskan pada sesi Parlimen yang akan datang," katanya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar turut bersetuju dengan cadangan tersebut dan melihat ia langkah terbaik untuk menangani insiden yang selalu berulang.

"Laporan ini menunjukkan ketirisan akibat dari salah guna kuasa dalam urus tadbir kerajaan, sentiasa berulang setiap tahun.

"Ini mengesahkan kerajaan tidak pernah ambil iktibar daripada apa yang berlaku serta tidak memandang berat cadangan Ketua Audit," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Tegas beliau, sepatutnya kerajaan mengenalpasti apakah bentuk mekanisma untuk mengelak perkara yang sama tidak berulang. "Kelemahan ketara kerajaan adalah langsung tidak mengambil perhatian terhadap laporan audit.

"Hanya sekadar memenuhi peraturan undang-undang yang setiap kementerian perlu diaudit, tindakan tiada dan tahun depan benda yang sama diulangi," katanya, lapor Harakah Daily. -KD


Laporan Audit: PR gesa PAC adakan sidang khas


Pakatan Rakyat menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengadakan persidangan khas bagi membincangkan penyelewengan dan ketirisan sepertimana yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di lobi Parlimen berkata perkara ini amat penting dan perlu menjadi keutamaan agar mereka yang terlibat dikenakan tindakan dan tidak berulang lagi.

"Kita dikejutkan dengan Laporan Ketua Audit mengatakan berlaku ketirisan sehingga kehilangan wang rakyat berbilion ringgit, ini bukan satu perkara yang baru dan apa yang kita tahu ia sentiasa berulang setiap tahun.

"Atas sebab itu, Pakatan Rakyat menggesa PAC mengadakan persidangan khas membincangkan perkara ini dan perlu pastikan satu tindakan diambil kepada mereka yang terlibat.

"Saya harap ahli-ahli parlimen dari Pakatan Rakyat yang terlibat dalam PAC dapat mengesa agar persidangan diadakan segera," katanya yang juga Ketua Umum PKR.

Anwar yang kecewa apabila ketirisan ini berlaku ketika rakyat dibelenggu dengan kenaikkan harga barang serta kesempitan hidup.

"Saat rakyat dibelenggu dengan kesempitan hidup akibat barang naik harga, mereka yang berkuasa begitu senang mengambil wang rakyat.

"Perkara ini bukan satu yang boleh dipandang mudah, setiap yang bersalah perlu dikenakan tindakan," sambung beliau lagi.
-HD





Ribuan Penyokong Mursi Berjaya Berhimpun Semula Di Dataran Tahrir

Posted: 03 Oct 2013 05:10 PM PDT


Kaherah - Mesir: Kumpulan penyokong Presiden Mesir yang digulingkan Mohamed Mursi buat pertama kalinya berhimpun di Dataran Tahrir, kelmarin.

Dataran Tahrir yang sebelum ini merupakan kawasan kubu kuat anti Mursi itu dikatakan lengang sejak tentera mengisytiharkan rampasan kuasa pada 3 Julai lalu.

Media melaporkan, pada malam kelmarin, dataran itu dipenuhi ribuan penyokong Mursi sambil melaungkan "turun segera pemerintahan tentera!".

Perhimpunan disertai penyokong Mursi, penduduk tempatan dan penjaja itu juga dikatakan bertempur dengan anggota keselamatan.

Wartawan Al Jazeera di Kaherah berkata, bantahan yang dilakukan di dataran terbabit adalah simbolik penting kerana sebelum ini mereka tidak pernah ke kawasan terbabit.

"Sebelum ini, dataran itu dipenuhi penyokong Tamarod. Kini, kawasan menjadi tumpuan seluruh rakyat Mesir tidak kira penyokong atau pembangkang Mursi. Mereka ke sini bersepakat menolak pemerintahan tentera," katanya.

Perhimpunan itu dilakukan selepas ketua tentera Abdel Fattah el-Sisi mengarahkan kerajaan sementara supaya segera membentuk kerajaan bagi memulihkan kestabilan.


[VIDEO] PRK Sungai Limau 4 Nov, Penamaan Calon 23 Okt

Posted: 03 Oct 2013 06:01 AM PDT


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan bahawa pilihan raya kecil bagi DUN Sungai Limau, Kedah akan diadakan pada 4 November.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 23 Oktober - yang memberi peluang kepada calon untuk berkempen selama 12 hari termasuk pada hari penamaan.

Abdul Aziz mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media hari ini.

Katanya, SPR membuat pertimbangan agar pilihan raya itu diadakan sebelum peperiksaan SPM, pada 6 November, kerana banyak pusat pengundian dan dewan dimiliki sekolah.

"Kita tidak mahu ganggu susunan meja sekolah," katanya lagi yang menambah, anggota Umno memerlukan masa selepas mengadakan pemilihan parti pada 17 Oktober.

SPR juga mempertimbangkan keperluan penganut agama yang menyambut Deepavali pada 2 November dan Awal Muharram pada 5 November.

Keperluan PAS untuk mengadakan muktamar pada 17 November juga diambil kira, katanya lagi.

Ketika ditanya, Abdul Aziz menafikan bahawa SPR mengambil kira tarikh untuk perdana menteri membentangkan Belanjawan 2013 di parlimen.

Pilihan raya kecil kali ini tidak melibatkan pemilihan awal kerana tiada pengundi polis atau tentera didaftarkan di situ.

Pengundi pos bagi petugas media dan warga Malaysia di luar negara untuk kawasan tersebut boleh mula mendaftar hari ini.

Pegawai daerah Abdul Rashid Othman dilantik sebagai pegawai pengurus pilihan raya, dan borang pencalonan akan mula dijual pada 10 Oktober.

Penyandang kerusi tersebut, bekas menteri besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 September lalu akibat masalah kesihatan.

Menurut Abdul Aziz, seramai 27,222 individu layak mengundi dalam pilihan ray akecil tersebut, yang terdiri dari 93 peratus Melayu, tujuh peratus Cina dan hanya 57 orang pengundi dari kaum minoriti lain.

SPR akan menggembleng kekuatan seramai 492 orang untuk mengadakan pilihan raya tersebut, yang dijangka melibatkan kos lebih RM1.3 juta.

Sementara itu, Bernama melaporkan Abdul Aziz berkata, bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, beliau berkata SPR juga bersetuju untuk menubuhkan tiga Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

Sementara itu, beliau berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi bahagian pilihan raya berkenaan akan mula dijual pada 10 Oktober.

Beliau berkata para pengundi dalam bahagian pilihan raya berkenaan boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi melalui laman sesawang SPR, www.spr.gov.my dan melalui SMS dengan menaip SPR SEMAK No Kad Pengenalan dan hantar kepada 15888 mulai 10 Okt ini.

"Para Pengundi boleh menelefon Ibupejabat SPR di Putrajaya 03-88856565 dan Pejabat Pilihan Raya Negeri Kedah 04-700 1313," katanya.

Bagi maksud permohonan undi pos pada pilihan raya kecil ini, Abdul Aziz berkata warganegara Malaysia yang berada di luar negara, pegawai dan petugas pilihan raya serta petugas media boleh membuat permohonan undi pos mulai 3 Oktober dengan memuat turun borang permohonan dari lamanweb SPR.

"Tarikh tutup permohonan undi pos bagi warganegara Malaysia di luar negara ialah pada Hari Penamaan Calon.

"Bagi petugas pilihan raya dan petugas media, tarikh tutup permohonan undi pos ialah dua hari selepas Hari Penamaan Calon," katanya.

Mengenai penggunaan dakwat kekal, Abdul Aziz berkata jenis dakwat dan cara penggunaan adalah sama seperti dalam pilihan raya kecil Kuala Besut.

"Pengalaman penggunaan dakwat kekal di sana begitu baik dan kita tidak menerima sebarang aduan. Jadi cara dan dakwat yang sama akan digunakan pada pilihan raya kecil itu nanti," katanya. -mk


Tiada ulasan: