Jumaat, 4 Oktober 2013

GoMalaysian

GoMalaysian


Calon PAS Sg Limau diumum 22 Oktober

Posted: 04 Oct 2013 06:09 PM PDT

KUALA LUMPUR: PAS Kedah akan mengumumkan nama calon parti mereka yang akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, pada 22 Oktober ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar memberitahu Astro AWANI, pihaknya akan memutuskan nama calon yang layak selepas dipersetujui oleh parti.

Mahfuz berkata, PAS Kedah telah mengarahkan PAS kawasan Jerai untuk menyerahkan nama-nama calon yang difikirkan layak bertanding di DUN Sungai Limau.

"Seperti biasa, kita (PAS) akan menyerahkan kepada PAS kawasan dan cawangan untuk menyerahkan nama calon-calon yang difikirkan layak.

"Mereka (kawasan dan cawangan) lebih memahami kehendak masyarakat setempat jadi lebih baik kalau kita serahkan nama kepada PAS negeri.

"Kita akan pertimbangkan nama-nama yang diserahkan sebelum mengumumkan selepas dipersetujui," katanya kepada Astro AWANI.

Namun katanya tarikh pengumuman calon mungkin boleh diubah kepada tarikh yang lebih awal jika dirasakan sesuai.

Mengulas kriteria calon yang bakal dipilih, Mahfuz berkata perwatakan seperti Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak menjadi pilihan kerana ia lebih diterima pengundi DUN Sungai L:imau.

"Kerana kekuatan Allahyarham sebelum ini maka kerusi tersebut menjadi antara kubu kuat PAS di Kedah jadi kita tidak boleh tolak kriteria calon seperti itu dimahukan pengundi di DUN tersebut," katanya.

Mahfuz juga menegaskan jentera PAS Kedah sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil pertama negeri itu dan akan memastikan kerusi tersebut kekal milik PAS.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof pada Khamis mengumumkan tarikh PRK DUN Sungai Limau pada 4 Nov manakala hari penamaan calon ditetapkan 23 Oktober ini.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

Tiada ulasan: