Khamis, 3 Oktober 2013

GoMalaysian

GoMalaysian


Tarikh PRK Sungai Limau ditetapkan pada 4 November

Posted: 02 Oct 2013 11:40 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau akan diadakan pada 4 Nov manakala hari penamaan calon ditetapkan 23 Okt.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata daftar pemilih itu mengandungi 27,222 pemilih berdaftar dan dua pengundi tidak hadir luar negara.

"Untuk pilihan raya kecil Sungai Limau, tidak ada pengundi-pengundi dalam kategori pengundi awal iaitu anggota tentera dan polis dalam senarai Daftar Pemilih," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPR di sini, hari ini.

Katanya, daftar pemilih yang akan digunakan untuk pilihan raya kecil ini ialah Daftar Pemilih Induk 2012 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar-Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2013 dan Suku Tahun Kedua 2013 yang dikemas kini sehingga 26 Sept lepas.

Sebelum itu, Abdul Aziz mempengerusikan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Sungai Limau.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

Azizan meninggal dunia pada 11.05 pagi Khamis lepas di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas hampir lima bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), pada 5 Mei lepas, Azizan mengekalkan DUN Sungai Limau selepas menang dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru termasuk sepupu beliau, Mohd Fazillah Mohd Ali yang mewakili Barisan Nasional.

Ini merupakan pilihan raya kecil kedua selepas PRU-13 dengan yang pertama pilihan raya kecil DUN Kuala Besut diadakan pada 24 Julai lepas.

Abdul Aziz berkata bagi menjalankan pilihan raya kecil DUN Sungai Limau, sebanyak 17 Pusat Mengundi akan dibuka untuk tujuan pengundian yang mengandungi 58 Saluran Tempat Mengundi.

Beliau berkata seramai 492 petugas pilihan raya akan dilantik untuk pengendalian proses pilihan raya ini.
"Anggaran kos perbelanjaan bagi menjalankan pilihan raya kecil ini adalah sebanyak RM1,336,987," katanya.

Abdul Aziz berkata SPR yang bermesyuarat hari ini bersetuju untuk melantik Pegawai Daerah Yan sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan tiga orang Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan pilihan raya kecil berkenaan.

Bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, beliau berkata SPR juga bersetuju untuk menubuhkan tiga Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

Sementara itu, beliau berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi bahagian pilihan raya berkenaan akan mula dijual pada 10 Okt.

Beliau berkata para pengundi dalam bahagian pilihan raya berkenaan boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi melalui laman sesawang SPR, www.spr.gov <http://www.spr.gov>. my dan melalui SMS dengan menaip SPR <jarak> SEMAK <jarak> No Kad Pengenalan dan hantar kepada 15888 mulai 10 Okt ini.

"Para Pengundi boleh menelefon Ibu Pejabat SPR di Putrajaya 03-88856565 dan Pejabat Pilihan Raya Negeri Kedah 04-700 1313," katanya.

Bagi maksud permohonan undi pos pada pilihan raya kecil ini, Abdul Aziz berkata warganegara Malaysia yang berada di luar negara, pegawai dan petugas pilihan raya serta petugas media boleh membuat permohonan undi pos mulai 3 Okt dengan memuat turun borang permohonan dari laman sesawang SPR.

"Tarikh tutup permohonan undi pos bagi warganegara Malaysia di luar negara ialah pada Hari Penamaan Calon.

"Bagi petugas pilihan raya dan petugas media, tarikh tutup permohonan undi pos ialah dua hari selepas Hari Penamaan Calon," katanya.

Mengenai penggunaan dakwat kekal, Abdul Aziz berkata jenis dakwat dan cara penggunaan adalah sama seperti pada pilihan raya kecil Kuala Besut.

"Pengalaman penggunaan dakwat kekal di sana begitu baik dan kita tidak menerima sebarang aduan. Jadi cara dan dakwat yang sama akan digunakan pada pilihan raya kecil itu nanti," katanya.

Tiada ulasan: