Rabu, 9 Oktober 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Anwar gesa SPRM siasat Shabery isu K-Pop

Posted: 09 Oct 2013 03:52 AM PDT

 


 

Pihak berkuasa perlu menyiasat bekas menteri belia dan sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung bil kementerian berjumlah RM67.6 juta untuk sambutan Hari Belia pada 2012, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NONEMenurut Laporan Audit Negara, kementerian itu membelanjakan lebih empat kali ganda berbanding apa yang diperuntukan untuk acara itu, termasuk RM1.6 juta untuk menjemput kumpulan daripada Korea, K-Pop.

Anwar berkata perkara itu amat memeranjatkan kerana didakwa menyalahgunakan kuasa dan pembaziran dana awam, sehubungan itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) digesa menyiasat pemimpin itu.

Ketua pembangkang berkata ia merupakan satu keputusan politik dan pemimpin politik perlu bertanggungjawab dengan tindakan pembaziran dana awam dan tidak seharusnya menyalahkan kakitangan awam sahaja.

"Saya menggesa SPRM untuk mengambil tindakan serta merta untuk menghukum 'jerung' dan tidak hanya menghukum 'ikan bilis'" katanya.

Lebih 240 ketua rumah panjang pro-SPDP dipecat?

Posted: 09 Oct 2013 03:24 AM PDT

 


 

Sejumlah tuai rumah (ketua rumah panjang) dan ketua kampung di kawasan Parlimen Baram mengadu bahawa lebih 240 daripada mereka telah diberi surat menyatakan bahawa pelantikan mereka telah tamat.

Surat kepada pemimpin masyarakat berkenaan - ramai daripadanya bukan hanya dilantik secara tradisional sebagai ketua tetapi juga telah berkhidmat di rumah panjang dan kampung masing-masing sejak 20 tahun lalu - dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Marudi.

Mereka berkata surat itu ditandatangani oleh Joseph Belayong, bekas pegawai daerah Marudi yang telah berpindah ke Kementerian Pembangunan Tanah Sarawak.

Surat itu yang dikeluarkan tidak lama selepas pilihan raya parlimen 5 Mei lalu, telah mencetuskan kepercayaan meluas bahawa ketua rumah panjang dan ketua kampung terbabit, telah "dihukum".

NONEIa kerana mereka menjadi penyokong Parti Demokratik Progresif
Sarawak (SPDP) dan menyokong calon pembangkang Roland Engan, atau kerana menentang cadangan pembinaan empangan Baram.

Lebih 40 daripada mereka adalah dari kawasan pilihan raya negeri Marudi, manakala kira-kira 200 yang lain adalah dari kawasan pilihan raya negeri Telang Usan .

Beberapa ketua rumah panjang yang dihubungi Malaysiakini berkata, penamatan semua pelantikan mereka pada masa yang hampir sama, akan mengganggu pentadbiran rumah panjang dan kampung-kampung serta menjejaskan kepentingan dan kebajikan penduduk rumah panjang, yang memerlukan perkhidmatan tuai rumah tuai mereka.

Diam bukan pilihan, kata editor pada wartawan

Posted: 09 Oct 2013 03:22 AM PDT


MALAYSIA KINI
 
 
 
Ugutan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menutup akhbar yang dibuatnya dalam majlis di Melaka Sabtu lalu turut mendapat perhatian pengamal media tradisional.

Sehari selepas kumpulan pengarang akhbar Cina menuntut penarikan balik kenyataan, pengarang veteran TheSun R Nadeswaran pula merakam kritikan dalam kolumnya hari ini.

NONEDikenali sebagai pengarang yang lantang, Nadeswaran dalam kolumnya "Citizen Nades" berkata, Zahid "tidak banyak menghormati undang-undang" dan "bersikap acuh tidak acuh terhadap akal budi".

Dalam kolum bertajuk 'The foot is in the mouth... again', Nadeswaran berkata, berdiam diri bukan lagi pilihan untuk wartawan dan beliau sedar sepenuhnya kesan yang mungkin terjadi hasil penulisannya itu.

"Saya menulis artikel ini dengan sepenuhnya sedar akibatnya.

"Saya cukup tahu tentang rakan wartawan yang ditahan untuk perlindungan dirinya sendiri," katanya, merujuk kepada penahanan wartawan Sin Chew Daily pada 2008 bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bawah menteri ketika itu Syed Hamid Syed Albar.

"Diam bukan lagi pilihan untuk mereka yang mengaku diri sendiri sebagai wartawan. Untuk maruah dan harga diri, kita harus berdiri dan bersuara kepada pihak yang bertindak sewenang-wenangnya terhadap kita," kata Nadeswaran.

Isu K-Pop: Shabery mahu jumpa PAC

Posted: 09 Oct 2013 03:18 AM PDT


MALAYSIA KINI


 
 
Bekas menteri belia dan sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini bersikap terbuka terhadap kontroversi bayaran persembahan K-Pop RM1.6 juta dalam acara Hari Belia Negara di Putrajaya tahun lalu.

NONEMalah, beliau telah memohon kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) untuk memanggilnya memberi penjelasan berhubung perkara itu.

"Saya akan memohon kepada pihak parlimen untuk membenarkan prosiding penjelasan saya di PAC dibuat secara terbuka dan disiarkan secara langsung melalui kaca TV," katanya melalui SMS kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas gesaan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasatnya dan penjelasan ketua audit negara bahawa perbelanjaan itu ditanggung kerajaan, berbeza dengan kenyataannya sebelum ini.

ACCCIM: Ali Rustam kan tewas kawasan Melayu?

Posted: 09 Oct 2013 03:16 AM PDT


MALAYSIA KINI



 

Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) menggesa bekas menteri besar Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyalahkan orang Cina ekoran kekalahannya dalam pilihan raya umum lalu.

Presidennya Datuk Lim Kok Cheong berkata, Parlimen Bukit Katil, di mana Mohd Ali ditewaskan Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, merupakan kawasan majoriti Melayu.

NONE"Pengundi Cina tidak harus dipersalahkan ekoran kekalahannya, kerana beliau bertanding di kawasan majoriti Melayu," kata Lim.

Beliau mengingatkan Mohd Ali (kanan) bahawa pengundi Cina menyokong BN pada 1995, 1999 dan 2004 tetapi beralih arah daripada BN ekoran "kenyataan negatif yang sering dikeluarkan oleh beberapa kumpulan ultra kanan" dalam Umno.

Bukit Katil mempunyai 99,438 pemilih berdaftar dengan 53 peratus Melayu, diikuti Cina (41 peratus) dan India (6 peratus). Shamsul menang dengan majoriti 5,447 undi.

Lim mengulas ucapan Mohd Ali yang dilapor dalam forum anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) di Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Kerusi Naib Presiden Umno Kini Semakin Panas

Posted: 09 Oct 2013 03:14 AM PDT

Oleh JOCELINE TAN 


DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein semakin giat berkempen untuk mempertahankan kedudukan beliau sebagai naib presiden Umno.

Beliau dikatakan telah mengambil cuti daripada menjalankan tugas-tugas di kementerian untuk memberi tumpuan terhadap kempen.

Pada hari Ahad lalu beliau meluangkan masa sehari suntuk di Perak untuk bertemu dengan perwakilan-perwakilan dari utara hingga ke selatan negeri itu.

Menteri Pertahanan itu sedang bergelut dalam persaingan yang melibatkan enam calon bagi tiga kerusi naib presiden.

Beliau bersungguh-sungguh cuba meyakinkan khalayak tentang sebab-sebab mengapa mereka patut menyokong beliau dan malah mengingatkan mereka bahawa beliaulah yang telah mempengerusikan jawatankuasa yang menghasilkan sistem pemilihan baru dalam parti itu.

Kempen beliau amat berbeza dengan kempen Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Di mana saja Zahid pergi, para penyokong Umno memberitahunya bahawa mereka mahukan beliau terus kekal sebagai naib presiden.

Sedangkan Hishamuddin berhempas-pulas untuk meyakinkan perwakilan bahawa mereka masih memerlukannya.

Beliau bagaimanapun dikatakan mendapat sokongan di Perak yang Menteri Besarnya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah memberi sokongan kepada tiga penyandang, termasuk Zahid dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Sokongan Perak terhadap para penyandang jawatan naib presiden dikatakan berasas pada dakwaan bahawa ada arahan dari pucuk pimpinan tertinggi parti untuk mengekalkan status quo di peringkat kerusi naib presiden. Dakwaan ini telah dinafikan kebenarannya.

Satu sumber yang dekat dengan Datuk Seri Najib Razak mengatakan bahawa "tidak benar sama sekali" presiden telah melebihkan sokongan terhadap mana-mana calon naib presiden, termasuk Hishammuddin yang merupakan sepupu beliau.

Menurut sumber berkenaan, presiden enggan terlibat kerana beliau komited untuk membiarkan perwakilan memilih secara bebas siapa yang mereka mahukan sebagai naib presiden mereka.

"Parti ini perlu diberi nafas baru. Jika siapa yang patut dipilih telah ditentukan, akan terbatallah tujuan diadakan proses pemilihan yang baru ini dan ia bertentangan dengan transformasi politik Umno," ujar sumber tersebut.

Selain itu, dikatakan bahawa seorang lagi pencabar, Datuk Mukhriz Mahathir, tidak akan ikut serta dalam persaingan jika tidak kerana mendapat restu daripada Najib.

Ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengatakan calon perlu berkempen dengan bersandarkan pada kekuatan mereka sendiri dan bukannya menggunakan nama presiden.

"Saya tidak tahu siapa yang memulakan khabar angin ini dengan pergi ke seluruh negara memberitahu orang bahawa presiden mahu orang ini atau orang itu. Mereka perlu menghentikan tindakan tersebut dengan segera," kata Syed Ali.

Hishammuddin juga telah mengeluarkan kenyataan menafikan adanya sebarang arahan daripada kepimpinan parti untuk mengekalkan tiga penyandang naib presiden.

Buat seketika, cerita status quo itu begitu dipercayai sehinggakan Dr Zambry telah merancang untuk mengadakan sidang akhbar bersama ketiga-tiga penyandang naib presiden di kediaman rasmi beliau pada 10 Oktober untuk mengisytiharkan sokongan terhadap mereka. Difahami bahawa acara itu telah dibatalkan.

Pembatalan itu sememangnya sesuatu yang wajar kerana tidak semua penyokong di Perak merasa selesa dengan hal berkenaan. Mereka tidak kisah jika sokongan terbuka diberikan kepada Zahid yang berasal dari Perak, namun untuk dua kerusi lagi mereka merasa perlu diberi kebebasan untuk memilih.

Pada Sabtu malam, Sultan Pahang telah mengadakan makan malam besar-besaran untuk pemimpin-pemimpin Umno bahagian dan cawangan dari Pahang. Ada yang mengatakan bahawa makan malam itu untuk meraikan kejayaan Najib mempertahankan kerusi presiden tanpa ditentang.

Tetapi Najib tidak berada dalam majlis itu dan beberapa hadirin mengatakan yang makan malam itu adalah untuk Tuanku bertemu dengan rakyat baginda.

Seorang ketua bahagian yang hadir dalam majlis itu mengatakan bahawa Tuanku telah menyampaikan titah ucapan selepas makan malam untuk mengucapkan tahniah kepada Najib dan bertitah bahawa Pahang berbangga dengan beliau.

"Tuanku bertitah tentang kesatuan Melayu. Baginda mengingatkan kita bahawa Umno dilahirkan di istana dan menjadi tugas baginda untuk mengambil tahu apa yang berlaku dalam dunia politik. Tuanku juga menyarankan agar perwakilan Pahang memberikan salah satu kerusi naib presiden kepada Hisham," kata ketua bahagian berkenaan.

Sokongan daripada istana Pahang ini tidak mengejutkan kerana isteri Hishammuddin adalah kerabat diraja Pahang. Menarik untuk dilihat berapa banyak daripada 14 bahagian Umno di Pahang akan memberikan sokongan terhadap Hishammuddin.

Sukar untuk menyalahkan Hishammuddin apabila beliau melakukan segala yang mampu dilakukannya untuk memenangi jawatan naib presiden, kerana pemegang jawatan itu juga akan dilantik ke dalam kabinet.

Lebih jauh daripada itu, jika menang, beliau akan kekal sebagai salah seorang bakal pencabar untuk jawatan Perdana Menteri di masa depan. Jika kalah, beliau mungkin akan menjadi backbencher Barisan Nasional.
Hishammuddin berdepan dengan tiga dilema. Di satu peringkat, beliau sedang dibandingkan dengan Zahid yang telah mengambil alih portfolio beliau sebagai Menteri Dalam Negeri.

Ketegasan Zahid dalam soal jenayah dan keselamatan amat berbeza dengan menteri sebelum beliau. Pendekatan beliau disukai oleh banyak pihak dan sebahagian anggota Umno menyebut beliau sebagai "Sheriff".

Di peringkat lain, Hishammuddin sedang cuba untuk merebut slot "anak PM". Hishammuddin dan Mukhriz adalah anak bekas perdana menteri dan bagi kebanyakan pihak hanya boleh ada seorang "anak PM" di kalangan naib presiden – sama ada Hishammuddin atau Mukhriz.

Di satu lagi peringkat, Hishammuddin berdepan dengan Shafie. Para perwakilan telah memutuskan bahawa undi terhadap Zahid adalah "wajib" dan dengan itu mereka perlu mengorbankan sama ada Hishammuddin atau Shafie untuk menaikkan muka baru.

Dari segi itu, siapa saja yang menyebarkan cerita status quo berkenaan telah tersalah menilai sentimen di bawah. Agak jelas dari awal lagi bahawa parti itu tidak berminat untuk memberi sokongan kepada semua penyandang secara borong. Setiap seorang daripada mereka dinilai berasaskan merit mereka sendiri.

Tetapi hanya segelintir yang menjangkakan gelombang sokongan yang besar terhadap Mukhriz. Jika dilihat pada respons perwakilan-perwakilan dalam jelajah Umno, Mukhriz telah menang dalam persaingan untuk meraih "sorak".

Satu-satunya cara untuk menjelaskan sokongan yang diterima Mukhriz ialah bahawa beliau merupakan salah seorang anggota pasukan yang telah menawan semula Kedah. Kemenangan di Kedah adalah kejayaan terbesar Umno dalam pilihan raya umum yang lalu. Sejak itu, langkah Menteri Besar Kedah yang mempunyai "bin" yang masyhur itu serba menjadi.

Jelajah kempen pemilihan Umno akan melalui beberapa buah negeri lagi, namun sukar untuk disangkal bahawa akar umbi Umno mahu melihat sekurang-kurangnya satu wajah baru di kalangan naib presiden parti itu.

Harga Rumah 2013 Naik Melonjak VS Harga Rumah Turun 20% 2015. Berita Baik?

Posted: 09 Oct 2013 03:11 AM PDT


Harga Rumah Lembah Klang


Sebelum anda meneliti laporan Berita Semasa kali, kami ingin mengajak anda melihat kajian perbandingan harga rumah di Malaysia VS trend pendapatan rakyat Malaysia selama ini (KLIK SINI). Sudah? Ok. Berita Semasa baru sahaja meneliti laporan kajian daripada kalangan penganalisis termasuklah daripada CIMB yang mula meramalkan harga rumah turun sekitar 20% pada tahun 2015. Harga rumah turun?

Realiti hari kalangan pemodal dan pemaju hartanah di Malaysia tidak lagi berminat mendapatkan keuntungan sekitar 60-80% semata. Malah lebih daripada itu. Kebiasannya antara margin keuntungan yang diharapkan kalangan pemain dan pemaju hartanah di Malaysia adalah sekitar 100% sehingga 150% (SEPERTI YANG MEREKA BUAT DI SINI)
  • Memang untunglah pemaju.
  • Yang terkena & mangsa permainan mereka adalah rakyat Malaysia adalah anda, anda dan kita semua rakyat Malaysia
Persoalannya pernahkah selama ini harga rumah turun mendadak sehingga 20%-30% di Malaysia melibatkan kawasan tumpuan?

Harga Rumah Turun 20% 2015 : Kajian Penganalisis CIMB VS Kapitalis REDHA?

Harga Rumah Turun

Adakah jangkaan harga rumah turun seperti perniagaan minyak petrol di Malaysia? Awal pagi menafikan kemungkinan harga minyak petrol naik, pada lewat petangnya sudah terbitnya pengumuman harga minyak naik. Semudah itu?

Tetapi harga rumah di Malaysia cukup unik. Selagi REDHA berkuasa di Malaysia tidak akan sama sekali, mereka akan membiarkan perkara seumpama begini terjadi. Lihat apa yang kapitalis REDHA bercakap mengenai trend harga rumah di Malaysia

Harga Rumah Rurun REDHA

Nampak? Berdasarkan antara alasan & kenyataan REDHA mengenai kenaiakn harga rumah :
Disebabkan anda, anda memilih kawasan hartanah komuniti berpagar menyebabkan harga rumah naik lebih tinggi sehingga 30% – 50%

Harga Rumah Turun : Harga Rumah Rakyat Malaysia VS Harga Rumah Warga Asing?

Apa yang boleh Berita Semasa katakan di sini, jangkaan kenaikan harga rumah sedikiti perlahan tetap ada tetapi banyak yang melibatkan harag rumah RM500,000 ke atas yang mana harga rumah di bawah RM500,000 ke bawah masih tetap mempunyai perminataan yang tinggi.
"Kos tanah naik, kos barang-barang binaan naik. Mana mungkin REDHA boleh membiarkan harga rumah turun boleh terjadi?"
Yang untung tetap kalangan expat dan orang asing, berjaya membolot seberapa banyak hartanah bernilai Rm500,000 ke atas tanpa was-was. Sepertimana yang berlaku di Iskandar Malaysia Johor sekarang ini. Kalangan rakyat Singapore telah mula berkampung dan membanjiri negeri Johor

Kita boleh lihat sendiri, tidak kira apa sahaja kawasan apa akan ada permintaan dan kenaikan harga. Contohnya, Rawang yang dahulu bukan main banyak iklan rumah lelong pun sekarang ini sudah menampakkan pasaran harga rumah di sana telah mula naik sejak ada Jusco Anggun. 

Jadi, Berita Semasa hanya akan percaya harga rumah bakal turun apabila taikun hartanah daripada REDHA buat kenyataan rasmi berbunyi begini :
"Hanya tempat-tempat terpilih bakal menjunam"
Maka itu, barulah Berita Semasa boleh percaya. Ini kerana, selama ini merekalah mengawal pasaran hartanah di Malaysia. Kenyataan daripada CIMB belum "cukup kuat" untuk memberikan jaminan harga rumah turun pada masa akan datang. 

Apa kata anda?

Anwar gesa SPRM tidak hanya heret “kambing hitam” ke muka pengadilan

Posted: 09 Oct 2013 02:57 AM PDT

OLEH MD IZWAN

















Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak hanya mengheret "kambing hitam" ke muka pengadilan, susulan ketirisan yang didedahkan dalam laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

Anwar berkata, SPRM perlu menjalankan siasatan menyeluruh kerana pembaziran dan penyelewengan yang sentiasa berulang setiap kali laporan tersebut dibentangkan.

"PKR menggesa SPRM menjalankan siasatan menyeluruh ke atas semua kes penyelewengan dan pembaziran ini, dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.

 "PKR juga mengharapkan kerajaan pusat satu hari nanti akan mengubah budaya mereka yang didapati merancang pembaziran dan penyelewengan wang rakyat akan dihukum, dan bukan sahaja 'kambing hitam' yang dijadikan teladan," kata Ketua Umum PKR itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Anwar membidas Putrajaya yang disifatkannya sebagai tidak mempunyai kesungguhan untuk memastikan masalah ketirisan dan pembaziran ini daripada berulang.

"PKR mengamati satu perkembangan yang cukup jelas dan membimbangkan, iaitu sikap tidak kisah yang berterusan dalam membelanjakan dana kerajaan oleh kementerian dengan sebegini rupa, dan tiada langsung kesungguhan politik untuk menghukum pesalah berulang," katanya.

Beliau berkata, kedegilan kerajaan untuk menangani pembaziran dalam pentadbiran adalah sesuatu yang membimbangkan ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak diberi amaran oleh badan antarabangsa.

"Kerajaan pusat tidak patut membenarkan penyelewengan kewangan seperti ini berterusan, lebih-lebih lagi tatkala Malaysia diberi amaran oleh badan-badan antarabangsa bahawa ia berbelanja secara berlebihan dan tiada langkah kukuh untuk menangani ketirisan dan pembaziran," katanya.

Agensi penarafan kredit, Fitch Ratings pada Ogos lalu meletakkan unjuran penarafan kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif, serta mempersoalkan langkah kerajaan yang mengabaikan reformasi kewangan terutamanya selepas berakhir pilihan raya baru-baru ini.

Anwar berkata, pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan petugasnya dalam menyediakan laporan tersebut adalah suatu malapetaka untuk negara.

"Ianya bagaikan dejavu, satu igauan tidak henti-henti.

"Laporan ini terus membuktikan pentadbiran kewangan dan aset kerajaan pusat yang teruk, pengurusan dan penyeliaan projek kerajaan lemah, penyelewengan kewangan yang berterusan," katanya.

Antara pembaziran dan ketirisan yang mendapat perhatian Anwar adalah projek menambah Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu; projek mewujudkan Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; projek pembentungan negara; dan kelewatan mengutip cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Selepas pendedahan laporan Ketua Audit Negara tersebut, SPRM mengumumkan pihaknya akan mengadakan siasatan ke atas jabatan kerajaan yang terlibat dalam ketirisan dan pembaziran.

Selain itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), bersama jawatankuasa di bawah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa juga akan membuat siasatan ke atas laporan tersebut.

Anwar turut menyelar kerajaan juga harus bersikap adil dan perlu berjimat, bukan hanya menyuruh rakyat berjimat tetapi mereka tidak pula mengambil inisiatif sama untuk melakukannya.

"PKR mengulangi pendirian bahawa penyelewengan wang rakyat dan budaya pembaziran yang kita saksikan sekarang dalam pentadbiran negara wajib dihentikan," katanya.

Sesuai jadi pemimpin Umno tapi kurang sesuai sebagai pemimpin kerajaan

Posted: 09 Oct 2013 02:52 AM PDT


Oleh Shahbudin Husin


Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis tertutup di Melaka berkaitan jenayah dan keselamatan baru-baru ini, terus mengundang pertikaian banyak pihak.

Rakaman ucapan beliau yang didedahkan oleh sebuah portal berita itu bukan saja dikecam oleh part-parti pembangkang tetapi juga oleh parti komponan Barisan Nasional (BN) sendiri.

Selain Gerakan yang sudah menyatakan rasa kurang senang dengan kenyataan Zahid itu, dipercayai beberapa parti lain juga dijangka akan berbuat demikian. Rakyat biasa juga turut terganggu dengan ucapan Zahid itu kerana ia dilihat berlebih-lebihan dan hanya ingin memancing perhatian perwakilan Umno saja.

Ucapannya berkaitan tindakan menembak penjenayah dan kumpulan Tiga Line, nyata paling tidak disenangi oleh banyak pihak.

Walaupun majlis di Melaka itu dikatakan berkaitan taklimat mengenai keselamatan tetapi ia seperti acara kempen menjelang pemilihan Umno yang sedang dilakukan Zahid bersama beberapa calon Majlis Tertinggi (MT) yang turut bertanding.

Dipercayai majoriti yang hadir juga adalah terdiri daripada para perwakilan Umno negeri Melaka yang mempunyai undi dalam menentukan kepimpinan Umno pemilihan 19 Oktober ini.

Walaupun ia merupakan majlis tertutup dan merupakan acara kempen Umno, harus diakui bahawa Zahid yang sedang mempertahankan jawatan Naib Presidennya, adalah juga seorang menteri dalam kerajaan BN yang memegang jawatan Menteri Dalam Negeri. Kerajaan BN adalah kerajaan campuran pelbagai parti di mana di dalamnya ada Umno, MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya.

Persoalan yang timbul, apa perlunya Zahid sebagai seorang yang sudah lama bersama Umno, masih perlu mengeluarkan kenyataan-kenyataan berunsur perkauman dan menyingggung kaum lain?

Tidak bolehkah kalau berkempen untuk mempertahankan jawatannya, beliau sekadar bercakap mengenai visi dan misinya dalam perjuangan Umno dan tidak terlalu menunjuk-nunjuk sikap perkauman serta keghairahan terhadap kuasa yang dimiliki sebagai seorang menteri?

Kenapa perlu menceritakan semua maklumat mengenai penjenayah beserta dengan fakta dan angka-angkanya sekali kepada perwakilan Umno? Adakah itu yang mahu didengar oleh perwakilan Umno?
Apakah juga kalau tidak menunjukkan sikap perkauman dan menyerang kaum lain, Zahid akan kalah dalam pemilihan kali ini?

Inilah antara persoalan-persoalan yang membingungkan ramai orang.

Meskipun diakui bahawa persaingan jawatan Naib Presiden kali ini agak sengit berikutan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi, tetapi Zahid seharusnya lebih bertanggungjawab dalam kempennya.

Beliau tidak seharusnya bermain dengan api perkauman dan membangkitkan sentimen tersebut untuk memberitahu beliau satu-satunya pejuang Melayu dalam dalam Umno, kalau pun terlalu ingin menang dalam pemilihan ini.

Dengan membangkitkan sentimen perkauman dalam gerakan kempennya, Zahid bukan saja membakar api perkauman dalam diri setiap orang yang mendengar ucapannya, tetapi beliau juga sebenarnya sedang menyusahkan kerajaan yang dipimpin oleh Najib Razak dalam memenangi hati pelbagai kaum menjelang pilihanraya akan datang. Sejak mengambil alih kerajaan, Najib telah berusaha dengan pelbagai cara untuk mendekatkan pengundi Cina dan India kepada BN dan kerajaan tetapi nampaknya Zahid telah merosakkannya.

Walaupun usaha itu agak tidak berjaya dan keputusan PRU13 lalu menunjukkan sokongan yang minima diberikan oleh kedua-dua kaum itu terhadap kerajaan, namun usaha tidak harus dihentikan. Ia mesti diteruskan.

Kerajaan akan terus menjadi tidak stabil jika tidak mendapat sokongan semua kaum. Sepatutnya dalam usaha mencapai keputusan yang lebih baik dalam PRU14 nanti, pemimpin kerajaan harus merapatkan lagi jurang perkauman yang wujud sekarang dan bukannya menjarakkan lagi.

Zahid yang sebelum ini pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan tetapi tidak begitu menonjol di kedua-dua kementerian itu, kini merasakan jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri merupakan portfolio yang sesuai dengannya. Hampir setiap hari beliau menjadi sorotan media dan kadangkala keghairahannya melampaui had yang sepatutnya.

Walaupun mungkin apa yang diucapkannya dalam perjumpaan tertutup itu sesuatu yang benar, tetapi perlukah beliau memberitahu semua orang mengenainya? Bukankah lebih baik ia menjadi rahsia polis dan Kementerian Dalam Negeri saja?

Sebagai pemimpin Umno, tiada salahnya Zahid menunjukkan sikap perkauman dan jiwa Melayunya.
Namun oleh kerana dalam masa yang sama beliau merupakan seorang menteri dalam kerajaan BN, tindakan itu seharusnya dilakukan secara berpatutan dan tidak berlebih-lebihan. Ini kerana selain bertanggungjawab terhadap Umno, beliau juga ada tanggungjawab dalam kerajaan.

Lainlah jika yang menjerit-jerit mengenai perkara itu seorang ketua pemuda bahagian atau cawangan yang tidak tanggungjawab terhadap kerajaan. Atau jika yang melakukannya seorang pemimpin sebuah NGO yang memang memperjuangkan kepentingan Melayu.

Sebagai pemimpin Umno dan memegang jawatan dalam kerajaan dalam masa yang sama, kebijaksanaan dalam memainkan dua peranan ini adalah penting. Kegagalan berbuat demikian hanya akan menjadikan seseorang itu disukai oleh kaumnya saja tetapi dibenci oleh laum lain.

Ini tentunya tidak menguntungkan kerajaan, tambahan pula kerajaan tidak mungkin tertegak dengan hanya sokongan satu kaum saja. Sokongan kaum lain juga diperlukan. Dalam hal ini, Zahid ternyata sedang mempersulit tugas Najib dan kerajaan dalam memenangi hati kaum-kaum lain.

Dengan tindakan Zahid yang begitu mahu menunjukkan dirinya seorang pejuang Melayu tulen dan tidak berkompromi dengan kaum-kaum lain, memang beliau sedang meniti populariti sekarang ini. Namanya sedang melonjak dan melekat di hati para perwakilan sebagai salah seorang calon Naib Presiden yang mesti dikekalkan.

Berbanding dua penyandang Naib Presiden yang lain iaitu Hishammuddin Hussein dan Shafie Apdal, Zahid nyata jauh meninggalkan mereka. Tidak mustahil jika hanya beliau seorang yang kekal tetapi dua rakannya yang lain bakal tercicir apabila keputusan diumumkan nanti.

Namun jika Zahid diberi kemenangan lagi, ada baiknya Perdana Menteri memberi tugas sepenuh masa kepadanya untuk memantap dan memperkuatkan Umno saja. Beliau bukan saja perlu memastikan sokongan kuat Melayu luar bandar terhadap Umno kekal tetapi juga hendaklah berusaha mendekati golongan Melayu bandar, golongan profesional dan pengundi muda yang selama ini agak jauh supaya lebih dekat dengan Umno.

Biarlah beliau menumpukan masa dan tenaganya untuk Umno saja kerana Zahid dengan wataknya yang ada sekarang hanya sesuai menjadi pemimpin Umno saja tetapi agak kurang sesuai memegang jawatan sebagai menteri yang perlu bertanggungjawab kepada semua kaum dan bangsa. – shahbudindotcom

Anwar saman RM100 juta: Mahkamah tolak permohonan Khairy

Posted: 09 Oct 2013 02:49 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER























Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) untuk meminda pembelaannya dalam saman fitnah RM100 juta yang difailkan terhadapnya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesuruhjaya Kehakiman  S M Komathy Suppiah membuat keputusan itu di dalam kamar dengan kehadiran peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Anwar, dan Jeffery John, mewakili Khairy.

Sulaiman ketika memberitahu pemberita berkata, Komathy menolak permohonan itu dengan kos RM5,000, dan menetapkan 22 November bagi pengurusan kes.

 Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy, dengan mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' disiarkan dalam laman web, termasuk Malaysiakini.com.

Ketua pembangkang itu turut mendakwa klip video dalam Malaysiakini.com mengandungi sebahagian daripada ucapan Khairy di Lembah Pantai pada atau sekitar 20 Februari 2008. - Bernama,

Syiah jadi isu politik

Posted: 09 Oct 2013 02:44 AM PDT


Oleh Subky Latif


Sebelum Datuk Mukhriz membangkit isu Syiah di  Kedah, Dr  Mahathir ada membuat kenyataan bersama dengan bekas Presiden Qatami dari Iran betapa Islam jangan bertempur dan berbunuh sama sendiri atas perbezaan antara Syiah dan Sunni.

Ia adalah merujuk tentang perang saudara di Syria. Pergolakan di Syria itu adalah campuran antara kezaliman dan demokrasi, antara penindasan dan pembelaan keadilan, dan antara Syiah dan Sunni. Majoriti penduduk adalah Sunni dan mereka dikuasai sejak berdekad oleh manoriti Syiah yang terdiri sekitar 22 peratus rakyat.

Persefahaman Mahathir-Qatami itu tenggelam apabila anaknya Menteri Besar Kedah membangkit bahayanya penyerapan Syiah dalam kalangan rakyat.

Sejak zaman-berzaman pertentangan antara kedua penganut itu adalah masalah akidah. Sekalian Arab berbalah dengan Iran kerana Syiah orang Iran itu, bukan kerana Parsi dan Arabnya. Kalau kerana bangsanya, mengapa Arab tidak masalah dengan Pakistan sedang kedua-dua bukan satu rumpun bangsa.

Ia tidak jadi isu di Malaysia  sehingga tercetusnya Revolusi Islam Iran kerana negara kita bukan tapak yang subur untuk Syiah. Tetapi pengaruhnya menyusup di tengah pengikut Sunni. Antara pendakwah kita memandang berat penyusupan itu. Justeru kepekaan tentang akidah itu oleh individu-individu, maka isu Syiah itu tidak meletup.

Tetapi yang meletupkannya Mukhriz seorang yang tidak terkenal sebagai pembelaan akidah Islami. Dia adalah seperti lain-lain orang awam Islam. Jika penonjolannya membela penindasan teerhadap Palestin, bukan dibuat atas jihadnya yang tinggi, tetapi atas dasar kemanusiaan, keadilan dan anti kekejaman.

Sebagai Menteri Besar  dan tenaga politik baru muncul, dia menimbul isu Syiah yang berkembang itu. Dia mahu perkara itu disekat. Suaranya itu amat menyenangkan individu-individu yang risau tentang penyusupan Syiah itu. Dan kini ia jadi isu politik.

Mukhriz dan orang Islam awam dalam Umno mendapati sejak kelahiran Republik Islam Iran, rata-rata pimpinan PAS mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin-pimimpin Iran. Hubungan baik itu bukan justeru perkonngsian akidah, tetapi berkongsian worldviews, anti Amerika dan barat, anti mustakbirin, anti penjajahan bentuk baru barat.

Oleh sebab hubungan baik Dr Burhanuddin Al-Hilmy yang baik dengan Sukarno yang erat pula dengan komunis, dan orang PAS rapat dengan orang-orang Indonesia sebelum konfrantasi, maka PAS telah ditohmah menyokong komunis. Setiap kali pilihan raya Umno mengaitkan PAS dengan komunis. Amat payah bagi PAS membebaskan diri dari perangkap fitnah politik itu.

Sekarang PAS adalah tenaga pesaing Umno yang ketara. Perhatian kepada PAS itu lebih ke depan dari Umno. Sudah  dua PRU BN gagal meraih kecemerlangan. Ia boleh jadi lebih buruk pula selepas ini.

Apa modal besar Umno bagi melumpuhkan PAS. Ia sedang menggambarkan kepada masyarakat PAS tidak menentang di luar parti dan di dalam parti. PAS tahu apa yang dibuatnya terhadap Syiah. Jika PAS boleh bekerjasama politik dengan DAP, indvidu Cina dan Hindu tanpa ada penyokong PAS masuk Kristian, Buddha dan Hindu, maka berbaik dengan Syiah yang berlain akidah itu bukan memberi pasport kepada penyokongnya untuk bertukar mazhab.

Dengan fahaman itu PAS menjelaskan tiada anggotanya yang Syiah. PAS jangan terperangkap oleh politik Umno dan pemuja-pemuja Amerika yang anti Iran dan Islam. Tetapi sebagaimana PAS di zaman Dr Burhanuddin dulu diperangkap dengan tohmah menyokong komunis, maka perangkap  itu sudah dipasang iaitu PAS tidak menentang Syiah.

Sasaran perangkap itu tidak banyak atas penyokong yang setia, tetapi adalah untuk menjauhkan  oleh Melayu dari mendekati PAS. Tidak mudah bagi PAS keluar dari perangkap itu. Sekalipun ia adalah ikhtiar Umno supaya kempen PAS ganti Umno tidak berhasil.

Mungkin PAS boleh memberi penjelasan ilmiah yang layak dapat Phd, tetapi dari segi politiknya ia sudah dijerat.

Pemilihan Umno: Peluang Terakhir Selamatkan Diri

Posted: 09 Oct 2013 02:40 AM PDT




Oleh A Kadir Jasin 


MEMINJAM loghat P. Ramlee, tajuk berita utama akhbar Berita Harian 8 Oktober tidaklah "menggumbirakan".Sebaliknya ia memalukan Umno khasnya, orang Melayu amnya dan penduduk Malaysia keseluruhannya.

Tetapi ia juga boleh dijadikan teladan dan mungkin juga petanda bahawa Umno telah bersedia berdepan dengan hantu yang sekian lama meracau dan mengacau tubuh badannya - puaka yang menyebabkan banyak ahli tawar hati dan meminggirkan diri.

Puaka yang menyebabkan sesiapa saja yang berani bersuara diketepikan. Puaka yang menjadikan pengampu, kaki bodek dan penghasut disukai dan berpengaruh di koridor kuasa.


Tahniah kepada BH atas tajuk berita "1,703 perwakilan, calon Umno muflis".

Akhbar itu, antara lain, melaporkan: "Seramai 33,272 calon disahkan bertanding merebut pelbagai jawatan pada pemilihan UMNO bulan ini selepas 869 calon gagal melepasi saringan Jawatankuasa Pemilihan parti, termasuk 334 yang didapati muflis.

"Selain itu, 1,369 daripada kira-kira 146,000 perwakilan yang telah dipilih, tidak layak kerana turut disenaraikan muflis oleh Jabatan Insolvensi." (Baca di sini)

Syabas kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno kerana membuat tapisan yang teliti.

Saya tidak hairan sedikit pun dengan berita tersebut. Hari ini, walaupun banyak Melayu dan Islam begitu "judgmental" (suka mengukur orang) keimanan orang lain, banyak daripada mereka adalah hipokrit. Mereka sendiri lebih teruk daripada orang yang mereka ukur dan adili.

Hari ini banyak orang Melayu (dan orang Malaysia amnya) suka berhutang di luar kemampuan dan tidak berniat membayar balik hutang sedangkan Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang dan orang yang berhutang sama tarafnya dengan hamba abdi.

Orang yang berhutang, tetapi tidak membayar balik hutang, lagi-lagilah yang diisytiharkan muflis kerana tidak membayar balik hutang, tidak layak menjadi pemimpin. Memilih mereka sebagai pemimpin samalah dengan memilih hamba abdi menjadi pemimpin.

Saya bukan menghina hamba abdi. Tetapi adakah kita mahu dipimpin oleh hamba abdi yang berhutang? Tidak kira sama ada mereka muflis kerana berniaga, kerana tak bayar pinjaman pelajaran tinggi, tak bayar hutang kad kredit atau kerana menjadi penjamin orang yang berhutang, pokok pangkalnya mereka tetap muflis.

Lagi hina adalah orang yang rela diisytiharkan muflis daripada berusaha membayar balik hutang.
Tetapi bukan orang muflis sahaja wajib ditegah bertanding dan mengundi. Orang yang didapati bersalah kerana jenayah, rasuah dan politik wang juga wajib ditegah daripada bertanding dan mengundi.

Sekiranya ada orang seperti itu yang terlepas daripada pengawasan dan tindakan Jawatankuasa Pemilihan tetapi diketahui oleh pemilih dan perwakilan, mereka pun wajib ditolak juga.

Kalau Umno mahu pulih daripada delima dan maladi (penyakit) yang dialaminya sekarang dan mahu kembali menjadi parti pilihan orang Melayu, ia memerlukan kepemimpinan yang bersih, telus, berwibawa, muda dan bertenaga.

Kepemimpinan yang hormat dan akur kepada ahli bukan yang takut dan utamakan anak bini, suku-sakat, para penasihat, peniaga minyak ular dan ahli sihir. Barang dijauhkan Allah!

Pemilihan kali ini adalah peluang terakhir Umno menyegarkan semula kepemimpinannya dan mengembalikan idealisme perjuangan. Sekiranya ini tidak berlaku, kemungkinan Umno menjadi parti rumput tengah jalan (hidup segan mati tak mahu) adalah amat besar. 
Wallahualam.http://kadirjasin.blogspot.com

Polis: Dua laporan dibuat terhadap Zahid Hamidi

Posted: 09 Oct 2013 02:28 AM PDT

OLEH MUZLIZA MUSTAFA


















Polis hari ini mengesahkan dua laporan dibuat terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) iaitu di Jinjang, Kuala Lumpur dan satu lagi di Melaka.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Khairi Ahrasa mengesahkan laporan polis yang dibuat di Jinjang dipindahkan ke Melaka untuk tindakan selanjutnya.

"Ucapan itu dibuat di Melaka jadi kami serahkan kepada mereka untuk siasat," katanya.

 Ahmad Zahid dilaporkan berkata baru-baru ini, polis tidak lagi teragak-agak untuk menembak terlebih dahulu tanpa memberi sebarang amaran.

Kenyataannya itu didedahkan menerusi satu rakaman suara di Melaka pada Jumaat lalu.

"Bagaimana keadaan mangsa rompakan, bunuh masa tembakan ini? kebanyakannya adalah orang Melayu kita. Kebanyakannya ialah bangsa kita.

"Saya fikir, cara paling baik jangan ada kompromi dengan mereka. Jangan ada lagi amaran kepada mereka, kita dapat bukti kita tembak dulu," kata Ahmad Zahid yang dipetik dalam rakaman tersebut.

Semalam Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Lim Lip Eng membuat laporan polis terhadap Ahmad Zahid di Jinjang, Kuala Lumpur berhubung dengan kenyataan yang dianggap memberikan "lesen bunuh" kepada polis.

DAP gesa Zahid, Shabery mohon maaf kerana tipu rakyat

Posted: 09 Oct 2013 02:26 AM PDT

OLEH MOHD FARHAN DARWIS























DAP menggesa agar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana didakwa berbohong berhubung pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (gambar) berkata kenyataan kedua-dua pemimpin berkenaan bercanggah dengan kenyataan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berhubung pembayaran artis-artis K-Pop dan juga isu kehilangan aset polis bernilai RM1.3 juta.

"Kedua-dua menteri mesti segera meminta maaf, jika tidak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mestilah bertindak sekiranya beliau mahu mengekalkan sebarang sisa keyakinan awam terhadap kejujuran, kemahiran dan profesionalisme menteri-menterinya," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

 Menurut Lim, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berbohong apabila mengatakan pihak polis telah memberi penjelasan kepada Jabatan Audit tentang kehilangan alatan termasuk senjata api bernilai RM1.3 juta.

Manakala Shabery pula katanya berbohong apabila berkata bayaran RM1.6 juta untuk membawa masuk artis-artis K-Pop telah dibiaya penuh oleh penaja.

"Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mendedahkan pembohongan mereka," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.

Kegagalan dan salahlaku kewangan dalam urusan kerajaan tegas Lim adalah amat kritikal terhadap ekonomi negara kerana perolehan dari segi barangan, kerja dan perkhidmatan setiap tahun membentuk 25% daripada kadar nominal KDNK berbanding ekonomi negara maju lain di mana perolehan tahunannya hanyalah 12% daripada KDNK.

"Dengan kata lain, Malaysia rugi dua kali ganda berbanding negara maju dalam hal rasuah atau pembaziran dana awam," tambahnya lagi.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 telah mendedahkan pasukan keselamatan berkenaan merekodkan kehilangan aset termasuk senjata api, gari dan juga kenderaan yang berkemungkinan berlaku semasa operasi.

"Setakat ini orang awam dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri bahawa senjata api yang hilang itu berkemungkinan jatuh ke dalam laut, walaupun tidak ada laporan polis yang dibuat lantaran kehilangan tersebut.

"Adakah 29 buah kenderaan polis itu juga turut ke laut perginya?" soal Lim.

Ketirisan, pembaziran dan salah laku kewangan ini kata Lim memberi kesan buruk terhadap kadar pertumbuhan ekonomi.

"Pemimpin BN tidak patut menafikan hakikat ini tetapi mengambil langkah-langkah untuk menangani kelemahan-kelemahan yang disebutkan dalam Laporan Ketua Audit Negara," katanya.

Kereta Biasa Jadi ‘Mewah’ Kerana Cukai

Posted: 08 Oct 2013 05:09 PM PDT


Turun-Harga-Kereta


SHAH ALAM: Ketua Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan, bersetuju bahawa Malaysia merupakan antara negara yang menawarkan harga kereta yang mahal kepada rakyat disebabkan cukai kenderaan yang tinggi.

Kenyataan ini disokong dengan paparan sebuah portal popular, Jalopnik, menyenaraikan Malaysia sebagai negara kedua paling mahal untuk membeli kereta, di belakang Singapura dalam artikel bertajuk 10 Tempat Paling Mahal Untuk Beli Kereta.

Berdasarkan pengalaman tinggal di United Kingdom (UK) hampir 18 tahun, Wan Saiful menyatakan kerajaan sepatutnya menyemak semula cukai kenderaan sedia ada yang dilihat tinggi memandangkan kereta merupakan keperluan kehidupan rakyat di negara ini.

"Saya sendiri mempunyai pengalaman mengenai kereta ini. saya pernah tinggal di UK lebih kurang 18 tahun. Dan saya boleh beritahu jika disana kerja biasa-biasa sahaja sudah mampu membeli contohnya Volkswagen Passat.

"Tetapi disini Passat menjadi kereta mewah. Jadi saya rasa memang betul perbezaan harga memang tinggi disebabkan cukai yang dikenakan oleh kerajaan," katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Menurut beliau, meskipun Malaysia mempunyai pengeluar kereta nasional terbesar sendiri seperti Proton dan Perodua, mereka turut berhadapan cukai kenderaan seperti syarikat pengeluar kenderaan lain walaupun kereta nasional sepatutnya dijual pada harga yang lebih rendah daripada sekarang.

Justeru, cukai kenderaan sedia ada ini perlu dihapuskan agar pengguna dapat menikmati kenderaan pada kadar harga yang rendah.

"Cukai yang dikenakan terhadap Perodua dan Proton tidak banyak beza dengan kereta lain cuma disebabkan kosnya lebih rendah.

"Kereta seperti Proton Preve misalnya boleh dijual pada harga RM65,000 ke RM70,000. Jadi dia bersaing dengan kereta lain yang sama kelas dengannya.

"Bukan isu kita ada kereta nasional. Isu sebenar adalah cukai yang dikenakan yang mana kereta nasional juga kena cukai yang sama.

"Sekiranya cukai itu tidak ada atau lebih rendah saya rasa kereta nasional ini jauh lebih rendah pada masa sekarang," katanya.

Tokoh Pendakwah sifatkan perkembangan Islam Selangor menakjubkan

Posted: 08 Oct 2013 05:07 PM PDT


Tokoh Pendakwah Selangor 2013


SHAH ALAM- Tokoh Pendakwah Selangor 2013 menyifatkan perkembangan Islam di Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sebagai menakjubkan berikutan kerancakkan penganjuran program-program bercorak keagamaan di negeri ini.

Menurut Shah Kirit Kakulal Govindji, keadaan itu didorong oleh kesungguhan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti dan semua pihak terlibat dalam menyebarkan kefahaman sebenar Islam.

"Alhamdullilah saya lihat perkembangan Islam di Selangor khususnya sejak lima tahun ini adalah satu perkembangan yang cukup baik dengan program yang disusun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti dan sebagainya.

"Usaha dakwah dan latihan yang disediakan untuk kader-kader baru sebagai satu program yang menyeluruh, malah mereka mempunyai pelan tindakan untuk lima tahun akan datang, apa hasil yang kita boleh perolehi dalam masa 10 tahun, 20 tahun akan datang.

"Program dakwah di Selangor juga dijalankan dengan mempunyai wawasannya, bukan sekadar memenuhi syarat, saya amat terharu dan gembira dengan perkembangan ini," ujar Shah Kirit yang memeluk Islam pada 1996.

Selain itu menurut Shah Kirit, Selangor juga semakin banyak melahirkan tokoh pendakwah muda dari pelbagai lapisan dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dan di kalangan saudara baru.

Penerima Anugerah Tokoh Pendakwah Wanita, Datin Aminah Zakaria pula berkata usaha gigih Kerajaan Negeri bagi memperbanyakkan program keIslaman wajar dicontohi negeri-negeri lain.

"Saya harap Kerajaan Negeri dapat meningkatkan usaha mengilmukan masyarakat Selangor ini dan saya doakan segala langkah, perbelanjaan yang digunakan Kerajaan Negeri untuk menyebar dakwah ini mendapat ganjaran maksima dari Allah dan minta Allah terima segala amal pihak pentadbir Kerajaan Negeri, pegawai, kakitangan dan rakyat Selangor semua, semuga dapat keberkatan Allah," kata beliau.

Dalam Program Muzakarah Pendakwah dan Penolong Pendaftar Nikah Negeri Selangor yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, seramai tiga orang menerima anugerah Tokoh Pendakwah.

Shah Kirit yang mempunyai pengalaman berdakwah di serata dunia merupakan Duta Dakwah Saba Islamic Media Sdn Bhd dan beliau pernah menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kebangsaan 2012, Tokoh Saudara Muslim Muslimin dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2010 dan Tokoh Saudara Kita Maal Hijrah 2011 Negeri Selangor.

Aminah yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Muslimah Malaysia (Salimah) juga turut terkenal sebagai penyampai ceramah mengenai 'Fiqh Wanita' di stesen radio Ikim fm dan beberapa slot bimbingan wanita dalam rancangan Al-Hidayah di TV3.

Beliau juga kerap mendapat undangan untuk menyampaikan ceramah agama di serata dunia termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Brunei dan Singapura.

Manakala penerima anugerah Tokoh Penolong Pendaftar Nikah Selangor, Aziz Mahmood merupakan seorang bekas Guru Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan Seri Lanang.

Beliau yang juga memegangan jawatan Timbalan Nazir di Masjid At-Tawqwa, Pekan Banting kini juga aktif sebagai penceramah kursus Haji.

Ketiga-tiga tokoh terbabit masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, sijil, piala iringan dan sepersalinan pakaian yang disampaikan Exco Hal Ehwal Islam Negeri Selangor, Sallehin Mukhyi.

Sungai Limau: PKR buka Bilik Gerakan 17 Okt

Posted: 08 Oct 2013 05:04 PM PDT

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: PKR akan membuka Bilik Gerakan Utama pada 17 Oktober ini, kata Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) parti itu bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau, Ir Zamri Yusoff.

Keadilan Daily melaporkan, beliau berkata bilik gerakan itu akan dibuka di Pekan Sungai Limau dan pelancarannya dibuat serentak dengan jentera Pilihan Raya Kecil Pakatan Rakyat.

Tambahnya, PKR akan menyusun program bersama PAS dan Pakatan Rakyat Kedah dengan menumpukan kepada beberapa kawasan Unit Peti Undi (UPU).

Menurutnya, daripada 19 UPU di seluruh Dun Sungai Limau, Pakatan tewas di tujuh UPU ini pada Pilihan Raya Umum ke-13. Antaranya UPU Sungai Kering, UPU Dulang Kecil dan UPU Dulang Besar.

Justeru, ujarnya PKR  akan bantu menggempur tujuh UPU yang dikenalpasti sebagai kubu BN.

"Beberapa progam sedang diatur dan tumpuan di kawasan-kawasan tadi," kata Zamri yang mengalu-alukan kehadiran penyokong Pakatan Rakyat dari seluruh negara.

Bil air 43 peratus pengguna di Kelantan turun

Posted: 08 Oct 2013 05:02 PM PDT

Salmah Mat Husain,


KOTA BHARU: Pelarasan tarif baru sebenarnya memberi impak kepada penurunan bil air bagi 79,216 pemegang akaun atau 43 peratus dari jumlah pengguna domestik di seluruh Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Hanifa Ahmad berkata, penurunan jumlah bil air berlaku disebabkan pemansuhan caj sewa meter kepada semua akaun pengguna.

"Ia selaras dengan peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Bagi pengguna yang saiz meternya ¾ inci dan 1 inci pengurangan bil air akan berlaku sehingga 20 dan 25 meter padu.

"Pengurangan bil lebih besar disebabkan perbezaan caj sewa meternya yang masing-masing sebelum ini RM1.25 dan RM2.50," katanya di sini.

Oleh itu beliau berkata, peningkatan bil hanya berlaku bagi penggunaan lebih 50m3 dengan kenaikan sehingga 32 peratus.

Sedangkan katanya, jumlah pemegang akaun lebih 50 meter padu hanya 20,923 daripada 181,024 pengguna di seluruh Kelantan.

"Piawaian penggunaan air domestik di Malaysia secara puratanya sebanyak 1m3 sehari atau 30 meter padu sebulan. Di Kelantan 77 peratus pengguna domestik menggunakan bawah 35 meter padu," ujarnya.

Hanifa juga berkata, kenaikan tarif air terakhir pada 1 Januari 2001 dan penyelarasan baru dibuat bermula 1 September lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan pelarasan tarif baru pada 2010.

Kata beliau kenaikan tarif juga diambil ekoran kenaikan tarif elektrik sebanyak 45 peratus iaitu tiga kali sepanjang tempoh 13 tahun.

Menurutnya, AKSB terpaksa menanggung kos elektrik sebanyak RM2.1 juta sebulan.

Pada masa yang sama berlaku kenaikan Indeks Harga Pengguna (CPI)  sebanyak 28.6 peratus pada 2001-2013 menyebabkan kenaikan kos operasi termasuk bahan kimia dan kos lain.

Beliau juga berkata, Air Kelantan Sdn Bhd masih mengekalkan caj percuma penggunaan sehingga 35m3 bagi masjid dan sekolah agama rakyat.

Katanya juga Kelantan berada pada kedudukan keempat terendah bagi penggunaan air bawah 20 meter padu.

"Kenaikan tarif telah dilaksanakan di Pulau Pinang, Kedah, Melaka dan Johor pada 1 Oktober 2010," ujarnya.

Rizab besi di Sungai Tuang 2 bilion tan

Posted: 08 Oct 2013 05:00 PM PDT

Salmah Mat Husain,


KOTA BHARU: Kelantan mempunyai rizab besi mentah di Sungai Tuang dianggar sebanyak 50 juta sehingga dua bilion tan, kata Adun Salor, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata, kekayaan sumber itu boleh dimanfaat syarikat dari Korea yang dilantik sebelum ini untuk membina lebuh raya rakyat.

Katanya, kerajaan negeri sepatutnya mempertimbang secara saksama kemampuan syarikat terbabit melaksanakan projek pembinaan lebuh raya menghubungkan Kota Bharu-Kuala Krai.

"Kerajaan juga perlu mempunyai kaedah cadangan pembayaran balik projek berkenaan secara jelas.

"Kerajaan tidak seharusnya dengan mudah memutuskan hubungan dengan kontraktor berkenaan yang dikira berkebolehan dan telah dipilih lebih awal," katanya ketika membahas Belanjawan Kelantan 2014 pada persidangan Dun semalam.

Menurut beliau sekiranya kerajaan negeri menerima pakai cadangan tersebut dan berdasar kepada harga minimum ketika itu iaitu RM50 satu tan, ia dianggar mampu menjanakan hasil sehingga RM2.5 bilion.

Husam sebelum ini penggerak utama projek lebuh raya rakyat. Projek sejauh 68 km itu dilakukan pecah tanah pada 28 Mei 2012, dirancang dibina empat lorong dua hala tanpa tol dengan anggaran kos RM1.8 bilion.

Bagaimanapun syarikat Korea terbabit dikatakan menarik diri sehingga kerajaan negeri menawar pula kepada syarikat lain termasuk dari Emeriah Arab Bersatu yang berminat meneruskan projek berkenaan.

Husam juga memberitahu syarikat dari Korea terbabit mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan mampu meletak deposit sebanyak RM5 juta untuk bayaran lesen eksplorasi dan RM5 juta lagi lesen carigali.

Sehubungan itu beliau mencadangkan kerajaan negeri melantik konsultan antarabangsa untuk menilai anggaran hasil sebenar kawasan bijih besi tersebut.

Menurutnya juga permohonan lebih awal dibuat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bagi mengusaha lombong besi di Sungai Tuang dengan mengajukan permohonan di Pejabat Tanah dan Galian pada November 2011.

"Bagaimanapun permohonan pihak lain pula masuk sehingga menenggelamkan permohonan asal PMBK," ujarnya.

Beliau juga memberitahu Majlis Mesyuarat Kerajaan pada Mac 2013 bersetuju menyerah kawasan seluas 3,000 hektar di Sungai Tuang kepada PMBK.

"Malangnya saya difahamkan kelulusan itu telah ditarik balik selepas itu, sedangkan tender terbuka dibuat pada November 2012," ujarnya.

Husam juga berharap kerajaan negeri tidak melepaskan kawasan berharga tersebut kepada pihak swasta dan persendirian.

Saman: Kerajaan BN setuju bayar PSM RM200,000

Posted: 08 Oct 2013 04:57 PM PDT

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR - Kes saman Parti Sosialis Malaysia (PSM) terhadap kerajaan dan 81 lagi individu termasuk anggota polis selesai hari ini apabila kerajaan bersetuju membayar sebanyak RM200,000 kepada enam pemimpin parti berkenaan yang ditahan di bawah Ordinan Darudtat (EO) pada Jun 2011.

Jumlah itu dibayar oleh enam daripada kesemua defendan sebagai gantirugi dan faedah terhadap enam plaintif yang memfailkan saman itu.

Peguam yang mewakili anggota PSM, Yudista Darma Dorai memaklumkan mahkamah bahawa kes yang dijadual untuk hari pertama perbicaraan penuh selesai selepas defendan-defendan bersetuju membayar jumlah itu kepada plaintif.

Penyelesaian itu direkodkan dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hue Siew Kheng.

Enam plaintif itu ialah pemimpin PSM termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar; ahli jawatankuasa PSM pusat, Choo Chon Kai dan M. Sukumaran; Timbalan Pengerusi PSM, M Sarasvathy; Setiausaha Bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan; dan pemimpin pemuda PSM, R Sarat Babu.
Defendan-defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Siti Badariah Mohd Yusof.

Mereka memfailkan saman terhadap 82 defendan pada 23 Mac tahun lalu kerana mendawa pihak polis telah menangkap dan memenjarakan enam pemimpin parti itu secara tidak sah.

Mereka juga menuntut ganti rugi kerana dibelasah, melakukan pendakwaan yang berniat jahat, serta tidak mempunyai alasan yang munasabah ketika ditangkap.

Kesemua aktivis berkenaan ditahan sewaktu menyertai siri Kempen 'Udah La Tu Bersaralah' yang dilancarkan pada 24 Jun 2011, menjelang perhimpunan Bersih 2.0.

Mereka ditahan selama 28 hari di bawah EO sebelum dibebaskan pada 29 Julai 2011.Sinar Harian

Guan Eng: 1Malaysia MATI, gagal bertindak kepada Zahid, Ali Rustam

Posted: 08 Oct 2013 04:51 PM PDT

MALAYSIA CHRONICLE



KUALA LUMPUR - Kegagalan untuk bertindak terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam atas kenyataan berbaur perkauman terhadap orang bukan Melayu bukan sahaja menjadi bukti bahawa konsep 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sudah mati.

Malah, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuktikan bahawa Umno tidak akan meminta maaf di atas sifatnya yang korup serta menyebarkan penipuan bagi memburukkan pihak lawan.

Menurutnya, pada tahap di mana pemimpin Umno kelihatan mengabaikan impian negara Malaysia dan menyebarkan kebencian kaum, Umno pada masa akan datang tidak akan ada bezanya dengan tentera Nazi yang memperjuangkan keturunan dan ketuanan perkauman.

Justeru, katanya DAP tidak terkejut dengan sikap kebencian kaum yang diperlihatkan oleh pemimpin Umno yang ternyata korup seperti bekas Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali yang sebelum ini tidak dibenarkan bertanding dalam pemilihan Umno kerana terlibat dalam rasuah politik.

Beliau berkata, Ali terus menyalahkan pengundi Cina di atas kekalahannya yang mengejutkan di kerusi Parlimen Bukit Katil dengan marjin yang begitu besar dalam PRU ke-13, walaupun pengundi Melayu di sana adalah majoriti seramai 53%.

"Kalau pun semua pengundi Cina tidak mengundi Ali Rustam, beliau akan tetap menang seandainya beliau tidak kehilangan sejumlah besar undi orang Melayu," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam satu kenyataan.

Namun, katanya Ali Rustam dengan mudah menyalahkan masyarakat Cina bagi menyembunyikan hakikat sebenar kekalahannya kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar adalah kerana aktiviti rasuahnya dan salahguna kuasa untuk membuli penduduk Melaka sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri.

Bagi Ahmad Zahid pula, katanya tidak ada sebarang keperluan bagi beliau untuk membuat kenyataan berbaur perkauman dan kebencian terhadap masyarakat bukan Melayu apabila beliau sudah pun terkedepan dalam senarai calon Naib Presiden Umno dalam pemilihan akan datang.

Beliau memperpersoalkan beginikah perangai bakal Timbalan Perdana Menteri dan calon Perdana Menteri; membuat provokasi yang begitu mengejutkan, cuai, tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima langsung:-

> menyifatkan pertubuhan gelap Tiga Line sebagai kawan dan menggalakkan mereka melakukan 'apa yang perlu dilakukan' berbanding mengambil tindakan terhadap mereka.

> mengancam wartawan yang hadir bahawa beliau akan menutup operasi akhbar mereka jika kata-katanya dilaporkan.

> mengabaikan hakikat bahawa orang bukan Melayu juga turut menjadi mangsa jenayah. Daripada 14,511 anggota kongsi gelap, 6,171 darinya Melayu, 1,701 Cina, 3,685 India sementara 2,954 dari keturunan lain; namun begitu pun orang Melayu selalu menjadi mangsa. Pengedar dadah terbesar adalah orang Cina, yang kecil sedikit India dan penggunanya orang Melayu. Dalam judi internet, bosnya Cina, operatornya India dan pelanggannya Melayu… "Oleh itu mangsanya adalah orang Melayu"

> menafikan proses undang-undang dengan menyuruh supaya menembak penjenayah terlebih dahulu jika polis ada bukti.

Menurut Lim, setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama adalah mangsa jenayah.

Katanya lagi, dengan menyebut bahawa hanya orang Melayu yang menjadi mangsa, adakah orang bukan Melayu yang menjadi mangsa sekadar tidak kelihatan atau patut hilang sahaja tanpa dilindungi daripada jenayah terhadap mereka.

"Susah untuk saya percaya bahawa Menteri Dalam Negeri yang diamanahkan untuk mendaulatkan undang-undang boleh dengan begitu bersahaja membuat kenyataan yang begitu menghasut, menggalakkan kehidupan tanpa hormat kepada undang-undang dan menggalakkan gangguan awam," ujarnya.

Katanya, kegagalan daripada pihak Perdana Menteri untuk bertindak menyangkal kenyataan mereka dan menghukum tindakan perkauman dan kebencian mereka hanya akan memecahbelahkan Malaysia menjadi dua negara dengan double standard - satu negara dengan standard untuk orang Umno, dan satu lagi untuk orang bukan Umno yang tidak berhak mendapat perlindungan undang-undang yang saksama mahupun hak yang dijamin perlembagaan sebagai warganegara.

"DAP menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyatakan pendirian terhadap Umno dan menolak usaha memecahbelah, diskriminasi dan penghancuran maruah dengan menunjukkan kepada Umno bahawa kita semua ayah, emak, abang dan adik adalah warga Malaysia," ujarnya.

20 Petua Untuk Temuduga...

Posted: 08 Oct 2013 04:48 PM PDT



Isi dan gaya perlu seimbang
Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.
 
 
DARI semasa ke semasa, kita berdepan dengan temuduga, sama ada temuduga untuk kerja, tugasan atau anugerah. Untuk menghadapi temuduga, kita perlu tampil dalam keadaan terbaik. Walaupun tiada resepi yang pasti, ada beberapa perkara yang baik untuk diperhatikan.

Pertama, saya percaya pada hikmah silam dictum esse quam videri – isi lebih penting daripada kulit.

Bagaimanapun, pengalaman mengajar kita bahawa dalam kehidupan, yang batin dan yang zahir sama penting. Begitu juga antara realiti dan penampilan, serta isi dan gaya. Kita bukan saja perlu 'berisi', tapi juga tampak berisi!

Atas sebab inilah kita perlu bersedia untuk mempamerkan pencapaian kita dan menampilkan diri sebagai calon terbaik untuk sesuatu pekerjaan. Bagaimanapun, kita tidak boleh menipu kerana rekod kita mungkin dimaklumi oleh penemuduga. Sejarah pencapaian peribadi dan dakwaan kita tentang perkara-perkara yang mampu kita lakukan adalah sama penting.

Kedua, sebelum menghadiri temuduga, siapkan CV yang menarik beserta gambar berwarna. Tonjolkan perkara-perkara terbaik dan terkini terlebih dahulu di halaman-halaman awal CV. Sertakan satu halaman ringkasan pencapaian terpenting dalam kehidupan anda. Halaman inilah yang akan dibaca oleh penemuduga!

Kemukakan juga beberapa nama yang sesuai sebagai rujukan. Kepilkan bukti pencapaian dan penghargaan yang pernah anda terima. Penemuduga akan menilai sama ada anda seorang jaguh kampung atau seorang peneraju dalam bidang kerjaya anda.

Ketiga, siapkan kenyataan pembuka yang menarik dan menonjolkan minat mendalam anda terhadap jawatan yang sedang anda pohon. Kenyataan pembuka ini akan menonjolkan keupayaan anda.

Keempat, biasanya pengerusi panel penemuduga akan membenarkan calon memberikan kenyataan penutup. Untuk tujuan ini, sediakan ucapan penutup yang menonjolkan perkara-perkara yang anda ingin penemuduga ketahui.

Kelima, cari maklumat tentang organisasi yang akan menemuduga anda, jawatan yang anda pohon, ganjaran yang anda inginkan, dan orang-orang yang berkemungkinan akan menemuduga anda. Pengetahuan yang mampu menarik perhatian mereka akan membolehkan anda mengagak arah perbincangan dalam temuduga.

Keenam, buat agakan dan bersedia untuk menjawab soalan-soalan yang mungkin dikemukakan. Sebagai contoh:

"Jelaskan tentang diri anda. Apakah pengalaman bekerja yang anda miliki? Apa kekuatan dan kelemahan anda? Apakah kejayaan penting yang pernah anda capai?

"Bagaimana anda melihat diri anda sendiri? Bagaimana anda berdepan dengan tekanan? Berapa banyak buku atau rencana pernah anda tulis? Apakah anda memegang jawatan dalam apa-apa badan profesional? Mengapa anda memohon untuk pekerjaan/ kenaikan pangkat/ biasiswa/ geran ini dan sebagainya?"

Ketujuh, pihak penemuduga sudah tentu mahu tahu sumbangan yang boleh anda berikan terhadap organisasi mereka. Apa yang mampu anda lakukan yang tidak mampu dilakukan oleh orang lain? Apakah tindakan tepat yang telah dilaksanakan oleh organisasi? Pada sudut mana penambahbaikan boleh dibuat?

Bagaimana organisasi boleh menangani persaingan dan mengatasi pesaing? Apakah masa depan yang anda bayangkan untuk organisasi dan diri anda sendiri? Apakah trend yang anda jangka akan muncul? Apakah idea anda tersusun dan mampu anda kemukakan dengan lancar? Jawapan yang sistematik selalunya menarik perhatian penemuduga.

Kelapan, sediakan beberapa soalan kalau-kalau penemuduga memberi peluang untuk anda mengemukakan soalan. Jika peluang itu tidak diberi, minta izin untuk mengemukakan beberapa komen yang telah anda susun dengan teliti. Hindari soal gaji dan terma-terma lain, melainkan anda diminta untuk menyatakan terma anda.

Kesembilan, cuba untuk menyelidiki format temuduga. Sesetengah temuduga memerlukan anda membuat pembentangan. Jika perlu, pastikan pembentangan anda tidak terlalu sederhana. Pembentangan anda perlu mengandungi idea baru yang mampu menarik perhatian penemuduga. Elakkan daripada membuat pembentangan yang terlalu teknikal. Tidak semua penemuduga datang dari bidang keahlian yang sama dengan anda.

Kesepuluh, penampilan anda, misalnya baju, rambut, dan kasut, harus sesuai. Tanggapan pertama biasanya memberi kesan. Hindari pakaian yang pelik, sebaliknya bersederhana.

Kesebelas, sapa para penemuduga dengan mesra di awal temuduga. Jangan memberi tumpuan hanya kepada seorang penemuduga. Jika anda mempunyai CV atau bahan penerbitan yang ingin anda tunjukkan, minta izin daripada pengerusi panel penemuduga untuk mengedarkannya kepada penemuduga-penemuduga yang lain.

Jangan duduk sehingga anda diminta untuk berbuat demikian. Jika pengerusi terlupa, minta dengan sopan, "Boleh saya duduk?"

Kedua belas, tunjukkan sikap positif dan minat terhadap apa juga perkara yang ditanya. Tonjolkan komitmen, keghairahan, semangat, dan tekad untuk mencapai matlamat anda. Berbanding kebolehan, sikap anda akan lebih menentukan kedudukan anda. Sikap yang positif perlu disemai dan dituai. Ia perlu dihidupkan dari dalam kerana ia tidak akan menyala dengan sendiri.

Ketiga belas, jika anda telah menyediakan kenyataan pembukaan, nyatakannya sebelum anda menjawab soalan pertama. Awal yang baik akan menghasilkan akhiran yang baik juga.

Keempat belas, dengar dengan teliti setiap satu pertanyaan. Pastikan mata anda sentiasa melihat penyoal. Jika soalan tidak jelas, minta dengan sopan agar ia diulang. Berikan jawapan dalam ayat yang penuh dan tidak terputus-putus. Jangan teragak-agak sewaktu memberikan jawapan. Kemahiran komunikasi adalah senjata paling penting dalam temuduga dan juga jika anda memegang peranan kepimpinan di masa depan. Adakala cara anda menyampaikan sesuatu adalah lebih penting daripada isi yang ingin anda sampaikan!

Kelima belas, bersikap pro-aktif dengan menyelitkan maklumat yang mampu menonjolkan pencapaian anda. Bagaimanapun, jangan berlebihan. Bersikap jujur tentang batas kemampuan anda, nyatakan bagaimana anda akan memperbaiki diri dan tunjukkan tekad bahawa anda tidak akan membiarkan kekurangan itu menghalang anda untuk maju.

Keenam belas, jangan tawar hati jika dikemukakan dengan pertanyaan-pertanyaan yang kasar. Adakalanya pertanyaan sedemikian dikemukakan untuk menguji sifat anda. Kata Hemingway: "Courage is grace under pressure." Orang yang berani adalah orang yang teguh ketika berdepan tekanan. Kesabaran menunjukkan kekuatan.

Ketujuh belas, gunakan bahasa yang sama yang digunakan oleh penemuduga, kecuali jika penemuduga meminta anda menggunakan bahasa tertentu.

Kelapan belas, jangan mengeji bekas majikan, organisasi atau rakan-rakan sekerja anda.

Kesembilan belas, ucapkan terimakasih kepada setiap penemuduga di hujung sesi dan akhiri dengan kenyataan penutup.

Akhir sekali, jangan patah hati jika gagal. Jangan putus asa. Yang lebih membezakan antara orang yang berjaya dan orang yang gagal adalah tekad dan ketabahan mereka, bukan kebolehan.

Teruskan memasang impian. Banyak realiti yang bermula sebagai mimpi. Bagaimanapun, jangan pula memasang angan-angan seperti Mat Jenin. Langkah perlu diambil. Ingat Kipling: "If you can dream but not make dreams your master. If you can think but not make thoughts your aim" (Bermimpilah, tetapi jangan jadikan mimpi anda tuan. Berfikirlah, tetapi jangan jadikan pemikiran anda sebagai matlamat.)

> Shad Saleem Faruqi adalah Profesor Emeritus Undang-undang di UiTM. Pandangan yang diungkapkan di sini adalah pandangan penulis sendiri sepenuhnya.

Tindakan Tegas Termasuk Buang Kerja Terhadap Individu Salah Guna Peruntukan

Posted: 08 Oct 2013 04:39 PM PDT

 MSTAR ONLINE
 
 
KUALA LUMPUR: Dua Ahli Dewan Negara mahu kerajaan mengambil tindakan tegas termasuk dibuang kerja ke atas mereka yang terlibat dalam isu kepincangan pengurusan kewangan seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman berkata selain tindakan displin, pegawai dan staf mana-mana kementerian yang melakukan penyelewangan itu perlu diheret ke mahkamah bagi memastikan kesalahan yang sama tidak diulangi.

Sambil menyifatkan pihak tidak bertanggungjawab itu sebagai penjenayah, beliau berkata permasalahan laporan audit telah mencemarkan imej kerajaan dan negara di mata dunia.

"Orang Kelantan cakap ini 'tipu atas darat'. Peliknya, selepas beberapa ketika, kita tak dengar pun tindakan-tindakan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam mengurus, menyemak atau melulus pembelian seumpama itu.

"Oleh itu saya berharap, seperti harapan ahli-ahli Dewan Negara serta rakyat, supaya siasatan dan tindakan diambil terhadap mereka yang terlibat itu," katanya ketika membahaskan rang undang-undang Perbekalan Tambahan (2013) 2013, bacaan kali kedua.

Abdul Rahim berkata, jika 'kepincangan' yang berlaku itu didiamkan tanpa sebarang tindakan, perkara itu dibimbangi akan berterusan dan laporan audit yang diterbitkan setiap tahun akan hanya dilihat sekadar laporan semata-mata.

"Saya ingin cadangkan, kalau boleh dalam laporan audit akan datang, maklumkan apakah tindakan yang telah diambil susulan daripada laporan terdahulu," tegasnya.

Sementara itu, Senator Baharudin Abu Bakar ketika mencelah perbahasan Abdul Rahim melahirkan rasa hairan berhubung kejadian penyelewengan dan salah laku pengurusan kewangan serta aset kerajaan yang berterusan tahun demi tahun seperti dicatatkan dalam laporan audit.

"Ini perlu diambil tindakan sebab ini berkaitan dengan imej kerajaan. Sebenarnya imej kerajaan tercalar bukan disebabkan pentadbiran, tetapi disebabkan oleh segelintir mereka yang dilaporkan dalam laporan audit," katanya.

Terdahulu, Abdul Rahim ketika membahaskan perbekalan tambahan melibatkan Kementerian Dalam Negeri menempelak pihak-pihak tertentu yang dilihat membela nasib penjenayah apabila penjenayah itu diambil tindakan oleh pihak polis.

"Ini yang peliknya, sebaliknya tindakan polis itu pula dikritik. Apa yang menyedihkan, suara-suara itu datangnya daripada pihak yang kononnya berjuang atas kapasiti hak asasi manusia," katanya. - BERNAMA

Wang dan kuasa jadi rebutan dalam MCA

Posted: 08 Oct 2013 04:28 PM PDT

MALAYSIA CHRONICLE

Wang dan kuasa jadi rebutan dalam MCA   
Dua insiden yang berlaku dalam MCA minggu lalu dilihat mempunyai persamaan; Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (gambar) sedang mengukuhkan kedudukannya menjelang pemilihan parti itu pada Disember depan.

Sehari selepas veteran parti Datuk Lee Hwa Beng dipecat kerana menjemput pemimpin pembangkang semasa pelancaran bukunya, Timbalan Presiden MCA, Datuk Datuk Seri Liow Tiong Lai menerima kecaman kerana meninggalkan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) secara tergesa-gesa pada 20 Oktober.

Kedua-dua insiden berkenaan mengakibatkan Dr Chua dan sekutunya bertikam lidah dengan golongan penentang untuk memastikan laluan mudah sama ada diri ataupun penggantinya mengawal aset bernilai RM2 bilion.

"Jelas bukan?" kata bekas timbalan presiden MCA, Tan Sri Lim Ah Lek kepada The Malaysian Insider.

Lee dan Liow - yang sedang mengintai kedudukan tertinggi parti - sering dikritik oleh Dr Chua secara terbuka, malah Lee sendiri berkata, beliau sedang berkempen "Asal Bukan Chua Soi Lek" kerana Dr Chua memalukan komuniti Cina dan parti akibat daripada skandal seksnya.

Walaupun Dr Chua sebelum ini berkata beliau tidak akan mempertahankan kerusi berkenaan, tindakan terbarunya itu menimbulkan spekulasi bahawa pemimpin dari Johor itu akan berubah fikiran.

Persoalan yang timbul adalah mengapa mereka berebut jawatan parti yang ditolak oleh rakyat semasa pilihan raya umum pada 5 Mei lalu?

Jawapannya adalah disebabkan kuasa dan wang.

Parti veteran Cina dalam Barisan Nasional (BN) itu dikenal pasti mempunyai senarai aset, termasuk blok pejabat 43 tingkat gred A yang menjana pendapatan RM2 juta sebulan dan ia terletak di lokasi berharga di ibu negara.

Mereka juga memiliki kepentingan sebanyak 42.4% dalam pengedaran akhbar berbahasa Inggeris The Star sejak 2010, pendapatan daripada kedua-dua Wisma MCA dan dividen daripada Star membolehkan MCA menerima jumlah pendapatan bernilai  RM320 juta.

"Duit itu boleh disalurkan kepada parti, dan siapa juga menjadi presiden berkuasa menentukan arah tujuan duit berkenaan. Secara ringkas, ia boleh digunakan untuk menarik kesetiaan," kata seorang "warlord" MCA.

Presiden juga berkuasa untuk mengesyorkan jawatan di pelbagai peringkat agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan, dan mengesyorkan gelaran kehormatan dianugerahkan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk penyokong setia, yang akan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai ketua parti.

Masih terdapat banyak kepentingan dalam mendapatkan jawatan kerajaan seperti yang terbukti dalam ketiga-tiga resolusi EGM untuk mengubah pendirian sebelum ini.

Ia ditetapkan selepas MCA gagal mencapai sasaran mereka pada PRU13, malah kehilangan separuh kerusi mereka apabila hanya memperolehi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 15 Parlimen dan 32 kerusi DUN pada pilihan raya 2008.

Putrajaya juga memberikan kekosongan bagi jawatan Menteri Pengangkutan untuk MCA yang sekarang ini diisi sementara oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Pertembungan ini tidak akan berhenti kerana ia tidak akan menghasilkan pemenang kerana mereka kalah teruk dalam pilihan raya.

"Mereka cuba menewaskan mana-mana pihak untuk kuasa dan kegagalan untuk bekerjasama ini menunjukkan karakter kepimpinan mereka," kata Pengarah Center for Policy Initiative (CPI), Dr Lim Teck Ghee.

Pada akhirnya, 6.9 juta populasi Cina melihat pemimpin MCA hanya mementingkan diri mereka sendiri, kata pengkritik.

"MCA di persimpangan. Jika permainan mereka masih lagi sama, mereka tidak lagi relevan kecuali muka dan kepimpinan baru ditonjolkan dan memahami mengapa rakyat meminggirkan mereka," kata pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian.TMI

Khabar ‘konspirasi penyandang' GEGARKAN UMNO: Calon-calon pilihan presiden mungkin JATUH

Posted: 08 Oct 2013 04:21 PM PDT

Oleh Nawawi Mohamad, Stan Lee, Malaysia Chronicle



KUALA LUMPUR - Walaupun pernah digantung oleh Umno, berikutan penglibatannya dalam politik wang pada tahun 2009, bekas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam berkata peluangnya untuk memenangi salah satu daripada 3 kerusi naib presiden dalam pemilihan parti yang akan datang sebagai "sangat cerah".

Menurut agensi berita nasional Bernama, Ali berkata dia yakin menang walaupun ada khabar angin tentang konspirasi untuk mengekalkan penyandang yang sedia ada.

"Semua calon-calon mempunyai rekod yang baik, begitu juga dengan saya. Sekarang Umno sedang menjalani proses transformasi dan mengamalkan demokrasi yang lebih luas dengan membenarkan lebih banyak perwakilan untuk memilih pemimpin. Saya rasa saya mempunyai peluang yang sama untuk menang," Bernama melaporkan Ali Rustam sebagai berkata.

Dia bercakap kepada pemberita selepas upacara menerima Ijazah Sarjana dalam Kesusasteraan di Universiti Malaya pada hari Rabu.

Masih marah dengan kejadian 'sabotaj'

Walaupun bekas orang kuat Melaka yang berprofil tinggi ini nampaknya sedang hidup selesa, dia seolah-olah belum puas lagi. Antara sebabnya adalah, mengikut pemberi maklumat dalaman Umno, dia masih sangat marah dan berdendam terhadap "beberapa orang dalam Umno" yang bertanggungjawab atas kekalahannya pada pilihan raya umum 5 Mei yang lalu.

Ali Rustam dikalahkan oleh Shamsul Iskandar Akin dari PKR dan telah menyalahkan sabotaj dari dalam parti berikutan kekalahan tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Presiden Umno, telah cuba untuk menenangkan keadaannya dengan melantik Ali sebagai ketua unit pelaburan Melayu PUNB serta menyokong perlantikannya sebagai ahli senator Melaka.

Ada yang mungkin berkata bahawa Ali begitu 'tamak' dan mahukan lebih dari itu. Namun, lelaki berusia 64 tahun yang bercita-cita tinggi ini tidak mungkin hilang dengan begitu sahaja.

Walaupun terpaksa berhenti akibat tuduhan politik wang dalam pemilihan parti sebelum ini, di mana dia telah bertanding untuk jawatan timbalan presiden, Ali kini mahukan sekurang-kurangnya jawatan Naib Presiden.

"Baginya, ia seperti dirinya telah ditikam dari belakang sebanyak dua kali. Dia secara terang-terangan 'dipaksa' untuk keluar dari perebutan jawatan no 2 tertinggi itu pada tahun 2009 untuk membolehkan Muhyiddin Yassin menang. Kemudian pada pilihan raya umum baru-baru ini, beberapa pihak dalam Umno nampaknya membayar wang yang banyak untuk mendapatkan pengundi untuk mengundi pembangkang di konstitusinya," kata seorang pemerhati Umno kepada Malaysia Chronicle.

'Konspirasi penyandang'

Jelas daripada komen Ali bahawa dia akan melakukan apa sahaja demi mencabar penyandang kerusi Zahid Hamidi , yang juga Menteri Dalam Negeri , Shafie Apdal, Menteri Luar Bandar, dan Hishammuddin Hussein, Menteri Pertahanan yang juga merupakan sepupu Najib.

"Konspirasi " tentang penyandang kerusi telah dispekulasi selama beberapa bulan dan Najib sendiri telah meminta ahli-ahli untuk memilih "kestabilan" yang dikatakan sebenarnya bermakna bahawa dia memberi sokongan kepada penyandang kerusi yang sedia ada.

Khabar angin ini bertuip kencang untuk memastikan bahawa asas kuasanya kekal utuh, terutamanya mengenai sepupunya Hishammuddin, Najib telah menawarkan Ali Rustam jawatan PUNB yang lumayan serta memberi sokongan ke atas perlantikan Ali Rustam sebagai Senator di Dewan Undangan Negeri Melaka.

Pemerhati Umno berkata tidak ada tanda-tanda yang lebih jelas lagi ditujukan kepada Ali Rustam iaitu pelantikannya sebagai Senator adalah kerana Najib mahu dia keluar dari politik persekutuan.
Tetapi Ali Rustam nampaknya tidak menurut perintah, sekurang-kurangnya tidak secara terbuka.

Politik, terutamanya dalam pecahan-pecahan Umno, penuh dengan tipu muslihat dan pengkhianatan. Apa yang sebenarnya berlaku di belakang tabir, apa tawaran kepada Ali dan dengan siapa dia berunding masih tidak diketahui dan belum nyata.

Calon-calon pilihan presiden mungkin jatuh umpama 'Humpty-Dumpty'

Selain daripada Ali, pencabar lain adalah Menteri Besar Kedah , Datuk Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Felda, Isa Samad.

Mukhriz disokong oleh bapanya, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang juga orang kuat , manakala Isa juga mempunyai rekod tercemar sama seperti Ali Rustam.

Isa digantung daripada Umno kerana telah membeli undi untuk mengekalkan jawatannya dalam pemilihan Umno yang sebelumnya. Walau bagaimanapun , Isa mempunyai sokongan akar umbi sendiri dan merupakan calon yang popular walaupun pernah digantung akibat rasuah.

Mukhriz kini nampak gemilang dengan publisiti media yang positif, tidak mustahil, ayahnya Mahathir telah memainkan peranan besar di sini.

Akan tetapi, sama ada Mukhriz benar-benar boleh merebut salah satu jawatan Naib Presiden masih belum boleh dipastikan . Begitu juga dengan Ali Rustam dan Isa Samad.

Kesemua 3 pencabar seolah-olah memberi tumpuan yang serius dalam kempen mereka dan penyandang – walaupun merupakan 'orang-orang presiden' - mungkin akan mendapati dirinya dalam pertandingan yang sengit.

Kekalahan dan pertukaran penyandang tidak boleh dinafikan akan berlaku pada peringkat ini , menurut sumber dalaman Umno yang semakin teruja menghampiri 19 Oktober, hari pengundian itu nanti.

Translated by Huzainah A Rani, Malaysia Chronicle

Tiada ulasan: