DIALOG RAKYAT |
- 'Saya tak pernah dengar Umno transformasi'
- Kredibiliti konsultan luar dipersoal, Putrajaya berdepan kritikan
- KKMM sedia beri kerjasama kepada SPRM
- Pemilik pangsapuri kos rendah layak terima diskaun 25 peratus
- Kerajaan Pusat digesa bela nasib 6,000 graduan GSTT
- Pentas Anti -TPPA : Anwar setuju hadir , Tun M belum pasti
- PKR gesa Mahkamah Tuntutan Tribunal kaji semula tuntutan
- Selangor akan ambil alih untuk atasi kelemahan kewangan KUIS
'Saya tak pernah dengar Umno transformasi' Posted: 04 Oct 2013 04:48 PM PDT Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin SHAH ALAM - 'Saya tak pernah dengar Umno transformasi.' Demikian reaksi Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin ketika diminta mengulas soal transformasi politik dalam sesi diskusi Memacu Transformasi Politik Malaysia. Soalan dibangkitkan moderator yang juga Penasihat Eksekutif Editorial, Datuk Abdul Jalil Ali berhubung usaha Umno meremajakan parti itu dengan mewujudkan transformasi namun mengetengahkan calon yang tidak bersih. "Saya tak pernah dengar Umno transformasi. Yang saya dengar, Malaysia yang transformasi," katanya pada sesi diskusi anjuran Sinar Harian dan Akademi Belia, hari ini. Beliau berpendapat, Umno tidak perlukan transformasi sebaliknya melihat strategi yang boleh diguna pakai dalam menarik sokongan. "Pada saya, Umno tak perlu transformasi. Umno perlu lihat apa strateginya. "... soalnya strategi dapatkan sokongan. Bagaimana nak kukuh apa yang mereka ada sekarang," katanya. Diskusi ini membincangkan kandungan buku karya bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berjudul Memacu Transformasi yang baru dilancarkan, petang ini. Selain Shamsul Amri, diskusi ini turut menampilkan Penasihat Sosial Masyarakat India Malaysia, Dr Vijay Shanmugam dan Bekas Pengerusi Perhubungan Kelab Umno Luar Negara-Australia/New Zealand, Izhar Moslim. |
Kredibiliti konsultan luar dipersoal, Putrajaya berdepan kritikan Posted: 04 Oct 2013 04:41 PM PDT Kemarahan dan keluhan semakin kedengaran di kalangan ahli politik Umno, blogger dan penjawat awam yang membantah pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Razak (gambar) kerana terlalu bergantung kepada konsultan, daripada merangka polisi awam sehinggalah kepada kerja-kerja remeh seperti menyediakan pembentangan power point kepada agensi-agensi dalam kerajaan. Malah secara faktanya, terdapat kebimbangan yang besar ke atas kerajaan dan pengurusan aset negara Khazanah Nasional yang mengambil khidmat konsultan luar seperti McKinsey and Co, Boston Consulting Group, Frost and Sullivan, Ernst and Young dan sebagainya, sehingga menimbulkan persoalan yang membingungkan. Adakah kebergantungan kepada perunding ini membawa kepada penurunan kualiti sektor perkhidmatan awam negara? Mengapa Khazanah Nasional dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan mengupah konsultan ini untuk operasi pejabat, sedangkan mereka mempunyai beribu-ribu pekerja yang dibayar dengan gaji yang tinggi? Terdapat konsultan yang dikaitkan dengan setiap tugasan utama di Malaysia. Daripada pelan Iskandar, hinggalah pelan tindakan pendidikan, koridor ekonomi, rancangan lima tahun ekonomi, kereta api berkelajuan tinggi ke Singapura, strategi pilihan raya, penjenamaan, dan sebagainya. Tekanan yang dihadapi parti pemerintah dan perkhidmatan awam ke atas perkhidmatan luar Malaysia dilihat telah pun bermula. Satu kajian daripada penyokong Umno dan kakitangan awam badan kajian bebas Merdeka Center mendapati rasa tidak puas hati yang tinggi terhadap penggunaan perunding kerajaan ini. Sebanyak 42% daripada mereka yang ditinjau berasakan perunding yang digunakan pentadbiran Najib tidak memberi sumbangan yang memuaskan. Baki 30% pula tidak pasti mengenai sumbangan perunding. Dalam perbincangan bersama kumpulan kecil dengan ahli-ahli akademik, badan pengkaji tersebut mendapati wujud kemarahan terhadap kecekapan agensi kerajaan iaitu Pemandu, dimana pensyarah universiti kecewa kerana terpaksa menerima arahan daripada konsultan tersebut tanpa mempunyai matlamat yang jelas serta tidak memahami situasi sebenar yang berlaku di dunia. The Malaysian Insider mendapat tahu pendedahan baru-baru ini dimana McKinsey mengenakan RM20 juta untuk menyediakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan telah membawa kepada persoalan mengenai bilangan perunding dan bil-bil yang dikemukakan mereka di Dewan Rakyat. Malah terdapat juga beberapa ahli Parlimen telah meminta Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) untuk meneliti kesan bayaran terhadap kajian atau analisis yang dilakukan oleh konsultan tersebut. Blogger pro-Umno terkenal Syed Akbar Ali menulis mengenai perkara tersebut semalam yang menyatakan sebuah syarikat konsultan Frost & Sullivan telah berkembang daripada 10 orang di Malaysia pada tahun 2000 kepada 120 orang tahun ini, dengan kebanyakan pelanggannya adalah daripada agensi dan syarikat berkaitan kerajaan. "Syarikat itu mendapat perolehan sebanyak AS$45 juta (kira-kira RM140 juta) tahun lepas. Keuntungan hampir AS$9 juta (kira-kira RM28 juta). Saya fikir mereka telah menemui El Dorado mereka di Malaysia di dalam akaun bank Khazanah," kata Syed Akbar laman blognya, OutSyed the Box. Beliau juga mendedahkan Frost & Sullivan bakal membuka sebuah pejabat di Iskandar Malaysia, yang dikendalikan oleh Khazanah Nasional. Beliau membidas syarikat tersebut kerana dengan dengan bongkaknya mengatakan mereka akan menjadi sebuah syarikat terbesar di dunia dengan 830 kakitangan pada tahun 2020. Syed Akbar juga menegaskan bahawa Frost & Sullivan memberi anugerah yang tidak diketahui dikenali'Global Award for Visionary Innovation Leadership' kepada Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar semasa lawatan keduanya ke San Francisco di mana syarikat negara yang kaya tersebut telah membuka pejabatnya. "Dan ia begitu mudah untuk menggembirakan orang bodoh. Hanya memberikan mereka anugerah tersebut dan mereka akan menyerahkan semua wang tunai kami," kata beliau |
KKMM sedia beri kerjasama kepada SPRM Posted: 04 Oct 2013 04:37 PM PDT Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)jika suruhanjaya itu berhasrat melakukan siasatan terhadap jabatan di bawah kementerian berkenaan berhubung Laporan Ketua Audit Negara yang dibentang baru-baru ini. Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar) berkata sehingga kini, KKMM masih mengumpul maklumat dan meminta jabatan terbabit menyediakan laporan untuk memperjelas tuntutan yang dilaporkan. "Kita tengah mendapatkan maklumat daripada semua pegawai tentang perkara itu. "Saya akan tengok, kalau yang mana tidak betul, tindakan akan diambil dan kita tak ada masalah untuk memberi kerjasama kepada SPRM (sekiranya perlu)," katanya. Beliau berkata KKMM juga bersedia mendengar alasan yang diberi jabatan berkenaan, bagaimanapun, tidak akan berkompromi jika terbukti terdapat penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan berlaku. Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012, Jabatan Penyiaran didapati membelanjakan RM14,670 seunit bagi pembelian pengimbas kertas bersaiz A4 berbanding harga pasaran RM200 seunit. – Bernama |
Pemilik pangsapuri kos rendah layak terima diskaun 25 peratus Posted: 04 Oct 2013 04:32 PM PDT SHAH ALAM : Pemilik pangsapuri kos rendah di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) layak menerima diskaun cukai taksiran 25 peratus. Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Jaafar Atan, berkata pemberian diskaun itu tertakluk kepada pemilik bermastautin atau mendiami sendiri petak/unit di sesebuah pangsapuri kos rendah berharga bawah RM42,000. "Pemilik juga perlu mengemukakan hakmilik strata sebagai bukti dokumen pemilikan rumah mereka. "Bagi pemilik tiada atau masih belum membuat pindah milik hakmilik strata, mereka boleh mengemukakan surat perjanjian jual beli sebagai bukti dokumen pemilikan rumah," jelasnya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat pembentangan Belanjawan MBSA 2014. Beliau berkata, pemilik boleh mendapat perakuan sah pemastautin daripada mana-mana Badan Pengurusan Bersama (Pengerusi/Setiausaha sahaja) atau Ahli Majlis. Mohd Jaafar, berkata pemilik perlu membuat permohonan diskaun cukai taksiran pada setiap penggal kerana pemberian diskaun cukai taksiran tidak diperoleh secara automatik. "Waris pemilik juga layak dapat pengurangan diskaun ini, sama ada pemilik masih hidup atau meninggal dunia," katanya. Untuk menyemak senarai pangsapuri layak memohon, pemilik boleh merujuk kepada Bahagian Pesuruhjaya Bangunan atau menghubungi di talian 03-5510513 sambungan 380 / 397 / 532 / 525. LIHAT VIDEO DI SINI |
Kerajaan Pusat digesa bela nasib 6,000 graduan GSTT Posted: 04 Oct 2013 04:30 PM PDT SHAH ALAM : Kerajaan Pusat digesa membela nasib lebih 6,000 graduan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang masih belum mendapat penempatan sehingga sekarang. Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berkata, Kerajaan Pusat perlu memberikan penjelasan dan statistik kekosongan guru di semua sekolah agar dapat dinilai dengan perancangan yang sewajarnya untuk menyelesaikan masalah itu. Katanya, perkara itu menunjukkan kegagalan Kerajaan Pusat membuat perancangan sempurna yang membazirkan sumber negara. Menurut Nie Ching, pada Januari 2012, Kementerian Pendidikan membuka kursus Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Akan tetapi graduan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang tamat pengajian tersebut pada bulan Mei tahun ini masih belum mendapat penempatan sehingga sekarang. "Graduan GSTT-DPLI adalah sebanyak 6,020 orang iaitu seramai 2,017 orang di bawah kategori Sekolah Rendah dan 4,003 orang di bawah kategori Sekolah Menengah. "Senarai calon dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan temuduga dijangka akan dijalankan pada bulan Oktober dan lantikannya bermula pada bulan Januari tahun depan," kata Nie Ching dalam satu kenyataan. Tambah Nie Ching, laman web Kementerian Pendidikan atau SPP masih belum ada sebarang maklumat tentang temuduga tersebut sehingga sekarang. Apabila graduan-graduan menelefon Jabatan berkenaan, pegawai tersebut tidak dapat memberi tarikh temuduga seperti yang dikatakan oleh Timbalan Menteri. "Kesemua graduan tersebut menandatangani kontrak perkhidmatan selama 2 tahun dengan Kementerian maka ini menjadi halangan mereka mencari pekerjaan alternatif terutamanya di sektor swasta. "Pernahkah Kementerian mengambil berat terhadap mereka apabila mereka perlu menunggu penempatan selama 7 bulan dan menghadapi masalah pengangguran serta menanggung kos sara hidup yang tinggi?," katanya. Nie Ching berkata, survey tidak rasmi menunjukkan bahawa seramai 100-120 kekosongan guru di sekolah rendah. "Jika kekurangan sudah lama berlaku, mengapakah temuduga dan penempatan graduan GSTT-DPLI masih lagi ditangguh? "Tambahan pula, pengajian DPLI melahirkan 6,000 tenaga pengajar yang masih menunggu penempatan, perkara ini menimbulkan satu keraguan besar," katanya. |
Pentas Anti -TPPA : Anwar setuju hadir , Tun M belum pasti Posted: 04 Oct 2013 04:28 PM PDT SHAH ALAM : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk naik ke Pentas Perdana Anti-TPPA yang akan berlangsung pada malam 10 Oktober 2013 di Kelab Sultan Sulaiman Kg Baru. Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, berkata dua tokoh ternama Anwar dan Tun Mahathir, diundang ekoran mereka mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi perdagangan antarabangsa. "Ia satu ruang dan peluang yang penting untuk Anwar dan Tun Mahathir menjelaskan segala persoalan khususnya mengenai Perjanjian TPPA yang penuh agenda tersembunyi. Menurut Badrul Hisham, pihaknya masih menunggu jawapan dari pihak Tun Mahathir dan optimis bahawa Tun Mahathir akan mempertimbangkan kehadirannya di pentas perdana. "Anwar membuktikan betapa segala persengketaan lalu wajar diketepikan demi memastikan tanahair ini tidak dijual melalui skim perjanjian TPPA," kata beliau. |
PKR gesa Mahkamah Tuntutan Tribunal kaji semula tuntutan Posted: 04 Oct 2013 04:24 PM PDT PETALING JAYA : PKR menggesa kepada Mahkamah Tribunal Tuntutan untuk mengkaji semula keputusan tuntutan pengguna yang mengalami kerugian akibat masalah bekalan air berpunca daripada Syabas. Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamarudin berkata, beliau akan membawa isu ini ke Parlimen berkenaan bidang tugas Mahkamah Tribunal Tribunal yang memerlukan penjelasan. "Sekiranya kes air seperti ini bukan bidang kuasa mahkamah tribunal maka ia bidang kuasa siapa?, " soal Zuraidah dalam sidang medianya di Ibu Pejabat PKR di sini. Jelas Zuraidah, Mahkamah Tribunal Tuntutan perlu dirombak jika ada polisi yang tidak memihak kepada pengguna. "Sekarang ini berlaku kekerapan gangguan bekalan air di kawasan Gombak dan Ampang. "Syabas perlu bekerja efisien mempertingkatkan kerja mereka dan tidak boleh melepaskan diri tanpa memberikan pampasan kepada pengguna," kata Zuraidah. Sebelum ini, Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna memutuskan tribunal itu tidak mempunyai kuasa bagi mendengar perbicaraan tuntutan kerugian akibat masalah bekalan air terhadap Syabas. Sebaliknya pihak penuntut gantirugi dinasihat agar memfailkan tuntutan di Mahkamah Sivil. |
Selangor akan ambil alih untuk atasi kelemahan kewangan KUIS Posted: 04 Oct 2013 03:56 PM PDT SHAH ALAM : Kerajaan Negeri bercadang mengambil alih Kolej Univesiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bagi menyelamatkan kolej itu daripada terus dilanda masalah kewangan. Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata usaha pembelian saham KUIS bersama Kerajaan Negeri itu, bagaimanapun masih dalam proses rundingan. "KUIS adalah milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), jadi mustahil KUIS dari entiti yang berbeza akan memaklumkan semua masalahnya kepada Kerajaan Negeri seperti mana yang dilakukan Unisel. "Setelah melihat KUIS berdepan masalah kewangan ditambah pula dengan prestasi yang tidak berapa baik, Kerajaan Negeri tampil membantu dengan membeli sahamnya," ujarnya ketika dihubungi TVSelangor. Dr Halimah berkata, dengan adanya pegangan saham itu nanti, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa mengemas kini urus tadbir sedia ada, selain menyalurkan dana untuk menaik taraf kemudahan pendidikan di kolej itu. Sementara itu, Timbalan Rektor Pengurusan Korporat KUIS, Dr Zulkefli Hamid berkata, pihak pengurusan kolej akan membuat kenyataan mengenai perkara itu dalam masa terdekat. Baru-baru ini, Laporan Ketua Audit Negara 2012 memaklumkan prestasi kewangan KUIS didapati kurang memuaskan dengan kerugian sebelum cukai bernilai RM11.30 juta pada tahun 2011. Turut ditekankan pada laporan tersebut ialah pengurusan KUIS yang dikendalikan KUIS Sdn. Bhd. kurang memuaskan termasuk tindakan pengambilan pelajar yang tidak mencapai sasaran ditetapkan. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan