DIALOG RAKYAT |
- Siswa M’sia di Australia rancang himpunan pertahan hak bersuara
- Politik wang adalah nyawa Umno - Teras
- Sah, Umno alergik dengan undi popular
- PAS Kelantan yakin pertahan Dun Sungai Limau
- Hishammuddin Kesal Ada Pihak Melabelnya Pemimpin Lembik
- Pemilihan Umno: Zahid Dahului Pencabar Lain
- Impian Sarawak Kampung Sait – Mok Ayun
- Mungkinkah wujud Malaysia jika isu kalimah Allah bangkit 50 tahun lalu?
- RM1.08 bilion lagi duit Petronas lebur selamatkan syarikat swasta
- INSIDEN BAKAL MEMBUAT UMNO/BN BERTAMBAH MARAH DENGAN DSAI
- Kalimah Allah: Emosi dan realiti
- Siling Hospital Serdang runtuh 3 kali dalam3 tahun
- TRW tewaskan ATM 2-1
- Cadangan tambang baharu dikemuka tahun depan
- Tukar milik kenderaan melalui dalam talian Nov ini
Siswa M’sia di Australia rancang himpunan pertahan hak bersuara Posted: 19 Oct 2013 03:01 AM PDT KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR : Satu himpunan bagi mempertahankan hak bersuara dan kebebasan maklumat kepada mahasiswa Malaysia di luar negara akan diadakan di Elder Hall, Adelaide University, Australia. Menurut laman Facebook Adun Semambu, Pahang, Lee Chean Chung, himpunan akan diadakan pada hari Sabtu , 19 Oktober ini bernula jam 10 pagi, waktu Australia. Peserta himpunan turut digalakkan memakai pakaian hitam sebagai simbol bantahan. "Sejurus selepas insiden pemegang biasiswa JPA diberi amaran supaya jangan hadir program Anwar Ibrahim di Australia, sekumpulan mahasiswa kita akan membuat bantahan di Universiti Adelaide. "Saya memberikan sokongan penuh kepada mereka yang berani dan matang," tulis Lee di laman Facebook beliau. Himpunan dibuat sebagai bantahan terhadap amaran Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) dipercayai kepada semua penerima biasiswa JPA daripada menghadiri i sesi awam bersama Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Laman Keadilandaily sebelum ini mendedahkan e-mel dihantar pegawai penasihat pelajar JPA, Sharezan Md Sheriff yang akan mengambil tindakan keras ke atas penerima biasiswa JPA yang terlibat. Kandungan e-mel menyatakan, tindakan menghadiri program tersebut menyulitkan mahasiswa mengekalkan gred, manakala biasiswa boleh ditarik semula. Dalam pada itu, Anwar akan menyampaikan pidato pada sesi awam di Festival of Ideas 'Dissent and Democracy' di Adelaide University. Beliau turut diundang Masyarakat Islam Selatan Australia (ISSA) untuk berkhutbah di Masjid Abu Bakr Assiddiq, Adelaide, Australia hari ini. Manakala satu program sembang santai, #MeetAnwar akan diadakan Watson Avenue, Rose Park, South Australia pada hari Sabtu atas anjuran Kelab Anwar Ibrahim (AIC) dengan kerjasama Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) Adelaide | ||||
Politik wang adalah nyawa Umno - Teras Posted: 19 Oct 2013 02:54 AM PDT
"Rehatkan Umno dari kuasa yang sudah menguasai seluruh darah daging, urat nadi dan saraf Umno sehingga nyawanya perlu dipulih bukan setakat melalui 'sistem sokongan' dengan rawatan ICU, malah perlu kepada pembedahan major dan penggantian organ dan darah yang sangat kritikal," ujar presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan. Katanya, alternatif perlu dicari dari wadah yang tidak dijangkiti oleh virus politik Umno. Beliau menyatakan demikian sebagai repons kepada kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bahawa rasuah berleluasa di dalam pemilihan Umno. Tambahnya, suatu 'over haul' total sekalipun , sukar dapat diharapkan dari pemilihan Umno di peringkat manapun. "Wadah politik yang boleh mengganti Umno hanya boleh dihadirkan melalui wadah yang dipimpin oleh insan soleh dan berketerampilan kelas negarawan mukmin," ujarnya lagi. Berikut kenyataan penuh beliau. "Korupsi berleluasa. Letih sebab duit banyak turun. Tak turun duit, tak dipilih," inilah pernyataan Tun Mahathir yang dilaporkan oleh media yang akhirnya menjelaskan inilah penyakit Umno yang hampir mustahil dikikis. Hari ini dikatakan suatu sejarah Umno dimulakan bila undian dari cawangan dan bahagian memilih ahli MT. Pada hakikatnya tidak ada yang baru dari segi politik Umno. Yang baru hanyalah kuantum politik wang yang beredar. Sekarang kos untuk meningkat kemungkinan calon menang menjadi lebih besar. Bilangan yang perlu "dibela" menjadi lebih berat. Dari sistem mengundi MT melalui perwakilan dan bertukar kepada sistem mengundi langsung dari ahli di peringkat cawangan dan bahagian, politik wang sudah sebati dengan Umno. Politik wang adalah nyawa Umno. Yang merunsingkan ialah pemimpin-pemimpin Umno tetap mendabik dada memperjuangkan bangsa Melayu. Persoalannya apakah yang dapat diharapkan dari sebuah wadah politik yang melahirkan sejumlah pemimpin yang bergelumang dengan politik wang memungkinkan nasib bangsa Melayu dan maruah negara boleh terbela. Politik wang adalah serupa dengan pasaran bebas. Di mana keuntungan paling tinggi dapat diraih ke situlah sokongan akan menumpu. Pertimbangan menjaga maruah bangsa, memelihara kepentingan negara pada hakikatnya adalah senarai terke bawah dalam keutamaan aktivis Umno. Bukan sahaja calon terpaksa mengguna dana yang cukup tinggi malah pelbagai agen calon dan broker politik berkeliaran mencari peluang memanfaatkan keadaan terbaik untuk mendapat keuntungan lumayan. Dalam Umno virus "percatutan politik" ( political profiteering ) tidak boleh dibunuh. Ia sudah menyatu dalam Umno bagaikan lagu dan irama, jiwa dan raga. Malah ia sangat menjadi-jadi sejak Mahathir mengambil alih. Ia barah terminal dan melumpuhkan seluruh daya tahan tubuh Umno persis Aids politik yang membawa maut. Malangnya yang sangat dikesali, dengan virus yang menjangkiti tubuh Umno itu pula, ia mengheret bangsa Melayu dan negara sendiri ke ambang kebangkrapan nilai sosio-budaya dan politik sekaligus mengadai maruah negara dan meluncurkan negara menjunam ke gaung hina dan nista. Politik Umno dibudayakan dalam pentadbiran negara dan tabiat bangsa Melayu. Penyakit Umno disuntik malah dalam dunia ilmu, media, intelektual dan ruang akademik itu sendiri. Malah dalam pentadbiran agama juga tidak selamat dari penyakit tabiat Umno yang merosakkan. Inilah anehnya bila Mahathir melahirkan kekesalannya mengenai pilihan dalam Umno yang meletihkan. Melabur dalam politik dan kemudiannya meraih "dividen politik" dalam bentuk projek dan peluang besar untuk mengkayakan diri adalah sebati dengan Umno. Perubahan untuk menyuntik darah baru dan angkatan muda yang lebih dinamik dan bermacam slogan yang muluk-muluk hanya retorik kosong. Yang berleluasa ialah politik bodek, politik ampu dan politik kroni. Bukan politik ilmu, jauh sekali politik pengorbanan. Jika adapun sedikit kesungguhan oleh mana-mana pihak untuk membawa perubahan sebenar, bakal pasti akan disingkirkan. Sebab itu tidak ada yang mahu perubahan yang sesungguhnya boleh membanteras barah itu sampai ke akar. Kepentingan peribadi terlalu tinggi untuk dilepaskan jika perubahan benar-benar digerakkan. Jauh sekali untuk menanam politik 'takut Allah' atau 'politik takut hisab di akhirat'. Itu semua menyakitkan telinga dan dianggap hanya sesuai dileterkan di masjid dan surau semata-mata. Politik sebenar dalam Umno adalah politik peluang. Peluang naik pangkat dan raih gelaran dan politik membolot kekayaan. Kami merakamkan pernyataan bahawa keperluan yang mendesak jika bangsa Melayu mahu selamat ialah dengan merehatkan Umno. Rehatkan Umno dari kuasa yang sudah menguasai seluruh darah daging, urat nadi dan saraf Umno sehingga nyawanya perlu dipulih bukan setakat melalui 'sistem sokongan' dengan rawatan ICU , malah perlu kepada pembedahan major dan penggantian organ dan darah yang sangat kritikal. Alternatif perlu dicari dari wadah yang tidak dijangkiti oleh virus politik Umno . Suatu "over haul" total sekalipun , sukar dapat diharapkan dari pemilihan Umno di peringkat manapun. Wadah politik yang boleh mengganti Umno hanya boleh dihadirkan melalui wadah yang dipimpin oleh insan soleh dan berketerampilan kelas negarawan mukmin. | ||||
Sah, Umno alergik dengan undi popular Posted: 19 Oct 2013 02:52 AM PDT
Selepas keputusan seri itu, Jawatankuasa Pemilihan kemudiannnya memutuskan pengiraan berdasarkan jumlah undi popular akan dilakukan untuk menentukan pemenang sebenar. Bagaimanapun semalam, kaedah undi popular itu tidak jadi dikira tetapi pengundian semula tiga bahagian pula akan dilakukan. Berikutan pendirian JK Pemilihan mahu mengira undi popular untuk menentukan pemenang itu, Khairy Jamaluddin yang baru menang sebagai Ketua Pemuda UMNO dengan meraih 189 undi telah meluahkan rasa tidak setujunya dengan kaedah itu, sebaliknya mahukan pemenang ditentukan melalui undi daripada Pemuda Gelang Patah yang belum bermesyuarat. KJ juga dilaporkan telah membawa isu itu kepada pengetahuan Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor untuk dipersetujui. Pendirian KJ itu telah mencetuskan dakwaan bahawa beliau menolak kaedah undi popular kerana lebih cenderung mahukan Khairul Azwan yang juga Ketua Pemuda UMNO Perak sebagai naibnya. Walaupun terikat dengan undi 73-73 tetapi jika pengiraan dilakukan berdasarkan undi popular, kelebihan pastinya memihak kepada Jamawi kerana beliau mendapat banyak sokongan daripada Pemuda bahagian-bahagian di Sabah yang mempunyai jumlah perwakilan cawangan lebih ramai. Selain dakwaan lebih mahukan Khairul Azwan sebagai naibnya, KJ turut didakwa menolak undi popular kerana tidak mahu dibayangi oleh Anwar Ibrahim yang mempopularkan kaedah itu berikutan keputusan PRU13 yang menyaksikan Pakatan Rakyat meraih 51 peratus undi popular berbanding BN yang cuma 47 peratus, walaupun kekuarangan 23 kerusi untuk menawan Putrajaya. Sejak itu perkataan undi popular sering menjadi basahan mulut Anwar dan lain-lain pemimpin PR untuk menggambarkan mereka lebih mendapat sokongan daripada rakyat berbanding BN. Kini dengan JK Pemilihan sendiri membuat u-turn dan menolak undi popular dan memutuskan penentuan pemenang Naib Ketua Pemuda akan ditentukan melalui pengundian semula daripada Pemuda UMNO Gelang Patah, Sabak Bernam dan Bachok, secara langsung mengesahkan lagi bahawa UMNO memang takut dan alergik dengan undi popular. Undi popular bagaikan hantu atau benda haram yang bukan saja cuba dielakkan daripada disebut dan didekati. Tajol Rosli selaku Pengerusi JK Pemilihan dan urusetia di ibu pejabat UMNO yang diketuai oleh Tengku Adnan barangkali terlupa bahawa sistem undi popular adalah sinonim dengan Anwar Ibrahim dan tanpa berfikir panjang terus memilih cara itu untuk menentukan pemenang apabila keputusan bagi jawatan nombor dua dalam Pemuda itu didapati seri. Maklumlah, mereka pernah rapat dan menjadi penyokong Anwar Ibrahim sebelum ini! Namun keputusan yang berubah-ubah dan tidak tetap ini tentunya mencalarkan kewibawaan JK Pemilihan, lebih-lebih lagi penolakan terhadap kaedah undi popular itu dilakukan setelah ia turut tidak dipersetujui oleh KJ sebelum ini. Adakah KJ campurtangan dan mempengaruhi keputusan itu? Atau adakah Tengku Adnan dan ibu pejabat UMNO juga ada peranan tidak mengguna-pakai undi popular itu? Persoalannya, apakah jika berlaku keputusan seri juga dalam pemilihan peringkat MT hari ini, kaedah undi popular akan ditolak juga, bahkan akan dicari bahagian-bahagian yang boleh dipertikaikan untuk diadakan pengundian semula? Dalam konteks Naib Ketua Pemuda ini, dengan penentuan melalui tiga bahagian yang pengundian akan dilakukan pada 23 Oktober ini, siapa pemenangnya sudah boleh dijangkakan sebenarnya. Walaupun pengundian turut melibatkan keempat-empat calon Naib Ketua Pemuda yang turut bertanding, persaingan sebenar hanyalah antara Khairul Azwan dengan Jamawi. Dengan hanya undi daripada tiga bahagian sebagai penentu dan kecenderungan KJ selaku Ketua Pemuda yang sudah mendapat mandat besar 189 undi dengan mudah dapat dibaca tentang siapakah orang nombor dalam Pemuda UMNO yang lebih dimahukannya, kelebihan pasti lebih memihak kepada Khairul Azwan. Ketiga-tiga bahagian yang bakal mengundi pada 23 Oktober ini, sebagaimana amalan biasa dalam UMNO, akan bergerak mengikut arus saja. Kebarangkalian untuk berani menentang arus sangat tipis. Sebab itu, dalam gambar yang tersiar di media-media semalam, ketika masing-masing akur dengan keputusan u-turn JK Pemilihan itu, Khairul Azwan ternampak lebih lebar senyumnya berbanding Jamawi Jaafar. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/ | ||||
PAS Kelantan yakin pertahan Dun Sungai Limau Posted: 19 Oct 2013 02:51 AM PDT
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, berdasarkan rekod lalu, calon PAS yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak telah memenangi lima kali Dun pada PRU. "Malah Allahyarham Ustaz Azizan telah memenangi kerusi Dun berkenaan sejak Kedah di zaman pemerintahan Umno lagi," ujarnya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan. Beliau yakin kemenangan akan memihak kepada PAS berdasarkan rekod kecemerlangan di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sebelum ini. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ibadat korban dan majlis bersama rakyat di Pejabat Dun Panchor, di sini semalam. Beliau memberitahu, PAS Kelantan akan menghantar petugasnya untuk berkempen bagi membantu kemenangan calon pada PRK itu nanti. Katanya, gelombang pertama akan memulakan tugas mereka bermula hari ini. "Pada kesempatan ini saya menyeru pada semua petugas kita bertugas dengan baik di samping sentiasa merujuk pada petugas tempatan bagi mengelak sesuatu yang tidak diingini. "Pada masa yang sama ikut arahan pimpinan yang telah ditetapkan, insyaalah kita berjaya," ujarnya. | ||||
Hishammuddin Kesal Ada Pihak Melabelnya Pemimpin Lembik Posted: 19 Oct 2013 02:45 AM PDT MSTAR ONLINE KLUANG: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bertanding mempertahan jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan melahirkan rasa kesal terhadap sesetengah pihak yang berterusan melabelnya sebagai pemimpin lembik terutama ketika menerajui Kementerian Dalam Negeri. Hishammuddin yang juga pemangku Menteri Pengangkutan berkata tuduhan yang dilempar terhadap beliau itu jelas tidak berasas dan berkemungkinan mempunyai sebab tertentu sehingga menimbulkan rasa tidak adil terhadap dirinya. "Jauh sekali saya lembik. Kalau lembik, negara sudah huru-hara. Kalau lembik, tidak mungkin saya bawa pindaan perlembagaan kepada parti. "Kalau lembik, tidak mungkin saya dapat bertahan selama lima tahun bersama KDN, melalui pilihan raya umum ke-13 lepas dalam keadaan aman dan selamat, dan tidak mungkin dapat melalui pemilihan parti pada hari ini," katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Sembrong, di Sekolah Menengah Sains Sembrong, di sini Sabtu. Sebanyak 481 anggota perwakilan bahagian itu menghadiri mesyuarat berkenaan.Turut hadir tanda memberi sokongan kepada beliau ialah isterinya, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah, anak sulung beliau yang sarat mengandung, Nasya Alyssa, dan suami Muhd Anas Zawawi Khalid, serta adik beliau Faris Tun Hussein. Hishammuddin berkata memang mudah bagi pihak tertentu menuding jari terhadapnya, namun beliau lebih suka mengambil pendekatan menangani ujian dan cabaran ini dengan memberikan penjelasan kepada para perwakilan bagi membolehkan mereka menilai rekod perkhidmatannya. Beliau berkata sebagai orang yang berada di landasan yang benar, beliau yakin para perwakilan terutama anggota perwakilan Sembrong memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadapnya. "Ketika berlaku pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, saya sekeluarga berkampung di sana selama tiga minggu bagi memastikan keadaan selamat. Itu pun orang kata saya lembik lagi ke?" katanya. Dalam pada itu, Hishammuddin sebagai Ketua Umno Bahagian Sembrong, mengingatkan anggota perwakilan bahagian itu supaya sentiasa bersatu dan beliau turut menyatakan rasa puas hati proses pemilihan parti di bahagian itu berjalan lancar. Beliau turut mengingatkan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda bahagian itu, Noraslina Zainal Abidin dan Onn Hafiz Ghazi yang memenangi jawatan masing-masing pada pemilihan sayap parti minggu lepas, supaya sentiasa bersedia berdepan dengan kritikan. Ketika ditemui pemberita, Nasya Alyssa berkata beliau hadir untuk memberikan suntikan semangat kepada bapanya. "Memang penat tetapi tidak mengapa kerana saya pun jarang mengikuti majlis politik sebegini," katanya yang hamil tujuh bulan. Nasya Alysaa dan Muhd Anas Zawawi, anak sulung Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, suami Datuk Siti Nurhaliza, bernikah pada November tahun lepas semasa berlangsungnya perhimpunan agung Umno. Hishammuddin sebelum itu berseloroh dengan para perwakilan bahawa beliau tidak sabar mahu menjadi 'datuk', menunggu kelahiran cucu sulungnya. -BERNAMA | ||||
Pemilihan Umno: Zahid Dahului Pencabar Lain Posted: 19 Oct 2013 02:43 AM PDT PETALING JAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid mendahului lima pencabar lain yang bertanding merebut jawatan Naib Presiden Umno dengan memperoleh 63 undi, mengikut keputusan tidak rasmi setakat 5 petang. Menurut keputusan tidak rasmi itu, Datuk Seri Shafie Apdal menyusul dengan 56 undi manakala Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendapat 35 undi. Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir pula memperoleh 30 undi diikuti Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad masing-masing empat undi. Dr Ahmad Zahid menerima undi awal dari Umno Bahagian Tambun, Cheras, Bukit Bendera, Pagoh, Batu Gajah, Sungai Besar dan Pandan. Shafie pula memperoleh undi dari Bahagian Tambun, Pagoh, Batu Gajah, Sungai Besar dan Pandan. Mukhriz mendapat undi dari Bahagian Tambun, Cheras, Sungai Besar, dan Pandan manakala Hishammuddin dari Bahagian Cheras, Bukit Bendera dan Pagoh. Mohd Ali memperoleh sokongan dari Bahagian Bukit Bendera dan Batu Gajah. | ||||
Impian Sarawak Kampung Sait – Mok Ayun Posted: 19 Oct 2013 02:41 AM PDT Oleh Dyana SofyaKUMPULAN kami, Saudara Tony Pua, Saudari Yeo Bee Yin, Saudari Lydia dan saya sendiri tiba di Kuching pada jam 10.30 pagi Jumaat, 4 Oktober 2013. Sebelum menuju ke Kampung Sait – Mok Ayun, destinasi pertama Impian Sarawak di bawah inisiatif Impian Malaysia, kami membuat persiapan yang sepatutnya seperti makan tengahari, mee kolok makanan istimewa negeri Sarawak menjadi pilihan dan membeli beberapa keperluan asas. Kami juga menemui seorang ejen Impian merangkap Pengarah Program Impian Sarawak yang telah bekerja keras untuk menjalankan program sebegini, saudari Karlye Tam. Kami diberitahu untuk tidak membawa terlalu banyak barang kerana kami akan berjalan di dalam hutan selama satu jam setengah hingga dua jam untuk sampai ke Kampung Sait – Mok Ayun dari jalan raya terdekat. Kampung itu terletak di dalam kawasan Parlimen Mambong. Saya juga diberitahu bahawa dua kumpulan sukarelawan telah tiba di kampung berkenaan seminggu lebih awal bagi membantu penduduk di sana dengan kerja pembinaan sistem paip air graviti yang dibiayai sepenuhnya dana Impian Sarawak hasil derma orang ramai, rakyat Malaysia khususnya. Kos untuk pembinaan sistem paip air graviti itu kira-kira RM15,000 hingga RM20,000. Seramai 40 lebih keluarga di Kampung Sait- Mok Ayun akan menikmati kemudahan ini. Saya mula tertanya-tanya, takkanlah kemudahan semudah itu dengan kos serendah ini pun kerajaan negeri tidak dapat merealisasikan? Ini adalah keperluan asas manusia, air. Sebelum ini penduduk Kampung Sait-Mok Ayun terpaksa bergantung kepada sumber air hujan untuk kegunaan harian mereka. Saya mula membayangkan, di Selangor apabila ada kekurangan bekalan air pun orang Selangor sudah tidak keruan, inikan pulak nak mengharapkan air hujan! Memang sukar kehidupan penduduk kampung ini. Setibanya kami di pintu masuk kawasan pembinaan empangan Bengoh, kami diminta oleh pegawai keselamatan di sana untuk menulis nama dan nombor kad pengenalan sebelum dibenarkan masuk ke kawasan terbabit. Ini adalah kerana untuk tiba ke trek memasuki kawasan hutan ke Kampung Sait – Mok Ayun, kami harus melalui kawasan tanah persendirian syarikat yang membangunkan empangan berkenaan. Empangan Bengoh itu belum dipenuhi air dan tidak beroperasi secara penuh lagi. Bayangkanlah, empangan projek mega itu akan dibangunkan untuk membekalkan air kepada penduduk kota, tetapi orang kampung yang tinggal tidak jauh daripada situ hendak dapatkan air paip pun tiada! Kami disambut sekumpulan sukarelawan Impian Sarawak yang telah berkhidmat di sana selama seminggu serta penduduk kampung. Sukarelawan Impian Sarawak terdiri daripada anak muda yang bersemangat waja dan cekal daripada pelbagai latar belakang dan kebanyakan mereka adalah non-partisan. Mereka sertai program ini dengan matlamat yang satu iaitu untuk membantu rakan warga Malaysia yang memerlukan bantuan tanpa mengira agama dan keturunan. Kami mula berjalan bersama-sama ke dalam hutan yang agak berbukit-bukau dan trek yang agak sukar, licin dan sempit. Penduduk kampung di sini termasuk warga emas, kanak-kanak dan ibu mengandung melalui trek yang sama hampir setiap hari untuk ke bandar. Setelah berjalan kira-kira 20 minit, kami tiba ke titian gantung yang pertama. Ya, bukan sahaja trek sempit dan sukar, terdapat titian gantung pula! Hanya mengharapkan batang buluh dan beberapa utas tali, titian gantung yang sepanjang hampir 100 meter dan berada pada ketinggian 30-40 meter harus diharungi untuk tiba ke destinasi. Dan titian gantung ini bukan satu tetapi terdapat dua di sepanjang perjalanan, yang agak sama panjang dan tinggi. Agak berdebar juga untuk melalui titi buluh yang tak tentu kukuh atau tidak, bergoyang-goyang, siap berbunyi berkriut-kriut sambil pasrah melihat air sungai yang deras di bawahnya. Kalau tidak melihat ke bawah, takut tersalah langkah, boleh jatuh ke dalam sungai. Setelah berjalan hampir dua jam, kami akhirnya nampak beberapa bumbung rumah dan tanaman kebun daripada jauh menandakan kami sudah sangat hampir dengan penempatan terbabit. Kelihatan juga sekumpulan orang kampung menanti ketibaan kami di satu kawasan tanah lapang kecil, khas untuk helikopter mendarat. Saya agak terperanjat. Ada helipad di kampung ini? Oh, padanlah, orang kerajaan akan cuma melawat dengan menaiki helikopter. Mereka tidak tahu perihal titi gantung berkriut yang menakutkan dan trek hutan licin bukit-bukau yang dilalui penduduk kampung ini. Penduduk Kampung Sait – Mok Ayun menyambut kehadiran kami dengan senyuman yang lebar dan saya sudah berasa seperti pulang ke kampung sendiri. Layanan yang diberikan amat baik walaupun tidak banyak yang dapat mereka berikan. Sesungguhnya lawatan ini amat bermakna dan menundukkan (humbling) saya dan kawan-kawan yang lain. Pertama kali saya tinggal di kampung yang tidak mempunyai jalan raya, tiada bekalan air tetap dan tiada bekalan elektrik terletak jauh di dalam hutan. Telefon pun tidak dapat digunakan apatah lagi 3G. Penempatan ini terletak di dalam kawasan tanah adat masyarakat Bidayuh yang tinggal di kawasan ini sejak zaman datuk moyang mereka lagi. Di sinilah mereka tinggal dan di sinilah mereka bercucuk-tanam, memburu dan sebagainya. Tanah inilah kehidupan mereka. Jika tanah ini diambil, maka kehidupan mereka juga dirampas dengan begitu sahaja. Seteleh berehat seketika, penduduk kampung yang diketuai Encik Nanak Bago, Ketua Kampung Sait – Mok Ayun memberitahu bahawa sistem paip air graviti telah siap dibina. Kami kemudian dibawa ke punca air nun jauh di atas bukit, kami terpaksa melalui bukit yang curamnya mungkin dalam 70 darjah. Saya betul-betul kagum dengan kebolehan mereka dan sukarelawan Impian Sarawak melakukan kerja sebegini di kawasan tempat yang agak mencabar. Menggunakan teknologi kejuruteraan kampung sahaja tanpa apa-apa mesin canggih dan besar, kumpulan penduduk dan sukarelawan ini berjaya membina sistem paip air graviti yang dapat membekalkan air paip pada bila-bila masa untuk kegunaan semua penduduk kampung. Ketika tinggal di kampung ini, saya dapat merasakan layanan yang sangat baik di mana keluarga tuan rumah yang saya tinggal, Encik Matob dan Puan Dot sentiasa memastikan keselesaan kami. Di samping itu menyediakan makanan halal dan membeli perkakas baru khas untuk sukarelawan beragama Islam. Saya amat tersentuh dengan layanan mereka yang sangat jujur dan ikhlas. Pada keesokan harinya, majlis perasmian Projek Bekalan Air Paip Graviti diadakan di kampung itu dan dirasmikan oleh Ching Chieng Jen (MP Kuching), Tony Pua (MP Petaling Jaya Utara), Yeo Bee Yin (ADUN Damansara Utama) dan Wong King Wei (ADUN Padungan). Apabila paip dibuka dan air pun keluar dengan banyaknya, terpancar kegembiraan yang amat sangat di wajah penduduk Kampung Sait – Mok Ayun kerana kini mereka telah pun mempunyai bekalan air paip untuk kegunaan seharian. Sedih kerana masih ada lagi rakyat Malaysia yang hidup dalam serba kekurangan seperti penduduk Kampung Sait – Mok Ayun walaupun mereka terletak di dalam negeri Sarawak, yang terkaya dengan sumber alam semulajadi. Walaupun mereka masih tidak mempunyai bekalan elektrik dan jalan raya untuk menghubungkan mereka dengan dunia luar, sekurang-kurangnya mereka sudah mempunyai bekalan air yang cukup buat masa ini dengan menggunakan dana terhad daripada program Impian Sarawak. Terima kasih Impian Sarawak kerana membantu dan memberi harapan baru kepada penduduk Kampung Sait – Mok Ayun dalam masa hanya enam minggu daripada hari lawatan pertama sehingga ke hari majlis perasmian. Terima kasih juga kepada penduduk Kampung Sait – Mok Ayun kerana menerima kehadiran kami dan memberi tunjuk ajar cara kehidupan orang kampung, membuka mata anak-anak kota supaya lebih menghargai nikmat yang diberikan dan menguatkan semangat kami dalam memperjuangkan nasib rakyat Sarawak bersama-sama mengecapi Impian Sarawak. Tidak banyak yang diperlukan untuk melakukan perubahan yang besar sekiranya kita bekerjasama dan seterusnya merealisasikan Impian Malaysia. – Roketkini.com | ||||
Mungkinkah wujud Malaysia jika isu kalimah Allah bangkit 50 tahun lalu? Posted: 18 Oct 2013 11:27 PM PDT | ||||
RM1.08 bilion lagi duit Petronas lebur selamatkan syarikat swasta Posted: 18 Oct 2013 11:23 PM PDT " KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1.08 bilion wang syarikat milik negara Petronas digunakan untuk menampung kerugian sebuah hospital mewah swasta, Prince Court Medical Centre (PCMC) sejak penubuhannya pada tahun 2008. Lebih mendukacitakan, pembinaan hospital bernilai RM544 juta yang juga turut ditanggung Petronas tidak pernah mengalami keuntungan dan yang menyukarkan keadaan, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen boleh mendapat akses kepada status kewangan menyeluruh Petronas melainkan Perdana Menteri kerana tertakluk pada Seksyen 3(2) Akta Pembangunan Petroleum. Menurut Ahli Parlimen DAP Bukit Benhdera Zairil Khir Johari, pada tahun 2008 PCMC mengalami kerugian RM111 juta, RM192 juta kerugian pada tahun 2009 dan RM450 juta kerugian pula pada tahun 2010. Hingga tahun berakhir 31 Disember 2011, jumlah kerugian yang dicatatkan hospital mewah swasta yang ditanggung Petronas itu ialah RM1.08 bilion. "Adakah wajar wang negara, wang rakyat digunakan untuk menampung kerugian syarikat swasta?" soalnya. Menimbulkan persoalan, Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu menyatakan prestasi yang ditunjukkan PCMC jauh berbeza dengan hospital-hospital swasta yang lain. "Mengikut Laporan Kewangan IHH Healthcare 2012, Parkway Pantai yang mempunyai rangkaian hospital swasta di malaysia dan Singapura mencatat perolehan RM4.75 bilion dalam tahun 2012 manakala RM818 juta keuntungan," dedah Zairil. Dalam hal ini tegasnya, Petronas tidak sepatutnya terlibat dalam aktiviti perniagaan di luar bidang seperti hartanah dan kesihatan dan sepatutnya memberi tumpuan kepada industri petroleum dan gas sepertimana yang dipraktikkan oleh syarikat-syarikat petroleum yang lain. "Apa yang berlaku ini mewujudkan satu keperluan mendesak agar hal ehwal kewangan Petronas diawasi memandangkan ia merupakan syarikat pengeluar minyak negara," jelas Zairil. – Roketkini.com | ||||
INSIDEN BAKAL MEMBUAT UMNO/BN BERTAMBAH MARAH DENGAN DSAI Posted: 18 Oct 2013 10:07 PM PDT http://omakkau.blogspot.com Ekoran dari Kerajaan memberi amaran kepada pelajar Malaysia di Australia agar 'menjauhkan diri' dari menghadiri sesi awam bersama Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di 'Festival of Ideas, Dissent and Democracy'. Surat amaran tersebut dikeluarkan pegawai penasihat pelajar, Sharezan Md Sheriff dari Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) dipercayai kepada semua penerima biasiswa JPA.Amaran "Jauhkan diri anda dari menyertai aktiviti ini. Saya tidak ragu-ragu untuk mengambil tindakan keras ke atas penerima biasiswa JPA yang terlibat. "Anda bijak untuk berfikir daripada melakukan aktiviti yang boleh menyulitkan anda mengekalkan gred yang menyebabkan biasiswa daripada ditarik semula. "Anda cukup tahu apa yang ditandatangani," kandungan surat amaran dipetik. Apakah tidak balas susulan oleh para pelajar kita? Rupa-rupanya tidak memberi kesan apa-apa pun.. mereka turun beramai-ramai membuat bantahan secara aman menyatakan sokongan kehadiran DSAI di Universiti Adelaide, Australia. Lagi ditekan lagi rakyat bangkit menyatakan sokongan ... Lawan Tetap Lawan. Berita berkaitan: DEWAN UTAMA UNIVERSITI ADELAIDE AUSTRALIA PENUH SESAK MAU MENDENGAR PENERANGAN DSAI. | ||||
Kalimah Allah: Emosi dan realiti Posted: 18 Oct 2013 04:45 PM PDT Ramai minta saya tulis artikel tentang isu nama Allah yang dipanaskan semula dan terus menjadi krisis antara sesetengah pihak Muslim dengan sesetengah pihak Kristian. Saya sebenarnya telah coretkan hal ini pada tahun 2007 masa saya masih memegang jawatan Mufti Negeri Perlis. Di sini saya sentuh sekali lagi. Hanya di sini Isu kalimah Allah ini akan menjadi satu sejarah yang menarik dan tersendiri di Semenanjung Malaysia. Isu seperti ini tidak wujud di negara-negara Arab kerana Kristian Arab dan Bible dalam Bahasa Arab sejak sebelum dan selepas Nabi Muhammad s.a.w. memang menggunakan perkataan Allah merujuk kepada Tuhan. Bahkan kaum Quraish sebelum kehadiran Nabi Muhammad s.a.w. juga guna nama Allah. Bapa Nabi Muhammad s.a.w. bernama Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Padahal bapa Nabi Muhammad s.a.w. tidak sempat pun bertemu dengan Nabi s.a.w. sebagai RasululLah. Kristian Qibti (Coptic) di Mesir juga sejak sekian lama memanggil Tuhan 'Allah'. Demikian Kristian Lebanon dan Jordan, gereja-gereja mereka berdoa dengan memanggil 'Allah' sejak zaman silam. Apa yang hendak dihairankan, asal-usul ajaran mereka daripada ajaran Nabi Isa a.s. Justeru bukan sahaja perkataan Allah, banyak lagi perkataan yang membabitkan akidah yang sama antara Islam dan Kristian seperti nama para nabi; Ibrahim, Musa, Harun, Isa dan lain-lain. Orang Islam seluruh dunia setiap hari melafazkan ayat dalam Surah al-Fatihah (maksudnya): 'segala puji bagi Allah tuhan segala alam'. Tiada Muslim pun yang menyebut 'segala puji bagi Allah Tuhan kaum muslimin sahaja'. Ini kerana Muslim mengakui Allah itu tuhan untuk semua, bukan tuhan untuk kaum dan pihak tertentu sahaja. Maka isu kalimah Allah tidak pernah timbul di negara-negara Arab. Bahkan mereka mungkin sukar untuk faham dan hairan apabila kita memberitahu kita menghalang pihak Kristian memanggil Tuhan itu Allah. Di Sabah dan Sarawak juga sudah berpuluh tahun mereka menggunakannya. Kristianisasi Di Semenanjung Malaysia, dalam kitab agama Sikh, nama Allah disebut. Sementara orang cina yang bukan Muslim di Kelantan terbiasa dengan kalimah 'inshaa Allah'. Ada lagu negeri-negeri yang terdapat 'kalimah Allah' yang dinyanyikan oleh semua rakyat berbilang agama. Logo-logo Polis dan Tentera tertulis 'Allah' dan 'Muhammad'. Logo-logo itu dipakai oleh anggota yang Muslim dan non-muslim. Namun apabila orang Muslim di Malaysia digembar-gemburkan isu tentang Kristianisasi, maka keadaan resah mula timbul dalam kalangan umat Islam. Kristianisasi sesuatu yang benar-benar wujud. Orang Muslim dalam negara ini bimbang. Maka, apabila timbul edaran pihak Kristian dalam bahasa Melayu yang menyebut Tuhan sebagai Allah yang selama ini dari segi kebiasaan orang Melayu Semenanjung hanya mereka sahaja memakai kalimat ini, maka emosi mereka mula bangkit. Apa tidaknya, mengapakah hanya versi Melayu sahaja yang hendak digunakan 'perkataan Allah'?! Mengapa tidak edaran gereja yang berbahasa Inggeris, Cina, Tamil dan lain-lain juga menggunakan Allah? Provokatif Kelihatan seolah macam macam ada 'hidden agenda' ataupun 'mala fide' di situ. Maka ramai yang membantah dan menganggap ada unsur provokasi agama di pihak Kristian, bukan kerana mereka memang ingin memanggil tuhan itu Allah, tetapi sekadar umpan yang hendak digunakan bagi memancing umat Islam yang terbiasa dengan kalimah itu. Maka kelihatan unsur provokatif di situ. Maka, bantahan untuk orang bukan muslim menggunakan nama Allah dalam edaran bahasa Melayu kelihatan macam mempunyai alasan di sudut keharmonian masyarakat berbilang agama dan ijtihad pentadbiran. Ia bukan berasaskan nas yang jelas melarang secara langsung hal itu, tetapi atas asas pemerintah bertindak demi kepentingan awam. Jika sekadar itu, maka bolehlah terima pendapat yang melarang. Ia bukan larangan mutlak bahawa bukan-Muslim sama sekali tidak boleh menyebut dan menggunakan nama Allah, tetapi menggunakan nama tersebut dalam bentuk provokasi agama dilarang. Salah faham Malangnya ada Muslim yang tidak jelas hal ini sehingga menyatakan bukan Muslim sama sekali tidak boleh menggunakan nama Allah. Kononnya nama Allah eksklusif untuk Muslim sahaja. Ada pula yang berfatwa 'murtad sesiapa yang membenarkan. Pada hal nas asal, dalam al-Quran dan al-Sunnah membenarkan bahkan menggalakkan mereka menggunakannya selagi mana penggunaan itu merujuk kepada Tuhan Yang Sebenar ataupun 'The Supreme Being'. Banyak ayat al-Quran yang menegaskan hal ini. Firman Allah:(maksudnya) "Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63). Bahkan Nabi s.a.w. ketika mencabar orang-orang Kristian bermubahalah ataupun bersumpah laknat, mereka diminta bersumpah dengan nama Allah, bukan nama Jesus. Firman Allah: maksudnya) "Sesungguhnya bandingan (kejadian) Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" maka jadilah ia. Kebenaran itu datang daripada Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau dalam kalangan mereka yang ragu-ragu. Kemudian sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, isteri-isteri kami serta isteri-isteri kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta". (Surah Ali 'Imran 59-61). Jika Islam larang mereka secara mutlak menyebut Allah, bagaimana mungkin mereka disuruh bersumpah dengan nama Allah?! Al-Imam Muslim dalam sahihnya pula meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w. dengan Quraish Mekah, seperti berikut: "Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin 'Amr. Sabda Nabi s.a.w.: barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)". Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ertinya, Nabi s.a.w membenarkan penggunaan nama Allah seperti yang pihak kafir Quraish minta. Jika itu dilarang, tentu cadangan mereka ditolak!. Lojik Kita bayangkan jika mereka langsung tidak boleh panggil Allah, bagaimana dengan Kristian Arab jika datang ke Malaysia? Apakah mereka terpaksa menahan diri dari menyebut masya Allah dengan diganti 'masyaa God'. Jika bukan Muslim bertanya siapakah tuhan saya yang sebenar. Muslim hendaklah menjawab Allah. Dia tidak boleh berkata 'tuhan awak lain dan tuhan saya lain. Awak tidak boleh menyebut nama tuhan saya'. Jika dia berkata demikian, maka dia syirik. Maka, sepatutnya larangan itu hanya apabila ia dalam bentuk provokasi yang menimbul ketegangan masyarakat. Kenyataan yang menyatakan larangan itu mutlak adalah tidak berasaskan ajaran Islam. Apatah lagi kenyataan yang memurtad sesiapa yang mengizinkan seakan memurtadkan Nabi s.a.w., dan umat Islam di seluruh dunia. Maka, kita Muslim hendaklah mengendali isu dan mengetahui hubung kait sesuatu itu sebelum hendak dibangkit sentiment agama mengenainya. Jangan kita melebihi kadar yang sepatutnya, juga jangan kita lalai tentang keamanan dan keharmonian hidup dalam negara yang pelbagai agama. Dakwah Islamiah hendaklah ditingkatkan. Sebarkan Islam dan banyakkan dialog antara agama seperti yang Dr Zakir Naik lakukan. Kenapa kita sentiasa ketakutan ditewaskan sehingga begitu defensive?! Bawalah mesej Islam dengan penuh hujah dan hikmah. * Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ialah bekas Mufti Besar Perlis. | ||||
Siling Hospital Serdang runtuh 3 kali dalam3 tahun Posted: 18 Oct 2013 04:40 PM PDT Hospital Serdang yang mula beroperasi sejak Disember 2005 dengan kos pembinaan sejumlah RM690 juta ini telah melaporkan keruntuhan siling sebanyak 3 kali iaitu kali pertama pada Januari 30, 2011, kali kedua pada Ogos 13, 2012 dan kali ketiga pada September 30, 2013. Selepas kejadian pertama, saya telah menyoal Menteri Kesihatan di Parlimen bagaimana beliau dapat menjamin bahawa keruntuhan siling tidak akan berlaku lagi. Liow Tiow Liang, bekas Menteri Kesihatan menyatakan bahawa RM800 ribu akan dibelanjakan untuk mengganti siling seluas 2500 meter persegi di Hospital tersebut. Beliau juga menyatakan bahawa Kementerian Kerja Raya akan menjalankan siasatan terhadap sebab-sebab berlakunya keruntuhan tersebut serta menjalankan kerja-kerja pembaikpulihan dan pengubahsuaian. Beliau juga mendapati bahawa Hospital tersebut mempunyai siling yang longgar dan merbahaya selain daripada siling yang telah jatuh. Maka dengan itu Kementerian Kerja Raya juga akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya seperti menurunkan siling tersebut dan pasukan penyiasat akan membuat siasatan terhadap serpihan siling untuk melihat sama ada runtuhan yang berlaku itu disebabkan oleh masalah struktur, reka bentuk atau dari aspek penyelenggaraan. Walaubagaimanapun, insiden kedua keruntuhan siling berlaku di hospital yang sama pada Ogos 13, 2012 di mana tiga jururawat dan seorang pegawai perubatan wanita di Jabatan Kecemasan dilaporkan cedera. Setahun selepas insiden kedua berlaku, kejadian keruntuhan siling berulang sekali lagi di luar wad bersalin. S Subramaniam, Menteri Kesihatan yang baru dilantik telah memberi jaminan yang sama, di mana Kementerian Kesihatan akan membuat pemeriksaan yang menyeluruh terhadap struktur siling dari segi kontraktor, spesifikasi pembinaan dan kerja penyelenggaraan untuk mencari sebab-sebab keruntuhan secara terperinci. Keruntuhan siling berlaku sebanyak 3 kali dalam 3 tahun di Hospital Serdang dan nampaknya Kementerian Kesihatan tidak mengambil sebarang pengajaran daripada insiden yang berlaku sebelum ini. S Subramaniam perlu menunjukkan bahawa beliau adalah lebih bertekad dan berkewibawa daripada Liow Tiong Lai untuk mengelakkan insiden yang sama berlaku sekali lagi. Jikalau tidak, pegawai perubatan, pesakit dan keluarga mereka masih akan menghadapi ancaman keselamatan yang sama pada masa hadapan. Oleh itu, saya mencabar beliau, adakah S Subramaniam berani untuk memberi akujanji dimana jika insiden keruntuhan siling berlaku di Hospital Serdang bagi kali yang keempat, beliau akan meletak jawatan selaku Menteri Kesihatan? | ||||
Posted: 18 Oct 2013 04:37 PM PDT JUARA Piala Sumbangsih 2013, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berdepan tugas berat selepas tewas 1-2 semasa melayan kunjungan Kelantan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2013 di Stadium Selayang malam tadi. Walaupun beraksi atas padang becak, namun tidak menganggu rentak permainan kedua-dua pasukan dengan percubaan pertama pertahanan ATM, Fitri Omar pada minit-13 tersasar. Juara Piala FA 2013 itu terlebih dulu mendahului tuan rumah hasil jaringan Kapten, Badri Radzi yang menewaskan penjaga gol ATM, Farizal Harun pada minit ke-15. Gol pendahulaan pelawat nyata menyentap semangat anak buah B Sathianathan yang kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan pemain tengah, Christie Jayaselan pada minit ke-19 menewaskan Khairul Fahmi Che Mat. Aksi babak kedua bersambung menyaksikan penguasaan anak buah Bojan Hodak dengan dereten peluang dimiliki gergasi Pantai Timur itu tetapi gagal menembusi gawang dikawal rapi Farizal. Kelantan berpeluang kembali mendahului tuan rumah namun percubaan pemain tengah pelawat, Nor Farhan Muhammad pada minit ke-57 diselamatkan sekali lagi Farizal. Namun gawang ATM akhirnya bolos apabila Nor Farhan sekali lagi menjadi duri dalam daging tuan rumah hasil jaringan minit ke-79 untuk kedudukan kekal 2-1. | ||||
Cadangan tambang baharu dikemuka tahun depan Posted: 18 Oct 2013 04:35 PM PDT Syed Hamid Albar KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengemukakan kertas cadangan kadar tambang baharu perkhidmatan teksi untuk seluruh Semenanjung kepada Kabinet pada suku pertama tahun depan berikutan kenaikan pelbagai kos pada masa ini. Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kadar baharu itu akan ditentukan selepas SPAD mengambil kira hasil kajian, melakukan semakan secara holistik serta mendapatkan input serta maklum balas daripada pihak terlibat dalam sektor itu. "Kadar itu juga mengambil kira komponen teksi iaitu kenderaan, peralatan, bahan api, penyenggaraan, 'overhead' dan kos buruh selain kos sara hidup dan kualiti perkhidmatan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Interaksi Bersama Pengguna dan Industri Teksi - Kajian Kadar Tambang Teksi di sini, hari ini. Program itu dihadiri wakil persatuan-persatuan pemandu teksi, persatuan pengguna, aktivis masyarakat serta kementerian pengangkutan dan pelancongan. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal. Syed Hamid berkata kali terakhir kadar tambang teksi dinaikkan ialah pada 2009. Dalam pada itu, beliau berkata kira-kira 13,000 teksi bandar merangkumi teksi Bajet, Eksekutif dan Premier akan melalui pelan migrasi menjadi Teksi 1Malaysia (TEKS1M) menerusi Inisiatif Penambahbaikan Teksi (2013-2015) dalam Pelan Transformasi Industri Teksi. "Kami jangka kira-kira 7,500 TEKS1M yang menggunakan Proton Exora akan beroperasi sepenuhnya pada 2015," katanya. Justeru, beliau berharap kerajaan dapat menimbangkan peruntukan sesuai untuk pelaksanaan TEKS1M dalam Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Oktober ini. Pada masa ini, terdapat kira-kira 60,000 pemandu teksi di Semenanjung Tanah Melayu. - Bernama | ||||
Tukar milik kenderaan melalui dalam talian Nov ini Posted: 18 Oct 2013 04:33 PM PDT SINAR HARIAN BANGI - Perkhidmatan tukar milik kenderaan kini boleh dilakukan secara dalam talian mulai 1 Nov ini di bawah perubahan sistem dari Sikap ke mySikap. Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ismail Ahmad berkata namun sebelum itu, pembeli dan penjual kenderaan mesti mendaftar di kaunter JPJ untuk melakukan pengesahan biometrik sebelum menggunakan kaedah dalam talian. "Melalui kaedah ini, ia dapat mengelak pemalsuan identiti pemilik serta memudahkan pengguna. "Purata tahunan pengguna menggunakan perkhidmatan ini ialah 1.4 juta dan ini merupakan bilangan yang tinggi dan kritikal," katanya dalam sidang media di JPJ Bandar Baru Bangi di sini hari ini. Beliau berkata melalui kaedah ini, pengguna boleh berurus niaga pada bila-bila masa dan mulai 1 Januari tahun hadapan pihaknya akan mengurangkan perkhidmatan di kaunter JPJ. Selain tukar milik kenderaan, perkhidmatan lain yang boleh digunakan melalui portal mySikap ialah pembayaran cukai, saman, pembaharuan lesen dan mendapatkan maklumat mengenai senarai hitam. Ismail berkata perubahan sistem itu juga ialah bagi menyahut seruan kerajaan yang ingin melihat 85 peratus perkhidmatan agensi kerajaan dilakukan menerusi dalam talian menjelang 2015. "Sebelum ini kita hanya menggunakan kira-kira 35 hingga 40 peratus perkhidmatan secara dalam talian, namun meningkatkannya bagi menyahut seruan kerajaan," katanya. - Bernama |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan