Rabu, 16 Oktober 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


TI-M cadang RCI siasat Mahathir dalam perjanjian TNB

Posted: 16 Oct 2013 05:06 AM PDT

Oleh Md Izwan



















Transparency International Malaysia (TI-M) hari ini menggesa satu Suruhjaya Inkuiri Diraya (RCI) bagi menyiasat Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan pembekal elektrik negara Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditubuhkan kerana kemungkinan wujudnya penyelewengan.

Badan pemantau rasuah itu berkata, pendedahan oleh bekas Pengerusi Eksekutif TNB, Tan Sri Ani Arope yang mengatakan semua keputusan perjanjian pembelian tenaga dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menimbulkan keraguan terhadap ketelusan perjanjian tersebut.

"Dr Mahathir semasa menjadi perdana menteri dan mengetuai Unit Perancangan Ekonomi (EPU) mempunyai kata putus dalam perjanjian yang ditandatangani oleh TNB, perkara ini didedahkan oleh Ani dalam buku terbarunya 'Memoirs of Tan Sri Ani Arope'.

 "Walaupun tidak menyatakan secara khusus mengenai elemen rasuah tetapi ia menunjukkan wujud kelemahan ketelusan dalam terma syarat PPA sebelum itu," kata Presidennya, Datuk Akhbar Satar dalam satu kenyataan hari ini.

Akhbar berkata, keraguan melibatkan perjanjian PPA juga terserlah apabila TNB mengenakan kadar yang tinggi kepada pengguna walaupun mendapat subsidi sebanyak 23 seen seunit (300 peratus) daripada kerajaan.

"Sebaliknya, kita melihat tarif elektrik naik beberapa kali dalam 20 tahun yang lalu, walaupun kuasa pasaran boleh menyebabkan harga elektrik turun ke tahap yang selesa.

"Tidak ada sebab mengapa pengguna isi rumah perlu dipaksa untuk membayar harga elektrik yang besar, ketika TNB dapat mengeluarkannya pada kadar 8 sen seunit (kWh), tetapi IPP dibayar sebanyak 23 sen per unit (300 peratus)," katanya.

Perjanjian PPA pertama ditandatangani pada 1994 dan akan tamat pada 30 September 2015 dan TI-M menggesa supaya Putrajaya tampil secara telus dalam menyemak semula perjanjian tersebut.

"Kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Razak dan TNB perlu secara telus menyemak perjanjian semula dengan IPP untuk mengurangkan kos elektrik, terutama mereka menikmati subsidi minyak daripada kerajaan sejak 21 tahun lalu," katanya.

Akhbar berkata, IPP pastinya sudah memperoleh modal pelaburan daripada loji mereka, maka secara komersilnya mereka mampu untuk menurunkan tarif elektrik.

"Dengan pertumbuhan banyak IPP, pasaran sepatutnya menjadi lebih kompetitif dan pengeluar tenaga pastinya perlu lebih menjadi lebih efektif," katanya.

Mengenai semakan semula perjanjian dengan IPP, Akhbar mencadangkan supaya kerajaan juga bekerjasama dengan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) untuk mendapatkan input dan pandangan yang bernas bagi menyelesaikan permasalahan yang dibangkitkan.

"Mereka wajar dijemput untuk duduk sama dalam perbincangan dan berikan mereka input ataupun kerajaan perlu buktikan kemampuannya sendiri untuk mengurangkan beban kepada orang ramai yang berhadapan peningkatan kos sara hidup saban hari," katanya.

Selain itu, TI-M mendesak Putrajaya menubuhkan RCI bagi menyiasat ketirisan perjanjian yang menguntungkan IPP.

"Petunjuk jelas ini menunjukkan terdapat perjanjian berat sebelah yang menguntungkan IPP.

"Ia juga menunjukkan kerajaan mempunyai alasan yang jelas untuk untuk menubuhkan sebuah RCI untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku, dan mengapa TNB terpaksa membayar harga besar untuk bekalan elektrik, ketika mereka boleh menghasilkannya pada satu pertiga daripada harga asal.

"Tiada sebarang analisis boleh dibuat untuk menjelaskan keputusan ekonomi luar biasa tersebut, dan keputusan tersebut dibuat oleh Unit Perancangan Ekonomi yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Pakatan Rakyat menganggarkan jumlah subsidi korporat yang diberikan kerajaan adalah hampir dengan pemotongan subsidi petrol dan diesel yang berjumlah RM14.8 bilion diumum Najib pada September baru-baru ini.

Pemimpin Umno desak tukar urusetia pemilihan

Posted: 16 Oct 2013 04:54 AM PDT

 
Saranan ini bukan saja untuk mempastikan perjalanan pemilihan Umno bahagian berkenaan kali ini berjalan dengan adil dan licin.




KINABATANGAN: Rata-rata ahli dan para pemimpin akar umbi Umno di bahagian ini menyambut baik desakan dibuat seorang pemimpin kanan parti di sini agar Urusetia Pemilihan UMNO bahagian Kinabatangan yang telah dibentuk sebelum ini ditukar dan diambilalih oleh Urusetia Pemilihan Badan Perhubungan Umno Sabah.

Mereka berkata, saranan Naib Ketua Umno Bahagian Kinabatangan, Azman Haji Mastar terhadap perkara itu bukan saja untuk mempastikan perjalanan pemilihan Umno bahagian berkenaan kali ini berjalan dengan adil dan licin, tetapi menepati kehendak mentrasformasikan parti sebagaimana dilaung-laung pucuk pimpinan Umno.

Sebahagian ahli juga mahu supaya mereka yang terlibat termasuk Timbalan Ketua Umno Bahagian itu diambil tindakan tegas kerana mempunyai petunjuk jelas terlibat menyalahgunakan kuasanya dalam campurtangan semua pemilihan tiga sayap pergerakan itu.

" Kami merasakan ianya penting agar suasana pemilihan melibatkan jawatan Ketua Bahagian, Timbalan Ketua, Naib Ketua dan seterusnya 20 jawatan Ahli Jawatan Kuasa Bahagian itu, selain mengundi pertandingan di peringkat Majlis Tertinggi Umno berjalan dengan adil dan selesa pada 19 Oktober ini," kata Samry Sher Mohamad.

Ketua Zon UMNO Mukim Paris yang memiliki lebih 2,000 ahli parti itu berkata, desakan dan rayuan dibuat Azman itu sesuai dengan apa yang telah berlaku pada pemilihan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri yang dilaporkan dicampuri oleh pihak Ahli Jawatan Kuasa Umno Bahagian ini.

Ahli Jawatan Kuasa Umno Bahagian Kinabatangan, Mohd Husin berkata, kenyataan Azman kelmarin berupa satu pendedahan terhadap tindak tanduk dalaman bahagian itu dalam pemilihan kali ini yang amat wajar diambil tindakan tegas kerana merosakkan imej dan reputasi Umno bahagian ini.

Tegas Mohd Husin yang akan mempertahankan jawatannya kali, pada pemilhan tiga sayap pergerakan itu 12 Oktober lalu, beberapa Ahli Jawatan Kuasa Bahagian Kinabatangan diketuai Timbalan Ketua Bahagiannya dilihat oleh ramai perwakilan memasuki Dewan Pemilihan dan Pengiraan undi tiga sayap parti itu.

" Saya dimaklumkan ramai perwakilan wanita terhadap tindakan tindakan individu bahagian itu yang akhirnya mendesak agar penama itu meninggalkan kawasan pemilihan dan pengiraan undi wanita," katanya.

Menurut ramai perwakilan lagi, mereka melihat Azman turut menemui timbalan Ketua bahagian itu yang masih berada di pusat pengiraan undi pergerakan Pemuda dan bertindak menegurnya kerana telah menyebabkan perjalanan pemilihan dan pengiraan undi sayap kanan parti itu terganggu.

Seorang lagi pemimpin akar Umbi Mohamat Laja berkata, perbuatan dilakukan Timbalan Ketua Bahagian itu telah jelas mencemarkan integriti Umno bahagian berkenaan pada pemilihan kali ini.

" Saya meminta berdasarkan kepada bukti dan laporan daripada para perwakilan yang menyaksikan perbuatannya memasuki Dewan Pemilihan Pemuda dan Wanita pada 12 Oktober, saya mencadangkan agar Timbalan Ketua Bahagian Kinabatangan itu dikenakan tindakan tegas oleh parti," kata Mohd Laja.

Seorang Ahli Jawatan Kuasa Pemuda Bahagian Kinabatangan yang juga bekas perwakilan pemuda Umno Cawangan Batu 4 Bukit Garam, Mohd Asri turut mendesak agar usul menukar Urusetia Pemilihan yang ada untuk diambilalih oleh Badan Perhubungan Umno Sabah, diikuti tindakan dikenakan ke atas Timbalan Ketua Umno Bahagian itu yang disyaki menyalahi peraturan parti.

" Sebagai bekas perwakilan pemuda saya menyokong usul menukar Urusetia Pemilihan ini dan rakan-rakan telah melihat Timbalan Ketua Umno Bahagian itu memasuki dewan pengiraan undi yang jelas menunjukkannya sedang mencampuri urusan itu yang dikendalikan oleh Urusetia Pemilihan Umno yang dibenarkan," katanya.

Katanya, semua perwakilan pemuda pada persidangan lepas sudah meragui jumlah undi lebih apabila keputusan pemilihan pergerakan itu diumumkan, diikuti keputusan pemilihan itu berpihak ramai kepada pihak tertentu yang jelas menghairankan.

" Walaupun sudah menang, saya minta supaya siasatan dibuat yang jika terbukti tindakan menggantung kedudukan pergerakan itu dikenakan," katanya.

Ahli JawatanKuasa Bahagian yang juga Ketua Cawangan Paduan Bukit Garam, Amirudin Mohd Damit menyokong penuh usul menukar Urusetia Pemilihan Umno Bahagian Kinabatangan serta tindakan ke atas Timbalan Ketua Bahagian itu, ekoran beberapa insiden yang berlaku dalam pemilihan tiga sayap parti berkenaan.

Ketua Cawangan Pemuda Banungun Kecil, Mohd Rapie Selatan berkata, suasana pemilihan itu yang begitu longgar termasuk tidak menyediakan kemudahan tempat mengundi khas sebagaimana waktu pilihanraya begitu meragukan, memudahkan pihak bahagian mencampuri urusan berkenaan.

Ketua Cawangan Sepinong Laut, Osman Sulaiman turut bersetuju dengan cadangan menukarkan Urusetia pemilihan bahagian itu untuk diambilalih Urusetia Pemilihan Badan Perhubungan Umno Sabah.

Seorang lagi pemimpin Cawangan Umno Pulau Baih di sini, Sazuan Nasrah menyokong cadangan menukarkan Ursetia Pemilihan berkenaan untuk kebaikan pemilihan dalam Umno Bahagian 19 Oktober ini.

Seorang lagi Ahli Umno Cawangan, Mainor James menyokong kedua-dua cawangan iaitu menukar Urusetia Pemilihan oleh Bahagian Kinabatangan termasuk tindakan tegas terhadap Penjawat Jawatan Timbalan Ketua Bahagian itu dan beberapa orang lagi rakannya dalam bahagian tersebut.

Mukhriz nafi mahu jatuhkan Najib

Posted: 16 Oct 2013 04:50 AM PDT

Umno makin kuat, jadi mereka ada agenda untuk melaga-lagakan kita




PETALING JAYA: Calon Naib Presiden Umno, Datuk Mukhriz Mahathir berkata beliau tidak pernah langsung terlintas dalam fikiran hendak menjatuhkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak jika beliau menang pada 19 Oktober ini.

Katanya, sewaktu Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin datang ke Sungai Limau baru-baru ini beliau bertanya Muhyiddin mengenai laporan media asing kononnya beliau dengan Muhyiddin mahu menjatuhkan Perdana Menteri, beliau hanya gelak.

"Selepas PRU ke 13, Umno makin kuat dapat 88 kerusi di parlimen dan dapat tawan semula Kedah, maka sebab itu mereka ada agenda dengan membuat laporan yang bukan-bukan seperti itu untuk melaga-lagakan kita," katanya dalam wawancara khas dengan sebuah akhbar harian baru-baru ini.

Menurut Menteri Besar Kedah itu, usaha itu tidak akan berjaya kerana kita tahu apa sebenarnya isi hati kita dan perkara seperti itu memang tidak wujud.

Mukhriz bertanding jawatan Naib Presiden Umno Sabtu ini bersama lima calon lain iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Datuk Seri Shafie Apdal, Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Ali Rustam.

Beliau berkata beliau bertanding jawatan Naib Presiden Umno kerana mahu membuat transformasi dalam Umno berdasarkan keputusan pilihan raya umum 2008 dan 2013.

"Sekiranya tidak ada suatu transformasi yang berlaku pada parti seperti mana yang disebut Presiden Umno dan timbalannya, maka mungkin kita akan terima padahnya.," katanya.

Katanya lagi, kita tahu transformasi ini bukan mudah untuk dilakukan.

"Lebih-lebih lagi kalau tidak sedar bahawa kita tidak sepatutnya ada zon selesa. Maka, kita bimbang masa depan kita dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya.

Peluang terakhir


Beliau menambah berdasarkan kepada pengalaman menawan semula Kedah dalam PRU-13, ada sesuatu yang beliau boleh sumbangkan bagi meningkatkan keupayaan parti menghadapi cabaran getir itu.

Mukhriz berharap ada gabungan pemimpin pusat dan negeri dalam barisan Naib Presiden Umno.

"Saya berpendapat gandingan pengalaman di Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri itu sangat berharga dan bernilai untuk saya kongsikan. Kita sudah ada Menteri bukan hanya di peringkat Naib Presiden tetapi juga di peringkat Majlis Tertinggi (MT). Saya ingat agak bernilai juga sumbangan idea dan pandangan oleh seorang Menteri Besar yang lebih memahami dan terdedah kepada isu-isu setempat," ujarnya.

Beliau menolak dakwaan bahawa terlalu awal baginya bertanding kerusi Naib Presiden Umno sedangkan beliau tidak pernah menjadi ahli majlis tertinggi Umno.

"Saya bimbang dalam tempoh lima tahun ini kalau sokongan kepada BN itu terus menurun, mungkin tidak ada lagi kali yang selepas ini," katanya.

Katanya, itu yang menimbulkan rasa cemas bagi diri beliau bahawa sesuatu perlu dilakukan dengan lebih cepat. Kita mesti memberi respons lebih awal kepada kehendak pengundi.

"Saya menganggap diri saya ini seperti Johnny come lately. Kalau saya tidak menawarkan diri bertanding peringkat Naib Presiden sekarang, saya fikir lebih ramai lagi tokoh-tokoh atau pemimpin muda yang lebih layak daripada saya selepas ini," katanya lagi.

Ditanya apa kelebihan beliau berbanding lima calon lain, Mukhriz berkata beliau mempunyai idea-idea yang bersifat di luar kotak.

"Cara saya mengendalikan jentera pada PRU-13 tidak diduga pihak lawan. Kita sangat low profile, tidak terlalu ke depan. Kita bergerak banyak di bawah," dakwanya.

Pendekatan luar kotak

Sebagai contoh, sambungnya lagi, di Kedah kita memberi penekanan kepada soal agama khususnya kita masuk secara senyap-senyap berjumpa dengan warga pondok agama, maahad tahfiz, sekolah agama rakyat di mana sepatutnya menjadi kekuatan kepada Umno yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

"Selalu disebut agama yang pertama tetapi entah mengapa Umno tidak dilihat sebagai pejuang agama,"katanya.

Katanya, pendekatan ini sangat sesuai untuk seluruh negara bukan hanya untuk Kedah sahaja.

"Saya fikir semua orang boleh buat tetapi pendekatan luar kotak ini yang sangat diperlukan oleh parti kerana pihak lawan cukup mengenali kita kerana ramai dalam kalangan pemimpin mereka berasal dari Umno," katanya.

Bila Mahathir sokongan idea Zahid adalah muslihatnya

Posted: 16 Oct 2013 04:33 AM PDT

MSO

 
Bila seseorang menghadapi suasana terdesak ia akan melakukan apa sahaja. Begitu juga dengan penjenayah yang sedang diburu polis, kalau boleh mereka mahu melepaskan diri dan tidak mahu mengambil risiko berdepan dengan polis. Namun kerana sudah tidak ada pilihan lain mereka akan melepaskan tembakan untuk menyelamatkan diri. Itulah yang terjadi.

Barang kali kaedah yang sama boleh dipakai kepada Mahathir Mohamad yang kini dalam keadaan 'terdesak' untuk memastikan anaknya Mukhriz menang dalam perebutan jawatan naib presiden Umno. Mahathir bagaikan penjenyah akan melakukan apa saja tindakan walaupun ia melanggar keangkuhan dan kebencian dirinya kepada seseorang sebelum ini.

Mahathir kini boleh dikatakan terdesak dalam suasana untuk menenangkan anaknya. Agaknya beliau sudah mengetahui hujung jatuh Mukhriz dalam perebutan jawatan itu. Apa lagi bila mana Khairy Jamaluddin mAbu Bakar enang besar dalam mempertahankan kedudukannya sebagai ketua pemuda Umno ia menjadikan Mahathir makin tidak senang duduk. Phobia Khairy mengalahkan anaknya empat tahun lepas menghantui dirinya.

Keempat orang lawan Khairy yang setengahnya seperti ditaja Mahathir kalah sehinggakan hilang wang perataruhan. Kemenangan besar Khairy itu menandakan suara kejauhan Mahathir agak Khairy disingkirkan atau diberi petunjuk kurang sokongan dengan ada undi tentangan tidak menjadi.

Kemenangan bergaya Khairy itu dibaca dan dinilai Mahathir ianya membawa kecelakaan kepada calonnya, Mukhriz Mahathir. Lantaran itu Mahathir kena mengubah strategi termasuk memalukan dirinya sendiri. Apa dimaksudkan memalukan diri sendiri dan mengubah haluan ialah bila mana Mahathir sekonyang-konyang bersetuju dengan kenyataan Zahid Hamid yang menyarankan agar penjenayah ditembak. Zahid membuat kenyataan itu dalam majlis tertutup tetapi dapat dihidu oleh media massa. Kenyataan Zahid menjadi kontroversi.

Dalam kontroversi inilah Mahatir tiba-tiba tampil memberi sokongan moral kepada Zahid dengan berkata; kalau orang acu pistol ke arah awak, tembaklah... tetapi jangan pula dok pergi menembak merata. Komen Mahathir itu memberi gambaran beliau menyokong tindakan Zahid.

Mahathir terpaksa sokongan Zahid kerana dia menyedari kedudukan Zahid begitu terpengaruh. Zahid akan mendapat sokongan besar dalam pemilihan kelak. Jadi Mahathir mahu pengaruh Zahid itu akan mengalir kepada anaknya Mukhriz. Pernyataan sokongan itu juga memberi gambaran yang salah seorang naib presiden dalam konteks ini Hishamuddin Hussein, lemah dan gagal menunjukkan prestasi baik semasa dia memegang jawatan sebagai menteri dalam negeri (KDN) dulu.

Maksud yang hendak disampikan Mahathir di sini ialah Hishamuddin perlu digugurkan kerana tidak menunjukkan prestasi baik sebagai seorang menteri kanan. Pujian Mahathir ke atas Zahid itu menjelaskan Hishmuddin lemah. Mahathir tentu mahukan Hishmuddin terkeluar untuk memudahkan anaknya masuk. Walaupun kalau mengikut kemisteri Mahathir tidak ngam dengan Zaid tetapi beliau tidak dapat berbuat apa-apa kerana kedudukan dan pengaruh Zahid meluas.

Siapa telah lupa sejarah yang dilakukan Mahathir kepada Zahid sebelum ini. Zahid menjadi ketua pemuda pertama yang tidak diberi apa-apa jawatan dalam kabinet oleh Mahathir. Zahid menjadi menteri setelah Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri. Apakah sejarah itu dilupai Zahid dan beliau akan membantu Mukhriz memenangi kerusi naib presiden? Rasanya tidak. Bagi Zahid Mahathir tidak ada apa-apa budi kepadnaya untuk dibalas dengan memberi laluan kepada Mukhriz.

Baik Zaid, Hishamuddin hatta Najib Razak sendiri tentu akan merasa tidak seoronok kalau Mukhriz berada di tangga ke tiga dalam hirerki parti sebagai salah seorang naib presiden. Mereka tidak mahu terganggu dengan kehadiran Mukhriz itu. Mahathir yang selamanya menjadi penasihat politik kepada anaknya dan menaungi kerajaan Kedah akan menggunakan Mukhriz untuk menyalurkan pandangannya. Teguran-terguran beliau kepada Umno akan disampaikan kelalui Mukhriz. Keadaan inilah bakal mewujudkan suasana tidak sihat dalam Umno kelak.

Agenda Mahatir tidak akan mudah habis. Sebagai seorang yang merasakan orang lain bodoh, tidak cerdik beliau tetap mahu menunjukkan yang otaknya bagus. Kerana itulah beliau akan mencari apa-apa saja lubang dan peluang untuk 'memerintah'. Jadi kalau anaknya berada di dalam Umno ia memudahkan untuk beliau terus menguasai Umno.

Justeru pujian dan sokongan kepada Zahid berhubung cadangan agar penjenayah ditembak itu, ia bukan satu cadangan yang ikhlas melainkan ada muslihatnya. Mahathir seorang yang sebelum ini berpegang kepada prinsipnya; seseorang itu tidak boleh dikatakan bersalah selagi ia tidak didapati bersalah. Apakah dengan penjenayah ini beliau ada pandangan lain dan telah mengubah prinsipnya. Oh tidak, pujian kepada Zahid itu tidak lain dan tidak bukan kerana ada undang di balik batu, beliau mahu anaknya mendapat blessing Zahid Hamidi. Itu sahaja.

Dan Mahathir kini sudah terdesak dan sedia untuk jadi seperti seorang penjenayah menembak sesiapa saja.

PAS lancar jentera operasi PRK Sg Limau esok

Posted: 16 Oct 2013 04:04 AM PDT

Muhammad Faizal
 

KUALA LUMPUR: PAS akan melancarkan Jentera Operasi Induk bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau malam esok.

Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Sg Limau, Datuk Mahfuz Omar berkata, pelancaran tersebut akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan akan disertai beberapa pemimpinan dari PKR dan DAP.

"Selain dari pimpinan PAS, rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat juga turut hadir antaranya Pengerusi PKR Kedah Datuk Johari Abdul, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Rashid Hasnon dan Pengerusi Interim DAP Kedah, Zairil Khir Johari.

"Pelancaran penuh jentera Pakatan Rakyat untuk pilihan raya kecil ini pula akan diadakan di Dataran Surau Al Fatah, Pulau Nyior, Bukit Besar," jelasnya.

Katanya lagi sebelum pelancaran jentera dilakukan, satu majlis solat hajat dan tahlil akan diadakan yang diketuai Tuan Guru Haji Salleh bin Musa, Mudir Madrasah Ar Rahmaniah, Sik.

"Sebelum program malam, Jawatankuasa induk akan bertemu dengan wakil seluruh Dun Sungai Limau dan Unit Peti Undi (UPU).

"Selain itu satu majlis ramah mesra dan menyuarat akan diadakah, taklimat akan diberikan oleh pimpinan PAS Pusat," sambungnya.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS turut memberitahu ke semua jentera-jentera dari negeri-negeri yang membantu akan mula berada di Dun sungai Limau pada 19 Oktober.

Ketika ditanya mengenai nama-nama calon, beliau menjelaskan ke semua nama-nama tersebut telah siap diteliti dan akan diserahkan kepada Presiden PAS untuk diputuskan oleh PAS Pusat.

Kerusi Dun Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

Mercu tanda baru PAS Pahang

Posted: 16 Oct 2013 04:02 AM PDT

Basiron Abdul Wahab,




TEMERLOH: PAS Pahang maju setapak lagi dengan rancangan pembinaan Kompleks Al Makmur yang bakal menjadi mercu tanda baharu PAS negeri.

Sehubungan itu Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man meminta pendokong parti tidak melepaskan peluang untuk turut memberi sumbangan bagi menjayakan projek berkenaan.

Katanya, majlis pecah tanah pembinaan kompleks itu akan disempurnakan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 26 Oktober  ini bertempat di tapak cadangan kompleks itu di Kerdau.

"Jika ke Kelantan kita berbangga dengan Putik, jika ke Kedah kita berbangga dengan Kompleks PAS Kedah, sudah sampai masanya bagi PAS Pahang mempunyai kompleknya sendiri," katanya.

Menurutnya, buat masa ini PAS Pahang mempunyai dua dewan iaitu Kias di Jerantut dan Darul Amin, di Temerloh.

Kompleks Al Makmur apabila siap nanti akan menjadi dewan terbesar milik PAS Pahang yang mampu menampung lebih dua ribu hadirin dalam satu masa.

PAS Kawasan Kuala Krau dalam mesyuarat agungnya baru-baru ini telah meluluskan usul meminta setiap ahli menyumbang RM100 bagi menampung kos pembinaan Kompleks Al Makmur.

Beliau berkata, kesemua 14 kawasan PAS  di Pahang dan Majlis Tindakan Pilihan Raya Dun (MTD) mempunyai pejabat operasi masing-masing begitu juga dengan perhubungan negeri namun kewujudan Komplek Al Makmur akan menjadi mercu tanda baru PAS Pahang.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Islamik 5560 5750 4469 atas nama PEMBANGUNAN KOMPLEKS AL MAKMUR.

MCTC gesa kerajaan tandatangani protokol

Posted: 16 Oct 2013 03:58 AM PDT

 
Kenaikan cukai dan harga hasil tembakau akan meningkatkan kegiatan penyeludupan untuk menjaga keuntungan industri.




PETALING JAYA: Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) hari ini menggesa pihak kerajaan agar menandatangani 'Protokol Untuk Menghapuskan Perdagangan Haram Hasil Tembakau'.

"Protokol ini memperincikan tindakan-tindakan negara pihak dan antara negara pihak untuk membanteras kegiatan perdagangan haram hasil tembakau.

"MCTC menyokong Malaysia mengesahkan Protokol ini dan memulakan tindakan agensi-agensi penguatkuasa melalui kerjasama negara-negara jiran," kata Timbalan Presiden MCTC Dr Mymoon Alias.

MCTC merupakan sebuah pertubuhan payung untuk 40 pertubuhan menyokong dan memperjuangkan kawalan tembakau di Malaysia.

Tambah Dr Mymoon, di samping Rangka Kerja Konvensyen mengenai Kawalan Tembakau (FCTC), Persidangan Negara Pihak (COP) telah menerima Protokol tersebut agar disahkan oleh negara pihak untuk dilaksanakan di peringkat kebangsaan.

"Kenyataan industri tembakau bahawa kenaikan cukai dan harga hasil tembakau akan meningkatkan kegiatan penyeludupan merupakan hujah untuk menjaga keuntungan industri," kata Dr Mymoon.

Beliau juga menggesa supaya satu akta induk seperti Akta Kawalan Tembakau yang telah lama dicadangkan, dibentangkan di Parlimen Malaysia untuk diluluskan.



"Akta ini akan menutup pelbagai kelompongan yang wujud dalam menangani penjualan hasil tembakau yang diseludup dengan melesenkan semua perniagaan yang menjual hasil tembakau," katanya.

Tambahnya lagi, perlesenan jualan hasil tembakau juga dapat membanteras amalan-amalan seperti penjualan hasil tembakau kepada kanak-kanak serta membanteras jualan hasil rokok di kawasan larangan menjual hasil tembakau.

Seterusnya, walaupun pihaknya mengucapkan syabas kepada pihak kerajaan yang telah menaikkan cukai rokok, badan itu berpendapat bahawa kadar cukai yang dikenakan tidak mencapai matlamat FCTC berhubung langkah-langkah harga dan cukai terhadap kawalan tembakau dan hasil tembakau.

Dr Mymoon walau bagaimanapun berkata bahawa keputusan Kabinet mengenai pengeluaran (carve-out) tembakau sebagai produk yang boleh didagangkan secara bebas di bawah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mendapat sokongan badan-badan sosial berkaitan advokasi kesihatan.

"Dengan ini, Malaysia menjadi contoh di kalangan rakan rundingan TPPA untuk memainkan peranan kepimpinan dasar kesihatan awam di peringkat antarabangsa," katanya.

Kiandee: Peraturan tak benar siaran langsung prosiding PAC

Posted: 16 Oct 2013 03:53 AM PDT

MALAYSIA KINI
 
 
 
Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak boleh dilakukan di hadapan kamera kerana ia melanggar Perkara 85, Peraturan Mesyuarat Parlimen, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee.
  
Beliau berkata Perkara 85 menetapkan mana-mana keterangan diambil di hadapan mana-mana jawatankuasa khas dan dokumen dikemukakan kepada jawatankuasa itu tidak boleh diterbitkan oleh mana-mana anggota jawatankuasa itu atau oleh mana-mana orang sebelum jawatankuasa membentangkan laporannya di Dewan Rakyat.
  
"Bagaimanapun, terpulang kepada menteri untuk menjawab dan mendapatkan kelulusan daripada Speaker Dewan Rakyat (untuk siaran secara langsung)," katanya kepada Bernama.
  
Kiandee diminta mengulas cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek supaya prosiding PAC disiarkan secara langsung.

Semalam, Ahmad Shabery berkata Radio Television Malaysia (RTM) sedia menyiarkan secara langsung prosiding itu sekiranya diberi kebenaran berbuat demikian.
  
Beliau berkata wujud keperluan untuk mengubah tanggapan bahawa prosiding PAC adalah rahsia dan hanya pengerusi dibenarkan mengeluarkan kenyataan, dan beliau berpendapat siaran langsung prosiding mampu menangkis tanggapan itu.

Menteri itu berkata beliau akan memohon kepada Dewan Rakyat agar membenarkan prosiding PAC membabitkan dirinya berhubung isu bayaran RM1.6 juta untuk persembahan artis K-Pop dalam acara Hari Belia Negara 2012 bersiaran secara langsung.
  
(Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012, Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM1.6 juta untuk bayaran tiga artis K-Pop dari Korea Selatan sempena Himpunan Jutaan Belia tahun lepas, namun kos itu didakwa ditanggung penaja)
  
Sementara itu, Pengerusi PAC merangkap Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyambut baik cadangan Ahmad Shabery bagi prosiding PAC disiarkan secara langsung, menyatakan ia akan dapat memberikan gambaran jelas kepada rakyat mengenai apa sebenarnya yang dilakukan PAC dalam menyiasat Laporan Ketua Audit Negara.
  
"Bagaimanapun, cadangan itu perlu mendapat kelulusan daripada Speaker Dewan Rakyat memandangkan ia bertentangan dengan Perkara 85 Peraturan Dewan.

"Di pihak PAC, kami tidak mempunyai sebarang masalah (bagi siaran langsung). Ia bagus untuk jawatankuasa ini, memandangkan ramai yang memberi tanggapan bahawa PAC tidak mempunyai sebarang kuasa atau lebih tepat tidak 'bertaring'," katanya dalam satu kenyataan.
  
Nur Jazlan berkata, siaran langsung prosiding PAC bukan satu perkara baru kerana ia sudah diamalkan di negara-negara Komanwel seperti United Kingdom dan Australia.
  
Beliau berkata PAC sebenarnya memainkan peranan penting untuk menjadi saluran utama rakyat meneliti kelemahan dan kepincangan dalam pentadbiran kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk diperbaiki pada masa akan datang.
  
Veteran DAP Lim Kit Siang, dalam blognya pada Jumaat lepas, berkata peraturan mesyuarat Parlimen perlu dipinda untuk membolehkan keterangan Ahmad Shabery di hadapan PAC dan prosiding di masa depan disiarkan kepada umum.- Bernama

Tun M perlu dedah individu yang perlu dibersihkan

Posted: 16 Oct 2013 03:51 AM PDT

Izwan Halim,


POKOK SENA: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad menyenaraikan calon-calon korup yang dimaksudkan beliau agar mereka itu tidak diangkat oleh para perwakilan dari membarisi kepimpinan parti Melayu itu pada Perhimpunan Agung Umno hujung minggu ini.

Ujar Mahfuz, penjelasan itu perlu untuk membolehkan ahli-ahli Umno membuat pembersihan pada Pemilihan Umno 19 Oktober ini untuk mengelakkan kepimpinan dimenangi calon yang tidak sewajarnya.

"Tun (Mahathir) sebut perlu ada pembersihan dalam Umno sebelum pemilihan kerana kata Tun, ramai orang yang masuk Umno ini mahu jadi kaya. Apatah lagi dibimbangi mereka yang menjadi kaya tidak itu mengikut saluran betul dan akan menyebabkan berlakunya salahguna kuasa, rasuah dan sebagainya.

"Dibimbangi bahawa perasuah inilah yang jadi pimpinan Umno dan pimpinan negara. Jadi, saya nak minta satu penjelasan dari Tun, kerana ini kenyataan cukup serius dibuat Tun. Bolehkah Tun senaraikan mereka yang dimaksudkan orang-orang Umno dan pemimpin Umno yang masuk Umno untuk jadi kaya?

"Daripada mereka ini siapakah yang tersenarai untuk bertanding sebagai calon dalam pemilihan Umno pada 19 Oktober ini yang dimaksudkan Tun?" gesanya pada sidang media di Kompleks PAS Kawasan Pokok Sena, di sini kelmarin.

Jelas Mahfuz, sangat penting untuk Tun Mahathir menyatakan pendiriannya yang jelas kerana Mantan Perdana Menteri itu sebelum ini pernah mengkritik hebat Khairy Jamaludin.

Tetapi ujarnya, seolah-olah pandangan Tun terhadap Khairy sejak dari zaman Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri berkaitan 'Isu Budak Tingkat Empat' ketika itu langsung tidak dipedulikan.

"Perwakilan Umno, Pemuda dan Wanitanya terus memilih orang seperti Khairy yang dilihat Tun tidak punya tahap integriti yang tinggi termasuk kepada Ketua Wanitanya. Saya hendak minta penjelasan daripada Tun apakah dia telah lihat Wanita dan Pemuda yang dipilih beberapa hari lalu memenuhi ciri-ciri kepimpinan yang bersih?

"Saya juga meminta Tun menyenaraikan kepimpinan Umno dan calon-calon Umno yang bertanding dan mereka itu dianggap oleh Tun perlu dibersihkan daripada Umno untuk ditolak pada pemilihan ini sebagai menunjukkan Umno tidak mahu pemimpin yang korup," tegas beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Perkara itu juga katanya, sangat bersesuaian dengan tema dibawa oleh anak Tun iaitu Dato' Mukhriz Mahathir iaitu "Berani Berubah".

Jelasnya, Tun sebagai senior Umno yang tiada kepentingan harus berani menunjukkan satu sikap kepada perwakilan untuk menolak kepimpinan seperti dimaksudkannya pada Himpunan Agung Umno.

"Ini sangat jelas dengan tema atau tujuan Dato' Mukhriz yang menyatakan beliau bertanding kerana hendak menyelamatkan Umno pada Pilihan Raya Umum akan datang, tanpanya Umno tidak akan selamat.

"Tun harus menjelaskan perkara ini untuk membolehkan perwakilan menetapkan hala tuju kerana sesiapa pun yang menang nanti inilah, yang akan diletakkan diperingkat tertinggi dalam negara kita. Saya percaya bahawa rombakan Kabinet akan berlaku, mahu tidak mahu Umno akan kekal menjadi tulang belakang ini terus menerajui Kerajaan BN ini.

"Sebab itu kita mahu kerajaan itu nanti kerajaan yang bersih, jadi sudah tentu Tun perlu membersihkan kepimpinan Umno pada pemilihan kali ini," serunya.

Terdahulu pada sidang media itu, Mahfuz turut menyinggung tempelakan Tun Mahathir ke atas kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak yang dilihat gagal mengurus kewangan negara sebagaimana Laporan Ketua Audit Negara.

Ujarnya, Tun telah menggesa mereka itu meletak jawatan sekaligus memberi signal jelas kepada Perdana Menteri kerana  bertanggung jawab memilih dan melantik Menteri-menteri berkenaan.

"Bermakna bahawa, PM salah pilih menyebabkan memilih orang yang gagal mengurus dan menangani persoalan kewangan bawah kementerian masing-masing, ini kenyataan Tun kebelakangan ini," ujar Mahfuz.

Dr Asri: Takkan seluruh dunia Arab murtad?

Posted: 16 Oct 2013 03:45 AM PDT




Tindakan memurtadkan umat Islam yang membenarkan penganut Kristian menyebut kalimah Allah mempunyai kesan yang amat besar sehingga melibatkan seluruh dunia Arab dan ulama-ulama terkemuka, kata Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Ini kerana, selain semenanjung Malaysia, seluruh dunia Arab, sejak zaman permulaan Islam lagi membenarkan golongan Kristian menyebut kalimah Allah, kata bekas mufti Perlis itu.

NONE"Sejak seribu tahun lalu, sejak zaman Nabi Muhammad lagi mereka menggunakan perkataan Allah. Tiada isu selagi mereka menggunakannya merujuk kepada zat yang sebenar, bukan untuk berhala," katanya.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Dr Asri (atas) bagaimanapun enggan merujuk langsung kepada mana-mana pihak sebaliknya hanya menyebut "pihak tertentu".

Dr Asri berkata, jika pandangan itu jika diambil kira, bermaksud sarjana terkemuka Islam Dr Yusof Qardawi dan Dr Wahbah Zuhaili - yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian - juga dianggap murtad.

Menurutnya lagi, pandangan itu juga memberi kesan kepada negeri yang lagu rasminya menggunakan kalimah Allah, serta penggunaan tulisan Allah untuk logo polis dan tentera, termasuk bukan Islam.

"Kena hati-hati pada kesan sesuatu pandangan. Pandangan ini tidak munasabah. Jadi, pihak tersebut mesti tampil menjelaskan macam mana yang dikatakan sesat itu" katanya.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Nooh Gadut hari ini memberi amaran, umat Islam yang mempertikai keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes penggunaan kalimah "Allah" boleh menjadi kafir dan murtad.

Kalau Islam dihalang guna 'Isa' bagaimana?

Sementara itu, pendakwah bebas Wan Ji Husein (bawah) pula tampil dengan beberapa persoalan berkaitan kalimah Allah yang menurutnya patut diperjelas oleh Nooh, antaranya:

ppim police report against ustad wan ji insults sultan 200813 01(1) Status ayat al-Quran yang menyatakan sembelihan Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) yang dibacakan nama Allah boleh dimakan.

(2) Status agama Yahudi dan Kristian yang menggunakan kalimah Allah sejak zaman Nabi Muhammad lagi.

(3) Suruhan Allah dalam al-Quran yang menyuruh orang Kristian bersumpah dengan nama Allah jika mereka menafikan sesuatu tuduhan jenayah.

(4) Yahudi dan Kristian sejak zaman penurunan wahyu sendiri mempunyai kefahaman yang berbeza dengan Islam apabila menyatakan Uzair dan Isa anak Allah, seperti dirakam dalam al-Quran.

"Makanya, apa logiknya kata Yahudi dan Nasrani dulu tak sama dengan Yahudi dan Nasrani zaman sekarang? Nooh Gadut ada jawapan tak?" tulis bekas anggota jawatankuasa Dewan Ulama PAS itu.

Wan Ji juga menimbulkan persoalan berhubung sikap umat Islam jika mahkamah di negara yang diperintah orang Kristian, seperti England, melarang umat Islam menyebut nama Nabi Isa dalam al-Quran dengan alasan

"Noh Gadut setuju atau tidak dengan mahkamah England itu?" soalnya lagi?

VIDEO BERKAITAN / 3:32 MINIT

Mahkamah: Peruntukan lapuk masih berkuatkuasa

Posted: 16 Oct 2013 03:42 AM PDT

 


 

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa mahkamah tidak mengiktiraf doktrin deseutude, di mana sesuatu peruntukan undang-undang mungkin kehilangan kuasa apabila lama tidak digunakan walau tidak dimansuhkan.

Malah mahkamah tersebut, yang membenarkan peguam kanan Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah untuk tampil sebagai pendakwaan dalam rayuan ke atas pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan liwat, juga memutuskan bahawa doktrin tersebut tidak terpakai dalam undang-undang British dan juga di India.

Hakim Datuk Rohana Yusuf dalam keputusannya berkata sesuatu undang-undang di Malaysia akan terus dikuatkuasa sehinggalah ia dimansuhkan atau tamat tempoh.

Sesuatu perundangan itu perlu dimansuhkan di Parlimen sebelum kehilangan kegunaannya, katanya dalam penghakiman tersebut.

Teks penghakiman itu didedahkan kepada umum baru-baru ini.

Katanya, sesuatu undang-undang itu tidak boleh dianggap telah dimansuhkan hanya dalam tempoh sekian masa atau jika ia tidak digunakan.

Anwar dan penguamnya Karpal Singh menyatakan bahawa mereka akan merayu keputusan tersebut.

Rohana, yang mengenepikan permohonan Karpal untuk menyingkirkan Shafee dari barisan pendakwaan, dalam penghakimannya sepanjang 19 halaman berkata doktrin tersebut tidak terpakai di Malaysia.

Rohana merupakan anggota ketiga dalam panel yang diketuai hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Ramly Ali.

Anwar dan Karpal memohon untuk melucutkan kelayakan Shafee dari mengetuai rayuan berkenaan dengan alaasan bahawa pelantikan peguam kanan tersebut mengikut Seksyen 376(3) dan Seksyen 379 Kanun Prosedur Jenayah dan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan tidak sah.

Mereka memberi alasan bahawa Seksyen 379 sudah lama tidak digunakan dan patut diisytiharkan sebagai undang-undang lapuk mengikut doktrin desuetude.

Karpal juga mendakwa pindaan ke atas Seksyen 378 Kanun Prosedur Jenayah bermakna peguam seperti Shafee tidak boleh lagi tampil mewakili pendakwaan dalam mana-mana kes rayuan jenayah.

Rohana bagaimanapun tidak bersetuju dengan Karpal berdasarkan peruntukan Seksyen 376(3) berhubung lantikan terus sebagai pendakwa raya dan Seksyen 379, di mana seorang peguam apabila diberikan perintah akan dianggap sebagai penjawat awam.

Mengapa saya terima jemputan "shoot-out" KPN - Surendran

Posted: 16 Oct 2013 12:36 AM PDT

Oleh N Surendran



Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyuarakan pandangan mereka terhadap isu jemputan KPN kepada saya untuk sertai satu operasi "shoot-out" bersama PDRM. Ramai juga yang telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan saya jika saya menyertai operasi sebegitu.

Jemputan KPN yang dibuat kepada saya Jumaat lalu adalah disebabkan kritikan keras saya terhadap kenyataan Menteri Dalam Negeri yang telah menyebut tentang dasar "tembak dahulu" pihak PDRM, dan pembelaan kenyataan tersebut oleh pimpinan tertinggi polis.

Telah begitu lama pihak kerajaan dan juga pimpinan polis mengatakan mereka yang mengkritik tindak-tanduk PDRM tidak menghargai jasa dan pengorbanan serta cabaran yang dilalui anggota polis yang berhadapan dengan penjenayah bersenjata.

Umum tahu dan sedar bahawa respon ini tidak masuk akal.

Kami tidak pernah berkata pihak polis tidak berhadapan dengan ancaman atau bahaya dalam menjalankan tugas mereka; namun kami tidak akan meminta maaf kerana mengkritik tindakan mana-mana anggota polis sekali pun yang melanggar undang-undang terutamanya dalam cara mereka mengendali suspek polis.

Dalam memberi respon kepada kritikan saya, KPN telah mencabar saya untuk menyaksikan sendiri operasi polis. Ia respon tersentak atau "knee-jerk" kepada satu kritikan yang munasabah, tetapi saya telah menerima tawaran beliau dengan hati terbuka.

Namun jemputan KPN ini tidak menjawab kritikan saya terhadap dasar "tembak dahulu" Menteri Dalam Negeri dan peningkatan jumlah kes suspek yang mati ditembak dalam operasi polis. Umum masih menanti jawapan dan penjelasan yang munasabah tentang hal ini dari KPN dan pihak kerajaan.

Tidak mengira penyertaan saya dalam operasi ini atau apa pun yang akan berlaku nanti, Kementerian Dalam Negeri dan pimpinan PDRM mesti menghentikan kejadian tembakan suspek polis yang keterlaluan dan salah di sisi undang-undang.

Keselamatan semua rakyat Malaysia perlu diutamakan, dan hak untuk hidup seperti termaktub di dalam Perlembagaan tidak boleh dikompromi.

N SURENDRAN

NAIB PRESIDEN, KEADILAN

AHLI PARLIMEN PADANG SERAI

Surendran ke Bukit Aman petang ini ambil ukuran pelindung tubuh

Posted: 16 Oct 2013 12:24 AM PDT

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Naib Presiden KEADILAN, N Surendran akan berada di Bukit Aman jam 2 petang hari ini untuk mengambil ukuran pelindung tubuh.

Ia sebagai persediaan untuk menyertai operasi pencegahan jenayah bersama pihak Polis Diraja Malaysia.

Latheefa_Koya

Demikian dinyatakan Ketua Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya dalam pesanan ringkas kepada Keadilandaily.

"Untuk makluman, ahli parlimen N Surendran akan berada Bukit Aman, Rabu 16 Oktober ini, jam 2 petang ini untuk mengambil ukuran pelindung tubuh.

"Ia bagi menyertai PDRM dalam operasi (shoot out)," kata Latheefa dalam SMS.

Jemputan KPN tak jawab polisi ‘tembak duhulu’

Posted: 16 Oct 2013 12:23 AM PDT

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar masih belum menjawab polisi 'tembak dahulu' seperti dinyatakan Menteri Dalam Negeri, kata naib presiden KEADILAN, N Surendran.

Katanya, sehingga hari ini jumlah suspek yang mati ditembak dalam operasi polis masih belum didedahkan.

"PDRM mesti hentikan kejadian tembakan suspek polis yang keterlaluan dan salah di sisi undang-undang," kata Surendran dalam kenyataan
N_Surendran.
Kata Surendran, reaksi KPN dengan mencabarnya untuk melihat sendiri operasi mencegah jenayah adalah respon tersentak (knee-jerk) kepada kritikannya yang munasabah.

"Tetapi saya telah menerima tawaran beliau dengan hati terbuka," katanya.

Beliau bertegas tidak meminta maaf kerana mengkritik tindakan anggota polis yang melanggar undang-undang terutamanya dalam cara mengendali suspek.

"Keselamatan semua rakyat Malaysia perlu diutamakan dan hak untuk hidup seperti termaktub di dalam Perlembagaan tidak boleh dikompromi," tegasnya.

‘Larangan’ ke program Anwar di Australia

Posted: 16 Oct 2013 12:21 AM PDT

Oleh Masdar Wahid

 
KUALA LUMPUR : KEADILAN menuntut penjelasan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di New South Wales, Australia berhubung larangan menghadiri sesi awam bersama Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Apakah benar emel ini dihantar pegawai berkenaan.
Fahmi
"Jika benar, ia membawa implikasi besar terhadap kebebasan akademik Mahasiswa yang dihantar belajar di luar negara," pengarah komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil (gambar).

Beliau mempersoalkan sama ada larangan itu merupakan sebahagian Penetapan Pertambahan Standard (SOP) JPA.

"Mengapa emel ditulis lebih berbentuk 'ancaman' dari 'nasihat' perlu dihantar?

"Saya menuntut penjelasan khususnya JPA Advisor Office, Consulate of Malaysia di New South Wales," katanya.

Semalam Keadilandaily mendedahkan amaran pegawai penasihat pelajar JPA, Sharezan Md Sheriff kepada mahasiswa Malaysia di Australia agar 'menjauhkan diri' dari menghadiri sesi awam bersama Anwar.

"Jika benar emel ini dihantar, golongan 'moderat' dan 'progresif' Umno perlu menjelaskan pendirian mereka.

"Mengapa membenarkan budaya mengongkong minda mahasiswa menular, khusus apabila sesuatu aktiviti itu melibatkan ahli-ahli Pakatan Rakyat?

"Jelas kerajaan persekutuan di bawah pentadbiran BN teramat paranoid dan terancam dengan seorang insan bernama Anwar Ibrahim," katanya.

Dilema Melayu popular

Posted: 16 Oct 2013 12:18 AM PDT



SAYA harap rakan saya berbangsa Melayu tidak salah faham membaca artikel ini. Saya tidak memandang rendah kepada orang Melayu. Pada saya, semua bangsa dijadikan ALLAH mempunyai kekuatannya tersendiri. Tiada istilah Melayu malas, bangsa lain rajin dan sebagainya, sebagaimana yang dipersepsikan. Semua bergantung kepada diri sendiri. Seperti kata Pendeta Za'ba, rupa tidak boleh berubah, tetapi perangai boleh diubah. Terpulang kepada kita, nak pilih yang mana!

Kebelakangan ini, banyak sangat 'kelemahan' Melayu sama ada yang saya lihat sendiri atau didedahkan. Saya yakin Melayu tahu dan memahaminya. Tetapi Melayu sengaja membiarkannya. Dalam apa jua bidang, Melayu bermasalah. Dalam politik, mereka saling tikam-menikam walaupun sesama parti. Saling fitnah-memfitnah, jatuh-menjatuh dan sebagainya. Dalam ekonomi, saling dengki-mendengki melihat orang lain berjaya. Bila tidak puas hati, berlaku santau-menyantau. Mereka tidak faham falsafah korban, walaupun tiap-tiap tahun menyambut Hari Raya Korban.

Pendek kata, dalam apa jua profesion, Melayu bermasalah. Dalam perjawatan awam (juga swasta), politik untuk naik pangkat,. Oouuhhh! dahsyat. Untuk mencapai matlamat itu, kerjanya membodek sepanjang masa untuk naik, walaupun kualiti kerja macam...

Itu belum sebut lagi masalah sosial yang lain seperti gejala sosial remaja, dunia hiburan artis, dadah, dedah, gejala tak solat, masalah keluarga, perceraian dan lain-lain. Berdasarkan statistik, setiap 15 minit, akan lahir anak luar nikah dan pasangan Melayu bercerai.

Mudah sahaja untuk menjadi popular di negara ini. Tidak perlu belajar tinggi-tinggi atau masuk universiti. Cukup sekadar masuk industri hiburan, tonjolkan kontroversi atau masuk pertandingan menyanyi, melawak, menonjol dalam sukan dan lain-lain berkaitan. Popularlah.

Kenapalah Melayu pantang popular sedikit? Usahkan diri empunya yang mungkin 'popular', mereka yang tidak kena-mengena pun terasa popular seperti isteri atau suami artis popular tersebut atau pegawai peribadinya. Maka menyombonglah tidak tentu pasal.

Kepopularan ini menjadi dia glamor. Artis-artis pun suka. Maka mengoratlah mereka. Sanggup hadiahkan rumah berjuta-juta. Akhirnya, kedua-dua jadi popular. Persoalannya, kenapa susah sangat nak cari artis atau orang popular yang warak atau low profile. Kenapa hidup penuh kontroversi. Tidak teringin ke masuk syurga? Takkan nak tunggu tua baru nak bertaubat!.

Lebih pelik lagi, mereka inilah yang menjadi rebutan syarikat swasta untuk menjadi duta sana sini. Peribadi duta-duta produk tidak diambil kira, yang penting popular. Produk laku.

Terbaharu, dilema Melayu popular. Saya naik muak dan lemas menonton YouTube mengenai gelagat isteri seorang pemain bola sepak terhadap pengawal keselamatan di sebuah lapangan terbang. Ini baru bola sepak, belum lagi bola lain.

Cuba banding dengan jaguh-jaguh negara bukan Melayu seperti pemain badminton nombor satu dunia. Beliau amat popular. Isterinya juga popular. Kedua-dua mereka berharta dan kaya-raya. Kehidupan mereka tidak pula kontroversi. Bayangkan jika pasangan itu orang Melayu.

Ingatlah Melayu, popular di sisi ALLAH, kita bukan apa-apa pun jika tidak ada bekalan iman dan takwa. Sepatutnya kita guna populariti itu untuk cari keredaan ALLAH, menjadikan kelebihan itu untuk mendidik manusia jadi manusia, bukan sebaliknya.

Berbeza dengan artis di Barat. Mereka amat popular, bertaraf dunia lagi tetapi mereka tidak sombong, walaupun tidak Islam. Kepopularan mereka digunakan untuk membaiki diri dan keluarga. Buat bekalan di hari tua. Sebab itulah, jarang dengar orang Barat popular merana di usia tua, sebab mereka ada bekalan. Kita pula berlagak tak tentu pasal dengan red carpet sana sini, tetapi poket kosong. Bila tua, merana.

Sempena Hari Raya Korban ini, marilah kita muhasabah diri. Kita hanya makhluk ALLAH. Sepopular mana pun, kita tetap hamba ALLAH. Kita akan ditanya tentang Tuhan kita, agama kita, amalan kita dan sumbangan kita. Sejauh manakah sebenarnya kita berkorban?

Perkeso Bayar Elaun RM500 Kepada Penjaga Orang Hilang Upaya Khas

Posted: 16 Oct 2013 12:01 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
MARAN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membayar elaun RM500 sebulan kepada mereka yang menjaga 'orang hilang upaya khas' menerusi Skim Bayaran Layanan Sentiasa (ELS) mulai tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata sehingga Ogos lepas 5,383 penjaga menerima manfaat itu dalam usaha kerajaan meringankan bebanan mereka.

"Elaun yang diberikan itu bagi meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung penjaga semasa mengubati dan menjaga mereka yang hilang upaya itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis korban anjuran Umno Bahagian Maran di Simpang Tajau, di sini Rabu.

Beliau meminta mereka yang menjaga pesakit hilang upaya kekal dan belum menerima bayaran supaya menghubungi Perkeso dengan mengemukakan dokumen lengkap berkenaan pesakit yang mereka jaga.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata pihaknya menyasarkan 1.9 juta anggota Perkeso berumur 40 tahun ke atas menjalani pemeriksaan saringan kesihatan percuma di klinik panel Perkeso di seluruh negara sebelum akhir tahun ini.

"Sehingga ini 200,000 individu berumur 40 tahun ke atas menjalani saringan pemeriksaan kesihatan percuma itu bagi mengesan dan mencegah penyakit berjangkit pada peringkat awal, namun jumlah itu masih jauh daripada sasaran kita," katanya.

Ismail yang juga anggota Parlimen Maran berkata kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi program saringan kesihatan percuma itu. - BERNAMA

Kalimah ALLAH untuk Islam

Posted: 15 Oct 2013 11:56 PM PDT

Ismail Ibrahim
 
Dr Ismail Ibrahim

14 Oktober 2013 merupakan satu sejarah bagi penggunaan kalimah ALLAH, iaitu khusus untuk penganut agama Islam.
Penerbitan agama lain tidak seharusnya menggunakan istilah ini untuk sebarang tuhan mereka.
Itulah keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan hari ini tentang kes yang tersebut.

Keputusan itu cukup jelas dan terang. Hanya apabila terdapat rayuan tentang keputusan ini, maka kita menunggu pula proses undang-undang seterusnya dan keputusan rayuan tersebut di mahkamah yang lebih tinggi.

Kelmarin saya menulis supaya semua pihak dapatlah menerima keputusan mahkamah rayuan pada hari ini dengan dada yang terbuka. Tidak ada pihak yang seharusnya segera bersifat defensif dan emosional tanpa pertimbangan yang rasional.

Mahkamah mengambil kira implikasi perundangan terhadap maslahat umum dan kepentingan awam serta kesejahteraan rakyat di negara ini yang mungkin berbeza dari situasi di negara lain, dan berbeza dari latar belakang budaya, bahasa dan tradisi rakyat di negara lain juga.

Sensitiviti sebuah negara dan sebuah masyarakat mungkin berbeza dan tidak setara dengan sensitiviti atau kepekaan masyarakat negara lain.
Rakyat Arab dan Timur Tengah atau Afrika, tentunya mempunyai perbezaan dari segi budaya dan tradisinya dengan rakyat negara Asia.

Kesilapan pihak perundangan negara tertentu atau pentadbirannya dalam memutuskan atau membuat satu dasar mungkin menyebabkan huru hara yang besar di dalam satu masyarakat yang tertentu, sedangkan keputusan yang sama umpamanya di negara kita mungkin tidak dilihat sebagai satu faktor yang besar, yang boleh menimbulkan emosi dan sentimen yang besar.

Oleh itu sekali lagi ingin saya peringatkan, bahawa dalam penggunaan kalimah ALLAH bagi Tuhan umat Islam di Malaysia ini janganlah diukur dengan situasi di negara lain, atau latar belakang tradisi serta penggunaan bahasa lain, kerana rakyat Melayu amat kuat terikat dengan tradisi dan budaya serta bahasa Melayu dalam konteks agamanya.

Bahasa Melayu tidak boleh menerima ALLAH sebagai tuhan agama lain, kerana pengertian dan budaya serta tabiat penggunaannya itu amat khusus kepada Tuhan Yang Maha Esa, bukan God the father, the son dan the holy spirit. (Rujuk Al-Quran surah 5 ayat 72 - 73)

Kitab mana lagi yang hendak dirujuk dan diyakini dari segi akidahnya oleh orang Islam kalau tidak kepada kitab suci Al-Quran?

Inilah prinsipnya yang dianuti oleh orang Islam di negara kita ini, yang mempunyai Perlembagaan dan adat tradisi sendiri.

(*) Artikel ini dipetik dari blog Ismail Ibrahim

Mat Yo selamat maruah Harimau

Posted: 15 Oct 2013 11:54 PM PDT

Mat Yo  
Mat Yo

HARAPAN Malaysia untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2015 Australia sedikit terencat apabila diikat Bahrain 1-1 pada aksi Kumpulan D di Stadium Shah Alam malam tadi.

Pelawat beraksi garang namun hanya mampu merobek awal gawang anak buah Datuk K Rajagobal lewat hasil jaringan Abdullah Salleh Aman minit ke-45.

Separuh masa kedua peledak Johor DT, Norshahrul Idlan Talaha menjadi penyelamat maruah negara apabila jaringannya pada minit ke-71 sekali gus menafikan tiga mata pelawat.

Keputusan itu meletakkan Harimau Malaya menghuni tangga ketiga kumpulan dengan empat mata selepas tiga perlawanan.

Bahrain kini mendahului kumpulan dengan tujuh mata, dua mata mengatasi pesaing terdekat Qatar ditempat kedua.

Isu kalimah ALLAH: NGO beri DAP amaran

Posted: 15 Oct 2013 11:52 PM PDT

 Rahmad Ishak  
Rahmad Ishak

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin yang tidak membenarkan penggunaan kalimah ALLAH oleh The Herald disambut baik oleh Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) Rahmad Ishak.

Tegas Rahmad, tidak ada mana-mana pihak boleh mempertikaikan keputusan berkenaan, terutamanya parti-parti pembangkang kerana dikhuatiri akan mengganggu-gugat keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Pihak kami juga memberi amaran supaya keputusan kes tersebut tidak dijadikan modal politik pembangkang terutamanya DAP dalam cubaan untuk menegakkan benang yang basah di mana akhirnya bakal mengundang episod ketegangan kaum di luar jangkaan.

"Sebarang percubaan ke arah mempolitikkan keputusan tersebut samalah seperti mengingkari serta menghina keputusan mahkamah berkenaan," demikian menurut Rahmad melalui satu kenyataan media.

Walaupun rakyat Malaysia bakal berdepan dengan rayuan pihak gereja ke peringkat Mahkamah Persekutuan, namun jelas Rahmad kesepakatan panel hakim dalam memutuskan isu tersebut adalah kerana mempertahankan agama sepertimana yang termaktub Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa agama Islam adalah agama rasmi dan pada masa yang sama agama-agama lain bebas diamalkan secara aman dan tenteram.

Malah ia juga berteraskan sistem demokrasi yang sememangnya diamalkan di negara ini.

"Tiga aspek penting yang dirumuskan sebagai membentuk keputusan berkenaan adalah (satu) "bukan aspek penting Kristian", (kedua) tiada bukti dan sejarah dalam Bible Bahasa Melayu dan (ketiga) belum ada kata sepakat dalam kalangan Kristian tentang penggunaan kalimah ALLAH," jelasnya lagi.

Rahmad juga yakin berdasarkan ketiga-tiga faktor tersebut akan mengekalkan keputusan mahkamah walau dibawa ke Mahkamah Persekutuan sekalipun.

Isu kalimah ALLAH bermula pada awal 2009 apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan permit akhbar Herald menggunakan kalimah ALLAH yang merujuk kepada Tuhan, namun kerajaan pula disaman oleh pihak gereja berkenaan selepas merasakan hak mereka dilanggar di dalam perlembagaan.

Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan semakan keputusan dan membatalkan pengharaman oleh KDN untuk menggunakan kalimah ALLAH oleh The Herald.

10 September lalu Mahkamah Rayuan menolak permohonan The Herald untuk menghalang kerajaan dan Jabatan Agama Islam enam negeri untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

14 AJK wanita Umno letak jawatan

Posted: 15 Oct 2013 11:44 PM PDT

Pemilihan Umno
 
TAWAU - Empat belas daripada 15 anggota jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Kalabakan yang menang pada pemilihan parti itu Sabtu lepas mengambil keputusan meletak jawatan sebagai protes berhubung pemilihan itu.
 
Suriyani Lamai, yang mengetuai protes itu, berkata mereka mengambil keputusan itu kerana menganggap banyak perkara meragukan dalam proses pemilihan.
 
"Kami mengambil keputusan meletak jawatan beramai-ramai kerana kami tidak puas hati," katanya pada sidang berita di sini hari ini yang turut dihadiri
kesemua 14 anggota jawatankuasa bahagian itu.
 
Selain Suriyani, yang memperoleh undi terbanyak, turut meletak jawatan ialah Masnah Lama, Hindun Abu Bakar Titingan, Salmah Maidin, Astika Tahir, Nurida Abu
Bakar, Zainab @ Jainab Ali, Shaniah Sampar, Norizan Omar, Juo Amin, Fatimah Abdullah, Sofiah Daud, Asiah Indobeche dan Muliati Engkeng.
 
Sementara itu bekas Ketua Wanita Umno Kalabakan Datuk Hamisa Samat yang turut hadir pada majlis itu berkata pihaknya telah menghantar laporan bantahan ke ibu pejabat Umno pusat kerana tidak berpuas hati dengan proses pemilihan itu dan berharap Jawatankuasa Pemilihan Umno memberi keputusan secepat mungkin.
 
"Jika boleh, sebelum 19 Okt ini dan pemilihan semula diadakan secara adil," kata Hamisa.
 
Dalam pemilihan itu, beliau tewas kepada Cahaya Sulaiman dengan majoriti 33 undi bagi jawatan Ketua Wanita bahagian dan menurut Hamisa, beliau memperoleh
384 undi berbanding 417 yang diraih Cahaya manakala 10 undi lagi rosak.
 
Wanita Kalabakan, katanya, mempunyai 825 perwakilan yang layak mengundi padakali ini tetapi 764 orang yang hadir pada mesyuarat Sabtu lepas. 
 
"Saya curiga dari mana dapat 47 undi yang lebih itu. Beberapa perwakilan telah pulang dan tidak sempat mengundi," dakwanya.  
 
Beliau turut melahirkan kekecewaannya dengan proses pemilihan kali ini, yang didakwanya dicampuri banyak pihak.
 
"Ketika proses pengundian, ramai yang tidak berkenaan seperti kaum lelaki masuk ke dalam pusat pengundian. Ini tidak sepatutnya berlaku," dakwa Hamisa.
 
Bagaimanapun, Hamisa yang yakin dengan keputusan Umno pusat kelak setelah menghantar bantahan, meminta anggota Wanita Umno Kalabakan supaya bertenang dan meneruskan perjuangan parti. - Bernama

Penganalisa: Sistem Pemilihan Umno Tidak Cermikan Suara Akar Umbi

Posted: 15 Oct 2013 04:57 PM PDT


Prof Datuk Mohamad Abu Bakar


SHAH ALAM: Sistem pemilihan "satu bahagian satu undi" yang dipraktikkan dalam Pemilihan Umno 2013 tidak menzahirkan kehendak majoriti ahli akar umbi parti itu.

Penganalisa politik, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar berkata melalui sistem seperti itu, pemimpin yang menang perebutan jawatan tidak semestinya menang dari segi undi popular.

Ini berbeza dengan sistem pemilihan "satu ahli satu undi" yang diamalkan PKR dan memberi kuasa kepada setiap ahli untuk memilih pemimpin mereka hingga ke peringkat tertinggi.

"Saya tak begitu pasti sejauh mana sistem ini mampu memberi kesan transformasi pemilihan.

"Cuma yang digembar-gemburkan kononnya suatu suasana yang lebih demokratik sudah menjalar dalam kepimpinan dan pemilihan Umno tetapi apakah perasaan peringkat yang berbagai itu benar-benar dapat disalurkan dari segi pemilihan akhir, itu sukar untuk disukat," kata pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM) itu.

Sebelum ini penulis Blog terkenal pro Umno, Syed Akhbar Ali menganggap kemenangan yang diraih Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ketua Wanita Umno dan Khary Jamaluddin Abu Bakar sebagai Ketua Pemuda Umno bukan kemenangan mutlak kerana undi yang dibuang ahli-ahli Umno akhirnya dianggap satu undi sahaja di peringkat bahagian.

Selain itu beliau turut mempersoalkan ketelusan jawatankuasa Pemilihan Umno yang beliau dakwa merahsiakan jumlah undi popular seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu.

Selain sistem pemilihan yang bercelaru, suasana pemilihan kali ini didakwa dicemari kewujudan pengundi hantu, kertas undi tidak cukup, jumlah undi melebihi perwakilan, insiden melempar mikrofon, kertas undi mengelirukan dan lain-lain.

PAS P Pinang gerak jentera pertahan Sungai Limau

Posted: 15 Oct 2013 04:54 PM PDT

Mohd Sabri Said,


BUKIT MERTAJAM: PAS Pulau Pinang mengarahkan semua jentera pilihan raya turun membantu jentera Pilihan raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau yang bermula dari hari penamaan calon 23 Oktober ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Saleh Man ketika ditemui di majlis penyembelihan korban Aidil Adha di Kampung Tanah Liat, di sini pagi tadi menegaskan, tidak kira jentera Pemuda ataupun Muslimat perlu digerakkan membantu untuk memastikan kemenangan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

"Untuk mencapai kemenangan bukan kerja mudah di PRK Sungai Limau nanti kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) akan berusaha untuk meroboh kubu PAS. Memandangkan ia begitu sengit, semua jentera PAS Pulau Pinang amat diperlukan, tambahan lagi kita berjiran," jelasnya yang juga Adun Permatang Pasir.

Bagi menzahirkan hasrat tersebut sambung beliau, PAS negeri akan bermesyuarat dengan jentera pilihan raya PAS negeri terlebih dahulu supaya pembahagian tugasan berjalan dengan lancar.

Jentera PAS Pulau Pinang  ujarnya, bersedia diletakkan di mana sahaja Unit Peti Undi (UPU) yang akan ditentukan kelak.

Jelasnya, kalangan petugas yang bakal dihantar nanti merupakan mereka yang berpengalaman terutamanya dalam beberapa siri PRK yang diadakan di Kedah.

Kematian pemungut hutang: Tujuh individu termasuk dua anggota polis direman

Posted: 15 Oct 2013 04:52 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER


















Polis mendapat perintah menahan reman tujuh individu, termasuk dua anggota polis dan seorang wanita, selama lima hari bagi membantu siasatan kes kematian seorang pemungut hutang.
  
Pendaftar Kanan Mahkamah, Ahmad Faiz Md Zin memerintahkan kesemua suspek, yang berusia antara 30 dan 55 tahun, ditahan reman sehingga 19 Oktober ini bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
  
Kesemua suspek diwakili peguam Lim Boon Beng dan Christine Khor.
  
Dalam kes itu, mangsa, Kang Seak Siong, 38, meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya akibat pendarahan teruk di bahagian perut kiri dua jam selepas ditembak di sebuah pusat hiburan pada awal pagi Isnin lepas.
  
Sebelum itu, mangsa dan seorang daripada suspek dikatakan bertengkar.
  
Terdahulu, Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi (gambar) berkata suspek utama kes itu adalah anggota pasukan cegah jenayah yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim.
  
"Siasatan awal mendapati ia berpunca dari perselisihan faham antara mangsa dan suspek sehingga suspek melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa.
  
"Suspek sememangnya dibenarkan membawa senjata api tidak kira sama ada ketika bertugas atau tidak, namun kita menyiasat dari sudut penyalahgunaan kuasanya hingga menyebabkan kematian," katanya.
  
Beliau berkata pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui satu kelongsong peluru jenis 9mm Luger serta satu peluru hidup jenis SME 9mm dan polis merampas senjata api milik Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan. – Bernama

Keputusan mahkamah tidak terpakai di Sabah dan Sarawak, kata Wan Junaidi

Posted: 15 Oct 2013 04:49 PM PDT

OLEH DESMOND DAVIDSON

Perkasa disaran tidak membabitkan negeri di Malaysia Timur terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam. 


Perkasa disaran tidak membabitkan negeri di Malaysia Timur terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam

.Larangan penggunaan kalimah Allah yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan semalam hanya terpakai kepada akhbar mingguan Katolik, Herald dan bukannya kepada penerbitan Kristian lain atau Bible dalam bahasa Melayu, Al-Kitab yang digunakan di Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata keputusan Kabinet membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Al-Kitab di Sabah dan Sarawak serta jaminan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 2011 masih terpakai.

Katanya, isu ini masih belum selesai dan beliau percaya kes ini akan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

"Saya percaya akan ada lagi semakan kehakiman."

Wan Junaidi berkata keputusan oleh Mahkamah Persekutuan kelak akan mengakhiri segala perkara berbangkit.

Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan nanti akan dipolitikkan oleh pihak tertentu.

"Keputusan yang diputuskan mahkamah adalah berpandukan Perlembagaan dan tidak menerima tekanan daripada sesiapa.

"Bermakna polis atau agensi lain tidak mempengaruhi keputusan mereka," katanya ketika ditemui dalam satu acara penyembelihan korban di Tabuan Hilir, Sarawak.

Namun, Wan Junaidi berkata kerajaan berpandukan undang-undang boleh menggunakan kuasanya untuk menarik balik keputusan mahkamah melalui pindaan undang-undang di Parlimen.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Madius Tangau memberi amaran kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) agar tidak membabitkan negeri di Malaysia Timur terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UPKO berkata penggunaan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak tidak mendatangkan apa-apa masalah di sana.

Katanya, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah itu sejak 100 tahun lalu dengan aman dan harmoni.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing turut senada dengan Madius.

"Datuk Zulkifli Noordin tinggalkan keputusan itu di Semenanjung dan jangan bawanya ke Sabah dan Sarawak untuk merosakkan keharmonian di sini."

Masing-masing turut menyuarakan kebimbangan sekiranya keputusan itu terpakai kepada Al-Kitab akan memungkiri janji Datuk Seri Najib Razak di Sibu pada 2010.

"Sekiranya perkara itu benar berlaku akan merosakkan kredibiliti Barisan Nasional (BN) dan Najib sebagai Perdana Menteri," katanya.

Tiada ulasan: