Selasa, 29 Oktober 2013

bumiperak

bumiperak


Bajet 2014: JPM dapat lipat ganda dalam tempuh 5 tahun

Posted: 29 Oct 2013 07:39 AM PDT

Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar untuk mengekang defisit negara, namun belanjawan jabatannya sendiri telah melonjak ke paras tertinggi.

Menurut Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2014, anggaran bajet Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun depan berjumlah RM16.45 bilion, dengan perbelanjaan operasi RM5.86 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM10.58 bilion.

Jumlah itu adalah peruntukan tertinggi kepada JPM, dan memecahkan rekod sebelum ini iaitu bajet RM15.62 bilion pada 2011.

Perbelanjaan JPM pada tahun-tahun sebelumnya ialah RM6.91 bilion (2008), RM10.19 bilion ( 2009), RM11.88 bilion (2010), RM15.62 (2011 ), dan RM13.721 bilion (2012).

Peruntukan bajet 2014 bermakna JPM telah, buat kali pertamanya dalam tempoh tiga tahun, mengatasi kementerian pertahanan  dengan bajet 2014 sebanyak RM16.1 bilion.

Bajet bagi kementerian pendidikan bagi 2014 ialah RM54.6 bilion, manakala kementerian kesihatan di tempat kedua dengan RM22.16 bilion.

Antara perkara yang mengambil sebahagian besar bajet JPM adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( RM779 juta), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (RM631 juta) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ( RM367 juta).

Ketika membentangkan Bajet 2014 semalam, Najib berkata negara mensasarkan untuk terus mengurangkan defisit daripada 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK ) tahun ini kepada 3.5 peratus tahun depan. MKini
DAP: Henti wujudkan agensi mahal
DAP hari ini menggesa kerajaan mengambil langkah berjimat supaya ia selaras dengan gesaannya kepada rakyat selepas pembentangan Bajet 2014 minggu lalu, serta mengkritik penubuhan agensi baru yang berkos mahal.
Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming (gambar), berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya terlebih dahulu mengurangkan perbelanjaan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang diunjur meningkat 13% daripada RM14.6 bilion kepada RM16.5 bilion pada 2014 nanti.
"Najib juga perlu turut sama berjimat dengan mengurangkan perbelanjaan di jabatannya," kata Ong dalam satu kenyataan hari ini.
Ong berkata, DAP juga mempersoalkan bayaran gaji yang tidak munasabah kepada pengarah eksekutif yang berada di bawah JPM sehingga ada yang mencecah ratusan ribu ringgit.
"Dalam jawapan Parlimen saya pada 1 Oktober, saya diberitahu gaji tahunan, elaun dan bonus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Inovasi Malaysia adalah RM830, 500, gaji bulanannya kira-kira sebanyak RM69, 000. Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula dibayar gaji tahunan sebanyak RM480,000 (RM40, 000 sebulan).
"Semua CEO ini dibayar bulanan lebih tinggi daripada penjawat awam seperti Ketua Setiausaha Negara yang mempunyai gaji bulanan RM23, 577," katanya.
Beliau berkata, dua agensi tersebut hanya sebahagian daripada beberapa agensi lain yang berada di bawah JPM, malah kebanyakan staf kontrak yang bekerja dalam agensi tersebut dibayar gaji yang tidak munasabah.
"Sebahagian punca perbelanjaan kerajaan meningkat dengan ketara sejak empat tahun lalu di bawah JPM dan ketika Menteri Kewangan mengambil alih adalah kerana pengambilan staf kontrak yang dibayar gaji amat tinggi, terutamanya di JPM," katanya.
Katanya, penubuhan dua agensi baru Yayasan Hijau dan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) merupakan suatu pembaziran kerana kerajaan sudah pun memiliki agensi yang memainkan peranan sama.
"Najib juga perlu berhenti daripada mewujudkan agensi baru yang fungsinya sama dengan agensi sedia ada," katanya.
Kerajaan pada September lalu  memotong subsidi minyak sebanyak 20 sen bertujuan menjimatkan perbelanjaan bahan api tersebut, kemudiaannya disusuli dengan pemotongan subsidi gula sebanyak 34 sen yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2014 lalu.
Langkah kontroversi itu diambil bertujuan menurunkan defisit fiskal yang dihadapi Malaysia selama 15 tahun berturut-turut.-29 Oktober, 2013. MInsider

Tiada ulasan: