Ahad, 20 Oktober 2013

.

.


Transformasi yang tidak berjaya dalam Umno

Posted: 19 Oct 2013 07:04 PM PDT

ULASAN PEMILIHAN UMNO                                                            

Keputusan pemilihan kepimpinan baru Umno untuk tahun 2013 - 2016 telah pun diketahui. Ketiga-tiga naib presiden dipilih semula untuk terus menyandangkan kerusi mereka. Ahmad Zahid Hamidi dan Shafei Apdal tidak sukar untuk mempertahankan kedudukannya. Zahid mendapat undi tertinggi untuk naib presiden dengan mengutip 185 undi. Beliau nampaknya begitu ghairah dengan kemenangan itu sampai mengumum sendiri kemenangannya mendahului pengumuman pengerusi jawatakuasan pemilihan.

Shafei Apdal pula mengutip 174 undi manakala Hishamuddin Hussein mengutip 100 undi yang mengatasi seorang lagi calon naib presiden yang sebelum ini didendangkan akan menang dengan sembilan undi saja. Calon berkenaan ialah Mukhriz Mahathir mengutip yang 91 undi, setakat jam 2:30 pagi tadi.

Sebagai rekod dua lagi calon naib presiden, Mohd Isa Samad dan Mohd Ali Rustam mendapat tujuh undi. Kedua-dua calon ini bolehlah menyiapkan paku keranda terakhir mereka. Petunjuk jelas kepada mereka berdua bahawa aura mereka telah pun lupus. Mereka sepatutnya sedar dan insaf dan jangan lagi mencari alasan-lasan klise untuk memperakui yang diri mereka masih relevan. Tidak semua perangai Mahathir Mohamad patut diceduk.

Apabila bercakap mengenai pemilihan Umno, menganalisa dan mencari jawaban kenapa orang itu kalah dan orang ini menang tidaklah begitu memelikan. Tidak perlu mengambil masa sehari semalaman untuk membuat analisa mengenainya. Tidak ada apa-apa perubahan di dalam Umno, semuanya status quo. Status quo mengenai kedudukan naib presiden itu sudah dapat dijangka awal-awal lagi dengan melihat pola atau stail pemilihan di dalam sayap pemuda dan wanita parti tersebut.

Bahawa perwakilan Umno tidak mengubah cara mereka membuat pemilihan. Mereka tetap melihat kepada beberapa faktor yang menjadi kriteria tradisi mereka untuk membuat pemilihan sebelum ini. Antara kriteria atau faktor itu ialah; tokoh yang popular, berjawatan, kroni, bersikap baik serta (ini yang penting tetapi jarang disebut orang apatah lagi para komentator politik yang bercakap di media eletronik atau media PB) iaitu sedia memberi rasuah.

Bagi perwakilan kriteria itu dibuat berdasarkan keuntungan peribadi kepada mereka bukan kepada parti dan negara. Bagi mereka soal parti dan negara nombor 'mengusuk' (akhir). Apabila mereka memilih orang-orang yang mempunyai ciri-ciri itu, ia mendapat pendapatan atau pun imbuhan (dipanggil juga duit tersepak) semasa pemilihan. Tradisi permilihan Umno adalah kesempatan untuk mendapat wang poket tidak lupus dari minda mereka bahkan ia menjadi buruan dan wasiat. Jadi calon yang berciri-ciri demikian akan memberi manfaat perut buat mereka, mereka akan dipilih.

Ambil dahulu jawatan untuk naik presiden. Ketiga yang dipilih semula itu adalah mereka yang mempunyai kriteria tadi. Menerusi satu status di dalam facebook saya memberi petua kepada mereka yang ingin mengetahui siapa yang bakal menang dalam pemilihan Umno dengan mengatakan sesiapa tokoh atau calon yang banyak memberi rasuah dialah yang akan menang. Mereka yang tidak berwang dan berjawatan boleh menjanakan wang pasti akan cicir. Zaman calon naib presiden yang tidak berjawatan dan berada dalam penjara akan menang seperti dialami Harun Idris (Allahyarham) sudah tidak ada.

Ketiga yang menang itu menteri di mana mempunyai kekuatan kewangan yang cukup kuat. Ini dapat disahkan apabila dua calon Mohd Isa Samad dan Mohd Ali Rustam yang tidak menjadi menteri mendapat undi yang sedikit. Saya yakin dan percaya kalau mereka berdua juga mempunyai kedudukan dan ada kuasa menteri yang boleh eksploit untuk menjana kewangan mereka akan mendapat undi setidak-tidaknya separuh dari undi diperolehi Mukhriz.

Sebagai mengabsahkan perkara ini cuba perhatikan sejarah lampau ketika mereka menjabat jawatan menteri atau ketua menteri suatu masa lalu. Isa menang besar untuk kerusi naib presiden dan begitu juga dengan Ali Rustam. Ketika itu Isa sebagai menteri Pembangunan Wilayah Persekutuan, manakala Ali Rustam sebagai ketua menteri Melaka. Semalam ketika mereka sekali lagi bertarung untuk merebut jawatan itu mereka hanya sebagai pengerusi GLC sahaja di mana kedudukan itu tidak banyak memberi sumber pendapatan atau berpotensi memberi kewangan. Apa jawaban untuk mereka, mereka kalah.

Mungkin faktor ini agak sulit dan rahsia. Orang tidak berani mengatakan demikian kerana ia bersifat fitnah dan mengaibkan Umno. Apa lagi Umno berharap dengan memperkenalkan sistem berkenaan antara tujuannya ingin menghapuskan rasuah dalam pemilihan parti itu. Jadi masing-masing tidak mahu bercakap atau memperkatakan mengenai perkara itu.

Komentator siaran langsung tv, terdiri dari sarjana menerusi media eletronik yang menjadi PB pula tidak sama sekali akan menyebut perkara itu walaupun saya yakin dan percaya mereka mengetahui sangat akan gejala berkenaan. Mereka ada maklumat mengenai hal itu. Tetapi kerana mereka berkerja dan berkhidmat untuk melindungi perkara itu maka mereka tidak menyebutnya. Mereka akan menyapu najis itu ke bawah karpet dan atau membiarkan kudis itu menjadi barah kerana ianya sudah diterima secara 'konsensus senyap', (TST) bahawa rasuah itu hahal di dalam Umno. Sarjana atau komentator sebeginilah yang menjadi penyokong membawa rebah. Dan mereka juga adalah pemakan rasuah?

Saya berani mengatakan bahawa rasuah berlaku dalam pemilihan Umno bahkan lebih hebat dan luas berbanding dalam pemilihan sebelum ini. Kalau dalam pemilihan sebelum ini penerima rasuahnya dalam lingkungan 2,500 orang tetapi hari ini ia bertambah beribu kali ganda, iaitu seramai 140,000 orang.

Saya ambil contoh apa yang berlaku dan dapat dicerapi di Kelantan. Semasa kempen semua calon naib presiden dan hampir semua calon ahli majlis tertinggi Umno turun ke Kelantan. Terutamanya calon-calon naib presiden turun sambil mengadakan majlis pertemuan dengan perwakilan di sinilah mereka mengirimkan wang poket yang dinamakan wang pengenalan bersama kad kempen memberi tahu nombor mereka. Pemberian ini bukan sekali semasa calon-calon berkenaan turun tetapi banyak kali sehingga ke malam terakhir pemilihan.

Calon-calon melantik agen mereka untuk berjumpa dengan perwakilan di setiap kawasan. Agen itu pula akan mencari sub-agen untuk mendapatkan perwakilan. Kebanyakan sub-agen ialah puteri dan wanita atau rakan baik calon serta termasuk juga mereka yang mendapat projek dengan calon. Puteri dan wanita Umno akan dipanggil untuk berjumpa dengan calon-calon naib presiden secara berperingkat-peringkat. Agen akan merasuah perwakilan antara RM500 hingga RM1,000 tiap seorang.

Bayangkan berapa banyak wang. Saya tidak terkejut dengan maklumat mengatakan ada calon naib presiden memperuntukan RM1 juta untuk satu negeri ini bermakna mereka terpaksa menghabiskan wang sebanyak sekurang-kurang RM13 juta. Dan cuba kira kalau kesemua enam calon naib presiden mengirimkan 'wang mengelan' kepada perwakilan, adalah dianggarkan setiap perwakilan menerima sekurang-kurang RM5,000.

Kejadian rasuah ini bukan di kalangan calon naib presiden tetapi di peringkat bahagian juga menarik. Di beberapa bahagia yang keadaanya kritikal terutamanya berlaku pertandingan sengit, barang kali tidak percaya kalau disebutkan ada calon ketua bahagian terpaksa menghabiskan RM1.2 juta? Saya ulangi calon ketua bahagian.

Di sebuah bahagian perwakilan dirasuahkan di antara RM500 hingga RM1000. Sekiranya separuh dari perwakilan berjumlah 1000 orang dibayar penuh ini bermakna RM500,000. Sebaliknya ada perwakilan ditambah rasuah sekali ganda dengan bersumpah dan akan ditambah sekali ganda lagi apabila sesudah mengundi ditunjukkan foto kertas undi dipangkah yang dirakam menerusi telefon.

Kejadian-kejadian seperti itu menggambarkan gejala rasuah di dalam parti ini cukup besar dan makin subur. 'Insya-Allah' ia akan terus subur dan sihat sekiranya apa-apa tindakan tidak akan diambil. Walaupun ada pemantauan dari SPRM tetapi ia hanya sebagai pengabuian mata umum sahaja untuk menunjukkan ia terbuka dan telus dan transfromasi berjaya.

Kebenaran politik wang dan kelebihan kepada calon yang mempunya kriteria di atas itu jelas kalau dilihat kepada pola pemilihan di dalam MKT. Semua yang menang dengan undi terbanyak adalah mereka berjawatan sebagai menteri, timbalan menteri dan menjadi pengerusi GLC. Mereka yang tidak memegang jawatan lumayan tidak mendapat undi bahkan satu undi pun tidak diberi.

Antara mereka yang berjaya mendapat undi terbanyak, Mustapa Mohamed, Jamil Khir Baharum, Ismail Sabri Yaakub, Ahmad Shabery Chik, Idris Haron, Abd Rahman Dahlan, Shahidan Kassim, Razali Ibrahim, Mohamad Hassan, Hasan Malik dan Tajuddin Abdul Rahman. Semua mereka adalah menteri atau timbalan menteri. Rahman Dahlan walaupun pertama kali bertanding tetapi kerana beliau adalah menteri maka beliau menang dalam top-ten.

Manakala yang menjadi pengerusi GLC yang menang, Abdul Azeez Rahim (pengerusi Tabung Haji) dan Annuar Musa yang telah pun meninggalkan MT kini kembali semula apabila beliau dilantik menjadi pengerusi Mara. Kenapa Annuar menang, jawabannya kerana agensi yang beliau pegang itu adalah lebuk emas. Jelas mereka yang memegang jawatan pengerusi agensi-agensi kecil atau yang tidak boleh menjana kewangan tidak menang bahkan undi mereka sangat menyedihkan. Contohnya Alwi Che Ahmad yang menjadi pengerusi Kada yang sifatnya kedaerahan, hanya mendapat lapan undi sahaja. Sayang perwakilan tidak melihat Alwi sebagai seorang agak memahami prinsip dan dasar Islam.

Kesimpulannya keputusan yang diperolehi jelas menggambarkan pemilihan kepimpinan di dalam Umno bukan berdasar kepada merit-merit lain seperti kebolehan, wawasan, kredibiliti, integriti dan syaksiah serta track rekod calon. Lantaran itu saya berpendapat transformasi yang hendak dilakukan Najib Razak untuk menambah kualiti Umno tidak mencapai matlamat, dan tujuan dengan merubah pemilihan selain untuk memberi kebebasan ia juga untuk mengawal rasuah, tidak berjaya. Pemilihan kali ini bagi saya ia hanya merubah tempat memilik (di kawasan masing-masing) dari segi semangat dan nafsu masih sama seperti di Dewan Merdeka.

Justeru, Umno harus berani dan perlu berterus terang mengenai rasuah di dalam parti mereka. Umno tidak boleh meyapu ke bawah karpert dan Umno tidak perlu berbohong dan menjadi munafik kepada diri sendiri. Kalau tidak percaya cuba kentut, kepal dan bawa ke hidung. Wajah dan bentuk pemilihan itu jelas menunjukkan hakikat itu. Orang-orang yang berani mengkritik dan berdaya intelek seperti Saifuddin Abdullah akan dilupakan begitu sahaja. Ini menunjukkan kuasa rasuah sangat kuat dalam Umno. Saya juga konfius mengenai najis rasuah ini apakah ia diterima sebagai satu amalan mulia oleh Umno atau apa, kerana femonena yang berlaku sekarang ini ia tidak menunjukkan ia berkurangan malahan membimbangkan.

Sekiranya perkara ini dihalalkan atas alasan untuk memberi imbuhan dan pendapatan setiap tiga atau empat tahun sekali kepada ahli Umno, ia boleh diteruskan dan perkara ini perlulah dinyatakan secara berterus terang agar orang tidak menyebutnya sebagai rasuah, tetapi akan menyebut ia adalah amalan Umno. Ertinya kepada mana-mana orang berhajat untuk menjadi pemimpin di dalam Umno tidak perlu menampilkan bakat, kebolehan ataupun wawasan diri, menjadi ahli fikir, berfilsofi, beragama tetapi cukup dengan membawa wang yang banyak mereka pasti akan dipilih sebagai ketua atau ahli majlis tertinggi Umno. Untuk mendapat wang banyak cari lima atau 10 taukeh Cina kalau pun tidak along, pinjam duit mereka dan bila menang bayar menerusi kuasa yang ada.

Mengenai kapasiti ahli majlis tertinggi Umno ada beberapa sudut nampaknya Umno tidak menghiraukan. Ini mungki kerana faktor kewangan atau pun perangai Umno itu sendiri sedemikian yang tidak memberi fokus dalam perkara ini. Yang hendak disebutkan disini mengenai personaliti yang berjiwa dan berpengetahuan Islam tidak ada di dalam MKT. Dari 25 orang hanya seorang sahaja yang nampak Islamik yang lain bolehlah dikatakan sebagai orang Islam sahaja yang tidah 'fakih' (pinjam istilah Dewan Ulamak Pas) Islam.

Apakah faktor ini disebabkan kerana pendekatan 'wasatiyah' yang diambil oleh Umno sebagai slogan di mana Islam itu hanya setakat bersembahyang raya atau pun berbaju Melayu, bersamping dan bersongkok saja? Kekeringan mereka yan berjiwa Islam dan agak 'fakih' tentang Islam inilah salah satu sebab kenapa Umno seperti jauh dari Islam. Tidak ada orang yang bercakap mengenai kepentingan Islam membuat teguran kepada kepimpinan dari sudut dan persepktif Islam.

Dari ahli Umno berjumlah lebih 3 juta tidak terfikir tidak ada mereka berjiwa Islam di dalam parti itu. Tetapi kerana Umno tidak cuba meletakkan Islam sama hebat dengan pendidikan, pembelaan Melayu (nasionalisme) atau pun ekonomi (material) maka menjadikan mereka (Islam) terpinggir dan terasing, tidak berminat untuk bermain dengan terlalu jauh dalam Umno. Saya bersetuju dengan pendapat seorang komentator mengatakan sudah sewajarnya Umno memberi tumpuan kepada Islam kerana ia adalah parti terbesar oang Melayu yang rata-rata Islam apa lagi era ini adalah era Islam mulai dicabar secara mendada dari berbagai aspek.

Mungkin kalau permasalahan ini diterima Najib Razak menerusi kuasa beliau sebagai presiden parti akan melantik seorang dua lagi tokoh-tokoh atau ahli agama ke dalam majlis tertinggi Umno. Mungkin orang seperti bekas Mufti Perlis Mohd Asri Zainal Abidin boleh difikirkan kerana ketelusan dan keberaniannya. Tidak ada guna kalau dilantik mereka yang hanya sedia mencari ayat-ayat Quran atau Hadith untuk memuji Najib dan Rosmah. Sebelum terlupa orang seperti bekas pemimpin tertinggi Pas juga boleh ditawar sama untuk memperkuatkan syiar Islam dalam Umno kerana 'gelenyer'nya kepada Umno makin ketara. [wm.kl. 9:30 am 20/10/13]

Tiada ulasan: