Anak Sungai Derhaka |
- BBC dedahkan sebab UMNO halang penganut Kristian gunakan kalimah Allah..
- Pelajar Malaysia di Australia diberi amaran agar jauhi Program Anwar atau biasiswa ditarik..
- Erti pengorbanan untuk Adiladha
BBC dedahkan sebab UMNO halang penganut Kristian gunakan kalimah Allah.. Posted: 15 Oct 2013 08:21 AM PDT Keputusan Mahkamah Rayuan menghalang penganut Kristian daripada menggunakan kalimah Allah dilihat sebagai usaha Umno memenangi semula sokongan orang Melayu menurut BBC dalam ruangan komentarnya semalam. Wakilnya, Jennifer Pak yang hadir ketika keputusan dibacakan mahkamah menjelaskan bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana populasi penganut Kristian di Malaysia hanyalah 9%. "Ramai yang percaya isu ini tercetus daripada pertelingkahan di antara Umno dan PAS tetapi isu sama juga yang dimainkan semasa dan selepas pilihanraya." Katanya, bukan semua umat Islam menyokong keputusan kerajaan untuk menghalang Kristian menggunakan kalimah itu tetapi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang terlalu bersemangat menyokong usaha itu. Sementara itu, sebuah akhbar di Emiriah Arab Bersatu (UAE), The National terkejut dengan keputusan yang dibacakan oleh Mahkamah Rayuan semalam. "Keputusan mahkamah Malaysia bukan sahaja bercanggah dengan amalan beragama tetapi sejarah kalimah itu sendiri. Kalimah Allah itu berasal daripada perkataan 'al-ilah' yang bermaksud tuhan. Kalimah itu telah digunakan di serata dunia dan memasuki alam Melayu dari negara Arab," kata pengarangnya. "Kalimah Allah tidak hanya eksklusif untuk Islam malah Kristian dan Yahudi juga menggunakan kalimah itu merujuk kepada tuhan sebelum kedatangan Islam. "Al-Quran sendiri dalam Surah Al-Ankabut menjelaskan umat Islam harus menjelaskan kepada kaum (Kristian dan Yahudi) bahawa tuhan adalah satu." Akhbar itu turut mengambil contoh UAE menjadi negara Islam dengan pecahan populasi Kristian dan Hindu tetapi boleh hidup bersama mengamalkan kepercayaan masing-masing tanpa ada diskriminasi. Akhbar di Timur Tengah juga kerap memainkan isu ini beberapa kali sejak ia mula didebatkan di Malaysia pada awal 2010. Pada Januari 2010, seorang kolumnis akhbar di sana menyebut, "Malaysia telah bertindak kejam kepada penganut Kristian dengan menggunakan isu kalimah Allah yang menunjukkan mereka sendiri tidak cukup arif tentang Islam. "Dalam Islam, Allah merujuk kepada kalimah Arab yang merujuk Tuhan Maha Besar dan Pencipta sekalian alam. Allah juga adalah tuhan kepada Nabi Noh, Ibrahim, Musa, Isa, Muhammad dan nabi-nabi yang lain," kata Akash Sagar. ~ The Malaysian Insider |
Pelajar Malaysia di Australia diberi amaran agar jauhi Program Anwar atau biasiswa ditarik.. Posted: 15 Oct 2013 07:17 AM PDT Biarpun Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Ketua Pembangkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mara ke Putrajaya selepas PRU13 yang lalu, namun kelibat Ketua Pembangkang itu masih digeruni oleh Barisan Nasional. Entah apa sebabnya mereka perlu takut kepada Anwar Ibrahim hingga kini masih menjadi persoalan ramai.. Terbaru ialah para pelajar Malaysia yang menuntut di Australia telah diberikan amaran keras agar menjauhi program yang melibatkan Anwar Ibrahim di Australia pada 19 Oktober ini. Para pelajar telah diberikan amaran agar menjauhi program tersebut atau berhadapan tindakan biasiswa mereka ditarik.. Ni laporan dari KeadilanDaily.. ADELAIDE, AUSTRALIA 15 OKT: Kerajaan memberi amaran kepada pelajar Malaysia di Australia agar 'menjauhkan diri' dari menghadiri sesi awam bersama Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di 'Festival of Ideas, Dissent and Democracy'. Surat amaran tersebut dikeluarkan pegawai penasihat pelajar, Sharezan Md Sheriff dari Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) dipercayai kepada semua penerima biasiswa JPA. Amaran "Jauhkan diri anda dari menyertai aktiviti ini. Saya tidak ragu-ragu untuk mengambil tindakan keras ke atas penerima biasiswa JPA yang terlibat. "Anda bijak untuk berfikir daripada melakukan aktiviti yang boleh menyulitkan anda mengekalkan gred yang menyebabkan biasiswa daripada ditarik semula. "Anda cukup tahu apa yang ditandatangani," kandungan surat amaran dipetik dan dikirmkan kepada Keadilandaily. Amaran yang dikeluarkan kerajaan Malaysia itu turut dilapor media Australia, Australian Broadcasting Corporation (ABC). Anwar dijangkakan menyampaikan pidato dan berdialog di 'Festival of Ideas, Dissent and Democracy', di Adelaide University pada hari Sabtu, 19 Oktober 2013. Penganjur 'Festival of Ideas, Dissent and Democracy' menyatakan, acara tahun ini fokus kepada insttusi politik dan idea-idea demokrasi. |
Erti pengorbanan untuk Adiladha Posted: 14 Oct 2013 09:30 AM PDT Seorang anak memarahi ibunya sejak kecil kerana bekerja di satu tempat yang menyebabkannya diejek. Namun, perasaan marah itu dipendam tanpa diberitahu sehinggalah ianya hampir kehilangan ibunya. Anak itu tidak memahami mengapa ibu tidak membenarkan ayahnya pulang ke rumah ketika usianya 10 tahun. Bukan sekali tapi dua kali. Anak juga tidak faham mengapa ibunya berhenti kerja sebagai seorang jururawat dan bertukar ke seorang pendandan rambut di sebuah salon. Anak pernah bertemu dengan ayahnya yang sudah bercerai dengan ibunya untuk mendapatkan penjelasan. Ayahnya hanya berkata ibu tidak mahu beliau kembali tanpa mengulas lanjut. Prasangka anak terhadap ibu semakin mendalam. Anak merasakan ibunya yang merosakkan segalanya – kehidupan ini baginya dalam malu kerana angkara ibu. Ibunya kini terlantar di hospital kerana barah. Melihat keadaan ibunya sekarang, anak berasa kesal kerana tidak pernah meluangkan masa berkualiti bersama ibunya kerana anak sengaja menjauhkan diri daripada ibunya apabila anak sudah berdikari. Pada usia 16 tahun, anak bermati-matian hendak ke sekolah berasrama penuh. Alasannya ketika itu ialah anak ingin hidup berdikari tapi niatnya sebenar adalah untuk menjauhi ibu dan dua adik kecilnya. Adik-adik kecilnya tidak memahami apa yang berlaku, dan biarlah ibu yang menanggung derita membesarkan adik-adiknya kerana ibu yang memilih jalan ini, bisik hati kecil anak itu. Selepas habis pengajian, anak juga jarang pulang ke rumah dengan alasan sibuk. Ketika Hari Raya, anak juga hanya singgah sehari dua dengan alasan sibuk. Ibu tidak berkata apa-apa selain menahan sedih dan membiarkan air mata mengalir ke dalam hati. Ibunya kini tidak sedarkan diri di hospital. "Biarlah ibu kamu berehat," kata Kak Tom, rakan karib ibu yang memiliki kedai salon tempat ibu bekerja. Anak yang sedih mengikuti Kak Tom ke kantin hospital. "Mak kamu akan sangat gembira kalau dia tahu Man balik menjenguknya dan duduk di tepinya," kata Kak Tom. Anak tidak bercakap apa-apa. Kak Tom meneruskan ceritanya. Pada satu malam, ketika anak demam kuat, ibu sangat bimbang. Ayah pula menghilangkan diri entah ke mana tidak dapat dihubungi. Ibu berlari ke rumah sahabat karibnya, seorang ketua jururawat di hospital yang sama untuk memohon bantuan. Ketika tiba, ibu terkejut melihat motosikal ayah berada di rumah tersebut. Ibu tidak berani mengetuk pintu walaupun dah tiba. Di depan pintu, terdengar kata-kata seorang budak memanggil suaminya ayah dan rakan karibnya memanggil suaminya sayang. Berkecai hati ibu. Ibu berlari ke rumah Kok Tom untuk meminta pertolongan membawa anaknya ke hospital. Ibu tidak bercakap apa-apa sepanjang perjalanan. Tiada setitis air mata yang keluar. Yang pentingnya anaknya sihat semula. Ketika semuanya selesai, ayah pulang ke rumah. Ibu bertanya ayah pergi ke mana, ayah berbohong berkata pergi memancing di laut. Air mata ibu mengalir lalu merayu agar ayah bercakap benar. Setelah didesak beberapa kali, ayah akhirnya mengaku berlaku curang. Ibu tidak dapat menerimanya. Ayah meminta agar dipulangkan segala hartanya sebelum bercerai. Mendengar kata-kata itu, ibu menghalau ayah keluar rumah secara kasar dan nada kuat. Anak terdengar ibu menghalau ayah, tapi tidak mendengar apa yang dibicarakan sebelum itu. Ibunya tidak mahu bercerita mengenainya lagi walaupun setelah secara rasminya bercerai dengan ayah. Imej ayah pada anak perlu dijaga, kata hati ibu. Biarlah dia seorang sahaja yang menanggungnya. Di hospital, ibu teruk dikenakan oleh ketua jururawat yang mempunyai hubungan dengan bekas suaminya. Akhirnya ibu mengambil keputusan meletakkan jawatan. Ibu tiada pekerjaan. Tapi pembelanjaan rumah dan anak-anaknya memerlukan ibu untuk bertahan, dan bertahan dalam kesakitan. Dalam pada masa yang sama, ayah datang untuk menuntut harta. Ibu mengurung anak-anak di dalam bilik supaya mereka tidak dapat melihat keburukan ayah mereka. Ibu memulangkan segala wang yang disimpan bersama untuk anak-anak kepada ayah sebelum menghalaunya keluar sekali lagi. Yang menyayatnya, yang dapat didengar oleh anak hanya bahagian menghalau itu. Tidak apa. Rezeki di tangan Allah, bisik ibu yang menabahkan diri daripada pukulan jiwa terhebat dalam hidupnya. Dan ketika itulah, Kak Tom menawarkan ibu untuk bekerja sebagai pendandan rambut di salonnya. Kak Tom mengajar ibu segalanya sambil memberikan gaji. Ibu tidak minat pada pekerjaan tersebut namun tetap meneruskannya demi keluarga dan anak-anaknya yang tercinta. Bekerja di kedai salon dipandang serong oleh masyarakat kampung kerana walaupun bekerja di sebalik cermin cerah, masyarakat sekitar tidak dapat menerima ibu memegang kepala orang lelaki. "Kak Tom dah biasa. Tapi ibu kamu perit kerana dia tak pernah merasainya keadaan dipandang hina, namun ibu kamu bertahan. Kesian dia, walaupun dia bertahan, di rumah, dia juga dipandang hina oleh orang yang paling disayanginya. Bayangkan hidup sedemikian, ia bagaikan neraka," kata Kak Tom. Ibu tidak pernah merungut anaknya yang semakin jauh padanya. Ibu hanya membisikkan di hatinya, bukan salah anaknya kerana anaknya tidak faham. Ketika anaknya di luar mencari rezeki, ibunya tidak pernah berhenti mendoakan keselamatannya. Setiap kali Hari Raya Korban menjelang, ibu akan mendermakan daging lembu korban atas nama anaknya. Yang diharapkan ibu ialah anaknya hidup gembira. "Ibu kamu melakukan semua itu untuk mengekalkan keluarga. Dia berkorban sepanjang hayatnya untuk kamu semua dan tidak pernah untuk dirinya sendiri," kata Kak Tom di penghujung bicaranya. Air mata bergenang di mata si anak. Salah faham anak pada ibunya terlalu dalam. Pergorbanan ibunya selama ini dipandang hina oleh dirinya sendiri, masakan ada senjata yang lebih tajam daripada ini pada hati manusia? Anaknya kembali di sisi katil ibunya lalu menangis memohon maaf. Ibunya mengalirkan air mata dan akhirnya meninggal dunia. Akhirnya, anaknya faham apa yang berlaku dan kasih sayang dan permohonan maafnya diharap sempat dibawa bersama roh ibunya ke syurga. Cerita ini diceritakan seorang pensyarah UTM kepada saya ketika saya berusia 27 tahun dan dari situlah, bermulanya penghayatan saya pada erti korban, dari sudut pandangan seorang bukan Islam. Kepada rakan-rakan Muslim, Selamat Menyambut Hari Raya Haji dan kepada rakan-rakan bukan Islam, Selamat Bercuti. Oleh Timmy Say |
You are subscribed to email updates from Anak Sungai Derhaka To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan