Isnin, 7 Oktober 2013

Addin

Addin


Adik Sultan Kelantan Wakili Kerajaan Negeri Tuntut Royalti

Posted: 07 Oct 2013 10:11 AM PDT

Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra sudah beberapa kali mewakili kerajaan negeri Kelantan dalam perundingan tuntutan petroleum dari Kerajaan Persekutuan.

Langkah memasukkan beliau sebagai wakil kerajaan negeri Kelantan dipercayai bertujuan untuk memujuk sambil memberikan tekanan kepada Kerajaan Persekutuan agar membayar segera tuntutan royalti yang dibuat oleh negeri Cik Siti Wan kembang itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas berhubung pembayaran royalti petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur menjelang pilihan raya umum ke13 (PRU13) lalu.

Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Abdul Hamid Mohamad dan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Namun, PAS Terengganu melalui Pesuruhjayanya, Mohamad Abdul Wahid Endut menyifatkan jawatankuasa ini ditubuhkan untuk keperluan pilihan raya.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub (gambar) dalam ucapannya semasa membentangkan Bajet Kelantan 2014 hari ini, merakamkan setinggi-tinggi junjung kasih dan penghargaan kepada Tengku Mahkota Kelantan yang telah beberapa kali mewakili Kerajaan Negeri Kelantan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi perundingan bersama pihak Kerajaan Pusat bagi mendapatkan tuntutan berkenaan.

Ahmad Yakob telah membentangkan Bajet Kelantan 2014 yang masih lagi berimejkan bajet bersyariat seperti yang telah dimulakan sekian lama oleh bekas menteri besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih dua dekad yang lampau.

Bajet Kelantan hari ini yang bertemakan "Kesejahteraan Rakyat, Kemakmuran Negeri" membayangkan komitmen kerajaan untuk terus mengekalkan identiti Kelantan sebagai sebuah negeri yang berkebajikan selain mengutamakan pembangunan insan yang menjadi tumpuan utama kerajaan negeri.

Sekali lagi untuk Bajet 2014, kerajaan negeri telah memasukkan bayaran petroleum yang patut dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Kelantan iaitu sebanyak RM200 juta. Untuk tahun ini, ia membentuk 36.41% daripada keseluruhan bajet.
Menurut Pejabat Menteri Besar, ia merupakan satu lambang ketegasan kerajaan negeri yang sama sekali tidak akan berundur dari tuntutan hak rakyat negeri Kelantan ke atas hasil mahsul bumi mereka sendiri.

"Sekalipun kes ini masih dibicarakan di mahkamah, namun ia tetap segar di hati rakyat Kelantan. Bahkan lebih menyedihkan jika benar jumlah tertunggak tuntutan royalti ini ialah sebanyak RM12 billion berdasarkan kepada jumlah pengeluaran semenjak tahun 1997, ia membayangkan betapa besarnya kezaliman yang telah dilakukan oleh Kerajaan Pusat selama ini.

"RM12 billion ini jika diserahkan kepada Kelantan akan dapat digunakan untuk manfaat seluruh rakyat negeri ini yang lebih 90% rakyatnya terdiri daripada orang Melayu," kata Ahmad Fadzli Shaari, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan.

Justeru, langkah kerajaan Kelantan memasukkan bayaran royalti ini sebagai salah satu anggaran hasil merupakan satu lambang kesungguhan Kelantan untuk terus berdiri mempertahankan tuntutan royalti ini.

"Ini bukan satu mimpi, ini ialah satu perjuangan yang satu hari nanti pasti akan berjaya Insya-Allah. Kata Sitting Bull, 'If we must die, we die defending our rights'," katanya.

Sementara itu, hanya tiga dari 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ketika Ahmad membentangkan Bajet Kelantan 2014. ~tmi



Iklan C (ii)

Ali Rustam Kecam Cina

Posted: 07 Oct 2013 08:30 AM PDT


Untuk meraih sokongan dan undi semasa pemilihan Umno nanti, rata-rata pemimpin Umno memainkan sentimen perkauman. Selepas kenyataan Zahid Hamidi di Melaka (baca sini).

Kini Ali Rustam pula mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman demi meraih sokongan dalam pemilihan Umno 19 Oktober nanti.

Terbukti lauangan 1Malaysia yang canang oleh Perdana Menteri, Najib Razak hanyalah sekadar retorik semata-mata. Hanya laungan kosong tanpa erti..

Ali Rustam kecam Cina di acara usahawan Bumiputera 
Dalam usaha mendapat sokongan dalam pemilihan Umno akan datang, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (gambar) menuduh kaum Cina terlibat dalam perniagaan haram di negara ini. 
"Kita umat Islam tidak boleh membuka kasino, 4D, Toto, perjudian, rumah urut dan syarikat pinjaman wang haram. Ini semua haram. Kaum Cina sahaja yang terlibat dengan semua perniagaan haram ini," katanya kepada kira-kira 100 hadirin di majlis usahawan yang dianjurkan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) hari ini. 
"Bukanlah orang Cina pandai berniaga tetapi perniagaan mereka kebanyakannya haram."
Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata meskipun beliau berhempas-pulas pada pilihan raya umum lalu namun beliau tetap tidak diundi oleh kaum Cina. 
Mohd Ali baru-baru ini dilantik sebagai pengerusi PUNB, satu agensi yang ditubuhkan untuk menambah penglibatan Bumiputera dalam perniagaan. 
"PUNB hanya dianggap berjaya apabila sesebuah rangkaian perniagaan itu bermula dari pembekal sehinggalah ke penjual terakhir adalah orang Melayu," katanya. 
Ucapannya kemudian terarah kepada DAP sambil berkata jika parti pembangkang mengambil alih negara, orang Melayu akan merempat di Sungai Gombak.

Mohd Ali kemudiannya berkata Pulau Pinang tidak akan kekal sebagai hab pelancongan kerana ketua menterinya seorang yang rasis. 
"Tidak mustahil baginya menekan orang Melayu sehabis-habisnya," katanya merujuk kepada Lim Guan Eng. 
Beliau menuduh DAP mendapatkan tanah Bumiputera dengan menggunakan orang Melayu yang kemudiannya untuk membina apartmen. 
"Tiada siapa tahu apa yang bakal berlaku lima tahun akan datang," katanya. 
Mohd Ali turut mendakwa negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS dan mempunyai hasil balak tetapi hanya ahli DAP yang mendapat kontrak. 
Katanya, DAP mahu mendapatkan Melaka tetapi penduduk di sana menolak parti berasaskan kaum dan memberi undi kepada Barisan Nasional (BN). 
"DAP mahu menghapuskan Perlembagaan yang menjaga hak kaum Melayu. Selagi Perlembagaan masih kekal, mereka akan terus bertindak sedemikian. 
"Kaum Cina mahukan segalanya. Orang Melayu telah layan mereka dengan baik. 
"Apabila kaum Cina mahukan pertolongan membina sekolah dan biasiswa, kerajaan berikan kepada mereka. Tetapi pada hari pilihan raya, mereka lupa semua ini. Apa yang penting bagi mereka mengambil alih kuasa orang Melayu dan menjadikan mereka 'pendatang'." 
Mohd Ali turut mengkritik kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong yang mahukan kerajaan membenarkan peperiksaan PMR dan SPM dijalankan dalam bahasa Cina. 
"Permintaan ini tidak dilayan di luar negara. Jika mereka mahu semua permintaan dipenuhi maka penuhi tunturan kita dahulu untuk menutup semua sekolah vernakular dan menjadikan sekolah kebangsaan seperti di Thailand dan Singapura," katanya. ~tmi




Iklan C (ii)


1,703 Perwakilan Umno Muflis, Tidak Layak Mengundi

Posted: 07 Oct 2013 07:56 AM PDT


Nampak kisah muflis di Malaysia ini menjadi satu fenomena yang sukar dibendung. Sebelum ini dilapurkan sebanyak 245,000 individu di negara ini yang telah diisytiharkan muflis.

Dalam isu yang sama , dilapurkan juga bahawa pada tahun 2011, kira-kira 3,000 kakitangan awam muflis, seperti didedahkan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kepada The Malaysian Insider.

Tragedi muflis ini seakan-akan sinonim dengan apa yang sedang berlaku kepada sebilangan ahli UMNO yang sepatutnya menjadi perwakilan dalam pemilihan MT Umno pada pertengahan bulan Oktober ini.

Malangnya, hari ini dilapurkan seramai 1,703 daripada 146,000 perwakilan diisytihar muflis dan tidak layak untuk mengundi pada pemilihan Umno kali ini.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Jusoh berkata, perkara itu selaras dengan fasal 8.4 peraturan persidangan yang termaktub dalam perlembagaan parti dan peraturan yang ditetapkan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Kata Abdul Rauf, bagi mereka yang didapati muflis dibawah peraturan yang diluluskan pendaftar pertubuhan, mereka tak boleh dipilih, memilih dan mengundi selain di peringkat cawangan.

Abdul Rauf berkata, surat untuk memaklumkan mereka (perwakilan) mengenai perkara itu akan dihantar melalui Umno peringkat Bahagian secepat mungkin.

Selanjutnya, beliau berkata, bagi ahli yang dikenakan tindakan di bawah akta pertubuhan, mereka hilang hak untuk hadir dan mengambil bahagian pada persidangan sebelum cukup lima tahun keluar penjara atau dikenakan denda.

Baca berita perwakilan Umno muflis di sini.




Iklan C (ii)



Pinjaman TEKUN Memang Khas Untuk Ahli Umno - CEO

Posted: 07 Oct 2013 06:49 AM PDT

Rahim Hassan (kiri) bersama pengerusi Tekun Nasional, Datuk Hamidah Osman di sidang akhbar Program Kerjasama Strategik Tekun Nasional dan Sohonista di Seri Pacific Hotel hari ini. 

Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 7 Oktober 2013.Pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) memang ditubuhkan bagi membantu ahli Umno kata Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Datuk Abdul Rahim Hassan.

Ini kerana menurutnya, Tekun merupakan hasil usaha Umno bagi memperkasakan ekonomi kaum Melayu dalam parti itu. Bagaimana pun beliau menafikan Tekun menolak seratus-peratus permohonan mereka yang bukan dari Umno.

"Pembangkang selalu kata (Tekun) hanya memberi pinjaman kepada ahlinya, kami punyai hak untuk mempertahankannya kerana ia merupakan idea yang diasaskan parti.

"Namun tidak bermakna kita langsung mengendahkan permohonan lain asalkan mereka kaum Bumiputera kami terima tapi kepentingan sudah tentu kepada ahli Umno," katanya dalam sidang media bagi Program Kerjasama Strategi Tekun Nasional & Sohonista di Kuala Lumpur hari ini.

Kata Rahim, Tekun ditubuhkan semasa Konvesyen Umno Pulau Pinang pada tahun 1994."Kerana itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak begitu menekankan perkembangan dan beliau sendiri berkata Tekun merupakan anak kandung Umno," katanya.

Dana tambahan RM700 juta merupakan antara salah satu dalam Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan oleh Najib baru-baru ini.Tekun akan menerima dana tersebut bermula tahun depan dan ia akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.

"Kita tidak dapat sekaligus ia secara berperingkat tapi memang setiap tahun kita menerima RM300 juta dan RM300 juta merupakan bayaran balik daripada peminjam yang kita terima.

"Tambahan dana itu adalah kerana seruan perdana menteri yang mahukan kita meningkatkan pinjaman sehingga ke RM100,000, jadi inilah wadah perjuangan Tekun iaitu membantu kaum Bumiputera tanpa mementingkan keuntungan," katanya lagi.

Beliau berkata Tekun juga mengalakkan permohonan pinjaman dari usahawan muda dikalangan siswazah yang baru menamatkan pelajaran.

"Golongan muda antara yang perlu diberi perhatian, terutama perkembangan trend sekarang ramai usahawan terdiri daripada lepasan siswazah dilihat lebih suka menjalankan perniagaan sendiri.

"Kerana itu kita beri ruang kepada mereka untuk berniaga dengan program seperti Sohonista ini supaya mereka kemudiannya tidak menentang kerajaan akibat kegagalan kerajaan yang tidak mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada semua lepasan mahasiswa dan inilah peranan Tekun," katanya. ~tmi





Iklan C (ii)


Kenyataan Kontroversi Zahid Hamidi Umpama Bagi 'Lesen Bunuh' Pada Polis

Posted: 07 Oct 2013 04:30 AM PDT

PKR mengecam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan polis boleh menembak tanpa sebarang amaran umpama memberikan "lesen bunuh" kepada badan penguatkuasaan undang-undang itu untuk bertindak sesuka-hati membatasi undang-undang.

Naib Presiden PKR, N Surendran (gambar) berkata kenyataan Menteri Dalam Negeri itu tidak berperikemanusiaan dan melanggar undang-undang negara.

"Ia adalah hasutan dan membenarkan satu pembunuhan kejam oleh pasukan polis.

"Kenyataan tersebut seolah-olah tidak lebih kepada sokongan kerajaan untuk polis membunuh sewenang-wenangnya," kata Surendran dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Surendran, seseorang suspek yang dibunuh tanpa diberi sebarang amaran adalah bertentangan seperti yang termaktub dalam Kanun Keseksaan dan Ahmad Zahid boleh dibawa ke muka pengadilan kerana bersubahat melakukan pembunuhan.

"Menembak bertujuan membunuh suspek tanpa memberi amaran adalah salah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Zahid dan pasukan polis boleh dituduh atas dakwaan bersubahat dan berkomplot melakukan jenayah membunuh atau menyebabkan kematian tanpa niat; kesalahan ini boleh dihukum di bawah seksyen 120A dan 107 Kanun Keseksaan," katanya.

Ahmad Zahid hari ini dilaporkan berkata pihak polis tidak lagi teragak-agak untuk menembak terlebih dahulu tanpa memberi sebarang amaran. Ia didedahkan menerusi satu rakaman suara di Melaka pada Jumaat lalu.

"Bagaimana keadaan mangsa-mangsa rompakan, bunuh masa tembakan ini? kebanyakannya adalah orang Melayu kita. Kebanyakannya ialah bangsa kita.

"Saya pikir, cara paling baik jangan ada kompromi dengan mereka. Jangan ada lagi amaran kepada mereka, kita dapat bukti kita tembak dulu," kata Ahmad Zahid yang dipetik dalam rakaman tersebut.

Susulan kenyataan itu, Surendran berkata rakyat Malaysia kini berdepan dengan situasi bahaya dimana kaedah "tembak untuk bunuh" dikuatkuasakan serta mendesak supaya Ahmad Zahid disiasat yang jelas bertentangan dengan undang-undang negara.

"Kami gesa penubuhan segera Suruhanjaya Inkuiri Diraja. Satu siasatan yang bebas dan segera perlu dilakukan ke atas kenyataan Ahmad Zahid, yang sama sekali melanggar undang-undang," tegas beliau.

Beberapa kontroversi penembakan maut polis telah berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kes-kes seperti remaja 14 tahun, Aminulrasyid Amzah di Shah Alam pada 2010; belia Muhammad Hanafi Omar, Muhammad Shamil Hafiz Shapiei dan Hairul Nizam Tuah di Glenmarie, Shah Alam, 2010; dan D. Dinesh berumur 26 tahun di Ampang pada 2012.

Majlis Peguam juga telah menggesa sebelum ini supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan, bagi menyiasat secara automatik setiap kes apabila polis melakukan tembakan secara terbuka. ~tmi





Iklan C (ii)

Kenyataan Sensitif Zahid Hamidi Akhirnya Tersebar

Posted: 07 Oct 2013 02:23 AM PDT

Kumpulan masyarakat sivil sering mendakwa polis menjalankan dasar tembak mati ke atas suspek penjenayah.

Dakwaan itu nampaknya terbukti apabila Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu ucapannya memberi gambaran bahawa lebih baik jika suspek tersebut ditembak terlebih dahulu, sebelum siasatan dijalankan.

Ahmad Zahid berucap dalam satu 'Majlis taklimat keselamatan bersama pemimpin masyarakat' pada hari Sabtu lalu, yang dilihat seperti satu acara kerajaan yang bertukar menjadi acara Umno.

Para wartawan dihalau keluar dengan penuh biadap ketika Zahid hampir menamatkan ucapannya, dan turut diugut oleh menteri tersebut agar tidak membuat laporan berhubung kandungan ucapannya.

Ahmad Zahid didakwa mengancam untuk menutup akhbar mereka sekiranya tidak berbuat demikian.

Ancaman itu berjaya menutup mulut kebanyakan dari media tersebut, namun akhbar Oriental Daily News melaporkan bahawa Ahmad Zahid memberi amaran selepas membuat "kenyataan sensitif".

Akhbar itu bagaimanapun tidak memberi butiran lain berhubung kenyataan tersebut.

Malaysiakini berjaya mendapatkan rakaman audio sepanjang 20 minit bagi ucapan yang disampaikan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, Melaka.

Berdasarkan rakaman tersebut, Ahmad Zahid berkata kira-kira 28,000 dari 40,000 anggota gengster terdiri dari masyarakat India dan tiada salahnya untuk menahan golongan itu.

"Bagaimana keadaan mangsa-mangsa rompakan, mangsa-mangsa bunuh masa tembakan ini, kebanyakannya adalah orang Melayu kita. Kebanyakannya ialah bangsa kita.

"Saya pikir, cara paling baik jangan ada kompromi dengan mereka. Jangan ada lagi amaran kepada mereka, kita dapat bukti kita tembak dulu.

Ahmad Zahid seterusnya membangkitkan mengenai kes tembakan maut ke atas lima orang suspek anggota kongsi gelap di Pulau Pinang pada Ogos lalu.

Beliau turut menegur Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorty – tanpa menyebut namanya – kerana mempersoalkan kejadian tersebut.

"Ada timbalan menteri cengkadak buruk, dia pertikaikan saya dan polis, kenapa tak beri tembakan amaran dulu. barulah tembak. Saya kata kalau kamu nak jadi ngo, letaklah jawatan timbalan menteri. tak layak jadi timbalan menteri," katanya yang disambut sorakan dari hadirin.

Zahid juga menyifatkan pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah 1959 (PCA) yang memperkenalkan penahanan tanpa bicara sebagai undang-undangnya.

"Kita siasat, kita bawa ke mahkamah, kalau tak ada bukti, kalau tak cukup bukti, sekurangnya dua tahun penahanan. Itu undang-undang baru saya, tiada kompromi," katanya lagi.

Pindaaan ke atas PCA itu memberi kuasa untuk membuat penahanan tanpa perbicaraan dalam tempoh dua tahun bagi satu-satu masa. ~mk






Iklan C (ii)

Fenomena Mengejutkan Ini Hanya Berlaku Di Kelantan

Posted: 06 Oct 2013 11:24 PM PDT

Fenomena mengejutkan telah berlaku di Kelantan, sebagai sebuah negeri yang mempunyai komposisi Melayu paling ramai di Malaysia yang mempunyai pelajar Melayu mempelajari bahasa Cina paling banyak di dalam negara.

The Straits Times Singapura melaporkan menjadi kebiasaan apabila melihat masyarakat Melayu menghantar anak mereka ke sekolah Cina atau menghadiri kelas bahasa Cina yang diadakan di kelas agama.

Masyarakat Kelantan menuruti jejak langkah bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menghantar lima cucunya ke sekolah Cina.

Nik Aziz adalah contoh di mana menggalakkan generasi muda Kelantan mempelajari bahasa Cina.

Kelantan mempunyai populasi seramai 1.6 juta dengan 95 % terdiri daripada masyarakat Melayu, manakala bakinya adalah Siam, Cina, dan India.

Walaupun di seluruh negara ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah Cina dan menghadiri kelas tuisyen, tumpuan pelajar Melayu di Kelantan lebih tinggi.

Akhbar berkenaan yang membuat tinjauan di sekolah agama Kelantan turut melihat pelajar perempuan dengan purdah dan baju kurung belajar bahasa Cina dan bertutur serta menulis dalam Mandarin.

Mereka mempelajari kelas bahasa Cina di Sekolah Rendah Agama Tarbiyah Mardhiyah yang diajar oleh Wang Yin Kang, Cina Muslim dari Wilayah Yunan di China.

Sebahagian pelajar Wang adalah ahli Persatuan Bahasa Cina yang turut mengambil kelas drama dan bertutur dialog dalam bahasa Mandarin dengan diselia oleh Wang.

Akhbar berkenaan turut melaporkan kebanyakan masyarakat Melayu turut mengikut peribahasa,"tuntutlah ilmu hingga ke negeri China."

Kerajaan negeri Kelantan juga memainkan peranan mereka dalam mencetuskan fenomena itu, dengan membiayai kelas Mandarin di sekolah apabila menghantar tiga guru Melayu-Islam belajar di China pada 2009.

Kerajaan negeri Kelantan turut mengambil guru dari China untuk mengajar bahasa Mandarin di sekolah.

Walaupun statistik pelajar Melayu belajar di sekolah vernakular itu sukar ditemui, namun Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw berkata jumlah berkenaan agak besar.

Hu yang menyertai sayap bukan Islam parti berkenaan mendedahkan antara 20% hingga 50% populasi pelajar di 15 sekolah rendah dan dua sekolah menengah di Kelantan adalah Melayu.

The Straits Times turut memetik Hu sebagai berkata sekolah rendah di Rantau Panjang mempunyai dua pertiga pelajar Melayu.

Ia adalah perbezaan terbesar dengan negeri lain di Malaysia apabila secara puratanya hanya 10% pelajar Melayu mengikut kelas bahasa Cina di sekolah vernakular berkenaan.

Penyelidik, Heng Buai Chin berkata kerajaan Kelantan menyokong pelajar Melayu memasuki sekolah Cina bagi mewujudkan integrasi antara kaum.

"Pelajar Melayu di sekolah vernakular Cina lebih terbuka menerima budaya Cina seperti wayang, mengira, dan berfikir dalam bahasa Cina," katanya dipetik akhbar berkenaan.

Wang, 51, mengajar Mandarin kepada 160 pelajar seminggu dan telah menetap di Kelantan sejak 18 tahun.

Beliau memiliki diploma dari Timur Tengah mempelajari bahasa Arab dan memutuskan untuk mengajar bahasa Arab dan Mandarin di beberapa sekolah agama.

"Saya terkejut pada mulanya apabila pelajar Melayu mahu mempelajari Mandarin. Kemudian saya sedar ia meluaskan peluang kerjaya mereka," kata Wang.

"Semua sedar China sedang pesat membangun dan pelaburannya ada di mana-mana," katanya.

Pelajar tingkatan lima, Wan Ashikin Ismail berkata kepada Straits Times bahawa sahabat karibnya adalah berbangsa Cina dan mereka bertutur Mandarin.

"Saya tidak dilayan berbeza oleh pelajar dan guru. Saya turut dimotivasikan supaya berkarya," kata pelajar berusi 16 tahun itu yang bercita-cita menjadi novelis Cina. ~tmi




Iklan C (ii)

Muhkriz Ramal BN Kecundang PRU14

Posted: 06 Oct 2013 07:59 PM PDT


Jikalau ini pandangan ikhlas Muhkriz, maknanya Umno makin hampir tamat riwayatnya. Dari PRU11, PRU12 dan yang terbaru PRU13 majoriti rakyat Malaysia melihat Umno BN semakin tidak relevan di hati rakyat Malaysia.

Mungkin Umno boleh bercakap, Umno makin kuat dengan pertambahan kerusi. Tetapi jika di lihat kerusi BN, kuasanya makin berkurang.

Selepas ini apa pulak tindakan luar jangka pemimpin Umno untuk memenuhi impian mereka sebelum Umno BN tumbang pada PRU14 nanti..


Mukriz mahu jadi Naib Presiden sebelum Umno 'kecundang' PRU14

Calon Naib Presiden Umno, Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) mahu menang dalam pertandingan merebut jawatan itu sebelum berputih mata melihat parti Melayu terbesar itu tewas dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau menyifatkan Umno sudah tidak mempunyai banyak masa dan keputusan beberapa pilihan raya sebelum ini jelas menunjukkan prestasi Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Jika saya lewat mengambil keputusan untuk bertanding, silap-silap PRU14 kita dah kecundang. Umno sudah tiada masa. Kita telah lihat senario PRU12 dan PRU13, apa agaknya keputusan PRU14 nanti?

"Kalau kita masih tidak berasa cemas dan hendak tunggu 10 ke 15 tahun lagi, kita terimalah padahnya," kata anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu ketika ditemui The Malaysian Insider sewaktu majlis memperkenalkan calon pemilihan Umno kepada perwakilan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah itu turut melihat beliau mampu memberi saingan sengit kepada lima calon lain yang akan merebut jawatan naib presiden Umno sambil menyifatkan dirinya agak terlewat bertanding merebut jawatan itu.

Katanya, peluang memenangi jawatan itu dianggarkan sekitar 50% dan tidak mahu menaruh keyakinan terlalu tinggi kerana menurutnya lima lagi calon yang bertanding bukan calang-calang orangnya.

"Saya ke gelanggang naib presiden agak lewat kerana calon lain sudah dua atau tiga kali menyandang jawatan ini. Peluang itu ada namun saya tidak berani meletakkan harapan terlalu tinggi.

"Kali ini saya lihat kuasa mengundi itu terletak pada perwakilan yang ramai iaitu 146,500 orang. Saya yakin mereka sudah cukup matang untuk membuat penilaian sendiri. Pada hari pemilihan, mereka akan membuat keputusan mengundi mengikut suara hati dan bukan desakan pihak atasan," katanya.

Ketika ditanya adakah pertandingannya kali ini mengganggu penyandang jawatan naib presiden sedia ada, beliau berkata: "Inilah demokrasi. Kalau tiada yang 'kacau daun' maka pemilihan tidak perlu diadakan dan kita boleh isytihar menang tanpa bertanding."

Dalam perkembangan lain, beliau mahu pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau memberi mandat kepada BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 4 November ini bagi sama-sama merasai pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan negeri.

Beliau menyedari DUN Sungai Limau adalah kubu kuat PAS dan BN mempunyai cabaran besar untuk memenangi PRK kali ini.

"Saya telah nyatakan kepada pengundi Sungai Limau baru-baru ini, BN sebenarnya berhasrat membawa pembangunan di kawasan itu dan bukan untuk bersaing dengan sesiapa.

"Kerajaan pusat dan kerajaan negeri ditadbir oleh BN. Jadi kita nak kongsi hasil negeri Kedah dengan penduduk di Sungai Limau juga," katanya.

Penyandang kepada jawatan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketiga-tiganya bertanding untuk mengekalkan jawatan.

Selain itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Samad turut menghangatkan suasana dengan menyertai pertandingan enam penjuru itu.

Seramai 33,942 calon layak bertanding di peringkat pusat dan bahagian serta ketiga-tiga sayap parti. Pengundian bagi pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat bahagian dan pusat akan berlangsung pada 12 Oktober manakala pengundian bagi bahagian dan Majlis Tertinggi pada 19 Oktober.

Dijangka lebih 146,500 perwakilan akar umbi mengambil bahagian mengundi pada pemilihan kali ini berikutan pindaan perlembagaan parti pada 2009. ~tmi




Iklan C (ii)

Tiada ulasan: