Addin |
- Formula Untuk Tumbangkan Umno Sebelum PRU14 Tersebar
- Hishamuddin, Isa Samad Dan Ali Rustam Bakal Tersingkir
- Bukan Islam Boleh Guna Kalimah 'Allah' - Pakatan Rakyat
- Muslihat Mahathir Akhirnya Terbongkar
- Berita Malu Yang Tidak Di Siarkan..
- Petanda Hishamuddin Bakal Kalah Dalam Pemilihan Umno
- Nooh Gadot Gopoh - Pensyarah Kanan UIA
- Polis Siasat Ali Rustam
Formula Untuk Tumbangkan Umno Sebelum PRU14 Tersebar Posted: 17 Oct 2013 10:51 AM PDT Kita tidak perlu menanti PRU14 untuk tumbangkan kerajaan Najib. Kita boleh lakukannya sekarang.Demikian tulis Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz di dalam blognya. Justeru, menurutnya biarkan Umno dan BN merasai penangan sokongan majoriti dan undi popular. Menurutnya, mereka menang kerana manipulasi persempadanan dan kepadatan pengundi yang tidak adil, masih tidak sedar diri. Baginya, pemimpin Umno masih angkuh dan membudak-budakkan orang lain. Di Malaysia Timur, ujarnya BN ada 47 kerusi parlimen dan jumlah yang agak besar dalam tangan komponen bukan Umno. "Jika parti-parti ini tinggalkan BN, bagaimana?" tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Raub. |
Hishamuddin, Isa Samad Dan Ali Rustam Bakal Tersingkir Posted: 17 Oct 2013 08:58 AM PDT Penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dijangka tersingkir daripada persaingan merebut kerusi Naib Presiden yang dipertandingkan dalam Pemiihan Umno 2013. Antara faktor penyumbang kekalahan Hishamuddin adalah kerana gagal mencapai prestasi diharapkan Umno baik sebagai Naib Presiden Umno mahupun sebagai Menteri Kabinet. Penganalisis politik, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, berkata kemenangan Hishamuddin dalam Pemilihan Umno sebelum ini dibantu Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan sepupu beliau. Selain Hishamuddin, turut dijangka tewas dalam perebutan enam penjuru itu, Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. "Saya tidaklah boleh meramalkan dengan tepat tetapi saya boleh katakan beberapa orang yang lama itu dalam Umno semakin tidak disenangi banyak pihak dalam Umno dan luar Umno seperti Hishamuddin, Isa Samad dan Ali Rustam. "Ali Rustam sendiri tidak menang di Melaka, Isa Samad pernah dikenakan tindakan disiplin manakala Hishammuddin dalam pemilihan Umno yang lalu pernah dikatakan tidak popular tetapi diselamatkan Najib," ujar pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM) itu. Mengulas lanjut, Mohamad berkata tiga calon lain, Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula dijangka menang dalam perbezaan undi kecil. "Bagi mereka yang menang mereka tidak lagi berkedudukan seperti pemimpin Umno sebelum ini, pemimpin dahulu, apabila menang mereka dianggap sebagai pemimpin yang bukan sahaja mencorak Umno tetapi juga mencorak dalaman BN dan juga negara. "Dahulu bila menang dalam Umno, parti-parti komponen lain dalam BN seperti MCA, MIC sujud dan pembangkang pula, suara mereka tidak diambil kira kerana tidak mempunyai sokongan majoriti pada masa itu. Tetapi sekarang Pakatan Rakyat memperolehi lebih 50 peratus sokongan rakyat, menjadikan mereka lebih kuat dari Umno," ujar Mohamad lagi. ~selangorku |
Bukan Islam Boleh Guna Kalimah 'Allah' - Pakatan Rakyat Posted: 17 Oct 2013 08:28 AM PDT Pakatan Rakyat (PR) kekal dengan pendirian bukan Islam boleh menggunakan kalimah "Allah" seperti yang diputuskan Majlis Pimpinan PR pada Januari lalu, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar menegaskan pendirian PR konsisten dalam isu kalimah "Allah", selagi ia tidak disalahgunakan oleh penganut agama lain. "Pakatan Rakyat kekal konsisten dengan pendirian kami dahulu. "Cuma sekarang kami menggesa supaya semua pihak bertenang dan menggunakan kebijaksanaan dalam menangani isu ini," kata Anwar dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat PKR hari ini. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali dan penasihat DAP, Lim Kit Siang yang turut hadir dalam sidang media sama juga senada dengan pendirian tersebut, apabila disoal wartawan terhadap reaksi keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini. Pada 8 Januari lalu, PR mencapai pendirian penggunaan kalimah "Allah" boleh digunakan oleh penganut Kristian dengan syarat ia tidak disalahgunakan dan menegaskan kalimah "Allah" tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat. Keputusan tersebut diumumkan selepas mesyuarat pemimpin tertinggi PR yang dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Lim dan Anwar. Mahkamah Rayuan dalam keputusan baru-baru ini, sebulat suara telah menghalang gereja Katolik daripada menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan berbahasa Melayu Herald sebagai rujukan kepada tuhan bagi agama Kristian. Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang mempengerusikan panel tiga anggota hakim berkata ia dianggap dapatan mahkamah bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bertindak dalam apa-apa cara yang mewajarkan campur tangan badan kehakiman mengenai keputusannya melarang penerbitan itu menggunakan kalimah Allah. Bekas mufti Johor, Datuk Noh Gadut, yang juga penasihat Majlis Agama Islam, selepas keputusan tersebut diumumkan memberi amaran kepada penganut Muslim yang mempersoalkan pengharaman kalimah Allah ke atas yang bukan Muslim. Isu kalimah Allah bermula pada awal 2009 apabila KDN membatalkan permit akhbar Herald menggunakan kalimah Allah merujuk kepada Tuhan. Tindakan tersebut menyebabkan gereja mengemukakan saman kepada kerajaan kerana melanggar hak dalam Perlembagaan. Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan semakan keputusan dan membatalkan pengharaman oleh KDN untuk menggunakan kalimah Allah oleh Herald. Hakim turut menjelaskan gereja mempunyai hak dalam Perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam akhbarnya kerana agama selain Islam boleh mengamalkannya secara aman dan harmoni. Katanya, meskipun Islam merupakan agama Persekutuan, ia tidak memberi kuasa kepada kerajaan menghalang gereja menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. ~tmi |
Muslihat Mahathir Akhirnya Terbongkar Posted: 17 Oct 2013 08:11 AM PDT Apabila seseorang menghadapi suasana terdesak ia akan melakukan apa sahaja. Begitu juga dengan penjenayah yang sedang diburu polis, kalau boleh mereka mahu melepaskan diri dan tidak mahu mengambil risiko berdepan dengan polis. Namun kerana sudah tidak ada pilihan lain mereka akan melepaskan tembakan untuk menyelamatkan diri. Itulah yang terjadi. Barang kali kaedah yang sama boleh dipakai kepada Mahathir Mohamad yang kini dalam keadaan 'terdesak' untuk memastikan anaknya Mukhriz menang dalam perebutan jawatan naib presiden Umno. Mahathir bagaikan penjenayah akan melakukan apa saja tindakan walaupun ia melanggar keangkuhan dan kebencian dirinya kepada seseorang sebelum ini. Mahathir kini boleh dikatakan terdesak dalam suasana untuk menenangkan anaknya. Agaknya beliau sudah mengetahui hujung jatuh Mukhriz dalam perebutan jawatan itu. Apa lagi bila mana Khairy Jamaluddin Abu Bakar menang besar dalam mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda Umno ia menjadikan Mahathir makin tidak senang duduk. Phobia Khairy mengalahkan anaknya empat tahun lepas menghantui dirinya. Keempat orang lawan Khairy yang setengahnya seperti ditaja Mahathir kalah sehinggakan hilang wang pertaruhan. Kemenangan besar Khairy itu menandakan suara kejauhan Mahathir agak Khairy disingkirkan atau diberi petunjuk kurang sokongan dengan ada undi tentangan tidak menjadi. Kemenangan bergaya Khairy itu dibaca dan dinilai Mahathir, ia membawa kecelakaan kepada calonnya, Mukhriz Mahathir. Lantaran itu Mahathir kena mengubah strategi termasuk memalukan dirinya sendiri. Apa dimaksudkan memalukan diri sendiri dan mengubah haluan ialah bila mana Mahathir sekonyang-konyang bersetuju dengan kenyataan Zahid Hamid yang menyarankan agar penjenayah ditembak. Zahid membuat kenyataan itu dalam majlis tertutup tetapi dapat dihidu oleh media massa. Kenyataan Zahid menjadi kontroversi. Dalam kontroversi inilah Mahatir tiba-tiba tampil memberi sokongan moral kepada Zahid dengan berkata; kalau orang acu pistol ke arah awak, tembaklah... tetapi jangan pula dok pergi menembak merata. Komen Mahathir itu memberi gambaran beliau menyokong tindakan Zahid. Mahathir terpaksa menyokong Zahid kerana dia menyedari kedudukan Zahid begitu berpengaruh. Zahid akan mendapat sokongan besar dalam pemilihan kelak. Jadi Mahathir mahu pengaruh Zahid itu mengalir kepada anaknya Mukhriz. Pernyataan sokongan itu juga memberi gambaran yang salah seorang naib presiden dalam konteks ini Hishamuddin Hussein, lemah dan gagal menunjukkan prestasi baik semasa dia memegang jawatan sebagai menteri dalam negeri (KDN) dulu. Maksud yang hendak disampikan Mahathir di sini ialah Hishamuddin perlu digugurkan kerana tidak menunjukkan prestasi baik sebagai seorang menteri kanan. Pujian Mahathir ke atas Zahid itu menjelaskan Hishmuddin lemah. Mahathir tentu mahukan Hishmuddin terkeluar untuk memudahkan anaknya masuk. Walaupun kalau mengikut chemistry, Mahathir tidak ngam dengan Zaid tetapi beliau tidak dapat berbuat apa-apa kerana kedudukan dan pengaruh Zahid meluas. Siapa telah lupa sejarah yang dilakukan Mahathir kepada Zahid sebelum ini. Zahid menjadi Ketua Pemuda pertama yang tidak diberi apa-apa jawatan dalam kabinet oleh Mahathir. Zahid menjadi menteri setelah Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri. Apakah sejarah itu dilupai Zahid dan beliau akan membantu Mukhriz memenangi kerusi naib presiden? Rasanya tidak. Bagi Zahid Mahathir tidak ada apa-apa budi kepadnaya untuk dibalas dengan memberi laluan kepada Mukhriz. Baik Zaid, Hishamuddin hatta Najib Razak sendiri tentu akan berasa tidak seronok kalau Mukhriz berada di tangga ke tiga dalam hierarki parti sebagai salah seorang naib presiden. Mereka tidak mahu terganggu dengan kehadiran Mukhriz itu. Mahathir yang selamanya menjadi penasihat politik kepada anaknya dan menaungi kerajaan Kedah akan menggunakan Mukhriz untuk menyalurkan pandangannya. Teguran-teguran beliau kepada Umno akan disampaikan melalui Mukhriz. Keadaan inilah bakal mewujudkan suasana tidak sihat dalam Umno kelak. Agenda Mahatir tidak akan mudah habis. Sebagai seorang yang berasa orang lain bodoh, tidak cerdik beliau tetap mahu menunjukkan yang otaknya bagus. Kerana itulah beliau akan mencari apa-apa saja lubang dan peluang untuk 'memerintah'. Jadi kalau anaknya berada di dalam Umno ia memudahkan untuk beliau terus menguasai Umno. Justeru, pujian dan sokongan kepada Zahid berhubung cadangan agar penjenayah ditembak itu, ia bukan satu cadangan yang ikhlas melainkan ada muslihatnya. Mahathir seorang yang sebelum ini berpegang kepada prinsipnya; seseorang itu tidak boleh dikatakan bersalah selagi ia tidak didapati bersalah. Apakah dengan penjenayah ini beliau ada pandangan lain dan telah mengubah prinsipnya. Oh tidak, pujian kepada Zahid itu tidak lain dan tidak bukan kerana ada undang di sebalik batu. Beliau mahu anaknya mendapat blessing Zahid Hamidi. Itu sahaja. Dan Mahathir kini sudah terdesak dan sedia untuk jadi seperti seorang penjenayah menembak sesiapa saja. ~mso |
Berita Malu Yang Tidak Di Siarkan.. Posted: 17 Oct 2013 01:47 AM PDT Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Lembah Pantai, Mohyiddin Mohamad dan calon Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Salak, Mohd Nazari Sabran mendakwa wujudnya unsur penyelewengan dan politik wang ketika mesyuarat cawangan dan pemilihan tiga sayap parti pada Sabtu lalu. Mohyiddin berkata, sogokan wang tersebut dipercayai membabitkan bukan saja ketua bahagian namun turut melibatkan timbalan dan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno. Katanya, ini bukan kali pertama calon tersebut melanggar etika dan perlembagaan parti kerana ia berlaku sejak empat tahun lalu dan pihak berkenaan juga tidak mengikut beberapa peraturan mesyuarat Sabtu lalu. Pada Sabtu lalu, katanya, pentadbiran bahagian menyediakan sidang video untuk penyandang jawatan merasmikan mesyuarat tiga sayap walaupun tiada ucapan ketua bahagian sebelum ini. "Sekurang-kurangnya empat aduan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemilihan, Lembaga Displin dan Ibu Pejabat Umno kerana wujudnya politik wang dalam kempen. "Ia dipercayai dilakukan oleh ejen calon bagi memastikan barisan kepimpinan tertentu menjadi pilihan perwakilan pada pemilihan Umno," katanya kepada akhbar Berita Harian. Sementara itu, di Ipoh, pencabar jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Salak mendakwa lawannya Dr Faizal Tajuddin mengedarkan beberapa barangan kepada perwakilan ketika tempoh berkempen. Katanya, ia termasuk sebuah buku tertulis "Direktori Untuk Kepimpinan Pergerakan Pemuda Umno Cawangan yang memaparkan segala aktiviti Ketua Pemuda Bahagian tersebut. "Di dalam buku tersebut menunjukkan gambar individu terbabit mengagihkan barangan pertanian dan sukan kepada perwakilan, maka kita persoalkan apa locus standi dia mengagihkan barangan itu," katanya. Bagaimanapun, Dr Faizal menafikan dakwaan itu dan menyifatkan tuduhan itu tidak berasas. Pada pemilihan Umno Bahagian Sabtu lalu, Dr Faizal menewaskan Mohd Nazari dengan 243 undi berbanding 163 yang diperolehi pencabarnya. |
Petanda Hishamuddin Bakal Kalah Dalam Pemilihan Umno Posted: 16 Oct 2013 09:42 PM PDT Pemilihan Umno bakal diadakan pada 19 Oktober ini, iaitu kira-kira tiga hari daripada sekarang. Kerusi paling panas diperkatakan ialah Naib Presiden. Semua calon bagi merebut jawatan itu ketika ini sedang sibuk berkempen ke seluruh negara menemui perwakilan, di samping turut sibuk muncul berkempen di televisyen melalui program bual bicara atau wawancara. Memandangkan kali ini jumlah perwakilan yang mengundi adalah seramai 146,500 orang dan tidak mungkin calon dapat bertemu dengan semua perwakilan itu, maka peluang muncul di televisyen tentunya kesempatan yang tidak mahu dilepaskan begitu sahaja. Selain itu, calon juga turut tidak melepaskan peluang menggunakan akhbar sebagai medium kempen sama ada melalui wawancara, kenyataan akhbar, ulasan isu semasa mahupun bercakap mengenai bidang tugas rasmi masing-masing. Bagi yang aktif di laman sosial pula, mereka juga turut menggunakan kecanggihan dunia internet untuk berkempen dan mempromosi diri masing-masing. Bagi calon Naib Presiden, hanya Isa Samad yang didapati tidak aktif dalam laman sosial dan didapati akaun Facebooknya sudah lama tidak dikemaskini, selain tidak mempunyai akaun Twitter mahupun Instagram manakala calon lain iaitu Zahid Hamidi, Hishammuddin, Shafie Apdal, Mukhriz Mahathir dan Ali Rustam, mereka didapati aktif dalam laman sosial dan sekurang-kurangnya mempunyai satu akaun sama ada Facebook, Twitter ataupun Instagram. Dengan Perdana Menteri, Najib Razak menggalakkan semua pemimpin Umno dan kerajaan agar aktif dalam laman sosial bagi memudahkan berinteraksi dengan rakyat, Isa Samad nampaknya tidak menyahut seruan itu dan menjadi pemimpin yang tidak mahu bergerak seiring dengan perkembangan zaman. Ini menjadikan Isa agak terkebelakang dan hanya mengharapkan bantuan media tradisional atau komunikasi secara bersemuka dengan perwakilan untuk kempennya. Jika calon yang bertanding Naib Presiden kali ini dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu penyandang dan penentang, sehingga ini Isa Samad berada di kedudukan paling bawah daripada segi keupayaan menggugat kedudukan tiga penyandang sedia ada. Daripada kumpulan penentang, calon yang didapati paling menggugat dan berpeluang cerah untuk memenangi salah satu kerusi Naib Presiden kali ini ialah Mukhriz Mahathir. Faktor kejayaan BN menawan Kedah, imejnya sebagai pemimpin muda yang baik serta pengaruh bapanya, Mahathir Mohamad adalah antara sandaran yang menjadi perkiraan perwakilan. Calon kedua daripada kumpulan penentang yang dijangka mampu membuat kejutan ialah Ali Rustam, bekas Ketua Menteri Melaka dan sekarang bergelar Senator serta Pengerusi PUNB. Selain hubungan baik dan mudah mesranya dengan ramai orang, jasanya dalam membangunkan Melaka serta serangannya kepada pelbagai isu yang berkaitan orang Cina baru-baru ini turut memberi kelebihan kepadanya. Daripada kumpulan penyandang pula, calon yang paling popular dan boleh dikatakan selamat ialah Zahid Hamidi. Pelbagai ketegasan yang dipamerkannya sejak menjadi Menteri Dalam Negeri seperti Ops Cantas, Akta Pencegahan Jenayah dan sebagainya menjadikan beliau pilihan paling atas di hati perwakilan Umno, meskipun sikapnya itu mengundang pertikaian bangsa lain. Manakala dua calon penyandang yang lain iaitu Hishammuddin dan Shafie Apdal, kedua-duanya masih lagi berada di zon bahaya. Berbanding Shafie, kekalahannya mungkin tidak begitu memeranjatkan kerana undi daripada Sabah sendiri didapati tidak solid kepadanya berikutan wujudnya masalah antara beliau dengan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman tetapi kedudukan Hishammuddin yang masih tidak menunjukkan banyak kemajuan sedangkan hari pengundian semakin hampir, mungkin petanda tidak baik baginya. Walaupun beliau sedang bekerja keras menemui perwakilan di seluruh negara sambil cuba menangkis pelbagai persepsi negatif mengenai dirinya, malah jentera kempennya juga turut giat ke sana dan ke mari, sehingga ini penerimaan perwakilan Umno daripada pelbagai negeri masih lagi membimbangkan. Masih ramai perwakilan yang merasakan beliau tetap seorang pemimpin yang lembik dan tidak tegas dan mereka kekal dengan kesangsian untuk memberikan undi kepadanya. Walaupun sebelum ini ada dakwaan mengatakan bahawa kemenangan Khairy Jamaluddin dan Shahrizat sebagai Ketua Pemuda dan Ketua Wanita adalah isyarat bahawa penyandang jawatan Naib Presiden, termasuk Hishammuddin juga mempunyai kelebihan tetapi ramai perwakilan yang menolak teori tersebut. Bagi kebanyakan perwakilan, teori itu tidak semestinya benar kerana untuk jawatan Naib Presiden perlu dipilih tiga pemenang manakala Ketua Pemuda dan Ketua Wanita hanya seorang saja, selain pencabar untuk KJ dan Shahrizat juga dianggap tidak cukup berwibawa untuk menggugat. Ramai perwakilan yang melihat pemilihan Naib Presiden kali ini adalah cerminan wajah parti untuk menghadapi cabaran akan datang, terutamanya PRU 14 yang dijangka lebih getir berbanding PRU 13 lalu. Persepsi negatif mengenai sepupu Najib itu terutama ketika beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, masih lagi menghantui majoriti perwakilan. Dengan Zahid dan Mukhriz dikira calon selamat, Hishammuddin kini bukan saja terpaksa bersaing dengan Shafie Apdal untuk mengisi slot ketiga tetapi juga dengan Ali Rustam yang kini graf politiknya sedang naik dengan mendadak di hati perwakilan. Jika sehingga 19 Oktober, tiada berlaku campur tangan atau arahan mana-mana pihak dan pemilihan benar-benar bersih, Ali Rustam dilihat mempunyai peluang lebih cerah mengisi slot ketiga berbanding Hishammuddin ataupun Shafie Apdal. ~shahbudin |
Nooh Gadot Gopoh - Pensyarah Kanan UIA Posted: 16 Oct 2013 07:13 PM PDT Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Nooh Gadut tidak wajar gopoh dan terlalu teruja menggugurkan akidah umat Islam yang bersetuju dengan langkah penganut Kristian menggunakan kalimah Allah, kata pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik. Katanya, perintah mahkamah berhubung kes itu hanya menyentuh soal semakan kehakiman terhadap keputusan pentabbiran dan bukan fatwa halal haram. "Maka, adalah tidak wajar mantan mufti tersebut begitu teruja untuk menggugurkan akidah sesama Muslim yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut," kata Maszlee. Nooh yang juga bekas mufti Johor hari ini dilaporkan memberi amaran bahawa umat Islam yang mempertikai keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes penggunaan kalimah 'Allah' boleh menjadi kafir dan murtad. Nooh dilaporkan berkata, tindakan mempertikai keputusan berkenaan juga "mencerminkan akidah dan syariat mereka sesat serta keji dari segi akhlak". Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini lewat petang semalam, Maszlee berkata, keputusan mahkamah hanya mengenai larangan menggunakan nama Allah dalam mingguan Katolik The Herald. Menurutnya lagi, ini berkaitan permohonan yang bersifat "admistrative in nature" dan bukan kepada subjek hukum. Semalam, bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga menyuarakan kebimbangan yang hampir sama. Menurutnya pandangan Nooh itu mempunyai kesan yang amat besar sehingga melibatkan seluruh dunia Arab dan ulama terkemuka, seperti Dr Yusof Qardawi dan Dr Wahbah Zuhaili - yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian. ~mk |
Posted: 16 Oct 2013 06:04 PM PDT Calon Naib Presiden Umno, Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam (gambar) disiasat polis kerana dituduh membuat kenyataan menghasut terhadap komuniti Cina dalam satu majlis di Kuala Lumpur. Polis Kuala Lumpur sudah memulakan siasatan mereka selepas laporan polis dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana dari DAP, Lai Kuen Ban di Balai Polis Tengkera pada 9 Oktober. Pada satu majlis anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) 8 Oktober lalu, Mohd Ali yang juga Pengerusi PUNB mengecam kaum Cina kerana terlibat dengan "perniagaan haram" di negara ini. "Kita umat Islam tidak boleh membuka kasino, 4D, Toto, perjudian, rumah urut dan syarikat pinjaman wang haram. Ini semua haram. Kaum Cina sahaja yang terlibat dengan semua perniagaan haram ini," katanya pada majlis itu. Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong yang menemani Lai untuk membuat laporan polis berkata, dalam laporan berkenaan, Lai mendakwa kenyataan Mohd Ali merupakan satu hasutan dan mahu polis menyiasat perkara itu. Lai kini berada di luar negara. "Polis merakamkan kenyataan Lai pada hari sama," kata Khoo. Polis Brickfields menyiasat kes itu berikutan kenyataan Mohd Ali itu dibuat di sebuah hotel di ibu kota. Ketua Polis Brickfields, ACP Muhammad Azlee Abdullah mengesahkan laporan sudah dibuat dan penyiasatan akan dilakukan tetapi enggan memberikan kenyataan lanjut. Bagaimanapun, The Malaysian Insider difahamkan bahawa polis sudah mula merakamkan kenyataan beberapa orang yang berada di majlis itu termasuk wartawan. Dalam majlis itu, Mohd Ali juga bercakap mengenai soal keperluan mengekalkan orang Melayu di agensi kerajaan, termasuk polis dan tentera. Untuk memenangi undi golongan konservatif Umno, bekas Ketua Menteri Melaka itu turut berkata: "Kaum Cina mahukan segalanya. Orang Melayu telah layan mereka dengan baik. "Apabila kaum Cina mahukan pertolongan membina sekolah dan biasiswa, kerajaan berikan kepada mereka. Tetapi pada hari pilihan raya, mereka lupa semua ini. Apa yang penting bagi mereka mengambil alih kuasa orang Melayu dan menjadikan mereka 'pendatang'," katanya. Kenyataan Mohd Ali itu mengganggu emosi 100 hadirin di majlis itu sambil sesetengahnya menjerit, "suruh Cina balik kampung." Mohd Ali adalah salah seorang daripada enam calon yang mahu mengisi tiga kekosongan jawatan naib presiden dalam pemilihan Umno Sabtu ini. Calon lain ialah penyandang Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Shafie Apdal and Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selam Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad. Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menang tanpa dicabar oleh sesiapa. Dalam pemilihan Umno 2009, Mohd Ali bertanding jawatan Timbalan Presiden tetapi dibatalkan pencalonannya kerana didapati terlibat dengan politik wang. ~tmi |
You are subscribed to email updates from Addin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan