Selasa, 17 September 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[WASPADA] Aplikasi Novel Lucah Versi BM Berleluasa Di Telefon Pintar

Posted: 17 Sep 2013 01:12 AM PDT


.Awas jika melihat anak-anak anda leka bermain telefon bimbit, mungkin mereka sedang asyik membaca novel lucah.

Novel elektronik berahasa Melayu dikesan boleh dimuat turun secara mudah dan percuma menerusi telefon dan tablet pintar sejak 28 Ogos lalu dan sejak kewujudannya, 100,000 orang sudah dicatatkan memuat turun aplikasi tersebut.

Kurang tiga minggu wujud, aplikasi itu mendapat reaksi negatif pelbagai pihak terutama ibu bapa yang bimbang anak mereka menggunakan aplikasi itu sekali gus menjejaskan akhlak dan moral anak-anak mereka.

Seorang bapa empat anak yang juga penjawat awam, Salleh, 49, berkata, beliau risau remaja yang sedang meningkat dewasa terdedah dengan bahan tidak bermoral seperti itu.

Katanya, anak-anak moden sekarang bukan lagi seperti kanak-kanak zaman dahulu, mereka kini masing-masing memiliki telefon bimbit sendiri malah ada di antaranya memiliki telefon dan tablet pintar yang mencecah ribuan ringgit.

"Golongan ini lebih arif tentang gajet dan mereka sudah tentu mengetahui kewujudan aplikasi ini, lebih-lebih lagi ia diletakkan dalam mekanisme yang sangat mudah untuk diperolehi," katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau memohon pihak berkuasa memantau perkara ini dan memikirkan semula kewajaran membenarkan aplikasi itu.

"Jangan memandang perkara ini sebagai isu remeh kerana ia babitkan moral dan anak-anak kita kelak," katanya. -SH

Mustafa Ali: Tindakan Harun Taib Kurang Bijak

Posted: 16 Sep 2013 11:05 PM PDT


Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib sepatutnya tidak perlu bercakap mengenai strategi parti kepada umum kerana boleh memberikan mesej yang salah berdasarkan persepsi rakyat.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, tahaaluf siyaasi adalah strategi dalam perjuangan dan perlu dibincangkan secara dalaman, bukannya dihebohkan kepada umum.

"Tidak bijaksana dihebohkan. (Jika dihebohkan) maksud kajian boleh disalah tafsir dan akibatnya kita menghantar mesej yang salah, bukan sahaja kepada rakan PR tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya penyokong Pas dan Pakatan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Harun, dalam ucaptama Multaqa Ulama Semalaysia baru-baru ini, menyarankan Majlis Syura Ulama mengkaji semula tahaaluf siyaasi dalam PR berdasarkan garis panduan syura atas alasan pengaruh parti itu semakin lemah.

Sementara itu Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menyifatkan kenyataan Harun bukan bertujuan melemahkan parti, tetapi mahu memastikan Pas lebih konservatif dari segi hala tuju parti itu dalam PR.

"Bagi mana-mana organisasi parti dan badan korporat, mengkaji (semula) sesuatu strategi adalah perkara biasa.

"Saya yakin, beliau berkata demikian untuk menjadikan Pas lebih kuat daripada sekarang," katanya.

Salahuddin berkata, perkara itu tidak sepatutnya dianggap negatif, sebaliknya perlu memahami apa yang cuba disampaikan.

"Kenyataan beliau itu supaya Pas bekerja lebih kuat ke arah memanfaatkan pengaruhnya dalam PR.

"Apa sahaja kekurangan dan masalah perlu diperhalusi demi memanfaatkan melalui kerjasama dalam PR, selain mahu melihat peranan Pas bagi menjana kekuatan dalam PR," katanya. -SH

Mana Lesap RM52 bilion Saham Bumiputera?

Posted: 16 Sep 2013 08:15 PM PDT


Datuk Seri Najib Razak perlu jelaskan ke mana lesap RM52 bilion saham Bumiputera sebagaimana diakui Perdana Menteri itu pada 24 Mac 2011.

"Berapa bilion wang rakyat lesap kerana rasuah dan salah tadbir kerana tiga tahun lalu, Najib mengakui daripada RM54 bilion nilai saham diperuntukkan kepada Bumiputera, hanya RM2 bilion kekal di tangan masyarakat itu.

"Persoalannya ke mana hilang RM52 bilion saham itu,"
kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan.

Beliau merujuk pengumuman Najib sebelum itu yang mengunjurkan beberapa langkah kononnya untuk memperkasa ekonomi Bumiputera.

Antara lain, Najib mengumumkan dana tambahan berjumlah RM700 juta kepada Tekun Nasional dan tambahan pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM300 juta, serta memperkenal Skim Permulaan 'Entrepreneur' Baharu Bumiputera (Superb).

"Sudah tentu mengangkat martabat Bumiputera cabaran besar buat Malaysia, namun PM dan Timbalannya perlu menjawab mengapa Bumiputera kekal lemah di bawah Umno yang memerintah sejak lebih 50 tahun lalu," tegas Nik Nazmi.

"Najib juga harus menjelaskan mengapa jurang sosioekonomi masyarakat semakin melebar," kata beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Beliau mendesak Najib tidak menyalahkan Bumiputera ekoran kegagalan golongan itu mencapai ekuiti 30 peratus dalam Dasar Ekonomi Bumiputera (DEB).

Katanya, ini kerana Umno seringkali mendakwa hanya parti itu layak memerintah Malaysia, manakala bagi yang menolak dianggap pengkhianat.

"Hakikatnya, Umno bertanggungjawab atas kelemahan Bumiputera. Rakyat sering menjadi mangsa kegagalan dasar Umno BN kerana parti itu mementingkan retorik.

"Pendekatan mereka hanya membelanjakan wang untuk semua masalah dengan harapan masalah itu kononnya selesai," katanya.

Menurutnya, pengumuman Najib pada 14 September lalu sekadar menunjukkan kelemahan Bumiputera yang dimanipulasi Presiden Umno itu sebagai kempen menjelang pemilihan Umno Oktober ini. -KD

Lanjutan Darurat Untuk Kembalikan Rejim Mubarak, Jutaan Rakyat Mesir Teruskan Demontrasi

Posted: 16 Sep 2013 05:01 PM PDT


Ikhwanul Muslimin pada hari Ahad kelmarin (15/9/2013) mendakwa bahawa lanjutan tempoh darurat selama dua bulan lagi hanya akan mengembalikan semula rejim Hosni Mubarak dan menterbalikkan prinsip-prinsip dan tujuan dari Revolusi 25 Januari.

Di dalam satu kenyataan yang diterbitkan di halaman Facebook mereka, Ikhwan mengkritik Presiden sementara Adly Mansour yang telah melanjutkan tempoh darurat, mendakwa bahawa langkah itu sepatutnya dikenakan hanya dalam tiga situasi: semasa perang, serangan wabak atau perselisihan awam.

"Kami tidak tahu alasan apa ketika ini yang membuat hakim menandatangani keputusan melanjutkan keadaan darurat," tambah Ikhwan.

Selanjutnya, kenyataan itu juga mengkritik apa yang dianggap mereka sebagai ketidakpedulian pengambil keputusan dengan kondisi ekonomi Mesir yang mengerikan ketika ini.

Presiden sementara Mesir Adly Mansour pada hari petang Khamis minggu lalu memutuskan untuk melanjutkan keadaan darurat selama dua bulan.

Keadaan darurat dikenakan awalnya pada 14 Ogos semasa berlaku demonstrasi yang mengakibatkan pembubaran paksa 2 kemah protes pendukung Mursi di Kaherah yang mengorbankan lebih dari 1000 orang dan lebih dari 40 tentera juga terbunuh.

Sementara itu demontrasi para pendukung Mursi terus diadakan di Lapangan Rab'ah, selepas Solat Jumaat (13/9) yang dilanjutkan Sabtu (14/9). Demonstrasi itu diadakan bagi memperingati satu bulan pembantaian di Rab'ah Al Adawiyah dan Nahdah oleh tentera Mesir.

Demonstran yang menamakan diri mereka pro legitimasi dan antikudeta sebelumnya telah menyeru rakyat Mesir untuk turun ke jalan secara besar-besaran. Rangkaian tindakan yang disebut 'Jutaan Massa Menuntut Darah Syuhada' itu telah tersebar luas di berbagai kawasan Negeri Piramid tersebut.

Di Kaherah tindakan demonstran dan 'long march' tersebar di sekitar 200 tempat. Mereka bergerak selesai Solat Jumaat dan melakukan aksi demontrasi aman menentang kudeta serta menuntut keadilan untuk darah para syuhada. Di Nasr City, demonstran cuba memasuki kawasan Rab'ah dari berbagai penjuru. Namun, mereka tersangkut kerana sejak Jumaat pagi seluruh akses menuju kawasan Rab'ah telah ditutup seluruhnya dengan penjagaan tentera, kubu pasir dan kawat berduri, 50 meter dari Rab'ah al Adawiyah.

Walaupun tidak berupaya untuk menerobos, demonstran tetap berarak dan bertahan di jalan-jalan sekeling kawasan Rab'ah berhadapan dengan pihak keselamatan. "Sementara di kawasan Heliopolis demonstran memenuhi jalan-jalan Istana Ittihadiyah sambil mengangkat simbol Rab'ah," demikian lapor berita Sinai Mesir (15/9).

Tindakan serupa juga berlangsung di berbagai wilayah seluruh Mesir. Mereka berhimpun di jalan-jalan sambil mengangkat foto-foto mereka yang terkorban semasa pembantaian rejim kudeta. Demonstrasi Jumat (13/9) merupakan aksi terbanyak sepanjang aksi 'gerilya' yang diterapkan demonstran pascapembantaian pada 14 Ogos lalu. Sekurang-kurangnya terdapat 320 masirah (gelombang demonstran) di seluruh penjuru Mesir yang melibatkan 16 juta pendemo.

Dr. Mahathir Kata Umno Mengidap “Sakit Tua Dan Bakal Mati”

Posted: 16 Sep 2013 07:45 AM PDT


Menjelang pemilihan Umno hujung tahun ini, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati parti Melayu itu agar melantik pemimpin muda kerana ia (UMNO) sedang menghidap "sakit tua" dan bakal "mati".

"Ini naluri manusia. Lambat-laun manusia akan menemui ajalnya," kata Dr Mahathir.

Beliau yang pernah berkhidmat selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri menegaskan hanya dengan pemimpin muda, Umno akan dapat meneruskan legasi mereka memerintah negara ini.

"Pembaharuan umat manusia ialah melalui zuriat. Anak kita, cucu kita, cicit kita akan kekalkan kita secara tidak langsung di dunia, akan sedikit sebanyak meneruskan sumbangan kita yang terdahulu," katanya dipetik dari akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Meskipun jelas Dr Mahathir, beliau cuba untuk menyedarkan Umno berhubung perkara itu, ada pihak yang memandang serong terhadapnya, malah menuduh beliau mempunyai agenda tersendiri.

"Malangnya ada pihak yang berpendapat tulisan saya mempunyai agenda tertentu, kononnya kerana saya ingin kekalkan kepimpinan saya melalui anak saya.

"Jika saya ingin tolong anak saya, sepatutnya saya berusaha semasa saya jadi Perdana Menteri," kata bekas Presiden Umno itu lagi.

Tegasnya, hanya jika Umno diperbaharui oleh generasi muda barulah parti Melayu itu dapat meneruskan perjuangan-perjuangan yang diamanahkan kepada Umno.

"Ahli Umno mestilah ditambah melalui kemasukan generasi muda yang bersemangat kebangsaan... demikian juga dengan kepimpinan Umno di semua peringkat, terutama di peringkat pusat, di dalam Majlis Tertinggi.

"Ahli-ahli badan ini mestilah terdiri sebahagiannya daripada yang muda," katanya.

Umno dahulu kata Dr Mahathir sentiasa bersemangat dan bercita-cita besar demi bangsa termasuk menewaskan Malayan Union kerana pemimpin mereka kebanyakannya adalah golongan muda.

"Saya masih ingat mereka yang menjadi pengasas Umno, mereka muda-muda belaka. Purata usia mereka belum pun setengah abad. Ramai yang hanya dalam lingkungan tiga puluhan. Mereka memiliki kecergasan minda orang muda, bersemangat, memiliki cita-cita besar untuk bangsa mereka.

"Dan Umno pun bertenaga, aktif kerana mudanya pemimpin dan ini memberi harapan kepada bangsa Melayu," katanya.

Pemimpin Umno sekarang bagaimanapun tegas Dr Mahathir masih enggan berundur meskipun sudah berusia, malah sanggup merasuah demi terus kekal sebagai pemimpin.

"Masa mereka sudah terlanjut... sumbangan mereka semakin merosot. Ya, menjadi pemimpin memang sedap. Segala kemudahan dapat dinikmati.

"Lagi pun sedap sungguh kerusi yang diduduki. Memuaskan sungguh kuasa yang dimiliki. Kenapakah pemimpin perlu undur, tarik diri," katanya.

Tetapi Dr Mahathir mengingatkan agar pemimpin-pemimpin ini harus sedar akan pentingnya mereka tidak melampaui masa mereka.

"Lambat-laun orang akan berasa bosan, bahkan naik meluat akan pemimpin yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman tetapi masih tidak terima kebenaran," tegasnya.

Malangnya kata Dr Mahathir, ramai yang begitu mudah tergoda dengan sogokan wang.

"Tak banyak... RM200 pun boleh mengalih pemikiran sesetengah ahli Umno. Mereka bukan menjual undi. Sebenarnya mereka menjual bangsa, menjual maruah diri mereka," tegasnya.

Beliau juga menyeru agar amalan berkenaan dihentikan kerana apabila pemimpin yang dipilih adalah perasuah, mereka tidak akan teragak-agak menjual bangsa.

"Ingatlah negara kita dahulu lebih besar tetapi kerana duit ia sudah jadi kecil. Ia akan jadi lebih kecil lagi jika perasuah memimpin negara ini.

Orang Melayu yang menjadi tunjang perjuangan Umno tegas Dr Mahathir juga turut tidak mempercayai Umno, dan menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO).

"Jika mereka mempunyai banyak pilihan, Umno sudah kalah Pilihan Raya Umum ke-13," kata Dr Mahathir.

Justeru, Dr Mahathir menyeru agar pemimpin-pemimpin berkenaan mengetepikan kepentingan diri, dan memberikan peluang kepada generasi muda.

"Berilah tempat kepada yang muda. Terimalah mereka ke dalam parti. Pilihlah mereka dan tolaklah yang sudah tua.

"Hanya dengan cara ini sahaja barulah perjuangan Umno untuk bangsa, agama dan tanah air dapat diteruskan," katanya. -TMI

[VIDEO] Suspek Sudah Bagitahu Dia Nak Bunuh Orang

Posted: 16 Sep 2013 03:35 AM PDT


Dia pernah kata nak bunuh orang', kata ipar

Lans Koperal Fadzly Omar, 29, yang menembak mati isteri dan bapa mentuanya sebelum menembak dirinya sendiri pernah menyatakan dia akan menembak seseorang sambil menunjukkan pistol dipinggangnya.

Perkara itu diberitahu abang iparnya Ezam Abdul Kadir, 34, ketika mereka bersembang pada hari raya bulan lalu.

Ezam memberitahu pemberita pada mulanya beliau menganggap perkara itu sebagai gurauan adik iparnya itu tanpa mengesyaki apa-apa.

"Saya fikir dia mahu menembak penjenayah atau peragut. Saya tidak sangka dia benar-benar melakukan perkara itu," katanya di rumah mayat hospital di sini.

Dalam kejadian antara pukul 7 hingga 7.15 malam tadi itu, suspek bertindak menembak bapa mentuanya Abd Kadir Md Arif, 66, di rumah bapa mentuanya di Jalan Sialang, Padang Lerek 1 di sini sebelum menembak dirinya sendiri.

Sebelum itu suspek dengan menggunakan Revolver .38 menembak isterinya Norakmal Abdul Kadir, 28, di Pondok Polis Felda Chemplak, Labis, Segamat sebelum memandu kereta dengan membawa anak lelakinya yang berumur dua tahun ke rumah bapa mentua yang terletak kira-kira 90 kilometer dari situ.

Ezam berkata sebaik tiba di rumah bapa mentuanya, adik iparnya itu lalu masuk ke dalam rumah dan meminta beliau dan adik perempuannya Norzafira, 26 keluar dan meninggalkan dia bersama bapanya di ruang tamu.

"Sewaktu saya di dapur dan baru hendak menyuap kuih ke dalam mulut, saya terdengar bunyi letupan seperti bunyi mercun. Saya menjenguk ke luar tingkap dan saya dapati tiada sesiapa pun yang bermain mercun.

"Saya rasa tidak sedap hati dan terus keluar dari dapur dan masuk ke ruang tamu dan ternampak ayah dan adik ipar saya terlentang berlumuran darah," katanya.

Beliau berkata bapanya yang masih bernafas segera dikejarkan ke hospital oleh orang ramai dan meninggal sebaik tiba sementara adik iparnya itu mati di tempat kejadian.

Ezam mengakui hubungan antara suspek dengan isteri suspek agak dingin sejak kebelakangan ini kerana si isteri dikatakan tidak tinggal bersama suspek di Pondok Polis Felda Chemplak, Labis.

"Adik saya akan pergi tinggal bersama pada setiap petang Jumaat selepas habis kerja dan pulang ke Tangkak pada petang Ahad. Petang Jumaat lalu, dia seperti biasa pergi menemui suaminya di Labis bersama anak lelakinya dan arwah ada meminta saya tinggalkan wang RM10 untuk bekalan ke sana. Itulah kali terkahir saya jumpa arwah," katanya.

Sementara itu ibu mentua suspek Rogayah Alip, 62, berkata menantunya itu seorang yang pendiam dan jarang bercampur dengan anggota keluarga mereka.

Beliau berkata semasa kejadian, beliau baru tiba di rumah setelah keluar membeli barang keperluan dapur bersama salah seorang anak lelakinya Mohamad Syarazi, 25.

"Sebaik keluar dari kereta, makcik terdengar bunyi dua kali letupan. Ingatkan bunyi mercun tetapi makcik terkejut apabila anak perempuan makcik Norzafira yang sedang bermain dengan anak lelaki arwah menjerit apabila ternampak ayah dan abang iparnya terbaring dengan berlumuran darah di dalam rumah," katanya.

Jenazah Norakmal dan Abdul Kadir dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Gontang, Tangkak selepas waktu maghrib manakala jenazah Fadzly dibawa pulang ke Felda Palong 3, Negeri Sembilan. - Bernama


Tiada ulasan: