Isnin, 2 September 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Kesan Harga Minyak Naik, Pandangan Bung Terhadap Orang Kampung

Posted: 02 Sep 2013 07:25 AM PDT


Bung: Minyak Naik Tak Mudaratkan Orang Kampung

[MK] Kenaikkan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter mulai tengah malam ini mencetuskan kekecewaan di alam maya. 

Bagaimana tweet daripada seorang ahli politik dilihat menambah minyak kepada kemarahan itu.

"Minyak petrol naik (harga), pastinya tidak memudaratkan rakyat kerana yang ada kereta besar adalah orang-orang besar dan berkemampuan, (sedangkan) orang kampung ada tidak berkereta," kata anggota Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin (kanan).

Tidak puas hati dengan perkara itu, beliau terus dihujani kemarahan, antaranya seorang pengguna Twitter dikenali @ayeemin berkata:

"Kereta bukan hanya untuk orang kaya. Hari ini, ia keperluan. Tetapi beristeri dua hanya untuk orang kaya."

Bung sebelum ini mendapat liputan meluas selepas mengambil pelakon Zizie Izette sebagai isteri kedua pada 2010.

Tampil tidak dikenali, alam Twitter turut dihujani dengan pesanan-pesanan berunsur jenaka.

@Panlusi Anwar dipecat pada 2 September (1998). Hari ini (2 September 2013) harga petrol naik 20 sen #salahanwar

@HaziqAbdAziz Kalau kamu tak suka harga petrol, boleh berambus dari Malasia!

@klubkiddkl Jadi berapa kali harga petrol naik sejak pilihan raya umum ke-13? #EndlessPossibilities

@napiez Kini tiba (masa) membalas budi, kita potong subsidi! - 2/9/13

VCD KL Gengster 2 Dijual Semurah RM5

Posted: 02 Sep 2013 06:27 AM PDT


[HM] Kota Bharu: Selepas 'bocor' di Internet, filem KL Gangster 2 terus menerima tamparan hebat apabila sindiket cetak rompak mula membuat salinan filem bernilai RM4.5 juta itu dalam bentuk cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) untuk dijual pada harga serendah RM5.

Tinjauan Harian Metro di pasar borong Wakaf Che Yeh, di sini, malam kelmarin mendapati filem itu dipromosikan penjual VCD dan DVD cetak rompak dengan dipertontonkan secara terbuka.

Seorang peniaga VCD dan DVD cetak rompak di pasar itu berkata, VCD KL Gangster 2 yang dijualnya mendapat sambutan hangat dan dikategorikan 'panas' ketika ini.

"Kita jual VCD ini RM5 saja. Ramai membelinya," katanya.

Sementara itu, penerbit KL Gangster 2, Datuk Yusof Haslam mengakui sudah mendapat maklumat filem itu kini dicetak rompak dan dijual di merata tempat.

Katanya, apabila filem itu bocor di Internet, pasti ada pihak mengambil kesempatan menyalinnya dalam bentuk VCD atau DVD untuk dijual bagi mendapat keuntungan mudah.

"Saya percaya (dalang) memuat naik di Internet dan menyalin dalam bentuk VCD dan DVD ada kaitan antara satu sama lain. Saya menyerahkan perkara ini dan kepada pihak berkuasa kerana sudah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Tindakan segera perlu dilakukan dan saya meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menangani masalah ini," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, filem KL Gangster 2 arahan Syamsul Yusof yang sepatutnya ditayangkan di pawagam pada 3 Oktober depan tersebar secara meluas di Internet sejak malam Rabu lalu.

Bagaimanapun, Yusof dipetik berkata, pihaknya tidak berganjak dari tarikh tayangan ditetapkan Unit Wajib Tayangan (UWT) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) walaupun ia boleh ditayangkan lebih awal ekoran insiden itu.

Katanya, siasatan dan pemantauan secara intensif kini berjalan dengan kerjasama PDRM, Bahagian Penguatkuasaan SKMM dan KPDNKK.

Menurut Yusof, beliau tidak dapat menghalang orang ramai daripada membeli VCD atau DVD cetak rompak KL Gangster 2.

Bagaimanapun, katanya, jika mahu mendapatkan kepuasan, tonton filem itu di pawagam.

"Yang cetak rompak itu versi haram dan belum sempurna. Saya harap janganlah ia terus disebarkan," katanya. - 2/9/13


Ummu Jah Akui Amal Ajaran Sesat

Posted: 02 Sep 2013 06:22 AM PDT


[SH] RAWANG - [Dikemas kini] "Saya mengakui sebelum ini mengamalkan ajaran sesat. Lafaz sumpah taubat secara rasmi masih belum dilaksanakan tetapi kita bersedia melakukannya di hadapan pihak berwajib.

"Tetapi daripada segi dasar saya dan kepimpinan akan kembali kepada fatwa serta menghebahkan kepada ahli untuk berbuat perkara sama," kata Pengarah Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB), Hatijah Aam atau dikenali Ummu Jah.

Balu pengasas pertubuhan yang diharamkan pada 1994, Al-Arqam, Ashaari Muhammad ini semalam berikrar untuk patuh kepada fatwa dan dengan rela hati meninggalkan ajaran Aurad Muhammadiah.

Beliau juga meminta masyarakat tidak mempersoal atau membuat andaian pengakuannya untuk kembali patuh kepada fatwa sebagai lakonan.

Ummu Jah berkata, tindakan tersebut juga sama seperti memperkecilkan bidang kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang bertanggungjawab memantau pergerakan GISB yang sebelum ini dikaitkan dengan ajaran sesat, Aurad Muhammadiah.

Menurutnya, beliau berharap isu ajaran sesat diselesaikan segera tanpa mengaitkan dengan GISB.

"Kita mahu memperbetulkan akidah dahulu dan kemudian memfokuskan kepada perniagaan untuk memberi keyakinan kepada pelabur dan orang awam.

"Isu ini telah berlarutan dalam tempoh yang lama menunjukkan ia diambil serius oleh pihak berwajib," katanya.

Katanya, melalui perbincangan bersama Jais sebelum ini tidak wujud isu pengharaman GISB sebaliknya pertemuan hanya bersifat perbincangan isu akidah.

"GISB didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan kita akan membuat pembentangan aset akaun. Sekiranya ia jelas maka tidak akan wujud pembatalan pendaftaran.

"Perbincangan adalah ke arah membantu mengadakan program atau memberikan penjelasan supaya ahli-ahli GISB patuhi fatwa," katanya.

Katanya, masyarakat perlu memberi peluang kepada ahli GISB yang dianggar seramai 4,000 orang untuk memahami fatwa dan kembali ke pangkal jalan.

Mengulas berkenaan dakwaan bekas ahli GISB apabila anak dan isterinya dikuarantin serta disembunyikan, UmmuJah berkata, beliau dalam proses memfailkan kes itu ke mahkamah.

"Semua syarikat mempunyai polisi, dan dakwaan menyembunyikan itu tidak benar sebaliknya ia bersifat melindungi ahli selain mendisiplinkan mereka," katanya. -2/9/13


Pekerja Kilang bersama Pasangan Bukan Islam antara Dicekup dalam Ops Merdeka

Posted: 02 Sep 2013 05:57 AM PDT

Haslinda bersama pasangan bukan Islam diperiksa oleh penguatkuasa agama.

[SH] SUNGAI PETANI - Seorang pelajar berusia 14 tahun antara yang ditahan bersama pasangan masing-masing ketika serbuan dijalankan anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dalam Ops Merdeka kelmarin.

Pelajar tersebut yang dikenali Shahirah (bukan nama sebenar) berpakaian baju kurung merah ditahan pada jam 1 pagi bersama pasangannya yang memakai pakaian sedondon dalam sebuah bilik di hotel sekitar bandar ini.

Lebih berani, perbuatan terkutuk itu dilakukan pasangan terbabit yang hanya berjarak kira-kira tiga kilometer dari rumah Shahirah.

Pegawai Penguatkuasa Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, ketika pintu diketuk, pasangan itu mengambil masa 20 minit sebelum membuka pintu.

"Pintu hanya dibuka setelah anggota penguatkuasa beri amaran untuk pecahkan pintu," katanya.

Menurutnya, setelah disoal siasat mendapati, remaja perempuan masih di bawah umur dan bersekolah di tingkatan dua manakala remaja lelaki berusia 21 tahun.

Zaiferi berkata, hasil pemeriksaan turut menemui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar ibu Shahirah meminta remaja itu pulang ke rumah, bagaimanapun permintaan itu tidak diendahkan sebaliknya anak perempuan itu bertindak mematikan talian telefon.

Anggota penguatkuasa kemudian menghubungi kedua-dua ahli keluarga terbabit untuk tindakan selanjutnya.

Kantoi khalwat malam merdeka
Pasangan kekasih ini dikatakan berasal dari Padang Serai.

Beri pelbagai alasan

Sementara itu, pemeriksaan seterusnya menemui sepasang remaja yang bersekedudukan dalam bilik berasingan di mana operasi dilakukan secara serentak.

Walaupun pasangan kekasih berusia 22 dan 20 tahun dari Padang Serai itu mengakui berhasrat mahu menamatkan zaman bujang tahun depan, alasan berkenaan bagaimanapun tidak menghalang anggota penguatkuasa menahan mereka atas alasan bersekedudukan tanpa ikatan yang sah.

Menurut Zaiferi, pihaknya turut menahan sepasang kekasih masing-masing merupakan penjawat awam berusia 24 tahun yang turut menjadikan hotel bajet sebagai lokasi melakukan maksiat.

Amran (bukan nama sebenar) dimaklumkan menetap di Pengkalan Hulu, Perak memberi alasan mahu pulang ke kampung tetapi kenderaannya mengalami kerosakan sebelum mahu membuat pemeriksaan di sebuah bengkel di bandar ini.

"Saya memang nak balik tetapi kereta saya rosak terpaksa baiki di Sungai Petani," katanya.

Sementara, pasangannya, Riani (bukan nama sebenar) yang menutup kepala menggunakan tuala dikatakan tinggal bersama nenek di Kuala Nerang sebelum mahu pulang ke kampung halaman berdekatan rumah Amran di Pengkalan Hulu.

Difahamkan, pasangan kekasih tersebut sudah lapan tahun menjalinkan hubungan cinta sejak di bangku sekolah selain mengaku sudah beberapa kali melakukan hubungan intim.

Lebih memalukan, hasil soal selidik pada hari kejadian mendapati, Amran sudah bersedia mahu menghantar rombongan ahli keluarganya ke rumah Riani kerana berhasrat mahu bertunang pada hari yang sama.

Serbuan turut menemui seorang pekerja kilang berusia 22 tahun bersama pemandu van kilangnya yang bukan beragama Islam.

Apabila ditanya, pemandu van berusia 32 tahun itu memberitahu, kedatangannya ke bilik yang disewa Haslinda (bukan nama sebenar) adalah untuk menghantar makanan walaupun jam sudah menunjukkan jam 1.20 pagi.

Rumah sewa turut diserbu

Operasi turut dijalankan di sebuah rumah sewa milik pasangan kekasih di mana masing-masing bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat swasta dan kerani di sebuah kedai motosikal di Sungai Lalang.

Menurut Zaiferi, hasil dari maklumat awam, sepasang kekasih berusia 21 dan 26 tahun dicekup berdua-duaan dalam rumah berkenaan.

Berdasarkan pemeriksaan, Zaimi dan Nadia (bukan nama sebenar) dipercayai baru pulang dari makan malam.

Zaimi berkata, mereka merancang mahu ke rumah keluarga angkat tetapi setelah beberapa kali menghubungi tiada jawapan diterima.

Zaimi dengan alasan letih tidak menghantar Nadia pulang sebaliknya menghabiskan masa di rumah sewanya bersama kekasihnya itu.

Difahamkan, kedua-dua pasangan ini mengakui mahu berkahwin tetapi hasrat mereka ditentang keluarga.

Zaiferi berkata, seramai 10 individu disiasat termasuk seorang lelaki bukan Islam yang berada bersama pasangan beragama Islam dalam pemeriksaan yang dijalankan sekitar daerah termasuk di Taman Jubli Perak, Pantai Merdeka, Titi Semeling dan beberapa buah hotel bajet yang menjadi tumpuan.

Seramai 10 anggota bertugas dalam operasi yang bermula jam 6 petang sebelum berakhir jam 5 pagi.

Katanya, sembilan individu ditahan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya meminta masyarakat prihatin terhadap aktiviti maksiat yang berlaku dengan memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak jawatankuasa masjid, pejabat agama atau agensi berkaitan bagi membanteras gejala itu. - 2/9/13

Polis Dakwa Bekas TUDM Ditembak Mati Ketua Kongsi Gelap

Posted: 02 Sep 2013 05:32 AM PDT

Anggota forensik menjalankan pemeriksaan di lokasi Jambu Keshan ditembak mati dari jarak dekat berhampiran restoran bapanya, awal pagi Ahad. - FotoBERNAMA

Bekas Pegawai Tentera Udara Mati Ditembak Adalah Ketua Geng 36

[Mstar] IPOH: Bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mati ditembak di Taman Rishah di sini pada Ahad merupakan ketua Geng 36 di Batu Gajah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, S. Jambu Keshan, 39, dipercayai ditembak mati oleh musuh kumpulan tersebut kerana ada kaitan dengan dadah.

"Kami juga percaya insiden itu ada kaitan dengan pertelingkahan di antara ahli kumpulan mangsa, Geng 04 dan Geng 08," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Jambu Keshan mati ditembak oleh seorang lelaki bertopeng berhampiran restoran bapanya di Taman Rishah di sini kira-kira pukul 7.15 pagi Ahad.

Mohd Dzuraidi berkata polis telah merakam keterangan dua orang saksi dan percaya suspek yang terlibat dalam insiden itu lebih daripada dua orang.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil dari kedai berhampiran menunjukkan lelaki bertopeng itu manakala cermin kereta Toyota Vios yang dipandu rakan suspek itu berwarna gelap. - 2/9/13


Berita terdahulu di sini.


[Edisi Terima Kasih kepada Pengundi BN] Petrol dan Diesel Naik 20 Sen Mulai Tengah Malam Ini

Posted: 02 Sep 2013 05:05 AM PDT


Minyak RON95 & Diesel Naik 20 Sen Tengah Malam Ini

[Bernama] PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen bermula tengah malam ini.

Ini merupakan salah satu langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan, kata beliau dalam sidang akhbar di sini, Isnin.

Pada masa ini kerajaan menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1 seliter bagi diesel, kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Jumlah bahan api yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi tahun ini ialah RM24.8 bilion.

Pengurangan subsidi sebanyak 20 sen ini bermakna kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80 sen seliter untuk diesel.

Bagi mengurangkan bebanan golongan berpendapatan rendah dan mudah terjejasberikutan rasionalisasi subsidi bahan api, kerajaan akan meningkatkan pemberian BR1M dalam Bajet 2014 yang jumlahnya akan diumumkan dalam ucapan bajet.

Najib terdahulu mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa dasar fiskal yang berlangsung setiap enam bulan sekali. 


P/s: Terima kasih banyak-banyak pencacai!!!



Tiada ulasan: