DUNIACACAMARBA |
- [PANAS] Kata Lelaki Belasah Isteri: "Saya sayang isteri, jangan robohkan masjid"
- Mahkamah Arah Papagomo Bayar RM500 Ribu kepada Ahli Perniagaan yang Difitnahnya
- Adakah Kerajaan Buat Perjanjian Ambil Guru Bahasa Inggeris dari India?
- [Wajib Baca] Allah yang Naikkan Harga Barang?
- RTM Buat Silap Lagi
[PANAS] Kata Lelaki Belasah Isteri: "Saya sayang isteri, jangan robohkan masjid" Posted: 12 Sep 2013 11:37 PM PDT [UM] BUKIT MERTAJAM 12 Sept. - Pegawai veterinar yang berdepan tuduhan membelasah isterinya di dalam lif pada bulan lalu, menyatakan dia masih menyayangi wanita tersebut dan mahu keluarganya hidup bahagia. ''Saya sayang isteri dan keluarga mentua janganlah robohkan masjid yang sudah dibina,'' kata Muhammad Affandi Ismail, 36, dari dalam keretanya kepada pemberita selepas selesai prosiding kes itu di Mahkamah Majistret di sini hari ini. Majistret Nur Zafirah Mohamed Ali sebelum itu menetapkan 22 Oktober ini sebutan semula kes terhadap tertuduh yang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 36 tahun dalam lif di Hospital KPJ, Bandar Perda di sini, pada pukul 4 petang, 12 Ogos lalu. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih satu tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya. Muhammad Affandi diwakili peguam Suhaila Saad manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim. Nama isteri tertuduh dirahsiakan kerana berada di bawah perlindungan sementara (IPO) atas perintah mahkamah. Pada 12 Ogos lalu, pengguna internet di negara ini digemparkan dengan rakaman video sepanjang 2.20 minit yang memaparkan kejadian seorang isteri dibelasah teruk oleh suaminya di hadapan dua anak mereka yang masing-masing berusia empat dan lima tahun di dalam sebuah lif dikongsi melalui akaun Facebook. Lebih malang lagi dalam video bertajuk Suami dayus pukul isteri depan anak turut menunjukkan aksi lelaki berkenaan yang dikatakan seorang pegawai veterinar bertugas di Jerantut, Pahang itu menendang isterinya, seorang pekerja kilang sehingga tersungkur sebaik sahaja pintu lif terbuka. | ||
Mahkamah Arah Papagomo Bayar RM500 Ribu kepada Ahli Perniagaan yang Difitnahnya Posted: 12 Sep 2013 07:55 PM PDT Blogger Papagomo diperintah bayar RM500,000 dalam kes saman fitnah [TMI] Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan blogger pro-Umno, Papagomo perlu membayar RM500,000 kepada seorang ahli perniagaan bagi bayaran ganti rugi terhadap satu tuntutan saman fitnah. Perintah itu dibuat selepas mahkamah mengenal pasti Papagomo sebagai Wan Muhammad Azri Wan Deris. Ahli perniagaan, Abdul Razak Mohd Noor memfailkan saman RM10 juta terhadap Papagomo, mendakwa blogger itu secara tersirat menyatakan beliau penipu yang memperolehi jutaan ringgit dalam Sukan Komanwel. Dalam keputusannya hari ini, Suruhanjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera memerintahkan Papagomo membayar RM200,000 bagi ganti rugi am dan RM300,000 ganti rugi teladan. Beliau juga membenarkan injunksi untuk menghentikan Papagomo daripada terus memfitnah Abdul Razak. Vazeer juga memerintahkan Papagomo membayar kos RM50,000 kepada ahli perniagaan itu. Dalam keputusannya, Vazeer berkata, Papagomo tidak insaf dengan tindakannya dan ia kelihatan dalam kelakuannya ketika memberi keterangan dalam perbicaraan tuntuntan saman fitnah itu. Beliau berkata, keputusan itu akan memberi pengajaran kepada blogger yang memuat naik artikel berbentuk fitnah dalam ketanpanamaan (anonymity). – 13 September, 2013. P/s: Siapa lagi nak saman blogger terkenal pro-UMNO ini? Silakan! | ||
Adakah Kerajaan Buat Perjanjian Ambil Guru Bahasa Inggeris dari India? Posted: 12 Sep 2013 06:30 PM PDT
[MK] Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (NEB) berkata Kementerian Pendidikan telah menjadikan Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus SPM bermula pada 2016. Namun, tiada pelan khusus dinyatakan untuk menaiktaraf mutu guru bahasa Inggeris di negara kita ke arah merealisasikan matlamat tersebut. Semalam, Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata 70 peratus daripada 60,000 guru Bahasa Inggeris, yang menduduki peperiksaan, English Language Cambridge Placement Test, mencatatkan keputusan yang rendah. Ini bermakna kira-kira dua pertiga guru Bahasa Inggeris di negara ini telah diklasifikasikan sebagai 'tidak berupaya' atau 'tidak layak' untuk mengajar subjek berkenaan di sekolah. Mungkinkah perkara ini boleh diselesai menjelang 2016? Bagaimana pula dengan para pelajar, terutamanya mereka di luar bandar untuk menyediakan diri menghadapi subjek Inggeris wajib lulus dari sekarang ke 2016 dengan kualiti guru bahasa Inggeris yang ada kini? Apakah kerajaan sudah ada penyelesaian kepada masalah ini, tapi masih dirahsiakan kerana pemilihan Umno yang semakin dekat? Pada 20 Disember 2012, semasa lawatan ke India, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau telah "bawa untuk pertimbangan kepada Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh" untuk Malaysia menerima sejumlah guru dari India yang mahir dalam bahasa Inggeris untuk mengajar pelajar kita. Beliau berkata Manmohan menyambut baik cadangan itu dan akan mengarahkan menteri yang berkenaan mengadakan perbincangan dengan kementerian pelajaran untuk merealisasikan hasrat itu. Dengan keyakinan kerajaan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib, PAS ingin bertanya apakah langkah mengambil guru India ini solusi yang dirahsiakan? Apakah kerajaan telah membuat perjanjian dengan kerajaan India sebelum NEB diumumkan lagi? Apakah langkah membuat bahasa Inggeris sebagai subjek wajib sekadar untuk kepentingan komisyen golongan tertentu yang dipertanggungjawabkan untuk mengimport guru-guru dari India ini? Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa 1.4 juta warga Bangladesh akan dibawa masuk bagi mengisi peluang pekerjaan di negara ini. Berapa ramaikah guru-guru dari India akan dibawa masuk sekiranya perjanjian dengan kerajaan India sudah dimeterai? Bagaimana skim gaji mereka? Berapa lama kontrak mereka? Apakah mereka akan diberi kerakyatan selepas tempoh tertentu? Apakah kemasukan mereka akan menindas guru-guru yang ada? Bagaimana pula dengan nasib 42,000 guru Bahasa Inggeris yang lemah kini? Kerajaan sepatutnya melabur untuk meningkatkan kualiti guru Inggeris tempatan dan bukannya melabur pada negara India dan memberikan pekerjaan pada warga asing tatkala rakyat disuruh berjimat dengan pengurangan subsidi. Jika tidak benar bahawa guru-guru daru India akan diimport masuk, kementerian pendidikan harus mengemukakan satu pelan untuk mengatasi kekurangan guru bahasa Inggeris berkualiti yang dihadapi kini. PAS menuntut kerajaan memberikan penjelasan segera dalam hal ini. -TUAN IBRAHIM TUAN MAN adalah ketua penerangan PAS pusat. | ||
[Wajib Baca] Allah yang Naikkan Harga Barang? Posted: 12 Sep 2013 05:37 PM PDT [DrMaza.com] Apabila artikel 'Kenaikan Harga Barang Ketetapan Allah' muncul di saat rakyat sedang merasai ancaman kenaikan harga barang akibat potongan subsidi minyak oleh pihak kerajaan, majoriti rakyat memang tidak puas hati. Saya tidak tahu, apakah hasrat sebenar penulis berkenaan. Mungkin niatnya hendak meredakan perasaan rakyat terhadap kerajaan ataupun meredhakan kerajaan terhadapnya, itu tidak pasti. Kata penulis, dia bercakap dalam konteks sabar. Mungkin itu maksudnya. Menariknya saya terbaca satu komen yang menyebut: 'Kalau begitu pegawai-pegawai penguatkuasa kawalan harga barang sedang menentang ketetapan Allah lah?!' Ringkas, tapi penuh makna. Akidah Sebelum kita pergi kepada hadis yang diguna pakai dalam penghujah isu ini, saya suka menyebut bahawa dalam sejarah umat Islam pernah muncul aliran Jabariah yang menganggap bahawa semua perkara adalah ketetapan Tuhan, manusia sama sekali tiada pilihan. Jabariahtidak termasuk dalam kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, sebaliknya mereka termasuk dalam golongan Ahlul Hawa (pengikut hawa nafsu). Saya percaya penulis berkenaan tidak demikian. Nabi s.a.w mengajar kita tentang takdir dan usaha dalam masa yang sama. Apabila manusia berusaha, namun gagal disebabkan aturan perjalanan alam yang membabit pelbagai pihak; iklim, manusia, masa dan lain-lain, maka manusia hendaklah akur dengan kehendak Allah dalam hal itu. Segala yang berlaku dalam alam ini dengan izin Allah. Tiada apapun yang boleh berlaku tanpa izinNYA. Namun, apa yang DIA izinkan, bukan semestinya DIA redha. Demikian, apa yang DIA redha bukan semestinya DIA izinkan. DIA tidak redha kezaliman Firaun, tetapi DIA mengizinkan kewujudan Firaun atas sistem alam yang diciptaNYA. DIA redha hamba-hambaNYA bersedekah, tapi bukan semua mereka DIA izinkan memiliki harta yang banyak, atas sistem alam ciptaanNYA. Maka, di situlah adanya pahala bagi niat yang baik. Maka, DIA juga menetapkan Hari Pembalasan selepas kematian untuk membalas kebaikan dan keburukan. Usaha Kita disuruh berusaha kerana keizinan Allah itu sering berkaitan dengan usaha yang menuruti sunnah ataupun tabiat ciptaan alam. DIA boleh memenangkan para nabiNYA dalam sekelip mata, namun itu tidak berlaku. Semua para nabi terpaksa berjuang dan mencari sebab musabab untuk membolehkan mereka menang. Lihat Maryam ibu Nabi Isa, ketika dia dalam keadaan lemah hendak melahirkan Nabi Isa a.s., Allah menyuruh dia menggoncang pokok tamar. Rutab (tamar masak) pun jatuh berguguran. Firman Allah: (maksudnya) "(ketika Maryam hendak melahirkan Isa) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar; dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan jadilah aku dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:" janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan goncanglah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur ke atasmu buah tamar yang masak." (Surah Maryam 23-25). Lihat, padahal Allah Pemberi Rezeki, tidak bolehkah DIA gugurkan sahaja buah tanpa perlu Maryam bersusah payah menggoncangnya?! Jika pun dia goncang, sekuat mana sangat wanita yang sarat mengandung dapat menggoncang pohon tamar?! Tidakkah dia sedang mengandung dengan pilihan Allah terhadap dirinya. Ya, namun, Allah mahu hidup ini berjalan menurut tabiatnya, usaha tetap disuruh dan bantuan Allah akan mengiringnya. Takdir Sama halnya dengan sakit demam, walaupun segalanya ketentuan Tuhan, namun Nabi s.a.w menyebut: "Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kita kena berusaha, kita tidak boleh cakap 'ini semua takdir' lalu membiarkan penyakit merebak. Allah itu al-Syafi (Penyembuh). Benar, tapi kita kena berusaha mengatasi penyakit. Sabda Nabi: "Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah." (Riwayat Muslim). Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H ketika mensyarahkan hadis ini memetik kata-kata al-Qadi 'Iyadh yang menyebut: Hadis-hadis ini juga menolak golongan sufi yang melampau yang membantah berubat dan berkata: "Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah, tidak memerlukan kita berubat". Hadis-hadis ini adalah hujah para ulama dalam menolak mereka." (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 359/14, Beirut: Dar al-Khair). Jika seseorang jaga kesihatannya, namun penyakit datang juga maka bersabarlah. Anggaplah itu ketetapan Allah. Ada hikmahnya. Ada sebab musabah di luar dari kemampuan diri. Ada pahala atas kesabaran itu. Tapi jika sendiri membahayakan diri. Melakukan perkara yang merosakkan seperti mengambil dadah, ataupun rokok, ataupun apa-apa tindakan yang bahaya lalu terkena penyakit, maka sebelum dia menyerah kepada takdir, dia hendaklah menyalahkan sikapnya terlebih dahulu. Allah telah ingatkan (maksudnya) "Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan" (Surah al-Baqarah, ayat 195). Jika seseorang mati kerana sakit atau tanpa sebarang sakit maka kita terima sebagai takdir. Namun jika dia dibunuh, walaupun itupun takdir, pembunuh mesti dihukum. Ulama tidak boleh bagitau mahkamah 'jangan salahkan pembunuh kerana itu takdir, Allah itulah yang menghidup dan mematikan'. Demikian jika ada yang dirompak dan dirogol, tidak boleh kita beritahu bahawa dalam Islam penyelesaiannya 'terimalah sebagai takdir dan bersabar, jangan salah sesiapa, rezeki ketentuan Allah'. Dalam Islam ada undang-undang jenayah dan pesalah boleh dihukum. Ada sistem keadilan yang wajib ditegakkan. Jika anda masuk ke kedai, anda dapati pekedai menaikkan harga barang dan bila anda tanya kenapa lalu dia jawab "Allah menaikkan harga barang". Apakah anda akan berkata: 'masyaAllah, akidah awak terlalu teguh, awak sangat beriman'. Ataupun, 'awak menggunakan nama Tuhan untuk ketamakan awak!'. Dalam negara ini, ada berbillion projek yang dipersoalkan. Ada istana yang dibina dengan harga berbillion ringgit. Ada projek harta awam yang tersangkut atas pelbagai alasan berbillion harganya. Apakah jawapannya: 'semua itu takdir Allah?!'. Saya juga lebih tertarik dengan kerajaan sekarang, lebih dari pembangkang, tapi bukan itu cara berhujah yang betul untuk membela. Maksud Hadis Apabila anda faham teras-teras di atas, maka fahamlah maksud hadis Anas bin Malik, dia berkata: "Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah s.a.w. Maka orang ramai pun berkata: "Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami". Jawab Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta". (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi dll. Dinilai sahih oleh al-Albani) Ertinya, jika kenaikan itu bukan disebabkan perancangan buruk manusia, tetapi secara semulajadi yang jika ditetapkan harga barang akan menzalimi para peniaga, maka hadis ini dipakai dalam suasana yang seperti itu. Ertinya haram menetapkan harga barang. Namun, jika naik turun harga tidak semulajadi, ada unsur permainan harga maka seperti mana peniaga tidak boleh dizalimi, demikian pembeli juga tidak boleh dizalimi. Kerajaan menjaga keadilan untuk kedua pihak. Justeru Islam melarang monopoli yang zalim seperti ihtikar(hoarding/sorok barang). Jika kezaliman berlaku, pemerintah boleh masuk campur menetapkan harga barang. Inilah yang sarjana seperti Ibn al-'Arabi sebut: "Sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak (peniaga dan pembeli). Apa yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi s.a.w) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu (peraturan) Allah adalah luas dan hukum dilaksanakan".( Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 2/337. Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah.). Menariknya, Lajnah Fatwa Arab Saudi (fatwa 12076) juga membolehkan menetapkan harga barang dan tidak membenarkan seseorang sewenang-wenang menaikkan harga barang yang ditetapkan penguasa. Kesimpulannya, hadis itu sahih. Konteks ia dikemukakan di waktu ini mungkin tidak tepat. Macam kata Saidina Ali bin Abi Talib kepada Khawarij: "Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil". (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah). Adapun saya, tidak tahu apakah tujuan tokoh agama parti berkenaan mengemukakannya. Saya serahkan urusannya kepada Allah. - Prof Madya Dato' Dr Mohd Asri Zainul Abidin | ||
Posted: 12 Sep 2013 05:20 PM PDT Sebelum ini kecoh fasal RTM menyiarkan logo PDRM yang didakwa sengaja disilapkan. Akibat insiden itu RTM memohon maaf kepada PDRM dan individu yang dikatakan terlibat ditamatkan perkhidmatan dan digantung tugas. Malangnya, RTM sekali lagi melakukan kesilapan. Kali ini nama KPN ditulis sebagai TAN SRI KHALID IBRAHIM bukannya TAN SRI KHALID ABU BAKAR seperti tertera pada paparan skrin di atas. Adakah ada lagi petugas RTM yang akan digantung tugas atau dibuang kerja? |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan