Ahad, 8 September 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Saya sudah sedia mati, kata Pak Samad

Posted: 08 Sep 2013 04:01 AM PDT

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

















Hujan lebat petang hari itu seakan merestui kehadiran insan yang banyak menyumbang bakti kepada negara meskipun pada hari itu ada ura-ura beliau akan ditangkap polis.

Laungan iqamah di Masjid Negara memanggil jemaah segera mendirikan saf untuk sama-sama menunaikan solat Asar secara berjemaah.

Waktu itulah kelibat beliau muncul berbaju Melayu dan berkain samping serba putih membina saf bersama jemaah lain.

 Selesai solat, empunya diri yang dimaksudkan Datuk A. Samad said atau lebih mesra digelar Pak Samad menuju ke satu ruangan di pinggir masjid untuk beriktikaf.

Beberapa jam sebelum itu, ada khabar angin mengatakan Pak Samad akan menyerah diri kepada polis selepas solat Asar namun suasana tetap tenang dan sakinah seperti rumah Allah yang lain.

Beliau kelihatan sedang membaca selembar dua dari kitab suci al-Quran sebelum diminta kebenaran untuk ditemubual secara mengejut oleh The Malaysian Insider.

Setelah memperkenalkan diri dan menyatakan berasal dari kampung yang sama iaitu Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, beliau lebih mesra menjawab segala persoalan yang diajukan.

Penerima Anugerah Sasterawan Negara 1985 itu ternyata tersusun pengucapannya malah perkataan yang keluar dari mulutnya sangat indah untuk dihayati.

Pembaca setia The Malaysian Insider itu lebih senang memulakan cerita tentang kerenah media arus perdana kerana beliau menyifatkannya tiada lagi kebebasan media dalam penyampaian berita entiti itu.

"Pengaruh kerajaan dalam media arus perdana bermula sejak pasca kemerdekaan lagi maka laporannya berat sebelah.

"Portal berita seperti The Malaysian Insider menyeimbangkan laporan berita Malaysia dengan memberi publisiti kepada pembangkang kerana itu adalah prinsip demokrasi. Jika enggan menerima suara pembangkang, canang sahaja Malaysia bukan negara demokrasi.

"Perkara ini harus ditegakkan demi kelangsungan generasi yang akan datang," katanya sambil menunjukkan telefon bimbit usang digunakan untuk membaca berita terkini dari laman portal.

Novelis yang terkenal dengan karya Langit Petang dan Hujan Pagi ini senang bercerita pada zaman kanak-kanaknya semasa menunggu keretapi melintas di Kampung Belimbing Dalam.

"Kira-kira jam 3 pagi, saya bersama rakan-rakan terhibur melihat kepulan asap dari kepala keretapi yang perlahan-lahan menuju ke angkasa," katanya yang sedikit tersenyum mengenang zaman kanak-kanaknya.

Mengulas mengenai puisi "Hidup Bersama" yang telah dimuatnaik di laman YouTube, Pak Samad berkata karyanya itu menggesa rakyat Malaysia melihat hubungan antara kaum di Malaysia dengan perspektif yang lebih luas.

"Kita mewarisi negara dan kita juga boleh menghancurkannya. Kaum di Malaysia datang dengan pelbagai latar belakang maka kita harus belajar hidup bersama.

"Tidak semua orang Melayu itu baik dan tidak semua orang Cina itu jahat. Maka kita dalam perjalanan mencari rakan yang baik dan menyisihkan yang jahat," jelasnya yang ditemani sebuah beg bimbit, payung dan satu botol air mineral yang masih belum diminum.

Bercerita tentang latar belakang dirinya, Pak Samad memberitahu beliau pernah mempunyai tiga orang isteri tetapi isteri kedua telah diceraikan.

 Beliau kini bersama isteri pertama dan ketiga dan dikurniakan enam orang cahaya mata kesemuanya.
"Isteri saya yang pertama berusia 79 tahun dan yang ketiga berusia 59 tahun. Saya dianugerahkan cucu seramai 10 orang," katanya.

Perbualan bersama Pak Samad kerap kali terganggu ekoran beberapa wartawan yang mahu mengetahui status terkini penangkapannya kerana Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada hari itu telah meminta sasterawan itu untuk menyerah diri berkaitan insiden bendera Sang Saka Malaya pada malam kemerdekaan lalu.

Sasterawan yang turut digelar 'Hilmi' sebagai nama penanya ini berkata beliau tidak mempunyai waktu tertentu bagi mendapatkan ilham tetapi karyanya sebelum ini banyak berdasarkan perkara yang dialaminya sendiri.

"Sekiranya saya tidak bekerja di media cetak suatu masa dahulu, Hujan Pagi tidak terbit. Salina juga atas pemerhatian saya zaman penjajahan British.

"Inti pengalaman dan pembacaan membantu dalam kaedah menulis. Saya banyak menelusuri karya luar negara tetapi isinya berdasarkan pengalaman sendiri," katanya.

Ketika diminta mengulas suka duka sebagai wartawan sewaktu berkhidmat zaman pasca kemerdekaan, Pak Samad berkata akhbar arus perdana pada ketika itu tidak mampu menyampaikan fikiran semurni mungkin kerana rata-rata mereka yang bekerja di media itu dilabel sebagai hamba kerana tidak lagi bebas.

 "Itu yang saya sedih. Wartawan media baru lebih garang dan boleh menyatakan pendirian mereka.

"Saya berhenti sebagai pengarang di media kerajaan kerana saya tidak lagi merasa akhbar itu murni. Saya berhenti ketika berusia 49 tahun dengan penuh tekad.

"Selepas itu saya tidak bekerja tetapi telah menghasilkan kira-kira 72 buah buku dan masih menerima royalti pusingan.

"Tuntutan hidup saya tidak besar. Saya dan isteri masing-masing sudah tua maka tidak mengimpikan perkara yang besar-besar.

Penulis naskhah Lantai T Pinkie itu turut mengingatkan generasi muda agar sentiasa menyanjung pejuang bangsa yang terdahulu.

Katanya, pejuang negara berhaluan kiri seperti Rashid Maidin, Abdullah Sidi, Norkiah Abdullah dan lain-lain adalah mereka yang berjuang menentang British malah negara penjajah itu bekerjasama dengan Chin Peng bagi menentang Jepun.

"Chin Peng sendiri pernah menerima dua pingat dari British namun hasrat parti komunis ketika itu mahu memerdekakan negara dan kedua blok itu bermusuh kembali.

"Sejarah ditentukan oleh pihak menang. Justeru mereka boleh berkata apa sahaja dengan menuduh komunis adalah satu ancaman.

"Isu rusuhan kaum 13 Mei 1969 juga tidak perlu disingkap kembali kerana luka lama perlu disembuhkan," katanya.

Sementara itu, kelahiran penulis novel muda yang sering menimbulkan babak erotik dalam penulisan mereka dilihat sebagai perkara biasa, kata Pak Samad.

"Tiada masalah kerana yang menceritakan dan membacanya orang muda. Apa yang penting ada pembacanya kerana jika ditulis buku yang hebat-hebat ramai tak baca dan tak laku.

"Penulis muda melakukan perkara yang mereka minati dan cepat mendatangkan pendapatan," katanya.

Beliau menjelaskan orang awam yang sering menjumpai Pak Samad dalam pengangkutan awam adalah kerana beliau dalam perjalanan ke kedai buku, tempat tertentu dan menonton filem.

"Saya menonton filem Cina dan India tetapi tidak Tanda Putera. Sebagai warga emas, pergerakan saya mudah dan murah. Dari rumah di Bangsar ke KLCC hanya RM1.

"Untuk makan mi, saya biasa ke Ampang Park. Tetapi kebanyakan masa di kedai buku," katanya.

Beliau gemar membaca buku bagi mendalami keadaan semasa politik dan ekonomi di China, Amerika dan Rusia.

Katanya, atas kekangan masa mereka yang mahu membaca buku, genre biografi dan autobiografi sesuai untuk dibaca kerana pembaca dihadapkan dengan perkara yang benar.

"Kita dapat memahami kisah Nelson Mandela, tumbangnya komunis di Rusia atau revolusi di Timur Tengah.

"Siang ramai yang bekerja, maka waktu malam hanya ada sekitar dua atau tiga jam untuk membaca," katanya.

Sasterawan negara ini turut menempelak kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Beliau berkata seharusnya BN berasa terhina kerana sebelum pemberian seumpama itu kerajaan gagal membantu rakyat.

Katanya, hutang negara yang makin meningkat dari setahun ke setahun akan dibayar oleh generasi akan datang.

Sasterawan yang terkenal dengan karya "Wira Bukit" berkata beliau kini tidak lagi menulis novel dan lebih menumpukan kepada ibadah.

"Saya masih menulis diari dan perkara ini telah dilakukan lebih 22 tahun. Ini tidak termasuk tulisan dan komentar saya di ruangan maya," katanya.

Beliau berkata rahsia kesihatannya adalah gemar berjalan dan bergerak dan cuba mengelak makanan berminyak.

"Kesihatan lebih tertumpu kepada kedamaian dan jiwa yang tenang," ujar beliau.

Dalam pada itu, sasterawan negara itu tidak bimbang dengan istilah bahasa Melayu yang banyak dicedok dari perkataan bahasa Inggeris seperti strategi, kronologi dan lain-lain.

Katanya, menerusi kaedah berkenaan kosa kata bahasa Melayu dapat berkembang dengan lebih cepat.

Setelah atas kesemua kejayaan yang diraihnya, sasterawan negara itu berkata beliau bersedia untuk mati kerana kebanyakan masa dipenuhi dengan beramal seperti berpuasa, membaca surah Yasin lima kali sehari dan mendalami al-Quran.

"Itu persediaan saya sekarang ke alam baqa'," katanya mengakhiri pertemuan bersama The Malaysian Insider.

Krisis dalaman PKR kerana asalnya dari Umno, kata penganalisis politik

Posted: 08 Sep 2013 03:55 AM PDT

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


















Krisis kepimpinan yang berlaku dalam parti pembangkang diketuai Datin Seri Wan Azizah Ismail dilihat sebagai cerminan kepada sifat Umno, kata penganalisis politik tanah air, ekoran majoriti pemimpin PKR adalah serpihan daripada parti tunjang Melayu tersebut.

Kebanyakan pemerhati politik tanah air berpendapat, krisis terbuka antara Timbalan Presiden Azmin Ali dan juga Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menunjukkan berlakunya konflik antara kepentingan parti dan kepentingan individu kepimpinan, yang mana dapat dilihat dalam Umno pada suatu ketika dahulu.

Bukan lagi krisis terpencil, Azmin sebelum ini secara terbuka mengkritik kepimpinan parti yang dilabel "parti keluarga" itu dengan Wan Azizah sebagai Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, dan anak mereka Nurul Izzah Anwar (gambar) sebagai Naib Presiden.

 Malahan, terdapat juga ura-ura Azmin akan menentang Wan Azizah dalam pemilihan parti berkenaan yang dijangka berlangsung tahun hadapan.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, meskipun pertandingan merebut jawatan parti itu normal, namun PKR perlu membuktikan sikap keterbukaan sekiranya Azmin benar-benar bertanding menentang Wan Azizah dalam pemilihan akan datang.

"Kita tahu berlakunya krisis antara Azmin dan Khalid, dan juga Wan Azizah... namun kita tak tahu berapa serius krisis ataupun keretakan itu," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

"PKR adalah parti serpihan Umno, dan Umno suatu ketika pernah mengalami insiden sama sehingga mengakibatkan perpecahan, namun bagi PKR kita sedar krisis telah berlarutan sejak sekian lama," katanya.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Azmin dilihat lantang dalam menyuarakan kenyataan keras, terutamanya ketika pelantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Dalam laman mikro Twitter miliknya, Azmin pernah dilaporkan berkata,"rakyat letih dengan asakan politik melampau. Terima hukuman, muhasabah diri, akui kelemahan, maju ke hadapan, tumpu rakyat bukan kerabat."

Kenyataan itu kemudiannya menerima liputan meluas media, yang menunjukkan krisis dalaman PKR semakin meruncing sehingga sampai ke tahap terbuka.

"Jika benar Azmin bertanding, PKR perlu mengalu-alukannya," kata Azizuddin, dan menambah ia adalah bukti jelas sekiranya PKR melaksanakan prinsip demokrasi seperti dilaungkan mereka.

Sementara itu, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, pensyarah di UUM, berkata  keretakan yang berlaku dalam PKR bukanlah perkara mengejutkan kerana parti itu mirip kepada "abang" politik mereka Umno.

"Memang ada budaya Umno... mereka datang daripada Umno," katanya kepada The Malaysian Insider.

Jelasnya lagi, pertandingan adalah lumrah, namun dengan aspirasi individu berbeza dari parti ia bakal menghancurkan parti.

"Jika mereka tidak menerima jawatan tertentu, mereka akan kejar," katanya, dan menambah jika Azmin bertanding menentang Wan Azizah, Anwar akan tertekan untuk menyebelahi isteri ataupun anak didiknya.

Perkara itu bagaimanapun disanggah Prof Madya Shaharuddin Badaruddin yang menganggap pertandingan dalam parti tidak boleh dianggap sebagai perpecahan kerana ia adalah lumrah dalam politik.

"Jika pertandingan membawa perpecahan umpama Umno dulu, dengan wujudnya parti Semangat 46, itu dikira perpecahan... namun setakat pertandingan, itu lumrah," katanya.

Beliau melihat perkara seumpama itu adalah kelaziman perbezaan pendapat dan "tegur-menegur" berlaku menjelang pemilihan parti.

"Ia berlaku dalam semua parti... tidak semestinya parti mengetuai kerajaan atau sebaliknya," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Ia normal, Kalau ada persaingn kepimpinan pasti ada pertelagahan ideologi, nak urus parti macam mana... Ia bukan perpecahan," katanya lagi.

Pengawal Peribadi Bersenjata Dikehendaki

Posted: 08 Sep 2013 03:52 AM PDT



Kekal selamat: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Datuk Zakaria Sulong (dua dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif, Chico Force (M) Sdn Bhd, Datuk Seri Khoo Gee Chong dan beberapa pengawal peribadi mengambil bahagian dalam latihan keselamatan olok-olok.
 
PETALING JAYA: Permintaan terhadap pengawal peribadi bersenjata meningkat berikutan insiden tembakan baru-baru ini dan beberapa jenayah kekerasan yang lain.

Lebih banyak syarikat, termasuk bank dan syarikat mutinasional mengambil pengawal peribadi bersenjata untuk bos mereka.

Kebanyakannya, termasuk tokoh perniagaan terkemuka, dimasukkan dalam senarai menunggu kerana pengawal peribadi sedia ada tidak dapat memenuhi permintaan ramai.

Setakat ini, terdapat kira-kira 600 pengawal peribadi terlatih di negara ini.

Seorang pakar keselamatan di Kuala Lumpur berkata permintaan untuk pengawal peribadi bersenjata meningkat dengan mendadak selepas kes tembakan pengasas Bank Arab-Malaysia, Hussain Ahmad Najadi pada Julai lalu.

"Hampir setiap individu bergelar Datuk dan bos syarikat-syarikat awam tersenarai kini mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengawal peribadi bersenjata.

"Ahli perniagaan mempunyai pesaing dan mereka tidak tahu siapa yang akan tersinggung semasa melakukan sesuatu perjanjian.

"Mereka memberitahu saya bahawa selepas mengambil pengawal peribadi bersenajata, mereka boleh melakukan urusan perniagaan tanpa rasa takut," kata pakar keselamatan itu yang enggan namanya didedahkan.

Pengarah Eagle Eye Security, Ram Bahador berkata, insiden tembakan baru-baru ini mengejutkan ramai ahli perniagaan yang sering menggunakan khidmat pengawal peribadi tanpa senjata.

"Kini, lebih ramai klien meminta pengawal peribadi bermotosikal untuk mengiringi kenderaan mereka.
"Ia memberi mereka ketenangan, dilindungi seseorang apabila mereka sedang membaca surat khabar atau minum secawa kopi," kata Ram.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan mengesahkan lebih ramai majikan meminta pengawal peribadi bersenjata beberapa bulan kebelakangan ini.

"Menurut maklum balas kami, syarikat keselamatan melatih lebih 20% lagi pengawal peribadi untuk memenuhi permintaan itu," katanya.

17 buah syarikat keselamatan dan sebuah persatuan keselamatan dengan 617 ahli berdaftar dengan MEF.

Pengarah Eksekutif Eagle Eye Security, Noell Kailas berkata kira-kira 12 klien dari syarikat korporat meminta pengawal peribadi bersenjata untuk syarikat mereka baru-baru ini.

"Pengawal warga Nepal mendapat permintaan tinggi tetapi mereka tidak dibenarkan untuk memiliki senjata di negara ini.

"Kami melatih, warga asing bekas tentera yang bertugas ketika perang tetapi mereka tidak boleh membawa senjata.

"Jadi, kami perlu membekalkan pengawal peribadi tempatan yang setanding dan ia bukannya mudah," katanya.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Korporat) Bukit Aman, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata banyak faktor keselamatan harus dipertimbangkan sebelum kelulusan pengawal peribadi dibenarkan memiliki senjata.

Katanya, permohonan mana-mana pihak untuk mendapatkan lesen senapang yang ditolak boleh mengemukakan rayuan.

Umat Islam Mula Banjiri Madinah

Posted: 08 Sep 2013 03:48 AM PDT

MSTAR ONLINE

MADINAH: Ratusan ribu umat Islam kini mula membanjiri kota Madinah sebagai tempat persinggahan awal sebelum ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji dan umrah musim ini.

Jemaah yang tiba awal itu adalah mereka yang mengerjakan Haji Tamattuk iaitu menunaikan umrah terlebih dahulu dalam musim haji sebelum mengerjakan ibadah haji pada bulan hadapan.

Hari wukuf di Arafah dijadual pada 14 Oktober iaitu hari bermulanya kerja ibadah rukun Islam yang kelima itu.

Tinjauan mendapati Masjid Nabawi, iaitu masjid terletaknya makam Nabi Muhammad SAW telah mula dipenuhi umat Islam dari seluruh pelusuk dunia.

Masjid terbesar di kota suci Madinah itu mampu menampung hampir sejuta jemaah pada satu-satu waktu solat dan setakat ini hampir 2,000 jemaah haji Malaysia adalah antara umat Islam yang tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat dalam masjid berkenaan.

Seorang jemaah Malaysia, Maskiron Maskon, 62, menyifatkan kemampuan beliau untuk menunaikan ibadah haji sebagai mimpi yang menjadi kenyataan.

Bekas pekerja swasta dari Seremban, Negeri Sembilan itu berkata beliau sangat bersyukur kerana hajatnya untuk menunaikan ibadah haji bersama isteri Fatimah Mohamad sejak 20 tahun lepas akhirnya menjadi kenyataan hari ini.

Usahanya mengumpul wang selama bertahun-tahun sejak muda dan ditambah dengan baki simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja membolehkan mereka berdua memijak kaki di tanah suci untuk menunaikan ibadah haji.

"Saya bersyukur dan perjalanan kami pula semuanya menjadi mudah kerana kecekapan Tabung Haji (TH) yang mengurus jemaah dari mula berkursus di Seremban sehinggalah urusan penerbangan, Kastam dan Imigresen di Lapangan Terbang di Madinah...semuanya menjadi mudah," kata beliau.

Kedua-dua zon pusat perkhidmatan haji TH yang menyediakan perkhidmatan kewangan, pusat kesihatan, kaunseling dan bimbingan agama juga telah beroperasi sepenuhnya mulai Sabtu.

Sebanyak 22,320 jemaah haji dari Malaysia menunaikan haji tahun ini dan ia berkurangan sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya ekoran pengurangan kuota oleh kerajaan Arab Saudi sebagai langkah mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku ekoran kerja menaik taraf Masjidil Haram di Makkah.

Sementara itu, golongan peniaga di Madinah juga teruja dengan kehadiran jemaah haji Malaysia dan sering melaungkan kata-kata "Malaysia Bagus, Malaysia Boleh" untuk menarik perhatian jemaah dari tanah air.

Kebanyakan mereka boleh bertutur bahasa Melayu yang mudah dan menawarkan harga dengan menyebut angka dalam bahasa Melayu serta menarik perhatian pelanggan dengan berkata "jualan murah, harga rendah untuk rakyat Malaysia".

Seorang rakyat Afghanistan yang bekerja di sebuah butik pakaian, Abdul Aziz Ismail, 23, berkata: "Bila jemaah Malaysia datang? Berapa ramai?".

Malah lebih menarik ialah beliau telah memasang tanda iklan yang tertulis "Harga runtuh dan harga borong" dan kertas iklan itu juga dilekatkan Jalur Gemilang.

Seorang lagi peniaga Mohamad Sulaiman berkata beliau suka dengan rakyat Malaysia yang disifatkan mempunyai akhlak yang tinggi.

"Ramai pelanggan saya rakyat Malaysia, saya tahu berbahasa Melayu dan saya jual murah-murah untuk rakyat Malaysia," kata beliau.

Setiap kumpulan jemaah haji Malaysia akan berada di kota Madinah selama lapan hari sama ada sebelum bertolak ke Makkah ataupun selepas menunaikan haji mengikut giliran masing-masing yang ditetapkan oleh Tabung Haji. - BERNAMA

Paip pecah: SYABAS aktifkan pelan kecemasan

Posted: 08 Sep 2013 03:44 AM PDT



 
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) di Klang dan Shah Alam pada tengah hari tadi berikutan paip pecah, yang menyebabkan 5,921 pengguna mengalami gangguan bekalan air.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam Syabas Priscilla Alfred berkata SYABAS telah melantik kontraktor untuk mengenal pasti lokasi dan punca kejadian paip pecah.

"Lokasi kejadian masih belum dikenal pasti menyebabkan kerja-kerja pembaikan tidak dapat dilakukan dengan segera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Syabas akan menyalurkan bantuan dari semasa ke semasa termasuk membuka dua Pusat Perkhidmatan Setempat (PKS) di Jeti Pulau Ketam dan Jeti Sungai Lima.

Beliau berkata untuk aduan atau pertanyaan pengguna boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan SYABAS (PUSPEL) menerusi talian bebas tol 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPELaduan / pertanyaan dan hantar kepada 39222.

Pengguna juga boleh membuat aduan di laman Facebook atau Twitter SYABAS dengan menaip 'puspel' atau 'puspel syabas'. - Bernama

Lelaki maut, kaki putus dilanggar keretapi

Posted: 08 Sep 2013 03:41 AM PDT



 
Seorang lelaki dalam lingkungan 40-an maut selepas dilanggar sebuah keretapi ekspres di Guchil 7, Kuala Krai hari ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dalam kejadian pukul 10.50 pagi itu, lelaki tersebut mengalami kecederaan parah di kepala dan badan, sementara pergelangan kaki kirinya putus akibat dirempuh Keretapi Express Senandung Timur yang dalam perjalanan dari Johor Baharu ke Tumpat.

"Siasatan awal mendapati mangsa berjalan di tengah landasan dan tidak beredar walaupun wisel telah dibunyikan oleh pemandu keretapi tersebut.

"Usaha mengesan waris untuk pengecaman mangsa sedang dijalankan dan mayat dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan.- Bernama

Rehda Dibidas Umum Harga Rumah Naik 10 Peratus

Posted: 08 Sep 2013 03:37 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
ALOR SETAR: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini membidas Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda) yang mengumumkan kenaikan harga rumah tanpa berbincang dengan pihaknya.

Sambil menyifatkan kenyataan itu tidak bertanggungjawab, Abdul Rahman berkata alasan Rehda bahawa kenaikan harga rumah berkenaan disebabkan pengurangan subsidi petrol dan diesel sebagai tidak munasabah.

"Kita juga mempunyai formula kita sendiri dan kita rasa pengurangan subsidi minyak sebanyak 20 sen tak boleh diterjemahkan kepada kenaikan sehingga 10 peratus harga rumah.

"Saya juga tahu kos struktur dan sebagainya, kita jangka kalau naik pun maksimum lima peratus. Ini akan membimbangkan rakyat yang dalam keadaan berdepan dengan kos kehidupan tinggi di bandar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti bersama beliau, di sini, Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Rehda Datuk Seri Michael Yam Kong Choy pada Khamis yang dilapor berkata peningkatan harga minyak sebanyak 20 sen dijangka menyumbang kepada peningkatan harga rumah sehingga 10 peratus.

Mengenai makmal perumahan yang diadakan baru-baru ini, Abdul Rahman berkata pihaknya telah mengumpul fakta serta maklumat penting berkaitan isu itu.

"Kami sedang menyediakan laporan untuk diserah kepada Perdana Menteri dan kami ada pertemuan pada Khamis ini khusus bagi membincangkan bagaimana untuk mengurangkan harga rumah ataupun mengawalnya," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau memberitahu kementeriannya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk membina ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kedah di Suka Menanti dekat sini.

Beliau berkata pembinaannya akan bermula tahun depan dengan kos permulaan RM8 juta dan selebihnya akan disalur secara berperingkat.

"Dengan adanya balai baharu ini diharap dapat memberi khidmat terbaik untuk rakyat," katanya. BERNAMA

Hanya 432 Penderma Berdaftar Derma Organ

Posted: 08 Sep 2013 03:36 AM PDT

MSTAR ONLINE

Idris Mohamad, penderma hati kedua di Malaysia, menunjukkan kad penderma organ pada majlis Preview Kapsul Rakan Derma Organ dan Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Sumber Transplan Nasional di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur, Ahad. - FotoBERNAMA
 
KUALA LUMPUR: Hanya 432 penderma organ daripada 235,573 penderma berdaftar menderma untuk transplantasi sejak 1976 hingga Ogos tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesedaran Pendermaan Organ Kebangsaan Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata jumlah itu adalah kecil iaitu 0.83 peratus jika dibandingkan dengan bilangan penduduk negara yang seramai 28.3 juta orang.

"Jumlah itu tidak mencukupi memandangkan bilangan pesakit menunggu adalah seramai 16,987 orang dengan 90 peratus adalah pesakit buah pinggang.

"Bilangan pesakit lain tidak ramai bilangannya kerana ramai antara pesakit jantung, paru-paru dan hati yang meninggal sebelum mendapat penderma yang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Preview Kapsul Rakan Derma Organ di Pusat Sumber Transplan Nasional di sini pada Ahad yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Azmi Shapie dan Ketua Pengurus Klinikal Pusat Sumber Transplan Nasional Hospital Kuala Lumpur, Dr Lela Yasmin Mansor.

Ditanya faktor jumlah penderma yang rendah berbanding jumlah pengikrar penderma berdaftar yang tinggi, Lee menjelaskan ia adalah ekoran faktor tidak mendapat kebenaran daripada waris penderma.

"Cabaran kita adalah walaupun jumlah pengikrar penderma organ tinggi, namun selepas mereka mati atau meninggal dunia, ahli keluarga tidak dimaklumkan mengenai niat penderma itu.

"Maka mereka akan bantah dan tidak bersetuju. Oleh itu, maklumat pengikrar ini perlu dikongsi bersama ahli keluarga supaya mendapat keizinan mereka.

"Perangkaan jumlah penderma dapat ditingkatkan jika ahli keluarga sedar dan faham niat penderma tersebut," katanya.

Kepada syor supaya akujanji penderma dibuat dan disaksikan bersama ahli keluarga supaya meningkatkan perangkaan penderma dan membantu pesakit memerlukan, Dr Azmi berkata perkara itu dijangka akan dipanjangkan kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Subramaniam baru-baru ini berkata kerajaan mahu orang ramai memberikan pandangan berhubung Rang Undang-undang Akta Tisu Manusia 1974, sebelum ia dikemukakan ke Pejabat Peguam Negara.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk menggubal akta berkenaan yang hanya menyentuh aspek pendermaan organ dan tisu dari tubuh orang yang telah meninggal dunia bagi tujuan perubatan, pendidikan dan penyelidikan perubatan.

Dalam pada itu, bagi meningkatkan kesedaran untuk berdaftar menjadi pengikrar penderma organ dan maklumat lanjut mengenai menderma organ, kementerian akan melancarkan laman web www.dermaorgan.gov.my pada 18 September ini.

Ketika ini bagi menarik minat masyarakat tampil sebagai penderma organ dan juga menyokong program ini, kementerian menjalankan promosi dan kempen hebahan bersama-sama pelbagai agensi, badan bukan kerajaan, badan berkanun, selebriti dan ahli sukan. - BERNAMA

3 sekeluarga dapat IC lepas heret ke mahkamah

Posted: 08 Sep 2013 03:32 AM PDT

Oleh Masdar Wahid

PUTRAJAYA : Sebuah keluarga yang dinafi hak sebagai warganegara berjaya memperoleh tuntutan selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memanggil mereka mengisi borang pengesahan kewarganegaraan di Putrajaya, hari ini.

Itupun selepas Letchumy Suppiah yang berusia lebih 70 tahun bersama dua anaknya, Mala Kothandu dan Sarojini Kothandu membawa kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui peguam N Surendran, Eric Paulsen dan Latheefa Koya.

letchumy-warganegara-mahkamah-011

"Hari ini tiga sekeluarga itu dibenar mengisi borang pengesahan kewarganegaraan dan diminta datang sekali lagi pada 9 September untuk mengambil MyKad seperti dijamin Ketua Pengarah JPN.

"Mereka hampir berjaya dapat kewarganegaraan hanya selepas membawa kes ini ke mahkamah.

"Kita juga mendesak JPN segera menyelesaikan lebih 300,000 rakyat Malaysia yang majoriti berketurunan India dan dinafi warganegara," kata Surendran kepada Suara Keadilan.

Pada 10 Disember 2012, tiga beranak itu memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk mendapat taraf kewarganegaraan selepas permohonan mereka ditolak JPN walaupun lahir dan dibesarkan di Malaysia.

Hakim Datuk Zaleha Yusof pada 17 Julai lalu, menangguhkan kes serta mengarahkan JPN menyelesaikannya sebelum 19 Ogos 2013.

Mereka menamakan Ketua Pengarah JPN, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Letchumy lahir di Tanjung Sepat, Selangor pada 23 Mei 1943 dan hanya memperoleh Kad Pemautautin Tetap selepas memohon daftar lewat IC di JPN Klang pada 2011.

Manakala suaminya, Kothandu Perumal yang lahir di Kuala Langat Selangor pada 1940 dan meninggal pada 16 Mac 1990 mempunyai Kad Pengenalan bernombor 400101–10–5841.

Sarojini pula lahir pada 5 Disember 1980 di Tanjung Sepat dan Mala di Hospital Banting pada 6 Jun 1978. Namun sijil lahir mereka dinyatakan 'belum ditentukan'.

Usaha Letchumy memohon kewarganegaraan bersama anaknya pada 30 Julai 2012 ditolak Ketua Pengarah JPN pada 29 September tahun sama dengan alasan 'tidak berhak memohon kewarganegaraan Malaysia di bawah mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan'.

Liow nafi desak Chua letak jawatan

Posted: 08 Sep 2013 03:22 AM PDT


MALAYSIA KINI


 
Timbalan presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menafikan dakwaan bahawa beliau menekan presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk meletak jawatan sebelum pemilihan parti pada Disember lalu.

Liow dalam satu kenyataan hari ini menyebut beliau mengadakan perbincangan dengan Chua dalam pelbagai dan soal gesaan agar Chua meletak jawatan bukan salah satu daripadanya.

Liow berkata beliau terkejut kerana Chua tersalah tafsir penyertaannya dalam perbincangan tersebut.

Beliau juga melihat Chua terbeban dan terganggu dengan perkara itu sejak beberapa bulan lalu.

Sin Chew Daily dalam laporannya semalam menyebut, Chua mendakwa timbalannya sudah tidak sabar untuk menjadi presiden parti itu yang baru.

Beliau mendakwa Timbalan  Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai (kanan) telah berjumpa dengan beliau sebanyak tiga kali selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) untuk memintanya supaya berundur.

Chua mendakwa dalam perjumpaan pertama sejurus selepas PRU13 pada 5 Mei, Liow juga bertanya sama ada beliau boleh mengetepikan resolusi supaya pemimpin parti untuk tidak menyertai kabinet.

Perlembagaan MCA menggariskan bahawa timbalan presiden secara automatik akan dilantik ke jawatan presiden sekiranya presiden berkenaan meletak jawatan.

Balai raya macam kandang kambing

Posted: 07 Sep 2013 04:55 PM PDT

Jurle Sagayong
 
Permohonan untuk membina balai raya baru telah dibuat tetapi malang sehingga ini tiada respon daripada pihak berkuasa. 



KOTA BELUD: Gambar apa ini? Kandang kambing? Oh tidak, ini merupakan balai raya Kampung Tinata, sebuah kampung terpencil di Kadamaian, Kota Belud.

Seorang pemimpin muda masyarakat di kampung itu, Peter Yanggang, dalam kenyataannya hari ini merayu Ahli Parlimen Kota Belud, Dato' Abdul Rahman Dahlan, dan pejabat daerah itu memberi perhatian kepada permohonan mereka untuk membina sebuah dewan atau balai raya baru.

"Balairaya kayu di Kampung Tinata ini dibina pada tahun 1990 ketika Kadamaian masih diwakili Datuk Baggai Basirun (kini mendiang). Ia sudah begitu buruk dan tidak selamat digunakan sejak beberapa tahun lalu.

"Kami sudah memohon balairaya baru tetapi malang sungguh sampai sekarang tiada respon positif dari pihak kerajaan. Kami perlu balairaya untuk kegunaan awam seperti juga kampung-kampung yang lain," kata Peter.

Menurutnya lagi, penduduk kampung tidak faham kenapa mereka diabaikan oleh pemimpin kerajaan sedangkan kerajaan melaung-laungkan pelbagai slogan membela rakyat dan memajukan Kota Belud.

KDN Serah Kepada Polis Dedah Nama Anggota Kongsi Gelap Sertai Politik

Posted: 07 Sep 2013 04:52 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
BAGAN DATOH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada pihak polis untuk mendedahkan nama individu yang mempunyai kaitan dengan kongsi gelap dan dikatakan turut bergiat dalam bidang politik di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis akan mendedahkan nama individu terlibat bila tiba masanya.

"Bila akan didedahkan saya serah pada pihak polis. Tiba masanya polis akan dedahkan dan tindakan undang-undang akan dilakukan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Skuad 1Malaysia Negeri Perak bersama Menteri di sini, Sabtu.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Puan Sri Zuraidah Mohamed dan Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani. - BERNAMA

Gejala Gengsterisme Beri Tamparan Kepada MIC - Subramaniam

Posted: 07 Sep 2013 04:49 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan remaja India untuk terlibat dalam gejala gengsterisme, yang dilihat memberi tamparan kepada parti itu.

Menteri Kesihatan itu berkata, perangkaan 25 peratus remaja India terlibat dalam gejala berkenaan sangat membimbangkan namun MIc sudah mengambil usaha untuk mengekangnya, termasuk membawa perkara itu ke Kabinet.

"Kita dalam proses untuk memberi lebih peluang kepada remaja India dalammendapatkan pekerjaan, kemahiran dan perniagaan... ini akan memberi peluangpositif kepada mereka untuk tidak libatkan diri dalam aktiviti negatif," katanyakepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Bola Sepak Piala Tan Sri S.Subramaniam di Pusat Latihan Polis di sini, Sabtu.

Beliau berkata, MIC juga berhasrat membuka ruang pemulihan untuk remaja India yang terlibat dalam gejala gengsterisme.

"Kita boleh memberi peluang baik kepada mereka... kadang-kadang mereka sesatkerana banyak sebab, latar belakang dan sebagainya," katanya.

Subramaniam turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana melakukan banyak usaha bagi membanteras gejala ini.

Selain itu, beliau menyokong kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bersetuju elaun petrolnya dipotong sebagai menyahut cabaran pembangkang agar kerajaan memulakan langkah berjimat-cermat melalui pemotongan elaun menteri.

"Kalau kerajaan sudah buat keputusan, Barisan Nasionalpun sudah putuskan, saya ikut sahaja," katanya.

Mengulas kenyataan Datuk Seri G. Palanivel yang memintanya memimpin MIC selepas 2016, Subramaniam berkata sebelum itu, beliau akan memainkan peranan yang amat positif sebagai timbalan presiden dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden MIC berkenaan.
"Lagipun, 2016 lama lagi," katanya - BERNAMA

Flashmob ‘sokong’ kenaikan harga minyak tarik perhatian

Posted: 07 Sep 2013 04:44 PM PDT

 
'Tahniah penyokong BN, kerana BN menang, harga minyak naik', terpapar mesej pada satu kain rentang. 



SEREMBAN: Beratus-beratus pengguna jalanraya yang melalui Jalan Seremban–Tampin, ketika menghampiri Ibu Pejabat PKR Negeri Sembilan di Jalan Rahang lewat petang semalam, pada mulanya berasa pelik dengan kain rentang (banner) yang dipegang oleh lebih 10 ahli Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Sembilan.

Ini ialah kerana dikala rakyat mengeluh atas kenaikan harga minyak, badan bukan kerajaan (NGO) ini pula nampak seolah-olah menyokong kenaikan harga minyak.

Namun setelah meneliti sejenak slogan-slogan yang terpapar pada kain rentang tersebut barulah pemandu kenderaan dan pengguna jalanraya yang mula memahami maksud yang tersirat, membunyikan hon kenderaan mereka sebagai tanda sokongan kepada 'flashmob' tersebut.

Slogan-slogan yang terpapar dalam kain rentang tersebut ialah seperti 'Bunyikan hon tanda syukur kepada BN atas kenaikan harga minyak',  'Kami sokong harga minyak naik sebab kami isi kereta dan motor guna air'.

'Terima kasih (kepada Perdana Menteri Datuk Seri) Najib Razak kerana naikkan harga minyak' dan 'Tahniah penyokong BN, kerana BN menang, harga minyak naik'.

Takpoo……BR1M kan adoo 

Sebuah kain rentang dalam loghat Negeri Sembilan turut menarik perhatian pengguna jalanraya.

'Harga minyak naik, takpoo…BR1M kan adoo…duit kami botingkek-tingkek'.

Slogan tersebut bermaksud 'Harga minyak naik, tidak mengapa…BR1M kan ada…duit kami bertingkat-tingkat' (duit banyak menimbun-nimbun).

Penyelaras Bersama SAMM, Norazizi A Aziz berkata SAMM Negeri Sembilan mengambil pendekatan yang berbeza kali ini jika dibandingkan dengan 'flashmob' yang dianjurkan oleh SAMM di negeri-negeri lain.

"Sememangnya kami membantah kenaikan harga minyak ini. Walaubagaimanapun kami membantah dengan memaparkan kain rentang yang menyokong kenaikan ini dalam bentuk 'sinikal'.

"Kalau diikutkan daripada respon pengguna jalanraya, mereka faham mesej kami dan slogan kami. Sebab itu mereka membunyikan hon bila melalui 'flashmob' ini.

"Kami mahu kerajaan mendengar rintihan rakyat di peringkat bawahan yang berpendapatan rendah kerana yang merasai bebanan kenaikan harga minyak ialah rakyat bawahan dan bukannya pemimpin atasan.

"Saya juga menyokong kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bersedia elaun beliau dipotong untuk sama-sama merasai bebanan dan kesulitan yang ditanggung oleh rakyat.

"Pemotongan elaun Menteri Kabinet mampu mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi negara kerana akan berlaku penjimatan perbelanjaan dana kerajaan.

"Bagaimanapun, saya berharap kenyataan beliau tidak bersifat retorik tetapi saya berharap beliau mempunyai kesungguhan untuk membawa cadangan memotong elaun Menteri dan Timbalan Menteri ke mesyuarat Jemaah Menteri Kabinet pada minggu hadapan.

"Dari situ kita boleh melihat apakah beliau benar-benar mahu merasai keperitan rakyat dan mahu menjimatkan perbelanjaan negara," jelas Norazizi.

Ribuan umat tunjuk solidariti kemanusiaan terhadap negara Islam

Posted: 07 Sep 2013 04:38 PM PDT


tundas

SHAH ALAM  : Lebih 1,000 umat Islam mula membanjiri Himpunan Solidariti Kemanusiaan terhadap negara Islam bergolak di Mesir, Syria, Palestin, umat Islam Rohingya dan Bangladesh.

Program di Stadium Melawati di sini,  anjuran 11 badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Ikram, Wadah dan Mapim dengan kerjasama kerajaan Selangor.

Acara dimulai dengan solat Maghrib dengan diimami Ustaz Dr Badrul Amin serta kuliah perdana oleh Ustaz Jel Fathullah Al-Anshori dari Indonesia.

Seterusnya, program diteruskan dengan solat hajat dan Qunut Nazilah serta tayangan video 'Mesir Menangis & Flash Mod 'Air Mata Syria'.

Kemuncak program ialah pidato pemimpin seperti Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Turut menyampaikan pidato ialah Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar, wakil Ikhwanul Muslimin Mesir dan tokoh pimpinan NGO muslim Malaysia.

Pada malam ini juga, Kempen 'Malaysia 4 R4bia' dilancarkan pada akhir himpunan yang dijadual berakhir jam 11.15 malam

Harga minyak naik, Umno-BN akui ekonomi merudum

Posted: 07 Sep 2013 04:36 PM PDT


ron95

SHAH ALAM : Kerajaan Pusat Umno-Barisan Nasional akhirnya terpaksa akui ekonomi negara semakin mundur hinggakan terpaksa menaikkan harga petrol dan diesel dengan alasan untuk menyelamatkan negara.

Ahli Parlimen Batu Tian Chua menyifatkan langkah tersebut sebagai zalim kerana Umno-BN sanggup membebankan rakyat dan enggan menyelamatkan ekonomi melalui tindakan-tindakan menutup kebocoran, mengekang perbelanjaan boros dan membanteras penyelewengan.

"Kita berulang-ulang kali kata negara ini ada masalah, tetapi Umno-BN menafikannya dengan mengatakan duit masih banyak dan ekonomi Malaysia paling baik di dunia.

"Nampaknya Najib sepanjang pentadbirannya tidak berbuat apa-apa untuk selamatkan negara, tetapi menambah beban yang lebih teruk kepada rakyat.

"Beliau harus mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan ini," katanya ketika dihubungi TVSelangor.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kenaikan harga minyak bukan untuk membebankan rakyat, sebaliknya untuk menyelamatkan ekonomi negara.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan pemotongan elaun minyak kepada menteri, timbalan menteri dan pegawai kerajaan dalam usaha mengurangkan defisit negara, Tian berkata, ia adalah gimik politik Umno-BN untuk mengelirukan rakyat.

"Itu satu gimik sahaja, tidak akan dilakukan pemimpin Umno-BN kerana ia tidak membawa faedah untuk selesaikan masalah," katanya.

Anwar : Kerajaan Umno-BN harus pertingkat prasarana sebelum wajib lulus BI

Posted: 07 Sep 2013 04:34 PM PDT


anwar - MB


SHAH ALAM  : Kerajaan Umno-BN digesa mempertingkatkan prasarana pembelajaran Bahasa Inggeris yang mencukupi menjelang 2016 sebelum melaksanakan dasar wajib lulus matapelajaran itu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketiadaan kemudahan pembelajaran yang mencukupi terutamanya di kawasan luar bandar hanya menambahkan beban kepada pelajar dan pengajar.

"Wajib lulus dalam keadaan yang tidak sempurna antaranya dari segi mutu guru, kemudahan belajar dan kemudahan perpustakaan di sekolah-sekolah di desa termasuk di sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil. Dasar itu perlu diteliti terlebih dahulu," jelas Anwar.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan subjek Bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib SPM menjelang 2016 sempena pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

"Ini masalah Menteri dan pimpinan politik yang tidak mempunyai kesinambungan dengan realiti yang berlaku di bawah," tegas Anwar.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Seminar Dunia Kebangkitan Islam di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Turut bersama Anwar adalah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anwar turut mengulangi gesaan ramai pihak yang mahu Kerajaan Pusat agar mengangkat dan melestarikan Bahasa Melayu dengan memastikan pelajar menguasai bahasa rasmi itu dengan baik.

"Penguasaan Bahasa Melayu perlu terus dipertingkatkan mutu penguasaannya. Ini perlu jelas dalam dasar dan pelan induk yang harus diselesaikan," tegas beliau.

Himpunan Hijau 2.0 Oktober depan

Posted: 07 Sep 2013 04:26 PM PDT

BULETIN ONLINE

KUALA TERENGGANU – Aktivis alam sekitar, Cheong Siow Foon yang mewakili NGO Himpunan Hijau berkata, pihaknya merancang mengadakan 'Himpunan Hijau 2.0′ pada bulan Oktober depan bagi meneruskan bantahan terhadap pemerosesan 'nadir bumi' oleh Lynas Corporation.

Menurutnya, kempen NGO tersebut pada kali ini bertema 'Kuburkan Lynas dengan sejuta tandatangan'.

Cheong

Sehubungan itu, beliau dan rakan-rakan aktivis seluruh negara sedang berusaha keras mendapat satu juta tandatangan sebagai tanda solidariti membantah kewujudan kilang Lynas di Kuantan Pahang.

Beliiau yang turut hadir sepanjang Majlis Rumah Terbuka PAS Terengganu semalam berjaya mengumpul hampir 500 tandatangan dari para pengunjung.

Katanya, tandatangani melalui kempen bertema 'Kuburkan Lynas dengan sejuta tandatangan' akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Parlimen Malaysia, kedutaan Jepun dan Australia serta institusi yang ada kaitan niaga dengan Lynas.

"Kami sasarkan pada majlis (rumah terbuka) ini sebanyak 500 tandatangan untuk dikumpulkan. Ini (kempen) untuk membuktikan kami serius dan tidak setuju dengan kehadiran Lynas di Kuantan dan amnya di Malaysia,"ujarnya ketika ditemui.

Menurutnya, jika tidak mendapat apa-apa 'respon' dari kerajaan Barisan Nasional (BN), Himpunan Hijau 2.0 secara besar-besaran pada bulan Oktober sebagai tanda bantahan.

Beliau menyifatkan kesudian orang ramai termasuk isteri Presiden PAS, Pesuruhjaya PAS Terengganu serta wakil-wakil rakyat PAS menurunkan tandatangannya cukup bermakna bagi rakyat.

Katanya, kempen tandatangan tersebut dilancarkan pada 1 Ogos lalu dengan sasaran 1 juta orang melalui 10,000 sukarelawan di seluruh Negara.

Pada November 2012 tahun lalu, Himpunan Hijau mengadakan perarakan besar-besaran di Dataran Merdeka selepas berjalan kaki sejauh 300 kilometer selama 13 hari bermula di Kuantan.

Kumpulan itu juga mendapat sokongan empat Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain iaitu Jawatankuasa Membantah Sianida Raub, (Ban Cyanide Committee), gabungan NGO Pengerang, dan NGO, anti-empangan Murum.

Selepas naikkan harga minyak, kerajaan benar ‘naikkan’ tambang

Posted: 07 Sep 2013 04:24 PM PDT

BULETIN ONLINE

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengumumkan, kerajaan benarkan pengusaha bas ekspres mengenakan tambahan tambahan sebanyak 10% kepada penumpang sehingga kadar tambang baru dimuktamadkan, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Yang lucunya, kenyataan itu menyebut, tidak akan ada 'kenaikan tambang' bagi perkhidmatan bas ekspres pada masa ini, tetapi pengendali bas ekspres dibenarkan untuk meneruskan bayaran tambahan kepada penumpang sebanyak 10% sebagaimana diperkenalkan pada Hari Raya.

Kebenaran SPAD mengenakan tambahan tambah 10% untuk sambutan hari raya eidul fitri dijadualkan berakhir Ahad ini 8 September.

Menurut kenyataan itu lagi, keputusan tidak menaikkan tambang itu diambil walaupun harga petrol dan diesel telah meningkat sebanyak 20 sen seliter pada Selasa.

Menurut SPAD, keputusan itu diambil selepas meneliti kos operasi seperti bahan api, upah dan kos penyelenggaraan yang akan meningkat disebabkan oleh kenaikan harga bahan api.

SPAD kini dalam peringkat akhir mengkaji kadar tambang bas ekspres, dan akan memastikan tambang baru itu tidak akan membebankan rakyat dan pengendali.

Tiada ulasan: