DIALOG RAKYAT |
- Naik minyak: Kerajaan ulangi janji tidak tertunai 7 tahun lalu
- Tanda Putera Gagal, Hanya Layak Ditayang Di Pawagam Kecil
- Negara tetap rugi walaupun subsidi bahan api dikurang
- Kerajaan gagal bendung penyeludupan diesel, haram kenderaan asing beli petrol RON95
- Plakad '20 sen jer, BR1M kan ado' hiasi flashmob
- RM80b wang Petronas gagal tampung subsidi RON95
- Minyak : Najib ulangi sejarah kejatuhan Pak Lah
- SAMM: Boros punca minyak naik harga
- Tuduhan bodoh: Rafizi cabar Nazri debat
- SPRM diseru siasat rasuah pembelian undi di P.Pinang
- Ops Cantas: Polis tahan 262 suspek
- Mengekalkan Najib sebagai PM umpama menambah dosa
- Banduan guna helah buang air kecil sebelum lesap
- Polis tahan dua suspek anggota Geng 08
- Rafizi sedia belajar dengan Nazri melalui debat
- Wang untuk makan dan minyak tak apa, kata Lokman
- Populariti Tanda Putera: Shuhaimi akui ‘gagal’ tarik penonton
- Minyak RON 92 (Minyak Petrol 1 Malaysia VS RON 95 Mahal)? Pilihan Terbaru Rakyat Malaysia?
- Persempadanan Semula: Pakatan Rakyat Akan Lawan Habis-habisan
- Naik 20 sen; Dua Stesyen Henti Jual RON 95 sejak jam 7 petang
- ‘Flashmob’ Pemuda Kuala Nerus; Bantahan ‘diam’ rakyat bawahan
- Dialog Untuk Negara: Cadangan Yang Baik Tetapi Sukar Menjadi Kenyataan
- Tindakan tegas menanti pembajak bot
- Persatuan teksi cadang naik tambang
- 'Menteri, tolong jangan tipu rakyat'
Naik minyak: Kerajaan ulangi janji tidak tertunai 7 tahun lalu Posted: 04 Sep 2013 05:43 AM PDT Tujuh tahun lalu, iaitu pada tahun 2006, ketika menaikkan harga minyak, kerajaan pernah membuat janji yang sama dengan apa yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan hari ini. Ketika itu, kerajaan berjanji akan menggunakan penjimatan RM4.3 bilion dari kenaikan harga minyak untuk meningkatkan taraf pengangkutan awam di negara ini. Namun, ia tidak pernah dilaksanakan. Pengangkutan awam di negara ini tetap pada kadar yang sama di mana rakyat tidak boleh bergantung kepadanya. Jalan raya di Malaysia penuh dengan kenderaan persendirian dan kesesakan berlaku di mana-mana kerana jalan raya penuh dengan kenderaan. Hari ini, Putrajaya berjanji akan menggunakan sebahagian hasil daripada potongan subsidi minyak sebagai ganjaran kepada penduduk luar bandar yang membantu mengekalkan kuasa Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu, melalui pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), kata Datuk Ahmad Maslan. Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan juga sedang melihat cara membangunkan kawasan berkenaan. "Lebihan itu akan diagihkan ke banyak kawasan. Kerajaan akan memfokuskan kepada pembangunan kawasan pedalaman," katanya di Kuala Lumpur hari ini. Datuk Seri Najib Razak Isnin lalu mengumumkan kerajaan akan menjimatkan sejumlah RM3.3 bilion setahun selepas menurangkan subsidi minyak. Perdana menteri membuat keputusan untuk menaikkan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter, sebagai langkah bagi mengurangkan defisit fiskal. Pada tahun 2006, kerajaan naikkan harga minyak 30 sen. Hasilnya, kerajaan dapat RM4.3 bilion darinya. Apabila ditekan rakyat, kerajaan berjanji ia akan digunakan untuk pengangkutan awam. Dalam Debat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Ahmad Shabery Cheek bertajuk "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" pada 15 Julai 2008 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Shabery ditanyakan soalan itu. Mengikut jawapan di Parlimen sebelum itu, kerajaan baru belanjakan RM834.75 juta untuk prasarana pengangkutan sejak dari tarikh itu. "Kenapa perkara ini berlaku? Dengan kenaikan kali ini pula, kerajaan boleh jimatkan RM13 bilion. Jika RM4.3 bilion kerajaan terkial-kial membelanjakannya, apa jaminan kerajaan dalam membelanjakan wang dari penjimatan RM13 bilion ini?" tanya penulis selaku wakil Anwar, dalam debat itu kepada Shabery. Soalan itu dibuat berdasarkan perbandingan yang dibuat dari janji kerajaan ketika menaikkan harga minyak pada tahun 2006 lalu. Penjimatan sebanyak RM4.3 bilion itu katanya untuk mempertingkatkan prestasi pengangkutan awam di negara ini. Namun, ketika itu Shabery tidak langsung menjawab soalan itu. Beliau mengambil sikap menyerang pihak yang bertanya soalan dengan kononnya wartawan itu tidak mengikuti isu semasa dengan baik. | ||||
Tanda Putera Gagal, Hanya Layak Ditayang Di Pawagam Kecil Posted: 04 Sep 2013 05:35 AM PDT KELAB GREENBOC Filem kontroversi Tanda Putera gagal mencapai sasaran pecah panggung pada minggu pertama tayangannya menyebabkan ia terpaksa dipindahkan ke pawagam lebih kecil. Filem memaparkan babak yang boleh dipersoalkan berhubung rusuhan kaum 13 Mei itu mula ditayangkan Khamis lalu, tetapi hanya berjaya mengutip RM500,000 daripada penjualan tiket di 70 pawagam seluruh negara dari hari bermula tayangan hingga Isnin. "Ini sangat memalukan dan menyedihkan," kata Pengerusi Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Mustapha Maarof dan memberitahu kos produksi filem itu berjumlah RM4.8 juta. Skim Wajib Tayang mewajibkan filem tempatan diberi hak tayangan di pawagam di Malaysia. Mustapha memberitahu The Malaysian Insider, kutipan box office Tanda Putera sangat menyedihkan jika dibandingkan dengan filem KL Zombie yang mendapat kutipan RM3 juta bagi tempoh sama. "Tanda Putera sebuah filem yang bagus namun selera penonton berbeza-beza. Disebabkan kurang sambutan yang diterima, filem berkenaan harus ditayangkan di panggung yang lebih kecil. "Kontroversi yang melanda filem itu bukan penyebab ia kurang sambutan, tetapi genre filem berkenaan yang tidak menepati selera penonton masa kini," katanya. Ketika ditanya mengenai kerugian yang dialami kerajaan berhubung tiada sambutan terhadap tayangan filem berkenaan, Mustapha berkata, filem sejarah tidak perlu dikira untung ruginya kerana setiap negara perlu ada identiti tersendiri. Beliau berkata, Datin Paduka Shuhaimi Baba mengarahkan filem berkenaan dengan amat baik sekali tetapi mungkin Shuhaimi sendiri tidak mengalami peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, maka elemen fiksyen lebih ditekankan dalam filem itu. Katanya, dalam Skim Wajib Tayang, filem tempatan hanya diberi keistimewaan untuk mendapat hak tayangan di panggung perdana untuk empat hari sahaja. "Prestasi filem itu akan dinilai pada hari keempat iaitu pada hari Ahad selepas mengambil kira pandangan penerbit, pawagam dan pengedar filem terbabit. "Pawagam juga pastinya tidak mahu menanggung kerugian dengan menawarkan panggung yang lebih besar tetapi tiada penonton. Selepas dua minggu juga, pihak pawagam boleh menarik keluar sesuatu filem, jika sambutan kurang memberangsangkan. "Kami sedaya-upaya memastikan filem tempatan dihargai kerana kerenah pengusaha pawagam tempatan hanya mahu menayangkan filem luar negara. "Antara sebab pawagam menolak filem tempatan ialah kerana mutu filemnya yang rendah. Justeru, menjadi tanggungjawab FINAS membantu pengeluar filem tempatan mendapatkan tarikh yang sesuai untuk ditayangkan serta disiarkan empat kali sehari," katanya. Walaupun filem itu disambut dingin oleh orang ramai, sesetengah pemimpin kerajaan mengatakan filem itu adalah filem yang baik dan harus dikaji oleh universiti tempatan. Dalam kenyataannya semalam, Shuhaimi mengatakan sambutan dingin terhadap filemnya kerana ia mula ditayangkan pada pertengahan minggu pada hari bekerja. "Ini perkara biasa, walaupun untuk filem blockbuster Hollywood. Apa motif di sebalik laporan media negatif terhadap Tanda Putera," katanya. Shuhaimi berkata, di sebalik hentaman dan sindiran, termasuk daripada pemimpin politik yang didakwanya cuba memperlekeh dan menimbulkan kebencian kepada filem itu, beliau bersyukur kutipan masih baik. "Kepada pembenci filem ini yang melabelkannya filem Umno, mana mungkin pawagam tidak dipenuhi ahli Umno seramai 3 juta orang itu pada 4 hari pertama filem ini ditayangkan. "Sudah tentu pecah panggung dan mencatat pungutan box office berjuta-juta ringgit!" katanya. Filem sejarah Shuhaimi sebelum ini "1957: Hati Malaya" juga menempa kegagalan selepas kutipan jualan tiket filem berkenaan hanya mencatatkan RM760,000 berbanding kos penerbitannya mencecah RM3.6 juta. Filem terbitan Pesona Pictures Sdn Bhd itu meskipun ditayangkan di 38 pawagam di seluruh negara, tetapi hanya mampu bertahan kira-kira tiga minggu saja. | ||||
Negara tetap rugi walaupun subsidi bahan api dikurang Posted: 04 Sep 2013 04:09 AM PDT RAUB: Kekalutan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pengurangan subsidi harga bahan api RON95 dan diesel dan kononnya akan diimbangkan dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak bermakna akan mengurangkan defisit negara. Ini kerana, jika kerajaan memberi bantuan itu RM1,500 seperti janji mereka kepada tiga juta penerima, ia bermakna kerajaan terpaksa mengeluar sebanyak RM4.5 bilion. Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Arif Sabri Abdul Aziz mempertikai langkah sumbang kerajaan mengumumkan pengurangan subsidi kerajaan terhadap bahan api yang membebankan rakyat. "Apa yang akan berlaku ialah kerajaan akan rugi berbanding melakukan penjimatan jika BR1M diberi untuk pusingan akan datang. Kita juga tidak pasti adakah kerajaan benar-benar tahu apa sebenarnya yang mereka lakukan," kata beliau ketika dihubungi. Mengulas lanjut, Mohd Arif berkata, walaupun bantuan BR1M sebanyak RM1,500 yang dikeluarkan mungkin akan membantu meringankan sedikit beban rakyat menanggung kenaikan kos bahan api, bagaimana pula dengan mereka yang tidak menerimanya. "Ini memang tidak adil. Kita sendiri tahu kenaikan harga minyak akan menyebabkan barang keperluan lain turut meningkat walaupun kerajaan arah peniaga tidak menaikkan harga. Rasional Najib memberi BR1M konon mahu imbangkan kenaikan harga minyak adalah terlalu dangkal. Kita tidak boleh terima," jelasnya. Kenaikan harga bahan api RON95 adalah kenaikan kali ketiga sejak Najib menjadi Perdana Menteri dan merupakan kenaikan terbesar berbanding kenaikan sebelum ini iaitu sebanyak lima sen pada Julai dan Disember 2010 manakala bagi diesel pula, ia merupakan kenaikan kali keempat. Ramai pihak berpandangan pengurangan subsidi bahan api menyebabkan rakyat terpaksa menanggung beban kerana kegagalan kerajaan menguruskan perbelanjaan negara dengan berhemah.-Roketkini.com | ||||
Kerajaan gagal bendung penyeludupan diesel, haram kenderaan asing beli petrol RON95 Posted: 04 Sep 2013 04:06 AM PDT Roketkini.comKULAI,R: Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dianggap lemah kerana gagal membanteras aktiviti penyeludupan diesel dan menghalang kenderaan asing membeli petrol RON95 sehingga menyusahkan rakyat. Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata, berdasarkan arahan bertulis yang dikeluarkan kerajaan pada 16 Julai 2010 yang mengarahkan semua stesen minyak di Malaysia tidak menjual petrol RON95 kepada mana-mana kenderaan asing yang berdaftar. Katanya, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mengumumkan akan menarik balik permit jika pemilik stesen minyak menjual petrol RON95 kepada kenderaan asing berkuatkuasa bermula 1 Ogos 2010. "Bagaimanapun, mengikut jawapan bertulis yang saya terima pada sidang Parlimen, dua tahun selepas pelaksanaan dasar yang dinyatakan itu hanya enam stesen minyak yang diambil tindakan sehingga pertengahan 2012. "Daripada jumlah itu, empat daripada stesen minyak adalah di Johor, dan dua masing-masing di Kelantan dan Kedah. "Ini jelas membuktikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan gagal menguatkuasakan larangan itu. Kita dapat lihat di seluruh negara terutama di Johor, kenderaan asing masih bebas membeli petrol RON95 tanpa sebarang masalah dan tidak ada tindakan diambil," katanya dalam kenyataan, hari ini. Nie Ching yang juga Ahli Parlimen DAP Kulai turut menyelar ketidakcekapan kerajaan yang menaikkan harga petrol RON95 secara melulu tanpa menambahbaik sistem pengangkutan awam. "Selepas sambutan Hari Kemerdekaan ke-56, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuatkuasa 3 September lalu. "Langkah menaikkan harga petrol RON95 dan diesel tanpa menambah baik sistem pengangkutan awam menjadikan rakyat 'kambing hitam' hasil daripada ketidakcekapan mereka. | ||||
Plakad '20 sen jer, BR1M kan ado' hiasi flashmob Posted: 04 Sep 2013 04:01 AM PDT
KUALA LUMPUR: Lebih 20 orang anak muda semalam berbaris di persimpangan empat Sentul berdekatan dengan stesen minyak, mengadangan flashmob ekoran kenaikan harga minyak yang diumum kerajaan kelmarin. Flashmob anjuran Dewan Pemuda PAS Batu itu mendapat sambutan memberangsangkan walaupun berlangsung dalam suasana hujan lebat. Pada Flashmob itu, mereka membawa beberapa placard dan kain rentang antaranya tertulis "Najib Botakkan Rakyat", "Janji Dicapati", "1Malaysia Minyak Naik", dan "20 sen jer, BR1M kan ado". Ianya sebagai mesej langsung dan sinis memprotes terhadap tindakan kerajaan yang mengumumkan secara mengejut kenaikan harga minyak dalam suasana rakyat sudah sedia terbeban dengan kenaikan barangan keperluan lain. Menyahut dan menyokong mesej yang dibawa oleh flasmob itu, pengguna jalan raya membunyikan hon dan ada yang lantang bersuara meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kenaikan harga minyak. Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, pemuda akan terus menyatakan bantahan berhubung perkara itu dari semasa ke semasa. "Kita akan bersama-sama Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam beberapa siri program bantahan kenaikan harga barangan ini," katanya. | ||||
RM80b wang Petronas gagal tampung subsidi RON95 Posted: 04 Sep 2013 03:59 AM PDT
KUALA LUMPUR: Kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter yang berkuat kuasa tengah malam, 3 September lalu menimbulkan tanda tanya berhubung keberkesanan dasar fiskal dan tabiat berbelanja kerajaan. Tidak seperti negara-negara jiran (kecuali Indonesia) yang bukan negara pengeluar minyak, kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa sebenarnya memberikan impak positif kepada Malaysia memandangkan industri petroleum menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara. Sebagai contoh pada 2012, syarikat minyak negara, Petronas menyumbang RM80 bilion (RM80,000 juta) kepada kerajaan persekutuan dan negeri. Jumlah ini merangkumi RM28 bilion (RM28,000 juta) pembayaran dividen, cukai (RM38.3 bilion), hasil kutipan petroleum atau 'petroleum proceeds' (RM12.5 bilion) dan duti eksport (RM1.2 bilion). Laporan Tahunan Petronas 2012 juga menyebut, sejak penubuhannya, Petronas telah menyumbang sejumlah RM733 bilion kepada kerajaan persekutuan dan negeri. Ia juga mencatat pelepasan pendapatan (foregone revenue) berjumlah RM182.8 bilion sejak penyelarasan harga gas (regulated gas prices) dikuatkuasakan kerajaan mulai Mei 1997. Sebagai contoh, pelepasan pendapatan Petronas membabitkan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang membekalkan tenaga elektrik kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) adalah berjumlah RM9.5 bilion pada 2012 ataupun 71.9 bilion sejak 1997. Hasil Petronas bagi tahun kewangan 2012 meningkat kepada RM291 bilion berbanding RM288.5 bilion (2011), RM210.8 bilion (2010) dan RM264.2 bilion (2009). Keuntungan sebelum cukai Petronas bagaimanapun menurun kepada RM119.9 bilion bagi tahun kewangan 2012 berbanding RM103.8 bilion (2011). Bagi merasionalkan kenaikan harga RON95 dan gas, Perdana Menteri berkata, kerajaan pimpinannya menjimatkan RM1.1 bilion pada tahun ini dan RM3.3 bilion wang negara pada tahun hadapan. | ||||
Minyak : Najib ulangi sejarah kejatuhan Pak Lah Posted: 04 Sep 2013 03:47 AM PDT SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di lihat sedang menyusuri kejatuhan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tidak peka dengan penderitaan rakyat berikutan kenaikan harga minyak semalam. SAMM Kelantan berharap pakatan rakyat menggunakan sepenuhnya kesempatan bagi memastikan penderitaan rakyat dibawah rejim BN untuk menghidupkan kesedaran rakyat secara bersepadu. Ikuti kenyatan penuh tersebut. Minyak dan Minyak Naik Antara sebab utama kejatuhan kerajaan Pak Lah ialah menaikkan harga minyak. Pak Lah dilihat lemah bila beliau yang sering digambarkan selalu tidur tidak dapat berbuat sesuatu dalam membendung kenaikan harga minyak ini. Rakyat bangkit dan membenamkannya dengan menafikan majoriti 2/3. Sejarah ini haruslah menjadi ikhtibar yang berguna kepada Najib atau Najib memang mahu ke lubang yang sama dengan Pak Lah. Dari segi politiknya Muhyiddin sudah boleh mula membayangkan memakai baju melayu hitam untuk mengangkat sumpah sebagai PM yang baru. Namun Muhyiddin perlu lebih efisien mengorak langkahnya agar tidak tersunggkur sebelum Najib benar benar rebah. Mahathir berjaya mengekalkan kerajaannya kerana hampir keseluruhan zamannya minyak hanya naik pada kadar yang sangat minimun. Zaman emas inilah di mana Anwar sebagai menteri kewangan. Mereka berdua sama sama menegakkan yang kebaikan ekonomi waktu itu angkara masing masing. Takpa lah sapa yang bertanggungjawab asalkan rakyat yang memperolehi keuntungan. Bagi pihak pakatan rakyat pula, inilah waktunya. Anwar yang pada waktu ini sudah agak sejuk perlu memasang kembali enjin PM nya. INILAH masa yang agak sesuai untuk menghentam kerajaan Najib dan menyediakan laluan kepada pemimpin pelapis selepasnya. Anwar sudah tidak releven untuk jawatan PM lagi jika PRU berlaku dalam tempoh empat tahun lagi. Oleh itu Anwar perlu berjiwa besar menyediakan tapak ke arah itu. Pas sendiri perlu sedikit kuasa untuk menguasai pakatan. Kuasa itu mungkin hanya akan bangkit selepas muktamar ini. Ngo dan aktivis juga boleh memulakan sesuatu. Mungkin BERSIH ialah antara wadah yang paling berjaya setakat ini dalam menghimpunkan manusia. Namun dalam masa yang dekat ini satu Ngo yang berkaitan kenaikan harga minyak dan barangan perlu di lahirkan dan digagahkan. Isu kenaikam ini agak menyentuh kesemua pihak. Ianya baru bermula semalam. Kenaikan harga minyak ini mengundang kepada kenaikan barangan, tiket atau tambang dan serba perkara lagi. Kenaikan yang tidak seimbang dengan kenaikan gaji ini bisa menjadikan rakyat lebih payah dan sakit. Hanya manusia yang payah dan sakit mampu melawan. Ayuh mulakan langkah masing masing ! Perlawanan baru bermula Haji Joe Osama Penyelaras SAMM Kelantan | ||||
SAMM: Boros punca minyak naik harga Posted: 04 Sep 2013 03:45 AM PDT SHAH ALAM: Sikap pengurusan yang pincang selain boros dan amalan rasuah yang berleluasa dalam kerajaan menjadikan perbendaharaan negara dalam keadaan kronik hingga memaksa kerajaan memerah keringat rakyat. Kenaikan harga Ron95 adalah antara tindakan awal yang dilakukan oleh BN yang selepas ini akan menyusul pelbagai lagi kenaikan lain akan memberi bebanan kepada rakyat. SAMM BERKATA, Ini juga merupakan wajah sebenar BN dan kemenangan BN dalam PRU 13 kini sedang diterjemah kepada rakyat. Ikuti kenyataan penuh tersebut. Harga Petrol dan Diesel Naik Selepas PRU13 Sudah Dijangka Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini menyelar tindakan kerajaan yang menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen ketika rakyat mencari nafas setelah berbelanja di perayaan Aidilfitri. SAMM menyifatkan kenaikkan ini adalah rentetan bahana terhadap rakyat setelah ditipu pada pilihanraya umum yang lalu. Kenaikkan harga petrol dan diesel ini juga adalah angkara sikap kerajaan yang terlalu boros untuk meneruskan survival ketika dalam usaha mengekalkan pemerintahan. Lihatlah bagaimana mereka membeli undi, melaburkan wang untuk tipu helah tertentu hingga menang dan turut digelar kerajaan 'undi pos'. Tawaran harga petrol lebih murah oleh Pakatan Rakyat pada pilihanraya lalu sebenarnya telah mempengaruhi orang ramai untuk melihat Barisan Nasional tumbang, menjangkakan penurunan 50sen sejurus selepas diumumkan Pakatan Rakyat menang. Namun malangnya penipuan pilihanraya telah menafikan hak rakyat untuk menikmati harga petrol lebih murah, malah hari ini dinaikkan pula sebanyak 20 sen oleh kerajaan '47 peratus'. Musibah ini telah dijangkakan berlaku sekiranya Barisan Nasional menang PRU. Lihatlah bagaimana Paklah menaikkan harga minyak kira-kira 3 bulan selepas Pilihanraya Umum 2008 walaupun telah berjanji harga petrol tidak naik dalam tahun yang sama, kini penipuan seperti ini diulang semula oleh Najib Razak walaupun Najib sendiri menengaskan harga petrol tidak akan naik selepas PRU. Alasan kenaikkan harga minyak global dan alasan harga minyak negara murah berbanding negara lain adalah tidak relevan sama sekali. Ini kerana sebagai negara pengeksport minyak, sebarang kenaikkan harga minyak dunia harusnya memberi kelebihan kepada negara pengeluar. Membandingkan harga minyak kepada negara serata asean adalah tidak memadai, harus dibanding dengan negara pengeluar minyak dan lihatlah bagaimana harga petrol di Malaysia jauh lebih tinggi. Kenaikkan harga petrol akan menyebabkan rakyat terkesan dan sedikit tertekan, tetapi apabila kenaikkan harga petrol diiringi kenaikkan harga diesal adalah satu kecelakaan kepada setiap rakyat dalam negara ini. Pastinya semua harga barang keperluan akan meningkat dan perbelanjaan bulanan rakyat juga akan melambung. Rakyat yang terbeban dihimpit kesempitan hidup, akan terus 'mengemis' sesuap bantuan kerajaan. Kononnya pengurangan subsidi demi rasionalisasi? Apakah mengekalkan subsidi 19 bilion untuk kroni pengusaha IPP setiap tahun itu cukup rasional? Nasib puluhan juta rakyat tidak dipeduli tetapi beberapa kerat konglomerat kaya raya dijaga rapi. Apakah segala kenaikkan ini tidak cukup untuk bangkitkan kemarahan rakyat? Jika di Brazil, hanya kerana tambang bas naik 10% memperlihatkan penentangan jutaan rakyatnya. Kita di Malaysia harus tunjuk kekuatan rakyat atau terus ditindas. Sedarlah bahawa Barisan Nasional mempunyai 5 tahun lagi untuk merodok rakyat sebelum PRU14 menjelma. Justeru, untuk setiap rakyat yang ingin meluahkan kemarahan masing-masing, SAMM dan rakan sekutu menyediakan pentasnya. Bermula petang ini, satu aksi flashmob akan berlangsung di Dataran Merdeka diketuai oleh APBM, Geng Kotak dan SAMM Wilayah bersama kumpulan aktivis mahasiswa dan anak muda. Ayuh semua kita tunjukkan kuasa rakyat, biarkan flashmob petang ini menjadi 'domino' kebangkitan rakyat. Amaran SAMM buat kerajaan, jika berdegil untuk tidak menurunkan semula harga petrol dan diesel, satu demonstrasi besar akan dikerahkan pada Oktober nanti. Kuasa rakyat jangan dipandang enteng, rakyat bersatu tidak akan dikalahkan! EDY NOOR REDUAN Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) | ||||
Tuduhan bodoh: Rafizi cabar Nazri debat Posted: 04 Sep 2013 03:36 AM PDT PETALING JAYA: Kenyataan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa saranan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli adalah bodoh berhubung isu kenaikan harga minyak dijawab oleh Ahli Parlimen Pandan tersebut hari ini. Ikuti kenyataan penuh Rafizi hari ini. TUDUHAN BODOH OLEH NAZRI AZIZ: SAYA SEDIA BELAJAR DARINYA MELALUI DEBAT ATAU FORUM Saya tidak mengambil hati dengan kata-kata kasar yang dikeluarkan oleh Dato' Seri Nazri Aziz yang mengatakan bahawa saya seorang budak yang bodoh seperti yang dilaporkan oleh laman-laman media. Cadangan yang saya ajukan adalah ikhlas dan selari juga dengan kenyataan yang dibuat oleh rakan cabinet Dato' Seri Nazri Aziz iaitu Saudara Khairy Jamaluddin, yang mengaku kononnya kementerian di bawahnya sedang menjalankan program penjimatan untuk mengurangkan belanja. Salah satu cara termudah untuk menjimatkan perbelanjaan dana awam ialah dengan membatalkan keistimewaan belanja petrol yang ditanggung oleh rakyat yang kini dinikmati oleh menteri, timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan mereka. Ini akan mengajar mereka supaya lebih berhati-hati dalam merancang perjalanan dan program mereka. Persoalan bahawa langkah ini perlu dilaksanakan dahulu di negeri-negeri Pakatan Rakyat tidaklah relevan kerana rakyat membayar cukai kepada Kerajaan Persekutuan, bukannya kerajaan negeri. Pun begitu, saya akan menulis secara rasmi kepada Menteri-menteri Besar Pakatan Rakyat agar mengemukakan langkah-langkah untuk mengurangkan belanja petrol yang ditanggung oleh rakyat dalam mereka menjalankan tugas mereka. Mengambil kira kenyataan yang dibuat oleh Dato' Seri Nazri Aziz semalam, saya sudi untuk berdebat atau bersemuka dengan beliau di dalam satu forum untuk belajar dari beliau apakah sebab-sebab kenapa Barisan Nasional bertindak membebankan rakyat dengan menaikkan harga minyak. Saya pasti beliau boleh mempamerkan kepintaran beliau kelak dengan tampil bersemuka dengan saya dan biarlah rakyat menghakimi betapa pintarnya beliau. RAFIZI RAMLI Pengarah Strategi 4 SEPTEMBER 2013 | ||||
SPRM diseru siasat rasuah pembelian undi di P.Pinang Posted: 04 Sep 2013 03:33 AM PDT PULAU PINANG: SPRM Pulau Pinang disaran untuk membuka kembali kes pembelian undi yang berlaku di negeri tersebut ketika menjelang PRU 13 lalu. Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dalam kenyataan media yang di keluarkan hari ini berkata kegiatan membeli undi yang melibatkan ribuan rakyat tersebut akan memberikan imej buruk kepada SPRM sekiranya tindakan tidak di ambil segera. Ikuti kenyataan media Sim yang di keluarkan hari ini Mengikut laporan akhbar pada 3hb September, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang telah berjaya mencapai KPI pada tahun ini dengan penangkapan hampir 30 suspek rasuah. Setakat ini, SPRM Pulau Pinang telah berjaya menangkap 28 suspek rasuah. Mereka agak gembira atas prestasi mereka, saya juga tumpang kegembiraan. Akan tetapi saya ingin mencadang kepada SPRM Pulau Pinang, sekaligus menjadikan SPRM Pulau Pinang antara yang terbaik di negara ini. Berikut ialah adalah cadangan saya kepada SPRM Pulau Pinang. Sebanyak 7 laporan SPRM telah dilakukan oleh pemimpin PKR pada 13hb Mei 2013 yang lalu mengenai kejadian kemungkinan pembelian undi oleh Kelab Kebajikan 1Malaysia di Pulau Pinang semasa pilihanraya umum yang lepas. Semasa kempen PRU13, puluhan ribu pengundi di Pulau Pinang telah dihidangkan dengan jamuan makan, minum dan persembahan hiburan yang percuma. Pengundi di Pulau Pinang juga diberi baucar "bonus bertuah", dimana pengundi dijanjikan akan menerima ganjaran berupa wang ringgit jikalau calon Bariasan Nasional (BN) menang. Kebetulan juga, seminggu selepas PRU, pengundi di kawasan calon BN yang menang telah mendapat ganjaran wang ringgit di beberapa tempat yang tertentu. Pengundi Pulau Pinang dapat nampak, merasai, dan mendapat (ganjaran bonus) hasil daripada aktivit ini. Aktiviti ini adalah terancang, dilaksana secara besar-besaran, dan melibatkan berjuta-juta wang ringgit dan ratusan petugas. Jika SPRM Pulau Pinang mengambil sikap serius bagi meneruskan siasatan terhadap kes ini, mereka mungkin dapat mengenalpasti ratusan suspek yang terlibat dalam aktiviti membeli undi. Ini akan membantu SPRM Pulau Pinang mencapai tahap cemerlang dalam KPI mereka. Malangnya, Ketua SPRM Pulau Pinang Tuan Samarajoo telah menutup kes itu pada 9hb Julai 2013, dengan memaklumm kepada awam bahawa SPRM mendapati tiada unsur jenayah dan kekurangan bukti dalam kes ini. Dalam kempen PRU, Pakatan Rakyat telah memberi prihatin yang utama terhadap pencegahan rasuah, dan majoriti 51% pengundi di Malaysia telah bersetuju dengan agenda yang dibawa oleh PR. Pada bulan Julai 2013, Transparency International Malaysia (TI-M) Global Corruption Barometer (GCB) melaporkan bahawa hanya 31% rakyat Malaysia yakin dengan prestasi kerajaan pusat membanteras rasuah, dan ia adalah paling rendah dalam sejarah. Hakikatnya pengundi Pulau Pinang agak kecewa terhadap SPRM kerana tidak mendakwa orang-orang yang terlibat dalam aktiviti "bonus bertuah" . Saya telah membantah keputusan menutup siasatan kes ini di sesi Parlimen yang lepas. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Razali Ibrahim menjawab dan mengatakan bahawa panel penasihat SPRM boleh menyemak semula keputusan ini. Daripada memuji sendiri dalam kecemerlangan pencapain KPI, SPRM akan dinilai oleh orang awam tindakan mereka terhadap kes ini. Saya menyeru SPRM Pulau Pinang boleh membuka semula siastan berkaitan pembelian undi di Pulau Pinang pada PRU13.-mza (*) Sim Tze Tzin – Ahli Parlimen Bayan Baru. | ||||
Ops Cantas: Polis tahan 262 suspek Posted: 04 Sep 2013 03:27 AM PDT Empat lelaki yang terbabit mengurung seorang wanita di sebuah hotel di Brickfields, di Kuala Lumpur, antara 262 orang yang ditahan dalam Ops Cantas Khas Polis Kuala Lumpur sejak 17 Ogos lepas. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata tangkapan itu dibuat setelah mangsa, 19, yang dikurung di bilik hotel berkenaan selama beberapa hari dapat meloloskan diri dan membuat laporan polis minggu lepas. "Daripada laporan itu, polis menahan empat lelaki terbabit dan didapati tiga daripada mereka adalah anggota kumpulan kongsi gelap," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur. Datuk Dr Chai Khin Chung, yang bertukar ke negeri asalnya di Sarawak sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Polis Sarawak, menyerahkan tugasnya kepada Datuk Aidi Ismail, yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Logistik II Bukit Aman. Mohmad berkata 262 orang yang ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah, ditangkap di sekitar Brickfields, Cheras, Sentul dan Dang Wangi serta kesemua mereka berumur antara 20 hingga 30 tahun. Mohmad berkata daripada jumlah itu, 14 orang adalah ketua dan anggota kumpulan kongsi gelap 08, 36 dan 77, iaitu antara 49 pertubuhan diharamkan kerajaan pada 29 Ogos lalu mengikut Akta Pertubuhan 1966. Daripada 262 itu juga, 163 orang masih ditahan, 47 individu dibawa ke mahkamah, 25 orang dibebaskan dengan jaminan polis dan 27 dibebaskan tanpa syarat kerana tiada kesalahan. Daripada tangkapan itu, polis turut merampas sembilan bilah parang, tiga bilah pisau, sebilah sabit, dua batang besi panjang, sembilan jam tangan, tiga topi keledar, lima kamera, dua buku bank, dua plat nombor kenderaan dan dua pasport. Beliau berkata pihaknya turut mendapati satu daripada pasport Malaysia yang dipercayai dipalsukan apabila menggunakan gambar lelaki berbangsa India tetapi namanya adalah berbangsa Cina yang dikenali sebagai Yap Kian Lee. Dalam Ops Cantas Khas yang bermula tiga minggu lalu di seluruh negara, PDRM menangkap 4,777 orang dan merampas 136 kenderaan curi, lapan senjata api, sebutir bom tangan, 54 peluru dan 133 senjata berbahaya.- Bernama | ||||
Mengekalkan Najib sebagai PM umpama menambah dosa Posted: 04 Sep 2013 03:19 AM PDT Shahbudin Husin Kenaikan harga minyak yang diumumkan Najib menimbulkan keributan yang bukan sedikit rupanya. Tidak saja rakyat biasa yang mengeluh dan meluahkan kemarahan, kalangan ahli dan pemimpin Umno juga mempunyai rasa yang senada. Mereka turut kecewa dengan kenaikan itu, bukan saja kerana tiada angin atau ribut yang mengatakan harga minyak dunia meningkat tetapi juga kerana kenaikan itu diumumkan begitu pantas iaitu hanya kira-kira lebih sedikit daripada 100 hari selepas kemenangan tipis yang diraih BN dalam pilihan raya umum lalu. Ditambah pula, dengan kemeriahan sambutan Hari Raya yang masih terasa dengan Perdana Menteri dan semua menteri kabinet dilihat begitu bergembira dengan pesta rumah terbuka berserta jamuan yang hebat di sana-sini dengan menggunakan wang rakyat, tiba-tiba rakyat mahu dibebankan pula dengan kenaikan harga minyak yang tentunya juga akan diiringi dengan pelbagai kenaikan lainnya dalam perkhidmatan dan barangan pengguna. Oleh kerana tahun ini tahun pemilihan Umno, gah dan meriahnya majlis rumah terbuka menteri lebih jelas dapat dirasakan, terutama mereka yang mahu bertanding jawatan lebih tinggi atau mempertahankan jawatan sedia ada. Sudahlah ada rumah terbuka Perdana Menteri bersama menteri kabinet, ada pula rumah terbuka kementerian, kemudian semua agensi pula turut mengadakan rumah terbuka. Di kawasan Parlimen juga, menteri dan timbalan menteri mengadakan rumah terbuka. Habisnya, sebulan Syawal ini jadual menteri dan timbalan menteri hanya asyik dengan rumah terbuka saja. Oleh kerana tahun pemilihan juga dan bimbang undi berkurangan, menteri turut mengambil kesempatan hadir ke rumah terbuka kementerian lainnya. Tentu terlihat tidak sopan, setelah pemimpin berpesta dan menghabiskan duit rakyat manakala rakyat hanya dapat menatapnya melalui tv dan akhbar, tiba-tiba bebannya mahu dilonggokkan ke bahu rakyat. Bagi sesetengah pihak, ini diskriminasi dan penindasan yang tiada tolok bandingnya. Jika diambil kira dengan pelbagai kemewahan dan perbelanjaan lainnya yang dilakukan pemimpin, termasuk kos lawatan Najib ke luar negara hampir RM50 juta, keghairahan kerajaan menukar jenama baru untuk kereta rasmi menteri dan sebagainya, kerajaan dilihat seolah-olah tidak punya perasaan langsung apabila menaikkan harga minyak ini. Pada masa sama, kenaikan harga minyak itu juga dilakukan di tengah-tengah kebanggaan yang diumumkan bahawa Petronas pada 2012 mencatat keuntungan sebanyak RM59 bilion manakala keuntungan pada suku kedua 2013 ini pula mencecah angka RM21.9 bilion. Dengan keuntungan sebesar itu, Najib terlihat begitu kemaruk dengan penjimatan RM1.1 bilion melalui kenaikan harga harga minyak dan memotong subsidi rakyat yang mana sebahagian besarnya penerima nikmat subsidi ini adalah orang kampung dan luar bandar yang selama ini penyokong tegar Umno serta penyumbang utama kepada kemenangan BN dalam pilihan raya lalu. Apakah RM1.1 bilion itu tidak boleh ditampung melalui sumber lain dan lebih besar nilainya daripada menghimpit kehidupan rakyat ke kancah yang lebih sukar? Sebaik menang piliharaya, Najib seperti sudah lupa siapa yang menyokong dan menjadikannya kekal sebagai Perdana Menteri. Lalu, dengan pelbagai keluhan dan sungutan mengenai kenaikan harga minyak ini, di manakah slogan "Kami mendengar" dan kerajaan sentiasa bersama denyut nadi rakyat yang sering dilaungkan selama ini? Sebab itu, tidak hairan kenaikan harga minyak kali ini turut mendapat reaksi yang tidak menyenangkan daripada pemimpin Umno sendiri. Sementara ramai yang berdiam diri kerana tidak bersetuju tetapi tidak mahu meluahkan perasaan secara terang-terangan kerana bimbang periuk nasi terjejas, terdapat juga yang berani berterus-terang. Seorang pemimpin pemuda, Lokman Nor Adam mahu Najib dan kerajaan memikirkan semula kenaikan harga minyak ini dan mencari kaedah lain untuk menampung kos RM1.1 bilion yang diperlukan untuk meneruskan subsidi minyak yang dikurangkan itu. Di pelbagai peringkat lainnya, ramai lagi pemimpin dan ahli Umno yang turut kecewa dengan tindakan Najib ini. Mereka meluahkan kekecewaan dengan cara tersendiri. Ada yang meluahkannya melalui perbualan dengan kawan atau ketika sambil berbual-bual di kedai kopi. Seorang pemimpin Umno yang ditemui jelas kecewa dengan tindakan Najib ini. Beliau kecewa bukan saja kerana tindakan ini dilihat menyusahkan rakyat tetapi juga membuat pemimpin sepertinya menghadapi kesukaran untuk mempertahankan keputusan Najib itu apabila dipersoalkan pengikut serta penyokongnya. Penyokong dan pengikutnya yang rata-rata berpendpaatan rendah dan sederhana jelas begitu terpukul dengan kenaikan minyak ini kerana selama ini pun kehidupannya seharian mereka sekadar cukup makan sebagai kakitangan kerajaan mahupun swasta. Lebih menggusarkan pemimpin tadi ialah apabila anaknya juga turut marah, kecewa dan tidak setuju dengan kenaikan harga minyak yang diumumkan Najib ini. Menurutnya, apabila anaknya yang belajar di universiti turut mempertikaikan tindakan Najib berserta dengan fakta, angka dan rasionalnya, beliau menghadapi masalah dan tidak upaya berbuat apa-apa kerana pendapat golongan muda seperti anaknya itu banyak kebenarannya. Mahu mempertahankan kerajaan serba-salah, tidak mempertahankan kerajaan pun serba-salah juga. Kita sebagai pemimpin Umno pun susah dibuatnya dengan tindakan Najib ini, rungutnya lagi. Dengan kecenderungan Najib berbelanja mewah dan boros serta kemungkinan akan mengenakan beberapa lagi kenaikan seperti tarif letrik, pengenalan cukai GST dan sebagainya sebagai langkah mudah menyeimbangkan kedudukan ekonomi negara, beliau juga percaya kehidupan rakyat akan terus sulit dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang. Sehubungan itu, tambahnya, mengekalkan lagi Najib sebagai Perdana Menteri hanya seperti menambah dosa saja kerana kehidupan rakyat yang sudah sedia terbeban dipercayai akan terus terbeban selagi beliau kekal di tempatnya sekarang. | ||||
Banduan guna helah buang air kecil sebelum lesap Posted: 04 Sep 2013 03:17 AM PDT KL TODAY IPOH – Hanya menggunakan tipu helah ingin membuang air kecil, seorang banduan berjaya melarikan diri daripada tahanan polis dalam kejadian yang berlaku di Hentian Rehat dan Rawat Gunung Semanggol, Lebuhraya Utara-Selatan (arah Selatan) petang semalam. Dalam kejadian jam 4 petang itu, banduan terbabit, Panner Selvam a/l Heng Jeng Kee, 42, nekad menolak anggota polis yang mengiringinya sejurus selepas keluar daripada tandas sebelum bertindak melarikan diri menaiki motosikal jenis Yamaha berwarna merah bersama seorang lelaki. Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, banduan tersebut dalam perjalanan untuk dituduh di Mahkamah Majistret Sungai Siput atas kesalahan menipu dalam urusan jual beli kenderaan terpakai. Menurutnya, banduan terbabit yang dibawa daripada Penjara Alor Setar itu memberitahu anggota polis yang mengiringinya untuk berhenti kerana tidak tahan untuk membuang air kecil. "Kenderaan polis yang membawa anggota pengiring serta banduan terbabit berhenti di kawasan rehat tersebut yang terletak bersebelahan dengan sebuah restoran makanan segera terkemuka. "Sewaktu banduan tersebut dibawa ke tandas, tangannya bergari di belakang, bagaimanapun, kedudukan gari diubah ke hadapan supaya memudahkannya untuk bergerak di tandas. "Bagaimanapun, selepas keluar daripada tandas, banduan tersebut terus menolak anggota yang mengiringinya lalu melarikan diri bersama seorang lelaki dipercayai rakannya yang sudah menunggu dengan motosikal berhampiran tandas berkenaan. "Mereka berdua telah melarikan diri menghala ke persimpangan Bukit Merah melawan arus pergerakan trafik," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini. | ||||
Polis tahan dua suspek anggota Geng 08 Posted: 04 Sep 2013 03:15 AM PDT Polis Selangor pada Jumaat lalu menahan dua lelaki dipercayai anggota Geng 08 di Pusat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Besraya atau Lebuhraya Sungai Besi yang mereka aktif dalam pengedaran dadah dan senjata api. Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata dalam penahanan 10.30 malam itu, pihaknya juga merampas 22 butir peluru jenis 9mm yang disyaki diperoleh dari negara jiran dan syabu seberat 30.2 gram. Menurut beliau, kedua-dua suspek pada mula dipercayai merancang untuk singgah makan di R&R itu namun telah dikesan pihak polis. "Mereka masing-masing berusia 23 dan 28 tahun dan mempunyai rekod jenayah serta positif ujian dadah. "Kami juga percaya mereka aktif dalam pengedaran dadah di sekitar Serdang dan Seri Kembangan (Selangor) sejak enam bulan lalu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Serdang dekat Kuala Lumpur. Thaiveegan berkata siasatan dan pemeriksaan lanjut menunjukkan mereka turut memperoleh bekalan dadah dari sekitar Lembah Klang. Mereka mempunyai tatu kumpulan di beberapa bahagian badan. "Sekarang kita tengah berusaha untuk mengesan di mana letaknya senjata api yang digunakan dalam kegiatan mereka," katanya dan menambah mereka direman enam hari sehingga 5 Sept ini untuk bantu siasatan. Kes tersebut disiasat di bawah tiga kesalahan iaitu Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Dalam kes berlainan, Thaiveegan berkata pihak polis berjaya melumpuhkan kegiatan pecah kedai telefon dan kedai runcit di sekitar Salak Tinggi dan Serdang dengan tertangkapnya empat individu di Serdang Perdana, Seri Kembangan Ahad lalu. Beliau berkata mereka ditangkap beserta barangan rampasan bernilai RM65,000 yang antaranya berupa 120 telefon bimbit pelbagai jenama dan dua buah komputer riba. Sebelum menangkap tiga daripada mereka, katanya polis terlebih dahulu menahan seorang individu di tepi kedai di Serdang Perdana kira-kira 6.30 pagi sebelum suspek membawa polis ke sebuah rumah yang menjadi tempat persembunyian tiga rakannya itu. "Pemeriksaan lanjut mendapati mereka yang berumur antara 25 hingga 34 tahun itu positif dadah dan kini ditahan sehingga 5 Sept untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," tambahnya.- Bernama | ||||
Rafizi sedia belajar dengan Nazri melalui debat Posted: 04 Sep 2013 03:14 AM PDT MALAYSIA KINI Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli bersedia 'belajar' daripada kepintaran Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz melalui debat atau forum.Menurut Rafizi, beliau yakin Nazri mampu menjelaskan kepadanya sebab BN "bertindak membebankan rakyat dengan menaikkan harga minyak". "Saya pasti beliau boleh mempamerkan kepintaran beliau kelak dengan tampil bersemuka dengan saya dan biarlah rakyat menghakimi betapa pintarnya beliau," kata Rafizi dalam satu kenyataan ringkasnya tengah hari tadi. Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Nazri semalam. Nazri semalam menyifatkan cadangan Rafizi agar menteri mengeluarkan belanja petrol untuk kenderaan rasmi mereka sebagai satu cadangan bodoh. Mengulas perkara lain, Rafizi berkata cadangan Nazri agar menteri besar dan ketua menteri Pakatan Rakyat melaksanakan dahulu cadangan Rafizi "tidak relevan". "Persoalan bahawa langkah ini perlu dilaksanakan dahulu di negeri-negeri Pakatan Rakyat tidaklah relevan kerana rakyat membayar cukai kepada kerajaan persekutuan, bukannya kerajaan negeri. "Pun begitu, saya akan menulis secara rasmi kepada Menteri-menteri besar Pakatan Rakyat agar mengemukakan langkah-langkah untuk mengurangkan belanja petrol yang ditanggung oleh rakyat dalam mereka menjalankan tugas mereka," kata Rafizi.
| ||||
Wang untuk makan dan minyak tak apa, kata Lokman Posted: 04 Sep 2013 02:57 AM PDT KL TODAY PETALING JAYA: Calon Naib Ketua Pemuda Umno Lokman Noor Adam berharap tiada lagi isu skandal politik wang sehingga menjejaskan perjalanan Pemilihan Umno 2013. Menjangkakan amalan itu masih wujud, beliau berkata perwakilan kini bijak memilih pemimpin yang benar-benar layak dan bukan hanya bersandarkan kepada pengaruh wang semata-mata. "Memang pasti ada tetapi perwakilan bijak. Mereka (perwakilan) terima (wang) tetapi akan memilih berdasarkan kemampuan calon untuk berkhidmat kerana usaha membeli undi ini takkan kemana-mana," katanya dalam satu wawancara ekslusif dengan FMT semalam. Lokman berhadapan dengan Exco Pemuda, Jamawi Jaafar; Ketua Pemuda Negeri Perak, Khairul Azwan Harun dan Ketua Pmeuda Bahagian Lenggong, Izuwan Dzulkefli pada 19 Oktober ini menggantikan Datuk Razali Ibrahim yang sudah melebihi umur. Walau bagaimanapun, beliau berpandangan adalah di'halal'kan jika wang itu diberikan untuk menanggung kos tanggungan perjalanan dan makan minum perwakilan sepanjang pemilihan Oktober nanti. "Bagi saya kalau takat membiaya kos makan minum dan duit minyak parti wajar menghalalkannya kerana tidak adil membebankan perwakilan yang datang dari jauh untuk mengenali calon. "Namun janganlah sampai ke tahap membeli undi dan bagi wang dengan jumlah yang banyak," tegasnya. Tidak menafikan ada segelintir perwakilan yang memilih kerana duit, Lokman berkata tidak adil melabelkan Umno sahaja yang mengalami masalah ini kerana perkara sama turut berlaku dalam parti politik yang lain termasuk PKR dan PAS. "Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Ustaz Daud al-Iraqi dulu pernah menyatakan berlaku politik wang dalam PAS semasa pemilihan parti 2008," katanya. Meskipun tidak memiliki faktor kelebihan itu, beliau bagaimanapun yakin permainan politik wang tidak akan menjejaskan peluangnya meraih sokongan meraih undi bagi merebut peluang menjadi 'orang kanan' kepada Ketua Pemuda Umno. "Saya cukup yakin boleh menang pemilihan kerana duit bukan segala-galanya. "Saya akui bahawa saya berhadapan dengan mereka yang jauh lebih berkemampuan daripada saya namun yakin ahli Umno khususnya Pemuda sudah lama matang. "Sekiranya Umno memilih pemimpin berdasarkan duit sudah pasti saya tak berpeluang menang Exco Pemuda Umno 2009 dan saya yakin dalam pemilihan kali ini yang melibatkan akar umbi peluang saya tidak akan terjejas teruk kerana wang dan orang," katanya. Beliau turut menasihati ahli Umno supaya sedar bahawa individu yang akan dipilih kali ini merupakan pemimpin yang akan menggalas tanggungjawab memenangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. "Ini tugas yang sangat berat memandangkan kekuatan pembangkang semakin hari semakin kuat. "Gunakanlah amanah yang telah diberikan oleh ahli kepada perwakilan untuk memilih mereka yang benar-benar mahu berkhidmat untuk parti dan boleh diterima oleh semua rakyat," katanya. | ||||
Populariti Tanda Putera: Shuhaimi akui ‘gagal’ tarik penonton Posted: 04 Sep 2013 02:54 AM PDT KL TODAY Pengarah filem Tanda Putera, Datin Paduka Shuhaimi Baba tidak terkejut dengan sambutan dingin ke atas filem yang berlatar belakangkan sejarah kerana tahu selera penonton tempatan lebih ke arah genre seram dan komedi. "Kenyataannya kami menjangkakan filem ini kurang mendapat sambutan dan kutipannya pula tidak mungkin akan pecah panggung. Tetapi kami tetap meneruskannya kerana ia wajar dilakukan,"katanya kepada media. Beliau berkata, kritikan yang tidak pernah surut sejak Tanda Putera ditayangkan menjadi antara sebab pengarah tempatan mengelak untuk membikin filem lebih serius dan berdasarkan kisah sebenar seperti Tanda Putera yang menelan kos RM4.8 Juta. "Kami akan menentang arus ini. Ia bukan satu yang mustahil menghasilkan filem sejarah tanpa menerima geran dari kerajaan," katanya yang pernah membikin filem Pontianak Harum Sundal Malam dan Layar Lara. Tanda Putera tidak mendapat kutipan pecah panggung pada minggu pertama dan tayangannya kini ditukarkan ke pawagam kecil dengan tempat duduk terhad. Filem yang mengandungi adegan percetusan kaum 13 Mei yang didakwa meragukan memulakan tayangannya di seluruh negara pada 29 Ogos lalu dan hanya hanya mampu mengutip RM500,000 sepanjang tempoh penayangan filem itu. Shuhaimi berkata, beliau sedar filem berkisarkan sejarah tidak akan berjaya di panggung negara ini dan filem sejarahnya sebelum ini, Hati Malaya 1957 juga turut menerima nasib sama apabila hanya berjaya mengutip RM760,000 hasil jualan tiket berbanding kosnya mencecah RM3.6 juta ringgit. Hati Malaya 1957 menekankan perjuangan Pengasas Umno Datuk Onn Jaafar yang bergelut untuk menanamkan semangat kenegaraan menentang Malayan Union pada 1956 Seperti Tanda Putera, Hati Malaya mendapat peruntukan dari kerajaan . "Ia amat memalukan dan menyedihkan," kata Pengerusi Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Mustapha Maarof memberi reaksi terhadap sambutan filem itu. Skim Wajib Tayang mewajibkan filem tempatan diberi hak tayangan di pawagam di Malaysia. Mustapha memberitahu The Malaysian Insider, kutipan box office Tanda Putera sangat menyedihkan jika dibandingkan dengan filem KL Zombie yang mendapat kutipan RM3 juta bagi tempoh sama. Shuhaimi pada awalnya berkata, kekurangan sambutan penonton pada pembukaan filem kerana ia ditayangkan pada waktu bekerja. Walaupun menerima banyak kritikan yang negetif termasuk dari pihak media dan pemimpin politik, Shuhaimi berkata, beliau tetap berbangga apabila filem ini mendapat pulangan yang boleh tahan bagi filem sejarah. Shuhaimi berkata, penayangan serentak antata Tanda Putera dan Kl Zombie memberi saingan yang besar kepada filemnya. "Seorang pengarah memberitahu saya ia adalah membunuh, namun kita ambil sebagai cabaran kerana ini realiti selera penonton tempatan. Kita berjuang untuk penonton sebaik yang boleh," katanya. Bagaimanapun, katanya, filem berkisarkan sejarah ini tidak akan ada tamat tempohnya dan mempunyai nilai yang tinggi. "Sebagai contoh ia boleh digunakan oleh stesen televisyen. Saya berharap penonton tempatan akan dapat mengubah selera mereka daripada terus hanya menyukai genre seram dan komedi," katanya. Tanda Putera mencetuskan kontroversi apabila ada adegan di dalamnya dikatakan mengandungi unsur yang boleh mencetuskan ketegangan kaum. Ia mendapat kritikan hebat daripada DAP dan MCA kerana filem itu dikatakan seolah-olah menyalahkan kaum Cina sebagai pencetus tragedi 13 Mei 1969. | ||||
Minyak RON 92 (Minyak Petrol 1 Malaysia VS RON 95 Mahal)? Pilihan Terbaru Rakyat Malaysia? Posted: 03 Sep 2013 10:41 PM PDT Minyak RON 92 : Ehem…..sekitar 2 bulan lepas Berita Semasa ada mengeluarkan laporan berita yang bertajuk "Minyak Petrol RON 91 Bakal Gantikan Minyak RON 95. Usaha Kerajaan Turun Harga Minyak Dan…" selepas mendapat makluman daripada kalangan "think-tank" Datuk Seri Najib Razak yang merancang ke arah mengurang sebanyak mungkin subsidi yang ditanggung kerajaan termasuk subsidi bahanapi. Hari ini….. Hari ini sudah kedengaran di mana cadangan perkenalkan semula minyak yang lebih rendah kualitinya sebagai pilihan alternatif kepada pemilik kenderaan iaitu minyak RON 92. Minyak RON 92 Akan Kembali
Mahu maklum balas daripada rakyat Malaysia? Adakah benar mahukan responbalas daripada rakyat? Kalau macam itu, turun semula harga minyak, boleh? Maklum balas? Erm…..Berita Semasa merasakan menteri yang bernama Hasan Malek ini baru sahaja belajar-belajar "bermain silat" ketika berhadapan dengan suara rakyat. Banyak yang kena belajar dengan menteri lain seperti………. & ………….
Hakikatnya…..kerajaan Malaysia sudah pun membuat kajian sebenar-benarnya termasuklah dengan para pembekal. Hanya menunggu masa dan waktu sahaja untuk dilaksanakan. Minyak RON 92 VS Minyak RON 95Teringat Berita Semasa pada zaman dahulu Malaysia ada menyediakan 2 pilihan jenis minyak petrol kepada rakyat Malaysia :
Kononnya atas nama mahu menjaga kesihatan rakyat (atas sebab plumbum daripada asap kenderaan membahayakan kesihatan) kerajaan Malaysia telah bertindak untuk menghapuskan penggunaan minyak RON 92 digantikan dengan RON 95 unleaded yang murah dan berpatutan ketika itu. Walaubagaimanapun, zaman telah berubah kesihatan nampaknya bukan agenda utama kerajaan Malaysia sekarang. Keuntungan yang lebih penting sebenarnya. Dan…atas nama keuntungan, minyak RON 92 akan digunakan semula. Penyelesaian yang lebih kurang sama melibatkan kenaikan harga barang, sehingga akhirnya lahirnya "Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M)" :
Mudahnya penyelesaian? Berita Semasa fikir kalangan menteri perlu menjalani "IQ test" daripada masa ke semasa. Sebenarnya tugas kerajaan, apa dia? Tingkatkan KUALITI HIDUP rakyat Malaysia, tingkat KUASA BELI rakyat Malaysia. Apabila sebuah kerajaan gagal uruskan ekonomi negara dengan baik dan hanya mampu memberikan solusi yang mana rakyat Malaysia kebanyakannya perlu DOWNGRADE kehidupan mereka untuk menyara kehidupan, maknanya negara kita Malaysia berada dalam masalah sebenarnya. Dan…inilah realitinya. Apa pula pendapat dan komen anda pula dengan dasar pelaksanaan minyak RON 92 ini? | ||||
Persempadanan Semula: Pakatan Rakyat Akan Lawan Habis-habisan Posted: 03 Sep 2013 10:21 PM PDT Pakatan Rakyat akan menentang sebarang cadangan mengadakan persempadanan semula kawasan pilihan raya selagi pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dilucutkan jawatan. "Persempadanan semula yang dijangka berlaku tahun ini akan ditentang jika (pimpinan) SPR sekarang tidak dipecat," kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. "Rakyat menuntut SPR sekarang dibuang. Tidak ada wibawa untuk menguruskan soal persempadanan yang dikhuatiri memberi kelebihan kepada Umno BN," katanya kepada Keadilan Daily. Tegasnya, SPR gagal mengendali Pilihan Raya Umum ke-13, terutama sikap berdolak-dalik dan helah bahawa kononnya dakwat kekal yang diguna akan kekal. "SPR gagal kendali isu dakwat kekal dengan alasan yang berubah-ubah sehinggalah jari dicelup dalam PRK Kuala Besut," katanya. Tambah Saifuddin, puluhan petisyen pilihan raya yang difailkan ke mahkamah bukti parti politik, termasuk Barisan Nasional tidak diyakini lagi. "Banyak petisyen difailkan bukti kegagalan SPR," katanya. -KD
| ||||
Naik 20 sen; Dua Stesyen Henti Jual RON 95 sejak jam 7 petang Posted: 03 Sep 2013 10:16 PM PDT BULETIN ONLINE Ketika ditanya, petugas stesyen terbabit berkata, minyak tersebut hanya boleh dibeli pada malam ini. Najib pada sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya telah mengumumkan harga minyak RON95 dan diesel naik 20 sen berkuatkuasa tengah malam ini. Menurutnya, ini salah satu langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan. Oleh itu, RON95 akan berharga RM2.10 seliter manakala diesel pula RM2.00 Ini kenaikan pertama minyak terbabit pada tahun ini, manakala RON 97 telah dinaikkan pada bulan Mac lalu. Ramai yang memberikan 'komen sinis' dengan pengumuman kenaikan minyak tersebut antaranya, 'Janji DiTepati Minyak Naik Lagi', dan 'Hadiah BN Selepas PRU-13′. Majoriti rakyat tidak terkejut dengan kenaikan harga tersebut kerana telah menduga ia akan dinaikkan oleh kerajaan BN selepas menang tipis pada PRU-1 lalu. Bendahari PAS Terengganu M.Shukrimun Shamsuddin berkata PAS masih berpegang kepada janji atau manifesto yang diumumkan oleh Pakatan rakyat pada PRU-13 lalu. "Kita masih berpegang dengan janji kita sekeranya diberi peluang memerintah negara, harga minyak akan diturunkan dengan satu nilai yang memberi keselesaan kepada rakyat,"ujarnya ketika dihubungi. Oleh itu, beliau optimis dengan kenaikan yang dimumkan Perdana Menteri akan menyebabkan harga 'rantaian' barangan dan perkhidmatan akan mengalami kenaikan, kerana tidak ada satu barangan yang tidak berkait dengan pengangkutan. "Satu kesan langsung yang tak dapat tidak akan berlaku ialah……. kenaikan harga barangan lain yang ada kaitan dengan (penggunaan) minyak. Ada ke barangan yangg tidak ada kaitan dengan pengangkutan?,"soal beliau | ||||
‘Flashmob’ Pemuda Kuala Nerus; Bantahan ‘diam’ rakyat bawahan Posted: 03 Sep 2013 10:11 PM PDT BULETIN ONLINE Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus YB ustaz Ridzuan Hashim berkata 'flashmob' mewakili bantahan menyeluruh rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak pada 2 September. "(ia) sebagai tanda prihatin terhadap isu kenaikan harga minyak petrol (RON 95) dan diesel, maka Pemuda PAS Kaw kuala Nerus pada hari ini (semalam), telah mengadakan flashmob, "sebagai bantahan 'diam' mewakili (suara) rakyat bawahan di dua lokasi iaitu di Bulatan Batu 6 dan di Simpang Empat Kampung Tok Jiring bermula pada jam 6 sehinggan 7 petang tadi,"ujarnya ketika ditemui selepas 'flashmob' yang diadakan pada 3 September. Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu berkata, 'flashmob' itu diadakan secara aman tanpa sebarang provokasi dan gangguan kepada keamanan dan keselesaan, bahkan mendapat sokongan orang ramai. "Bunyi hon kenderaan (yang tidak henti-henti) pengguna jalan raya sepanjang 'flashmob' berlangsung, menunjukkan sokongan rakyat terhadap bantahan senyap yang diadakan, "kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen sememangnya mendapat bantahan menyeluruh daripada rakyat bawahan kerana ternyata ia membebankan mereka lebih-lebih lagi apabila ia akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang bermula hari ini,"jelas ADUN Teluk Pasu itu. Beliau turut menyelar pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang pernah berjanji bahawa harga minyak tidak akan naik selepas pilihnaraya umum ke-13 dan harga RON 95 kekal pada tahun ini. "Tindakan kerajaan BN ini jelas sekali tidak mesra rakyat dan bercanggah dengan slogan janji ditepati apabila PM (dan Menteri kabinet) sendiri mencabulinya setelah berjanji bahawa harga minyak tidak akan dinaikkan selepas PRU-13,"tegasnya. | ||||
Dialog Untuk Negara: Cadangan Yang Baik Tetapi Sukar Menjadi Kenyataan Posted: 03 Sep 2013 10:10 PM PDT Cadangan Anwar Ibrahim Najib Razak mengaturkan dialog bersama Pakatan Rakyat bagi mengendurkan beberapa isu yang menekan negara waktu ini hendaklah diterima secara positif oleh semua orang baik dari pihak BN dan juga PR. Terimalah keterbukaan Anwar itu sebagai satu hadiah hari ulang tahun kemerdekaan ke 56 yang sedang diraikan ini.
Bukan saja Anwar, sesiapa kena memahami kedudukan dan corak negara kita. Bahawa tidak ada mana-mana pihak mampu membangun negara secara bersendirian tanpa kerjasama di antara satu sama lain. Pencapaian dalam pilihan raya lalu sangat jelas sinifikennya. Kegagalan UBN mendapat undi popular mengatasi undi popular Pakatan Rakyat jelas. Jadi UBN tidak boleh mendabit dada dengan keputusan yang dicapai itu. UBN menang yang tidak menang, manakala PR pula kalah yang tidak kalah. Anwar atau Pakatan Rakyat boleh terus berlagak sombong dengan pencapaian itu. Apa lagi rakyat sedang 'menggilai' mereka. Tetapi kerana memikirkan masalah negara lebih penting, dengan isu perkauman, agama, sosial serta kemelesetan ekonomi, maka tawaran berkenaan dibuat. Dalam suasana yang harmoni begini janganlah hendaknya ada yang degil atau sombong sendiri untuk tidak mengadakan kerjasama demi negara. Orang-orang yang selamanya mahu menunjukkan kedegilan adalah mereka yang tidak patriortik dan menggunakan politik untuk diri sendiri sahaja. Sikap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang awal-awal membuat tempelak kepada pelawaan Anwar itu dengan mengatakan Anwar terdesak kerana kalah pilihan raya, sesuatu yang tidak menggambarkan sikap patriotik dan profesional dari seorang ketua pemuda Umno yang baru mendapat kuasa itu. Tidak sepatutnya pemimpin muda yang bakal menjadi pemacu masa depan negara terus merenggangkan hubungan persaudaraan senegara dan mengelecahkan pemikiran ke lemah kekolotan. Khairy seharusnya menjadi juara mengalu-alukan kerjasama demi negara bukan cuba terus mempraktikan politik dendam dan kekolotan. Hendaknya tidak ramai yang akan bercakap senada dengan Khairy. Dalam menerima hal ini seharusnya kepentingan diri dan puak di ketepikan tetapi meletakkan kepentingan negara di hadapan. Bukan saja di kalangan politician tetapi individu-individu perjuang lain dalam NGO juga. Mereka tidak patut menjadi penghasut tetapi apa yang mereka kena lakukan menjadi 'pembaja'. Bagaimana pun bagi hemat saya pelawaan Anwar itu tidak mudah dilaksanakan walaupun ia sangat praktikal dalam keadaan seperti hari ini. Kandati ia dibincang oleh Majlis Tertinggi Umno malam ini tetapi bukan mudah mendapat kata sepakat. Seperti mana kata Hishmauddin Onn, cadanagan Anwar itu ada dibincang tetapi hanya Najib Razak yang berhak mengumumkannya. Dalam erti kata lain MT tidak boleh mengeluarkan kenyataan ini menunjukkan pelawaan itu dipandang berbelah bahagi dalam MT. Ulasan diluar oleh Mukhriz Mahathir yang senada dengan Khairy makin menjadikan perkara itu mustahil untuk menjadi realiti. Kali ini mungkin buat pertama kali Mahathir Mohamad akan sependapat dengan Khary untuk tidak memberi laluan kepada Anwar. Jika mengambil kira suara Mukhriz itu adalah suara Mahathir, penolakan itu sudah jelas, kerana Mukhriz juga menimbulkan keraguan di atas cadangan Anwar itu. Dari kata-kata Mukhriz itu beliau tidak setuju dengan ajakan Anwar itu. Dan adalah sesuatu yang mengejut kalau esok atau lusa Mahathir akan memberi respon baik ke atas pelawaan Anwar itu. Rakyat semua akan menerima berada dalam mimpi indah kalau Mahathir bersetuju dengan gesaan Anwar itu. Persetujuan Mahathir itu juga menandakan tamatnya dendam kesumat beliau ke atas Anwar selama ini. Namun saya rasa tidak berlaku demikian kerana kita kenal siapa Mahathir. Kalaupun Mahathir memberi nasihat menolak dialog demi negara oleh Anwar itu, Najb tidak perlu akur dengan Mahathir. Najib harus membuat penilaian dan mengambil sikap sendiri yang berbeza dengan Mahathir. Cukup penting Najib ada stand sendiri untuk beliau menunjukkan atau membuat jasa kepada perpaduan Melayu. Kalau Najib tunduk juga kepada Mahathir dalam soal ini, selama itulah orang akan melihat kerajaan Najib dibayangi Mahathir. Apakah Najib mampu menunjukkan wibawa dan 'jiho'nya sebagai pemimpin Umno dan perdana menteri? Kalau beliau berani beliau akan landa pandangan buruk sesetengah pemimpin Umno itu kemudian segera mengatur dialog bersama Pakatan Rakyat. Dipihak Pakatan Rakyat pula khasnya DAP jangan membuat spekulasi tertentu sekiranya berlaku dialog berkenaan. Mereka tidak perlu bimbang akan ditinggalkan Anwar dan Pas, kerana mereka juga tentu akan berada di meja bundar dalam dialog berkenaan. Kita semua kena insaf dan sedar dialog seperti itu untuk masa depan negara, menyelesaikan isu-isu yang boleh membantutkan pembanguna nusa dan bangsa sesuatu yang baik. Mulalah demi nusa dan bangsa. Abdul Hadi tentu tersenyum dan berdeham membaca posting ini. | ||||
Tindakan tegas menanti pembajak bot Posted: 03 Sep 2013 10:04 PM PDT Lembaga Pertubuhan Peladang KUALA LUMPUR - Nelayan tempatan, yang menyewa atau memajakkan bot mereka kepada nelayan asing, bakal berdepan tindakan tegas tanpa kompromi termasuk disenarai hitam daripada memperoleh apa-apa lesen berkaitan perikanan. Demikian amaran Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada nelayan tempatan di negara ini bagi membanteras aktiviti berleluasa nelayan asing di perairan negara. Beliau berkata kementerian menyedari krisis kesukaran nelayan tempatan mendapatkan tekong dan awak-awak tempatan untuk bekerja di laut dalam, namun masalah itu tidak boleh dijadikan alasan dengan menyewakan bot kepada nelayan asing sehingga mendatangkan masalah. "Bot asing... kita tidak akan benarkan masuk ke negara kita, tetapi apa yang berlaku ialah bot yang didaftarkan atas nama nelayan Malaysia, disewakan kepada nelayan asing, sesetengahnya dipajak terus yang mana semua, sama ada dari segi tekong, awak-awak dan sebagainya, keseluruhannya adalah nelayan asing," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini semalam. Ismail berkata kementerian itu akan bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi memeriksa secara terperinci lesen bot yang dimiliki nelayan tempatan bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan lesen yang diberikan. Selain itu, beliau meminta Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) mencari inisiatif bagi menarik minat golongan muda membabitkan diri dalam sektor perikanan dalam usaha mengatasi penggunaan tekong dan awak-awak asing. - Bernama | ||||
Persatuan teksi cadang naik tambang Posted: 03 Sep 2013 10:00 PM PDT KLUANG - Persatuan Pemandu Teksi Melayu Kluang bercadang menaikkan harga tambang susulan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen berkuat kuasa, semalam. Pengerusinya, Mustakim Abdul Jalel berkata, kenaikan harga tambang itu berikutan kenaikan kos yang bakal ditanggung oleh pemandu teksi. Menurutnya, kenaikan harga tambang teksi itu masih di peringkat perbincangan dan belum dikuatkuasakan kerana kenaikan harga petrol dan diesel diumumkan secara mengejut semalam. "Kami terpaksa naikkan harga tambang teksi selepas berbincang dengan ahli persatuan serta pihak berkaitan. "Kami berhadapan kos diesel yang agak tinggi akibat kenaikan tersebut, namun kami percaya tambang baru nanti tidak akan menyusahkan pelanggan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian. Mustakim berkata, pihaknya tidak akan menaikkan tambang teksi pada kadar tinggi kerana khuatir pelanggan enggan menggunakan perkhidmatan teksi. Katanya, kenaikan harga petrol perlu dipertimbangkan semula kerana ia membebankan golongan rakyat kurang kemampuan. | ||||
'Menteri, tolong jangan tipu rakyat' Posted: 03 Sep 2013 09:59 PM PDT Tuan Ibrahim Tuan Man SHAH ALAM – Pas menggesa kerajaan supaya menghentikan penipuan terhadap rakyat berhubung isu kenaikan harga bahan api RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter hanya akan menyebabkan harga makanan meningkat 0.1 peratus. Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hasan Malek semalam sangat mengelirukan rakyat yang hanya bergantung kepada kajian kementerian itu semata-mata tanpa melihat implikasi pelaksanaannya. "Jika teh tarik berharga RM1.20, apakah kini harga barunya ialah RM1.2012? Bagaimana penjaja nak kenakan harga itu? Jika penjaja naikkan harga sebanyak 10 sen, peratusan itu pun sudah mencapai 8.3 peratus. "Bagi secawan teh tarik, daun teh, gula dan susunya semua terlibat kos pengangkutan. Maka secara langsung, harga secawan teh tarik akan naik harga, dan harga lebihan itu akan ditanggung pengguna. "Pas melihat seruan kerajaan untuk para peniaga tidak menaikkan harga sebagai satu yang membinggungkan. Kalau kerajaan tidak mahu peniaga menaikkan harga barangan, elok kerajaan jangan menaikkan harga minyak kerana peningkatan kos akhirnya terpaksa ditanggung oleh rakyat," katanya yang dipetik daripada kenyataan medianya, hari ini. Hasan semalam memberi jaminan kenaikan RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter hanya akan memberi kesan minimum kepada peniaga yang dianggarkan hanya sebanyak 0.1 peratus. Beliau turut memberi amaran kepada semua peniaga supaya tidak menaikkan harga barangan sesuka hati kerana kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen tidak meletakkan mereka dalam keadaan terdesak untuk berbuat demikian. "Bagi memastikan tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan dalam keadaan sekarang, seramai 1,845 anggota penguat kuasa dan 1,071 pegawai pemantau telah mula dikerah. "Mana-mana peniaga yang ingkar dan berdegil, kita akan hukum mereka dengan segala akta dan undang-undang sedia ada seperti Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010 supaya tidak ada pihak yang berani menaikkan harga sesuka hati," katanya. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan