Jumaat, 20 September 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


P'raya: Banyak responden percaya BN salahguna kuasa untuk kekal - Umcedel

Posted: 20 Sep 2013 12:38 AM PDT




 

Hasil kajiselidik yang dijalankan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) mendapati kebanyakan responden percaya bahawa BN telah menyalahgunakan kuasa untuk kekal dalam kerajaan.

Ia mendapati 46 peratus responden percaya sedemikian, manakala 33 peratus lagi tidak bersetuju dan 21 peratus responden pula tidak pasti.

Pengarah Umcedel, Prof Datuk Dr Mohd Redzuan Othman memberitahu pemberita hari ini bahawa terdapat juga jurang pendapat di kalangan kaum mengenai perkara ini, dengan 54 peratus responden Cina bersetuju bahawa BN menyalahgunakan kuasanya, berbanding dengan 42 peratus orang Melayu.

Katanya, ianya sangat jelas bahawa orang Cina berkata 'ya' manakala sentimen anti-BN mereka adalah tinggi dan begitulah juga trendnya dalam soalan-soalan yang lain.

Hasil kajiselidik itu berdasarkan kepada temubual secara berdepan dengan 1,546 responden di seluruh Semenanjung Malaysia antara 15 Ogos hingga 10 September tahun ini.

Hasil kajiselidik yang sama juga menunjukkan bahawa responden berbeza pendapat mengenai sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjalankan pilihan raya umum ke-13 dengan betul, dengan 47 peratus responden percaya bahawa ia dijalankan dengan baik, 41 peratus tidak bersetuju, dan selebihnya tidak pasti.

Tiga anggota polis didakwa terima suapan

Posted: 20 Sep 2013 12:32 AM PDT


MALAYIA KINI



 
Tiga anggota polis dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tiga pertuduhan termasuk menerima suapan sebagai dorongan untuk melepaskan seorang lelaki yang memiliki dan menjual mercun serta rokok seludup.
  
Inspektor Mohd Shahrul Nizam Kaswadi, 29, Lans Koperal Mohd Daniel Chris Iman Raynold, 31, dan Lans Koperal Mohamad Hijan Ismail, 25 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca di hadapan Hakim Madihah Harullah.
  
Kesemua anggota polis itu, yang bertugas di Cawangan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah didakwa bersama-sama meminta suapan dari Rosnizal Badri Shah sebanyak RM3,000, untuk tidak mengambil tindakan ke atas Rosnizal yang memiliki dan disyaki menjual mercun serta rokok seludup.
  
Mereka juga didakwa bersetuju untuk menyetujui terima suapan sebanyak RM2,200 daripada Rosnizal supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya yang memiliki dan disyaki menjual mercun serta rokok seludup.
  
Bagi pertuduhan ketiga, kesemua anggota polis itu didakwa setuju untuk menerima suapan daripada Rosnizal sebanyak RM2,200 untuk tidak mengambil tindakan ke atas Rosnizal yang melakukan kesalahan memiliki dan disyaki menjual mercun serta rokok seludup.
  
Mereka didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di premis Jejawi Maju Interprise, Kampung Sungai Jejawi, Teluk Intan antara pukul 9 malam hingga 9.30 malam pada 7 Ogos 2012 dan dituduh mengikut beberapa seksyen Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
  
Madihah membenarkan mereka masing-masing diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 23 Oktober untuk sebutan kes.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM A. Hafiizh Abu Bakar dan Pegawai SPRM Yang Ah Lay. Bernama

Ada Naib Presiden Umno mula berpeluh dingin

Posted: 20 Sep 2013 12:18 AM PDT

Shahbudin Husin

 


Sepertimana yang diduga dan diharapkan oleh banyak pihak, Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir akhirnya mengumumkan penyertaannya dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan 19 Oktober depan. Ini menjadikan persaingan menjadi sah enam penjuru setakat ini.

Jika pengumuman Mukhriz ini dibuat setelah beliau mendapatkan nasihat daripada Najib sebagaimana yang disyorkan oleh salah seorang penyandang Naib Presiden UMNO, Zahid Hamidi sebelum ini, bermakna Mukhriz sudah mendapat restu dan izin daripada Presiden UMNO untuk bertanding jawatan itu. Dengan ini, peluangnya bukan saja cerah untuk menang tetapi juga berpotensi untuk mengambil alih tempat Zahid sebagai pemenang undi tertinggi.

Apatah lagi, pengumuman Mukhriz bertanding juga dibuat serentak pada hari yang sama dengan Najib dan Muhyiddin mengumumkan bahawa mereka akan mempertahankan jawatan presiden dan timbalan presiden masing-masing.

Sekali lagi, kelebihan seperti berpihak kepada anak bongsu bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad itu.

Dengan penyertaan Mukhriz, ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden UMNO seperti tergugat dengan kehadirannya itu. Zahid Hamidi, walaupun popular dan menjadi pilihan akar umbi dan dalam pemilihan lalu mendapat undi tertinggi, kedudukannya tidak lagi seselamat dulu. Beliau mungkin tergelincir daripada kedudukan Naib Presiden nombor satu, bahkan tidak mustahil juga jika tewas.

Hishammuddin menjadi paling tergugat dengan kehadiran Mukhriz, bukan saja kerana wibawanya yang dipertikaikan sejak dulu, malahan dengan kehadiran Mukhriz mungkin membuatkan perwakilan UMNO hanya memilih seorang saja daripada anak bangsawan dan anak bekas Perdana Menteri untuk menduduki kerusi itu.

Dari segi populariti, kehendak semasa dan adanya pengaruh bapanya, Mahathir, tidak diragui lagi bahawa Mukhriz lebih menjadi pilihan berbanding Hishammuddin. Tetapi, sebagaimana yang disebut sebelum ini dan diperkatakan oleh banyak pihak, Najib tidak mungkin membenarkan Hishammuddin tewas berikutan hubungan kekeluargaan antara keduanya.

Shafie Apdal juga turut terumbang-ambing kedudukannya. Walaupun Ketua Menteri Sabah, Musa Aman sudah mengumumkan tidak bertanding jawatan Naib Presiden kali ini, masalah Shafie ialah perwakilan UMNO tidak melihatnya sebagai pemimpin pelapis yang cukup berwibawa untuk mewarisi kepimpinan masa depan.

Kemenangannya sebelum ini adalah kerana beliau dikenali sebagai "budak Najib" di samping untuk memberi ruang kepada pemimpin Sabah. Jika ada pun simpati kepada beliau kali ini, ia adalah disebabkan Sabah telah menyumbangkan 22 kerusi daripada 133 kemenangan yang dicapai BN dalam pilihanraya lalu. Jika Shafie diketepikan kali ini, mungkin wujud tanggapan bahawa UMNO tidak mengenang budi terhadap sumbangan Sabah selama ini.


Bagi dua lagi pencabar, Isa Samad dan Ali Rustam, penyertaan mereka boleh dianggap sebagai "kacau daun" saja walaupun Ali Rustam mungkin mendapat simpati yang tinggi daripada para perwakilan berikutan kekalahannya dalam pilihanraya umum lalu. Tetapi memandangkan kedua-duanya sudah berusia 65 tahun dan sudah berada di era menapouse untuk mendaki tangga yang lebih tinggi sedangkan desakan kepada penyertaan golongan muda begitu meningkat, harapan untuk kedua-dua calon ini menggugat hampir tidak wujud lagi.

Dengan Mukhriz dilihat hampir pasti memenangi kerusi Naib Presiden, salah seorang daripada penyandang sedia ada pasti akan kecundang. Siapakah mereka? Mungkinkah Zahid, Hishammuddin atau Shafie Apdal?

Sementara Ali dan Isa tidak begitu kisah jika kalah, ketiga-tiga Naib Presiden sedia ada nyata sedang gelisah dan berpeluh dingin sekarang ini. Zahid nampak popular dan menjadi pilihan akar umbi tetapi beliau bukan lagi dalam kategori muda seperti Mukhriz, Hishammuddin dan Shafie Apdal.


Hishammuddin masih muda, anak bekas Perdana Menteri, berdarah bangsawan tetapi wibawa dan kepimpinannya sedang dipertikaikan. Namun Najib yang menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri adalah sepupunya dan mungkin menjadi pelampung yang boleh menyelamatkannya.

Begitu juga dengan Shafie Apdal, walaupun kepimpinannya sebagai bakal pelapis tidak begitu menonjol tetapi beliau masih muda dan sumbangan Sabah kepada BN dalam pilihanraya umum lalu menjadi sandaran utamanya untuk terus kekal sebagai Naib Presiden UMNO.



Dalam apa juga keadaan, bersama slogan "Berani Berubah" yang menjadi tunjang kempennya, Mukhriz menjadi satu-satunya calon paling selesa dan selamat manakala ketiga-tiga penyandang kerusi Naib Presiden, bukan saja sedang berpeluh dingin memikirkan untung nasib masa depan, bahkan juga mungkin sedang memerah otak memikir strategi untuk memenangi jawatan tersebut.

Ali pula hanya berharap pada simpati, manakala Isa Samad menjadi calon paling relaks dan tidak kisah sama ada menang atau kalah. Tiada apa lagi yang dikejarnya dan kedudukan sebagai Pengerusi Felda sudah cukup memadai buatnya ketika ini.

DAP: Agenda MEB tonjol wajah sebenar Najib

Posted: 20 Sep 2013 12:14 AM PDT


MALAYSIA KINI


 Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan wajah sebenar melalui pengumuman agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera (MEB) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mendakwa Najib juga membelakangkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) apabila mengalihkan tumpuan agenda tersebut kepada rancangan yang dipacu kerajaan menerusi pengenalan MEB.

Pua berkata demikian dengan membangkitkan dasar kerajaan untuk memastikan penglibatan bumiputera dalam projek mega GLC – Menara Warisan (oleh Permodalan Nasional Berhad), Bukit Bintang City Centre (UDA), dan pembangunan tanah Institut Penyelidikan Getah Malaysia (oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

Menurutnya lagi, rakyat Malaysia kini tidak ragu-ragu lagi bahawa polisi "1Malaysia" Najib adalah sia-sia dan tidak lebih daripada usaha memancing undi sewaktu pilihan raya.

MEB yang diumumkan Najib minggu lalu menggariskan lima strategi utama sebagai kelangsungan pelaksanaan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Sesetengah pemerhati melihat usaha tersebut sebagai ganjaran kepada sebahagian pengundi Melayu yang kembali menyokong BN dan satu bentuk hukuman kepada pengundi Cina yang majoritinya menolak BN dalam pilihan raya umum lalu.

Menurut Pua, Najib juga menunjukkan sisi pelampaunya apabila menyokong penerbitan Utusan Malaysia dengan menyeru syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar membeli iklan dalam akhbar itu.

Najib juga menyalahgunakan kuasa dan mendukung pembohongan akhbar itu apabila menyeru wang pembayar cukai digunakan bagi menyelamatkan Utusan, katanya lagi.

"Seruan untuk menyelamatkan Utusan Malaysia adalah petanda jelas kenapa perdana menteri tidak berbuat apa-apa untuk mengelakkan ekstremisme daripada terus bernanah.

"Ia menjelaskan yang Datuk Seri Najib sendiri menyokong kecenderungan pelampau ini, yang telah sekian lama diterajui Utusan Malaysia, satu penerbitan yang dimiliki Umno," kata Pua dalam kenyataan medianya hari ini.

Pelajar Universiti Adelaide tak mahu gelanggang nama Taib Mahmud

Posted: 20 Sep 2013 12:13 AM PDT

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
 

























Sebuah kempen dilancarkan oleh pelajar Universiti Adelaide yang mahu nama gelanggang Tan Sri Abdul Taib Mahmud (gambar) di universiti mereka ditukar nama.

Hari ini, pelajar universiti berkenaan berhimpun bagi menarik perhatian pihak universiti dan orang ramai untuk mendengar tuntutan mereka.

Lizzie Taylor, salah seorang penganjur perhimpunan dan ahli kepada Persatuan Persekitaran Pelajar Australia menerangkan tujuan perhimpunan tersebut: "Kami berharap dengan perhimpunan pelajar akan meningkatkan kesedaran siapa Taib dan mengapa universiti tidak perlu membanggakan orang sepertinya.

  "Kami tidak mahu menerima dana daripada orang yang mengabaikan hak asasi manusia di Sarawak begitu juga terlibat dengan penggondolan hutan serta syarikat keluarganya, Ta Ann di Tasmania".

Taib menyumbang kali pertama kepada universiti itu pada 1987, enam tahun selepas menjadi Ketua Menteri. Taib kemudian dianugerahkan ijazah kedoktoran dari univetsiti itu pada 1994 atas sumbangan besarnya.

Pada 2001, Taib menyumbang $300,000 dua kali ganda daripada gaji tahunannya kepada universiti.
Pada 2008, Universiti Adelaide menamakan satu ruangan di universiti itu dengan nama Gelanggang Taib Mahmud.

Baru-baru ini Naib Canselor merangkap presiden kepada universiti itu mengucapkan terima kasih kepada Taib atas kemurahan hatinya menyumbang sejak beberapa tahun lalu.

Seorang ahli majlis perwakilan pelajar universiti itu, Yasmin Martin menzahirkan penolakan pelajar yang tidak mahu universiti terlibat dengan Taib.

"Perhimpunan hari ini jelas menunjukkan penolakan pelajar terhadap sumbangan Taib kepada Universiti Adelaide.

"Nilai dan perlakuan Taib Mahmud tidak selari dengan nilai pendidikan tinggi seperti Universiti Adelaide dan universiti mesti mengasingkan dari pengaruh Taib.

"Banyak graduan lain yang hebat boleh dijadikan sandaran dan sememangnya jauh berbeza dari Taib. Kami akan meneruskan kempen ini sehingga mendapat perhatian universiti dan nama gelanggang itu digantikan dengan seorang tokoh yang lebih terhormat," katanya.

'Kenapa Zulkifli hentam DAP sekarang?'

Posted: 20 Sep 2013 12:05 AM PDT

 


 

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke mempersoalkan tindakan pemimpin veteran DAP Zulkifli Mohd Noor yang mendakwa kepempinan tertinggi parti itu melayan pemimpin Melayu dalam parti tersebut sebagai "kaum 50 sen".

"Kenapa sekarang?," soal Loke yang juga MP Seremban dalam sidang media hari ini.

"Saya kecewa dengan pemimpin lama yang membuat komen seperti itu ketika ini," katanya lagi.
Zulkifli merupakan salah seorang daripada tujuh calon Melayu yang akan bertanding bagi merebut jawatan anggota jawatankuasa eksekutif pusat DAP dalam pemilihan hujung bulan ini.

Loke mengulas kenyataan Zulkifli yang menggelarkan Lim Guan Eng sebagai diktator dan menuduh ketua menteri Pulau Pinang itu memasang hasrat untuk mengukuhkan kedudukan sendiri, dan juga bapanya Lim Kit Siang dalam parti.

Zulkifli yang juga bekas naib pengerusi DAP mendakwa demikian dalam satu sidang media seperti dilaporkan akhbar berbahasa Inggeris The Star hari ini.

"Orang Melayu hanya 'kaum 50 sen' dalam DAP dan tanpa golongan ini, mereka tidak dapat mencapai (jumlah keanggotaan) satu juta," kata Zulkifli seperti dipetik dalam laporan itu.

Beliau juga mendakwa Guan Eng semakin menunjukkan sikap sebagai pemimpin autokratik dan diktator sehingga menyebabkan ramai anggota Melayu dalam DAP susah hati.

Beliau juga menyalahkan setausaha agung DAP itu atas masalah yang timbul dalam pemilihan CEC pada Disember lalu.

Kak Jat terlalu kuat untuk dicabar?

Posted: 20 Sep 2013 12:02 AM PDT

Shahrizat Abdul Jalil  
Shahrizat Abdul Jalil

SELEPAS Datuk Seri Azalina Othman Said menarik diri daripada merebut kerusi Ketua Wanita Umno, laluan bagi penyandang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ternyata cukup cerah untuk mengekalkan jawatan.

Pada awalnya,  banyak pihak menjangka pertembungan sengit antara Azalina yang  mencabar Shahrizat, namun dengan pengunduran itu, kedudukan Shahrizat kembali teguh dan sukar digugat.

Sebaliknya, Azalina dikatakan hanya akan mempertahankan jawatan Majlis Tertinggi Umno yang disandangnya sejak 2000.

Bagaimanapun keputusan Azalina menarik diri, hanya akan diumumkan secara rasmi hari ini.

Realitinya masih ramai membayangkan terlalu jauh kedudukan Azalina untuk menandingi populariti Shahrizat. Namun keputusan Azalina untuk beralah itu disambut positif kalangan kepimpinan Wanita Umno dengan bayangan bahawa Shahrizat akan menang tanpa bertanding.

Bagaimanapun selepas pengunduran Azalina, muncul secara mengejut, Raihan yang mencabar Shahrizat bagi jawatan Ketua Wanita Umno.

Mungkin kesediaan Raihan mencabar Shahrizat tidak mengejutkan banyak pihak kerana bekas Ketua Wirawati Perkasa itu yang juga anak kepada Sulaiman Ahmad atau lebih dikenali sebagai Sulaiman Palestine bukanlah nama besar dalam Umno berbanding Azalina.

Harapan Raihan, mungkin mahu mengulangi sejarah arwah bapanya yang pernah  mencabar Tun Hussein Onn bagi jawatan Presiden Umno pada Jun 1978.

Bagi Shahrizat, beliau mengalu-alukan jika ada  yang mahu mencabarnya bagi jawatan yang disandang sejak 2009 selepas mengalahkan Tan Sri Rafidah Aziz.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, Shahrizat bukanlah calang-calang penyandang, yang mempunyai track record' yang bagus sepanjang berkhidmat kepada parti.

Katanya, sejak menerajui kepimpinan Wanita pada 2009,  banyak pencapaian yang berjaya dibawa Shahrizat terutama  mendepani isu berkaitan wanita dan keluarga.

"Beliau menampakkan kesungguhan dengan program Jalinan Rakyat, Skuad Sayang dan Salam Sayang yang kesemuanya membuahkan kejayaan.

"Ini yang dinilai oleh parti dan akar umbi.  Bukan sedikit sumbangannya kepada Wanita dan itu tidak boleh diketepikan begitu saja.Umno lebih memerlukan beliau yang berjaya membuktikan dirinya pemimpin yang
bekerja untuk parti," katanya.

Meskipun Shahrizat kalah kepada Nurul Izzah Anwar pada PRU12 lalu,  isu itu  perlu dipisahkan dengan pemilihan Umno. Kekalahan pilihan raya  tidak boleh dijadikan penghalang untuk pemimpin seperti Shahrizat menawarkan diri sekiranya mereka mempunyai potensi memimpin Umno pada masa akan datang.

Jika menganggap kekalahan pilihan raya sebagai penamat karier politik, itu satu kerugian kepada Umno.

Namun  persepsi  segelintir bahawa Shahrizat adalah liabiliti, tidak mengugat kedudukan bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mempertahankan jawatannya.

Jelas Samsul lagi, dakwaan bahawa Shahrizat liabiliti hanyalah dakwaan parti lawan dengan  mewujudkan persepsi, walhal parti lebih mengetahui sumbangan Shahrizat membawa hala tuju Wanita Umno.

Naib Presiden Perkasa tawar jadi MT Umno

Posted: 19 Sep 2013 11:58 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

























Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr Zubir  Harun menawarkan dirinya untuk menjadi Ahli Majlis Tertinggi Umno bagi pemilihannya tidak lama lagi.

Beliau yang juga AJK Umno bahagian Bentong memaklumkan perkara ini dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

"Dengan dorongan rakan dan berasakan sudah sampai masanya saya menyumbang tenaga dan fikiran bagi perkuatkan lagi parti Umno demi perjuangan kepentingan Islam, Melayu dan negara," katanya dalam kenyataan itu.

 Sebagai naib presiden Perkasa, beliau berkata, adalah lebih tepat dan kena pada masa beliau perlu berada dalam barisan tertinggi parti yang menjadi tunjang kepada kerajaan yang sedang memerintah.

Katanya, sepanjang bersama Perkasa, beliau melakukan pelbagai usaha dan cara terutamanya soal ekonomi  bangsa.

"Maka eloklah saya berada pula pada satu platform yang boleh disampaikan secara langsung," katanya.

Pelan Bumiputera: Najib langgar dasarnya sendiri, kata DAP

Posted: 19 Sep 2013 11:53 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER
 



















Agenda memperkasakan Bumiputra yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercanggah dengan Program Transfomasi Ekonomi (ETP) apabila ia mengalihkannya daripada diperkasakan oleh sektor swasta kepada transformasi yang dipimpin kerajaan.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua (gambar), berkata pelan Memperkasakan Ekonomi Bumiputera dibuat berdasarkan perspekstif perkauman yang bertentangan dengan Model Ekonomi Baru dan Pelan Transformasi Nasional (ETP) yang mengajak kepada ketelusan dan dan akauntabiliti dalam pelaksanaan projek kerajaan.

 Katanya, Najib juga mendedahkan siapa beliau sebenarnya apabila mencadangkan pelan Memperkasakan Ekonomi Bumiputera bernilai RM31 bilion itu dan cadangan bantuan untuk Utusan Malaysia.

Beliau berkata, dengan langkah ini Malaysia tidak lagi boleh lagi berharap bahawa Najib adalah seorang reformer.

"Dasar 1Malaysia beliau hanya mengarut dan tidak lebih dari usaha untuk memancing undi semasa pilihan raya umum lalu sahaja," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Selain Pua, pelbagai pihak turut membantah pelan baru Najib kononnya untuk membantu golongan Bumiputera ini kerana bagi mereka ia hanya digunakan untuk membantu kroni mereka dalam Umno sahaja.

Bekas menteri Umno, Datuk Zaid Ibrahim berkata, pelan ini tidak akan berjaya kerana ia hanya akan membuatkan Melayu malas.

Zaid juga mendakwa, Umno bukan sahaja parti politik tetapi sebuah kelab ahli perniagaan.

Pakar ekonomi, Professor Emeritus  Datuk Dr Mohamed Ariff berkata, kaum Melayu membentuk 80 peratus isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.

Seorang lagi umum lawan KJ

Posted: 19 Sep 2013 11:47 PM PDT

Wartawan Sinar Harian
 
Khairy Jamaluddin  
Khairy Jamaluddin

SHAH ALAM -  Perebutan jawatan Ketua Pemuda Umno kini menjadi tumpuan apabila seorang ahli Umno dari Selangor menawarkan diri bertanding jawatan nombor satu sayap parti pada pemilihan parti itu bulan depan.

Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, 37, yang juga Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, dalam Bahagian Pandan menghubungi Sinar Harian mengumumkan hasratnya bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.

Tidak menyandang apa-apa jawatan di peringkat Pemuda Bahagian mahupun Pusat bukan penghalang bagi Syed Rosli yang telah menjadi ahli Umno selama 19 tahun untuk mencabar penyandangnya,  Khairy Jamaluddin.

"Keputusan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno ini sudah difikir masak-masak dalam masa sebulan ini malah saya turut mendapat restu beberapa ketua pemuda di peringkat cawangan dan bahagian serta ahli akar umbi.

"Borang pencalonan juga sudah diambil di PWTC pada Sabtu lalu dan saya tidak sabar untuk menyerahkan borang yang siap diisi pada Sabtu ini," katanya.

Menurutnya, beliau tidak gentar berdepan dengan Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan kerana yakin sudah tiba masanya sayap Pemuda Umno dipimpin oleh pemimpin dari akar umbi.

Katanya, tujuan untuk bertanding pada pemilihan parti kali ini adalah kerana melihat perjuangan kepimpinan Pemuda Umno sekarang sudah jauh tersasar daripada perjuangan Umno yang asal terutama isu mempertahan hak istimewa orang Melayu, agama Islam dan kedaulatan Institusi Raja- Raja Melayu.

Prosiding RCI Sabah tamat

Posted: 19 Sep 2013 11:41 PM PDT

Tan Sri Steve Shim Lip Kiong  
Tan Sri Steve Shim Lip Kiong

KOTA KINABALU - Prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah di sini tamat hari ini untuk memberi laluan kepada panel pesuruhjaya RCI meneliti keterangan.
  
Panel lima anggota dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong telah mengendalikan siri prosiding yang bermula 14 Januari dengan mengemukakan 211 saksi.
   
"Proses berjalan lancar. Tiada yang buat perangai, tiada yang baling kerusi. Semua hujahan dilakukan secara beradab," kata Shim secara berseloroh.
  
Namun dalam nada serius, katanya beliau dan semua pesuruhjaya kini mula menjalankan tugas menyemak dan meneliti keterangan yang dikemukakan di hadapan mereka sehingga 21 Disember.
  
"Terdapat banyak laporan, dokumen dan keterangan yang kami perlu teliti. Tetapi kami akan cuba menyiapkannya dan merumuskan penyelesaian terhadap masalah ini dalam tempoh masa diberikan kepada kami," katanya.
 
Pesuruhjaya yang lain ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Datuk Dr Kamaruzzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Herman J. Luping, yang juga Peguam Besar negeri dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk KY Mustapha.
  
Pegawai pengendali sepanjang prosiding ialah Manoj Kurup, Datuk Azmi Ariffin dan Jamil Aripin, mankala pasukan Persatuan Undang-undang Sabah diketuai Datuk John Sikayun, bertindak sebagai pemerhati.
  
Penubuhan RCI dan pelantikan Shim serta anggota panel diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 Ogos tahun lepas, sebagai langkah murni untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah.
  
Dalam mengumumkan bidang kuasa suruhanjaya itu, Najib berkata antara lain mereka akan menyiasat jumlah pendatang asing di Sabah yang telah diberikan kad pengenalan (IC) atau kewarganegaraan.
  
Fokus siasatan adalah sama ada IC biru atau kewarganegaraan kepada warga asing dibuat berdasarkan undang-undang dan sama ada mereka yang memperoleh IC biru atau resit pengenalan sementara (biru) atau kewarganegaraan secara haram didaftarkan dalam Senarai Pemilih.
  
Anggota pihak berkuasa relevan turut dipanggil memberi keterangan dalam prosiding untuk menentukan sama ada mereka telah mengambil sebarang tindakan atau usaha untuk menambahbaik prosedur operasi standard, kaedah dan peraturan untuk mengelakkan ketidakpatuhan undang-undang berhubung masalah itu.
  
Siasatan itu menyaksikan beberapa ahli politik berprofil tinggi memberikan keterangan iaitu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa pemimpin negeri yang lantang menyuarakan isu itu seperti Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. - Bernama

Ketua Syiah Cabar Institusi Raja, Buat Laporan Polis Terhadap Mufti - Jamil Khir

Posted: 19 Sep 2013 11:37 PM PDT

MSTAR ONLINE

 
YAN: Tindakan Ketua Syiah Kedah Abdullah Hassan membuat laporan polis terhadap Mufti Negeri Datuk Syeikh Baderudin Ahmad, Ahad lepas boleh dianggap sebagai mencabar institusi Raja-Raja Melayu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata ini kerana mufti negeri dilantik oleh Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang juga ketua agama Islam negeri (dan juga Yang di-Pertuan Agong).

"Tindakan ketua Syiah itu langsung tidak hormat kepada fatwa mufti kerajaan negeri, perlembagaan dan perundangan Islam negeri ini sekaligus mereka mencabar kedudukan Sultan," katanya kepada pemberita ketika ditemui bersarapan pagi bersama penduduk Kampung Dato Abdullah, Sungai Limau dekat sini Jumaat.

Jamil Khir berkata kerajaan negeri perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap ketua Syiah itu dan pengikutnya yang cuba melakukan provokasi.

Katanya beliau akan bertemu dengan penguat kuasa Majlis Agama Islam dan peguam syariah Rabu ini di ibu negara bagi membincangkan cara untuk menangani fahaman Syiah dan tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka menerusi undang-undang Islam di negeri-negeri.

Mengenai ugutan ketua Syiah itu mahu menerbitkan buku mengenai fahaman Syiah setebal 500 muka surat sekiranya dia atau pengikutnya ditahan pihak berkuasa, Jamil Khir berkata Majlis Agama Islam mempunyai kuasa untuk menghalangnya.

Laporan polis terhadap Syeikh Baderudin yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini mendakwa mufti itu secara sengaja mempersembah kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa kewujudan masyarakat minoriti Syiah Immamiah Ja'afariah di Kedah telah menyebabkan suasana masyarakat di negeri ini tidak tenteram. - BERNAMA

Pencabar Khairy Nafi Jadi Calon Proksi

Posted: 19 Sep 2013 11:35 PM PDT



Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno Cawangan Bendang Baru, Langkawi, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi menafikan beliau merupakan proksi kepada mana-mana pihak bagi mencabar kedudukan Khairy Jamaluddin sebagai penyandang Ketua Pemuda Umno Malaysia.

Tegas Akhramsyah, beliau tidak mewakili 'kem' tertentu sebaliknya bertindak menawarkan diri berdasarkan permintaan akar umbi yang inginkan perubahan dalam Pergerakan Pemuda.

"Tidak, tidak...saya tidak berada di kem mana-mana pihak.

"Kalau nak katakan saya sebagai proksi, ya...saya memang proksi akar umbi yang mahukan perubahan," katanya pada sidang media di Bangsar, Jumaat.

Sebelum ini timbul dakwaan yang mengatakan keputusannya menawarkan diri bertanding menentang Khairy merupakan agenda politik yang dikaitkan dengan pertembungan dua bekas Presiden Umno iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Penyertaan Akhramsyah mendapat restu Badan Perhubungan Umno Kedah yang dipengerusikan Datuk Mukhriz Mahathir.

Pada Khamis Akramsyah yang juga anak kepada bekas Setiausaha Agung dan Naib Presiden Umno, Tan Sri Sanusi Junid, diperkenalkan Umno Kedah kepada penyokong dan perwakilan parti bersama 11 lagi calon yang akan bertanding merebut beberapa jawatan dalam Pemuda, Wanita dan Puteri.

Akramsyah memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia dari Imperial College di London.

Sehingga kini, pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda Umno menyaksikan saingan tiga penjuru selepas bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok, Karim Ali turut mengumumkan mencabar kedudukan Khairy.

Tiada ulasan: