DIALOG RAKYAT |
- Kes tembak: Polis Kelantan buru 2 lelaki
- Ditohmah Kerana Naik Jet Peribadi: Ini penjelasan dari Nik Abduh.. bacalah!!
- Komedi Ekonomi Bumiputera
- Peserta ‘Malaysia Ride’ nyaris maut digilis
- Selepas Nik Aziz dan Hadi, Tuan Ibrahim pula tegas mahu kukuhkan Pakatan
- Lebih banyak pembangunan di pedalaman, kata Najib
- PKR: Khairy “bising” kerana tergugat dalam pemilihan Umno
- Umno bertanggungjawab atas kelemahan berterusan Bumiputera
- Umno “sakit tua dan bakal mati”, kata Dr Mahathir
- Presiden: Tiada usaha singkir Mat Sabu dalam PAS
- Zaman Khan: Pencetak 3D boleh hasilkan senjata api
- Peragut maut motosikal langgar tembok
- Program Anwar di P Pinang & Perak hari ini, 16 September
- Pelan Pendidikan kucar-kacir, tumpu pengajian BI – Bekas guru
- RCI Sabah cuma wayang BN: Pemantau KDN Pakatan
- Fitnah II: Permohonan Anwar ketepi rayuan diketuai peguam Umno didengar esok
- Nik Nazmi: Mana lesap RM52 bilion saham Bumiputera?
- Chin Peng meninggal dunia di Bangkok
- PERKASA: Lupakan saja Chin Peng
- 'Tahaluf Siyasi’ langkah tepat
- Jika ‘Melayu masih ingat’
- Polis buru saki baki anggota Geng 08
- Hadi: Kaji untuk perkukuh kerjasama Pakatan
- MCA: GLC bukan hanya milik satu kaum
- Tempoh Mesyuarat Umno Cawangan Berakhir Tengah Malam Ahad
Kes tembak: Polis Kelantan buru 2 lelaki Posted: 16 Sep 2013 05:55 AM PDT KOTA BHARU - Polis Kelantan memburu dua lelaki berusia 29 dan 48 tahun bagi membantu siasatan kes tembak di Kampung Kemasin, Bachok dan Kampung Telosan, Pasir Puteh, tahun ini. Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata penarik kereta, Mohd Rafi Ismail, 48, beralamat di Belakang Klinik Kemumin, Pengkalan Chepa di sini, diburu bagi membantu siasatan kes tembak yang mengakibatkan seorang lelaki berusia 50-an maut ketika sedang bersarapan bersama-sama keluarganya di sebuah warung di Kampung Kemasin, Februari lepas. Suspek disyaki perancang utama kes pembunuhan itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Remaja di sini hari ini. Mazlan berkata polis turut memburu Mohd Khairul Ahmad Bostaman, 29, berasal dari Kampung Pengkalan Kubur, Kampung Raja, Terengganu bagi membantu siasatan kes tembak di Kampung Telosan pada Ogos yang mengakibatkan seorang penoreh getah maut. "Suspek dikatakan sedang minum di sebuah warung bersama mangsa ketika kejadian tembakan itu berlaku dan menghilangkan diri selepas itu. "Kita percaya suspek terlibat sebagai 'penanda' (pointer) kepada penembak terbabit," kata Mazlan. Sementara itu, Mazlan berkata dua lagi iaitu Mohd Norfino Omar, 30, dan rakannya, Mohd Al Badawi Ab Kadir, 26, diburu kerana disyaki terlibat dengan jenayah peras ugut di Kok Lanas di sini pada kira-kira 7 malam semalam. "Kedua-dua mereka juga disyaki terlibat dalam kes tetak dan simbah asid yang berlaku di Padang Purut, Nilam Puri pada Februari tahun lepas," tambahnya. - Bernama | ||||
Ditohmah Kerana Naik Jet Peribadi: Ini penjelasan dari Nik Abduh.. bacalah!! Posted: 16 Sep 2013 05:50 AM PDT Semalam boleh dikatakan kebanyakkan Blog Pro UMNO menyiarkan gambar Nik Abduh sedang menaiki jet peribadi di atas.. Kononnya menurut mereka gambar diatas telah terlupa untuk dimuatnaik oleh sebuah blog Pro PAS yang telah menyindir tindakan seorang Ketua Bahagian Umno yang balik ke kawasan untuk perasmian Mesyuarat Agung UMNO Cawangan. Seperti biasa tanpa usul periksa mereka melemparkan berbagai tuduhan.. Untuk menjadikan cerita mereka lebih menarik, gambar Nik Abduh sedang menahan teksi turut dimuatnaik.. Kononnya gambar ini perlu disebarkan bagi tujuan membina persepsi positif buat Nik Abduh.. lagipun ianya menampakkan betapa zuhudnya Nik Abduh kata mereka.. Malah ada yang melemparkan tuduhan "Pura-pura zuhud sudah menjadi darah daging pemimpin PAS. Depan orang berlakon zuhud. Bila takde orang dia punya belanja mak datuk dia tengok pun gerun." Ada juga yang terus mengatakan "Sahlah Nik Abduh ni makan duit taukeh balak." hanya kerana melihat gambar itu.. Benarkah apa yang didakwa oleh kebanyakkan Blog Pro UMNO mengenai gambar Nik Abduh di dalam jet itu?.. Baca! ini penjelasan tuan punya tubuh.. Saya diminta oleh ramai sahabat untuk menjelaskan gambar saya menaiki sebuah pesawat jet peribadi yang tersebar di internet. Oleh kerana ia difahami secara negatif, elok juga saya jelaskan. Gambar tersebut saya sendiri muat naik dalam grup whatsup dewan pemuda pas. Ia adalah kebiasaan kami untuk memuat naik gambar-gambar menarik sekitar kehidupan peribadi dan jamaah yang menarik untuk dikongsi. Gambar tersebut telah disebar keluar oleh kawan saya. Sudah pasti tujuannya adalah baik insya Allah. Mungkin kerana tanpa penjelasan, ia menarik tafsiran pelbagai. Ia adalah penerbangan pada tahun 2012 dari Kota Bharu ke Ipoh bersama beberapa exco kerajaan negeri Kelantan dengan menaiki jet peribadi milik seorang tokoh korporat Melayu untuk lawatan ke ladang tanam semula balak yang diusahakan oleh beliau. Lawatan itu adalah untuk melihat sendiri kejayaan projek tersebut. Tokoh korporat tersebut berhasrat untuk melabur di Kelantan. Tanam balak, bukan tebang balak. Beliau memohon tanah sudah kerja, bukan hutan simpan. Saya difahamkan, ia masih dalam proses kelulusan. Ia jika berjaya, adalah terlalu baik untuk ekonomi dan mesra hijau negeri Kelantan. Saya dipelawa menaiki jet peribadi tersebut oleh kawan saya yang rapat dengan tokoh korporat bergelar Tan Sri tersebut. Ada kekosongan dan dengan izin tuannyalah kan? Apa perasaan saya? Wah, jawabannya ialah, jika anda, apa pula perasaan anda? Impian duniawi saya ialah menaiki kapal pelancongan Rusia menuju ke kutub utara, dunia serba putih. Sapa boleh sempurnakan impian emas saya ini? Nik Mohamad Abduh Itulah... orang kata kalau tak tahu tanya... jangan main tuduh tak tentu hala.. nanti dapat bala.. Tumpang naik bukannya bayar sewapun. lagipun tuan punya jet sendiri mengizinkan.. apa salahnya? Nak tunaikan nazar berlari dari Kuala Besut ke Putrajaya pun boleh ditaja RM650,000 takkanlah tumpang naik jet tak boleh.. | ||||
Posted: 16 Sep 2013 05:43 AM PDT
MEMPERKASAKAN ekonomi bukanlah macam memperkasakan seseorang dalam ilmu silat - lebih banyak berlatih, lebih mahir dalam pelbagai teknik. Malah dalam bidang ekonomi perkataan 'pemerkasaan' atau apa juga perkataan terbitan daripada perkataan 'perkasa' adalah sama sekali tidak relevan. Begitupun, mengambil makna istilah 'pemerkasaan ekonomi' dalam semangat sebagaimana yang ditaksubkan oleh pemimpin Umno (agar setidak-tidaknya perihal tersebut berbunyi serius dan betapa sesungguhnya Perdana Menteri dan para menteri kabinet Melayu lain bertungkus-lumus siang malam bagi memastikan hasrat dan inspirasi orang Melayu dan kaum bumiputera lain tercapai dalam menemui apa juga sasaran tahap ekonomi yang telah ditetapkan), ramai yakin ia lebih merupakan strategi politik berbanding langkah afirmatif. Bukan lagi satu fakta terselindung betapa perbincangan mengenai ekonomi bumiputera, setidak-tidaknya di peringkat kerajaan adalah sesuatu yang dalam bahasa pasarnya sudah boleh dianggap 'basi'. Sejak topik ini mula diperkenalkan di zaman Tun Razak pada awal 1970-an, semangat penglibatan orang Melayu dalam bidang ekonomi mengalami pelbagai 'jump start' dan 'false start'. Bagaikan komidi tragik, meminjam dalam konteks hampir serupa dengan novel klasik Shakespeare, Comedy of Errors, hampir setiap permulaan, sama ada secara lompat atau tersalah, apa juga permulaan ekonomi bumiputera tidak beranjak begitu jauh dari garisan permulaan. Semuanya kerana ada sahaja kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan sama ada di peringkat dasar dan lebih-lebih lagi di peringkat pelaksanaan. Kita akui pernah wujud segelintir tokoh korporat Melayu di zaman Daim Zainuddin menjadi Menteri Kewangan buat pertama kalinya pada 1980-an. Namun generasi tokoh korporat melayu berkot designer jenama Ermenegildo Zegna dan menghisap cerut jenama Ashton buatan Republik Dominika berharga RM2000 sebatang sudah pupus ibarat pupusnya burung dodo atau harimau Java. Sebenarnya agak kurang pasti apakah takrif sebenar 'ekonomi bumiputera'. Kian ramai orang Melayu merasakan ia tidak lebih daripada perasa Ajinomoto politik yang digunakan oleh pemimpin Umno untuk menagih sokongan pengundi Melayu yang memanjang merosot sejak PRU12. Namun bagi penyokong tegar Umno-BN, usaha mempertingkatkan ekonomi bumiputera adalah 'benar'. Benar ikut mana tak tahulah. Tentu sekali ada sahaja pihak menawarkan pelbagai carta dan perangkaan bagi membuktikan betapa berjayanya ekonomi bumiputera sejak istilah itu dilancarkan lebih 40 tahun lalu. Begitupun, realitinya ekonomi bumiputera hanyalah diwakili oleh peniaga pasar malam, warung gerai pihak berkuasa tempatan, dan segelintir orang Melayu yang membuka restoran, kilang pembikinan barangan makanan dan sebagainya. Bagi mereka yang melangkau batasan ini, pasti sebahagian besarnya mempunyai kaitan dengan Umno atau malahan pemimpin dan ahli Umno sendiri. Justeru apa yang dimaksudkan dengan ekonomi bumiputera sebenarnya adalah ekonomi pemimpin dan ahli Umno sebagaimana yang diperhatikan oleh seorang penulis ekonomi sebuah portal berita tatkala mengulas ucapan Najib pada Pelancaran Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Walaupun pemerhatian seperti itu masih berstatus tunggu dan lihat, namun kesudahannya sudah boleh diramalkan. Menurut Najib dalam ucapannya pada majlis tersebut, fokus pemerkasaan pertama, kedua dan ketiga adalah masing-masing: Mendaya modal insan bumiputera antaranya meningkatkan kemahiran golongan muda dengan memberikan peruntukan tambahan kepada Mara; memantap pemilihan ekuiti bumiputera dalam sektor swasta, dan memperkukuhkan pemilihan aset bukan kewangan bumiputera. Semua ini memang sedap untuk didengar. Tetapi persoalannya bagaimanakah Najib mahu melaksanakannya? Apakah pelaksanaan itu nanti dapat disempurnakan oleh kakitangan kerajaan menurut kehendak Najib dan apakah program pemerkasaan ini akan kekal walaupun terdapat perubahan dalam pucuk pimpinan? Lebih lazim dari tidak, kita sudah tahu akan jawapannya. Justeru, ramai merasakan sementara DEB yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Razak adalah usaha ikhlas kerajaan (tetapi dicemari oleh pemimpin Umno generasi selepas beliau), Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera tidak lebih dari satu strategi politik yang tidak semestinya mempunyai kaitan dengan kemajuan orang Melayu dan kaum bumiputera lain di bidang ekonomi. | ||||
Peserta ‘Malaysia Ride’ nyaris maut digilis Posted: 16 Sep 2013 05:40 AM PDT
Lima Parah, Dua peserta konvoi 'Malaysia Ride' nyaris maut digilis tayar.. (gambar dari tempat kejadian)"Hati saya berdegup kencang melihat dua rakan saya sudah berada di bawah kenderaan itu dengan kepala seorang daripadanya berada betul-betul bersebelahan roda belakang kenderaan pacuan empat roda itu."Saya cuba memanggil dan bersyukur kerana nyawa mereka masih panjang apabila memberi respons selepas nama dipanggil," kata peserta konvoi 'Malaysia Ride', Mohd Rizal Ismail, 38. Pasangan suami isteri itu yang hanya dikenali sebagai Mizi dan Zuraidah berusia 30-an antara lima peserta konvoi yang cedera akibat dirempuh Toyota Hilux di Kilometer 43, Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Cherating, di sini, jam 12.30 tengah hari semalam. Katanya, pasangan itu dikatakan tercampak ke bawah kenderaan berkenaan sejurus dirempuh dan si suami mengalami patah kaki kanan manakala isterinya hanya cedera ringan. Menceritakan kembali kejadian itu, Mohd Rizal berkata, 60 motosikal membabitkan 80 penunggang dan pembonceng berkonvoi dari Kuala Terengganu, Terengganu menuju ke Melaka dan merancang singgah di bandar ini untuk makan tengah hari ~ myMetro Sebelum itu ABN News telah melaporkan.. KUANTAN – Lima orang penunggang motosikal cedera parah apabila motosikal yang mereka tunggangi terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM 47 jalan Kemaman-Kuantan petang tadi berhampiran simpang Suria Beach Resort. Kejadian dilaporkan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda itu membuat pusingan U sebelum dilanggar empat buah motosikal yang berkonvoi bersama lebih 45 buah motosikal yang lain. Lima orang yang cedera parah telah dihantar ke hospital Kemaman untuk rawatan lanjut manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda itu cedera setelah dipukul oleh peserta konvoi yang lain.
| ||||
Selepas Nik Aziz dan Hadi, Tuan Ibrahim pula tegas mahu kukuhkan Pakatan Posted: 16 Sep 2013 04:04 AM PDT Selepas Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kini Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, iaitu jurucakap rasmi PAS, pula menegaskan komitmen parti itu untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat (PR) dan bukannya mengkaji balik keperluannya. Kenyataan ketiga-tiga tokoh utama PAS ini memberikan tamparan hebat kepada cadangan yang dibuat oleh Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib agar tahaluf siasi (kerjasama politik) PAS dengan PKR dikaji balik. Dalam ucaptama di Multaqa Ulama SeMalaysia (gambar) di Alor Setar, Harun mencadangkan agar tahaluf siasi dikaji balik "untuk mengkaji dan menilai kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada PAS serta menilai kembali tahaluf siasi terutamanya dengan PKR sejauh mana ia menguntungkan PAS". The Malaysian Insider difahamkan, cadangan yang terdapat dalam kertas ucaptama ini tidak dibaca oleh Harun. Bagaimanapun idea ini diperkukuhkan melalui resolusi multaqa. "PAS ingin menegaskan komitmen kita untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya. Menurut Tuan Ibrahim (gambar), segala kelemahan yang timbul akan diperbaiki melalui meja rundingan. PAS mengalu-alukan sebarang cadangan serta komentar dari mana-mana Dewan dan pandangan dalaman untuk meneliti apa jua unsur yang dianggap bertentangan dengan syarak, katanya. "PAS melihat resolusi dari Dewan Ulama hasil Multaqa Ulama sebagai sesuatu yang menepati demokrasi dalam PAS, kerana Dewan Ulama sebagai sayap penting parti sewajarnya membuat rumusan bagi pihak dewan yang diwakili," katanya. Sehubungan itu, PAS Pusat berharap Dewan Ulama dapat mengemukakan perkara yang menjadi kebimbangan mereka itu, tambah Tuan Ibrahim.` Dalam kenyataannya juga, Tuan Ibrahim berkata, cadangan Dewan Ulama supaya jawatan tertinggi parti dipilih daripada ulama, akan diputuskan oleh para perwakilan. "Sebagaimana juga dewan-dewan lain akan mengangkat dewan yang mereka wakili; terpulang kepada perwakilan untuk bersetuju atau sebaliknya dengan cadangan dari Dewan Ulama itu. "PAS melihat ketentuan jawatan adalah hak perwakilan untuk memilih. Perlembagaan parti jelas memberi hak kepada perwakilan," katanya. | ||||
Lebih banyak pembangunan di pedalaman, kata Najib Posted: 16 Sep 2013 04:01 AM PDT Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini memberikan komitmen beliau untuk meningkatkan pembangunan di luar bandar, terutamanya di Sarawak bagi seiring dengan negeri lain di Malaysia yang kini berusi 50 tahun. "Kita ada agenda yang perlu dicapai," kata Najib dalam ucapan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak hari ini. Sarawak dan Sabah menjadi deposit tetap undi untuk Barisan Nasional (BN) yang hanya memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya 2013. Sebelum ini, Najib telah melancarkan agenda ekonomi dengan memotong subsidi bahan api, yang mana penjimatan itu akan digunakan bagi membangunkan kawasan luar bandar. Perdana Menteri turut mengumumkan program pemerkasaan ekonomi Bumiputera. Najib juga berkata kerajaan mahukan Sarawak mencapai sasaran mereka menjadi negeri berpendapatan tinggi, yang mana kawasan pedalaman perlu dimajukan. "Ini komitmen kami. Kawasan luar bandar tidak akan dipinggirkan," katanya. Tambah Najib, kerajaan mahu melihat Sarawak mencapai sasarannya menjadi negeri berpendapatan tinggi dan negara menjadi negara maju, ianya tidak akan tercapai tanpa penyertaan masyarakat luar bandar. Sarawak menetapkan sasaran menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2018 dan Malaysia meletakkan sasaran menjadi negara maju menjelang 2020. Perdana Menteri berkata 50 tahun berikutnya akan terus menjadi bermakna buat Sarawak di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN). Janjinya itu dilihat disasarkan kepada pengundi luar bandar yang menyokong BN dalam Pilihan Raya 2013. BN memenangi setiap kerusi luar bandar. Perdana Menteri itu berkata lagi keputusan Bapa Kemerdekaan untuk menyokong kebebasan Sarawak bersama Malaysia adalah keputusan yang tepat. Bukan sebesar mana sambutan hari Malaysia disambut kata Najib, sebaliknya adalah kesediaan rakyat Sarawak untuk bersama membentuk Malaysia. Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini adalah yang terbesar untuk menunjukkan tempoh 50 tahun kemerdekaan bermula Mac akan berakhir penghujung tahun. Kehadiran Yang DiPertuan Agong menambahkan makna sambutan pada tahun ini, berbeza dengan tahun sebelumnya yang kelihatan suram. Ribuan penduduk membanjiri Padang Merdeka di pusat bandar untuk menyaksikan perarakan. Tiga puluh enam badan uniform dan bukan uniform mengambil bahagian dalam perarakan ini. | ||||
PKR: Khairy “bising” kerana tergugat dalam pemilihan Umno Posted: 16 Sep 2013 03:59 AM PDT Kritikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap kenyataan Naib Pengerusi PKR N. Surendran hanyalah satu retorik bagi mengekalkan kuasanya dalam Umno setelah jawatannya bakal dicabar dalam pemilihan parti Melayu itu kali ini, kata Latheefa Koya (gambar). Menurut Pengerusi Biro Guaman dan Hak Asasi Manusia PKR itu, tiada kerajaan dalam mana-mana negara boleh menghina Perlembagaan sewenang-wenangnya dan atas dasar itulah N. Surendran mengkritik Datuk Seri Najib Razak kerana memberi tafsiran yang salah kepada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan. "Artikel 153 bukanlah jalan pintas kepada kerajaan menjalankan polisi diskriminasi seperti mengagihkan pegangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kontrak dan segala bentuk yang terdorong kepada kaum Melayu sahaja. "Peruntukan berkenaan jelas menyatakan hak dan kepentingan kaum lain mesti dilindungi kerana Artikel 153 hanya mengehadkan peluang dalam perjawatan awam, biasiswa, pendidikan dan lesen operasi perdagangan kepada kaum Bumiputera tetapi peruntukan ini tidak harus dimonopoli oleh kelas pertengahan dan golongan Melayu kelas atasan. "Peruntukan dalam Artikel 153(4) hingga (9) jelas menyatakan keistimewaaan itu mesti diberi secara berpatutan dan tidak mengabaikan kaum lain. Pengumuman Najib memberi bantuan kewangan, sokongan GLC dan perumahan jelas satu polisi diskriminasi kerana diberikan atas sokongan golongan tersebut kepada Barisan Nasional (BN) yang jelas tidak belandas perlembagaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Semalam media melaporkan Khairy menyelar Surendran seolah-olah tidak mahu mengiktiraf kewujudan agensi di bawah kerajaan yang bertujuan menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera. "Kenyataannya keterlaluan. Dia seolah-olah tidak membenarkan kewujudan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun). Saya kesal dengan tindakannya itu apatah lagi sebagai naib presiden parti. "Jika begini sikap pemimpin PKR, tidak mustahil jika mereka berpeluang memerintah negara ini pasti agensi yang mengutamakan orang Melayu dan Bumiputera dihapuskan demi kononnya mahu menyamaratakan dengan kaum lain," katanya. Surendran dalam kenyataannya mempersoalkan kewibawaan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan membangkitkan kemarahan golongan Bumiputera kononnya pengumuman Perdana Menteri menyentuh kebebasan asasi rakyat. Khairy turut mempersoalkan adakah kenyataan Surendran itu merupakan kenyataan rasmi parti atau peribadi. Katanya, sekiranya kenyataan itu adalah daripada PKR, Khairy mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengumumkan kenyataan Surendran itu sebagai kenyataan rasmi tetapi jika tidak maka Anwar digesa menasihati Surendran untuk membuat permohonan maaf secara terbuka. Ketua Pemuda Umno itu berkata, Surendran sewajarnya tidak membuat kenyataan seperti itu kerana menjadikan rakyat melihat pemimpin PKR yang juga seorang peguam tidak memahami Perlembagaan Persekutuan. | ||||
Umno bertanggungjawab atas kelemahan berterusan Bumiputera Posted: 16 Sep 2013 01:27 AM PDT SHAH ALAM : Dasar Ekonomi Baru dibawah urustadbir Umno-Barisan Nasional telah gagal mengangkat martabat ekonomi Bumiputera, disebalik pelbagai retorik dan peruntukan berbilion ringgit untuk memperkasa pembangunan Bumiputera. Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Umno sering menggunalan istilah Melayu, Bumiputera dan pembangunan secara seiring, namun taraf ekonomi golongan majoriti itu kekal lemah dibawah Umno-BN tidak dapat dinafikan. Turut mendukacitakan adalah keadaan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang daif berbanding Bumiputera di Semenanjung Malaysia. "Umno-BN mesti menjelaskan kepada semua rakyat Malaysia mengapa meskipun begitu lama DEB dilaksanakan dan berbilion-bilion ringgit dibelanjakan, tetapi mobiliti sosial Bumiputera kekal rapuh dan memperlukan sokongan Kerajaan berterusan," katanya dalam satu kenyataan media. Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Universiti Teknologi Mara (UiTM), semalam. Muhyiddin berkata agenda ini merupakan pengukuhan komitmen Umno kepada pembangunan ekonomi Bumiputera, dan Umno tidak akan apologetik kepada masyarakat bukan Bumiputera dalam memperjuangkan matlamat itu. Nik Nazmi bagaimanapun berkata Umno terlebih dahulu perlu menjawab mengapa selepas 42 tahun DEB dikelola Umno-BN, golongan Bumiputera masih tidak mempunyai daya ekonomi untuk berdiri atas kaki sendiri. "Mobiliti sosial hanyalah bermakna pada jangka masa panjang sekiranya fenomena ini dapat bertahan sendiri. Justeru, mobiliti sosial seharusnya dapat diwariskan kepada generasi akan datang tanpa bantuan yang berterusan," tegas beliau. Tambahnya lagi, Umno perlu menjelaskan kebocoran RM54 bilion saham yang diperuntukkan untuk Bumiputera di Bursa Saham Kuala Lumpur, seperti yang dilaporkan Bernama, 30 Jun 2010. "Tiga tahun lalu Najib mengakui bahawa daripada RM54 bilion nilai saham yang diperuntukkan kepada masyarakat Bumiputera, hanya RM2 bilion yang kekal di tangan masyarakat itu. Ke manakah pergi saham yang lain?" soal beliau. Nik Nazmi juga mendesak Umno memberi alasan mengapa jurang sosioekonomi di dalam masyarakat Bumiputera semakin melebar, disebalik kepercayaan yang diberikan kepada parti itu. "Banyak kelemahan-kelemahan masyarakat Bumiputera, termasuk hakikat bahawa pendapatan purata masyarakat Cina Malaysia adalah lebih tinggi berbanding Bumiputera dengan nisbah 1: 1.43 dan effective control terhadap syarikat korporat hanyalah 10 peratus," katanya. Hakikatnya, tegas Nik Nazmi, UMNO bertanggungjawab di atas kelemahan berterusan masyarakat Bumiputera. "Berapa lamakah penyelesaian kepentingan dan masalah sebenar masyarakat bukan Bumiputera perlu ditangguhkan atau tidak diendahkan sementara Kerajaan memainkan sentimen masyarakat Bumiputera hingga hubungan antara kaum menjadi korban? Beliau berkata, inisiatif terbaru Najib tidak memberi keyakinan bahawa isu pokok yang dihadapi masyarakat Bumiputera sekarang dapat diatasi. Malah katanya, langkah-langkah yang diumumkan itu adalah lebih kepada memastikan survival politik terhadap individu tertentu, bukannya keprihatinan sebenar untuk mengangkat martabat Bumiputera. "Semua rakyat menjadi mangsa kegagalan dasar-dasar Kerajaan Umno-BN yang lebih mementingkan retorik daripada perkara-perkara substantive. Pendekatan Kerajaan hanyalah membelanjakan wang untuk semua masalah dengan harapan masalah tersebut akan selesai," katanya lagi. | ||||
Umno “sakit tua dan bakal mati”, kata Dr Mahathir Posted: 16 Sep 2013 01:16 AM PDT Menjelang pemilihan Umno hujung tahun ini, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati parti Melayu itu agar melantik pemimpin muda kerana ia sedang menghidap "sakit tua" dan bakal "mati". "Ini naluri manusia. Lambat-laun manusia akan menemui ajalnya," kata Dr Mahathir. Beliau yang pernah berkhidmat selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri menegaskan hanya dengan pemimpin muda, Umno akan dapat meneruskan legasi mereka memerintah negara ini. "Pembaharuan umat manusia ialah melalui zuriat. Anak kita, cucu kita, cicit kita akan kekalkan kita secara tidak langsung di dunia, akan sedikit sebanyak meneruskan sumbangan kita yang terdahulu," katanya dipetik dari akhbar Utusan Malaysia hari ini. Meskipun jelas Dr Mahathir, beliau cuba untuk menyedarkan Umno berhubung perkara itu, ada pihak yang memandang serong terhadapnya, malah menuduh beliau mempunyai agenda tersendiri. "Malangnya ada pihak yang berpendapat tulisan saya mempunyai agenda tertentu, kononnya kerana saya ingin kekalkan kepimpinan saya melalui anak saya. "Jika saya ingin tolong anak saya, sepatutnya saya berusaha semasa saya jadi Perdana Menteri," kata bekas Presiden Umno itu lagi. Tegasnya, hanya jika Umno diperbaharui oleh generasi muda barulah parti Melayu itu dapat meneruskan perjuangan-perjuangan yang diamanahkan kepada Umno. "Ahli Umno mestilah ditambah melalui kemasukan generasi muda yang bersemangat kebangsaan... demikian juga dengan kepimpinan Umno di semua peringkat, terutama di peringkat pusat, di dalam Majlis Tertinggi. "Ahli-ahli badan ini mestilah terdiri sebahagiannya daripada yang muda," katanya. Umno dahulu kata Dr Mahathir sentiasa bersemangat dan bercita-cita besar demi bangsa termasuk menewaskan Malayan Union kerana pemimpin mereka kebanyakannya adalah golongan muda. "Saya masih ingat mereka yang menjadi pengasas Umno, mereka muda-muda belaka. Purata usia mereka belum pun setengah abad. Ramai yang hanya dalam lingkungan tiga puluhan. Mereka memiliki kecergasan minda orang muda, bersemangat, memiliki cita-cita besar untuk bangsa mereka. "Dan Umno pun bertenaga, aktif kerana mudanya pemimpin dan ini memberi harapan kepada bangsa Melayu," katanya. Pemimpin Umno sekarang bagaimanapun tegas Dr Mahathir masih enggan berundur meskipun sudah berusia, malah sanggup merasuah demi terus kekal sebagai pemimpin. "Masa mereka sudah terlanjut... sumbangan mereka semakin merosot. Ya, menjadi pemimpin memang sedap. Segala kemudahan dapat dinikmati. "Lagi pun sedap sungguh kerusi yang diduduki. Memuaskan sungguh kuasa yang dimiliki. Kenapakah pemimpin perlu undur, tarik diri," katanya. Tetapi Dr Mahathir mengingatkan agar pemimpin-pemimpin ini harus sedar akan pentingnya mereka tidak melampaui masa mereka. "Lambat-laun orang akan berasa bosan, bahkan naik meluat akan pemimpin yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman tetapi masih tidak terima kebenaran," tegasnya. Malangnya kata Dr Mahathir, ramai yang begitu mudah tergoda dengan sogokan wang. "Tak banyak... RM200 pun boleh mengalih pemikiran sesetengah ahli Umno. Mereka bukan menjual undi. Sebenarnya mereka menjual bangsa, menjual maruah diri mereka," tegasnya. Beliau juga menyeru agar amalan berkenaan dihentikan kerana apabila pemimpin yang dipilih adalah perasuah, mereka tidak akan teragak-agak menjual bangsa. "Ingatlah negara kita dahulu lebih besar tetapi kerana duit ia sudah jadi kecil. Ia akan jadi lebih kecil lagi jika perasuah memimpin negara ini. Orang Melayu yang menjadi tunjang perjuangan Umno tegas Dr Mahathir juga turut tidak mempercayai Umno, dan menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO). "Jika mereka mempunyai banyak pilihan, Umno sudah kalah Pilihan Raya Umum ke-13," kata Dr Mahathir. Justeru, Dr Mahathir menyeru agar pemimpin-pemimpin berkenaan mengetepikan kepentingan diri, dan memberikan peluang kepada generasi muda. "Berilah tempat kepada yang muda. Terimalah mereka ke dalam parti. Pilihlah mereka dan tolaklah yang sudah tua. "Hanya dengan cara ini sahaja barulah perjuangan Umno untuk bangsa, agama dan tanah air dapat diteruskan," katanya. | ||||
Presiden: Tiada usaha singkir Mat Sabu dalam PAS Posted: 16 Sep 2013 01:12 AM PDT MALAYSIA KINI Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan dakwaan bahawa wujud usaha dalam parti itu untuk menyisihkan timbalannya Mohamad Sabu dalam pemilihan parti pada November.Abdul Hadi dalam laporan Sinar Harian menyebut, pertandingan di antara pemimpin dari kalangan ulama dan bukan ulama juga bukan perkara baru dalam parti. "Tidak ada gerakan seperti dimaksudkan. Perkara seperti ini bukan baru dalam parti, sebelum ini pun ada pertandingan antara ulama dan bukan ulama untuk jawatan tertinggi," katanya seperti dipetik Sinar Harian. Katanya, ketetapan Dewan Ulama PAS agar jawatan tertinggi dalam parti tersebut diisi oleh golongan ulama juga akan diputuskan oleh para perwakilan. "Dewan Ulama adalah satu badan dalam PAS, namun keputusan kelak terserah pada perwakilan dari seluruh negara," katanya. Abdul Hadi juga menyerahkan kepada para perwakilan untuk memutuskan sama ada jawatan presiden dan timbalan tidak dipertandingkan. "Saya serah pada ahli untuk buat pertimbangan. Saya sendiri tidak tahu sama ada dicalonkan kelak. "Jika ya, saya akan tunaikan amanah. Kita terikat pada perlembagaan dan jawatan ini terbuka untuk dipertandingkan," katanya lagi. | ||||
Zaman Khan: Pencetak 3D boleh hasilkan senjata api Posted: 16 Sep 2013 01:11 AM PDT Pencetak 3D, iaitu percetakan sesuatu pelan kepada model bentuk plastik, membuka ruangan kreatif untuk perniagaan dan ilmu namun boleh menjadi ancaman kepada keselamatan umum jika disalahgunakan. Terbaru ada pihak dari Amerika Syarikat menyediakan pelan pembinaan senjata api yang boleh dicetak melalui laman web dan ini menimbulkan kekhuatiran pelbagai pihak termasuk Malaysia. Oleh sebab itu, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan berkata kerajaan bukan sahaja di Malaysia malah di dunia perlu ada sistem kawalan terhadap mesin teknologi digital terkini itu yang mampu mengganggu-gugat keselamatan negara. Beliau berkata penggunaan mesin itu mungkin memberi manfaat kepada semua namun tanpa kawalan yang ketat akan memberi peluang kepada individu berniat jahat menghasilkan sesuatu yang memudaratkan. "Memang kita puji penggunaan mesin itu, tapi dari segi kesalahan ini sangat berbahaya, pencetak 3D yang dijual tanpa kawalan, individu yang berniat jahat mampu menghasilkan senjata api melaluinya," katanya kepada Bernama. Zaman Khan berkata biarpun setakat ini, masih belum ada yang digunakan untuk perkara jenayah, namun sekiranya tidak dikawal dan tanpa pemantauan yang lebih akan membanjirkan negara malah dunia dengan senjata api," katanya. Rasional kerisauan Zaman Khan bersandarkan insiden cubaan bunuh dan bunuh di negara ini melibatkan penggunaan senjata api termasuk membabitkan kes berprofil tinggi. Antara kes itu adalah pada 29 Julai lepas apabila Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi dibunuh manakala isterinya cedera parah akibat ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di Kuala Lumpur. Dua hari sebelum itu, aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan jalan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan. Zaman Khan mengulas berhubung pencetak 3D iaitu alat pembuatan yang menjadikan fail imej 3 Dimensi sebagai input untuk diterjemahkan menjadi produk fizikal, diperbuat daripada bahan plastik. Dakwat atau bahan yang digunakan untuk membina objek bercetak itu diperbuat daripada 'acrylonitrile butadiene styrene' (ABS) iaitu bahan plastik yang sama digunakan untuk membuat mainan kanak-kanak dan mesin itu dijual beberapa syarikat di Malaysia dengan harga sekitar RM4,000 hingga RM7,500 seunit. Lebih menggemparkan ada laman video di You Tube memaparkan seorang lelaki Kanada berjaya menembak 14 pusingan tunggal dari senapang yang dihasilkan melalui pencetak 3D dan adakah penemuan yang jelas ini akan memaksa kerajaan Amerika Syarikat untuk memikirkan semula dan mengharamkan video itu daripada dimuat naik dalam talian. Zaman Khan berkata dakwat yang digunakan pencetak 3D juga perlu dikawal atau diharamkan terus daripada dijual melainkan individu terbabit mempunyai lesen untuk memilikinya. "Ini sangat bahaya, kalau di Malaysia dah ada, yang memiliki mesin pencetak ini perlu diberi kawalan dan pengawasan yang ketat oleh kerajaan," katanya. Sementara itu, Ketua Komunikasi Strategik Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Sheikh Raffie Abd Rahman berkata pihaknya sentiasa memantau video yang dimuat naik dalam talian dan individu yang terlibat boleh disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1988. "Individu itu boleh disiasat mengikut Seksyen 233 (1) AKM 1998 iaitu seseorang yang menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi, mewujudkan apa-apa komen, permintaan, mengugut atau mengganggu orang lain. "Malah individu itu juga boleh dikenakan menurut Seksyen 183 AKM 1998 iaitu seseorang yang menggunakan apa-apa kelengkapan teknik atau sistem yang mmenjejaskan keselamatan awam, tapi pencetak 3D bukan sesuatu yang salah selagi tidak mendatangkan bahaya," katanya. Beliau berkata orang ramai yang melihat penyebaran video menghasilkan senjata boleh membuat aduan kepada SKMM dan polis namun dinasihati supaya tidak menyebarkannya kepada pengguna laman You Tube yang lain.- Bernama | ||||
Peragut maut motosikal langgar tembok Posted: 16 Sep 2013 01:09 AM PDT Seorang peragut maut selepas dia dan rakannya meragut beg tangan seorang wanita di kawasan tempat letak kereta di Flat Taman Megah, Cheras. Suspek meninggal selepas dibawa ke Hospital Kajang sementara rakannya berjaya melarikan diri bersama kereta mangsa. Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata kejadian berlaku kira-kira 6.30 pagi tadi apabila mereka yang menunggang motosikal meragut seorang wanita berumur 32 yang baharu pulang dari kerja. Beliau berkata mangsa kemudiannya bertindak mengejar suspek dengan keretanya sejauh kira-kira 100 meter sehingga tiba di sebuah persimpangan lampu isyarat di Taman Cheras Perdana. "Pada masa yang sama pembonceng motosikal itu bertindak membaling topi keledarnya ke arah mangsa membuatkan motosikal yang ditunggang rakannya hilang kawalan dan melanggar tembok pembahagi jalan. "Kedua-dua suspek yang berusia 30-an itu terjatuh dari motosikal mereka dan turut mengakibatkan tangan pemboncengnya tersepit pada tayar kereta mangsa. "Tangannya berjaya dikeluarkan oleh mangsa dengan bantuan orang ramai. Namun kesempatan ini digunakan pula si pembonceng tadi untuk melarikan kereta mangsa yang enjinnya masih hidup serta meninggalkan rakannya serta beg tangan mangsa di situ," katanya ketika dihubungi. Ab Rashid berkata penunggang motosikal itu yang cedera dibawa ke Hospital Kajang tetapi meninggal di hospital. Beliau berkata suspek yang mati mempunyai tiga rekod jenayah sementara suspek yang melarikan diri itu sedang diburu.- Bernama | ||||
Program Anwar di P Pinang & Perak hari ini, 16 September Posted: 16 Sep 2013 01:06 AM PDT KEADILAN DAILYKetua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri dua majlis berasingan di Pulau Pinang dan Perak hari ini.Di bawah jadual program: 1. Himpunan Kepedulian Kemanusiaan Global & Solat Hajat 16 September 2013, 3-6 petang di Yayasan An-Nahdoh, Kubang Semang, Pulau Pinang. 2. Program Rapat Kemanusiaan (Mesir, Gaza, Syria, Rohingya, Bangladesh) 16 September 2013, 9.00 malam di Surau Nurul Huda, Batu 6 RPT Tambun | ||||
Pelan Pendidikan kucar-kacir, tumpu pengajian BI – Bekas guru Posted: 16 Sep 2013 01:05 AM PDT KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR : Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancar Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mendapat kritikan pelbagai pihak. Terbaharu, bekas Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Datuk Nordin Mahmud menyifatkan pelan itu lebih tertumpu kepada pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris serta tersasar daripada pelan pendidikan kebangsaan. Menurutnya, syarat kelulusan Bahasa Inggeris (BI) untuk Sijil Pelajaran Malaysia pula memberi isyarat penekanan lebih meluas terhadap pembelajaran dalam Bahasa Inggeris. "Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) lebih sesuai dinamakan Pelan Pembangunan Bahasa Inggeris kerana dalam laporan itu menyarankan tiap-tiap murid harus fasih dalam dua bahasa, iaitu Melayu dan Inggeris. "Bila Bahasa Inggeris (BI) diutamakan, Bahasa Melayu akan dipinggir. Syarat lulus BI pada 2016 akan memastikan semua sekolah menekankan BI sebagai keperluan (keutamaan) pembelajaran menjelang 2016. "Ini seolah-olah mengembalikan sistem pendidikan kepada PPSMI yang menggalakkan penguasaan BI dalam Sains dan Matematik," katanya kepada Keadilan Daily. Kata Nordin lagi, PPSMI sebagaimana diakui kerajaan telah menyebabkan 500,000 pelajar tercicir dalam Sains dan Matematik seperti diumumkan Kementerian Pelajaran pada waktu itu. Beliau turut mempertikaikan peranan sekolah berbahasa pengantar Inggeris yang tidak disentuh dalam PPPM. Katanya, laporan dan pelan itu seolah-olah menggalakkan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris. "Jika dahulu 40 peratus sahaja kuota rakyat boleh menyertai sekolah ini tetapi mulai dua tahun lalu, syarat ini telah ditarik balik dan semua rakyat Malaysia layak memasuki sekolah itu. Bererti wujudnya sekolah aliran Inggeris dalam negara ini, dan jelas menjadi pesaing kepada aliran sekolah kebangsaan," katanya. | ||||
RCI Sabah cuma wayang BN: Pemantau KDN Pakatan Posted: 16 Sep 2013 01:03 AM PDT Oleh Masdar Wahid KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai imigran Sabah hanya wayang BN untuk meredakan kemarahan rakyat sedangkan skandal pemberian Kad Pengenalan (IC) kepada imigran terus berlaku. Menurut Pemantau Kementerian Dalam Negeri (KDN) Pakatan Rakyat, Datuk Johari Abdul, buktinya pada 19 April lalu, Penolong Penyelidik Projek Analisis Daftar Pemilih Malaysia (Merap), Lee Wee Tak mendedahkan wujud 900 pengundi berkongsi nama dan tarikh lahir sama di seluruh negara. Malah ada antara mereka menetap di kampung sama dan IC dikeluarkan di negeri sama. "Sejak media mendedahkannnya, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak gagal menyelesaikannya sekaligus membuktikan RCI ini hanya wayang untuk meredakan kemarahan rakyat," katanya kepada Keadilan Daily. Mengulas lanjut Johari berkata, pada 22 Mac lalu Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming turut mendedahkan lebih 7,000 pemegang IC Merah dan Hijau yang bukan rakyat Malaysia tersenarai dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). "Malah semakan Ong mendapati nombor IC Merah bernombor H6000000 hingga H6040000 dan nombor IC Hijau dari H8000000 hingga H8040000 itu dibekal Ketua Jabatan Kad Pengenalan JPN Sabah dan Sarawak, Ruslan Alias ketika RCI Sabah masih berjalan. "Sebab itu kita melhat akhirnya RCI ini hanya memanggil saksi dan selepas itu membuat kesimpulan retorik tanpa mendakwa dalang sebenar di sebalik skandal ini," katanya lagi. Najib mengumumkan RCI itu pada 1 Jun 2012 walaupun desakan mengenainya dibuat sejak puluhan tahun lalu. RCI mula bersidang pada 14 Januari 2013 dan setakat 11 September lalu, 209 saksi sudah memberi keterangan walaupun asalnya hanya 167 nama disenaraikan. Malah Tun Dr Mahathir Mohamad hanya dipanggil selepas namanya disebut beberapa pegawai kerajaan yang bekerja di bawahnya semasa beliau mengetuai KDN sedangkan sebelumnya bekas Perdana Menteri itu menolak penubuhan RCI. | ||||
Fitnah II: Permohonan Anwar ketepi rayuan diketuai peguam Umno didengar esok Posted: 16 Sep 2013 01:01 AM PDT KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR : Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah daripada pasukan pendakwaan akan didengar di Mahkamah Rayuan Putrajaya esok, 17 September dan seterusnya 18 September. Rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan mahkamah membebas dan melepaskan Ketua Umum KEADILAN itu dalam kes tersebut juga akan didengar pada tarikh sama. Perkara itu diputuskan dalam pengurusan kes di Mahkamah Rayuan pada 1 Ogos lalu. Anwar dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008. Pasukan peguam Anwar membantah perlantikan Muhammad Shafee yang mengetuai pasukan pendakwaan bagi kes rayuan Fitnah II kerana beliau merupakan peguam pro Umno. Menurut Anwar, notis bantahan diserah kepada mahkamah kerana jelas kes tersebut bermotif politik dan bertujuan menghentikan kegiatan politik beliau. "Kita mempersoal kepentingan kerajaan dalam melantik Shafee yang jelas prejudis terhadap kes ini untuk mengetuai pendakwaan," kata Anwar kepada pemberita berhubung bantahan tersebut. "Dengan sikap prejudis Shafee, mustahil kes ini ditangani secara profesional, kita faham mungkin kerajaan kekurangan peguam profesional untuk mengetuai kes ini," sinis beliau. Shafee sebelum ini mendapat kecaman pengguna internet kerana dikatakan merangka konspirasi dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memusnahkan imej Anwar. | ||||
Nik Nazmi: Mana lesap RM52 bilion saham Bumiputera? Posted: 16 Sep 2013 12:59 AM PDT Oleh Masdar Wahid KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Razak perlu jelaskan ke mana lesap RM52 bilion saham Bumiputera sebagaimana diakui Perdana Menteri itu pada 24 Mac 2011. "Berapa bilion wang rakyat lesap kerana rasuah dan salah tadbir kerana tiga tahun lalu, Najib mengakui daripada RM54 bilion nilai saham diperuntukkan kepada Bumiputera, hanya RM2 bilion kekal di tangan masyarakat itu. "Persoalannya ke mana hilang RM52 bilion saham itu," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan. Beliau merujuk pengumuman Najib sebelum itu yang mengunjurkan beberapa langkah kononnya untuk memperkasa ekonomi Bumiputera. Antara lain, Najib mengumumkan dana tambahan berjumlah RM700 juta kepada Tekun Nasional dan tambahan pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM300 juta, serta memperkenal Skim Permulaan 'Entrepreneur' Baharu Bumiputera (Superb). "Sudah tentu mengangkat martabat Bumiputera cabaran besar buat Malaysia, namun PM dan Timbalannya perlu menjawab mengapa Bumiputera kekal lemah di bawah Umno yang memerintah sejak lebih 50 tahun lalu," tegas Nik Nazmi. "Najib juga harus menjelaskan mengapa jurang sosioekonomi masyarakat semakin melebar," kata beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Beliau mendesak Najib tidak menyalahkan Bumiputera ekoran kegagalan golongan itu mencapai ekuiti 30 peratus dalam Dasar Ekonomi Bumiputera (DEB). Katanya, ini kerana Umno seringkali mendakwa hanya parti itu layak memerintah Malaysia, manakala bagi yang menolak dianggap pengkhianat. "Hakikatnya, Umno bertanggungjawab atas kelemahan Bumiputera. Rakyat sering menjadi mangsa kegagalan dasar Umno BN kerana parti itu mementingkan retorik. "Pendekatan mereka hanya membelanjakan wang untuk semua masalah dengan harapan masalah itu kononnya selesai," katanya. Menurutnya, pengumuman Najib pada 14 September lalu sekadar menunjukkan kelemahan Bumiputera yang dimanipulasi Presiden Umno itu sebagai kempen menjelang pemilihan Umno Oktober ini. | ||||
Chin Peng meninggal dunia di Bangkok Posted: 16 Sep 2013 12:55 AM PDT MALAYSIA KINI Bekas pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng yang tinggal dalam buangan di Thailand meninggal dunia di satu hospital di Bangkok pagi ini.Laporan media Thailand hari ini menyebut, Chin Peng, 90, meninggal dunia akibat sakit tua pada jam 6.20 pagi. Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan pada 1924. Beliau diburu pihak berkuasa Malaysia susulan pemberontakan PKM yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia terbunuh. Pemburuan itu berkahir pada 1989 selepas perjanjian damai ditandatangani pada 1989. Namun begitu, sesetengah pengkaji sejarah berpendapat Chin Peng wajar ditempatkan dalam sejarah kerana mengetuai pasukan komunis untuk menentang pencerobohan Jepun dan penjajahan British. Susulan perjanjian damai itu, Chin Peng hidup dalam buangan di Selatan Thailand. Cubaannya untuk meyakinkan mahkamah Malaysia untuk membenarkan beliau pulang ke negara ini tidak berhasil. Chin Peng mula mendapat perhatian apabila mengetuai pasukan gerila untuk menentang tentera Jepun melalui pasukan Malayan Peoples Anti-Japanese Army (MPAJA). Beliau membantu British dalam kempen tersebut dan mendapat anugerah dari kerajaan British. Anugerah berkenaan kemudiannya ditarik balik apabila PKM bawah pimpinan Chin Peng mensasarkan tentera British yang kembali ke Malaya selepas Jepun menyerah diri. Perintah darurat kemudiannya diumumkan pada 16 Jun 1948 selepas PKM menyerang dan membunuh tiga pengurus ladang British, dan parti tersebut seterusnya diharamkan sebulan kemudian. Pertentangan di antara PKM dan British berterusan sehingga 1960 apabila perintah darurat ditarik balik dan Chin Peng serta pengikutnya kemudian melarikan diri ke Selatan Thailand. PKM meletak senjata pada 1989. Satu perkara yang dipersetujui dalam perjanjian berkenaan adalah untuk membenarkan anggota PKM kembali ke Malaysia. Susulan itu, beberapa pemimpin PKM seperti Syamsiah Fakeh dibenarkan pulang namun ramai lagi termasuk Rashid Maidin dan Abdullah CD, serta Chin Peng sendiri, tidak dibenarkan pulang. Pengerusi DAP Karpal Singh pada awal bulan ini meminta kerajaan supaya membenarkan Chin Peng dan anggota PKM yang dilarang memasuki negara ini untuk pulang ke tanah air. Gesaan Karpal itu dibuat selepas bekas Timbalan Ketua Pengarah Cawangan Khas Tan Sri Yuen Yuet Leng, membuat kenyataan sama seperti dilaporkan media sebelum ini. Gesaan itu bagaimanapun dibantah keras oleh NGO PERKASA berpendapat bekas pemimpin PKM itu masih perlu dibicarakan atas keganasan yang dijalankan sebelum ini | ||||
PERKASA: Lupakan saja Chin Peng Posted: 16 Sep 2013 12:53 AM PDT Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata mayat Chin Peng tidak harus dibawa pulang ke negara ini dan sejarah mengenai bekas pemimpin Parti Komunis Malaya itu juga perlu dipadam. Ibrahim berkata rakyat Malaysia wajar melupakan terus Chin Peng, yang dilaporkan meninggal dunia di Bangkok akibat sakit tua hari ini, kerana bekas setiausaha agung PKM itu merupakan seorang "penjenayah". "Sama ada mayatnya patut dibenar untuk dibawa pulang, pada hemat saya, tidak perlu. "Kalau masa hidup pun kita tidak setuju Chin Peng dibenar pulang ke Malaysia, maka selepas mati pun, mayatnya tidak patut diizin untuk di kebumikan di Malaysia," katanya. Ibrahim berkata, generasi muda sepatutnya memperingati tokoh lain seperti Tun Tan Cheng Lock dan Tun Tan Siew Sin berbanding Chin Peng. "Sejarah manusia seperti Chin Peng mesti dipadamkan daripada sejarah daripada diketahui oleh rakyat terutama generasi muda. "Ada juga sejarah peristiwa hitam yang patut diketahui oleh masyarakat untuk pengajaran, tetapi tidak sejarah penganas dan penjenayah yang merosakkan negara. "Elok lupa sajalah Chin Peng ini," katanya dalam satu kiriman SMS kepada Malaysiakini. Chin Peng, 90, adalah bekas pemimpin Parti Komunis Malaya yang tinggal dalam buangan di selatan Thailand dilapor meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok, akibat sakit tua pada jam 6.20 pagi ini. Mengulas lanjut, Ibrahim - yang dianggap pemimpin yang lantang membela hak Melayu - berkata beliau langsung tidak terkejut dengan berita kematian Chin Peng kerana dimamah usia. "Chin Peng sudah mati. Saya langsung tidak terperanjat. Ini kerana usianya yg sudah tua, maka dia patut lama sudah mati," katanya. | ||||
'Tahaluf Siyasi’ langkah tepat Posted: 16 Sep 2013 12:48 AM PDT Keberadaan PAS dalam Pakatan Rakyat adalah merupakan langkah yang sangat tepat dengan realiti politik negara, kata Nik Aziz. PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa keberadaan PAS di dalam Pakatan Rakyat sekali-kali bukan merupakan langkah yang silap, bahkan ia merupakan langkah yang sangat tepat dengan realiti politik negara. "Berhubung kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat, jika mahu dikaji, silakan. Tetapi kaji hanya untuk penambahbaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang. "Kaji untuk berundur ke belakang hanya memberi pelampung kepada Umno yang sedang kelemasan," katanya ketika mengulas resolusi mengkaji Tahaluf Siyasi dengan PKR dan DAP pada Multaqa Ulama se-Malaysia di Kompleks PAS Kota Sarang Semut dekat Alor Setar semalam. Bekas menteri besar Kelantan itu berkata demikian dalam satu kenyataannya hari ini sebagai merujuk kepada akhbar Sinar Harian di bawah tajuk besar "Pakatan rugikan PAS?" Akhbar milik Umno, Mingguan Malaysia pula hari ini di bawah tajuk "Pengaruh PAS semakin lemah" antara lain melaporkan bahawa Multaqa tersebut mencapai beberapa resolusi termasuk cadangan mengkaji semula Tahaluf Siyasi (kerjasama/persefahaman politik) dalam pakatan pembangkang khususnya PKR dan DAP. Ujar Nik Aziz, "perlu dijelaskan bahawa penyertaaan PAS melalui Tahaluf Siyasi di dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu sahaja. "Ia diputuskan oleh keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihan raya umum 2008. "Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia," jelas beliau. Menurut beliau, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno. Umno katanya, bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka. Tegas beliau, "senjata Umno ialah perkauman, lambang Umno ialah keris tidak bersarung, politik Umno ialah politik samseng jalanan, sampai bila-bila non-Muslim tidak akan melihat keindahan Islam melalui cermin mata politik Umno yang penuh dengan habuk kebangsaan. "Dalam Pakatan Rakyat, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS tidak pernah ditentang. Pemimpin-pemimpin DAP khususnya seringkali datang ke pejabat saya berbincang tentang nilai-nilai Islam," jelasnya. Sementara itu, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak melihat sebarang kemungkinaan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat, sebaliknya mahu memperkuatkan lagi pakatan politik tersebut. Presiden PAS itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media selepas majlis penutupan Multaqa Ulama Se-Malaysia di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut dekat sini semalam. Mengulas resolusi multaqa yang mencadangkan supaya tahaaluf siyaasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat disemak semula, beliau berkata sehingga kini PAS tetap bersama-sama dalam Pakatan Rakyat. "Semua urusan termasuk penyusunan ahli-ahli parlimen seperti yang kita setuju dengan apa yang ada pada hari ini dan juga penyertaan dalam parlimen dan dewan undangan negeri, kita masih tetap bersama," katanya dipetik dari harakahdaily. | ||||
Posted: 16 Sep 2013 12:45 AM PDT Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera dilaksana dalam suasana budaya rasuah, sikap cuai dan kronisme yang masih berleluasa. Oleh Mahdzir Ibrahim Secara formalnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1970 sudah tiada selepas tahun 1990, ketika itu Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. DEB digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional dan kemudian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menukarnya sekali lagi setelah BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen pada PRU ke 12, menjadi Model Ekonomi Baru (MEB) pada tahun 2010. Malah dizaman Najib juga, MEB disertai dengan Program Transformasi Ekonomi atau Economic Transformation Programe (ETP). Intipati kepada ketiga-tiga dasar ini tetap sama sungguhpun namanya berbeza. Saya pernah bertanyakan perkara ini dengan rakan-rakan dari kaum Cina. Adakah mereka merasa tidak selesa dengan DEB atau DPN atau MED. Jawabnya secara umum, tidak. Mereka sama sekali tidak merasa risau atau bimbang atau terganggu dengan agenda DEB, DPN atau MEB kerana beliau mengakui bahawa dasar tersebut punya sebab yang boleh diterima. Realiti bahawa majoriti penduduk Malaysia, lebih dari enam puluh peratus adalah kaum Bumiputera (lebih lima puluh peratus adalah Melayu) dan kaum majoriti inilah yang paling diancam kemiskinan. Justeru katanya, kaum Cina atau India juga, tidak pun merasa cemburu atau merasa terancam, malah mereka boleh memahami dan menerimanya. Namun, jelasnya lagi bukan niat atau objektif dasar-dasar ini yang dipertikaikan, tetapi bagaimana dasar ini dilaksana. Inilah juga yang disepakati oleh ramai rakan-rakan Melayu yang lain. Rekod lampau Ratusan billion ringgit telah dibelanjakan sejak Rancangan Malaysia kedua (1970an) untuk melaksanakan semua dasar-dasar kerajaan ini. Namun, bukan sahaja objektifnya gagal dicapai malah jika 'Melayu masih ingat', ada direkodkan berlakunya pelbagai skandal penyelewengan dalam kerajaan. Ini boleh dilihat sejak dari zaman penswastaan Tun Mahathir (kes MAS/Tajudin Ramli dan krisis ekonomi 1997), zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi (Laporan Audit Negara seperti kerugian yang ditanggung kerajaan akibat kelemahan mengurus dalam projek keretapi berkembar Ipoh-Rawang) hinggalah ke zaman Najib (kes pembelian kapal selam, peralatan tentera dan kes NFC). Jika 'melayu masih ingat', pada tahun 2011, Global Financial Integrity melaporkan, sekitar RM888 billion wang haram mengalir keluar negara dari tahun 2000 hingga 2008. Ini belum termasuk laporan Ketua Audit Negara tentang pelbagai lagi ketirisan akibat kecuaian pihak kerajaan, baik diperingkat kementerian, jabatan dan agensi-agensi kerajaan dalam pelbagai projek yang lain. Ini pun jika 'Melayu masih ingat'. Siri pendedahan dalam Laporan Audit Negara setiap tahun masih gagal membuahkan tindakan drastik oleh kerajaan dalam menangani rasuah dan ketirisan dalam pengurusan kerajaan. Juga, tidak ada banyak tindakan konkrit yang diambil oleh pihak berkuasa, sebaliknya masih banyak kes dan pendakwaan yang berkaitan rasuah masih tertangguh. Peruntukan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus meningkat dalam bajet setiap tahun, tetapi indeks persepsi rasuah oleh CPI Transparency International (TI), telah meletakan Malaysia ditangga ke 60 pada 2011 yang mendapat peruntukan sebanyak RM203 juta berbanding RM29 juta pada tahun 1996 ditangga ke 26. Semuanya senario ini bermula dengan dasar pelaksanaannya. Apa jaminannya? Ini memberi indikasi bahawa apa jua dasar dengan apa pun namanya, apa jua slogan yang indah-indah untuk apa jua tujuannya, tidak dapat menjamin tahap integriti dan akauntabiliti yang tinggi dalam aspek pengurusan dan pelaksanaannya. Transformasi dalam agenda sahaja tidak memadai sebaliknya Malaysia memerlukan reformasi sistem. Kelmarin, Najib telah mengumumkan langkah untuk memperkasa ekonomi Bumiputera dalam bentuk dana dan latihan yang akan disalur dan digerakan menerusi pelbagai agensi seperti TEKUN, IKBN, JPA, MARA, UiTM, Yayasan Wakaf Malaysia dan banyak lagi, yang menelan belanja ratusan juta ringgit. Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera ini dilaksana dalam suasana budaya rasuah, sikap cuai dan kronisme yang masih berleluasa, khususnya bagi mereka yang berkepentingan. Ingin kita tegaskan lagi, apa pun dasar dan matlamatnya, rakyat tidak menolaknya secara membuta tuli. Persoalannya mudah, apakah ada jaminan dari PM bahawa kesemua dana-dana yang akan disalurkan ini akan selamat sampai ke kelompok sasaran tanpa berulangnya lagi hal ketirisan dan rasuah? Dan, adakah jaminan bahawa kumpulan sasaran untuk mendapat latihan tambahan itu benar-benar dari golongan yang memerlukan? Jika melihat dari reputasi kerajaan BN selama ini, pastinya kita merasa bimbang dan ragu. Lihat saja institusi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), dahulunya ditubuhkan fokus untuk membantu bumiputera luar bandar yang miskin, tetapi kini praktiknya seakan telah berubah. Maka, jalan paling berkesan untuk 'memperkasa' ekonomi Bumiputera ialah dengan 'memperkasa' aspek ketelusan (transparency), undang-undang dan integriti demi memastikan budaya rasuah dan ketirisan dapat diperangi habis-habisan. Masalah ketirisan dan rasuah bukan sekadar mengurus persepsi dengan slogan atau kata-kata indah tetapi ia perlu dilaksana dan dikuatkuasa dengan segera. Tidak sukar, hanya memerlukan keberanian dan kesungguhan. "Apa guna pasang pelita, jika tidak dengan sumbunya. Apa guna bermain kata, kalau tidak dengan sungguhnya." Penulis ialah peminat seni dan kebudayaan serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat, Pemuda Sosialis DAP. | ||||
Polis buru saki baki anggota Geng 08 Posted: 15 Sep 2013 05:13 PM PDT Logo-logo dan lambang kumpulan kongsi gelap di Malaysia - Foto Ihsan PDRM SERDANG – Polis dalam usaha memburu saki baki ahli geng kongsi gelap 08 yang dipercayai terlibat dengan kegiatan penyamaran sebagai anggota polis di sekitar kawasan Serdang. Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, ia ekoran penahanan seorang lelaki dipercayai ahli geng kongsi gelap terbabit bersama dua jaket bertulis Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Ops Cantas Khas malam Khamis lalu. Lelaki berusia 36 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Harrier itu ditahan dalam sekatan jalan raya di Taman Seri Serdang dekat sini, kira-kira jam 11.30 malam. Pemeriksaan kenderaan suspek menemui satu jaket milik PDRM, satu jaket hitam dengan lambang integriti PDRM serta sehelai kemeja-T dengan gambar pistol jenis Glock. Selain itu, satu paket syabu serta sebilah 'pisau Rambo' disembunyikan dalam kenderaan terbabit turut ditemui. Abd Razak berkata, pihaknya yakin dapat menyelesaikan kes penyamaran polis itu dalam masa terdekat ini. "Kami masih mengenal pasti lain-lain ahli geng ini jika ada yang terlibat berkaitan kes penyamaran sebagai penjawat awam. "Motif lelaki yang ditahan menyamar sebagai polis masih dalam siasatan, setakat ini tiada keterangan daripada suspek menyatakan dia terlibat kegiatan samun melalui penyamaran dilakukan," katanya. Beliau berkata, pihaknya percaya suspek yang mempunyai tatu lambang Geng 08 pada lengan kanan dan dada kirinya lebih kepada menipu orang awam supaya mempercayainya adalah anggota polis. Suspek yang diberkas menaiki kenderaan curi dengan nombor pendaftaran palsu itu disiasat mengikut Akta Pendaftaran Pertubuhan 1956 dan Akta Dadah Berbahaya 1952. | ||||
Hadi: Kaji untuk perkukuh kerjasama Pakatan Posted: 15 Sep 2013 05:09 PM PDT MALAYSIA KINI Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata saranan oleh ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib untuk mengkaji semula kerjasama dengan PKR dan DAP bertujuan untuk menguatkan lagi usaha berkenaan dalam Pakatan Rakyat. Abdul Hadi dalam laporan Sinar Harian menegaskan, PAS akan tetap bersama dengan dua parti tersebut dalam Pakatan Rakyat. "Ini adat dalam politik, kita mestilah kaji setiap perjalanan. Kita hanya mahu kaji untuk kuatkan lagi muafakat. "Kita akan terus bersama dala Pakatan Rakyat dan tiada kemungkinan untuk keluar dariapda Pakatan itu," katanya seperti dipetik akhbar tersebut. Akhbar hari ini melaporkan Harun sebagai mencadangkan PAS Pusat supaya mengkaji semula kerjasama politik dalam Pakatan berdasarkan garis panduan syura susulan pengaruh parti itu dilihat semakin lemah. Beliau berkata langkah itu wajar berikutan kebelakangan ini berlaku pelbagai perkara yang melemahkan PAS selain merosakkan hubungan dalam kerjasama politik sendiri. Sementara Naib presiden Datuk Mahfuz Omar (kanan) dan ahli jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad turut menyokong kenyataan dengan Abdul Hadi itu. Sekalipun menghormati pandangan Harun itu, Mahfuz tetap menegaskan parti itu sentiasa mengkaji setiap strategi bagi memperkukuhkan setiap kerjasama yang dilakukan. "(Cadangan) itu biasa. PAS sentiasa mengkaji setiap strategi untuk memperlihatkan keberkesanan (fungsi PAS dalam Pakatan) di samping memperkukuh dan memantapkan sebarang bentuk kerjasama yang kita lakukan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini. Ahli parlimen Pokok Sena itu bagaimanapun menasihatkan mana-mana pemimpin supaya berhati-hati mengulas isu yang dibangkitkan dan adalah lebih baik ia dibincangkan secara dalaman. Manakala, Khalid pula menegaskan kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat "tidak sekali-kali" merugikan parti itu, malah mendapat manfaat yang lebih banyak. Beliau yang juga ahli parlimen Shah Alam turut bersetuju supaya PAS mengkaji semula kedudukannya dalam Pakatan semata-mata untuk "memperbaiki dan memperkukuhkan" kerjasama di kalangan parti pembangkang, "Dari dulu (PAS) ditolak Melayu dan bukan Melayu, kecuali di Kelantan. Sekarang penerimaan oleh Melayu semakin ditingkatkan dan penerimaan bukan Melayu, oleh kerana kebersamaan kita dengan Pakatan, amat membanggakan. "PAS dilihat sebarang parti yang berjuang atas dasar Islam yang mengutamakan prinsip-prinsip keadilan dan menolak perkauman. Mesej dan imej Islam semakin diperjelaskan dengan adanya PAS bersama Pakatan," katanya dalam kiriman SMS kepada Malaysiakini. | ||||
MCA: GLC bukan hanya milik satu kaum Posted: 15 Sep 2013 05:00 PM PDT MALAYSIA KINI Pemuda MCA memberi peringatan kepada perdana menteri bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak boleh ditetapkan dengan sasaran berasaskan kaum kerana ia merupakan firma yang dibiayai dengan sumber awam."Kami sedar bahawa GLC tempatan telah berkembang ke tahap sedia ada dengan hasil cukai dari semua bangsa. "Oleh itu, tidak perlu ada perbezaan kaum dalam prestasi GLC," kata ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong dalam satu kenyataan hari ini. Katanya, GLC memerlukan sumber tenaga terbaik untuk bersaing di peringkat global dan pandangan yang sempit berasaskan kaum hanya akan menyebabkan syarikat itu ketinggalan. Wee mengulas rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan Najib semalam. Langkah tersebut antara lainnya menggariskan agar GLC menetapkan sasaran ke atas penglibatan bumiputera, terutama dalam bidang perolehan yang akan dijadikan kriteria utama dalam indeks penilaian prestasinya. Wee berkata Najib perlu menghadapi realiti politik apabila memberi habuan kepada penyokong BN dalam pilihan raya umum 5 Mei. Namun beliau memberi amaran bahawa langkah berasaskan kaum akan membawa kesan jangka panjang "yang lebih meluas". "Kita mesti menilai bagaimana dasar ini akan memberi kesan kepada kaum lain," katanya. | ||||
Tempoh Mesyuarat Umno Cawangan Berakhir Tengah Malam Ahad Posted: 15 Sep 2013 04:57 PM PDT MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Hampir kesemua cawangan Umno yang layak bermesyuarat dijangka selesai berbuat demikian tengah malam ini selepas tempoh dua bulan yang diperuntukkan tamat. Umno sebelum ini memperuntukkan mesyuarat cawangan diadakan dari 15 Julai hingga 31 Ogos lepas, namun melanjutkannya sehingga tengah malam 15 September susulan permintaan daripada anggota selepas mempertimbangkan sambutan Aidilfitri dan ulang tahun kemerdekaan negara. Jurucakap Umno memberitahu Bernama di sini, maklumat mengenai jumlah sebenar cawangan yang mengadakan mesyuarat akan diketahui Selasa ini. Umno mempunyai 20,080 cawangan namun tidak semua layak bermesyuarat atas beberapa faktor termasuk ada yang digantung. Di KUALA LUMPUR, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Syed Ali Alhabshee berkata semua 607 cawangan telah selesai mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing. Antara isu yang dibangkitkan ialah terdapat nama anggota berdaftar yang tidak tersenarai, selain ada anggota dimasukkan di bawah cawangan lain tanpa pengetahuan, katanya kepada Bernama. Semua isu dan masalah yang dibangkitkan akan dikumpul dan diserahkan kepada ibu pejabat Umno pada Selasa ini untuk tindakan lanjut, katanya. Di SHAH ALAM, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata hampir 95 peratus daripada 2,333 cawangan di negeri itu selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing. "Saya lihat ada beberapa cawangan yang sebelum ini tidak dapat mengadakan mesyuarat kerana tidak cukup korum tetapi hari ini cawangan terbabit telah mengadakan mesyuarat semula," katanya. Di GEORGE TOWN, jumlah cawangan yang tidak dapat bermesyuarat tidak sampai lima peratus daripada 665 cawangan di Pulau Pinang, kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir. Beliau berkata pihaknya akan memohon kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk melanjutkan tempoh itu bagi membolehkan cawangan yang terlibat mengadakan mesyuarat. Di MELAKA, lebih 95 peratus daripada 411 cawangan Umno di negeri itu telah selesai mengadakan mesyuarat masing-masing setakat pukul 3 petang tadi. Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Akbar Ali berkata pihaknya akan merujuk cawangan yang tidak boleh bermesyuarat disebabkan tidak cukup korum atau masalah teknikal kepada ibu pejabat, untuk tindakan selanjutnya. Di KOTA BAHARU, sebanyak 98 peratus daripada 2,208 cawangan Umno di Kelantan selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing, menurut Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Noor Zahidi Omar. Katanya pada keseluruhannya, mesyuarat agung peringkat cawangan di negeri itu berjalan lancar. Di KOTA KINABALU, Setiausaha Kerja Umno Sabah Datuk Kadzim M. Yahya berkata hampir semua lebih 5,000 cawangan Umno di Sabah selesai mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing. Walaupun bagaimanapun terdapat beberapa cawangan yang mungkin mengadakan semula mesyuarat atau ditangguhkan mesyuarat atas sebab-sebab teknikal, katanya. Sabah merupakan antara negeri yang mempunyai anggota Umno terbanyak dengan lebih 450,000 orang. Di SEREMBAN, hanya dua daripada 617 cawangan Umno di Negeri Sembilan belum mengadakan mesyuarat kerana menghadapi masalah keanggotaan dan bantahan. Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Hasim Rusdi berkata msalah di dua cawangan ini akan diputuskan oleh pengurusan tertinggi parti. Sementara itu di KUALA TERENGGANU, hanya empat lagi daripada 1,027 cawangan di Terengganu belum mengadakan mesyuarat mereka, namun tiga daripadanya akan bermesyuarat malam ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Mesyuarat Pemilihan Umno Negeri Terengganu Datuk Muda Mamat. Hanya Cawangan Umno Gong Datuk menghadapi masalah dan digantung daripada mengadakan mesyuarat agung, katanya. Di KUANTAN, hampir 90 peratus daripada 1,097 cawangan seluruh Pahang selesai bermesyuarat kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri itu Datuk Rahim Abas. Di IPOH, sebanyak 1,634 daripada 1,689 cawangan Umno di negeri ini telah selesai mengadakan mesyuarat masing-masing sehingga kini. Setiausaha Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata terdapat dua lagi cawangan iaitu di Bagan Serai dan Bagan Datoh dijangka selesai mesyuarat malam ini. "Setakat ini perjalananan mesyuarat berjalan lancar, namun sebanyak 53 cawangan layak bersidang tetapi gagal bersidang kerana anggota kurang 50 orang dan tidak bersidang melebihi empat tahun katanya," katanya ketika dihubungi Bernama. Di KANGAR, terdapat beberapa cawangan di Perlis perlu bermesyuarat semula kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Mat Rawi Kassim. Ini kerana katanya ada anggota tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat terbabit.Umno Perlis mempunyai lebih 300 cawangan. Di ALOR SETAR, cawangan yang mendapat bantahan daripada anggotanya akan dirujuk dalam mesyuarat khas pemilihan peringkat negeri, Selasa ini, kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Othman Aziz. "Kita akan selesaikan di peringkat perhubungan negeri. Sekiranya gagal barulah dirujuk kepada Ibu Pejabat Umno," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini. Di PUTRAJAYA, Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya Datuk Khairudin Samad berkata 40 daripada 43 cawangan Umno yang layak bersidang sudah selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing. "Tiga lagi cawangan tidak bermesyuarat berikutan masalah teknikal,"katanya ketika dihubungi di sini. -BERNAMA |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan