Jumaat, 13 September 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pemuda MCA: Kenyataan Idris buat orang kurang senang

Posted: 12 Sep 2013 05:20 PM PDT


MALAYSIA KINI
 
 
 
Pemuda MCA menyelar kenyataan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang didakwa menyatakan keterbukaan kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka belajar ke luar negara jika tidak berpuas hati dengan sistem pendidikan Malaysia.

Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda MCA, Chong Sin Woon berkata kenyataan itu tidak menyelesaikan rasa tidak puas hati orang ramai dan hanya mewujudkan "rasa kurang senang" terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Nasional (2013-2025).

Menurutnya, sebagai menteri pendidikan, Idris sebenarnya bertanggungjawab menjelaskan kandungan pelan tersebut.

Idris sepatutnya "berlapang dada terhadap pendapat khalayak tentang pelaksanaan pelan itu" dan bukannya menggesa mereka yang tidak gembira dengannya agar menghantar anak-anak mereka ke luar negeri, tambahnya.

"Pelan itu menerima lebih 55,000 komen daripada orang ramai termasuklah pakar-pakar dan pertubuhan bukan kerajaan.

"Maka, sebelum ia dilaksanakan secara rasmi, kerajaan perlu meyakinkan orang ramai mengenai kemampuan dan praktisnya.

"Malangnya, Idris memilih untuk membuat kenyataan bersifat menyerang sebegitu dan tidak mengendahkan hasrat orang ramai yang mahu terlibat dalam pembentukan dasar," kata Chong dalam kenyataannya.

Idris pada hari Selasa lalu dilaporkan sebagai berkata: "Kalau ada kata sistem tak baik dan nak hantar anak ke luar negara kita tak halang, tapi kita nak pastikan sistem kita bertambah baik".

Kenyataannya itu timbul susulan gesaan beberapa kumpulan pendidikan Cina yang tidak bersetuju dengan canfan penambahan 60 minit dalam pengajaran bahasa Melayu di sekolah vernakular.

Isu babak kencing: DAP saman Puad, Utusan

Posted: 12 Sep 2013 05:18 PM PDT

 


 

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengemukakan surat tuntutan kepada anggota majlis tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi dan akhbar milik parti tersebut, Utusan Malaysia atas laporan bertarikh 7 September berhubung filem 'Tanda Putera'.

Dalam surat tuntutannya, peguam Lim, Karpal Singh & Co berkata Puad dengan "tidak benar dan berniat jahat" menyatakan bahawa Lim cuba menghalang filem tersebut daripada ditayang di Pulau Pinang kerana "mahu menyembunyikan babak biadap seorang pemimpin DAP".

Puad berkata tindakan Lim untuk menghentikan penayangan filem tersebut hanya untuk menyembunyikan kebiadaban penasihat DAP Lim Kit Siang kerana kencing di hadapan rumah menteri besar Selangor Datuk Harun Idirs semasa rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Surat tuntutan itu menyebut Puad dan Utusan "dengan cuai, tidak benar dan berniat jahat, dengan mengabaikan kebenaran bagi kewartawanan bertanggungjawab dengan cara paling teruk, tanpa mengesahkan kebenaran dakwaan tersebut dengan anak guan kami mengenai kata-kata yang dipersoalkan itu, menerbitkan kata-kata berkenaan".

Menurut surat tersebut, kata-kata berkenaan menyebabkan reputasi Lim dirosakkan dengan serius dan tidak boleh diperbaiki lagi.

Peguam Jagdeep Singh berkata mereka menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan ganti rugi teladan dan teruk kepada Lim.

Ibu pejabat Umno telah kenal pasti bahagian bermasalah

Posted: 12 Sep 2013 05:15 PM PDT


MALAYSIA KINI


Ibu pejabat Umno telah mengenal pasti beberapa Umno bahagian yang bermasalah seperti di Pulau Pinang, Kelantan, Perak dan beberapa negeri yang lain dan sedang meneliti dan memperhalusi kaedah terbaik agar setiap masalah dapat diselesaikan dengan baik.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, selain itu, ibupejabat Umno juga mendapat maklumat di peringkat Umno bahagian bahawa terdapat pihak yang bertindak negatif termasuklah melakukan politik wang.
  
"Sehubungan itu, saya ingatkan mana-mana anggota Umno yang secara jelas terlibat dalam anasir-anasir sedemikian dan melanggar tataetika anggota Umno maka mereka akan diambil tindakan keras termasuklah digantung keanggotaannya.
  
"Sebarang bantahan yang dibuat perlulah melalui ketua bahagian dan setiausaha bahagian Umno," katanya.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau mengingatkan ahli Umno supaya tidak mengambil kesempatan terhadap mana-mana persidangan sama ada untuk kepentingan peribadi atau atas agenda lain termasuk membatalkan persidangan.
  
Tengku Adnan berkata kuasa pemutus ditentukan oleh Majlis Tertinggi sebagaimana termaktub dalam perlembagaan dan peraturan parti.
  
Beliau berkata ini kerana, menjelang pemilihan parti yang bakal berlangsung dan dikawal selia oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan Umno 2013, pelbagai aduan diterima oleh jawatankuasa itu.
  
"Antara aduan yang diterima oleh jawatankuasa terbabit adalah bersifat dengan sengaja berniat untuk memburukkan anggota/cawangan/bahagian, dengan sengaja berniat untuk membatalkan mesyuarat yang dijalankan serta aduan yang tidak munasabah," katanya.
  
Tengku Adnan berkata jawatankuasa itu bersidang setiap hari di ibupejabat bagi membincang, menyelaras, menyelia dan memastikan setiap aduan berkaitan permasalahan yang timbul dapat ditangani dengan adil dan telus seterusnya memberi kaedah penyelesaian terbaik.

"Namun demikian, ianya hendaklah disahkan oleh ketua bahagian dan setiausaha bahagian Umno dan sebarang siasatan berkaitan aduan dibuat oleh badan perhubungan Umno negeri," katanya.
  
Mengenai pemutihan ahli Umno ekoran pindaan perlembagaan parti pada 15 Okt 2009, Tengku Adnan menyarankan mana-mana ahli, cawangan dan bahagian yang akan bermesyuarat agar membuat semakan keanggotaan bagi mengelakkan sebarang kerumitan dan permasalahan berlaku.
  
Beliau berkata menerusi persidangan cawangan yang berlangsung pada tahun 2010, 2011 dan 2012, ibu pejabat tidak menerima sebarang aduan berkaitan keahlian di mana-mana cawangan.
  
"Namun demikian, dalam persidangan cawangan 2013 terdapat pelbagai masalah yang timbul barangkali ekoran kelalaian atau kelekaan daripada membuat semakan keanggotaan masing-masing," katanya.
  
Beliau berkata pemutihan ahli Umno telah dibuat pada tahun 2010, 2011 dan 2012 agar senarai ahli yang ada di setiap bahagian adalah mengikut daftar yang terkini setelah penghapusan yuran tahunan keahlian.
  
"Selain itu, ia penting untuk memastikan kesahihan senarai ahli Umno antara bahagian dan ibu pejabat," katanya.
  
Beliau berkata sehingga hari ini, jumlah perwakilan yang telah selesai melaksanakan tanggungjawabnya melalui persidangan cawangan ialah sekitar 53 peratus.- Bernama

Raihan Suleiman Palestin mahu tanding ketua Wanita

Posted: 12 Sep 2013 05:11 PM PDT

MALAYSIA KINI



 
 
Ahli Jawatankuasa Umno Kulim Bandar Baru, Raihan Suleiman Palestin memutuskan untuk mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bertanding jawatan Ketua Wanita Umno.

Raihan, 47, dalam laman Facebook beliau berkata niat utamanya adalah untuk menjadikan pergerakan itu mantap seiring dengan agenda parti serta memperkasakan sayap paling kuat dalam Umno itu.

"Mungkin saya bukan calon popular, saya juga mengakui perkara ini sebelum menawarkan diri, tetapi ini bukanlah satu risiko yang besar kerana saya cukup percaya, perwakilan kelak sudah bijak menentukan siapakah yang layak.

"Isu popular atau tidak bukan isu utama, mereka undi pada hemat dan pemerhatian mereka terhadap kualiti calon," katanya.

Beliau berkata walaupun terkejut dengan penarikan diri Datuk Seri Azalina Othman Said daripada bertanding merebut jawatan Ketua Wanita, namun perkara itu tidak mempengaruhi pendiriannya untuk tetap terus bertanding.

"Saya perlu bangkit untuk bersama-sama meneruskan legasi Wanita Umno yang hebat. Saya bertanding bukan suka-suka, tetapi dengan rela hati dan jiwa.

"Apabila wujudnya pemilihan, di situlah adanya kepelbagaian, dan apabila wujudnya kepelbagaian, di situlah adanya kekuatan. Fikir positif kerana kita Wanita Umno yang terbuka," katanya.

Ahli Umno seumur hidup itu berkata beliau juga cukup bersedia untuk
memimpin Wanita Umno kembali kepada fitrah, mewasatiyyahkan saf dan jemaah Wanita dan membuktikan bahawa Wanita Umno adalah ibu rakyat.

Baru-baru ini, Azalina yang juga Anggota Parlimen Pengerang serta bekas Ketua Puteri Umno menarik diri daripada bertanding jawatan nombor satu sayap Umno itu dan hanya akan bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi.- Bernama

Menteri UMNO keluar kenyataan mengarut, memalukan

Posted: 12 Sep 2013 04:58 PM PDT

Teresa kok 2 


KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh diminta bertindak lebih waras daripada mengeluarkan kenyataan mengarut  berhubung kritikan yang diterima kerajaan terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang diumumkan baru-baru ini.

Menurut Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok, kenyataan menteri berkenaan yang mahu mereka yang tidak berpuas hati terhadap PPPM boleh menghantar anak mereka belajar ke luar negara tidak boleh diterima sama sekali.

"Kami hairan, mengapa seorang menteri boleh mengeluarkan kenyataan yang mengarut seperti itu," katanya dalam satu kenyataan.

Ini kerana menurut Teresa, adalah menjadi perkara biasa bila mana bukan semua dasar kerajaan dapat memuaskan hati semua pihak.

 teresa kok

Teresa kemudian membuat perbandingan ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Ketika itu ramai yang tidak berpuas hati. Soalan saya, adakah Dr Mahathir boleh menyuruh mereka yang tidak bersetuju dengan dasar itu supaya menghantar anak mereka belajar di luar negara.

"Manakala pada 2009, Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin kemudiannya mengumumkan perubahan terhadap PPSMI kepada penggunaan Bahasa Malaysia dan menyebabkan sebahagian rakyat tidak bersetuju.

"Soalan kedua saya kepada Idris ialah, adakah kerajaan boleh memberitahu rakyat termasuk Dr Mahathir untuk menghantar cucu beliau belajar ke luar negara jika mereka menentang dasar kerajaan ini," soal Teresa.

Dalam masa yang sama, Teresa mengingatkan kerajaan supaya lebih bertanggungjawab terhadap sebarang perancangan dasar negara.

"Kita bukan sahaja mahu lihat sesuatu dasar itu baik dan mantap tetapi juga perlu mengambil kira pendapat pihak luar yang memberi cadangan," katanya. -Roketkini.com

Guru Besar ego, kerajaan lembab – M.Kulasegaran

Posted: 12 Sep 2013 04:55 PM PDT



Kulasegaran 


IPOH,: Kontroversi murid makan dalam bilik mandi yang masih hangat diperkatakan masyarakat sehingga kini adalah kerana kegagalan Kementerian Pendidikan dan Guru Besar bertindak menyelesaikan kejadian memalukan itu.

"Tiba-tiba pula kita dengar Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh  meminta semua pihak bermaafan dan melupakan apa yang berlaku.

"Adakah tindakan beliau adil dan munasabah pada hal pihaknya seolah-olah mahu lari daripada tanggungjawab sebenar meleraikan kontroversi itu segera," kata Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran

Beliau juga menyifatkan kenyataan kerajaan menyalahkan ibu bapa kerana terus memperbesarkan perkara ini kepada pihak media adalah amat tidak wajar.
kula pix

Katanya, lebih mendukacitakan, Guru Besar sekolah itu sendiri tidak menunjukkan keikhlasan dan kejujuran untuk meminta maaf secara terbuka.

"Di saat menteri memohon semua pihak saling bermaafan dan melupakan kejadian ini, Guru Besar sekolah itu kekal dengan egonya enggan meminta maaf, malah masih menganggap tindakannya itu betul," ujar Kulasegaran.-Roketkini.com

ROS belum terima surat pengakuan asal DAP

Posted: 12 Sep 2013 04:46 PM PDT

Abdul Rahman Othman  
 Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman
 
KUALA LUMPUR - Pendaftar Pertubuhan (ROS), sehingga dua hari lepas, masih belum menerima walaupun satu daripada 500 surat pengakuan asal perwakilan DAP yang didakwa ditandatangani perwakilan yang sudah diketahui umum sebagai tidak hadir pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu 15 Disember lepas.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, surat tersebut perlu disegerakan bagi membantu ROS menjalankan siasatan ke atas aduan yang dibuat oleh anggota DAP yang mahukan pemilihan semula diadakan.

Beliau berkata, keengganan pemimpin DAP menyerahkan surat tersebut dilihat sebagai ketidaksungguhan mereka menyelesaikan isu itu bahkan menambah kerumitan.

"Surat yang diuar-uarkan pemimpin DAP itu dihantar dengan tangan baru-baru ini ialah sekadar surat keakuran mereka mematuhi keputusan ROS (supaya diadakan pemilihan semula CEC) sebagaimana dinyatakan dalam surat ROS bertarikh 30 Julai lepas.  

"Walaupun demikian, ROS masih belum mendapat maklumat rasmi mengenai
pemilihan semula ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahman berkata, ROS dalam suratnya telah mengingatkan pemimpin DAP untuk melaksanakan keputusan ROS mengikut peraturan yang telah ditetapkan di dalam Perlembagaan DAP supaya kemelut yang dihadapi tidak berlarutan.
Pada 30 Julai lepas, ROS memutuskan DAP perlu mengadakan semula pemilihan  CEC selepas badan itu tidak berpuas hati dengan penjelasan berkaitan dakwaan berlaku penyelewengan pengundian dan manipulasi undi membabitkan 547 perwakilan pada pemilihan parti itu.

Bagaimanapun, parti itu sebelum ini berulang kali mempertahankan bahawa pemilihan berkenaan diadakan secara bersih dan kesilapan yang berlaku adalah disebabkan masalah teknikal.

DAP pada awalnya membantah arahan ROS itu namun kemudian memutuskan akan  berbuat demikian. - Bernama

Kerajaan jamin harga tepung, gula tidak naik

Posted: 12 Sep 2013 04:40 PM PDT

SINAR HARIAN
Hasan Malek  
Hasan Malek

SEREMBAN - Kerajaan memberi jaminan harga tepung dan gula tidak akan naik di sebalik pengurangan subsidi petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen diumumkan kerajaan, 3 September lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek berkata, jaminan itu berdasarkan persetujuan antara kementerian dengan beberapa pengeluar dan pengilang utama dua komoditi makanan itu, semasa pertemuan pada Selasa.

"Saya gembira apabila mereka juga memberitahu bahawa bekalan gula dan tepung mencukupi.

"Mereka juga bersetuju untuk tidak menaikkan harga barangan itu dan ini bermakna peniaga tidak boleh menaikkan harga barangan berkenaan sewenang-wenangnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Bengkel Kefahaman Undang-undang dan Pemeriksaan kepada Penghulu dan Penggawa Semenanjung Malaysia, di sini hari ini.

Menurut beliau, kementerian sebelum ini mengadakan pertemuan serupa dengan pengilang dan pengeluar barangan lain termasuk pengusaha pasar raya berhubung isu sama.

Katanya, kebanyakan mereka bersetuju dan menyokong langkah kerajaan mengurangkan subsidi petrol RON95 dan diesel yang membawa kepada kenaikan 20 sen harga dua bahan api terbabit.

"Mereka memahami hasrat kerajaan dalam mengurangkan subsidi minyak ini adalah untuk memperkukuhkan ekonomi negara dan mereka bersetuju untuk sama-sama membantu (dengan tidak menaikkan harga barangan)," katanya.

Dalam pada itu, Hasan berkata sejak pengumuman kerajaan berhubung pengurangan subsidi minyak itu, sebanyak 30,538 pemeriksaan dibuat terhadap peniaga menerusi Ops Harga.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 157 kesalahan dikesan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972 dengan kompaun RM16,530 dikeluarkan.

"Kita juga membuat rampasan barangan bernilai RM55,382.20 terhadap peniaga terbabit yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk menaikkan harga barangan, tidak mempamerkan harga dan menjual barangan tiruan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai bengkel tersebut, Hasan berkata ia bertujuan memberi pengetahuan dan pemahaman kepada penghulu dan penggawa mengenai peranan mereka sebagai pemantau harga barangan di kawasan masing-masing. - Bernama

Tiada ulasan: